Saturday, May 27, 2017

Sambutan Hari Seniman Kebangsaan


Hari Seniman Kebangsaan di Malaysia disambut pada 29 Mei setiap tahun bagi memperingati pemergian seniman agung negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ke rahmatullah, 29 Mei 1973.

Hari Seniman Kebangsaan

Allahyarham P. Ramlee merupakan seniman tersohor, insan seni yang amat istimewa dan seorang reformer paling hebat dan tidak ada tandingannya.

P. Ramlee telah membawa banyak perubahan kepada bangsa Melayu dan telah menjadikan filem serta lagu sebagai satu usaha mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk membawa kemajuan dan mengetepikan apa-apa yang tidak membawa kemajuan.

Langkah kerajaan mewujudkan Hari Seniman Kebangsaan juga adalah atas kesedaran golongan seniman termasuk penggiat seni sudah sekian lama memberi sumbangan berterusan kepada negara.

Bagi mereka yang bergelar seniman, Hari Seniman Kebangsaan membawa makna bahawa sumbangan mereka diiktiraf dan diakui.

Seniman tentunya bukan setakat artis dan karyawan filem serta muzik semata-mata malah merangkumi penggiat seni lain.

Hari seniman seharusnya disambut dengan hasrat para seniman dan karyawan akan terus menghasilkan karya yang mampu menyumbang ke arah merealisasikan wawasan negara.

Memang kita tidak boleh nafikan bahawa warga seni merupakan satu aset penting negara. Mereka mempunyai tugas yang penting iaitu meninggikan martabat masyarakat melalui karya seni

Seni tidak harus dijadikan santapan mata dan telinga semata-mata tetapi ia perlu berperanan dalam melahirkan tamadun bangsa berilmu dan berbudaya.

Dalam usaha Malaysia menuju ke arah negara maju, pembangunan material bukan segala-galanya tetapi menuntut kepada kepelbagaian elemen termasuk pembudayaan karya seni.

Kemajuan yang syumul bukan setakat pembangunan material semata-mata tetapi ia menuntut kepada pelbagai elemen kemajuan dan pembangunan termasuk pembudayaan karya seni dalam kalangan masyarakat.

Dalam konteks ini, seni perlu dijadikan sebagai satu wadah ke arah memupuk masyarakat yang berbudaya dan bertamadun.

Seni juga merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar untuk dikembangkan bagi menjana pendapatan lebih tinggi, namun begitu ia perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Kerajaan sentiasa prihatin untuk membela nasib warga seni dan sedia mempertimbangkan sebarang cadangan yang boleh memberi kebaikan kepada golongan tersebut.

Bagi meneruskan usaha ini, kerajaan akan terus memberikan dokongan, sokongan dan galakan yang sewajarnya kepada penggiat seni dalam pelbagai genre dan bidang

Program sempena Hari Seniman

Konsep acara pada sambutan Hari Seniman termasuklah mempamerkan aktiviti seni persembahan secara terus yang menggambarkan keunikan, peranan dan sumbangan warga seni negara dalam menyumbang pembentukan bangsa Malaysia.

Melalui pameran itu, usaha mewujudkan jati diri bangsa dan menggalakkan semua pihak mencintai budaya dapat dilihat.

Program yang dirancang menjurus kepada cabang-cabang kesenian seperti kesenian rakyat, seni lukis, lakonan, nyanyian, puisi serta bidang seni lain.

Acara yang dirancang itu adalah untuk memperlihatkan sumbangan setiap cabang seni dalam menyemarakkan perkembangan seni tanah air.

Pada sebelah malam pula akan diadakan bacaan tahlil.

Agensi dan jabatan lain di bawah KPKKW juga menganjurkan program tersendiri, yang melibatkan ekspo jualan kraf, pameran produk kraf serta pameran seni warisan.

Jabatan Warisan Negara pula akan mengadakan Himpunan Seniman Rakyat manakala Teater Muzikal P. Ramlee akan dipentaskan di Istana Budaya.

Hari Seniman Kebangsaan tidak setakat untuk bersuka ria tetapi lebih penting pengisian ke arah mengangkat martabat seni.

Misalnya, lebih banyak peluang diberikan kepada kumpulan teater untuk beraksi di pentas Istana Budaya atau memberi peluang kepada lebih banyak artis mengadakan pameran secara berkumpulan atau solo di Balai Seni Lukis Negara.

Kepada semua anak seni yang bergelar atau digelar seniman, pengiktirafan itu jangan disia-siakan. Mereka perlu menyokong penuh program murni ini demi memartabatkan dunia kesenian negara.

Tunjukkan perpaduan dan mungkin dengan cara itu kerajaan dapat mempertimbangkan dana sesuai untuk mengangkat lagi industri seni di Malaysia.

Selamat menyambut Hari Seniman Kebangsaan.

BACA INI JUGA: Merekalah Yang Telah Menjatuhkan P. Ramlee

sumber: utusan | kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon