Friday, March 24, 2017

Remaja Pandu Gen-2 Lawan Arus Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Remaja Pandu Gen-2 Lawan Arus Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Remaja perempuan yang sebelum ini didakwa mengambil amphetamine ketika memandu secara melawan arus hingga mengakibatkan kemalangan maut, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah.

Ng Pei Ven

Ng Pei Ven, 19, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu sebuah kenderaan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Mohamad Fandi Rosli, 26, di Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, pada 7.50 pagi, 14 Mac lepas.

Remaja yang merupakan model sambilan itu didakwa mengikut Seksyen 44(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun, dan denda minimum RM8,000 dan maksimum RM20,000, serta hilang kelayakan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani menawarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin.

Peguam Parmjit Singh yang mewakili Ng kemudiannya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas faktor tertuduh adalah orang kurang upaya dan masih remaja.

Majistret Jamaliah Abd Manap kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan semula kes ini atas tuduhan mengambil dadah amphetamine di Pejabat Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah dekat sini pada 5 petang, 14 Mac lepas.

Remaja itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Model sambilan itu dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Apa Itu Penyakit Tibi Dan Perkara Yang Anda Patut Tahu Mengenainya

Apa Itu Penyakit Tibi Dan Perkara Yang Anda Patut Tahu Mengenainya

Penyakit Tibi (Tuberkulosis) atau penyakit batuk kering adalah penyakit berjangkit yang biasanya menyerang paru-paru dan boleh merebak ke bahagian badan yang lain, seperti otak, kelenjar adrenal, nodus limfa, jantung, bahagian usus dan tulang belakang.

Penyakit Tibi

Punca penyakit tibi adalah disebabkan oleh sejenis bakteria yang dipanggil Mycobacterium tuberculosis.

Anda boleh dijangkiti penyakit TB melalui titisan air di udara (‘airborne droplets’) yang dicemari kuman TB. Pesakit TB juga boleh menyebarkan kuman TB melalui titisan air di udara apabila mereka batuk atau bersin.

Kemungkinan anda dijangkiti penyakit TB bergantung kepada tahap daya ketahanan tubuh masing-masing.

Jika anda mempunyai daya ketahanan tubuh yang rendah, anda berkemungkinan lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit TB.

Golongan yang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat jangkitan TB termasuklah:
  • Bayi, kanak-kanak, dan golongan tua.
  • Pesakit yang menghidap penyakit yang boleh mengurangkan daya ketahanan badan seperti penghidap penyakit HIV, pesakit kencing manis, pesakit buah pinggang tahap akhir (end stage renal failure) atau pesakit penyakit kanser.
  • Pesakit yang mengambil rawatan steroid atau rawatan yang menrendahkan tahap daya ketahan badan seperti pesakit yang telah menjalankan pemindahan organ, pesakit Systematic Lupus Erythemotosus SLE/rheumatoid, Crohn’s, Ulcerative Colitis, psoriasis dan sebagainya.
  • Pesakit yang sedang mengambil rawatan kemoterapi.

Malaysia adalah antara negara yang mengambil serius tentang ancaman penyakit TB ini.

Pada zaman sebelum merdeka, penyakit TB adalah pembunuh nombor satu negara kita, namun dengan adanya program vaksinasi yang berkesan dan juga program pengesanan awal dan rawatan TB yang berkesan, kita berjaya mengurangkan kes jangkitan penyakit TB di Malaysia.

Kini, penyakit TB berada di tangga yang ke-sembilan punca kematian di Malaysia.

Malangnya, terdapat peningkatan dalam kes-kes baru TB di Malaysia pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Punca penularan penyakit Tibi

Antara faktor-faktor penyebab penyakit TB ini kian meningkat adalah disebabkan oleh kebanjiran pembawa penyakit TB di kalangan imigran atau pekerja-pekerja asing, yang kebanyakannya tidak menerima vaksinasi untuk TB di negara asal masing-masing dan datang dari negara yang mempunyai penghidap TB yang ramai.

Selain daripada itu, peningkatan penyakit TB juga datang seiring dengan peningkatan kes penghidap HIV di negara kita.

Dalam masa yang sama, akibat kekurangan pengetahuan dan sikap sambil lewa dalam penjagaan kesihatan diri sendiri, ada sesetengah penghidap pesakit TB ini yang tidak menghabiskan rawatan TB yang telah diberikan kepada mereka.

Ini menyebabkan penyakit TB mereka berulang dan bakteria TB di dalam tubuh mereka menjadi kebal terhadap rawatan TB yang sedia ada.

Penularan penyakit TB jenis MDR-TB (penyakit TB yang kebal terhadap beberapa ubat) adalah antara sebab utama sesetengah pesakit TB sukar sembuh daripada penyakit ini walaupun selepas menerima rawatan.

Oleh sebab itu, semua penghidap penyakit TB dinasihatkan untuk mendengar nasihat doktor dan mengambil rawatan TB sehingga habis tempoh rawatan yang telah ditetapkan.

Mereka juga disarankan untuk berjumpa doktor selepas habis tempoh rawatan sekurang-kurangnya sepanjang tempoh setahun selepas habis rawatan.

Ini adalah sebagai langkah pemantauan untuk mengesan pengaktifan penyakit TB di kalangan pesakit penghidap TB yang telah melengkapkan rawatan TB.

Apakah kesan penyakit Tibi pada diri penghidap?

Apabila bakteria TB menjangkiti seseorang, ia boleh merosakkan struktur tisu paru-paru sehingga ia menjadi keras (mengalami ‘fibrosis’), pembentukan nanah di dalam paru-paru (dalam bentuk abses paru-paru atau ‘empyema’) dan paru-paru berair (‘pleural effusion’).

Jika tidak dirawat, kerosakan ini akan menjadi kekal dan melarat sehingga menyebabkan paru-paru berlubang (‘cavitating lesions’) atau ‘bronchiectatic’.

Apabila sampai ke tahap kerosakan yang kekal, pesakit akan mengalami kesukaran bernafas. Kadang-kala walaupun rawatan telah dimulakan, kerosakan paru-paru itu tidak akan dapat dibaiki semula.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan penyakit TB dari peringkat awal jangkitan.

Jika penyakit TB dikesan dari peringkat awal, kebanyakan pesakit mempunyai reaksi yang baik kepada rawatan.

Malah, selepas 2 minggu rawatan TB, kebanyakan mereka tidak lagi mampu menyebarkan kuman TB ini kepada individu lain.

Bagaimanakah untuk tahu saya menghidap Tibi ataupun tidak?

Antara tanda-tanda jangkitan TB adalah:
  • Batuk berpanjangan.
  • Batuk berdarah.
  • Sakit dada semasa bernafas.
  • Kesukaran untuk bernafas.
  • Demam berpanjangan.
  • Kurang selera makan.
  • Pengurangan berat badan yang mendadak.
  • Berpeluh malam.

Untuk penyakit TB yang tidak melibatkan paru-paru, tanda-tanda jangkitan bergantung kepada lokasi jangkitan.

Sebagai contohnya, jika ia melibatkan bahagian otak (radang otak disebabkan kuman TB atau ‘TB meningitis’), penghidap boleh menunjukkan tanda-tanda seperti demam, sakit kepala, muntah, kekeliruan mental ataupun sawan.

Sesiapa yang menghidap batuk yang berpanjangan lebih dari dua minggu, anda perlu diperiksa samada anda menghidap penyakit TB paru-paru ataupun tidak.

Bagaimanakah doktor mengesahkan penyakit Tibi paru-paru?

Bagi penyakit TB ‘pulmonari’ (yang melibatkan paru-paru), doktor dapat mengesan jangkitan TB dalam paru-paru dengan mengenalpasti bakteria TB dalam kahak pesakit.

Ini dibuat dengan mencalitkan kahak pesakit pada slaid kaca (‘smear’) dan melihat slaid kaca ini di bawah mikroskop.

Selain daripada itu, kahak pesakit juga boleh dicalit pada media kultur untuk membiakkan kuman bakteria TB.

Kaedah ini amat berkesan dan spesifik untuk mengesan kuman TB. Dengan cara ini juga, kita boleh mengenalpasti jika kuman TB yang dihidapi sensitif atau tidak pada rawatan TB yang sedia ada.

Selain daripada itu, doktor juga boleh melakukan imbasan x-ray dada yang boleh mengesan perubahan paru-paru akibat TB. Pada x-ray pesakit TB, boleh ada tompokan putih, perubahan nodular atau pengerasan (‘fibrosis’) pada paru-paru.

Ujian ‘Mantoux’ ataupun tuberkulin pula adalah ujian yang boleh juga dilakukan untuk mengesan TB. Ianya dilakukan dengan mencucuk sedikit protein tuberkulin di bawah kulit pesakit. Kemudian, selepas tiga hari, reaksi yang didapati pada kulit akan diukur.

Berdasarkan saiz reaksi ‘melepuh’ pada kulitpesakit, tindakbalas tersebut akan dikira sebagai ‘positif’ jika ada kesan melepuh lebih daripada 1cm pada kulit pesakit atau negatif jika tiada reaksi langsung pada kulit pesakit. (Reaksi yang diperoleh bergantung kepada status daya ketahanan badan pesakit).

Ujian-ujian lain yang boleh dilakukan untuk mengesan TB termasuklah ujian darah dan ujian molekular seperti ujian ‘Polymerase chain reaction (PCR).

Untuk penyakit TB selain daripada TB di paru-paru, doktor boleh mengesan kuman TB dengan mengambil sampel bahagian organ yang terlibat seperti air tulang belakang, serta biopsi atau mengambil sedikit sampel daripada nodus limfa, bahagian tulang, sumsum, usus dan lain-lain.

Bagaimanakah saya dapat mengelak daripada mendapat jangkitan Tibi?

Bagi mana-mana individu yang bertugas untuk merawat pesakit TB secara langsung, mereka dinasihatkan untuk memakai topeng N95 untuk melindungi diri mereka daripada terdedah kepada kuman TB. Malangnya, kaedah ini tidak berapa diamalkan oleh sesetengah orang setiap hari.

Vaksinasi BCG pada masa lahir adalah di antara cara untuk kita melindungi diri dan anak-anak kita daripada ancaman jangkitan TB yang memudaratkan seperti TB miliari (jangkitan TB di beberapa organ di dalam tubuh yang telah merebak melalui saluran darah dan nodus limfa badan) dan TB meningitis (jangkitan TB di dalam otak).

Vaksin BCG berfungsi dengan merangsangkan sistem daya ketahanan badan kita untuk membina antibodi terhadap bakteria TB.

80% daripada populasi yang menerima BCG pada masa lahir akan mendapat perlindungan sekurang-kurangnya selama 15 tahun.

Malangnya, ia tidak mampu melindungi diri kita seratus peratus daripada jangkitan TB kerana kesan daya ketahanan badan yang dihasilkan berkurangan apabila kita dewasa.

Oleh sebab itu, ia amatlah penting bagi kita untuk mengesan kes penyakit TB dari peringkat awal dan merawat mereka yang telah dijangkiti dengan secepat mungkin untuk mengelakkan lebih ramai orang yang akan terdedah kepada kuman ini daripada mendapat jangkitan TB.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mmgazette

Kisah Benar Di Bilik Mayat

Kisah Benar Di Bilik Mayat

Lebih kurang jam 3.30 pagi, saya menerima panggilan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk menguruskan jenazah lelaki yang sudah seminggu tidak dituntut. Di luar bilik mayat itu cukup dingin dan gelap serta sunyi dan hening.

Mayat
Gambar hiasan.

Hanya saya dan seorang penjaga bilik tersebut yang berada dalam bilik berkenaan. Saya membuka dengan hati-hati penutup muka jenazah. Kulitnya putih,badannya kecil dan berusia awal 20-an. Allah Maha Berkuasa.

Tiba-tiba saya lihat muka jenazah itu sedikit demi sedikit bertukar menjadi hitam. Mulanya saya tidak menganggap ia sebagai aneh, namun apabila semakin lama semakin hitam, hati saya mula bertanya-tanya.

Saya terus menatap perubahan itu dengan teliti, sambil di hati tidak berhenti-henti membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Detik demi detik berlalu, wajah jenazah semakin hitam.

Selepas lima minit berlalu,barulah ia berhenti bertukar warna. Ketika itu wajah mayat berkenaan tidak lagi putih seperti warna asalnya,tetapi hitam seperti terbakar.

Saya keluar dari bilik berkenaan dan duduk termenung memikirkan kejadian aneh yang berlaku itu.

Pelbagai pertanyaan timbul di kepala saya; apakah yang sebenarnya telah terjadi? Siapakah pemuda itu? Mengapa wajahnya bertukar hitam? Persoalan demi persoalan muncul di fikiran saya.

Sedang saya termenung tiba-tiba saya dapati ada seorang wanita berjalan menuju ke arah saya. Satu lagi pertanyaan timbul, siapa pula wanita ini yang berjalan seorang diri di bilik mayat pada pukul 4.00 pagi.

Semakin lama dia semakin hampir, dan tidak lama kemudian berdiri di hadapan saya. Dia berusia 60-an dan memakai baju kurung.

” Ustaz,” kata wanita itu.

“Saya dengar anak saya meninggal dunia dan sudah seminggu mayatnya tidak dituntut. Jadi saya nak tengok jenazahnya,” kata wanita berkenaan dengan lembut.

Walaupun hati saya ada sedikit tanda tanya, namun saya membawa juga wanita itu ke tempat jenazah tersebut.

Saya tarik laci 313 dan buka kain penutup wajahnya.

“Betulkah ini mayat anak mak cik?”tanya saya.

“Mak cik rasa betul, tapi kulitnya putih.”

“Makcik lihatlah betul-betul,” kata saya.

Selepas ditelitinya jenazah berkenaan, wanita itu begitu yakin yang mayat itu adalah anaknya. Saya tutup kembali kain penutup mayat dan menolak kembali lacinya ke dalam dan membawa wanita itu keluar dari bilik mayat.

Tiba di luar saya bertanya kepadanya, “Mak cik, ceritakanlah kepada saya apa sebenarnya yang berlaku sampai wajah anak mak cik bertukar jadi hitam?” tanya saya.

Wanita itu tidak mahu menjawab sebaliknya menangis teresak-esak. Saya ulangi pertanyaan tetapi ia masih enggan menjawab. Dia seperti menyembunyikan sesuatu.

”Baiklah, kalau mak cik tidak mahu beritahu,saya tak mahu uruskan jenazah anak mak cik ini,” kata saya untuk menggertaknya.

Bila saya berkata demikian, barulah wanita itu membuka mulutnya.

Sambil mengesat airmata, dia berkata, “Ustaz, anak saya ni memang baik, patuh dan taat kepada saya. Jika dikejutkan di waktu malam atau pagi supaya buat sesuatu kerja, dia akan bangun dan buat kerja itu tanpa membantah sepatahpun. Dia memang anak yang baik tapi…”

Tambah wanita itu lagi, “apabila makcik kejutkan dia untuk bangun sembahyang, Subuh misalnya, dia mengamuk marahkan mak cik.

"Kejutlah dia, suruhlah dia pergi ke kedai, dalam hujan lebat pun dia akan pergi, tapi kalau dikejutkan supaya bangun sembahyang, anak makcik ini akan terus naik angin. Itulah yang mak cik kesalkan,” kata wanita tersebut.

Jawapannya memeranjatkan saya.

Teringat saya kepada hadis nabi bahawa barang siapa yang tidak sembahyang, maka akan ditarik cahaya iman dari wajahnya. Mungkin itulah yang berlaku.

Wajah pemuda itu bukan sahaja ditarik cahaya keimanannya, malah diaibkan dengan warna yang hitam.

Selepas menceritakan perangai anaknya, wanita tersebut meminta diri untuk pulang. Dia berjalan dengan pantas dan hilang dalam persekitaran yang gelap. Kemudian saya pun memandikan, mengapankan dan menyembahyangkannya.

Selesai urusan itu, saya kembali ke rumah semula. Saya perlu balik secepat mungkin kerana perlu bertugas keesokan harinya sebagai imam di Masjid Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Selang dua tiga hari kemudian, entah kenapa hati saya begitu tergerak untuk menghubungi waris mayat pemuda tersebut.

Melalui nombor telefon yang diberikan oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah, saya hubungi saudara Allahyarham yang agak jauh pertalian persaudaraannya.

Selepas memperkenalkan diri, saya berkata, “Encik, kenapa encik biarkan orang tua itu datang ke hospital seorang diri di pagi-pagi hari. Rasanya lebih elok kalau encik dan keluarga encik yang datang sebab encik tinggal di Kuala Lumpur lebih dekat dengan Klang.”

Pertanyaan saya itu menyebabkan dia terkejut, “Orang tua mana pula?” katanya.

Saya ceritakan tentang wanita berkenaan, tentang bentuk badannya, wajahnya serta pakaiannya.

“Kalau wanita itu yang ustaz katakan, perempuan itu adalah emaknya tapi, emaknya dah meninggal lima tahun lalu!”

Saya terpaku, tidak tahu apa yang hendak dikatakan lagi.

Jadi ‘siapa’ yang datang menemui saya pagi itu?

Walau siapa pun wanita itu dalam erti kata sebenarnya, saya yakin ia adalah ‘sesuatu’ yang Allah turunkan untuk memberitahu kita apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan wajah pemuda berkenaan bertukar hitam.

Peristiwa tersebut telah terjadi lebih setahun lalu, tapi masih segar dalam ingatan saya.

Ia mengingatkan saya kepada sebuah hadis nabi, yang bermaksud bahawa jika seseorang itu meninggalkan sembahyang satu waktu dengan sengaja, dia akan ditempatkan di neraka selama 80,000 tahun.

Bayangkanlah seksaan yang akan dilalui kerana satu hari di akhirat bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Kalau 80,000 tahun?

Wallahu a'lam.

Nota editor: Kisah ini diceritakan oleh seorang ustaz yang bertugas memandikan mayat orang Islam di hospital.

BACA INI JUGA: 'Aku Sudah Mati Dan Melihat Neraka'

sumber: irfanirsyad

Sambutan Hari Tibi Sedunia, World Tuberculosis Day

Sambutan Hari Tibi Sedunia, World Tuberculosis Day

Hari Tibi Sedunia, World Tuberculosis Day di sambut pada 24 Mac setiap tahun oleh segenap lapisan masyarakat diseluruh dunia bersempena memperingati tarikh penemuan kuman Mycobacterium Tuberculosis oleh Dr. Robert Koch pada tahun 1882.

World Tuberculosis Day

Penyakit Tuberkulosis (Tibi) adalah masalah dan isu kesihatan di peringkat global dan bukanlah di Malaysia sahaja.

Bagi tahun 2014, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan terdapat 9.6 juta kes Tibi di seluruh dunia berbanding hanya 6 juta kes yang dilaporkan.

Di Malaysia, jumlah kes Tibi yang dilaporkan sepanjang tahun 2015 adalah 24,220 kes iaitu penurunan sebanyak 2% berbanding 24,711 kes pada tahun 2014.

Jumlah kematian Tibi pula didapati telah meningkat sebanyak 5.8% iaitu daripada 1,603 kematian pada tahun 2014 kepada 1,696 kematian bagi tahun 2015.

Sudah berapa lama Tibi wujud di dunia?

Saintis sebelum ini telah menemui bukti jangkitan kuman Tibi pada mumia di Peru dan Mesir.

Sebuah laporan yang diterbitkan pada tahun 2009 menyebutkan bahawa Tibi berkemungkinan besar menjadi punca kematian Irtyersenu, seorang wanita yang hidup 600 tahun sebelum Masehi dan dikuburkan di Thebes.

Bagi mengawal penularan penyakit Tibi adalah penting bagi pesakit mengambil ubatan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Secara umum, pesakit tibi paru-paru perlu mengambil ubat setiap hari selama sekurang-kurangnya enam (6) bulan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui ‘End TB Strategy’ mensasar untuk menamatkan epidemik Tibi menjelang tahun 2035.

Fokus utama pelan strategi kini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit Tibi, memperkukuhkan polisi sedia ada dan meningkatkan kajian dan inovasi bagi pencegahan penyakit Tibi.

Bersamalah kita bersatu tenaga membanteras Tibi dinegara kita.

BACA INI JUGA: Awas! Shisha 400 Kali Lebih Bahaya Dari Rokok!

sumber: bernama

2 Tebusan Abu Sayyaf Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan!

2 Tebusan Abu Sayyaf Rakyat Malaysia Berjaya Diselamatkan!

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan dua daripada lima rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf sejak Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina dalam satu operasi di selatan republik itu awal pagi (23.3.2017).

Tayudin Anjut dan Abdul Rahim Summas
Tayudin Anjut (kiri) dan Abdul Rahim Summas.

Komander Esscom, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dua tebusan itu adalah Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, iaitu kru kapal tunda Serudong Tiga yang diculik oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai lalu.

BACA: INFO TERKINI PENCULIKAN ABU SAYYAF DI SABAH

"Saya mendapat pengesahan daripada pihak tentera Filipina bahawa dua tebusan culik warga Malaysia berjaya diselamatkan dalam satu operasi

"Setakat ini, kita masih berhubung dan berurusan dengan pihak keselamatan Filipina mengenai perkara ini," katanya kepada Bernama.

Ditanya lanjut mengenai lokasi terkini Tayudin dan Abdul Rahim, beliau berkata kedua-dua mangsa masih berada di kem tentera di Filipina untuk menjalani proses tertentu.

"Ada proses tertentu (tidak boleh didedahkan), itu perkara biasa dan yang penting mereka selamat," kata Wan Abdul Bari.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan oleh bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Sehingga kini, tiga lagi warga Malaysia masih ditahan pengganas Abu Sayyaf iaitu Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, yang juga kru kapal tunda Serudong Tiga.

Sementara itu, Gustia Sultan, 47, isteri Tayudin masih belum mendapat maklumat berhubung pembebasan suaminya daripada mana-mana pihak termasuk pasukan keselamatan.

"Saya belum lagi dihubungi sehingga ini, hanya mengetahui perkara ini daripada media...tetapi saya sangat bersyukur mengenai berita pembebasan ini, saya gembira dan terharu," katanya. -sh

UPDATE (27/3/2017)

Tiga lagi rakyat Malaysia diculik Abu Sayyaf diselamatkan

TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengesahkan tiga lagi rakyat Malaysia yang diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven, Lahad Datu, pada Julai tahun lalu, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, diselamatkan dalam satu operasi di perairan Sulu, kata Komander Esscom Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid.

"Itu saja yang boleh saya sahkan setakat ini, mereka telah diselamatkan," katanya kepada Bernama namun enggan mengulas lanjut.

Bernama difahamkan ketiga-tiga mangsa dibawa ke kem tentera Filipina.

Khamis lepas (24/3/2017), dua rakan mereka yang turut menjadi mangsa culik, Tayudin Anjut, 46, dan Abd Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina.

Tayudin dan Abd Rahim Summas kini berada di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian 18 Julai lalu, lima rakyat Malaysia diculik kumpulan Abu Sayyaf selepas kapal tunda Serudong 3 yang dinaiki mereka, ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di perairan Dent Haven di Lahad Datu. -aa

BACA INI JUGA: RM12 Juta Untuk Bebaskan 4 Mangsa Culik Abu Sayyaf!

-SENTIASAPANAS.COM

500 Juta Penduduk Dunia Tiada Air Bersih!

500 Juta Penduduk Dunia Tiada Air Bersih!

Ratusan juta penduduk di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada air bersih, dengan lebih setengah bilion daripada mereka tinggal di kawasan luar bandar, menurut laporan badan kebajikan WaterAid.

Air+Kotor

Menurut laporan bertajuk, Wild Water yang dikeluarkan sempena Hari Air Sedunia 2017, 663 juta orang di seluruh dunia masih hidup tanpa air bersih pada hari ini, di mana 522 juta tinggal di luar bandar.

Laporan menyebut, bencana cuaca melampau akibat perubahan iklim termasuk taufan, banjir dan kemarau berpanjangan membuatkan keadaan lebih sukar untuk negara paling terdedah dengan akses air selamat.

"Dijangkakan lebih 40 peratus daripada penduduk global mungkin tinggal di kawasan di bawah tekanan air yang teruk pada tahun 2050," menurut laporan itu.

Papua New Guinea, Mozambique dan Madagascar adalah antara negara paling teruk dan berada di kalangan 20 peratus daripada negara paling terdedah kepada perubahan iklim serta kurangnya kesediaan untuk menyesuaikan diri.

WaterAid turut menggesa kerajaan memberi keutamaan dan membiayai projek kebersihan air bagi membantu negara miskin menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Air Sedunia, World Water Day

sumber: sh

Thursday, March 23, 2017

5 Fakta Pramugara AirAsia X Yang Viral Selepas Menari Persis Britney Spears

5 Fakta Pramugara AirAsia X Yang Viral Selepas Menari Persis Britney Spears

Nama Assraf Nasir terus menjadi popular apabila video beliau menari persis Britney Spears viral di media sosial.

Assraf Nasir

Kru kabin kepada syarikat penerbangan tambang murah perjalanan jarak jauh AirAsia X mengakui video itu pada mulanya hanya untuk tontonan rakan-rakan sebelum ianya dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes di media sosial.

Video yang dimuat naik di Instagram itu memaparkan Assraf Nasir, menari lagak penyanyi pop antarabangsa. Britney Spears dalam video muzik lagu ’Toxic’.

Gaya Assraf saling tak tumpah seiras Spears, yang melakonkan watak seorang anak kapal pesawat di dalam video muzik tersebut yang popular sekitar tahun 2004.

Video itu dikongsi oleh 9gag di akaun Instagram mereka pada Ahad, dan ia terus menerima lebih dari 35,000 komen dan jumlah tontonan melebihi enam juta.

Setelah ia menjadi viral dan dikongsi oleh laman antarabangsa seperti Mashable dan The Huffington Post, adakah Assraf akan menghasilkan video lain?

Berikut adalah 5 perkara anda perlu tahu tentang Assraf dan video ‘Toxic’ yang dihasilkan beliau.

1. Mempunyai latar belakang dalam seni tarian

Assraf berkata beliau merupakan seorang penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dari tahun 2007 hingga 2009.

“Saya kemudian menari secara profesional seperti untuk Puteri Gunung Ledang The Musical Season 3, dan pernah menjadi penari untuk sebuah konsert Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Beliau mula bertugas bersama AirAsia X pada Julai 2016 kerana turut berminat untuk menjadi seorang kru kabin.

“Antara maafaat adalah diberi peluang untuk melihat satu dunia,” katanya.

2. Video dirakam dalam masa 15 minit sahaja

Percaya atau tidak, video ’Toxic’ itu dirakam dalam masa 15 minit ketika pesawat itu dalam transit di Taipei dan selepas melalui proses pembersihan pesawat.

“Saya sudah tahu babak apa yang ingin dirakam dan saya suruh rakan setugas saya rakam video itu.

“Ia dibuat untuk berseronok sahaja. Kami gelak-gelak ketika merakam video itu,” katanya.

3. Gementar apabila Tony Fernandes tahu tentang video itu

Assraf berkata video yang dirakam di dalam pesawat itu dihasilkan secara suka-suka dan tidak pernah dimuat naik di media sosial sebelum ini.

Katanya, ia juga untuk tontonan rakan-rakan terdekat sahaja jadi beliau gementar apabila mendapat tahu bahawa Tony tahu tentang video itu.

“Tan Sri Tony Fernandes tahu video itu dari seorang eksekutif kru kabin apabila saya kongsi video itu dengan rakan setugas.

“Pada awalnya saya memang risau kerana takut akan didenda kerana kelihatan seperti sedang bermain. Namun eksekutif kru kabin itu berkata Tan Sri Tony suka benda-benda seperti ini.

"Selepas itu baru saya dapat tahu bahawa beliau kongi video itu di laman Instagram beliau,” katanya.

4. Tidak sangka video akan tular satu dunia

Pramugara berusia 29 tahun itu memang tidak sangka video itu akan tular di media sosial bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

Malah, laman web seperti 9gag, Mashable dan The Huffington Post turut kongsi video itu.

“Secara jujurnya saya memang tidak sangka ia akan jadi seperti ini.

"Setelah video itu tular, saya terima pelbagai komen... ada yang positif dan ada yang negatif. Tetapi saya fokus kepada yang positif sahaja," kata Assraf.

5. Tiada lagi video selepas ini

Assraf tiada perancangan untuk menghasilkan apa-apa video lagi selepas ini.

“Cukup dengan satu video ini sahaja," jelasnya.

Dalam pada masa yang sama, beliau akui selesa bekerja di AirAsia kerana syarikat itu benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka.

“Kerja tidak semestinya perlu serius sepanjang masa. Kita boleh berseronok juga.

“Malah, AirAsia boleh menjadi contoh kepada syarikat lain dimana mereka benar-benar menghargai bakat kakitangan mereka,” jelas Assraf mengakhiri perbualan.

BACA INI JUGA: 10 Pramugari AirAsia Malaysia Paling Cantik

sumber: aa