Thursday, July 28, 2016

Senarai Filem Wajib Tonton Julai 2016!

Senarai Filem Wajib Tonton Julai 2016!

Kami sajikan kepada pembaca sekalian senarai filem-filem wajib tonton sepanjang bulan Julai ini!

Jason Bourne
Tarikh Tayangan: 28 Julai 2016

Jason Bourne

Matt Damon kembali dengan watak sebagai Jason Bourne/ David Webb dalam filem kelima di mana lebih banyak persoalan akan dijawab.

Skiptrace
Tarikh Tayangan: 21 Julai 2016

Skiptrace

Bennie Black adalah seorang detektif Hong Kong yang dalam misi mengesan ketua penjenayah Victor Wong sejak lebih sedekad yang lalu.

Apabila anak saudaranya Samantha terbabit dengan sindiket jenayah Wong, Bennie meminta pertolongan daripada seorang kaki judi Amerika bernama Connor Watts.

Kedua-dua mereka kemudian terlibat dalam satu pengembaraan berisiko tetapi menyeronokkan untuk menyelamatkan Samantha.

Star Trek Beyond
Tarikh Tayangan: 21 Julai 2016

Star Trek Beyond

Filem ketiga ini diarah buat pertama kalinya oleh Justin Lin. Ia mengambil tempat selepas dua buah filem terdahulu, di mana kali ini ia akan menyaksikan pasukan USS Enterprise melakukan penerokaan lebih jauh di angkasa lepas.

Kabali
Tarikh Tayangan: 22 Julai 2016

Kabali

Seorang gangster di Chennai, Kabaliswaran, cuba menyelamatkan dan melindungi buruh-buruh India yang bekerja keras untuk terus hidup di negara-negara Asia Tenggara.

Ghostbusters
Tarikh Tayangan: 14 Julai 2016

Ghostbusters

Erin Gilbert dan Abby Yates menulis sebuah buku tentang kewujudan hantu-hantu. Beberapa tahun kemudian, Erin menjadi seorang pensyarah di Universiti Columbia tetapi apabila bukunya kembali ditimbulkan, dia menjadi bahan jenaka di universitinya.

Bagaimanapun, apabila hantu-hantu mula menakluk bandar Manhattan, membuktikan kepercayaannya adalah benar, Erin kembali berkerjasama dengan Abby dan juga seorang jurutera nuklear, Jillian Holtzmann, serta pekerja keretapi, Patty Tolan, untuk menyelamatkan dunia daripada syaitan berkuasa bernama Rowan.

Selamat menonton!

BACA INI JUGA: 6 Watak Superhero Yang Bukan Lagi Hak Milik Marvel

Sumber: Cinema.com.my

Wednesday, July 27, 2016

Dari Mana Datangnya Api Misteri Yang Membunuh Phyllis?

Dari Mana Datangnya Api Misteri Yang Membunuh Phyllis?

Akhbar Daily Telegraph dalam terbitannya pada 20 September 1938 turut menyiarkan satu kejadian pelik yang berlaku beberapa hari sebelum itu.

Phyllis Newcombe

Kejadian pelik itu ialah tentang seorang gadis bernama Phyllis Newcombe, 22, yang tiba-tiba terbakar ketika sedang menari di Dewan Chelmsford Shire, Essex, England.

Laporan berita itu menyebut, ketika Phyllis sedang berpusing-pusing sambil memegang tangan tunangnya, api tiba-tiba muncul lalu membakar pakaian gadis tersebut.

Tunang gadis itu cuba memadamkannya namun tidak berjaya dan Phyllis hangus di depan mata semua yang berada di dalam dewan tersebut.

Kematian Phyllis sehingga kini terus menjadi misteri kerana polis gagal menemui punca dari mana datangnya api tersebut.

Koroner L.F Beccles yang terlibat melakukan post-mortem ke atas mayat Phyllis dilaporkan oleh Daily Telegraph sebagai berkata, "Sepanjang karier, saya tidak pernah bertemu dengan kes yang sepelik ini."

BACA INI JUGA: Mimpi Aneh Seorang Pendosa Dipanggang Api Neraka!

-SENTIASAPANAS.COM

5 Tips Pilih Blouse Labuh Untuk Wanita Bertudung

5 Tips Pilih Blouse Labuh Untuk Wanita Bertudung

Pemakaian seseorang itu boleh melambangkan siapa dirinya. Tidak dinafikan ramai wanita yang ambil mudah tentang penampilan mereka, sedangkan ia amat penting untuk keperibadian diri mereka sendiri. Jadi jangan ambil mudah ya!

5 Tips Pilih Blouse Labuh Untuk Wanita Bertudung

Mahu tak mahu, wanita sebenarnya perlu bijak memilih pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh mereka, perwatakan dan juga kawasan persekitaran.

Blouse labuh tidak terkecuali menjadi kegemaran ramai wanita pada masa kini. Untuk itu, anda perlu tahu jenis-jenis blouse labuh yang semakin trendy dan mampu membuatkan anda tampil lebih menawan sekalipun anda mengenakan hijab.

Ketahui jenis-jenis blouse labuh yang mampu mengubah penampilan anda menjadi lebih menawan.

Jenis-Jenis Blouse Labuh

1. Blouse labuh berbutang di hadapan

Blouse labuh jenis ini sangat popular di kalangan orang muda dan juga yang sudah berusia. Ia sangat sesuai jika dipakai untuk ke pejabat ataupun santai.

Blouse labuh ini mempunyai pelbagai corak dan fabrik. Anda perlu bijak memilih warna dan corak yang sesuai dengan tona kulit anda serta pemilihan fabrik yang selesa adalah sangat penting.

2. Blouse labuh berbutang belakang

Blouse labuh yang berbutang di belakang biasanya mempunyai corak yang padat di bahagian depan. Corak yang ingin ditonjolkan akan lebih terserlah tanpa butang dihadapan.

Terdapat pelbagai jenis potongan blouse labuh termasuklah yang mengikut bentuk badan ataupun yang longgar.

3. Blouse labuh paras bawah pinggul

Bagi yang memiliki pinggul yang besar, anda bolehlah mencuba blouse labuh jenis ini. Hal ini adalah kerana blouse labuh dapat menyembunyikan aset anda dari tersembur keluar dan kelihatan tidak cantik. Terdapat pelbagai jenis corak ataupun kain bagi blouse jenis ini.

4. Blouse labuh paras lutut

Buat pengetahuan anda, blouse labuh jenis ini bukan sahaja boleh digayakan bersama seluar malah anda boleh memperbagaikan gaya dengan memakai kain labuh atau skirt kembang.

Blouse labuh jenis ini sangat sesuai bagi anda yang memilik perut yang besar dan pinggul yang lebar. Pemakaian blouse labuh dapat memberi ilusi badan kelihatan kurus dan tirus.

5. Blouse labuh bertingkat

Potongan peplum digunakan untuk menjahit blouse labuh bertingkat. Blouse labuh ini menutup bahagian bawah badan anda seperti pinggul dan paha.

Anda tidak perlu risau lemak-lemak di bahagian tubuh akan terbonjol keluar kerana potongan blouse labuh ini menepati citarasa peminat blouse yang mempunyai tubuh badan yang sedikit gempal.

6. Blouse labuh Muslimah

Wanita Muslimah sangat sukakan blouse labuh selain ia selesa untuk dipakai kemana sahaja. Potongan blouse labuh Muslimah biasanya agak besar dan lebar dan berlengan panjang.

Anda boleh mempelbagaikan gaya blouse Muslimah dengan menggabungkan warna blouse labuh bersama seluar atau pun kain.

7. Blouse labuh menyusu

Kini para ibu yang menyusu anak boleh bergaya sama seperti wanita lain. Blouse labuh menyusu ini sangat fleksibel kerana ia direka khas bagi memudahkan si comel anda untuk menyusu.

8. Blouse labuh bagi ibu mengandung

Wanita mengandung tidak terhad dengan hanya memakai baju mengandung. Kini blouse labuh direka khas sesuai dengan saiz kandungan dan memudahkan pergerakan ibu mangandung.

Tips memilih blouse labuh untuk wanita bertudung:
  • Teliti jenis fabrik yang digunakan. Selain selesa untuk dipakai, ada beberapa perkara lain yang perlu diambil kira antaranya ialah kain yang nipis atau melekat apabila dipakai. Blouse labuh jenis ini adalah tidak sesuai untuk wanita bertudung.
  • Elakkan blouse labuh yang mempunyai warna yang terlalu terang. Warna yang terang bukan sahaja sakit dipandang mata malah ianya tidak sesuai dipakai sehari-hari dan bimbang jika anda menjadi tumpuan ramai.
  • Pilih blouse labuh yang tidak mempunyai corak kerawang kerana biasanya kerawang yang dijahit pastinya berlubang-lubang.
  • Pilihlah blouse labuh yang berlengan panjang supaya ianya sesuai dengan penampilan anda yang bertudung.
  • Gayakan blouse labuh dengan tudung yang sesuai bersama seluar atau skirt yang tidak ketat.

BACA INI JUGA: Koleksi Pakaian SweetMuslimah Murah Dan Berkualiti

Sumber: Wom

Haram Isteri Melayani Lelaki Lain Melebihi Suami Sendiri

Haram Isteri Melayani Lelaki Lain Melebihi Suami Sendiri

Hukumnya haram bagi seorang wanita melayani lelaki lain melebihi suami sendiri, walaupun lelaki itu sebagai tetamu dan suami ada bersama.

Isteri terlalu mesra dengan lelaki lain
Gambar hiasan.

Perbuatan itu bukan sahaja bertentangan dengan etika dan adab Islam, ia juga boleh menjadi punca hilangnya kasih daripada suami terhadap isterinya.

Dan jika perbuatan itu berterusan, ianya boleh menyebabkan suami tawar hati sehingga akhirnya mencetuskan pergaduhan dan perceraian.

Memang wajar sekali suami menaruh perasaan cemburu di dalam situasi sedemikian.

Persoalannya, apa perlunya seorang isteri perlu melayani tetamu terlalu mesra melebihi layanan suami sendiri.

Adakah isteri tersebut tidak memahami ajaran Islam khususnya mengenai akhlak dan adab Islam?

Justeru adalah menjadi tanggungjawab suami untuk mendidik isteri memahami dan menghayati ajaran Islam, terutamanya adab sopan dalam rumah tangga, menghormati suami, serta mengelakkan perbuatan dan tingkah laku yang boleh menyinggung hati suami.

Memang menjadi suatu kewajipan memuliakan tetamu (terutama yang dari jauh) dengan menyediakan makan minum dan tempat istirehatnya dalam tempoh tiga hari.

Manakala tanggungjawab seorang isteri terhadap tetamu ialah memadai dengan menyediakan makan minum tetamu itu. Untuk menyajikannya, serahkan kepada suami.

Wanita tidak perlulah turut berbual mesra dengan tetamu lelaki walaupun suami ada bersama, kecuali tetamu mahram atau saudaranya yang terdekat.

Hak tuan rumah yang harus diberikan oleh tetamu pula ialah menghormati tuan rumah dan menjaga adab sopan.

Seorang tetamu juga dilarang sama sekali menyinggung perasaan tuan rumah.

Jika dikhuatiri boleh membawa fitnah, hendaklah segera pulang.

BACA INI JUGA: 5 Perkara Yang Suami Mahukan Ketika Di Ranjang!

-SENTIASAPANAS.COM

Cuepacs Bantah Skim Pencen Baharu, Penjawat Awam Perlu Bayar Sendiri!

Cuepacs Bantah Skim Pencen Baharu, Penjawat Awam Perlu Bayar Sendiri!

Cuepacs membidas cadangan pemansuhan skim pencen sedia ada yang mana penjawat awam sendiri perlu membuat sumbangan ke dalam tabung persaraan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Pencen+Bakal+Dimansuh

Menurut Cuepacs, KWAP tidak berhak membuat keputusan itu kerana hak penjawat awam dijamin Perlembagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad dipetik akhbar TheSun membayangkan cadangan itu di mana penjawat awam menyumbang sendiri ke dalam KWAP, sama seperti pekerja swasta yang menyumbang ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Wan Kamaruzaman dilaporkan berkata skim pencen semasa penjawat awam yang dipanggil ‘manfaat pasti’ agak sukar untuk dikekalkan dan alternatif yang ada ialah skim jenis KWSP yang digelar ‘sumbangan pasti’.

Menerusi skim sekarang penjawat awam tidak perlu membuat caruman sendiri sebaliknya ia dibayar oleh majikan termasuk badan berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ianya membolehkan mereka mendapat separuh daripada gaji terakhir untuk seumur hidup setelah bersara pada usia 60 tahun, dan terus disumbangkan kepada pasangan selepas mereka meninggal dunia.

Skim pencen sedia ada membuatkan kerajaan menanggung liabiliti sehingga RM300 bilion malah Perdana Menteri Najib Razak pernah mengakui ianya sukar dikekalkan untuk jangka panjang.

Menerusi skim ‘sumbangan pasti’ kerajaan dapat mengurangkan bebanan bagi liabiliti pencen yang sentiasa bertambah, jelas Wan Kamaruzaman.

KWAP yang beroperasi di Cyberjaya, mengendalikan operasi pencen penjawat awam setelah kesemua jabatan pencen awam yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diserap di bawahnya sejak November 2015.

Selain itu pengubahsuaian yang dibuat ke atas Akta Dana Persaraan 2007 awal tahun lepas turut menyaksikan KWAP mengambil alih operasi pembayaran pencen bulanan kepada 700,000 pesara kerajaan.

BACA INI JUGA: Kenapa Kerajaan Beriya-iya Menyertai TPPA? Kenapa Kita Bantah?

Video Hafiz Menangis Ketika Tilawah Al-Qur'an Cetus Keinsafan

Video Hafiz Menangis Ketika Tilawah Al-Qur'an Cetus Keinsafan

Satu video yang memaparkan seorang hafiz kanak-kanak sedang membaca Al-Qur'an di hadapan juri kini viral di media sosial Indonesia.

Video Hafiz Menangis

Video tersebut mencetuskan rasa terharu dan keinsafan orang ramai khususnya umat Islam apabila melihat perilaku kanak-kanak lelaki tersebut yang menangis tatkala membaca Al-Qur'an.

Kanak-kanak tersebut pada awalnya lancar membaca Surah Al-Jumu'ah, namun tiba-tiba memperlahankan suaranya pada ayat 8 dan menangis teresak-esak.

Kanak-kanak itu menangis bukan kerana tidak menghafaz ayat seterusnya, tetapi kerana memahami makna ayat ke-8 Surat Al-Jumu'ah tersebut.

Ayat ke-8 Surah Al-Jumu'ah berkisarkan tentang kematian, bahawa semua yang hidup akan dikembalikan kepada Allah.

“Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”

Subhaanallah..

BACA INI JUGA: 7 Sebab Kenapa Dr. Zakir Naik Ditakuti Barat!



Sumber: Mynewshub.cc

Video Datuk Red Nyanyi Lagu ‘Madu 3’

Video Datuk Red Nyanyi Lagu ‘Madu 3’

Dikala dirinya dihimpit dengan kontroversi panas gara-gara video mesranya bersama pelakon baharu Ruhaianies tersebar, ahli perniagaan ini masih lagi boleh bertenang dan bergembira.

Video Datuk Red Nyanyi Lagu ‘Madu 3’

Malah, Datuk Red langsung tidak berselindung kepada media, sebaliknya tidak henti-henti tampil dengan pelbagai kenyataan hinggakan namanya menjadi trending di laman sosial sejak hujung minggu lalu.

Apa yang lebih mengejutkan ramai, Datuk Red sempat memuat naik video menyanyikan lagu ‘Madu Tiga’ di laman Instagram iaitu sehari selepas video mesranya bersama Ruhaianies menjadi viral.

Lirik lagu Madu Tiga yang mempunyai bait-bait, “Isteri tua merajuk.. Balik ke rumah isteri muda.. Kalau dua-dua merajuk..Ana kawin tiga! Mesti pandai pembohong.. Mesti pandai temberang.. Oh tetapi jangan sampai.. Hai pecah tembelang!” ternyata membuat netizen ‘kepanasan’ apabila Datuk Red menyanyi.

Minggu lalu, Ruhainies Dakwa Diperangkap Suami Adira Selepas Kantoi Berpegangan Tangan, apabila video menyaksikan Datuk Red bersama Ruhainies tersebar di sebuah pusat beli-belah menjadi viral.

Datuk Red dalam satu kenyataan mengakui menyukai heroin Hello, Mr Perfect! itu dan bersedia menjadikannya isteri kedua seandainya ada jodoh.

Adira Hamil

Adira Hamil

Walaupun suaminya, Datuk Seri Adnan Abu dikaitkan kontroversi dengan seorang pelakon baharu, Ruhainies, namun penyanyi Adira Suhaimi tidak menyimpan dendam terhadap pelakon tersebut.

Malah mengenai video aksi mesra suaminya dan Ruhainies, Adira hanya menyerahkan kepada yang terlibat untuk menyelesaikannya.

Memetik Berita Harian, Adira berkata, “Hati isteri mana yang tidak emosi berhadapan insiden sebegini.

"Sejujurnya saya terguris dan meminta ruang untuk menenangkan fikiran. Saya tidak mahu membuat kenyataan dalam keadaan marah.

“Apa pun saya tidak menyimpan dendam terhadap Ruhainies kerana dia sudah menjelaskan perkara sebenar. Mengenai video itu, biarlah mereka menyelesaikannya sendiri.

“Cuma diharap jangan kaitkan video berkenaan dengan rumah tangga saya. Cukup-cukuplah dengan kenyataan demi kenyataan.

"Sepatutnya hal dalaman keluarga diselesaikan secara berbincang. Tidak perlu dihebahkan kepada orang luar,” katanya.

Dalam pada itu, Adira turut mengakui bahawa dia kini sedang hamil berdasarkan pemeriksaan kit kehamilan yang dilakukan di rumah.

“Memang benar saya kini hamil dua minggu. Tetapi saya belum dapat pengesahan doktor sebaliknya hanya mengagak usia kehamilan berdasarkan kiraan sendiri.

"Ujian pun saya buat sendiri selepas membeli kit kehamilan,” ujarnya.

BACA INI JUGA: 'Kini Adira Rasa Apa Yang Saya Rasa..'



Sumber: Mynewshub.cc

Benarkah Siasatan DOJ Konspirasi Untuk Menjatuhkan Kerajaan Malaysia?

Benarkah Siasatan DOJ Konspirasi Untuk Menjatuhkan Kerajaan Malaysia?

Isu kontroversi 1MDB telah melihat seorang bekas menteri kabinet, seorang menteri besar dan seorang ketua parti pembangkang mengeluarkan kenyataan yang sangat sangat mengelirukan dan tidak tepat.

1MDB STOLEN MONEY

Mereka menyatakan penyiasatan kes 1MDB oleh kerajaan asing adalah campur tangan kuasa luar untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia. Marilah kita merenung secara rasional situasi sebenarnya.

Kepada bekas menteri kabinet itu, saya ingin tekankan di sini apabila kes NFC yang melibatkan pemimpin tinggi dan pinjaman beratus juta yang tidak digunakan untuk penternakan lembu, kerajaan Amerika tidak menyentuh langsung isu tersebut kerana tiada kaitan dengan mereka.

Kerajaan Singapura terpaksa memberi kerjasama siasatan kerana sebahagian dari wang tersebut telah dilaburkan di Singapura.

Kes ini dalam proses perbicaraan. Tidak timbul kerajaan Singapura nak jatuhkan mana-mana pemimpin.

Dalam kes 1MDB, ia melibatkan berbillion billion ringgit wang rakyat yang di bawa keluar dari Malaysia ke Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, kepulauan Caymans dan juga Hong Kong dengan cara haram yang melibatkan penggubalan wang secara haram (money laundering).

Pada tahun 2015, Malaysia sendiri telah membawa pindaan rang undang-undang penggubalan wang haram di Parlimen untuk memperketatkan undang-undang tersebut. Kita sendiri mengakui penggubalan wang haram adalah salah.

Negara-negara lain juga mempunyai undang undang mereka tentang aktiviti penggubalan wang haram.

Apabila 1MDB telah membawa wang dan melabur secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland mereka terpaksa menyiasat kes kes tersebut kerana menjaga reputasi dan nama baik institusi kewangan mereka sendiri.

Kalau 1MDB hanya mengedar atau melabur secara haram di dalam Malaysia sahaja, tiada sebab atau kuasa mereka hendak menyiasat kes dalam Malaysia.

Tetapi isu dan masalahnya, 1MDB menjalankan aktiviti secara haram di Amerika, Singapura dan Switzerland, dan kerajaan mereka wajib menyiasat kesalahan di bumi mereka.

Tiada apa apa konspirasi di sini yang mereka melanggar kedaulatan undang undang kita. 1MDB yang melanggar undang undang di negara mereka. Ini kita perlu faham dan jangan kelirukan rakyat.

Singapura terpaksa menutup Bank BSI mereka sendiri, menangkap pengurus-pengurus mereka dan merampas harta 1MDB kerana kesalahan isu berkaitan 1MDB di Singapura.

Bekalan air

Tiada sebab Singapura hendak berkonspirasi terhadap Malaysia apabila mereka bergantung begitu besar terhdap bekalan air kita, pekerja kita dan sedang berunding membina keretapi laju yang akan banyak menguntungkan Singapura.

Ini isu melanggar undang-undang Singapura.

Sebuah syarikat dari Abu Dhabi pula telah menuntut hutang 1MDB melalui Mahkamah Timbangtara Antarabangsa kerana 1MDB gagal membayar hutang mereka.

Adakah kita hendak tuduh Abu Dhabi, sebuah negara Islam, juga terlibat dalam konspirasi terhadap Malaysia.

Isunya ialah hutang 1MDB yang di ketuai oleh Datuk Seri Najib Razak, bukan negara Malaysia yang hendak dihukum.

Switzerland terkenal sebagai negara berkecuali yang tidak pernah terlibat bermain politk antarabangsa dalam sejarahnya, menyiasat 1MDB kerana ingin menjaga nama baiknya sebagai pusat perbankan dunia terbaik kerana aktiviti mencurigakan 1MDB di Swizerland.

Kembali kepada Amerika pula. Barack Obama adalah rakan golf akrab Najib yang telah dua kali melawat Malaysia dalam setahun.

Di Parlimen kita telah diberitahu olih seorang bekas menteri pertahanan Malaysia yang Amerika sedang berunding dengan Malaysia untuk membina perlabuhan tentera di Sabah bagi menghadapi ancaman negara China.

Dengan kes mahkamah antarabangsa oleh Filipina baru-baru ini terhadap China tentang kedaulatan Lautan Cina Selatan, yang menimbulkan ketegangan serantau ASEAN, mengapa Amerika hendak berbalah politik dengan Malaysia?

Topik panas

Ini semua tidak masuk akal melainkan ianya semata-mata isu perundangan kewangan antarabangsa berkaitan penggubahan wang haram yang amat serius.

Marilah kita menggunakan ilmu pengetahuan melalui penyelidikan dan bukan emosi sebelum membuat anggapan tidak munasabah yang mengelirukan rakyat dan mengalih pandangan dari isu sebenarnya.

Negara kita menghadapi masalah kepercayaan dan kredibiliti yang amat serius sekarang.

Saya baru pulang dari luar negara dan isu 1MDB dan Najib adalah topik panas utama di luar sana. Rakyat Malaysia di luar negara dihujani pelbagai soalan dan cemuhan kerana isu 1MDB.

Yang amat melucukan adalah kenyataan dari bekas menteri wanita tadi bahawa campur tangan kuasa asing akan menyebabkan Malaysia menjadi seperti Iraq - yang dijajah!

Soalan kami berapa titik sahajalah rezab minyak Malaysia kalau dibanding dengan sumber Iraq, Arab Saudi atau Amerika sendiri?

Lagi pun bukankah perdana menteri Malaysia di antara kalangan kroni-kroni Amerika?

Pada tahun ini saya sendiri telah menyoal di Parlimen mengapa Malaysia menyertai latihan tentera - “ Northern Thunder” di Arab Saudi yang disertai oleh semua kroni Amerika dari negara Arab dan Afrika sahaja?

Kerana ingin mengambil hati Amerika, Malaysia sanggup "menyelit" dan merupakan negara tunggal yang bukan dari Arab dan Afrika dalam latihan tersebut.

Najib sendiri telah melawat tentera Malaysia semasa latihan tersebut. Patutlah Obama sayang pada Najib dan melawat Malaysia dua kali dalam setahun.

Presiden Amerika terakhir melawat Malaysia sebelum itu adalah Presiden Johnson pada tahun 1960an - iaitu hampir 50 tahun dahulu!

Apabila kita mendengar seorang bekas menteri kanan kerajaan, seorang ketua parti pembangkang, dan terakhir, seorang menteri besar Umno menyatakan isu 1MDB ini adalah usaha kuasa asing hendak menjatuhkan kerajaan Malaysia, cuba kita fikirkan dari mana datangnya logik analisis mereka!

Emosi

Saya mohon mereka cuba asaskan teori mereka dari fakta-fakta yang nyata serta kukuh dan bukan dari emosi!

Kami boleh memahami kenapa bekas menteri kanan dan menteri besar membuat kenyataan demikian kerana ia berasakan emosi dan sentimen kepartian. Tetapi susah kita hendak memahami kenapa seorang ketua parti pembangkang membuat kenyataan yang sama!

Cuba kita renungkan, mengapa tiada bantahan dan tuduhan mencabul kedaulatan atau campur tangan kuasa asing – Amerika dibuat oleh mereka ini semasa perkara-perkara tersebut di bawah berlaku:-
  • Latihan beribu-ribu tentera Amerika di Terengganu beberapa tahun lalu.
  • Penggunaan pelabuhan Pelabuhan Kelang oleh Kapal Perang Amerika.
  • Cadangan pembinaan pelabuhan tentera Amerika di Sabah seperti pendedahan bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
  • Perjanjian TPPA yang akan menggunakan undang-undang negara asing - Amerika di Malaysia.

Adakah bantahan mereka ini untuk membela kedaulatan Malaysia atau untuk menyambung hayat pemerintahan Najib supaya terus berkuasa dan meneruskan salah guna kuasa dan memperkayakan golongan-golongan tertentu?

*Penulis adalah Raja Bahrin Shah, Ahli Parlimen Kuala Terengganu

BACA INI JUGA: Rakyat Bayar Hutang RM26.7 Bilion Jika Tuntutan IPIC-Aabar Berjaya!?

Sumber: Malaysiakini

Tuesday, July 26, 2016

Adi Putra Nafi Rampas Isteri Orang, Berundur Dari Dunia Hiburan!

Adi Putra Nafi Rampas Isteri Orang, Berundur Dari Dunia Hiburan!

Pelakon Adi Putra, 35,  menafikan dia telah merampas isteri orang untuk berkahwin kali kedua., bagaimanapun mengakui dia mengenali isterinya itu ketika masih berstatus isteri orang.

Adi Putra Kahwin Kali Kedua

Malah mereka pernah keluar bersama sebelum ini dan Adi memberitahu dia tidak mengetahui masalah rumahtangga isteri kedua dengan bekas suaminya ketika itu.

"Ada yang mengandaikan saya perampas isteri orang. Itu hak masing-masing.

"Bukan semua manusia hendak jadi perampas. Cuba tanya dalam diri kita, siapa yang nak jadi jahat?

"Ada juga yang kata saya hanya suka dengan isteri orang.

"Saya akan lalui semua ini. Namun saya memaafkan mereka yang mengatakan saya seorang perampas," katanya

Adi berkata demikian pada satu sidang media khas bagi menjawab isu dia berkahwin dua yang tersebar sejak dua minggu lalu.

Aktor kelahiran Singapura membuat pengakuan dia berkahwin kali kedua dengan Norshahida Zolkifly, 33, pada 16 Jun lalu di kediaman wanita itu namun enggan mendedahkan lokasi majlis pernikahan mereka.

Adi berkata, dia mengenali isteri baharunya itu dalam tempoh lapan bulan lalu.

Ditanya dia berkahwin lagi kerana zuriat, Adi menolak tanggapan itu sekeras-kerasnya.

Tegasnya, dia dan isteri pertama, Aida Yusof, 41, tidak pernah berselisih faham walaupun tidak dikurniakan anak sejak berkahwin pada 2006.

"Zuriat itu adalah anugerah. Bukan macam hantar kereta ke bengkel.

"Saya dan Aida tidak pernah berselisih faham kerana anak. Semua itu rezeki Allah SWT," katanya yang turut menafikan perkahwinan kedua itu kerana bermotifkan perniagaan lapor MalaysiaGazette.

Adi Putra Undur Diri Dari Dunia Hiburan

Adi Putra Berundur Dari Dunia Hiburan

Setelah beberapa kontroversi melanda, Adi Putra mengumumkan hasrat untuk mengundur diri dari dunia hiburan.

Dipercayai apa yang dimaksudkan oleh aktor yang berasal dari Singapura ini adalah dia tidak lagi mahu aktif membintangi drama TV seperti dilakukannya sekarang.

Sebaliknya selepas ini Adi akan menumpukan perhatian kepada pembabitannya di layar perak sahaja.

Keputusan itu diambil hero Cinta Si Wedding Planner ini tidak ingin lagi terpalit dengan kontroversi dan gosip-gosip liar dan mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada kerjaya lakonan filem.

Menurut Adi, tidak banyak yang dapat dikongsikan olehnya mengenai kehidupan sekarang kerana masih terlalu baharu.

“Saya masih belum mahir dalam kehidupan berpoligami. Tapi setakat ini tiada apa-apa masalah,” ujarnya.

Jelas pelakon berusia 35 tahun ini, buat masa sekarang fokusnya tertumpu kepada tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga.

“Majlis resepsi, kalau diizinkan Allah, saya akan buat. Tapi itu hanyalah perancangan.

"Bagi saya, resepsi hanyalah sekadar adat dan budaya, apa yang penting sekarang, saya mahu laksanakan tanggungjawab dan kewajiban saya sebagai ketua keluarga,” jelasnya lapor Mynewshub.

BACA INI JUGA: Lelaki Atau Wanita, Siapa Paling Curang?

'Memang Sengaja Saya Pakai Lusuh Supaya Akhirnya Saya Tahu Siapa Sahabat Sejati'

'Memang Sengaja Saya Pakai Lusuh Supaya Akhirnya Saya Tahu Siapa Sahabat Sejati'

Pada suatu petang pada hari cuti, seorang sahabat saya mengajak saya untuk menemaninya ke kedai spare parts, saya dengan rela menemaninya. kami ke bandar klang. Usai membeli barangan dikehendaki.

Reunion

Dia mengajak saya menemaninya ke majlis reunion rakan sekolah rendahnya. sudah tentu saya keberatan kerana saya tidak mengenali sesiapa disitu dan saya juga berpakaian agak selekeh.

Dia mendesak dan saya tiada pilihan kerana saya menumpang keretanya. Dia berjanji hanya sekejap sahaja.

Di restoran berhawa dingin itu beberapa sahabat lamanya sudah mula datang dan berbual-bual didalam kelompok-kelompok kecil. di luar terdapat deretan kereta-kereta mewah. Dia masuk berjumpa mereka dan bertegur sapa.

Rata-rata mereka sudah tidak berjumpa atau bertegur sapa secara bersemuka selama puluhan tahun. Saya pula turut bersalam dan diperkenalkan sebagai anak saudaranya.

Apabila ditanya mengenai isteri dan anak-anak, sahabat saya menyatakan bahawa isteri dan anaknya terpaksa menghadiri kenduri jiran sebelah rumah.

Saya hanya menjadi pemerhati di majlis itu sambil menghabiskan makanan yang terhidang dan saya dapat perhatikan sahabat-sahabat satu sekolah ini terbahagi kepada pelbagai kelompok.

Ada kelompok guru, businessman, kakitangan kerajaan, suri rumah dan penyendiri. Sahabat saya disambut hambar oleh sahabatnya yang berstatus.

Mereka sekadar berjabat salam dan berbual bertanya khabar diri, keluarga, kerja dan kereta yang dipakai.

Ya, itulah soalan yang ditanya oleh rata-rata mereka di majlis tersebut.

"Woi, kau pakai kereta apa sekarang?"

Saya yang mendengar turut terasa jengkel. Ini perjumpaan sahabat sekolah atau perjumpaan show off kereta.

Lagi memualkan ada sahabatnya yang terang-terang bercerita perniagaannya yang besar, berkahwin dua, membeli pelbagai hartanah, ada pelbagai kereta mewah dan sering melancong ke luar negara.

Sahabat saya hanya banyak tersenyum dan menganggukkan kepala, tidak mahu merintang angin sahabatnya yang mendabik dada sudah menjadi orang ada-ada.

Dua jam berlalu, sahabat saya mengajak saya pulang. Dia menemui sahabatnya yang lain dan memberitahu terpaksa pulang untuk menyertai isterinya di kenduri jiran rumah mereka.

Rata-rata hanya bersalam dan kemudian terus berpaling berbual dengan sahabat yang lain, tidak mengendahkan sahabat saya lagi.

Hanya ada dua orang sahabatnya sahaja yang mengekori hingga ke kereta. Mereka masih berbual-bual kira-kira 20 minit dan bergelak ketawa.

Mereka bukan calang-calang orang, salah seorang adalah pengarah agensi kerajaan dan seorang lagi adalah ahli perniagaan.

Mereka berkekek ketawa bercerita tentang peristiwa melastik burung, memedap ikan puyu di paya dan dihambat jiran setelah mencuri durian.

Apabila ingin bersurai, saya tengok mereka berpelukan mesra dan saling bermaafan. Air mata mengalir di pipi masing-masing.

Di dalam kereta, saya bertanya sahabat saya itu kenapa dia tidak berpakaian cantik dan membawa kereta mewahnya.

Dia punyai kereta BMW, Mercedes, Honda, Toyota Hilux dan beberapa kereta lagi, tetapi wira buruk ini juga dibawanya.

Katanya, "Memang saya sengaja, saya nak tengok rupa sebenar sahabat-sahabat saya yang dahulu makan sepinggan dan susah senang bersama. Jadi, akhirnya saya tahu saya sebenarnya hanya ada dua orang sahaja sahabat yang masih anggap saya sahabat karib mereka. Sahabat tanpa syarat."

Saya diam dan termenung sendiri. Saya sedar bahawa rumah cuma tempat berteduh, kereta cuma alat pengangkutan, pakaian cuma alas diri.

Kita mampu memiliki dan menggantinya kesemuanya itu pada bila-bila masa bergantung kepada kemampuan dan pilihan yang ada ditangan kita.

Ternyata harta yang dikumpul dalam hidup telah memisahkan banyak persahabatan, namun jika hati masih ikhlas bersahabat tanpa syarat, persahabatan akan kekal hingga ke hujung nyawa.

BACA INI JUGA: 'Maafkan Abah Ya Sayang..'

Sumber: Siakapkeli/Izman Pauzi

Perompak Berkebajikan Tetap Perompak!

Perompak Berkebajikan Tetap Perompak!

A bayar ke B, B pula bayar ke C, C bayar ke D, dan D ialah kawan-kawan karib yang ada hubungan dengan pengurus besar A.

Perompak 1MDB

A dengan mudahnya menegaskan tiada salah laku dan tiada duit yang hilang. Bagi A, urusannya hanya dengan B, tak kisahlah sama ada B ini syarikat kosong ataupun tidak.

Pendek kata, apa yang B buat dengan duit A, bukan masalah A, walaupun duit yang dibayar ke B akhirnya pulang ke mereka yang rapat dengan pengurus besar A melalui C dan D.

Akhirnya yang berhutang hanyalah A. Pihak B, C dan D menikmati gaya hidup termewah di dunia.

Meskipun demikian, masih ada yang memuji bahawa syarikat A banyak membuat kebajikan. Namun, perompak berkebajikan tetap perompak.

Tidak perlu saya menamakan siapa syarikat A, sebagaimana "Malaysian Official 1”.

Apa yang berlaku hari ini?

Kegagalan agensi-agensinegara, ditambah dengan kongkongan kuasa politik yang menyebabkan ada sebilangan mereka yang terlibat dengan penyiasatan diberhentikan, telah membuat rakyat terasa negara tidak berupaya membongkar kes 1MDB.

Akibatnya, apabila ada negara lain yang sudi membongkar isu 1MDB, seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan juga negara-negara lain, rakyat terus mempercayai apa yang didedahkan penyiasatan mereka.

Jangan salahkan rakyat. Rakyat tiada pilihan kerana alasan-alasan yang bukan sahaja kurang logik malah tidak konsisten yang diberikan pihak berkuasa selama ini bercanggah dengan akal mereka.

AS mahu menjaga negaranya daripada dijadikan tempat mencuci wang haram, atau wang rompakan daripada negara lain.

Mereka yang dinamakan perlu menjawab di mana datangnya sumber kewangan mereka, apakah sumber itu halal dan telah dicukai?

Sekiranya jawapan ialah hadiah, maka siasatan akan dilakukan kepada si pemberi hadiah, di mana soalan yang sama akan ditanya, di mana datangnya sumber hadiah tersebut?

Semua ini akan disiasat berterusan sehingga lubuk, kerana masing-masing akan mencari jalan untuk menyelamatkan diri sendiri.

Sebagai contoh, bayangkan kalau tuduhan bahawa duit 1MDB disonglap sebagai modal perjudian beberapa individu terbukti betul?

Bukankah ini satu penghinaan sedangkan ramai rakyat yang sedang bergelut membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN)?

Namun begitu, ada yang was-was dengan siasatan DOJ, kerana sejarah dan sikap AS yang suka mencampuri urusan negara lain yang bermasalah dalaman. Apakah rasional pandangan ini terhadap isu 1MDB?

Walaupun begitu, jangan ada pihak yang mencemuh pihak yang was-was ini. Kebimbangan mereka terhadap sikap suka campur tangan kuasa asing khasnya AS ke atas negara umat Islam ada asasnya perlu diberi perhatian.

Kerana sejarah membuktikan permasalahan dalaman negara, penindasan dan kezaliman akan membuka ruang campur tangan asing.

Kerajaan yang bertindak zalim menyebabkan rakyat mula terasa ingin memberontak secara dalaman. Akan tetapi, dengan sistem demokrasi yang ditempangkan untuk menjaga kekuasaan kerajaan yang zalim, rakyat terasa tertekan dan hilang harapan untuk menukar kerajaan.

Ketika itu, kuasa asing akan mengambil kesempatan kerana sebarang bantuan yang datang akan disambut rakyat, termasuklah bantuan daripada pihak asing.

Presiden PAS di rumah hari tRaya terbuka PAS di Kedah menyebut bahawa:

"1MDB ini satu kes yang perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan. Jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan.

"Kalau pihak asing campur tangan, itu silap kita sendiri. Apa yang penting kes ini perlu disiasat dengan adil dan telus oleh kita sendiri, jangan biar sampai orang boleh campur hal kita. Itu bukan kerja PAS, itu kesilapan pihak berkenaan..."

Teguran beliau mudah. Beliau mendesak agar mereka yang berkuasa hari ini mengambil tindakan sewajarnya menyiasat 1MDB dengan sendiri supaya pihak asing tiada ruang untuk campur tangan.

Kalau pihak asing dapat campur tangan kerana kegagalan pihak berkuasa bertindak, dosa di tangan mereka yang berkuasa.

Penegasan presiden PAS dan beberapa pihak yang lain adalah peringatan penting bahawa sebarang campur tangan asing mesti dielak dalam apa jua kemelut yang berlaku dalam negara.

Saya dengan ini menyarankan agar Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersatu, dan menubuhkan satu suruhanjaya diraja yang turut dianggotai Majlis Raja-Raja bagi membuka balik segala siasatan terhadap 1MDB.

Kerajaan tidak harus berlengah lagi untuk menghidupkan suruhanjaya diraja ini, malah ia masih selari dengan seruan kenyataan Raja-Raja Melayu sebelum ini yang menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Kepada pihak berkuasa tempatan, jangan dibiarkan kesilapan-kesilapan kerajaan zalim di serata dunia sehingga menyebabkan negara tergadai berulang di Malaysia.

Hutang negara sudah pun mencecah RM847 bilion di 2015. Jangan biarkan keadaan ini melarat ke satu hari ini nanti, di mana Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menanti untuk menghulurkan bantuan.

Ketika itu, sudah terlambat bagi negara untuk menghalang campur tangan asing.

Kepada yang bimbang dengan campur tangan asing dalam isu 1MDB, penyelesaiannya mudah - bersatulah mendesak agar suruhanjaya diraja terhadap 1MDB dibuka dan teruskan desakan sehingga agensi-agensi berkuasa berani berdikari dan melakukan pendakwaan kepada mereka yang terlibat dalam merompak harta negara, dan berusahalah untuk membuat pengorbanan ke arah menukar kerajaan.

Nota: Penulis adalah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man timbalan presiden PAS.

BACA INI JUGA: 17 Senarai Aset Didakwa Dari 1MDB Akan Dirampas Jabatan Kehakiman AS?!

Sumber: Mkini