Wednesday, July 20, 2016

'Maafkan Abah Ya Sayang..'


Saya catatkan lembaran ini pada suatu malam, ketika Nini, anak tunggal kami sedang tidur di sofa, sambil menggenggam jari-jemarinya yang mulus.

Sayang Anak kita
Gambar hiasan.

Saya berkata, maafkan abah. Maaf kerana sebentar tadi ayah marah melihat kad kemajuan Nini banyak yang merah.

Maaf kerana tadi tangan abah berjalan, mulut abah bising dan seminit kemudian Nini lari ke kerusi sambil gosok tangan yang lebam, menangis tersedu-sedu.

Tadi, waktu termenung di beranda, bengang memikirkan prestasi pelajaran Nini yang teruk, tiba-tiba abah diburu rasa bersalah.

Dada abah sebak. Mengapa abah sekejam ini? Dimanakah letaknya fikiran abah? Lantas abah cepat-cepat mencari Nini.

Dan sekarang abah ada disebelah Nini kerana ingin menceritakan sesuatu yang baru sebentar tadi datang semula dalam ingatan abah, yang membuatkan abah insaf dan malu pada diri sendiri. Sayangnya Nini sudah terlelap.

Abah ingin ceritakan tentang Zirah. Cerita yang amat bermakna dalam hidup abah. Dengar ya sayang..

Zirah adalah jiran abah semasa kami tinggal di Johor Baharu. Kami sebaya, bersekolah sama, kelas pun sama.

Sejak kecil kami jarang berbual sebab Zirah suka menyendiri. Dia hanya berkawan dengan Shanti.

Nini, apa yang abah hendak ceritakan ialah, setiap petang abah dengar bapa Zirah menengking-nengking, kemudian abah dengar bunyi libasan tali pinggang, Zirah meraung.

Abah menggigil, abah menyorok balik pokok bunga depan rumah. Abah duduk diam-diam, pasang telinga.

Yang abah dengar ialah bapa Zirah menjerit 'bodoh', 'itu pun tak faham!', 'benak', 'bebal' dan kemudian Zirah ditampar. Bukan sekali, bukan dua kali..

Abah terus masuk rumah. Abah takut. Tentu Zirah kena marah sebab tak siap kerja rumah atau lambat membaca atau gagal ujian bulanan.

Pap! Pap! Bunyi tali pinggang hinggap dibadan Zirah, disusuli penampar. Zirah menangis. Esoknya lengan Zirah lebam-lebam. Tempatnya sama dengan lebam di lengan Nini.

Begitu juga petang lusa, tulat, langkat dan hari-hari seterusnya. Pada hari kami bawa kad kemajuan lagilah teruk keadaannya. Kalau Nini ada masa tu, tentu Nini pun kesian dengan Zirah.

Masih abah ingat, petang kami dapat keputusan peperiksaan darjah dua, abah dengar bunyi tali pinggang berbunyi berkali-kali.

Abah dengar suara ayah Zirah menjerit-jerit dan abah juga dengar bunyi penampar. Tak sanggup abah bayangkan macam mana kuatnya pukulan bekas seorang askar.

Abah kesian dengan Zirah. Kalau boleh, abah nak tolong dia. Bawa dia lari supaya tak dipukul lagi, tapi abah tak berdaya. Yang abah boleh buat cuma simpati, itu saja..

Nini.. itulah yang abah dengar setiap hari, tiap malam hingga Zirah kandas dalam Sijil Rendah Pelajaran.

Pun demikian, pukul, maki dan penampar masih tak berhenti. Kali ini sebab Zirah lambat kemas rumah, lambat masak tengah hari, lambat angkat baju di ampaian.

Ya Allah. Kau selamatkanlah Zirah.. itulah doa abah setiap kali dengan Zirah dipukul.

Kami tak berani tegur bapa Zirah yang kami panggil Pak Cik Melan. Dia bengis. Kami juga tak berani nak nasihatkan ibunya. Mereka tidak bercampur sangat dengan masyarakat.

Menjelang umur Zirah 16 tahun, abah tengok Zirah tidak lagi macam dulu. Mukanya monyok, tak hirau orang lain. Dia tidak ada keyakinan diri langsung.

Suatu pagi setahun dua kemudian, abah nampak Zirah berjalan hendak menyapu sampah di luar. Mata abah tidak berkelip.

Ya Allah, apa yang dah jadi pada Zirah? Mungkin kasar bahasa abah ini tapi ikhlas abah katakan, Zirah macam budak terencat akal!

Dari hari ke hari, keadaan Zirah kian teruk. Abah tidak dengar suaranya lagi. Abah tidak dengar dia menangis sekalipun dipukul dengan tali pinggang.

Yang abah lihat ialah mukanya kusut-masai, pakaian tak terurus.

Zirah berpindah ke Pontian semasa abah tingkatan lima. Kebetulan abah baik dengan abang ngahnya, Sulaiman, lepas tingkatan enam abah pergi ke rumahnya.

Abah terkejut. Tangan kiri Zirah merekot, mulutnya herot. Dia tak kenal abah lagi.

Sedih. Memang abah sedik tengok keadaannya. Daripada seorang kanak-kanak comel, kini dia sudah jadi 'kanak-kanak istimewa'.

Zirah tinggal dengan abang sulungnya, Hashim, selepas ibu dan bapanya meninggal. Tapi sekejap saja.

Maklumlah, Hashim seorang doktor. Mungkin sibuk, mungkin malu. Hidup di Kuala Lumpur tidak sama dengan di Pontian.

Zirah dijaga pula oleh Sulaiman di Cheras. Pertama kali melihat Zirah selepas beberapa tahun, air mata abah meleleh.

Kalau Nini ada tentu Nini pun tak sampai hati melihat keadaan Zirah. Tangan Zirah terketar-ketar. Makan minumnya kena dibantu. Dia berjalan juga terhuyung-hayang.

Malam itu abah perhatikan Zirah menggigil-gigil menyuap nasi ke mulut, namun banyak yang jatuh ke meja. Air yang diminum pun lebih banyak tumpah berbanding yang diteguk.

Habis makan, mulutnya comot. Zirah yang di depan mata abah bukan lagi Zirah yang abah kenal lebih 35 tahun lalu. Tanpa sedar air mata abah bergenang.

Awal 2001, masa umur abah 41 tahun, abah dapat panggilan dari Sulaiman.

"Zirah dah tak ada.. sakit dalam perut," katanya.

Abah tolong uruskan jenazah Zirah hingga ke liang lahad. Namun apa yang sedih, Hashim dan kakak Zirah, Amnah, yang bekerja sebagai pegawai bank dan tinggal di Selayang, langsung tidak nampak batang hidung.

Inilah sebabnya sekarang abah duduk di sisi Nini. Abah cium Nini kerana dada abah sebak dengan rasa bersalah. Abah kesal kerana melakukan apa yang Pak Cik Melan buat pada Zirah.

Nini, maafkan abah lantaran memaksa Nini mencapai sesuatu yang Nini tak upaya lakukan. Maafkan abah kerana marah dan cubit Nini kerana gagal mendapat A dalam semua mata pelajaran.

Nini, Pak Cik Melan mahu Zirah dapat 100 peratus dalam semua subjek sedangkan dia lupa keupayaan Zirah tak sampai ke tahap itu.

Zirah bukan secerdas abah dan kawan-kawannya. Pak Cik Melan kena terima hakikat itu.

Pak Cik Melan paksa Zirah berjaya macam abang dan kakaknya. Bila Zirah gagal, Pak Cik Melan pukul.

Kesilapan itulah yang menyebabkan Zirah hilang keyakinan diri, fikiran terbantut dan bingung, akhirnya akal terencat.

Nini, abah sedar abah telah melakukan kesilapan yang sama. Ampunkan abah, sayang.

Mulai malam ini abah takkan marah dan pukul Nini lagi semata-mata untuk kepuasan diri abah.

Abah takkan cubit Nini lagi kalau Nini gagal matematik, lemah dalam bahasa Inggeris atau tidak cemerlang dalam pemahaman.

Abah akan terima hakikat keupayaan anak abah ini dan abah akan lebih bersabar semasa mengajar.

Andai abah marah, abah akan cium pipi Nini dan bisikkan ke telinga Nini bahawa abah sayangkan Nini.

Andai tangan abah ringan untuk memukul Nini, abah akan letakkannya di belakang dan apabila perasaan kembali reda, abah akan lurut rambut Nini.

Tak mengapalah, Nini kecil lagi, baru tujuh tahun, belum dapat menangkap sepenuhnya apa yang diajar oleh cikgu.

Mulai esok, abah akan ajar Nini dengan akal, bukan dengan tangan atau tali pinggang. Abah akan tingkatkan keyakinan diri Nini, bukan menghancurkannya seperti yang Pak Cik Melan lakukan pada Zirah.

Nini, sekarang ini abah sedang menggengam tangan Nini dan sekali lagi berkata, Maafkan abah. Abah janji, lebam ditangan Nini itu adalah yang terakhir.

Tidurlah dengan nyenyak, abah akan ceritakan kisah Zirah bila Nini bangun esok.

Maafkan abah ya sayang..

Hasil nukilan
Azraie Haji Sulaiman

*Artikel ini dipetik daripada majalah Mastika

BACA INI JUGA: Anak Yang Dikongkong Tidak Bahagia

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon