Thursday, July 21, 2016

17 Senarai Aset Didakwa Dari 1MDB Akan Dirampas Jabatan Kehakiman AS?!


Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah pesawat jet, demikian menurut saman sivil yang menamakan pembikin filem blockbuster 'The Wolf of Wall Street'.

1mdb MALAYSIAN OFFICIAL 1

Dokumen mahkamah yang difailkan di Los Angeles itu menyatakan bagaimana harta itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom dari dana yang dilencong dari 1MDB.

Dokumen mahkamah itu mendakwa dana itu dilencongkan dari 1MDB "untuk faedah peribadi konspirator bersama (dan) sekutu mereka".

Mereka didakwa menggunakan dana itu untuk membeli estet mewah di Amerika Syarikat, membayar perbelanjaan perjudian di kasino Las Vegas, memperoleh lebih AS$200 juta dalam hasil seni, melabur dalam projek utama pembangunan hartanah di New York, dan membiayai producksi filem-filem Hollywood.

1MDB bertegas ia tiada kepentingan dalam aset itu dan tidak mendapat pulangan atas pelaburan berkenaan, demikian dinyatakan dalam saman tersebut.

Ia menamakan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, ahli perniagaan Low Taek Jho dan dua bekas pegawai Abu Dhabi sebagai antara pemain utama dalam dakwaan "penyelewengan" dana tersebut.

Dokumen itu juga menamakan "MALAYSIAN OFFICIAL 1" sebagai seorang pegawai peringkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga memegang jawatan yang berkuasa dengan 1MDB.

"Dalam semua masa yang relevan dengan aduan itu, MALAYSIAN OFFICIAL 1 adalah 'pegawai awam' sebagai istilah yang digunakan dalam 18 U.S.C. § 1956 (c)(7) (B)(iv) dan 'penjawat awam' sebagai istilah yang digunakan dalam Seksyen 21 Kanun Keseksaan Malaysia," demikian menurut dokumen mahkamah itu.

Najib, yang juga menteri kewangan, adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB yang telah dibubarkan. 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.

Dokumen itu menyatakan bahawa ini adalah satu tindakan pelucuthakan terhadap aset yang dipegang oleh Red Granite Pictures Inc, sebuah syarikat yang dimiliki oleh Riza.

Ini merujuk kepada pelucuthakan aset yang terlibat dan boleh dikesan kepada "satu konspirasi antarabangsa untuk mencuci wang yang disalahgunakan dari 1MDB", kata dokumen itu.

Tujuh belas harta yang mahu dirampas itu yang dinyatakan dalam dokumen 136 muka surat itu yang difailkan pada Rabu termasuk:
  1. Hartanah L'emritage termasuk Hotel L'Ermitage di 9291 Burton Way, Beverly Hills, California 90210;
  2. Aset perniagaan L'ermitage yang merangkumi semua harta dan aset tidak ketara, inventori dan peralatan yang diselenggara oleh LBH Real Estate;
  3. Hillcrest Property 1: harta tanah yang terletak di Beverly Hills, California;
  4. Kondominium Park Laurel yang terletak di New York yang dimiliki oleh Park Laurel Acquisition LLC.
  5. Sebuah jet Bombardier Global 5000 jet dengan nombor siri pembuatan 9625 dan nombor pendaftaran N689WM, dengan dua enjin Rolls Royce;
  6. Time Warner Penthouse terletak di New York yang dimiliki oleh 80 Columbus Circle (NYC) LLC.
  7. Mansion Oriole yang terletak di Los Angeles, California;
  8. Kondominium The Greene yang terletak di New York yang dimiliki oleh 118 Greene Street (NYC) LLC;
  9. Aset EMI termasuk hak cipta dan hak harta intelek, dan juga hak untuk mengutip dan menerima apa-apa keuntungan yang dimiliki oleh JW Nil (BVI) Ltd;
  10. Aset Symphony CP (Park Lane) LLC yang merupakan sebuah syarikat liabiliti terhad Delaware dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh Symphony CP Investments LLC and Symphony CP Investments Holdings LLC, yang berpangkalan di New York, yang memiliki apa yang dikenali sebagai Hotel Park Lane;
  11. Walker Tower Penthouse yang terletak di New York, dan dimiliki oleh 212 West 18th Street LLC;
  12. Mansion Laurel Beverly Hills, yang terletak di Beverly Hills, California, dan dimiliki oleh Laurel Beverly Hills Holdings;
  13. Hillcrest Property 2: yang seperti Hillcrest Prroperty 1 terletak di Beverly Hills, California;
  14. Vincent Van Gogh Artwork bertajuk 'La maison de Vincent yang Arlest';
  15. Sebuah lukisan Claude Monet bertajuk 'Saint-Georges Majeur';
  16. Satu lagi lukisan Claude Monet bertajuk 'Nympheas avec Reflets de Hautes Herbes'; dan
  17. Qentas townhouse yang terletak di London, UK.

Muat turun dokumen saman Jabatan Kehakiman AS terhadap 1MDB: KLIK SINI

BACA INI JUGA: IPIC Saman 1MDB, Kerajaan Malaysia Di London!

Sumber: Malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon