Wednesday, November 19, 2014

Misteri Gambar 1870an Nicholas Cage Sebagai Vampire!

Misteri Gambar 1870an Nicholas Cage Sebagai Vampire!

Beberapa ketika yang lalu, dunia perfileman dan dunia internet telah digemparkan dengan lelongan sekeping gambar sekitar 1870-an yang memperlihatkan seorang lelaki yang sangat mirip kepada seorang pemenang anugerah Oscar.

Nicholas Cage as Vampire

Penjual mendakwa gambar berkenaan, Nicholas Cage adalah seorang Vampire (Pontianak)!

Gambar misteri tersebut yang telah dilelong di laman eBay yang dikatakan oleh penjual sebagai imej seorang lelaki warga Tennessee diambil sekitar 1870-an, datang dengan tajuk 'Nicholas Cage is a Vampire'.

Pemilik gambar tersebut yang dikesan lokasinya di Seattle, menawarkan harga bernilai $1 juta kepada mereka yang berminat memilikinya.

Katanya, 'Gambar itu menunjukkan seseorang yang benar-benar kelihatan seperti Nicholas Cage'. Secara peribadi, saya percaya itu sememangnya dia. Dan dia adalah salah satu daripada jenis Vampire, yang mana mendedahkan dirinya sendiri setiap 75 tahun atau lebih.

Sekarang ini dia seorang aktor, 150 tahun dari sekarang tidak mustahil dia seorang ahli politik, ketua kultus atau seorang pengacara talkshow".

Si penjual itu juga mendakwa gambar yang menanggung persamaan luar biasa kepada bintang Ghost Rider itu disahkan adalah imej seorang lelaki yang tinggal di Bristol sekitar perang saudara.

Dalam ruangan A&A (tempat dimana kita bertanya soalan untuk dijawab) dimuka laman tersebut, pelbagai soalan diajukan oleh pengunjung. Daripada soalan humor seperti: "Adakah saya akan mendapat diskaun kalau saya Nicholas Cage?"

Pemilik gambar tersebut menjawab: "Ya, 25% diskaun".

Malah, ada juga soalan sinis yang berbunyi: "Nicholas Cage meningkat tua dengan mendadak dalam tempoh 10 tahun ini. Mungkin dia tidak minum darah harian dengan amaun yang cukup untuk menjadikannya kekal muda".

Untuk soalan kedua, dia memberikan jawapan panjang lebar.

"Teori saya adalah Nicholas Cage membolehkan dirinya sendiri untuk meningkat tua atas sebab-sebab tertentu. Mungkin sehingga usia 70, 80 atau lebih dan kemudiannya 'mati'.

"Tapi pada hakikatnya Nicholas Cage adalah vampire yang takkan mati, akan beroleh nafas baru dan muncul di satu tempat lain di dunia dengan tubuh muda dan bermula sekali lagi.

"Selepas tempoh tertentu, mungkin akan ada yang perasan persamaan antara versi baru vampire tersebut dengan aktor Amerika yang telah mati yang mana pada masa itu mereka sendiri telah lupa namanya. Tetapi pada akhirnya persoalan itu bakal lenyap dengan sendirinya."

Nicholas Cage on ebay as vampire

Tidak dapat dinafikan persamaan rupa antara lelaki dalam gambar tersebut dengan Nicholas Cage, tapi untuk datang dengan teori sebegitu walaupun dengan niat untuk menjual gambar tersebut dengan harga $1 juta, tersangatlah melampau dan kelakar.

Kenapa tidak menggunakan teori alien yang lebih masuk akal?

-Sentiasapanas.com

Tuesday, November 18, 2014

Pengutip Gula-gula Getah Profesional

Pengutip Gula-gula Getah Profesional

Informasi Dunia. Jika bercakap perihal kebersihan, semua orang pasti sependapat bahawa ia selalunya melibatkan kerja-kerja pembersihan seperti mencuci kawasan, tandas, longkang dan sebagainya.

Gum Removal

Tapi, pernahkah anda mendengar tentang satu kerjaya yang menawarkan perkhidmatan khas mengutip gula-gula getah?

Mungkin bunyinya seperti sesuatu yang kelakar dan janggal, tetapi ia adalah pekerjaan yang benar-benar wujud dan ditawarkan kepada orang ramai.

Setakat ini, jawatan tersebut yang dikenali sebagai Gum Removal atau pengutip gula-gula getah hanya ditawarkan di beberapa tempat sahaja seperti di Washington, Amerika Syarikat.

Untuk pemahaman lebih mudah, seseorang yang bekerja sebagai pengutip gula-gula getah merupakan individu yang bertanggungjawab memastikan seluruh kawasan di Washington bersih daripada gula-gula getah.

Justeru, dalam tempoh 24 jam sehari, para pekerja ini akan melaksanakan kerja rutin harian dengan meninjau keseluruhan kawasan yang dikehendaki.

Tidak ada syarat wajib yang perlu dipatuhi oleh calon-calon yang berhasrat untuk mengisi jawatan tersebut dan ia terbuka kepada sesiapa sahaja sama ada lelaki ataupun wanita.

Gum Removal - Before and After

Apa yang penting, calon-calon yang peka dan cekap terutamanya ketika mengesan gula-gula getah yang dibuang di merata-rata tempat.

Pasti ramai yang tidak menyangka bahawa kerja semudah ini sebenarnya dibayar dengan upah yang sangat lumayan. Difahamkan, upah yang dibayar mampu mencecah sehingga lima angka.

Cuba anda bayangkan betapa lumayannya jika kita yang terpilih menjadi salah seorang pengutip gula-gula getah.

Sekalipun kerjaya ini nampak remeh, tapi harus diingat bahawa ia memainkan peranan penting terutamanya dalam mengawal isu pencemaran alam sekitar.

Menurut pengurus syarikat mengutip gula-gula getah dari Amerika Syarikat, Gumbusters, Duane M. Cummins, bagi menjalankan tugas sebagai pengutip gula-gula getah, seseorang individu akan ditempatkan di beberapa kawasan terpilih.

Kebiasaannya, tugas ini dilakukan mengikut sistem giliran di mana seseorang individu akan berada di sesebuah lokasi mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

Di lokasi tersebut, selalunya mereka akan dilengkapi dengan satu peralatan khas. Alat tersebut adalah penyembur air berkuasa tinggi atau nama popularnya dikenali sebagai water jet.

Gum Removal Tools
Peralatan khas yang digunakan.

Menurut Cummins lagi, secara teknikalnya, alat ini digunakan untuk mncuci dan membuang kesan kotoran hitam yang terhasil daripada gula-gula getah.

Menurutnya lagi, kadar upah bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan bergantung mengikut keluasan kawasan yang ingin dibersihkan. Kebiasaannya harga yang dikenakan adalah sebanyak USD$0.15 hingga USD$0.40 sekaki persegi.

Berdasarkan kiraan itu, keseluruhan jumlah yang dibayar oleh pelanggan mampu mencecah USD$200 hingga USD$10,000.

Cummins memulakan perkhidmatan ini kira-kira 13 tahun lalu. Pada ketika itu, seorang rakannya meminta beliau menolong membersihkan laluan pejalan kaki di Zon ESPN, Baltimore, Amerika Syarikat. Bermula dari situ, dia diperkenalkan dengan kaedah perkhidmatan berkenaan.

Gumbusters, Duane M. Cummins
Duane M. Cummins.

Bermodalkan wang sebanyak USD$25,000, dia mengambil lesen kerja-kerja pembersihan dan menubuhkan syarikatnya sendiri pada tahun 2003.

Sembilan tahun kemudian, syarikatnya mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan sehingga dapat membuka dua buah cawangan lagi iaitu di San Francisco dan El Paso, Texas.

-Sentiasapanas.com

Resepi Kejayaan Luar Biasa Filem James Bond

Resepi Kejayaan Luar Biasa Filem James Bond

Setelah pencen sebagai komander dari Jabatan Perisik Tentera Laut Diraja Inggeris, Ian Fleming menyimpan hasrat untuk menulis novel perisik atau 'spy' yang menurutnya akan menjadi 'spy stories to end all spies stories' (cerita perisik yang mengakhiri semua cerita perisikan).

James Bond 007

Akan tetapi, hasrat itu sentiasa tertangguh. Sebaliknya Fleming banyak menulis resensi buku, artikel dan melakukan kajian untuk sebuah buku yang sama sekali tiada kaitan dengan dunia perisikan.

Akhirnya pada Januari 1952, Fleming telah dicabar oleh kekasihnya, Anne, seorang pelukis yang sibuk melukis supaya menulis sesuatu sementara menunggunya menyempurnakan lukisan.

Fleming lalu menarik mesin taipnya yang berusia 29 tahun berjenama Imperial. Merenung sebentar sambil mencari nama tokoh yang sederhana, mudah disebut dan diingat, ia terpandang sebuah buku bertajuk Birds of the West Indies yang ditulis oleh seorang pengarang bernama James Bond.

"James Bond! Nama yang tepat," fikir Fleming.

Dia pun menaip dan terus menaip dan tulisannya sangat lancar. Pengalamannya berpuluh tahun sebagai komander dimanfaatkan sepenuhnya.

Cerita-cerita yang didengar dihalusinya dan novel siap tanpa persediaan, tanpa draf dan menulis dua ribu perkataan setiap pagi selama tiga jam.

Sekitar tujuh minggu, siaplah novel pertama James Bond berjudul Casino Royale. Namun begitu novel pertamanya hanya terjual lima ribu naskah, Fleming merasa malu tetapi tidak mahu mengalah.

James Bond 007 - Casino Royale

Dia menulis novel keduanya, Live and Let Die, tetapi turut mengalami nasib yang sama seperti Casino Royale.

Namun begitu, Fleming tidak memperdulikannya. Dia sebaliknya berhasrat menobatkan tokoh James Bond dalam siri-siri novelnya.

Ternyata apa yang dihasratkan terjadi pada tahun 1961 apabila mantan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy memberitahu media bahawa buku James Bond yang bertajuk From Russia with Love merupakan novel 'thriller' terbaik dan termasuk dalam senarai 10 buah novel terbaik yang pernah dibacanya.

Terpesonanya Kennedy sehingga meminta Pengarah CIA ketika itu, Allan Dules untuk mencari kemungkinan membuat senjata seperti yang digunakan James Bond.

Maklumat saat itu, 'perang dingin' berlaku antara Amerika dan Soviet Rusia yang sudah sampai ke puncaknya. Buku itu akhirnya mengangkat nama Ian Fleming.

Sejak itu buku-buku bersiri James Bond menjadi 'Best Seller' sama ada yang lama mahupun yang baru seperti; Thunderball, Moonraker, For Your Eyes Only, The Man With The Golden Gun, On Her Majesty's Secret Service, Diamonds Are Forever, The Spy Who Loved Me.

Apalagi, melihat kejayaan novel tersebut, dua produser filem, Harry Saltzman dan Albert Brocolli sebulat hati membuat filem-filem James Bond.

James Bond 007 Sean Connery

Sebagai pengarang, Fleming memperoleh lima peratus royalti dari setiap filem yang dibuat. Untuk keperluan itu, akhbar The Daily Express mengiklan pencarian watak James Bond.

Tidak kurang dari seribu orang mencuba nasib termasuklah David Niven dan Richard Burton. Akhirnya Harry Saltzman menemui seorang lelaki tanpa kerjaya bernama Sean Connery dan barulah Fleming bersetuju dan berpuas hati.

Sean Connery pun mencipta nama dan menjadi kaya-raya tetapi ternyata From Rusia With Love merupakan karya besar Ian Fleming. Selepas tiga buah novel itu diterbitkan, Fleming pun meninggal dunia pada 12 Ogos 1964.

Namun begitu filem-filem James Bond yang ke-13 sehingga siri yang ke-20 dan seterusnya bukan lagi karya Ian Fleming. Produser filem telah membeli hak membuat filem James Bond.

Maka produser filem pula mencari penulis lain untuk kelanjutan siri-siri James Bond. Begitu fenomenalnya siri James Bond, sehingga disebut sebagai 'One of the most succesful heroes of the 20th century fiction'.

Dalam sejarah perfileman, khususnya Hollywood, barangkali belum pernah ada 'siri filem' yang melebihi 10 episode. Rocky, The GodFather, Matrix mahupun Superman, Batman tidak melebihi lima episod. Satu-satunya siri filem 'abadi' yang melebihi 10 episode adalah 'James Bond'.

Baru-baru ini syarikat MGM sebagai produser filem telah melancarkan VCD Bond Collection yang berdurasi 742 minit, yang merupakan koleksi enam filem James Bond mutakhir: Tomorrow Never Dies, Golden Eye, License To Kill dan Octopussy yang dimainkan oleh Roger Moore, Timothy Dalton sehinggalah Pierce Brosnan.

Sebelum itu, James Bond sangat sinonim dengan Sean Connery. Khabarnya, filem pertama James Bond dibawakan oleh David Niven tetapi pengarang novelnya, Ian Fleming tidak berpuas hati lalu menawarkan kepada Sean Connery sehinggalah Sean Connery merasa puas dan jenuh dengan watak tersebut.

Tentunya filem James Bond yang kini sudah sampai 20 episodemenjadi 'box-office' dan bukunya pula menjadi 'best-seller' serta telah terjual lebih dari 40 juta naskah di seluruh dunia.

James Bond 007 - Olga Kurylenko
Olga Kurylenko.

Salah satu resepi kejayaan James Bond ialah gabungan wajah Bond yang 'macho', cerdas, mempunyai senjata rahsia dan canggih serta wanita-wanita cantik, seksi serta pertembungan perisik-perisik Barat dan Timur.

Resepi lain selalunya mencekam, kejadian kejar-mengejar yang melibatkan kenderaan yang canggih, ekslusif dan sudah tentunya berakhir dengan adegan seks!

Itulah resepi James Bond. Memang ada perbezaan antara bukunya yang 'best-seller' dan filem-filemnya yang 'box-office'.

Akan tetapi intinya tetap sama; memperkenalkan teknologi baru, baik untuk kenderaan mahupun senjata canggih.

BACA INI JUGA: 6 Filem Balas Dendam Terbaik

-Sentiasapanas.com

Kisah Benar Suami Mengaku Curang Dengan Janda

Kisah Benar Suami Mengaku Curang Dengan Janda

Suami seorang yang penyayang dan romantis. Anak anak ketawa ceria... malah sebagai suri rumah tangga dia seorang isteri yang menjaga batas pergaulan termasuk aurat dan akhlak.

Janda

Suami selalu membuat kejutan. memberi hadiah dan kata senyuman, namun dia yang selalu berasa hebat dapat menjaga keperluan suami dan anak anak tidak sedar bahawa ada wanita lain yang telah membahagiakan suaminya sekali gus menjadikan lelaki itu amat romantik di rumah untuk menutup kesalahan...

Saya terjumpa kad hari lahir berbaur cinta. Berkali-kali saya mengugut suami untuk berterus terang dan akhirnya tembelang pun pecah.

“Ya, abang sayangkan dia! Dia janda dan abang dah terlanjur banyak kali!”

Ya ALLAH... saya terduduk dengan pengakuan itu... kenapa janda? kenapa bukan anak dara? kenapa mudahnya lupakan pengorbanan saya... apa salah saya? air mata mengalir deras. Saya rasa ingin rebah, suami cuba menongkah tapi saya pantas menepis.

Tiada kekuatan untuk saya teruskan langkah tapi saya gagahi jua sehingga ke bilik air untuk mengambil wuduk. Mak kata, kalau marah baca al-Quran. Kalau sedih solat sunat dan mengadu padaNYA.

Ya... Saya ingin mengadu... air mata saya mengalir laju walaupun sedang solat dan mengaji. Usai solat dan berdoa suami merebahkan kepalanya di ribaan saya.

Dia merangkul pinggang saya dan mencium telapak tangan saya berkali-kali. Dia minta saya ampunkannya kerana menengking saya sebentar tadi. Dia akui terlalu marah kerana saya mendesak dan menjerit kepadanya.

Ya ALLAH, sesungguhnya lebih pada jerit ingin saya lakukan... S-aya ingin menetak suami dengan parang! Tapi saya tiada kekuatan. Hati saya hancur luluh. Saya kuatkan hati untuk bertanya...

“Berapa kali?”

“Banyak...”

“Sejak bila?”

“Sejak Mah mengandung Adan...”

Ya ALLAH... enam tahun lalu... kini Adan dah ada dua adik...

“Tak kahwin?”

“Tidak... abang sayangkan Mah...”

“Sayang?”

“Ya...”

“Ini tanda sayang?”

Soalan saya terbiar tanpa jawapan...

Saya tidak memandang wajah suami di ribaan, tidak juga mengelus rambutnya seperti kebiasaan dia bermanja dengan saya.

Mata ini tidak berkedip. Saya melempar pandangan kosong ke dinding. Hati saya bungkam. Air mata tak mahu berhenti...

Minta terus terang

Saya minta suami terus terang kekurangan saya. Jika masih sayangkan perkahwinan kami dan mahu saya terus di sisinya, saya mahu tahu, apa kelebihan perempuan itu dan apa kekurangan saya.

Suami menggelengkan kepala sesungguh hati. Mengongoi macam budak kecil. Dia seakan tahu yang saya mahu keluar dari rumahnya.

“Sepuluh tahun abang... sepuluh tahun Mah tertipu dengan permainan abang. Mah sangka rumah tangga kita aman dan bahagia. Rupanya Mah yang berangan-angan di rumah sendiri... abang tak bahagia dengan Mah... Abang cari lain-

“Tak! abang bahagia. Mah jaga abang dan anak-anak dengan baik... tak ada kurang satu pun... Abang tulis. Abang tulis apa yang abang tak suka tentang Mah. Abang tak sanggup nak kata tapi Mah janji jangan tinggalkan abang...”

Saya mengangguk. Saya tolak kepala suami dari ribaan dan melangkah longlai ke bilik anak-anak dengan telekung masih di kepala. Malam itu saya menangis di sisi anak-anak yang enak tidur. Entah bila saya terlelap langsung tak pasti.

Subuh lagi saya sudah bangun sediakan sarapan suami dan anak-anak. Saya kejut suami dan dia bangun seperti tiada apa-apa berlaku.

Di hadapan anak-anak kami cuba berlagak biasa. Menjadi rutin, sebelum dia keluar menghantar anak ke sekolah saya bersalaman dan dia mengucup dahi saya; tapi pagi itu, saat ia hendak berlaku, saya palingkan muka.

Saya tak mahu bibir yang pernah mencium wanita lain hinggap di dahi saya yang setia. Air mata melurut lagi.

Surat jadi penyebab

Saya tutup pintu dan saya menapak ke ruang tamu. Ada helaian kertas yang bertindih gelas kaca. Saya tahu itu pengakuan suami.

Saya tarikh nafas dalam-dalam mencari kekuatan untuk membacanya. Dan isi surat suami, betul-betul buat saya rasa tertampar.

Saya harap anda semua memahaminya. Jangan sesekali menyalahkan suami saya atau mana-mana lelaki yang pernah mencurangi anda juga. Ia fitrah seorang lelaki. Dan ia juga menjadi sebab untuk saya menerima dan memaafkannya.

Mah isteri abang yang solehah, isteri yang cantik... yang baik... dan ibu yang sempurna kepada Adan, Lili dan Nafisa...

Impian abang yang terakhir agar Mah menjadi sahabat sepanjang hayat... abang merayu sesungguh hati untuk Mah maafkan abang dan menerima abang semula.

Sebelum abang tulis surat ini, abang dah hubungi Zulaikha untuk putuskan hubungan. Abang nekad, apa pun berlaku selepas ini, abang terima sebagai hukuman. Abang reda.. abang berdosa. Abang suami yang terkhilaf...

Mah...

Abang jenguk Mah di bilik anak. Mah tidur dengan air mata yang mengalir. Muka Mah polos tanpa solekan. Mata Mah bengkak dan ada lingkaran hitam. Abang menangis.

Mah tak sedar betapa abang cintakan Mah. Tapi Mah lupa, kecantikan Mah yang pudar telah buat cinta abang berpaling.

Sumpah Mah! Sumpah abang rasa bertuah ada isteri sebaik Mah. Mah jaga makan pakai abang, makan minum anak-anak dan rumah tangga. Tapi Mah tak jaga diri Mah untuk abang. Mah tak jaga keperluan batin abang.

Kita kenal sejak sekolah. Sejak Mah jadi pujaan ramai lelaki dan kawan-kawan abang. Mah ramping, tinggi, bermata galak dan menggoda.

Tapi sejak Mah lahirkan Adan, Mah biarkan kecantikan Mah hilang. Mah biarkan kuku Mah kecut.. rambut Mah busuk di sebalik tudung... kaki Mah bengkak dengan lemak... badan Mah berbau bila abang balik kerja.

Abang terpaksa hipokrit setiap kali Mah sambut abang balik kerja di muka pintu dengan wajah kusam dan tak bermaya.

Abang lemah tengok Mah lemah... Abang bagi Mah duit untuk Mah bersisir, tapi Mah habiskan dengan perhiasan rumah dan emas. Kenapa Mah tak gunakan untuk merapikan diri?

Mah abang tak pandang pakaian atau tudung cantik yang menutupi Mah, Abang juga tak pandang barang kemas yang berselirat di tangan atau leher Mah, tapi abang pandang tubuh dan wajah Mah.

Kalau Mah sendiri tak menghargai diri bagaimana pula abang? Mana pergi diri Mah yang penuh keyakinan masa Mah bekerja dulu?

Mana pergi wanita pujaan abang yang penuh dengan keanggunan masa kita sama-sama belajar dan bekerja dulu?

Abang sungguh malu nak bercakap tentang hal ini, tapi jika ini peluang terakhir untuk abang memperbaiki rumah tangga kita, abang luahkan... dan Mah terimalah dengan lapang hati.

Mah... Zulaikha cantik. Dia janda anak ramai tapi bahasa tubuhnya tidak menggambarkan dia seorang janda.

Dia menjaga setiap inci yang ada pada tubuhnya sehingga ke bahagian yang paling sulit. Abang minta ampun.

Abang menyesal... Zulaikha hanya mahu berkawan dengan abang untuk mengisi kekosongan hidupnya. Dia tidak pernah meminta hubungan yang lebih tetapi kerana selalu bersamanya, abang terpesona.

Abang rindukan isteri abang yang dulu. Jika Mah ingin berlalu dari hidup abang... abang tidak mampu menghalang.

Abang berdosa dengan Mah. Mah berubahlah. Cari semula kekuatan Mah sebagai seorang perempuan.

Ampunkan abang... abang tak pergi kerja hari ini. Abang nak ke rumah ibu bapa Mah untuk akui semua kesilapan abang dan abang akan terima segala hukuman.

Sekali lagi, dari lubuk hati yang paling dalam... abang merayu Mah pulangkan semula isteri abang yang cantik, yang menghargai dirinya luar dan dalam... abang merayu..

tamat...

BACA INI JUGA: Ketahui Zon Paling Memberahikan Wanita

Sumber: SH

Monday, November 17, 2014

Di Sebalik Tabir Romantis Kota Venice

Di Sebalik Tabir Romantis Kota Venice

Tidak payahlah diceritakan lagi tentang betapa romantisnya Venice, semua orang tahu.

Venice, Italy

Kocakan ombak laut, riak air di terusan yang kemilau berkaca, gondola mudik menghilir dan rumah-rumah lama yang berwarna-warni di tebingnya tidak dapat diungkapkan keindahannya dengan kata-kata.

Namun, ada 10 fakta yang perlu anda tahu di belakang tabir romantis bandar Venice. Sebahagian besarnya akan membuatkan anda terkejut.

1. Dari segi sejarah, Venice wujud pada abad ke-6 sebelum masihi apabila pekan Venoto dijajah oleh orang-orang Euganei dan Veneti. Masyarakat Veneti inilah yang akhirnya menjadi teras warga Venice. Bagaimanapun, Venice secara rasminya diasaskan pada 25 Mac 421 SM sempena hari lahir St. Mark, ketua paderi yang dianggap penaung bandar tersebut.

2. Pada 726 Masihi, Republik Venice diwujudkan dengan Pauluccio Anafesto dilantik sebagai Doge. Bagaimanapun, kuasa Doge terhad. Dia dilarang bercakap dengan orang asing tanpa ditemani sesiapa, tidak boleh menulis surat kepada isterinya dan hanya boleh menerima hadiah berupa air mawar, herba, bunga serta balsam. Pada hari pertabalannya, Doge Anafesto mengumumkan supaya mata, otak dan isi perutnya dikorek apabila dia mati kelak.

3. Venice yang menghadap Laut Adriatik mempunyai 177 terusan dan 400 jambatan menghubungkan 118 pulau. Terusan utamanya ialah Grand Canal. Ia membelah Venice kepada dua, de ultra (menyeberangi air) dan de citra (sebelah sini).

4. Mercu tanda Grand Canal ialah gereja Santa Maria Della Salute yang seakan-akan terapung di permukaan air. Terletak di pintu masuk Grand Canal, gereja itu mengambil masa selama 57 tahun untuk disiapkan dengan menggunakan lebih sejuta cerucuk kayu. Ia dibina sebagai tanda terima kasih kepada tuhan kerana mengakhiri wabak penyakit berjangkit yang meragut lebih 50,000 nyawa penduduk Venice pada 1630. Jangkitan wabak pernah menyerang Venice pada 1348 menyebabkan separuh penduduknya mati.

5. Gondola adalah alat pengangkutan untuk menyusuri segenap pelosok terusan. Tapi tahukah anda, sekarang hanya terdapat kira-kira 400 buah gondola berbanding lebih 10,000 buah beberapa puluh tahun lalu.

6. Di salah satu daripada 177 terusan, terdapat sebuah jambatan yang dipanggil Bridge of Sighs (Jambatan Rintihan) yang menghubungkan Palazzo Ducale (Istana Doge) dengan Prigoni Nuovo, penjara yang dibina pada abad ke-16. Suatu ketika dahulu, banduan akan dibawa menyeberangi jambatan tersebut menuju ke bilik siasatan atau ke pejabat hakim bagi mengetahui nasib masing-masing. Ketika melintasinya, mereka diberi peluang menikmati hembusan angin yang nyaman dan memandang kocakan air yang berkaca di bawahnya. Itulah 'hadiah' terakhir sebelum dijatuhi hukuman. Asalnya jambatan itu dipanggil Bridge of Death (Jambatan Maut), tetapi atas permintaan banduan dan penumpang-penumpang gondola, namanya ditukar supaya lebih romantik dan tidak menggerunkan sesiapa.

Bridge of Sighs
Bridge of Sighs, laluan terakhir banduan sebelum dijatuhi hukuman mati.

7. Terdapat banyak lapang siar di Venice, salah satunya Piazzetta San. Apa yang menariknya lapang siar ini? Begini, Venice dinaungi dua paderi agung yang dilambangkan oleh dua batang tiang. Tiang yang puncaknya dihiasi ukiran patung singa bersayap mewakili St. Mark, manakala yang satu lagi mewakili St. Todaro. Dahulu, medan ini menjadi tempat pemerintah menjatuhkan hukuman pancung atau gantung sampai mati terhadap penjenayah. Ia dilakukan di titik tengah antara dua batang tiang tersebut. Sehingga sekarang masih ramai penduduk Venice yang tidak berani melintasi kawasan itu, bimbang ditimpa malapetaka yang boleh membawa maut.

8. Companile adalah sebuah menara setinggi 99 meter. Ia mempunyai lima biji loceng yang tidak tentu hala; kadangkala berbunyi selang setengah jam, kadang-kadang apabila jarum panjang menunjuk angka 12, tapi selalunya tidak berbunyi langsung. Kalau berbunyi pun, kelima-lima loceng itu berdenting lintang-pukang selama kira-kira 10 minit. Menara asal dibina pada abad ke-16 tetapi tumbang pada 14 Julai 1902. Nasib baik tidak menimpa sesiapa, kalu tidak pasti ada nyawa melayang. Companile yang ada sekarang dibina pada 1903-1912.

9. Venice selalu dilanda banjir. Apabila laut pasang (agua alta), air melimpah hingga menenggelami lapang siar sedalam setngah meter. Banjir paling buruk berlaku pada tahun 1966, sedalam dua meter.

10. Keromantisan Venice rupa-rupanya membahayakan nyawa. Cukup ramai orang membunuh diri di bandar tersebut. Fenomena ini dipanggil Sindrom Venice iaitu pelancong melihat terusan di Venice sebagai tempat paling baik untuk menamatkan riwayat masing-masing. Psikologis Amerika Syarikat, Diana Stainer dalam kajiannya mendapati tidak kurang 25 orang pelancong dari Perancis, Britain, Jerman, Sepanyol dan Amerika Syarikat cuba membunuh diri di bandar itu. Bagaimanapun kebanyakan mereka mati dihospital. Kata Diana, mereka terdorong untuk membunuh diri kerana pemandangan Venice membangkitkan perasaan sayu, murung dan putus asa.

BACA INI JUGA: 8 Panorama Alam Yang Sangat Menakjubkan

-Sentiasapanas.com

Sunday, November 16, 2014

Cinta Berakhir Di Kerongkong Syaitan

Cinta Berakhir Di Kerongkong Syaitan

Kisah ini berlaku lama dahulu. Ketika itu tinggal sekumpulan warga peribumi berhampiran sebatang sungai yang amat jernih airnya.

Naipi e Taroba
Lagenda Naipi dan Taroba.

Setiap tahun mereka mengorbankan seorang gadis sebagai hadiah istimewa kepada tuhan ular yang tinggal di dalam sungai tersebut. Nama tuhan ular tersebut, Boi.

Kali ini, si gadis jelita bernama Naipi dipilih untuk menjadi korban. Kecantikan Naipi tiada tandingan. Kulitnya mulus, matanya bersinar bak mutiara, senyumannya semanis madu, hinggakan air akan berhenti mengalir apabila dia menatap wajahnya pada permukaan sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Naipi enggan dijadikan korban kerana dia mencintai seorang pahlawan tampan bernama Taroba. Mereka sudah berjanji sehidup semati. Lantas kedua-duanya membuat perancangan untuk melarikan diri.

Pada malam sebelum upacara korban dijalankan, bertemulah Naipi dan Taroba di tepi sungai tersebut. Namun usaha mereka untuk melarikan diri dengan menggunakan perahu, telah dilihat oleh Boi.

Tanpa membuang masa, Boi mengejar pasangan kekasih itu dan menukar tubuhnya menjadi sebesar sungai berkenaan. Tubuhnya melingkar-lingkar lalu menghancurkan batu, meruntuhkan tebing serta menumbangkan pokok di sekitarnya.

Bumi bergegar, air berpusar ganas. Tetapi Taroba bukan sembarangan wira. Kepantasannya mengayuh perahu, menyebabkan Boi gagal menangkapnya. Boi bertambah marah, lalu ia menghempaskan dirinya ke dasar sungai sambil menjerit dengan suara yang amat menakutkan, dan... PPPRRRMMMMM!!

Air terpercik tinggi ke udara. Ombak bergelora bagaikan dilanda taufan. Bumi tidak semena-mena terbelah lalu membentuk gaung dan cerun yang cukup besar serta dalam.

Kini Taroba dan Naipi tidak dapat melarikan diri lagi. Perahu mereka akhirnya karam dihempas ombak sungai yang menggila. Taroba terdampar di tebing, manakala Naipi hanyut dibawa arys menuju ke gaung yang terbelah tadi. Dia melaung memanggil Naipi bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir. Begitu juga dengan Naipi.

Adakah Boi hanya melihat saja?

Tidak. Boi yang sedang marah menyumpah Taroba menjadi sebatang pokok palma. Tangannya dibenam ke dalam tanah menjadi akar supaya dia tidak dapat melepaskan diri. Naipi pula disumpah menjadi seketul batu besar di tengah-tengah air terjun tersebut.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang kekasih. Namun, setiap hari akan muncul sebuah pelangi di sungai tersebut, bermula dari sebatang pokok palma hingga ke batu besar tadi. Pelangi itulah yang mengikat cinta mereka sejak beratus-ratus tahun dahulu sampai sekarang.

Bagaimana dengan Boi? Ia masih lagi berlegar-legar di sekitar air terjun berkenaan, terus memerhatikan agar Naipi dan Taroba tidak bersatu sampai bila-bila.

Ah..begitulah mitos asal usul Air Terjun Iguazu. Kononnya pokok palma jelmaan Taroba terletak di Brazil manakala batu jelmaan Naipi pula terletak di Argentina. Boi pula masih menyorok di dalam lubuk air terjun paling besar dan dalam, diberi nama Kerongkong Syaitan (Devil's Throat).

Anda keliru?

Air Terjun Iguazu

Untuk makluman anda, Air Terjun Iguazu adalah salah sebuah air terjun terbesar di dunia. Ia terbentuk daripada aliran Sungai Parana yang terletak di sempadan Brazil dan Argentina. Oleh kerana itu, air terjun tersebut dikongsi oleh kedua-dua negara berkenaan.

Bayangkan, terdapat lebih 275 air terjun pelbagai saiz dan ketinggian, dalam sebuah jajaran sepanjang 2.7 kilometer. Kerongkong Syaitan adalah air terjun yang terbesar - setinggi 82 meter, 700 meter panjang dan 150 meter lebar.

Untuk pengetahuan anda lagi, perkataan Iguazu berasal daripada bahasa peribumi Indian yang bernaksud 'Air besar'.

Air Terjun Iguazu juga empat kali lebih besar berbanding Air Terjun Niagara yang terletak di sempadan Amerika Syarikat-Kanada. Panoramanya sangatlah indah.

Selain saiznya yang besar, pelangi yang terbentang di setiap inci air terjun juga sangat memukau. Keindahan pelangi itu membangkitkan perasaan romantis sesiapa sahaja yang melihatnya.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika pasangan kekasih sering menjadikan air terjun ini sebagai tempat untuk mengeratkan lagi kasih sayang. Tetapi awas, air terjun dan pelangi itu juga boleh menjadi pembunuh cinta yang paling kejam.

Itulah yang berlaku kepada sepasang pengantin baru, Kapten Laura Eberts dan suaminya, Leftenan Pertama Robert T. Eberts. Kedua-dua mereka adalah anggota tentera Amerika Syarikat yang baru pulang daripada bertugas selama setahun di Afghanistan.

Captain Laura Eberts
Laura Eberts.

Pada 21 Mac 2011, mereka ke sana untuk berbulan madu. Bersama enam orang lagi pelancong, Laura dan Robert menyewa sebuah pelampung rakit menyusuri sungai dan air terjun berkenaan.

Bagaimanapun, rakit yang mereka naiki karam akibat dihempas oleh deruan air yang begitu ganas. Kemalangan tersebut meragut nyawa Laura dan seorang lagi pelancong AS, Philip Musgrove, 70.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang pengantin baru. Menjadikan tragedi itu lebih tragik, ia berlaku berhampiran dengan batu Naipi!

Berlainan pula dengan seorang guru wanita bernama Monica Heck, 37, seorang guru warganegara Argentina. Monica telah membunuh dirinya dengan terjun ke dalam lubuk Kerongkong Syaitan pada pukul 9.50 pagi, 7 Mac 2013.

Monica Heck Iguazu Tragedy [3]
Monica Heck Iguazu Tragedy
Monica Heck Iguazu Tragedy [2]
Detik-detik terakhir Monica Heck yang berjaya dirakam.

Seorang pengunjung sempat merakam detik-detik terakhir Monica membunuh diri dan menayangnya di YouTube. Mayat Monica ditemui beberapa jam kemudian, terapung-apung di permukaan lubuk yang kononnya menjadi tempat Boi bersembunyi memerhatikan Naipi dan Taroba!

Mengapa Monica membunuh diri? Dikatakan, akibat tekanan perasaan.

Difahamkan, setiap tahun pasti akan ada orang membunuh diri di air terjun ini. Selalunya wanita, akibat putus cinta..

Tapi, kisah diatas hanyalah mitos dan kebetulan saja. Air terjun Iguazu dan Kerongkong Syaitan sebenarnya adalah keindahan alam yang dicipta oleh Allah untuk kita renungkan, bagi menambah rasa cinta serta tunduk kita kepada-Nya..

BACA INI JUGA: Elisa Lam, Kematian Misteri Di Hotel Cecil

-Sentiasapanas.com

NGERI! Telinga Dipenuhi Telur Lalat!

NGERI! Telinga Dipenuhi Telur Lalat!

Memang ngeri kalau difikirkan tapi itulah yang terjadi kepada seorang lelaki apabila lalat masuk ke dalam telinganya lalu meninggalkan ratusan telur yang kemudian menetaskan ulat.

Telinga Dipenuhi Telur Lalat

Kisah ngeri ini terbongkar selepas pemuda tersebut menemui Dr. Vikram Yadav yang merupakan seorang dermatologis di Faizabad, India setelah terdengar sesuatu bunyi di dalam telinganya.

Selepas menjalani pemeriksaan, Yadav memberitahu pesakitnya itu mengalami ‘aural myasis’, keadaan di mana telinga ataupun hidung seseorang individu dicemari dengan larva lalat.

Pesakit kebiasaannya akan mendengar seakan bunyi ‘dengung’ di kawasan yang tercemar disusuli bau busuk yang keluar dari anggota tersebut.

Menurut Yadav lagi, ulat-ulat itu berkemungkinan memakan daging dalam telinga hingga menembusi bahagian otak hingga boleh membunuh pesakit jika dia tidak mendapatkan rawatan.

Bagi mengeluarkan kesemua larva berkenaan, Yadaz menjalankan prosedur melemaskan hidupan itu sebelum ia mulai muncul di bahagian luar telinga.

Kemudian, alatan digunakan untuk mengeluarkan ulat-ulat tersebut.

Justeru, buat anda di luar sana, silalah jaga kebersihan anggota tubuh sekerap mungkin.

Jika tidak, mungkin spesies serangga berminat nak jadikan anggota anda sebagai ‘wad bersalin’.

Sumber: Mynewshub.cc