Nov 16, 2014

Cinta Berakhir Di Kerongkong Syaitan

Kisah ini berlaku lama dahulu. Ketika itu tinggal sekumpulan warga peribumi berhampiran sebatang sungai yang amat jernih airnya.

Naipi e Taroba
Lagenda Naipi dan Taroba.

Setiap tahun mereka mengorbankan seorang gadis sebagai hadiah istimewa kepada tuhan ular yang tinggal di dalam sungai tersebut. Nama tuhan ular tersebut, Boi.

Kali ini, si gadis jelita bernama Naipi dipilih untuk menjadi korban. Kecantikan Naipi tiada tandingan. Kulitnya mulus, matanya bersinar bak mutiara, senyumannya semanis madu, hinggakan air akan berhenti mengalir apabila dia menatap wajahnya pada permukaan sungai berkenaan.

Bagaimanapun, Naipi enggan dijadikan korban kerana dia mencintai seorang pahlawan tampan bernama Taroba. Mereka sudah berjanji sehidup semati. Lantas kedua-duanya membuat perancangan untuk melarikan diri.

Pada malam sebelum upacara korban dijalankan, bertemulah Naipi dan Taroba di tepi sungai tersebut. Namun usaha mereka untuk melarikan diri dengan menggunakan perahu, telah dilihat oleh Boi.

Tanpa membuang masa, Boi mengejar pasangan kekasih itu dan menukar tubuhnya menjadi sebesar sungai berkenaan. Tubuhnya melingkar-lingkar lalu menghancurkan batu, meruntuhkan tebing serta menumbangkan pokok di sekitarnya.

Bumi bergegar, air berpusar ganas. Tetapi Taroba bukan sembarangan wira. Kepantasannya mengayuh perahu, menyebabkan Boi gagal menangkapnya. Boi bertambah marah, lalu ia menghempaskan dirinya ke dasar sungai sambil menjerit dengan suara yang amat menakutkan, dan... PPPRRRMMMMM!!

Air terpercik tinggi ke udara. Ombak bergelora bagaikan dilanda taufan. Bumi tidak semena-mena terbelah lalu membentuk gaung dan cerun yang cukup besar serta dalam.

Kini Taroba dan Naipi tidak dapat melarikan diri lagi. Perahu mereka akhirnya karam dihempas ombak sungai yang menggila. Taroba terdampar di tebing, manakala Naipi hanyut dibawa arys menuju ke gaung yang terbelah tadi. Dia melaung memanggil Naipi bersama air mata yang tidak henti-henti mengalir. Begitu juga dengan Naipi.

Adakah Boi hanya melihat saja?

Tidak. Boi yang sedang marah menyumpah Taroba menjadi sebatang pokok palma. Tangannya dibenam ke dalam tanah menjadi akar supaya dia tidak dapat melepaskan diri. Naipi pula disumpah menjadi seketul batu besar di tengah-tengah air terjun tersebut.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang kekasih. Namun, setiap hari akan muncul sebuah pelangi di sungai tersebut, bermula dari sebatang pokok palma hingga ke batu besar tadi. Pelangi itulah yang mengikat cinta mereka sejak beratus-ratus tahun dahulu sampai sekarang.

Bagaimana dengan Boi? Ia masih lagi berlegar-legar di sekitar air terjun berkenaan, terus memerhatikan agar Naipi dan Taroba tidak bersatu sampai bila-bila.

Ah..begitulah mitos asal usul Air Terjun Iguazu. Kononnya pokok palma jelmaan Taroba terletak di Brazil manakala batu jelmaan Naipi pula terletak di Argentina. Boi pula masih menyorok di dalam lubuk air terjun paling besar dan dalam, diberi nama Kerongkong Syaitan (Devil's Throat).

Anda keliru?

Air Terjun Iguazu

Untuk makluman anda, Air Terjun Iguazu adalah salah sebuah air terjun terbesar di dunia. Ia terbentuk daripada aliran Sungai Parana yang terletak di sempadan Brazil dan Argentina. Oleh kerana itu, air terjun tersebut dikongsi oleh kedua-dua negara berkenaan.

Bayangkan, terdapat lebih 275 air terjun pelbagai saiz dan ketinggian, dalam sebuah jajaran sepanjang 2.7 kilometer. Kerongkong Syaitan adalah air terjun yang terbesar - setinggi 82 meter, 700 meter panjang dan 150 meter lebar.

Untuk pengetahuan anda lagi, perkataan Iguazu berasal daripada bahasa peribumi Indian yang bernaksud 'Air besar'.

Air Terjun Iguazu juga empat kali lebih besar berbanding Air Terjun Niagara yang terletak di sempadan Amerika Syarikat-Kanada. Panoramanya sangatlah indah.

Selain saiznya yang besar, pelangi yang terbentang di setiap inci air terjun juga sangat memukau. Keindahan pelangi itu membangkitkan perasaan romantis sesiapa sahaja yang melihatnya.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika pasangan kekasih sering menjadikan air terjun ini sebagai tempat untuk mengeratkan lagi kasih sayang. Tetapi awas, air terjun dan pelangi itu juga boleh menjadi pembunuh cinta yang paling kejam.

Itulah yang berlaku kepada sepasang pengantin baru, Kapten Laura Eberts dan suaminya, Leftenan Pertama Robert T. Eberts. Kedua-dua mereka adalah anggota tentera Amerika Syarikat yang baru pulang daripada bertugas selama setahun di Afghanistan.

Captain Laura Eberts
Laura Eberts.

Pada 21 Mac 2011, mereka ke sana untuk berbulan madu. Bersama enam orang lagi pelancong, Laura dan Robert menyewa sebuah pelampung rakit menyusuri sungai dan air terjun berkenaan.

Bagaimanapun, rakit yang mereka naiki karam akibat dihempas oleh deruan air yang begitu ganas. Kemalangan tersebut meragut nyawa Laura dan seorang lagi pelancong AS, Philip Musgrove, 70.

Maka berakhirlah cinta suci sepasang pengantin baru. Menjadikan tragedi itu lebih tragik, ia berlaku berhampiran dengan batu Naipi!

Berlainan pula dengan seorang guru wanita bernama Monica Heck, 37, seorang guru warganegara Argentina. Monica telah membunuh dirinya dengan terjun ke dalam lubuk Kerongkong Syaitan pada pukul 9.50 pagi, 7 Mac 2013.

Monica Heck Iguazu Tragedy [3]
Monica Heck Iguazu Tragedy
Monica Heck Iguazu Tragedy [2]
Detik-detik terakhir Monica Heck yang berjaya dirakam.

Seorang pengunjung sempat merakam detik-detik terakhir Monica membunuh diri dan menayangnya di YouTube. Mayat Monica ditemui beberapa jam kemudian, terapung-apung di permukaan lubuk yang kononnya menjadi tempat Boi bersembunyi memerhatikan Naipi dan Taroba!

Mengapa Monica membunuh diri? Dikatakan, akibat tekanan perasaan.

Difahamkan, setiap tahun pasti akan ada orang membunuh diri di air terjun ini. Selalunya wanita, akibat putus cinta..

Tapi, kisah diatas hanyalah mitos dan kebetulan saja. Air terjun Iguazu dan Kerongkong Syaitan sebenarnya adalah keindahan alam yang dicipta oleh Allah untuk kita renungkan, bagi menambah rasa cinta serta tunduk kita kepada-Nya..

BACA INI JUGA: Elisa Lam, Kematian Misteri Di Hotel Cecil

-Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

6 comments

Cantik utk pandangan mata, tapi bahaya klu berada dkt kawasan tu kan.. silap2 tergelincir mmg boleh maut tu..

Air terjun ni biasanya banyak ular..huhu

Selalu lihat gambar air terjun ni. Memang cantik dan teramat besar. Masih terpelihara dr sebarang pembangunan.

Kalaulah air terjun di Malaysia sepopular ini kan bagus..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon