Thursday, June 15, 2017

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (15 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (15 Jun)

Tarikh 15 Jun merupakan hari ke 166 (hari ke 167 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 199 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Kuar Voyager

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Bendera di Denmark.

Peristiwa

1215 - Raja John dari England memeterai Magna Carta secara terpaksa.

1389 - Dalam Pertempuran Kosovo, Turki menewaskan orang-orang Serbia dan Bosnia.

1667 - Jean-Baptiste Denys melakukan pemindahan darah berdokumen penuh pertama, memberikan darah seekor biri-biri kepada seorang budak lelaki.

1752 - Benjamin Franklin menjalankan ujikaji untuk membuktikan bahawa kilat ialah tenaga elektrik dengan menerbangkan wau dalam ribut petir.

1896 - Gempa bumi 7.2 Ms dan tsunami yang menyusul melanda Jepun, memusnahkan sekitar 9,000 rumah dan menyebabkan lebih 22,000 kematian.

1904 - Kapal stim PS General Slocum terbakar di Sungai East, New York, menyebabkan lebih 1,000 orang maut.

1954 - Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) diasaskan di Basel, Switzerland.

1978 - Raja Hussein dari Jordan mengahwini rakyat Amerika Lisa Halaby, yang kemudian bergelar Ratu Noor.

1996 - Tentera Republik Ireland Sementara (IRA) meletupkan sebutir bom di pusat bandar Manchester, England, mencederakan lebih 200 orang dan menyebabkan kerosakan meluas.

2001 - Republik Rakyat China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan membentuk Pertubuhan Kerjasama Shanghai.

2007 - Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas memansuhkan kerajaan demokrasi Hamas setelah konfliknya dengan Fatah bertambah tegang.

2010 - Penyiasatan Saville terhadap Ahad Berdarah mendapati Tentera Darat Britain "tiada justifikasi" untuk menembak 27 orang awam pada 1972.

2012 - NASA mengumumkan yang Voyager 1 (gambar) telah tiba di pinggir heliosfera, sempadan Sistem Suria.

Kelahiran

1892 - Raja Ahmad Raja Endut, seorang Menteri Besar Perlis pertama.

1969 - Oliver Kahn, pemain bola sepak FC Bayern Munich.

Kematian

1849 - James K. Polk, Presiden Amerika Syarikat ke-11.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (14 Jun)

sumber: wikipedia

Kenapa Kita Demam Jika Terkena Hujan?

Kenapa Kita Demam Jika Terkena Hujan?

Semestinya wujud hubung kait antara cuaca sejuk dengan demam, tetapi bukanlah secara langsung dan benarkah jika terkena air hujan akan menyebabkan kita demam?

Demam main hujan

Dari segi asasnya, seseorang itu perlu dijangkiti kuman terlebih dahulu sebelum menunjukkan gejala sesuatu penyakit.

Demam adalah keadaan peningkatan suhu badan daripada suhu normal 36 atau 37 darjah Celsius.

Peningkatan suhu badan adalah salah satu daripada cara sistem pertahanan badan menentang jangkitan kuman.

Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu seperti kuman yang terlalu kuat (virulent), suhu badan akan naik terlalu tinggi dan boleh menyebabkan komplikasi.

Pegawai perubatan kesihatan awam, Nur Faiza Mohd Tohit berkongsi mengenai punca menyebabkan seseorang itu demam selepas terkena hujan.

Apabila badan terkena hujan, suhu badan akan menurun sedikit. Jika keadaan pakaian seseorang itu basah lencun dan terdedah dalam tempoh yang lama di bawah hujan lebat, suhu badan akan turun lebih rendah hingga boleh menyebabkan hipotermia.

Hipotermia akan menyebabkan gangguan kepada fungsi tubuh, termasuk terhadap sistem pertahanan badan.

Kuman-kuman yang sudah sedia ada di dalam badan akan meneruskan serangan terhadap sistem pertahanan badan dan seterusnya mengakibatkan peningkatan suhu badan (demam), jelasnya menerusi perkongsian di laman Root of Science.

Tambahnya, selain itu, semasa suhu badan menurun, salur darah akan mengecut untuk mengelakkan kehilangan haba daripada badan dan memastikan suhu badan kembali ke tahap normal.

Pengecutan salur darah di bahagian hidung dan saluran pernafasan akan menyebabkan hidung tidak dapat menapis kuman dengan efisien.

Lendir di dalam salur pernafasan juga tidak dapat mengalir dengan lancar dan mengganggu proses penyingkiran kuman dari sistem pernafasan.

Inilah yang sebenarnya menyumbang kepada demam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Banyaknya Kebaikan Dan Amalan Ketika Hujan

sumber: sinarharian

Wednesday, June 14, 2017

Jawapan Untuk Pertanyaan Di Manakah Allah?

Jawapan Untuk Pertanyaan Di Manakah Allah?

Soalan: Anak saya yang baru di sekolah rendah beberapa kali bertanya, “Di manakah Allah?” Saya tidak tahu apakah jawapan yang sepatutnya diberikan. Suami saya pula terus melarang anak kami daripada bertanya soalan tersebut. Maka saya tertanya-tanya, bolehkah bertanya soalan “Di manakah Allah?” Jika boleh, apakah jawapannya?

Di Manakah Allah

Jawapan:

Apabila anak-anak kita bertanya tentang Allah, ia adalah petanda yang baik. Ia bererti mereka berminat untuk tahu lebih lanjut tentang pencipta mereka dan alam ini.

Ia lebih baik berbanding kebiasaan masyarakat kita yang lebih kerap memperkenalkan anak-anak tentang hantu dan pelbagai khurafat lain berbanding Allah.

Ia juga lebih baik berbanding kelaziman masyarakat kita yang suka fokus kepada pendidikan hukum-hukum fiqh berbanding pendidikan tauhid dan aqidah.

Dibolehkan bertanya “Di manakah Allah?” kerana Rasulullah SAW sendiri pernah bertanya kepada umat Islam pada zaman baginda soalan yang sama.

Hadis berikut menjadi rujukan:

Mu’awiyah bin al-Hakam al-Sulami menceritakan: Saya pernah memiliki seorang hamba wanita yang bekerja sebagai pengembala kambing di gunung Uhud dan al-Jawwaniyah (satu lokasi berhampiran gunung Uhud).

Pada satu hari aku pergi memeriksa, ternyata seekor serigala telah membawa lari seekor kambing. Saya adalah seorang lelaki daripada Bani Adam, aku marah sebagaimana mereka (Bani Adam) juga marah, lalu aku menampar (hamba tersebut).

Maka aku mendatangi Rasulullah SAW (dan menceritakan apa yang berlaku), lalu baginda memandang berat apa yang telah aku lakukan (yakni menampar hamba wanita itu).

Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah saya memerdekakannya?” Baginda menjawab, “Bawa hamba itu kepadaku.”

(Setelah dibawa menghadap Rasulullah), baginda bertanya, “Di manakah Allah?” Hamba itu menjawab, “Di atas langit.”

Baginda bertanya lagi, “Siapakah aku?” Hamba itu menjawab, “Kamu ialah Rasulullah.” Maka Rasulullah bersabda, “Merdekakanlah dia kerana dia seorang wanita yang beriman.”

Hadis ini sahih, dikemukakan oleh Imam Muslim dalam kitab Shahihnya, hadis no: 836/537.

Di dalamnya terdapat beberapa pengajaran.

Pertama, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memandang perbuatan menampar seorang hamba wanita sebagai satu kesalahan yang berat. Baik wanita hamba atau wanita merdeka, Islam menegah seorang lelaki daripada mengasari mereka.

Kedua, Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut, “Di manakah Allah?” Pertanyaan ini menunjukkan ia adalah sesuatu yang dibolehkan dan bukan satu kesalahan.

Bahkan jawapan daripada pertanyaan ini Rasulullah jadikanlah sebagai salah satu kayu ukur bagi menentukan sama ada hamba tersebut adalah seorang wanita beriman atau tidak.

Oleh itu berdasarkan hadis ini, dibolehkan bertanya “Di manakah Allah?” dan jawapannya ialah “Di atas langit.”

Sebenarnya jika kita mengkaji al-Qur’an, terdapat ayat-ayat yang menunjukkan bahawa Allah di atas langit.

Contohnya dalam surah al-Mulk, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman: "Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di atas langit bahwa Dia akan menunggang balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang? atau apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di atas langit bahwa Dia akan mengirimkan angin ribut yang berbatu? Maka kelak kamu akan mengetahui bagaimana (akibat mendustakan) peringatan-Ku?" [al-Mulk 67:16-17]

Oleh itu termasuk pendirian Ahli Sunnah wal Jamaah ialah berkeyakinan bahawa Allah di atas langit. Pendirian ini memerlukan dua penjelasan lanjut.

Pertama: Apabila dikatakan Allah di atas langit, ia tidak bererti Allah memiliki tempat sebagaimana yang lazim difahami oleh manusia. Ini kerana Allah di langit sesuai dengan ciri dan sifat-Nya yang tidak sama langsung dengan apa yang difahami oleh makhluk.

Dalam surah al-Ikhlas yang kerap kali kita baca, Allah menyatakan tentang diri-Nya: "Dan tidak ada apapun yang serupa dengan-Nya." [al-Ikhlas 112:04]

Dalam ayat yang lain, Allah menyatakan: "Tiada sesuatupun yang semisal dengan-Nya (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat." [al-Syura 42:11]

Oleh itu kita katakan dan berkeyakinan, Allah di atas langit sesuai dengan sifat-Nya, bukan dengan sifat yang difahami oleh manusia.

Kedua: Apabila kita membaca di dalam al-Qur’an ayat-ayat yang menerangkan kedekatan Allah kepada manusia, maka ia bermaksud rahmat-Nya atau ilmu-Nya.

Contohnya ialah ayat berikut: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu." [al-Baqarah 2:186]

Hampir yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah ilmu Allah, bermaksud Allah mengetahui doa serta hajat orang-orang yang berdoa kepada-Nya.

Penjelasan ini secara keseluruhannya mungkin dianggap berat untuk difahami, apatah lagi untuk dijelaskan kepada anak-anak.

Oleh itu berdoalah kepada Allah agar kita diberikan kefahaman yang baik lagi tepat tentang-Nya dan dapat menjelaskannya secara hikmah kepada anak-anak kita.

Sesungguhnya ilmu tauhid dan aqidah adalah ilmu yang penting lagi mulia, maka hendaklah berusaha dan memberi keutamaan kepadanya.

BACA INI JUGA: 25 Janji Allah Kepada Manusia Yang Sentiasa Beristighfar

sumber: hafizfirdaus

Kenapa Sebenarnya Arab Memusuhi Qatar?

Kenapa Sebenarnya Arab Memusuhi Qatar?

“Jika bangsa Arab menjadi hina, Islam akan turut dihina” (Hasan al-Banna) Arab Saudi, Mesir, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, kerajaan Yaman dan Libya pro-Saudi, serta terbaru Maldives telah memutuskan hubungan dengan Qatar.

Qatar

Sebenarnya tindakan mengejutkan sebegini bukan kali pertama kerana pada 2014 Arab Saudi, Bahrain, dan UAE pernah memanggil pulang duta mereka dari Qatar.

Apakah ‘dosa’ negara kepulauan kecil di sebelah Semenanjung Arab itu? Mengapa Qatar yang selama ini dilihat antara sekutu Arab kini tiba-tiba dimusuhi?

Antara tuduhan terhadap Qatar ialah “menyokong aktiviti keganasan” dan “menggugat kestabilan serantau” serta memiliki hubungan baik dengan pertubuhan seperti “Ikhwan Muslimin, ISIS, dan al-Qaeda”.

Qatar turut dituduh menyokong agenda Iran dan Syiah di Qatif (Saudi) dan Bahrain. Sebelum itu ada tuduhan yang telah pun dinafikan kononnya pemimpinnya Emir Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyokong Iran, Hamas, Hezbullah, dan Israel di samping tidak yakin “berapa lama Trump akan bertahan sebelum dipecat di Amerika”.

Sememangnya Qatar merupakan salah satu daripada negara Arab utama yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Malah Qatar turut menyertai latihan ketenteraan North Thunder anjuran Arab Saudi pada 2016.

Qatar bahkan terkehadapan dalam mengiktiraf pencerobohan kuasa Barat ke atas rejim Muammar Gaddafi di Libya serta bersama GCC Arab menentang pemberontakan di Bahrain.

Namun berbeza dengan negara Arab lain, Qatar mesra Ikhwan Muslimin dan Rusia. Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi, UAE, dan Mesir yang kini menganggap pertubuhan tersebut sebagai pengganas.

Qatar bukan sahaja mengadakan hubungan rapat dengan Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut melindungi kepimpinan Ikhwan. Ilmuan Prof. Yusuf Al-Qaradhawi yang dianggap pemikir Ikhwan turut diberi suaka politik di Qatar.

Sewaktu kepimpinan Morsi, Qatar dilaporkan mendepositkan sebanyak USD 2 bilion kepada Bank Negara Mesir, meningkatkan pelaburannya sebesar 74 peratus di Mesir.

Doha juga secara umumnya menyokong peristiwa Arab Spring yang menaikkan kepimpinan bercitra Islamis di rantau Teluk, sedangkan Arab Saudi, Bahrain, dan UAE kurang selesa dengan kebangkitan sedemikian.

Malah terdapat dakwaan bahawa sokongan Qatar telah membantu kejayaan gerakan pro-Ikhwan Muslimin dalam pilihan raya pasca-Arab Spring di Mesir, Maghribi, dan Tunisia.

Ditambah dengan faktor kewangan yang kuat dan penglibatan aktif Qatar di pentas antarabangsa telah menjadikannya pesaing yang serius.

Qatar semakin berani mendedahkan urusan di sebalik tabir yang kurang disenangi negara jiran Arabnya. Terkini pada 2017 baru-baru ini tentang emel kerjasama UAE-Israel.

Laporan stesen penyiaran Qatar, iaitu Al-Jazeera menyatakan bahawa penggodam telah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef al-Otaiba dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for Defense of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk memburukkan imej Qatar di rantau Asia Barat.

Pada 2015 Al-Jazeera turut menyiarkan imej ngeri orang awam yang menjadi mangsa serangan Mesir selepas Presiden Morsi digulingkan, sekali gus memburukkan hubungan Qatar-Mesir.

Malah pada 2016 dua pekerja Al-Jazeera dihukum mati oleh Mahkamah Mesir kerana didakwa membocorkan dokumen keselamatan sulit Mesir kepada Qatar sewaktu pemerintahan Morsi.

Hasilnya imbangan kuasa di Timur Tengah kini semakin boleh dibahagikan kepada tiga blok: pada satu sudut, Arab Saudi, Bahrain, Mesir, dan UAE.

Manakala pada sudut yang lain ialah Qatar, Turki, Hamas di Palestin, Sudan, serta Tunisia dan Maghribi yang lebih lunak dengan Ikhwan manakala Iran, Syria dan Hizbullah mewakili satu lagi blok yang berpengaruh. Perkembangan ini bakal mengimpak situasi di Yaman dan Syria yang masih bergolak.

Di peringkat global pula, meskipun Qatar mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun ia juga semakin rapat dengan Rusia.

Amerika bukan sahaja memiliki dua pangkalan udara dan tentera di Qatar, bahkan turut membekalkan pelbagai aset ketenteraan seperti helikopter, sistem pertahanan, dan peluru berpandu kepada Doha.

Namun hubungan Qatar-Rusia makin erat apabila terkini perjanjian syarikat minyak antara Rosneft (Rusia) dengan Qatar dan Glencore (Switzerland) ditandatangani, menyusuli pembelian saham Bank V.T.B.

Rusia dan juga pelaburan dalam pembinaan lapangan terbang Pulkovo St. Petersburg oleh Qatar, sedangkan Rusia berada dalam sekatan antarabangsa.

Aset Qatar di Rusia kini berjumlah USD 2.5 bilion, suatu perkembangan yang pastinya tidak menyenangkan seteru Moscow.

Kebetulan, Rusia ialah penganjur Piala Dunia 2018 manakala Qatar pula penganjur Piala Dunia 2022.

Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BACA INI JUGA: 'Peperangan Harus Dimulakan Di Bumi Iran'

sumber: sinarharian

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (14 Jun)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (14 Jun)

Tanggal 14 Jun merupakan hari ke 165 (hari ke 166 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 200 hari sebelum memasuki tahun selepasnya.

Enjin bezaan
Enjin bezaan.

Hari ini merupakan sambutan Hari Pembebasan di Kepulauan Falkland dan Georgia Selatan dan Kepulauan Sandwich Selatan (1982), serta Hari Bendera di Amerika Syarikat.

Mari kita baca apa peristiwa dunia yang telah berlaku hari ini dalam sejarah.

Peristiwa

1381 - Raja Richard II dari England bertemu dengan para pemimpin Pemberontakan Petani.

1777 - Kongres Benua Kedua menerima reka bentuk bintang dan jalur untuk bendera Amerika Syarikat.

1822 - Charles Babbage mencadangkan enjin bezaan (gambar) dalam satu kertas kerja kepada Persatuan Astronomi Diraja (Royal Astronomical Society).

1940 - Perang Dunia Kedua: Empat hari selepas kerajaan Perancis meninggalkan Paris, angkatan Jerman Nazi mendudukinya, pada asasnya menamatkan Pertempuran Perancis.

1982 - Angkatan Argentina di Pelabuhan Stanley menyerah kepada tentera British, pada dasarnya menamatkan Perang Falkland.

1985 - Penerbangan 847 TWA dirampas sejurus selepas berlepas dari Athens, dan kemudian terbang beberapa kali di antara Beirut dan Algiers.

1985 - Perjanjian Schengen, yang menghapuskan kawalan sempadan sistematik antara negara Eropah terlibat, ditandatangani lima daripada sepuluh negara anggota Komuniti Ekonomi Eropah.

2012 - Mahkamah Perlembagaan Agung Mesir membubarkan parlimen negara itu.

Kelahiran

1946 - Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat.

Kematian

1971 - Carlos P. Garcia, Presiden Filipina ke-8.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (13 Jun)

sumber: wikipedia

Sambutan Nuzul Al-Qur'an

Sambutan Nuzul Al-Qur'an

Saban tahun menjelang 17 Ramadhan umat Islam di Malaysia akan menyambut ulang tahun Nuzul al-Quran walaupun para ulama masih berselisih pandangan tentang tarikh sambutannya.

Nuzul Al-Qur'an

Ada ulama yang mengatakan 17 Ramadhan bersempena firman Allah dalam surah al-Anfal [8:41]. Ada juga berkata 21 Ramadhan (al-Rahiq al-Makhtum) dan 24 Ramadhan.

Pendapat 24 Ramadhan dipegang oleh para ulama hadis berdasarkan sabda Rasulullah, “Suhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pada 6 Ramadhan, Injil pada 13 Ramadhan, Zabur pada 18 Ramadhan dan al-Qur'an pada 24 Ramadhan.” - Musnad Ahmad.

Walaupun begitu, jangan pula kita tersalah fokus. Bukan tarikh yang perlu diketengahkan dalam perbincangan berkaitan Nuzul al-Quran tetapi sejauh mana semangat kita menghayati isi kandungan al-Quran.

Khazanah Dunia Akhirat

Al-Qur'an adalah kitab suci yang mengumpulkan segala khazanah dunia dan akhirat. Bicaranya mengandungi tajwid, tarannum, tahfiz, tafsir, ekonomi, falsafah, jihad, perubatan, psikologi, kejuruteraan, ketenteraan dan segalanya.

Semakin banyak kajian dibuat terhadap al-Quran maka para pengkaji akan semakin lemas dan mabuk dalam lautan ilmu Allah yang tidak bertepi dan berdasar.

Setiap patah ayat al-Quran adalah cerminan kuasa dan ilmu Allah yang tiada taranya sebagaimana firman Allah:

“(Orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran al-Quran yang telah diturunkan-Nya kepadamu. “Allah menurunkannya dengan ilmu-Nya,” dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).” (al-Nisa’ [4:166])

Bayangkan apa akan jadi jika Allah tidak menurunkan al-Quran kepada Rasulullah SAW? Kita pasti tidak akan mengenali siapa baginda.

Kita juga mungkin tidak akan mengenali Islam dan siapa Tuhan kita. Kita mungkin masih bergelumang dengan berbagai anutan agama yang tidak tentu jalan akhirnya.

Oleh itu kita wajib bersyukur seumur hidup kerana rahmat dan kasih sayang Allah yang menurunkan kitab ini. Syukur dengan Nuzul al-Quran bermaksud mengambil segala isi kandungannya secara benar, menyeluruh dan adil.

Kita tak mahu orang Islam yang cacat iman berinteraksi dengan al-Quran. Kita tak mahu Muslim yang lidahnya tidak putus membaca al-Quran namun akhlaknya yang buruk memfitnah kesucian al-Quran.

Kita juga tak mahu Muslim yang agresif memperjuang tajwid dan seni lagu al-Quran tetapi sangat “alahan” untuk mengamalkan isi kandungannya. Kita tak mahu merosakkan rasa syukur Nuzul al-Quran dengan semua itu.

Selamat menyambut Nuzul Al-Qur'an.

BACA INI JUGA: Makna Dan Sejarah Nuzul Al-Qur'an

sumber: utusan

Sambutan Hari Derma Darah Sedunia, World Blood Donor Day

Sambutan Hari Derma Darah Sedunia, World Blood Donor Day

Sambutan Hari Derma Darah Sedunia, World Blood Donor Day disambut pada 14 Jun setiap tahun oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menggalakkan masyarakat menderma darah untuk menyelamatkan orang lain.

World Blood Donor Day

Sambutan Hari Derma Darah Sedunia disambut bagi menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan menderma darah.

Kempen menggalakkan rakyat yang layak menderma darah ini perlu dijalankan kerana tabung darah hospital sering berdepan dengan stok darah yang kritikal untuk digunakan oleh mereka yang memerlukan pemindahan darah.

Masyarakat perlu disedarkan bahawa menderma darah adalah satu amalan sukarela yang terpuji dan tidak ternilai sumbangannya.

Darah adalah cecair berwarna yang merah mengalir di dalam tubuh manusia dan binatang. Darah mempunyai 'kuasa’ menggerakkan aktiviti badan seperti petrol menghidupkan mesin.

Setakat ini belum ada unsur lain dapat menggantikan fungsi darah dan dipercayai tidak akan ada ciptaan manusia dapat menggantikannya.

Darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.

Manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB.

Kumpulan darah O boleh menerima darah dari kumpulan darah O sahaja. Bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima.

Kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah. Begitulah uniknya darah.

Di dalam badan manusia mengandungi sembilan hingga 10 pain darah. Individu yang mengalami kekurangan darah melebihi tiga pain akan menghadapi masalah perjalanan fungsi organ badan yang boleh membawa maut. Satu-satunya cara menyelamatkan mangsa adalah melalui proses pemindahan darah.

Justeru itu, amatlah penting bagi setiap anggota masyarakat memahami kepentingan untuk menderma darah kerana setiap darah yang didermakan mampu menyelamatkan nyawa.

Selamat menyambut Hari Derma Darah Sedunia.

BACA INI JUGA:

sumber: kk.usm

21 Barangan Harga Kawalan Sempena Ramadhan 2017

21 Barangan Harga Kawalan Sempena Ramadhan 2017

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 21 jenis barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena Hari Raya Puasa tahun 2017 ini.

Barangan Kawalan

Kawalan itu akan berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 30 Jun 2017 iaitu selama 14 hari, lapan hari sebelum perayaan, satu hari pada hari raya dan lima hari selepas perayaan.

Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Harga maksimum ditentukan bagi 21 barangan harga terkawal di 91 daerah di Semenanjung; 32 daerah di Sarawak; 27 daerah di Sabah dan sebuah daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit adalah melalui maklumat daripada pemantauan harga sepanjang 2016 hingga Jun 2017 berdasarkan kepada pungutan harga yang ditetapkan secara mingguan oleh KPDNKK.

KPDNKK juga mendapatkan pandangan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut.

Berikut senarai 21 barangan tersebut:

1. Ayam hidup.

2. Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya).

3. Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

4. Telur ayam gred A.

5. Telur ayam gred B.

6. Telur ayam gred C.

7. Daging lembu tempatan (tidak dikawal di Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan).

8. Daging lembu import (dikawal di Sarawak sahaja).

9. Daging kerbau import (India) (tidak dikawal di Sarawak).

10. Cili merah.

11. Tomato.

12. Kubis bulat import (Indonesia dan China kecuali kubis Beijing).

13. Kelapa biji (dikawal peringkat borong sahaja).

14. Kelapa parut (dikawal peringkat runcit sahaja).

15. Bawang merah kecil (India).

16. Bawang putih (China).

17. Bawang besar import.

18. Ubi kentang import (China).

19. Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram).

20. Ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram).

21. Ikan aya/tongkol (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) (dikawal di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja).

Denda Berat

Pegawai penguat kuasa KPDNKK akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan bagi mengelak aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

KPDNKK akan mendapatkan kerjasama daripada Friends of KPDNKK, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Skuad Pengguna, penghulu dan ketua masyarakat untuk membantu kementerian dengan memantau dan memberi maklum balas mengenai pelaksanaan skim ini.

Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ialah denda sehingga RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun maksimum RM50,000 bagi individu.

Syarikat yang gagal mematuhi harga ditetapkan pula akan didenda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000, katanya.

Bagi peniaga yang gagal meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu pula bakal berdepan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan denda maksimum RM20,000 atau kompaun sehingga RM10,000 bagi syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Minyak Naik, Rakyat Sakit ‘Tuh Di Sini’

sumber: sinarharian

Tuesday, June 13, 2017

Video Ultraman Menari Lagu Raya Viral

Video Ultraman Menari Lagu Raya Viral

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan umat Islam setelah sebulan berjaya menahan lapar dan dahaga sepanjang Ramadan.

Ultraman

Bagi meraikan hari kemenangan ini, banyak lagu-lagu raya dihasilkan bagi menambahkan kemeriahan mood raya.

Banyak lagu raya nostalgia dan viral segar sering dialun dan menjadi kewajipan dimainkan di corong-corong radio dan pusat membeli-belah.

Antara yang menjadi kegemaran pastinya lagu Selamat Hari Raya nyanyian Allahyarhamah Sharifah Aini, Dendang Perantau (Allahyarham Tan Sri P. Ramlee), Sesuci Lebaran (Datuk Siti Nurhaliza) dan Satu Hari Di Hari Raya (Datuk M. Nasir).

Namun kesucian lagu-lagu raya telah dicemari dengan perbuatan ‘kreatif’ sesetengah pihak yang seolah-olah menghina perayaan Aidilfitri itu sendiri.

Bagi individu yang mengedit video tarian Ultraman sedang menari lagu raya dalam aksi penuh ghairah ini pastinya dia mempunyai pengetahuan kosong dalam mendalami erti-erti serta semangat raya yang sepatutnya diaplikasikan olehnya.

Dengan mengedit video seperti ini, mungkin sekali pandang, nampak macam lawak, tapi macam tak berapa sesuai pula.

BACA INI JUGA: Ultraman Disamakan Dengan Allah!


sumber: mynewshub

Misteri Kematian Julia Perez Diramal 3 Tahun Sebelumnya!

Misteri Kematian Julia Perez Diramal 3 Tahun Sebelumnya!

Ramai daripada kita pasti tidak percaya dengan ramalan nasib, apatah lagi sebagai umat Islam dilarang percaya dengan perkara begini dan wajib percaya kepada qada’ dan qadar Allah.

Misteri Kematian Julia Perez

Namun, dalam sebuah tilikan yang dilakukan terhadap arwah Julia Perez atau Jupe, ternyata ramalan tersebut tepat dan sememangnya menakutkan!

Dalam sebuah video yang dirakam untuk sebuah program televisyen Pesbukers, pengakhiran hidup Jupe telah diramalkan oleh pasangan tukang tilik terkenal Indonesia iaitu Denny Darko dan Vina Candrawati – tiga tahun sebelum kematiannya!

Julia Perez
Vina melukis ramalan nasib Jupe yang kelihatan seperti awan mendung di langit.

Vina, yang terkenal dengan bakat melukis di atas pasir turut disegani kerana kebolehannya meramal nasib seseorang melalui daun terup.

Proses penilikan itu dimulakan dengan mencabut sekeping kad daripada buku daun terup yang sudah dikocok.

Setelah dipilih, Jupe tidak dibenarkan untuk memberi sesiapa melihat kadnya.

Julia Perez
Jupe pada awalnya ceria kelihatan takut dan memeriksa kembali kad dipillihnya.

Vina kemudiannya mengarahkan Jupe untuk memegang bahunya sambil menggambarkan di atas pasir tilikan tersebut.

Tiba-tiba, Vina menangis tersengguk-sengguk dan memanggil suaminya kerana tidak sanggup untuk memberitahu apakah ramalannya itu.

Pada saat ini, Jupe yang pada awalnya ceria serta-merta kelihatan risau dan meminta Vina menjelaskan maksud di sebalik kad yang dipilihnya.

Julia Perez
Denny Darko menyambung tilikan setelah isterinya tidak sanggup meneruskan.

Denny Darko pun muncul dan memberitahu apakah ramalan yang didapati isterinya itu.

Menurut Denny, wanita cantik yang digambarkan di atas pasir itu mempunyai segalanya namun sering melihat ke luar jendela mahligai mewahnya dan melihat awan hitam di luar.

Namun begitu, Denny tidak menjelaskan lebih lanjut jika wanita yang digambarkan itu mirip Jupe atau tidak.

Julia Perez
Gambaran tilikan akhir yang dibuat oleh Denny.

Video ramalan itu kembali viral setelah pulangnya Jupe ke rahmatullah pada Sabtu, 10 Jun lalu setelah tiga tahun menderita penyakit kanser serviks.

Ramai yang berasa terkejut dan taksub dengan ketepatan ramalan yang dibuat oleh pasangan suami isteri itu, beberapa tahun sebelum Julia Perez meninggal dunia.

BACA INI JUGA:


sumber: mynewshub

Mengapa Arab Lebih Memusuhi Hamas dan Ikhwan Muslimin Berbanding Israel?

Mengapa Arab Lebih Memusuhi Hamas dan Ikhwan Muslimin Berbanding Israel?

Mengapa Hamas dan Ikhwan Muslimin lebih dimusuhi sebahagian negara Arab berbanding Israel? Mengapa Qatar yang melindungi dan membantu kedua-dua gerakan ini ditekan sebegitu hebat sekali?

Kenapa Arab musuhi Hamas dan Ikhwan

Sedangkan Israel lebih dahsyat ancamannya pada waktu ini dengan menduduki tanah Palestin secara haram dan besar-besaran?

“Musuh Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”

Ada tiga jawapan yang saling berkait iaitu:
  1. menjaga hubungan dengan Amerika yang memberi pulangan ‘petroDollar’ kepada negara Arab
  2. memelihara proksi Arab Saudi di Timur Tengah dan
  3. menyekat potensi pesaing kepada kepimpinan Arab Saudi pada masa hadapan

Krisis Qatar memasuki episod baru apabila Arab Saudi memberi amaran agar Qatar segera memutuskan hubungan dengan Hamas dan Ikhwan Muslimin.

Sama sekali bukan rahsia bahawa Hamas ialah benteng yang menghalang Palestin daripada dijajah Israel sejak sekian lama.

Ikhwan Muslimin pula bukan sekadar pernah membantu perkembangan pendidikan di dunia Arab yang dahulu dibelenggu buta huruf yang kritikal, tetapi juga dalam sektor perniagaan, kesihatan dan kesukarelawanan.

Ikhwan Muslimin mempunyai sejarah panjang yang cukup berpengaruh dalam peta dunia Arab hari ini.

Malah Hamas di Palestin sebenarnya ialah cawangan Ikhwan Muslimin yang ditubuhkan oleh As-Syahid Sheikh Ahmed Yassin.

Membezakan Ikhwan Muslimin dengan gerakan politik lain ialah doktrin fundamentalnya dengan Islam, termasuklah berkenaan menolak hegemoni Amerika Syarikat dan penjajahan Zionis.

Sebaliknya raja-raja negara Arab memerlukan sistem petrodollar Amerika di mana hasil petroleum mereka yang dilaburkan dalam mata wang Dollar memberi pulangan yang jauh lebih besar berbanding melabur atau menggunakan hasil minyak dalam negara mereka semata-mata.

Berkembangnya pengaruh Ikhwan dalam negara mereka bakal menjejaskan pulangan lumayan petroleum mereka ini bila mana legitimasi politik mereka terhakis lalu menjejaskan hubungan dengan Washington.

Umum mengetahui bahawa Washington dipengaruhi kuat para pelobi pro-Israel lantas jika negara Arab ini memberi pengiktirafan kepada Hamas dan Ikhwan yang dianggap sebagai ‘pengganas’ oleh Israel dan Amerika, maka pendapatan lumayan mereka bakal terjejas.

Perlu diketahui pendapatan ini bukan hanya menampung pentadbiran negara mereka, tetapi juga membiayai ‘survival’ atau kelangsungan rejim monarki yang digasak hebat arus pendemokrasian.

Kedua-dua gerakan Hamas dan Ikhwan juga mencabar secara langsung sekutu atau proksi Arab Saudi di dua kawasan berpengaruh iaitu rejim Al-Sisi Mesir dan autoriti Palestin pimpinan Fatah yang direstui Arab Saudi.

Mesir ialah sekutu penting bagi Arab Saudi kerana bukan sahaja jumlah populasinya yang besar, tetapi juga kerana lokasi strategiknya, di samping saiz angkatan tentera kedua terbesar dalam kalangan negara Islam selepas Turki.

Maka apabila Al-Sisi menghapuskan dasar bantuan Mesir kepada Hamas Palestin seperti mana yang dilaksanakan di era Morsi, ia memberi isyarat yang positif untuk bersekutu dengan Arab Saudi yang menjaga kepentingan hubungan baik dengan Amerika, iaitu sekutu Israel.

Fatah pula lebih mudah untuk menjadi pelaksana agenda Arab Saudi di Palestin berbanding Hamas, terutama sekali apabila melibatkan rundingan dengan Israel.

Hal ini dipengaruhi keengganan Hamas untuk berunding sama sekali dengan Israel selagi mana penjajahan dan pendudukan haram Yahudi di tanah Palestin berleluasa.

Sebaliknya pendekatan lunak Fatah bakal memberi laba imej ‘positif’ Arab Saudi di mata Washington – disamping memelihara reputasinya sebagai pemimpin dunia Islam, meskipun rundingan demi rundingan terbukti kurang berhasil tanpa langkah ofensif.

Lingkungan pengaruh Ikhwan Muslimin yang luas di Qatar, Mesir, dan negara-negara Arab lain turut dianggap sebagai ancaman strategik jangka panjang buat rejim monarki.

Ikhwan Muslimin bukan semata-mata gerakan politik, tetapi juga ialah gerakan profesional serta dakwah yang tersebar luas yang berupaya menyebarkan pengaruh dalam kalangan massa.

Maka berbeza dengan iklim politik yang agak terbendung di beberapa negara Teluk, gerakan Ikhwan Muslimin berupaya untuk bergerak secara aktif dan meluaskan pengaruh dalam sistem berasaskan demokrasi.

Maka jika Turki pada hari ini yang mesra Ikhwan Muslimin sahaja sudah berupaya untuk menyaingi hegemoni Arab Saudi dalam Dunia Islam, tentu sekali jika lebih banyak negara lain berjaya dikuasai Ikhwan Muslimin maka pengaruh dan kepimpinan Arab Saudi akan lebih terpinggir.

Lihat sahaja respon Arab Saudi dan sekutunya setiap kali gerakan Islamis dan Ikhwan Muslimin berjaya selepas memenangi pilihan raya di mana-mana negara, sama ada di Mesir, Turki, Algeria, mahu pun di Palestin sendiri.

Ringkasnya, “Musuh Israel ialah musuh Amerika, manakala musuh Amerika ialah musuh Arab – Tetapi Arab pula bukanlah sahabat Israel”.

Soalannya kini, selama manakah hubungan status quo segi tiga secara tidak langsung antara Arab Saudi, Amerika Syarikat, dengan Israel ini akan berkekalan?

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian