Saturday, March 11, 2017

9 Motosikal 250cc Pilihan Terbaik Di Malaysia

9 Motosikal 250cc Pilihan Terbaik Di Malaysia

Kuasa? Kelajuan maksimum? Atau keterujaan? Penampilan lumba (racing) dengan fairing penuh? Bentuk kompak dan tiada ruang untuk menyimpan barang? Pecutan maksimum? Daya maneuver yang tinggi dan kestabilan?

Jika ciri-ciri di atas anda mahukan, maka apa yang sesuai untuk anda adalah di dalam kategori SUPERBIKE.

CC adalah 250. Direka khas untuk kelajuan yang tinggi dengan posisi menunggang, frame, adjustable suspension dan fairing yang mampu untuk mengurangkan rintangan angin.

Motorsikal-motorsikal ini memerlukan gaya tunggangan yang agresif!

Berikut adalah 9 Motosikal 250cc Pilihan Rakyat Malaysia

1. Yamaha YZF R25

Yamaha YZF R25

Harga: RM 20,206.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 8 injab
Susunan Silinder: 2 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 14 liter
Kuasa Kuda: 26.5 kW @ 12,000 RPM
Tork: 22.6 Nm @ 10,000 RPM

2. Honda CBR 250

Honda CBR 250

Harga: RM 21,728.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 13 liter
Kuasa Kuda: 20.2 KW @ 8,500 RPM
Tork: 23.3 Nm @ 7,500 RPM

3. Kawasaki Ninja 250 FI

Kawasaki Ninja 250 FI

Harga: RM 22,000.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 8 injab
Susunan Silinder: 2 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 17 liter
Kuasa Kuda: 23.5 kW @ 11,000 RPM
Tork: 21.0 Nm @ 10,000 RPM

4. Kawasaki Ninja 250 SL

Kawasaki Ninja 250 SL

Harga: RM 17,349.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 11 liter
Kuasa Kuda: 20.6 kW @ 9,700 RPM
Tork: 22.6 Nm @ 8,200 RPM

5. Kawasaki Z 250

Kawasaki Z 250

Harga: RM 21,329.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 8 injab
Susunan Silinder: 2 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 17 liter
Kuasa Kuda: 23.5 kW @ 11,000 RPM
Tork: 21.0 Nm @ 10,000 RPM

6. Kawasaki Z 250 SL

Kawasaki Z 250 SL

Harga: RM 15,389.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 11 liter
Kuasa Kuda: 20.6 kW @ 9,700 RPM
Tork: 22.6 Nm @ 8,200 RPM

7. KTM RC 250

KTM RC 250

Harga: RM 18,800.00
CC Enjin: 248.8
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 10 liter
Kuasa Kuda: 23.1 kW @ 9,000 RPM
Tork: 24.0 Nm @ 7,250 RPM

8. KTM Duke 250

KTM Duke 250

Harga: RM 17,800.00
CC Enjin: 248.8
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 10 liter
Kuasa Kuda: 23.1 kW @ 9,000 RPM
Tork: 24.0 Nm @ 7,250 RPM

9. SYM T2 250i

SYM T2 250i

Harga: RM 16,800.00
CC Enjin: 249
Jenis Enjin: 4 lejang 4 injab
Susunan Silinder: 1 silinder
Kapasiti Tangki Minyak: 14 liter
Kuasa Kuda: 18.6 kW @ 7500 rpm
Tork: 23.0 Nm @ 6,000 RPM

Semoga memudahkan pilihan buat peminat motosikal berkuasa besar.

BACA INI JUGA: Motosikal Enjin Diesel Sudah Dicipta Tapi Kenapa Tidak Dikomersilkan?

Sumber: vox.mk

Penggodam Elit Sebagai Perisik Korea Utara Aktif Di Malaysia?

Penggodam Elit Sebagai Perisik Korea Utara Aktif Di Malaysia?

Ketika kerajaan Malaysia dan Korea Utara cuba menyelesaikan isu ketegangan hubungan diplomatik, tumpuan kini terarah kepada kehadiran lebih 1,000 rakyat republik itu di Malaysia.

Perisik Korea Utara

Ekoran pembunuhan warga Korea Utara Kim Jong Nam yang menggunakan nama “Kim Chol”, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) telah menimbulkan minat banyak pihak terhadap operasi risikan Pyongyang di Malaysia.

Berselindung di sebalik kerjaya dalam pelbagai bidang, sumber memberitahu bahawa kehadiran rakyat Korea Utara di negara ini dirancang bagi membentuk rangkaian risikan yang teratur.

Maka tidak sukar untuk memahami mengapa kebanyakan warga Korea Utara terdiri daripada pakar teknologi maklumat (IT) berselindung kerjaya di syarikat-syarikat tempatan di Cyberjaya -- untuk memudahkan mereka mengumpul maklumat dan data secara dalaman.

"Mereka ini bukanlah orang sembarangan kerana telah terlebih dahulu dilatih khas sebelum dipilih oleh pihak rejim untuk bekerja di luar negara.

"Kehadiran mereka di Malaysia sambil ditaja syarikat tempatan, bukan setakat untuk bekerja tetapi juga menjadi perisik terlatih," kata sumber.

Kumpulan ini juga adalah sebahagian daripada kira-kira 100,000 warga Korea Utara bekerja di luar negara dan menjadi sumber berharga apabila turut mengirim mata wang asing daripada usaha mereka kepada rejim itu.

Malahan dikatakan setiap keluarga Korea Utara di luar negara tertakluk kepada arahan untuk melaporkan diri ke kedutaan setiap bulan dan jika pulang ke negara asal pula mereka akan dikerah mengikuti 'kursus pemulihan" sebelum kembali ke dalam masyarakat.

Difahamkan selain bidang IT, rakyat Korea Utara juga aktif bekerja dalam bidang perlombongan arang batu di Sarawak selain menjadi rakan kongsi dengan rakyat Malaysia dalam sektor perniagaan.

"Mereka cuba untuk mengeksport barangan Malaysia ke Korea Utara dan juga sebaliknya walaupun tahu ramai pihak menyedari negara mereka dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Menurut sumber, menjadi lumrah majikan membayar terus gaji para pekerja itu kepada kedutaan Korea Utara di sini manakala pekerja asing itu hanya dibayar elaun sara hidup.

"Pihak kedutaan kebiasaannya membawa wang keluar dari Malaysia dalam bentuk tunai kerana mereka tidak boleh membuat transaksi dalam talian berikutan sekatan oleh PBB ke atas Pyongyang.

"Mereka akan membawa beg mengandungi wang melalui kawalan keselamatan di lapangan terbang menggunakan keistimewaan diplomatik," katanya merujuk kepada tiada tindakan halangan pihak berkuasa lapangan terbang.

Sumber itu juga bertanya, mengapa lebih ramai warga Korea Utara bekerja di dalam sektor IT berbanding sektor lain dan bagaimana republik itu mampu melahirkan pakar-pakar IT yang ramai?

Sumber itu berkata, jawapannya terdapat di sebuah portal berita 'HackRead', beroperasi di Milan, Itali, apabila mendedahkan bahawa wujud satu unit khas berkaitan infrastruktur IT milik rejim Korea Utara yang dikenali sebagai 'Bureau 121', -- yang menempatkan sebuah kumpulan elit terdiri daripada penggodam terlatih untuk melaksanakan tugas pengintipan siber dan jenayah siber.

Melayari portal berita itu, pembaca akan menemui siri temu bual portal berita itu bersama Profesor Kim Heung Kwang, warga Korea Utara yang melarikan diri ke Korea Selatan pada 2004.

Berdasarkan petikan, Prof Kim mengaku pernah mengajar subjek Sains Komputer di Korea Utara selama 20 tahun kepada kumpulan elit itu dan tidak hairlanlah mengapa kumpulan "Bureau 121" sahaja dibenarkan mempunyai akses internet atau meninggalkan negara itu.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, ejen risikan yang bergerak aktif itu tidak dapat lari daripada pemerhatian pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan mereka tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

"Semua perkhidmatan risikan di rantau ini menyedari perkara ini dan sepanjang masa operasi rahsia bagi memantau aktiviti Korea Utara giat dibuat,” katanya.

BACA INI JUGA: 7 Penggodam Paling 'Hebat' Di Dunia!

Sumber: sh

Friday, March 10, 2017

Risiko Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)

Risiko Perkahwinan Jarak Jauh (PJJ)

Banyak risiko dan kesakitan yang terpaksa dihadapi oleh pasangan yang terperangkap di dalam kisah perkahwinan jarak jauh.

PJJ

Lebih terasa sakitnya berjauhan apabila sudah mempunyai zuriat bersama, isteri atau suami yang terpaksa berhempas pulas berseorangan tanpa pasangan.

Anak membesar yang memerlukan perhatian ibu atau bapanya kerana kurangnya salah seorang, besar kemungkinan anak membesar cara ibu atau bapanya itu.

Sebagai contoh, jika bapanya adalah individu yang terpaksa berkhidmat di luar negara, dengan dibesarkan hanya dengan ibu.

Kebebasan ibu keluar makan bersama rakan serta kesibukkan ibu menguruskan keluarga, akan membuatkan anak kurang kasih sayang serta mungkin memberikan kesan tidak baik pada anak itu tadi.

Tiada kemesraan antara satu sama lain juga salah satu risiko yang boleh diambil dari perkahwinan jarak jauh ini. Sama ada antara anak anak dengan ibu atau bapa yang bertugas di luar negara mahupun antara suami isteri.

Risiko seterusnya adalah rasa biasa tidak bersama mungkin kerana pasangan sudah terbiasa hidup berjauhan.

Jadi, tiada apa dirasakan jika keluar berdua bersama teman belainan jantina. Yang terusnya itu boleh mendatangkan fitnah.

Kerana rasa terbiasa itu sudah sebati, segala norma kehidupan tidak dipandang penting kerana mungkin niat keluar untuk makan atau pergi kerja bersama sahaja, tetapi mata yang melihat.

Jangan kerana rasa sudah biasa itu nanti memakan diri, sehinggakan tidak kisah pasangan keluar dengan siapa.

Mungkin susah untuk kendalikan perkahwinan jarak jauh ini bagi sesetengah individu, tetapi tidak mustahil juga jika ada caranya.

Kami akan kongsikan dengan pembaca tersayang mengenai tips kukuhkan cara kendali perkahwinan jarak jauh ini dalam artikel akan datang.

Tunggu tau!

BACA INI JUGA: 'Ini Syaratnya Jika Anda Mahu Berkahwin Dengan Gadis Turki'

Sumber: ikahwin

Tun Mahathir Dedah Rahsia Jaga Kesihatan

Tun Mahathir Dedah Rahsia Jaga Kesihatan

Walaupun telah berusia 91 tahun, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad masih lagi kekal aktif dan mempunyai daya fikir yang tajam.

Tun Mahathir

Menurut Tun Mahathir, tiada rahsia kekal sihat yang diamalkan cuma harus sentiasa mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Jangan hisap rokok, minum arak dan makan terlalu banyak, itulah tiga perkara yang saya amalkan.

"Lagi satu, dalam soal penjagaan makanan, pastikan berhenti sebelum kenyang kerana jika tidak beringat maka perut pun mudah jadi besar," katanya.

Tun Mahathir juga turut memberi nasihat agar menjaga jantung masing-masing kerana ia merupakan organ penting dalam tubuh badan.

"Jantung bekerja sepanjang masa, dari dalam rahim lagi hingga akhir hayat kita, jadi ingat-ingatlah sikit dan janganlah bagi ia kerja banyak.

"Bila badan kecil, jantung berupaya bekerja dengan mudah untuk mengepam darah ke seluruh tubuh, tapi bila badan besar, organ tersebut perlu bekerja dengan lebih kuat lagi," katanya.

Tun Mahathir juga turut berkongsi petua kesihatan yang diberikan oleh ibunya satu ketika dahulu.

"Ibu saya kata, ketika tengah seronok makan, berhenti. Apabila kita biasakan diri dengan tabiat ini, ia akan menjadi lebih mudah.

"Sebab itu, seluar yang saya beli 40 tahun dahulu masih lagi muat," tambahnya.

BACA INI JUGA: Skandal BMf Dan 1MDB Bezanya Macam Langit Dengan Bumi!

Sumber: sh

Sejarah Penculikan Ejen Korea Utara Di Seluruh Dunia

Sejarah Penculikan Ejen Korea Utara Di Seluruh Dunia

Pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabaangsa KL 2 (klia 2) sedikit sebanyak menyegarkan kembali minat sebuah pertubuhan Jepun terhadap satu kejadian misteri yang berlaku 39 tahun lepas.

North Korean Agent

Pada 20 Ogos 1978, empat wanita Malaysia dan seorang wanita Singapura hilang secara misteri selepas seorang lelaki 'Jepun' mempelawa mereka berparti di atas sebuah kapal di luar pantai republik itu.

Empat wanita Malaysia yang hilang tanpa sebarang kesan hingga kini itu ialah Yeng Yoke Fun, 22, Yap Me Leng, 22, Seetoh Tai Thim, 19 dan Margaret Ong Guat Choo, 19, manakala warga Singapura berkenaan bernama Diana Ng Kum Yim, 24.

Walaupun dua kejadian itu berlaku dalam jarak hampir empat dekad, namun ia mempunyai satu persamaan iaitu perasaan wasangka yang amat mendalam bahawa ia didalangi ejen Korea Utara yang mungkin mendapat perintah daripada pemimpin tertinggi mereka untuk melakukannya.

"Kami perlu siasat kembali kes ini (kejadian kehilangan wanita berkenaan pada 1978), kami sedia membantu sanak saudara keempat-empat wanita Malaysia itu untuk mendaptkan lebih banyak maklumat," kata pengarah Persatuan bagi Menyelamatkan Mangsa Culik Korea Utara (ARNKA) Tomoharu Ebihara baru-baru ini.

Walaupun maklumat yang terdapat tentang empat wanita itu adalah samar dan kejadian tersebut pula berlaku 39 tahun lepas, namun Ebihara tetap yakin bahawa suatu hari nanti beliau dan rakan-rakannya akan berjaya merungkai misteri tersebut.

Beliau berkata, maklumat tentang kemungkinan ada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik di Korea Utara dikutip daripada testimoni yang diberi seniwati Korea Selatan, Choi Eun-hee, dan bekas anggota tentera Amerika Syarikat, Charles Robert Jenkins.

Eun-hee diculik di Hong Kong pada 1978, manakala Jenkins melarikan diri daripada unitnya dan menyeberang ke Korea Utara pada 1965 serta tinggal di negara komunis itu hingga 2004, sebelum membawa diri ke Jepun untuk menjalin hubungan dengan seorang wanita.

"Menurut Jenkins, dia pernah melihat gambar Yoke Fun (seorang daripada wanita yang hilang di Singapura) dan masih mengingati pernah berjumpa dengan wanita sama di sebuah taman hiburan di Pyongyang antara 1980 dan 1981," kata Ebihara.

Menurut aktivis itu, Eun-hee, yang tinggal di Pyongyang hingga 1986, berkata dia mendapat tahu daripada seorang wanita bahawa terdapat sepasang rakyat Malaysia yang tinggal di sebuah kawasan lain di Pyongyang ketika dia tinggal di ibu negara Korea Utara itu.

"Itu sajalah maklumat yang kami ada tentang kemungkinan terdapat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik dan maklumat yang diberi Eun-hee dan Jenkins memang boleh dipercayai," katanya.

Menurut Ebihara, rakyat dari 12 negara didakwa diculik ejen Korea Utara, termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Thailand, Jordan, Lebanon, Romania dan Perancis.

Katanya pertubuhan bukan kerajaan di Jepun percaya kira-kira 300 rakyat negara itu diculik ejen Korea Utara, walaupun jumlah rasmi yang diberi kerajaan ialah 18 orang.

Beratus-ratus rakyat Korea Selatan juga didakwa diculik ejen Korea Utara. Ebihara berkata satu-satunya rakyat Thailand yang diculik iaitu Anocha Panjoy, menjadi mangsa ejen Korea Utara pada Julai 1978 ketika dia bekerja di Macau. Mangsa didakwa diculik lelaki "Jepun" sama, yang menjadi dalang di sebalik perbuatan menculik empat wanita Malaysia dan seorang wanita Singapura itu, sebulan kemudian.

Lelaki "Jepun" itu dipercayai adalah seorang ejen Korea Utara.

Menurut Ebihara, walaupun sukar untuk memastikan sebab penculikan itu dilakukan, tetapi wujud keyakinan mendalam bahawa mereka yang diculik, antara lain, dijadikan guru bahasa atau budaya untuk ejen Korea Utara.

"Mereka juga diculik untuk dijadikan isteri kepada lelaki asing yang diculik," katanya sambil menyebut tentang Jenkins yang berkahwin dengan mangsa culik dari Jepun bernama Hitomi Soga.

Ebihara berkata, menurut maklumat Jenkins, Panjoy, juga dipercayai berkahwin dengan seorang mangsa culik lain.

BACA INI JUGA: Kenapa Malaysia Dipilih Sebagai Lokasi Pembunuhan Kim Jong-nam?

Sumber: sh

Apakah Hukumnya Tidur Selepas Subuh?

Apakah Hukumnya Tidur Selepas Subuh?

Hukum tidur selepas subuh serta dalil-dalil dan bagaimana kesannya kepada pekerja yang bekerja di awal waktu malam hingga lewat subuh?

Tidur lepas Subuh

Jawapan: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tiada nas yang jelas menghalang seseorang untuk tidur selepas subuh. Oleh itu, hukum tidur selepas subuh kekal harus kerana tiada dalil yang menghalangnya.

Meskipun tiada nas yang menghalang untuk tidur selepas subuh namun terdapat banyak galakan untuk menghidupkan amalan selepas subuh.

Dalam sebuah hadis, Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya, "Wahai Tuhan kami, berkatilah untuk umatku pada awal waktu pagi. Adalah Nabi SAW, jika Baginda menghantar briged tentera, Baginda akan menghantarnya di awal siang. Adalah Sakhr itu seorang peniaga dan beliau memulakan perniagaannya di awal siang maka telah bertambah hartanya (mendapat keuntungan)." Riwayat Abu Daud (2606). Syeikh Al-Albaani menilainya Sahih

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah menghidupkan pagi selepas subuh dengan duduk berzikir sehingga terbitnya matahari.

Daripada Jabirah bin Samurah RA maksudnya, "Adalah Nabi SAW apabila selesai solat Fajar, Baginda duduk di tempat solatnya sehingga matahari terbit." Hadis riwayat Al-Tirmizi (585) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan sahih.

Begitu juga dengan sebuah hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Siapa yang solat al-Ghadah (yakni solat Subuh) secara berjemaah kemudian duduk berzikir sehingga terbit matahari, lalu bersolat dua rakaat adalah baginya pahala haji dan umrah." Hadis riwayat al-Tirmizi (586) dalam Sunannya. Menurut beliau, hadis ini hasan gharib.

Jelas melalui hadis-hadis di atas, Nabi SAW amat menitikberatkan mengenai pengurusan masa lebih-lebih lagi di awal pagi bagi seseorang muslim.

Ini dilihat dengan amalan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dari segi berzikir mahupun keluar kerja untuk mencari rezeki dan disebabkan oleh itu juga para ulama’ amat menjaga waktu selepas subuh mereka agar dipenuhi dengan perkara yang berfaedah lagi berpahala.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan di dalam kitabnya Fath al-Bari yang mana telah disebutkan bahawa rezeki itu dibahagi-bahagikan selepas solat subuh dan amalan-amalan diangkat dipenghujung waktu siang. Bagi siapa yang pada waktu tersebut dalam ketaatan, maka akan diberkati rezeki dan amalannya.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah di dalam kitabnya Zaad al-Ma’ad pula menyebutkan bahawa tidur waktu subuh menghalang rezeki kerana pada waktu itu adalah waktu meminta padanya makhluk hidup akan rezeki dan ianya adalah waktu di mana dibahagi-bahagikan rezeki dan tidur pada waktu tersebut adalah dilarang kecuali berlaku sesuatu yang tidak dapat dielakkan ataupun darurat. Kami juga dikhabarkan bahawa Buya Hamka juga tidur selepas subuh.

Setakat pengamatan kami juga, hadis-hadis yang menceritakan tentang larangan serta cemuhan bagi mereka yang tidur selepas subuh tidak terlepas dari kritikan sama ada terlalu lemah statusnya ataupun bertaraf palsu.

Kesimpulan

Kami mendapati bahawa tiada larangan melalui nas yang jelas mengenai pengharaman tidur selepas subuh.

Oleh itu, tiada halangan bagi mereka yang ingin tidur selepas subuh namun yang terbaiknya adalah dengan meninggalkannya berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan menghidupkan waktu selepas subuh.

Pernah ditanyakan kepada al-Imam Malik Rahimahullah mengenai tidur selepas solat subuh maka jawab al-Imam Malik, “Aku tidak mengetahui akan pengharamannya.

Disebutkan bahawa bumi mengeluarkan bunyi yang kuat dari tidurnya ulama’ pada waktu dhuha kerana takut mereka lalai pada waktu tersebut”.

Makanya, tidak menjadi satu kesalahan bagi mereka yang bekerja malam dan terpaksa tidur pada siangnya selepas subuh kerana telah menjadi sebahagian dari tugasnya untuk bekerja pada waktu malam lalu berehat pada waktu paginya demi menjalankan tugas pada keesokan malamnya pula.

Wallahu a’lam.

Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri,
Mufti Wilayah Persekutuan

BACA INI JUGA: Hadis Palsu Larangan Mengarut Ketika Berjimak

Sumber: muftiwp

Thursday, March 09, 2017

4 Cara 'Mencuci' Duit Melalui Pengubahan Wang Haram

4 Cara 'Mencuci' Duit Melalui Pengubahan Wang Haram

Bagi anda yang tidak tahu, pengubahan wang haram merujuk kepada proses menukarkan wang yang diperoleh melalui cara yang tidak sah kepada sumber yang sah.

4 Cara Pengubahan Wang Haram

'Pembersihan Wang' juga merupakan salah satu istilah yang selalu menjadi sebutan ramai.

Di sini kita akan menunjukkan 4 cara anda boleh membersihkan wang haram, tapi jangan lakukannya!

1. Berjudi Di Kasino

Apakah cara yang lebih baik untuk membasuh wang daripada mengisytiharkan kemenangan anda di kasino?

Anda boleh bermain beberapa pusingan dengan menggunakan cip yang ditukar daripada wang tunai haram tanpa mendedahkan identiti.

Selepas itu, cip yang ada pada akhir perjudian ditukar semula beserta resit. Anda boleh membuat tuntutan bahawa jumlah cip yang ada merupakan jumlah yang anda menangi.

Sekiranya wang tunai yang terlibat berjumlah besar, proses pengubahan wang di kasino boleh dipercepatkan dengan menggunakan beberapa pemain.

Satu contoh ialah apabila dua rakan bermain di meja rolet yang sama, di mana seorang pemain bertaruh pada semua merah dan satu lagi pada semua hitam.

Selagi hasilnya bukan sifar atau dua sifar, salah seorang pemain akan memenangi pertaruhan tersebut dan jumlah yang dimenangi daripada rakan lain menjadi kemenangan yang sah.

Sekali lagi, kerugian akan disembunyikan sementara 'kemenangan' akan ditukar kembali bersama-sama resit.

2. Mencampurkan Dana Dalam Perniagaan Sah

Satu lagi cara yang anda boleh gunakan untuk menghalalkan dana haram adalah dengan menubuhkan pelbagai perniagaan untuk mencampurkan wang yang kotor dengan pendapatan yang sah.

Walaupun syarikat yang ditubuhkan adalah sah di sisi undang-undang dan boleh beroperasi seperti perniagaan biasa, perniagaan tersebut boleh melaporkan pendapatan mereka secara keterlaluan, dengan cara invois berlebihan untuk membenarkan aliran masuk wang kotor.

Perniagaan yang berjalan berasaskan tunai seperti kelab malam menyebabkan aliran masuk wang lebih sukar untuk dikesan.

Syarikat kosong yang ditubuhkan tanpa sebarang aset atau operasi juga boleh digunakan untuk pengubahan wang haram.

Syarikat-syarikat ini hanya membuat transaksi palsu yang berupa perniagaan biasa untuk membenarkan aliran masuk tunai.

Dana yang diterima boleh juga dikitar menerusi beberapa syarikat lagi sebelum pulang ke poket anda sebagai wang yang halal.

3. Penstrukturan Dana

Disebabkan bank-bank mempunyai prosedur pencegahan pengubahan wang, anda menghadapi halangan untuk memindahkan sejumlah wang yang besar melalui bank.

Dalam perkara ini anda boleh cuba melakukan penstrukturan dana. Amalan ini memerlukan anda untuk mengupah ramai pekerja jangka pendek untuk membuat banyak deposit kecil ke beberapa akaun.

Beberapa kitaran akan dijalankan sebelum dana tersebut pulang ke dalam akaun anda sekali, sama ada ke akaun luar pesisir atau dalam akaun syarikat palsu.

Kaedah ini mungkin memakan lebih panjang untuk membersihkan wang sekiranya jumlah yang terlibat sangat besar, kerana pemindahan perlu mengambil masa beberapa hari untuk mengelakkan syak wasangka.

Anda perlu teliti untuk memindahkan dana beberapa kali melalui pertukaran asing dan membuat pemindahan melalui bank-bank yang mengekalkan tahap kerahsiaan yang tinggi seperti Bank Swiss.

4. Jual Beli Hartanah Untuk Keuntungan (Flipping)

Pengubahan wang haram menggunakan rangkaian yang luas dengan beberapa nama dan akaun yang berbeza untuk melaksanakan urus niaga.

Sebagai contoh, wang haram boleh mengalir menerusi urus niaga hartanah. Anda boleh membeli rumah atau tanah daripada penjual tetapi memperkecilkan nilai pembelian dalam kertas.

Penjual kemudian bersetuju untuk menerima perbezaan antara nilai sebenar pembelian dengan nilai kertas di bawah meja.

Pembeli kemudiannya "menjual" hartanah itu kepada rakan lain dengan nilai yang lebih tinggi. Perbezaan di antara harga jualan dengan harga belian kemudiannya menjadi wang bersih yang diperoleh melalui jual beli hartanah.

Kesimpulan

Pengubahan wang haram mempunyai impak yang besar terhadap semua orang dalam pelbagai cara. Kita mungkin berpendapat bahawa ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan kita, tetapi aktiviti ini memperlahankan ekonomi global dengan teruk.

Kegiatan ini membiayai dan menyokong penyeludupan, pemerdagangan manusia, perniagaan dadah, serta pembelian senjata dan bantuan kepada kumpulan pengganas.

Proses itu semuanya dilakukan dengan berkesan dan selalunya dengan bantuan golongan profesional seperti peguam, ahli ekonomi dan ahli bank tanpa meninggalkan jejak (sebenarnya, kes-kes ini jarang dibawa ke muka pengadilan).

Barangan yang diseludup dijual dengan harga yang jauh lebih murah daripada yang dijual oleh perniagaan yang sah, justeru kegiatan ini menjejaskan pendapatan.

Keuntungan yang diperoleh secara haram juga berjaya dilarikan daripada cukai. Kesan buruk pengubahan wang tidak terhingga!

Kita mungkin kelihatan terlalu lemah untuk memerangi aktiviti ini tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah sekurang-kurangnya tidak menyokong mereka melalui apa-apa cara yang boleh.

Satu cara yang segera ialah tidak mengikut tips dalam artikel ini untuk menghalang diri daripada amalan pengubahan wang haram itu!

Kami berharap anda menikmati artikel ini dan mengikuti lebih banyak penulisan kami pada masa hadapan.

BACA INI JUGA: 10 Negara Dengan Pengaliran Wang Haram Paling Besar Di Dunia!

Sumber: loanstreet
Festival Unta Raja Abdulaziz, Pertandingan Ratu Cantik Unta!

Festival Unta Raja Abdulaziz, Pertandingan Ratu Cantik Unta!

Di Jeddah, Arab Saudi, lebih 300,000 ekor unta bakal bersaing dalam satu pertandingan 'ratu cantik' unta pada hujung bulan Mac ini untuk merebut hadiah bernilai 25 juta pound (RM136 juta).

Festival Unta Raja Abdulaziz

Pertandingan ratu cantik dalam Festival Unta Raja Abdulaziz ini merupakan festival yang telah lama diadakan sejak dulu lagi yang menggambarkan warisan kebudayaan kerajaan Arab Saudi, dimana pemilik unta datang berkumpul untuk bertanding bersama unta mereka dalam pertandingan ratu cantik.

Pemenang pelbagai kategori pertandingan ratu cantik unta yang diadakan sempena Festival Unta Raja Abdulaziz itu akan menerima hadiah berjumlah RM137 juta.

Hakim akan menilai pemenang menerusi kecantikan asli dalam lima kategori berdasarkan kacukan dan warnanya.

Unta itu akan dihakimi oleh satu jawatankuasa Badwi yang dipilih dan biasanya, harga unta yang memenangi pertandingan seumpama itu akan mencecah jutaan ringgit.

Unta yang akan dimahkotakan dengan gelaran ratu cantik unta itu akan dipilih menerusi beberapa kriteria ketat yang ditetapkan, khususnya kecantikan semulajadi, termasuk pada bulu, mata, telinga, bibir, ketinggian, bentuk kepala, panjang leher dan bentuk bonggolnya.

Yang paling penting, peserta ratu cantik unta terbabit tidak boleh dihias oleh pemilik serta perlu memiliki kecantikan semula jadi.

Menjelang festival berkenaan yang akan berlangsung dari 19 Mac hingga 15 April 2017, harga unta dalam pasaran saham meningkat 70 peratus.

Festival Unta Raja Abdulaziz

Ia tradisi turun temurun yang menyaksikan pemilik haiwan itu memperagakan unta paling cantik mereka.

Antara baka unta yang menjadi perhatian dalam pertandingan itu termasuk unta putih Al Wadah, unta hitam Al Majahateer dan unda merah Al Homor yang dianggap sebagai baka unta paling cantik bagi spesies tersebut.

Pertandingan ratu cantik ini terdiri daripada lima kategori utama mengikut baka dan warna unta, antaranya ialah:
  1. Maghateer
  2. Majaheem
  3. Sufur
  4. Shuol
  5. Homr

Mengikut tradisi, para lelaki akan berkumpul untuk memulakan acara dengan perarakan bersama unta-unta mereka.

Festival Unta Raja Abdulaziz ini merupakan antara acara terbesar di Arab Saudi di mana lebih dari 2 juta orang akan menghadiri festival ini untuk menyaksikan unta-unta tercantik berkumpul di padang pasir, termasuklah kerabat diraja, selebriti, pereka fesyen terkenal dan juga atlet.

BACA INI JUGA: LUAR BIASA! Di Peluk UNTA Yang Kerinduan Selepas Lama Tidak Bertemu!

-SENTIASAPANAS.COM

Cara Mengukur Lilit Jari Sebelum Membeli Cincin

Cara Mengukur Lilit Jari Sebelum Membeli Cincin

Pernah anda lihat pengantin lelaki menyarungkan cincin di jari pengantin perempuan selain di jari manisnya? Sudah dipanggil jari manis, mestilah untuk lebih manis dengan disarungkan cincin di situ kan.

Ukur+jari

Susah kita nak lihat pasangan pengantin menyarungkan cincin di jari selain jari manis untuk cincin kahwin mereka oleh itu, adalah penting untuk bakal pengantin di luar sana mengambil berat akan cara mengukur lilit jari.

Mungkin ada yang di luar sana berpendapat untuk terus sahaja membeli di kedai, atau dengan kata lain dengan membuat ukuran terus menerus dari sana.

Tapi, bukankah lagi manis dan romantik jika anda tahu saiz ukur lilit jari pasangan anda. Bukan apa, senanglah nanti kalau anda rancang untuk surprisekan pasangan dengan hadiahkan mereka sebentuk cincin.

Ring+size

Kalau di kedai emas, mereka mempunyai alat khas untuk mengukur saiz jari anda dan terus memberi jawapan saiz cincin.

Oh ya, jangan tidak tahu pula ya, kerana setiap cincin mempunyai saiz yang berbeza. Yelah, kita pun mempunyai tangan dan jari yang tidak sama. Ada yang tirus panjangnya, ada yang bulat dan sebagainya.

Oleh itu dengan alatan khas (bentuknya bulat dan mempunyai cincin yang dari pelbagai saiz) yang mereka ada, anda hanya perlu masukkan cincin tersebut, yang mana bersesuaian dengan jari anda. Dengan itu, tahulah saiz cincin anda!

Manakala bagi cara manual yang anda boleh lakukan hanya di rumah. Cara dan alatan yang anda perlukan sangatlah mudah untuk didapati.

Alatanya adalah:
  • Kertas atau Benang
  • Gunting
  • Pensil
  • Pembaris

Caranya:

Ukur+jari

a. Tenangkan jari jemari anda. Gunting kertas anda lebih kurang 2cm lebar dan panjangnya pula, anggarkan sejengkal. Begitu juga benang. Gunting benang anda anggaran sejengkal.

b. Ambil kertas atau benang yang anda gunting tadi, lilitkan di jari manis anda.

Info tambahan: Ukurlah jari anda ketika siang kerana masa ini jari anda mengembang dan saiznya mungking berbeza jika anda membuat ukuran pada malam hari dan juga jangan ukur jari anda sewaktu masih basah, sebaiknya ketika kering.

c. Seterusnya, tandakan di mana kedua-dua hujung itu bertemu. Jangan terlalu ketat dan terlalu longgar. Cukup dengan keselesaan anda. Tandakan dengan pensil anda tadi

d. Setelah tandakan pertemuan kedua hujung benang mahupun kertas anda itu tadi, letakkan sebaris pembaris anda, dan ukurkan ukuran benang atau kertas anda itu tadi. Pastikan ukuran dilakukan di dalam “mm" ya!

e. Rujuklah panduan saiz cincin/ukur lilit jari. Siap!

Jadi inilah cara auto dan manual yang dapat admin kongsikan untuk anda mengukur lilit jari anda.

Ukur+jari

Jika ada pasangan di luar sana yang memilih untuk surprise pasangan anda, anda juga boleh guna taktik bandingkan jari anda dan pasangan. Cuma bimbang jika ukurannya tersasar sangat nanti!

Diharapkan, dengan tips ini dapatlah membantu bakal pengantin di luar sana menyelesaikan masalah cincin dihadapi.

Apapun, semoga berjaya dalam mengukur lilit jari ya!

BACA INI JUGA: Kenapa Cincin Tunang Dipakai Di Jari Manis?

Sumber: ikahwin

6 Jenis Pemandu Uber Di Malaysia

6 Jenis Pemandu Uber Di Malaysia

Bagi anda yang pernah menggunakan perkhidmatan Uber, pasti ada pengalaman menarik terutamanya berkaitan dengan pemandu Uber itu sendiri.

Macam-macam ragam yang kita boleh lihat. Kali ini kami senaraikan beberapa karakter pemandu Uber di Malaysia.

1. Profesor

Profesor

Percaya bahawa kewujudan teknologi di muka bumi perlu digunakan secara optimum. Baginya kehidupan dan teknologi tidak boleh dipisahkan. Cara tradisional dianggap ketinggalan zaman.

Tetap mahu menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps walaupun ‘rider’ mengatakan ada jalan pintas yang lebih menjimatkan masa perjalanan.

Teknologi hanya berfungsi sebagai panduan sahaja. Tidak semua perkara di dalam dunia kita tahu. Sudah tentu ‘rider’ lebih arif kerana jalan tersebut dilaluinya saban hari.

Namun, timbul juga masalah apabila ‘rider’ dan pemandu sesat. Pilihan bertanya kepada pihak ketiga mungkin boleh membantu.

Bak kata pepatah, ‘Malu bertanya, sesat jalan.’

2. Yang Berhormat

Yang Berhormat

Boleh berbual dalam apa sahaja topik; agama, politik, sukan, hiburan, kehidupan seharian dan sebagainya.

Mempunyai pengetahuan am yang sangat tinggi disebabkan oleh latarbelakang pendidikan, bahan bacaan dan pergaulan.

‘Rider’ yang sekepala akan menjadikan perjalanan ke destinasi lebih menyeronokkan. Pelbagai cerita boleh dikongsi bersama.

Tetapi dari satu lagi sudut ianya akan menimbulkan ketidakselesaan kepada ‘rider’ yang mahu berehat seketika sebelum kembali ke dunia sebenar yang memberikannya stress.

Ruang di dalam kenderaan itu sahajalah yang dia ada.

Ada juga orang yang tidak mahu berkongsi maklumat peribadinya dengan individu yang tidak dikenali.

Mereka hanya mahu sampai ke destinasi tanpa gangguan.

3. Pustakawan

Pustakawan

Memandu bagi dia adalah satu cara untuk menghilangkan tekanan. Dia hanya mahu mencari rezeki tanpa perlu melakukan tugas tambahan.

Memang sudah sejak kecil dilahirkan sebagai pendiam. Berkata apabila perlu sahaja. Lebih banyak menggunakan ‘bahasa badan’ untuk menyampaikan mesej.

Ucapan terima kasih yang keluar dari mulutnya seperti satu keajaiban.

4. Pelumba Kereta

Pelumba Kereta

Setelah memiliki lesen memandu puluhan tahun mendatangkan satu ilusi bahawa jalanraya ini dia yang punya.

Berkecenderungan untuk memandu laju, memotong sesuka hati, melanggar lampu merah dan kuning menandakan bahawa kelajuan perlu ditingkatkan.

Terdidik dengan ayat ‘masa itu emas.’ Setiap minit bermakna setiap sen sudah hilang.

Potensi untuk mengeluarkan kata-kata kesat, menunjukkan isyarat lucah dan bergaduh dengan pemandu lain amat tinggi ketika tekanan di jalanraya kian memuncak.

Memberi kelebihan kepada ‘rider’ yang mahu segera atau kelewatan ke satu-satu lokasi.

‘Rider’ yang punya sejarah sakit jantung dan darah tinggi disaran agar tidak memilih pemandu sebegini.

Melainkan telah diberi kebenaran oleh doktor dan ubatan telah dibawa bersama.

5. DJ Radio

DJ Radio

Memutar saluran radio dan memainkan CD lagu mengikut citarasa sendiri seolah-olah berada di konti radio.

Ada ‘rider’ yang tidak mahu bunyi bising mengiringi perjalanannya. Merasakan hanya dia sahaja yang berada di dalam kereta tersebut.

6. Doktor Cinta

Doktor cinta

Melayan ‘rider’ wanita bagaikan permaisuri kerana merasakan wanita perlu diberikan layanan kelas pertama. Setiap wanita perlu dibela. Hak wanita perlu ditegakkan. Bersama-sama berkongsi peranan rumahtangga.

Bagi pemandu yang berstatus bujang, setiap ‘rider’ wanita berpotensi untuk menjadi pasangan hidupnya.

Mengikut logik akal manusia, kebarangkalian untuk mendapat jodoh rendah dengan cara begini. Hampir mustahil.

Tetapi siapa tahu takdir Tuhan. Perbualan yang singkat mungkin boleh membawa ke jinjang pelamin.

Sekian.

BACA INI JUGA: Rahsia Jana Wang Dengan UBER Tanpa Perlu Menjadi Pemandu!

Sumber: thevocket

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, World Kidney Day

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, World Kidney Day

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia, World Kidney Day yang disambut pada setiap hari Khamis pada minggu kedua bulan Mac setiap tahun, amat penting dalam meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung bahaya penyakit buah pinggang.

World Kidney Day

Kempen global Hari Buah Pinggang Sedunia ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung pentingnya buah pinggang kepada kesihatan secara keseluruhan dan mengurangkan risiko serta kesan penyakit tersebut.

Kempen ini turut memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung langkah pencegahan, kesedaran dan sebagainya agar memiliki buah pinggang yang sihat.

Gaya hidup terutama membabitkan pemakanan amatlah penting bagi mengelakkan seseorang itu menghidap penyakit buah pinggang.

Dengan mengawal pemakanan, ianya dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit buah pinggang terutama bagi mereka yang menghidap penyakit berbahaya diabetes dan tekanan darah tinggi.

Penyakit buah pinggang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk dikalangan kanak-kanak.

Cabaran Dalam Menjaga Kesihatan Buah Pinggang

Salah satu cabaran yang paling besar dihadapi dalam menyampaikan mesej pencegahan penyakit buah pinggang adalah betapa masih ramai yang tidak dapat memberikan jawapan tepat apabila diajukan soalan, "Di manakah letaknya buah pinggang anda dan apakah fungsinya?" Anda tahu?

Berdasarkan kajian yang dijalankan di kalangan cerdik pandai di negara-negara maju, kurang lima peratus daripada jumlah penduduk yang mengetahui kedudukan buah pinggang bersaiz lebih kurang dua penumbuk manusia itu di bawah tulang rusuk.

Walhal, organ yang menakjubkan itu memainkan peranan sangat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup manusia dengan membuang toksin dan air berlebihan daripada darah.

Setiap hari, buah pinggang kita menapis purata 200 liter darah dengan kuantiti yang boleh mengisi sebanyak 20 baldi! Ia turut membantu mengawal tekanan darah, menghasilkan sel-sel darah merah dan mengekalkan kesihatan tulang kita.

Jika buah pinggang manusia kehilangan keupayaannya untuk berfungsi secara beransur-ansur, itu maknanya kita bercakap tentang Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD).

Kebanyakan daripada kita tidak akan menunjukkan sebarang simptom-simptom yang teruk sehinggalah penyakit buah pinggang bertambah teruk.

Ia merupakan satu lagi penyakit senyap dan sering kali diabaikan begitu sahaja kerana kehadirannya yang mungkin tidak dirasai.

Walaupun demikian, ia menjejaskan hidup lebih banyak pesakit, jauh daripada angka-angka yang mungkin kita sangkakan selama ini.

Saban tahun, lebih 2,500 orang disahkan menghidap kegagalan buah pinggang tahap akhir di Malaysia, iaitu kira-kira 100 orang bagi setiap sejuta penduduk.

Dijangkakan, sebanyak 36 juta kematian pramatang (awal) bakal dicatatkan di seluruh dunia kerana penyakit buah pinggang turut meningkatkan risiko seseorang mendapat penyakit kardiovaskular (berkaitan jantung) dan diserang angin ahmar (strok).

Penyelidikan di kalangan pelbagai kaum yang hidup di benua-benua berlainan secara konsisten menunjukkan, kira-kira satu daripada 10 orang dewasa membawa ciri-ciri kerosakan buah pinggang tertentu.

Pesakit yang menghidap CKD cenderung mendapat tekanan darah tinggi, diabetes, serangan jantung dan strok.

Kesihatan buah pinggang juga boleh menjadi bertambah buruk sehingga ia perlu digantikan (penyakit buah pinggang tahap akhir).

Pesakit sama ada perlu menerima pemindahan buah pinggang baru ataupun mereka terpaksa bergantung hidup kepada mesin dialisis yang mencuci darah kira-kira tiga kali seminggu.

Berita baiknya, CKD boleh dikesan pada peringkat awal lagi. Ia begitu mudah. Ujian air kencing dan darah secara rutin dan ringkas serta pemeriksaan tekanan darah boleh menunjukkan tanda-tanda awal masalah buah pinggang.

Dan sebaik sahaja kita mengetahui masalah ini, ia boleh diperlahankan malah menghentikan CKD daripada berlaku dengan mengambil ubat-ubatan dan mengubah tabiat hidup kita.

Risiko kematian sebelum waktu terutamanya disebabkan oleh penyakit kardiovaskular, secara puratanya adalah 100 kali lebih tinggi di kalangan pesakit CKD berbanding risiko menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir.

Pengesanan awal dan rawatan CKD bukan hanya menangguhkan perkembangan penyakit pesakit buah pinggang ke peringkat lewat tetapi ia juga boleh mengurangkan insiden penyakit kardiovaskular dengan ketaranya yang setakat ini menjadi punca utama kematian pramatang di dunia.

Penyakit buah pinggang biasa, berbahaya, boleh dirawat

Hari Buah Pinggang Sedunia merupakan inisiatif bersama Persatuan Nefrologi Antarabangsa dan Yayasan Antarabangsa Persekutuan Buah Pinggang.
Hari Buah Pinggang Sedunia diraikan dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan organ buah pinggang dan dalam masa yang sama menyebarkan mesej bahawa penyakit buah pinggang merupakan penyakit yang semakin biasa, ia berbahaya tetapi boleh diubati.

Biasa kerana CKD kini menunjukkan trend yang konsisten, ia menjejaskan kira- kira 10 peratus populasi dunia.

Berbahaya bukan hanya kerana ia secara perlahan-lahan boleh bertambah kesannya memasuki tahap lewat tetapi lebih dari itu, CKD turut dikaitkan dengan peningkatan berkali-kali ganda risiko komplikasi kardiovaskular dan kematian kardiovaskular pramatang.

Boleh dirawat kerana kini terdapat bukti saintifik yang kukuh bahawa pengesanan awal, faktor pengubahsuaian gaya hidup dan menga wal tekanan darah secara agresif bukan hanya memperlahan atau menghentikan perkembangan pesakit CKD ke penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD).

Tetapi, ia juga mengurangkan dengan ketaranya insiden penyakit kardiovaskular yang menjadi punca kematian awal di kalangan majoriti pesakit. Buah pinggang anda okey? Cubalah cari jawapannya.

Pencegahan

Ujian penyaringan mestilah menjadi keutamaan di kalangan mereka yang berisiko tinggi mendapat penyakit buah pinggang. Mereka termasuklah:
  • Pesakit diabetes melitus dan hipertensi.
  • Individu obes dan perokok.
  • Mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap diabetes melitus, hipertensi dan penyakit buah pinggang.
  • Pesakit yang menghidapi lain-lain penyakit buah pinggang.

Beberapa langkah pencegahan penting telah terbukti berjaya dalam melindungi daripada kedua-dua penyakit buah pinggang dan kardiovaskular, seperti:
  • ACEs atau ARBs bagi proteinuria dan penurunan GFR.
  • Mengurangkan tekanan darah tinggi. Semakin rendah tekanan darah seseorang, semakin berkurangan kemerosotan GFR.
  • Kawalan glukos, lipid atau lemak darah dan anemia.
  • Berhenti merokok, tingkatkan aktiviti fizikal dan mengawal berat badan.

Rawatan

Penyelidikan klinikal dalam tempoh lebih sedekad lalu mendapati wujudnya potensi sekatan sistem renin-angiotensin oleh ACEs dan ARBs bagi mengurangkan bebanan penyakit kardiovaskular, diabetes, hipertensi dan CKD, pada kos yang secara relatifnya rendah.

Perencat ACE didapati berkesan dalam menghalang kemerosotan fungsi buah pinggang secara progresif. Antagonis II Angiotensin pula bertindak merendahkan albuminuria dan menghalang kegagalan buah pinggang progresif.

Apa itu CKD?

Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami peningkatan pengumuhan albumin di dalam air kencing ataupun, berlaku kemerosotan ketara fungsi buah pinggang atau kadar penurasan glomerular (GFR).

Ini akan mendorong kepada komplikasi seperti tekanan darah tinggi, anemia (kekurangan darah) dan penyakit jantung serta pembuluh darah.

Berapa kerapkah ia terjadi?

Lebih 500 juta orang atau kira-kira satu dalam setiap 10 orang dewasa di seluruh dunia menunjukkan beberapa ciri CKD.

Punca CKD

Di peringkat global, penyebab paling biasa adalah penyakit nefrotik atau keradangan (inflamasi) buah pinggang, jangkitan, saluran kencing tersumbat dan gangguan-gangguan yang diwarisi seperti penyakit buah pinggang polisistik.

Keadaan ini berubah ke arah diabetes dan hipertensi di negara-negara maju dan membangun, yang juga menjadi punca utama penyakit kardiovaskular.

Diagnosis

Ujian makmal yang ringkas ke atas sampel darah dan air kencing bagi memeriksa kandungan kreatinin dan mengira GFR dan pengumuhan albumin kini boleh didapati.

Komplikasi CKD yang tidak dikesan?

Akibat pertama adalah risiko kehilangan fungsi buah pinggang yang progresif. Ini mendorong kepada kegagalan buah pinggang serta keperluan terhadap dialisis atau pemindahan buah pinggang. Keduanya adalah kematian pramatang berpunca daripada penyakit yang berkaitan dengan kardiovaskular.

Individu yang tampil sihat tetapi kemudiannya disahkan menghidap CKD mempunyai sekurang-kurangnya 10 kali ganda risiko untuk mati awal disebabkan oleh penyakit kardiovaskular (penyakit koronari, serebrovaskular, arteri periferal dan kegagalan jantung), tidak kira sama ada mereka menghidap kegagalan buah pinggang ataupun tidak.

Pengesanan

Ujian-ujian ringkas seperti kreatinin serum, mengira GFR dan albumin air kencing yang membolehkan pengesanan awal penyakit buah pinggang kini tersedia.

Majoriti daripada individu dengan penyakit buah pinggang pada peringkat awal tidak berjaya dikesan terutamanya di negara-negara sedang membangun.

Pengesanan awal kerosakan buah pinggang adalah penting bagi membolehkan rawatan sewajarnya diberikan sebelum kerosakan lebih teruk berlaku sehingga menimbulkan komplikasi lain pula.

BACA INI JUGA: Tanda-tanda Buah Pinggang Sedang Rosak Dan Rawatannya

Sumber: tbp | utusan