Wednesday, March 11, 2026

SBDJ Siri 257: Rebut Tok Guru

SBDJ Siri 257: Rebut Tok Guru

"Mana tuk guru kamu?" ulang datuk.

"Di luar," terdengar suara dari sebelah kanan.

"Di luar," ulang datuk cemas.

"Iya," sahut mereka serentak.

Dan tanpa mahu memberitahu apa-apa pada kami datuk terus meluru keluar surau. Kerana tidak tahu, apa yang mesti dilakukan, saya dan Pak Habib turut keluar sama. Tindakan kami, segera diikuti oleh orang-orang yang berada dalam surau.

SBDJ Siri 257 Rebut Tok Guru

Bila berada diluar, kami dihadiahkan dengan sebuah pemandangan yang tidak pernah kami fikirkan. Perasaan saya tiba-tiba jadi celaru. Marah dan sedih bercampur geram, bergolak dalam dada.

"Subhanallah..."

Datuk menepuk dahi dengan kuat. Pak Habib diam tidak terkata. Wajah Tajuddin nampak sedih sekali.

"Bagaimana boleh jadi begini!" desis hati saya.

"Kasihan," Tajuddian mengeluh lemah.

Walau apa pun rintihan dan tanggapan, semua biji mata tertumpu ke arah pasangan suami isteri yang sedang memangku kepala seorang pemuda.

Timbul pertanyaan dalam hati, apakah mereka sedang memangku anak sendiri atau orang lain.

Saat saya mencari jawapan dengan tenang datuk dan Pak Habib melangkah mendekati pasangan suami isteri tersebut.

"Anak kamu."

Itu yang terkeluar dari kelopak bibir Pak Habib.

"Iya, Shafie anak kami."

Si isteri menjawab dan terus menangis. Dahi pemuda dalam pangkuan diusap dan dicium berkali-kali. Si suami tertunduk merenung bumi.

Tidak memberikan sebarang komen atas pertanyaan yang Pak Habib ajukan, malah dia seakan-akan tidak mahu melihat wajah-wajah yang di sekelilingnya.

"Ahhh..."

Cara mengejut saja si suami bersuara dan terus berdiri seketika sambil bercekak pinggang membelakangi Pak Habib, datuk dah saya.

"Hissss..."

Terdengar desis keras dari mulut si suami. Sepasang matanya mula merenung wajah-wajah manusia yang mendewa-dewakan anaknya sebagai ulama besar. Kami bertiga tidak juga ditolehnya.

Si suami terus mengubah posisi kedudukannya dari berdiri terus bertinggung, berdiri lutut menghadapi Shafie yang berada dalam pankuan isterinya. Dahi Shafie digosok dan dicium berkali-kali.

Datuk dan Pak Habib yang berdiri di hujung kaki Shafie tidak memberikan sebarang reaksi dengan apa yang mereka lihat.

Tetapi, setiap gerak-geri pasangan suami diawasi dengan teliti. Begitu juga dengan kumpulan para pengikut Shafie.

ANGKAT

Tanpa disedari, tiba-tiba saja kami mendapati kumpulan yang mengangkat Shafie sebagai Tuk Guru terus mengelilingi kami, bergandingan tangan sambil bercakap sama sendiri. Kurang jelas apa yang mereka cakapkan.

"Bersedia kalau mereka buat sesuatu pada kita."

"Saya bersedia," datuk menjawab ingatan Pak Habib.

"Boleh tidak kita duga tindakan mereka," Pak Habib bertanya lagi.

"Mereka mahu merebut Tuk Guru dari kita," sahut datuk.

Mendengar penjelas datuk itu, muka Pak Habib nampak cemas sedikit. Manakala perasaan saya terus berdebar.

Tajuddin yang tidak mendengar dialog antara Pak Habib dengan datuk resah, ingin tahu.

"Bagaimana kalau terjadi, Pak Habib," Tanya saya secara berbisik kepada Pak Habib. Tiada jawapan pasti yang saya terima kecuali senyum sinis.

Dalam saat hati mula mahu berdebar kencang, datuk memisahkan diri dengan kami. Saya tarik nafas dan merenung ke dada langit.

Semoga kejadian yang tidak diingini tidak akan berlaku di sini. Sebuah doa dan harapan muncul dalam hati kecil.

Secara perlahan-lahan Pak Habib bergerak tiga tapak ke arah kanan, lelaki berdarah Arab itu berusaha menjarakkan dirinya dengan saya. Tidak tahu apakah tindakan selanjut yang bakal dilakukannya.

Tajuddin masih tidak berubah dari tempat asalnya. Renungannya kearah saya mencerminkan keresahan dan ketakutan.

"Haa, siapa di antara kamu yang berhajat mahu mengambil 'Tuan Guru' dari emak dan ayahnya," suara keras datuk membunuh rasa takut dalam hati saya.

Jari telunjuk datuk menuding ke arah 'Tuk Guru' yang berada dalam pangkuan ibunya, datuk lagi mengulangi kata-kata yang sama.

Secara tiba-tiba saya seperti mendapat semangat baru. Berani menghadapi apa saja yang mendatang. Saya tidak kisah, kalau Pak Habib atau datuk menjauhkan diri dari saya.

Bersama angin yang bertiup saya tarik nafas dalam-dalam. Dari jauh kelihatan dedaun kering di ranting berjatuhan di belakang surau dirempuh angin.

Datuk ulangi kata-kata yang sama buat kali yang kelima. Tiada jawapan yang diterima. Suara pengikut 'Tuk Guru' yang bercakap sama sendiri terus mati.

Malah mereka tidak lagi berganding tangan memagari kami. Satu perubahan yang drastik tetapi mencemaskan setidak-tidaknya untuk saya sendiri.

Tuk guru berada dalam pangkuan ibunya masih seperti tadi, tidak bergerak terus kaku macam mayat. Terdengar suara orang berdehem panjang.

Saya pasti suara orang itu datang dari kumpulan pengikut 'Tuk Guru'. Sukar sekali untuk mengenali siapa yang berdehem itu.

Mungkin orang yang berdehem itu memberikan isyarat pertama untuk datuk dan kami, bahawa dia bersedia merebut ketuanya, 'Tuk Guru' dari siapa saja.

"Jika ada sesiapa yang mahu mengambil 'Tuk Guru' dari emak bapanya. Nah, mari berlawan dengan aku. Kalahkan aku dulu," satu cabaran yang tinggi risikonya dari datuk.

Pak Habib terkejut lalu gelengkan kepala beberapa kali. Pada hemat saya dia tidak setuju dengan tindakan datuk itu.

Saat itu juga rasa berani saya hilang, digantikan dengan rasa cemas. Segera saya bayangkan keadaan yang kelam-kabut, bila cabaran itu dijawab oleh para pengikut 'Tuk Guru'.

SABUNG

Dalam situasi yang serba tegang itu, dua anak lelaki dari kumpulan pengikut 'Tuk Guru' menerpa ke arah datuk, macam ayam sabung yang baru dilepaskan pemiliknya ke dalam gelanggang sabung.

Belum pun sempat datuk membuka mulut, sebiji penumbuk sulung dilepaskan oleh salah seorang dari pada anak muda tersebut ke arah pipi kiri datuk.

Semasa mahu mengelak, datuk tersilap langkah lalu terjatuh. Kedua-dua anak muda itu menggunakan kesempatan itu dengan sebaik-baiknya. Mereka melepaskan sepak terajang yang bertalu-talu ke arah tubuh datuk.

Pak Habib hanya melihat saja, tidak mahu campur tangan. Apa yang termampu dilakukan oleh datuk ialah bertahan dan mengelak sebanyak mungkin.

Pada satu saat yang baik, datuk dapat bangun lalu bertindak balas. Kedua-dua pemuda itu bertindak lebih agresif lagi mereka gunakan parang untuk menghancur cincangkan tubuh datuk.

"Bantuan," Pak Habib bersuara.

"Biarkan sahabat selesaikan sendiri," jawab datuk dalam keadaan tercungap-cungap.

Para pengikut Tuk Guru segera memberi sokongan moral pada kedua-dua kawan mereka yang sedang bertarung dengan suara, "Huuuu Haaaa," berulang kali dengan kuat.

Datuk yang ternyata keletihan, tetap berusaha mengatasi masalah yang dihadapinya tanpa mengharapkan bantuan Pak Habib atau Tajuddin atau siapa saja.

Bagi datuk berjuang dulu, kalau tidak boleh baru minta bantuan kawan-kawan.

Walaupun serangan datang bertubi-tubi dari kedua-dua pemuda tersebut, terbukti datuk sukar dikalahkan. Malah tanda-tanda kekalahan berada dipihak yang menyerang

"Ah..."

Serentak dengan jeritan itu, datuk melompat tinggi melepasi paras bahu penyerang yang sekaligus dapat mengelak dua tetakan serentak ke arah pinggangnya.

Sebaik saja telapak kakinya menyentuh bumi dia berlari ke kanan, mengubah posisinya hingga berdiri sejajar dengan dua orang penyerang.

Semasa dua penyerang menoleh ke kanan (kearahnya) datuk pun melepaskan satu tendangan terbang (flying kick) ke arah bahu pemuda yang agak hampir dengannya.

Badan lelaki itu rebah lalu menimpa badan kawan di sebelahnya. Kedua-dua, pemuda tersebut tersungkur, parang terlepas dari tangan, mereka muntah darah.

Tubuh mereka lembik, macam batang keladi yang dipukulnya ke perdu pokok meranti. Kedua-duanya tidak mampu untuk bangun.

Melihat kejadian itu, semua pengikut 'Tuk Guru' yang memagar kami lari lintang pukang. Mereka berlanggar sama sendiri, manakala kumpulan wanitanya terkencing dalam kain.

Dua lelaki yang mengetuai kumpulan tersebut hilang entah ke mana. Pasangan suami isteri tergamam dengan apa yang berlaku di depan mata.

Dari wajah tergambar rasa ketakutan yang amat sangat. Badan mereka menggeletar, tidak tahu untuk berbuat apa-apa, kecuali tunduk membongkokkan badan, melindungi Shafie.

"Bawa Shafie ke pangkal pokok rambutan," kata datuk pada saya dan Tajuddin.

Kemudian Pak Habib dan datuk bergerak pantas menuju ke pangkal rambutan. Saya dan Tajuddin segera mendekati pasangan suami isteri.

"Kami nak bawa Shafie ke sana," beritahu Tajuddin pada pasangan suami isteri yang nampak terkejut.

"Tak boleh," mereka membantah.

Saya dan Tajuddin mula berkeras. Pasangan suami isteri juga turut berkeras lalu terjadi pertengkaran kecil antara kami dengan mereka. Sebelum pertengkaran menjadi lebih besar, datuk pun datang.

"Jangan lupa janji kita," kata datuk.

"Janji?" balas si isteri.

"Iya," tegas datuk menjawab.

Pasangan suami isteri itu berpandangan sama sendiri. Mereka bagaikan mengingati sesuatu.

"Ingat janji kita bersama, saya minta tolong jangan gagalkan," datuk renung muka si isteri sejenak.

"Jangan gagalkan usaha kita yang baru mahu bermula," sambung datuk dengan tenang.

"Saya ingat," si suami bersuara riang.

Tanpa diarah oleh sesiapa, pasangan suami isteri itu segera bangun. Mereka menyerahkan Shafie pada saya dan Tajuddin.

Tanpa membuang masa Shafie segera kami usung ke arah perdu rambutan sambil diiringi oleh datuk dan pasangan suami isteri tersebut.

"Letakkan di situ, hadapkan mukanya ke langit, rapatkan kakinya. Letakkan tangannya macam orang sedang sembahyang."

Arahan datuk segera kami patuhi. Atas perintahnya juga kami letakkan sehelai daun rambutan kering atas pusat Shafie.

DUDUK

Dua orang anak muda yang menyerang datuk tadi masih muntah dalam keadaan duduk mencangkung.

Kalau tidak ada usaha dilakukan untuk menahan darah, besar kemungkinan kedua-dua anak muda itu akan mati katak akibat kehabisan darah.

"Mereka mesti diselamatkan," Sepasang mata datuk terpaku ke arah pemuda yang sebentar tadi bermati-matian mahu menamatkan riwayat hidupnya.

Datuk renung muka Pak Habib seolah-olah minta bantuan buah fikiran. Pak Habib menghela nafas panjang sambil menggosok-gosok pangkal hidungnya berkali-kali.

"Selesaikan yang muntah darah dulu," cadangan dari Pak Habib.

"Anak kami bagaimana," si isteri bersuara.

"Kita selesaikan dengan baik, percayalah."

Si isteri renung suami. Dengan perlahan-lahan si suami anggukkan kepala, setuju dengan apa yang diucapkan oleh Pak Habib.

Seperti tadi juga, sementara menanti tugas-tugas yang bakal dilakukan oleh datuk dan pak Habib pada Shafie, mereka kembali memangku kepala anak tersayang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 257/284

BACA: SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sambutan Pelik La Tomatina – Festival Baling Tomato Paling Gila di Sepanyol

Sambutan Pelik La Tomatina – Festival Baling Tomato Paling Gila di Sepanyol

Di seluruh dunia terdapat pelbagai festival unik yang mencerminkan budaya dan tradisi sesebuah masyarakat. Ada festival yang melibatkan tarian tradisional, ada yang berkaitan dengan keagamaan dan ada juga yang sangat pelik sehingga sukar dipercayai.

La Tomatina – Festival Baling Tomato

Salah satu festival paling pelik tetapi sangat terkenal di dunia ialah La Tomatina, sebuah perayaan yang disambut di Sepanyol di mana ribuan orang berkumpul hanya untuk membaling tomato antara satu sama lain.

Festival ini bukan sahaja menjadi simbol kegembiraan masyarakat tempatan, malah turut menarik perhatian pelancong dari seluruh dunia yang ingin merasai pengalaman unik tersebut.

Setiap tahun, bandar kecil Buñol akan berubah menjadi lautan merah akibat puluhan tan tomato yang dihancurkan dalam pesta yang penuh dengan keseronokan ini.

Apakah Itu La Tomatina?

La Tomatina ialah festival tahunan yang berlangsung di bandar Buñol, sebuah kawasan kecil yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Valencia di Sepanyol.

Festival ini diadakan setiap tahun pada hari Rabu terakhir bulan Ogos.

Apa yang menjadikan festival ini unik ialah aktiviti utamanya – perang tomato besar-besaran.

Ribuan peserta dari pelbagai negara akan berkumpul di jalan-jalan sempit bandar tersebut untuk membaling tomato antara satu sama lain selama kira-kira satu jam.

Sepanjang tempoh itu, jalan raya, bangunan dan para peserta akan dilitupi oleh tomato yang telah dihancurkan sehingga seluruh kawasan kelihatan seperti dilimpahi warna merah.

Walaupun kelihatan seperti kekacauan besar, festival ini sebenarnya diuruskan dengan baik oleh pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan semua peserta.

Sejarah dan Asal Usul Festival

Sejarah La Tomatina bermula sekitar tahun 1945, apabila sekumpulan pemuda tempatan terlibat dalam pergaduhan kecil semasa satu perarakan bandar.

Menurut cerita popular, pergaduhan tersebut bermula apabila seorang peserta perarakan terjatuh lalu menyebabkan kekecohan kecil.

Di kawasan berhampiran terdapat sebuah gerai sayur yang menjual tomato. Para pemuda tersebut kemudiannya mula mengambil tomato dan membalingnya antara satu sama lain.

Walaupun kejadian itu pada asalnya hanyalah pergaduhan spontan, penduduk tempatan mendapati ia sesuatu yang menyeronokkan.

Pada tahun berikutnya, mereka sengaja mengulangi aktiviti tersebut sebagai satu bentuk hiburan.

Pada mulanya pihak berkuasa cuba melarang perayaan ini kerana dianggap mengganggu ketenteraman awam.

Namun penduduk tempatan tetap meneruskannya secara tidak rasmi sehingga akhirnya kerajaan Sepanyol mengiktiraf La Tomatina sebagai festival rasmi pada tahun 1950-an.

Sejak itu, La Tomatina terus berkembang menjadi salah satu festival paling terkenal di dunia.

Bagaimana La Tomatina Disambut?

Sambutan La Tomatina biasanya bermula pada waktu pagi apabila ribuan orang mula berkumpul di pusat bandar Buñol. Suasana menjadi semakin meriah dengan muzik, tarian dan pelbagai aktiviti jalanan.

Sebelum acara utama bermula, terdapat satu tradisi unik yang dikenali sebagai "Palo Jabón", yang mana sebatang tiang tinggi disapu dengan sabun akan dipacakkan di tengah-tengah kawasan perayaan. Di bahagian atas tiang tersebut digantung seketul daging.

Peserta akan cuba memanjat tiang yang licin itu untuk mengambil daging tersebut. Walaupun kelihatan mudah, sabun pada tiang menjadikan tugas itu sangat sukar.

Selepas seseorang berjaya mengambil daging tersebut atau selepas masa tertentu berlalu, isyarat rasmi akan diberikan untuk memulakan perang tomato.

Beberapa buah trak yang membawa puluhan tan tomato akan memasuki kawasan bandar. Peserta akan mengambil tomato dari trak tersebut dan mula membalingnya ke arah orang lain.

Dalam masa beberapa minit sahaja, seluruh bandar akan dipenuhi dengan tomato yang dihancurkan sehingga menyerupai sungai merah.

Acara ini berlangsung selama kira-kira satu jam sebelum satu lagi isyarat diberikan untuk menamatkan pesta tersebut.

Peraturan Penting Dalam Festival

Walaupun festival ini kelihatan seperti kekacauan besar, terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh semua peserta.

Peraturan ini penting bagi memastikan keselamatan dan keseronokan semua orang.

Antara peraturan utama La Tomatina ialah:

1. Tomato mesti dihancurkan sebelum dibaling

Ini bagi mengurangkan risiko kecederaan kepada peserta lain.

2. Tidak dibenarkan membawa objek keras

Peserta hanya boleh menggunakan tomato sahaja.

3. Tidak boleh mengoyakkan pakaian orang lain

Tindakan ini dianggap tidak sopan dan boleh menyebabkan peserta dikeluarkan dari festival.

4. Acara mesti dihentikan apabila isyarat tamat diberikan

Selepas isyarat kedua dibunyikan, semua peserta perlu berhenti membaling tomato.

Peraturan ini membantu memastikan festival kekal sebagai aktiviti yang selamat walaupun melibatkan ribuan orang.

Berapa Banyak Tomato Digunakan?

Setiap tahun, dianggarkan lebih daripada 100 hingga 150 tan tomato digunakan dalam festival La Tomatina.

Namun begitu, tomato yang digunakan bukanlah tomato berkualiti tinggi yang dijual di pasaran. Kebanyakannya ialah tomato yang terlalu masak atau tidak sesuai untuk dijual.

Selepas festival tamat, pasukan pembersihan bandar akan menggunakan air bertekanan tinggi untuk membersihkan jalan raya.

Menariknya, asid semula jadi daripada tomato membantu membersihkan permukaan jalan sehingga kawasan tersebut kelihatan lebih bersih daripada sebelumnya.

Tarikan Pelancong Antarabangsa

Pada masa kini, La Tomatina telah menjadi salah satu festival paling terkenal di dunia. Setiap tahun, puluhan ribu pelancong dari pelbagai negara datang ke Buñol untuk menyaksikan atau menyertai festival ini.

Disebabkan popularitinya yang semakin meningkat, pihak berkuasa tempatan kini mengehadkan jumlah peserta kepada kira-kira 20,000 orang bagi memastikan keselamatan.

Peserta juga perlu membeli tiket rasmi untuk menyertai festival tersebut.

Walaupun begitu, permintaan untuk menyertai La Tomatina masih sangat tinggi kerana ramai pelancong ingin merasai pengalaman unik menyertai perang tomato terbesar di dunia.

Mengapa La Tomatina Menjadi Terkenal?

Terdapat beberapa sebab mengapa festival ini menjadi begitu terkenal di seluruh dunia.

Pertama, konsepnya sangat unik dan jarang ditemui di tempat lain. Tidak banyak festival yang melibatkan ribuan orang membaling makanan antara satu sama lain.

Kedua, suasana festival ini sangat menyeronokkan dan penuh dengan kegembiraan. Peserta tidak perlu mengenali antara satu sama lain untuk turut sama menikmati pesta tersebut.

Ketiga, media antarabangsa sering menyiarkan gambar dan video La Tomatina yang kelihatan sangat luar biasa. Ini menyebabkan semakin ramai orang ingin melihat sendiri festival tersebut.

Kesimpulan

La Tomatina merupakan salah satu festival paling pelik tetapi juga paling menarik di dunia.

Walaupun ia hanya bermula sebagai pergaduhan kecil menggunakan tomato, perayaan ini akhirnya berkembang menjadi tradisi tahunan yang menarik ribuan pelancong.

Festival ini membuktikan bahawa budaya manusia boleh menjadi sangat unik dan kadangkala di luar jangkaan.

Bagi mereka yang gemar mencuba pengalaman baru dan tidak kisah menjadi basah dengan jus tomato, La Tomatina di Sepanyol mungkin merupakan festival yang wajib dicuba sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, March 10, 2026

SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

SBDJ Siri 256: Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

Ketua kumpulan yang berpakaian serba putih itu memberikan syarahan agama, kemudian merawat sesiapa saja yang memerlukan khidmatnya secara percuma. Semuanya dilayan dengan baik.

Berbotol-botol air sejuk di jual pada orang yang berada di situ. Air sejuk itu dikatakan boleh menyembuh macam-macam penyakit. Kalau menghidapi sakit dalaman, minum saja. Kalau sakit luaran memadai dengan disapu.

SBDJ Siri 256 Imam Shafie Palsu Dapat Ilmu Syaitan

Di saat asyik melayani orang ramai. Beberapa orang kanan yang menguruskan pentadbiran masjid segera datang. Mereka dihalau keluar dari kawasan masjid.

Di luar sana mereka boleh berbuat apa saja, tetapi bukan didalam kawasan masjid. Pada mulanyam memang ada bantahan dari pengikut dan para jemaah masjid yang bersimpati dengan dengan kumpulan tersebut.

Akhirnya, kumpulan itu mengalah, setelah ketua mereka tidak dapat menangkis hujah-hujah dalam perdebatan kecil berhubung dengan beberapa masalah yang ada kaitanya dengan akidah agama.

Semasa suami malang dan kawannya menemui imam masjid berhubung dengan hal tersebut Pak Imam menjelaskan, kumpulan itu baru muncul diketuai oleh seorang anak muda yang mendapat ilmu akhirat melalui pertapaan dan mendakwa mendapat petunjuk dari Allah, bahawa apa yang kita amalkan sekarang sudah terpesong dari ajaran Islam sebenarnva.

Dia menggunakan kepandaian mengubat orang sakit sebagai senjata mencari pengaruh.

Bila ditanya oleh imam, apakah mereka berdua berminat untuk mengikuti kumpulan tersebut. Jika berminat, mereka dinasihatkan supaya jangan datang ke masjid ini lagi.

Ini kerana minggu depan dan seterusnya kumpulan itu akan dihalau dari kawasan masjid. Kalau mereka berkeras, perkara itu akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa.

Lebih mengejutkan suami malang dan rakannya, Pak Imam menganggap ketua kumpulan itu orang gila. Begitu juga pengikutnya.

Rawatan yang dilakukan pada pesakit, baik secara kebetulan. Sepuluh dirawat kebetulan seorang yang pulih dan yang pulih itu dihebahkan oleh pengikutnya manakala sembilan lagi yang gagal dirahsiakan.

Pak Imam berpendapat, bila dihalang datang ke masjid, besar kemungkinan kumpulan itu akan berhijrah ke lempat lain.

Taktik yang sering digunakan oleh mereka ialah Tuk Guru pergi dulu ke masjid atau surau. Tumpang bermalam atau berteduh di situ semalam dua.

Bila sampai waktu yang sesuai terus membuat kecoh serta memperlihatkan kehandalannya dalam hal-hal agama. Bersedia beradu kekuatan jika ada pihak yang cuba menghalangnya.

Ketika itulah kumpulannya datang dan menyalahkan orang yang menentang ketua mereka. Secara diam-diam mereka mula menyebarkan pengaruh pada orang ramai.

Secara diam-diam pula menghebahkan bahawa ajaran tuk guru mereka benar belaka. Orang yang menentang 'tuk guru' adalah golongan orang munafik.

Bila Pak Imam menyebut ketua kumpulan itu dipanggil "Imam Shafie'. Biji mata suami malang terbeliak, dadanya berdebar.

Dia teringatkan anaknya yang hilang. Sebab dipanggil 'Imam Shafie' cara kebetulan nama ketua kumpulan tersebut memang Shafie, jelas Pak Imam lagi.

Kesimpulan yang dibuat oleh Pak Imam bahawa Imam Shafie tiruan itu banyak mmenuntut ilmu syaitan semasa dalam pertapaan.

SAKIT

Setelah mendengar penjelasan Pak Imam tersebut, hasrat suami malang untuk menemui "tuk guru" dan minta jasa baiknya untuk mengubati sakit isterinya terpaksa dibatalkan. Hari itu juga dua sahabat tersebut pulang ke tempat masing-masing.

Apa yang pasti si suami malang akan berusaha mencari orang yang boleh merawat sakit isterinya di samping menjejaki anaknya yang lari malam.

Sampai di sini si suami malang menamatkan kisah sengsara yang dilalui bersama isterinya.

"Hebat perjalanan hidupnya," bisik saya dalam hati sambil menjeling ke arah Tajuddin yang tidak berkedip merenung ke surau.

Pasangan suami isteri malang juga merenung ke arah yang sama seperti Tajuddin.

"Macamana kamu tahu anak kamu ada di sini?"

Suami malang merenung muka datuk yang mengajukan pertanyaan. Secara spontan dia terus tersenyum. Itulah kali pertama saya melihat dia senyum, sejak berada di situ.

"Sahabat saya yang bagi tahu!" katanya.

"Sekarang apa yang mahu kamu buat, membiarkan dia begitu atau memisahkan dia dengan orang-orang yang mendewa-dewakan dia," Pak Habib minta kepastian.

Suara orang berzikir dan berkasidah jelas kedengaran dari surau. Isteri kepada si suami malang masih belum mengubah pandangan tetap renung ke surau.

Dari sorotan ternyata dia amat merindui kehadiran anak yang hilang di sisinya.

"Oh Tuhan, Kau selamatkan anakku," keluhnya.

Hiba perasaan saya dibuatnya. Perlahan-lahan dia alihkan pandangan dari surau ke wajah datuk. Renungannya mengandungi harapan, agar datuk atau Pak Habib melakukan sesuatu yang terbaik buatnya dan suami.

"Bagaimana?"

Suami malang terkejut dari lamunan. Dia merasakan kata yang diucapkan oleh Pak Habib memberikan sebuah harapan untuk dirinya.

"Saya memerlukan jasa baik awak berdua untuk menyelamat anak saya, dia sakit otak. Tetapi, peliknya orang yang tak sakit otak memuliakan dirinya, anggap dia orang yang tinggi ilmu dalam agama," si suami malang meluahkan harapan.

Pak Habib menggigit bibir. Harapan suami malang itu bukannya mudah dan kecil. Bagi melaksanakannya bukanlah semudah menelan air liur. Penuh cabaran dan menuntut kesabaran yang panjang.

"Sekiranya tak dihalang dari sekarang, ramai yang jadi sesat dan tidak tentu hala. Agama dipermain-mainkan, kita mesti bertindak. Saya tak mahu orang lain mengambil kesempatan dari masalah yang dihadapi anak saya," tanpa diduga isteri malang meluahkan apa yang ada dalam kalbunya.

"Dia bercakap perkara yang benar," hati kecil saya memberi komentar.

"Kita kena bertindak dengan segera, sebelum perkara ini melarat, saya mahu anak saya balik kepada saya, ikhtiarkan dengan apa cara sekalipun," sambung isteri malang penuh keyakinan dengan sepasang anak matanya memanah ke wajah suaminya.

Suaminya masih terkaku, meraba-raba mencari sebuah keputusan. Cuba mengawal rasa berdebar dalam dada. Gegendang telinganya terus diasak dengan suara orang berkasidah.

"Selamatkan anak kita bang," rayu isteri.

"Sudah tentu, dia darah daging kita. Walau apa yang terjadi, dia mesti diselamatkan," si suami memberikan harapan pada isteri yang kelihatan berada dalam keadaan serba salah.

"Tapi bang?"

"Tapi, apa lagi?" suami mula resah dan bosan bila terlalu banvak pertanyaan diajukan padanya.

"Caranya bang."

"Hummmm..." Si suami seperti tersentak dan mula terfikir apa yang diajukan oleh isterinya memang betul.

Buat beberapa saat dia termenung, beberapa kali dia menjeling ke arah datuk dan Pak Habib. Macam ada sesuatu yang mahu disampaikannya lagi.

"Kita minta bantuan mereka," dengan spontan suami berkata. Ibu jarinya menghala ke arah datuk dan Pak Habib.

"Bersediakah mereka bang, tadi kita beritahu, mereka tak kata apa-apa."

"Kita cuba lagi."

REAKSI

Saya lihat Pak Habib dan datuk tidak memberikan sebarang reaksi. Padahal mereka mendengar apa yang diucapkan oleh pasangan suami isteri itu.

Barangkali Pak Habib dan datuk beranggapan pasangan suami isteri tidak serius. Sekadar bersandiwara saja. Si isteri yang lebih cekap mengenali dan menguasai suasana, segera mendekati Pak Habib yang masih termenung.

"Bagaimana boleh menolong kami, tolong selamatkan anak kami yang dimuliakan orang yang singkat akal."

Datuk tarik nafas panjang sambil merenung muka Pak Habib dengan sejuta persoalan.

"Kenapa diam, kalau tak boleh katakan tak boleh, jangan biarkan kami menunggu. Kalau tak upaya, kami boleh berikhtiar di tempat lain," keras sekali tekanan suara si isteri.

"Awak berdua bersungguh-sungguh atau sekadar mahu mencuba," Pak Habib minta kepastian.

"Kalau sekadar mahu mencuba, kami tak mahu," datuk mencelah.

"Memang kami mengharapkan sepenuh hati, pada siapa lagi kami mahu minta tolong," si isteri bagaikan merayu, sedangkan suaminya kelihatan termenung, perasaan kecewa mendengar jawapan dari datuk.

"Sebut berapa upahnya, kami sediakan," secara tiba-tiba si suami bersuara dengan nada yang tinggi. Dia memperlihatkan rasa marah dan geramnya.

"Bukan wang yang kami cari, kami menolong dengan ikhlas dan kami mahu orang yang minta tolong itu juga mesti ikhlas, kami tak mahu bila pertolongan diberikan, orang yang menerimanya tidak ikhlas, semua suruhan tak dibuat. Kami macam dipermainkan," cukup ringkas datuk mcmberikas penjclasan.

"Saya setuju dengannya."

Pak Habib menyokong saranan datuk. Muka pasangan suami isteri direnungnya dengan tepat seketika, kemudian renungan itu dialihkan ke arah surau. Suara orang berzikir masih juga mengalun.

"Kamu berdua memang memerlukan pertolongan kami."

"Dengan apa lagi yang mahu kami buktikan pada tuan berdua yang kami ini memang mengharapkan bantuan," kata si suami dengan suara tertahan-tahan menjawab pertanyaan Pak Habib.

"Baiklah, kami mulakan sekarang. Jangan cakap atau tegur bila kami membuat perkara yang ganjil terhadap anak kamu," tegas datuk.

ANGGUK

Pasangan suami isteri itu anggukkan kepala. Tetapi anak mata mereka tidak terlepas dari merenung muka datuk dan Pak Habib.

"Kita semua ke surau," datuk keluarkan arahan.

Arahan datuk kami patuhi, termasuk pasangan suami isteri. Pak Habib menjadi ketuanya dan yang lain-lain mcngekori dari belakang. Rasa gementar tetap bersarang dalam dada.

Dalam jarak beberapa kaki mahu sampai ke muka pintu surau, suara orang berzikir terhenti. Mereka bagaikan tahu kedatangan kami.

"Begini, biarkan kami uruskan hal ini, kamu berdua pergi duduk di sana di bawah pokok rambutan, bila aku panggil baru datang," datuk renung muka pasangan suami isteri. Dengan segera mereka beredar dari situ.

"Puuuuummmpp..."

Terdengar bunyi kaca terhempas ke atas lantai surau. Cepat datuk renung muka Pak Habib dan Pak Habib segera memberi isyarat tangan supaya bcrsabar dan jangan peduli dengan apa yang berlaku.

"Saya, sahabat dan cucu saya, masuk ke dalam surau. Tajuddin tunggu di pintu, kalau terasa ada sesuatu yang ganjil semasa kami berada dalam surau, kamu selamatkan atau sembunyikan orang laki bini di bawah pokok rambutan," itu pesan yang datuk tinggalkan untuk Tajuddin yang disambut dengan senyum oleh Tajuddin.

Kami bertiga bergerak serentak menuju pintu surau. Sebelum itu, datuk telah mengingatkan saya dan Pak Habib supaya berhati-hati dan waspada. Mana tahu, kalau orang dalam surau keluar ikut pintu belakang dan terus melakukan serangan mengejut

"Tunggu diluar dulu," beritahu datuk.

Sebaik saja melangkah masuk, satu tendangan dari dalam dilepaskan pada datuk. Nasib baik datuk dapat mengelak dengan merendahkan badan sambil menangkap pergelangan kaki orang berkenaan. Dengan sepenuh tenaga kaki orang itu direntap dan dilemparkan keluar.

Mungkin orang dalam surau terkejut dengan kejadian itu hingga tiada serangan susulan dilakukan. Datuk terus melangkah masuk. Saya dan Pak Habib segera mengekorinya.

Datuk berdiri di tengah ruang surau bercekak pinggang. Saya berada di sebelah kiri dan Pak Habib berada di sebelah kanan.

"Mana tuk guru kamu, aku nak buat perhitungan."

Semua yang ada dalam surau terdiam tunduk. Tiada seorang pun yang bersuara, apa lagi panggungkan kepala menentang muka datuk.

Saya jeling ke arah lelaki berbadan besar dan tegap. Dia membisu. Kehebatan dan garangnya, hilang entah ke mana.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 256/284

BACA: SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

5 Simbol Status Kekayaan Paling Pelik Masyarakat Dahulu

5 Simbol Status Kekayaan Paling Pelik Masyarakat Dahulu

Sepanjang sejarah manusia, cara orang kaya mempamerkan kekayaan tidak selalu melalui emas atau istana besar. Ada yang sangat pelik hingga sukar dipercayai hari ini!

5 Simbol Status Kekayaan Paling Pelik

Berikut 5 simbol kekayaan paling ganjil dalam masyarakat dahulu.

1. Gigi Hitam (Jepun Feudal)

Ohaguro gigi hitam

Di Jepun zaman feudal, gigi yang dihitamkan (Ohaguro) dianggap tanda kecantikan dan status tinggi.

Golongan bangsawan, samurai dan wanita istana akan mewarnakan gigi mereka dengan campuran besi dan cuka sehingga menjadi hitam legam.

Sebabnya ia menunjukkan seseorang itu berstatus tinggi, melambangkan kesetiaan dalam perkahwinan dan dipercayai melindungi gigi daripada rosak.

Hari ini, ia kelihatan pelik, tetapi dahulu ia tanda keanggunan.

2. Kulit Pucat (Eropah Zaman Dahulu)

Whiteness kulit pucat

Pada abad ke-17 hingga ke-19 di Eropah, kulit yang sangat pucat menandakan seseorang itu kaya.

Kenapa? Kerana orang miskin biasanya bekerja di ladang dibawah matahari. Kulit mereka menjadi gelap.

Sebaliknya, golongan bangsawan duduk dalam rumah besar, tidak bekerja di luar dan kulit kekal putih pucat.

Ada yang menggunakan serbuk bedak beracun yang mengandungi plumbum hanya untuk kelihatan lebih pucat!

3. Berat Badan Gemuk (Banyak Tamadun Lama)

Fat man tanda kekayaan

Dalam banyak masyarakat lama, badan gemuk adalah simbol kekayaan.

Ini kerana hanya orang kaya mampu makan makanan mewah secara berlebihan, manakala orang miskin sering kekurangan makanan.

Di beberapa budaya semakin besar tubuh seseorang, semakin tinggi status sosialnya.

Berbeza dengan zaman moden yang mengaitkan tubuh sihat dengan kecergasan.

4. Kepala Dipanjangkan (Bangsa Maya & Inca)

Elongated_skull

Dalam tamadun Maya dan Inca, bayi bangsawan akan diikat kepalanya dengan papan khas.

Tujuannya untuk memanjangkan bentuk tengkorak ketika masih kecil.

Kenapa dibuat?

Bentuk kepala panjang dianggap cantik, mulia dan simbol darah bangsawan.

Bagi masyarakat mereka, bentuk kepala ini menunjukkan seseorang berasal dari keluarga elit.

5. Memelihara Orang Kerdil (Istana Eropah)

Orang Kerdil

Di beberapa istana Eropah abad pertengahan, bangsawan memelihara orang kerdil sebagai penghibur istana.

Mereka dianggap hiburan eksklusif golongan elit dan simbol kemewahan istana.

Semakin ramai penghibur unik yang dimiliki, semakin tinggi status sosial seseorang bangsawan.

Kesimpulan

Apa yang dianggap simbol kekayaan sentiasa berubah mengikut zaman.

Jika dahulu gigi hitam, badan gemuk atau kepala panjang dianggap mewah, hari ini kekayaan lebih dikaitkan dengan teknologi, gaya hidup dan pengaruh sosial.

Sejarah menunjukkan bahawa status sosial sering dibentuk oleh budaya, bukan logik semata-mata.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

SBDJ Siri 255: Bomoh Kena Tendang

Malam itu penghuni kampung jadi gempar. Semuanya menyerbu rumah orang tua Shafie. Seluruh kawasan rumah terang bederang dengan cahaya andang daun kelapa. Apa yang berlaku segera diterangkan dengan terperinci oleh orang tua Shafie pada orang kampung.

SBDJ Siri 255 Bomoh Kena Tendang

Orang kampung yang berkumpul di halaman rumah mengambil keputusan untuk menjejaki dua insan yang lari. Kedua orang tua Shafie tiada daya untuk menghalangnya.

Cuma mereka berpesan, jika dukun berhasil ditangkap jangan diapa-apakan. Suruh dia pulang. Pujuklah Shafie supaya balik ke rumah. Jangan dipukul dan dijentik batang tubuh mereka.

Ternyata, orang kampung bersedia mematuhi pesanan ayah dan ibu Shafie. Seluruh belukar dan hutan dijenguk. Semua rumah kosong dimasuki. Gua dan parit disusupi.

Orang yang dicari tidak juga ditemui. Tetapi, orang kampung tidak putus asa dan terus mencari.

Malam yang hening menuju ke subuh terus dikocak dengan tempik sorak. Mereka bertembung dengan seorang lelaki terperosok dalam perigi buta. Ramai-ramai mereka menaikkan orang tersebut dari dalam perut telaga buta.

Dan orang yang ditolong itu ialah orang tua berjanggut putih separas dada. Tetapi, sudah berubah menjadi hitam kotor.

Maka orang tua berjanggut putih separas dada itu, segera diusung oleh orang kampung ke rumah orang tua Shafie. Segala apa yang melekat ditubuhnya segera dibersihkan. Luka dan bengkak segera diubati.

Bila didesak dan ditanya oleh orang-orang kampung, secara jujur orang tua berjanggut putih separas dada menerangkan, hasratnya sekadar mahu menolong.

Dia juga mahu menguji formula barunya bagi menolong orang yang bermasalah. Formula barunya ialah mencantumkan cara perubatan tradisional dengan perubatan moden menggunakan pil vitamin yang dibeli di kedai farmasi.

Beberapa pesakit yang diubati mengikut formula barunya berhasil. Cara kebetulan dua orang pembantunya pernah bekerja di klinik swasta.

Seorang sebagai pembancuh ubat, manakala seorang lagi pembantu kanan pada doktor klinik berkenaan.

Sesungguhnya, dia tidak menduga akan mengalami perkara yang memalukan dirinya sebagai dukun. Lelaki tua berjanggut putih separas dada mengakui tendangan yang dilepaskan Shafie membuat dirinya terasa berpusing-pusing. Dua batang gigi tercabut dari gusi.

Ketika Shafie mengejarnya, dia berusaha berlari dengan sekuat hati. Apa yang ada dalam kepalanya ketika itu ialah kematian yang belum diketahui di mana tanah kuburnya.

Malah, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh berada dalam perut perigi buta.

MELAYANG

Semasa dia berlari tiba-tiba dia merasai tubuhnya melayang di atas awang-awangan, kemudian terjatuh dalam tempat yang gelap. Seluruh badannya basah.

Dalam masa yang sama didepannya berdiri orang hitam berbadan besar dan terus memukul kepalanya sekuat hati.

Setelah itu, dia tidak sedar apa yang berlaku. Bila bergerak ke kanan terasa seluruh tubuhnya sakit.

Saat dia membuka mata didapati dirinya sudah berada di rumah orang tua Shafie dan melihat dua orang pembantunya berada dalam kandang buluh, di mana Shafie ditempatkan.

Lelaki tua berjanggut paras dada, tanpa diminta memberitahu orang kampung, kejadian yang memalukan di rumah orang tua Shafie, mungkin menjadi malam penamat kerjaya sebagai bomoh.

Hasratnya untuk memperkenalkan formulanya di Kedah (Malaysia) sebagai sumber rezekinya terpaksa dibatalkan.

Kejadian malang di rumah orang tua Shafie seolah-olah menyedarkan dirinya supaya berhenti menjadi bomoh yang diakuinya banyak melakukan perbuatan tidak benar daripada yang benar.

Banyak bercakap berbelit-belit tidak lurus, gunakan ayat Quran untuk kepentingan perut, pura-pura jadi orang warak pada hal pengetahuan tentang agama tidak sebanyak mana.

Pengakuan yang jujur dan ikhlas itu membuat orang kampung simpati dan kasihan. Semua yang ada di situ bermuafakat memberikan sedekah setakat mana yang mampu dalam bentuk rupiah.

Kedua-dua orang pembantu yang berada dalam kandang di ruang rumah segera dikeluarkan. Mereka juga diberikan sedikit habuan.

Sebelum dilepaskan, orang tua berjanggut separas dada bersama dua orang pembantunya diingatkan supaya jangan datang ke kawasan mereka untuk menjaja dan mempamerkan ilmu kebomohan yang bersalut dengan penipuan.

Andainya mereka datang juga, belum tentu mereka boleh pulang dengan selamat.

Apa yang dilakukan oleh Shafie adalah merupakan amaran pertama. Amaran selanjutnya, mungkin isi perut terburai atas tanah atau kepala terpisah dari tubuh.

Memang mengejutkan, bila orang tua berjanggut putih paras dada berjanji, tidak akan datang lagi ke kampung tersebut, walaupun diundang.

Kata-kata itu mendapat tepukan dan sorakan dari orang kampung. Mereka segera mengiringi lelaki berjanggut putih paras dada bersama dua orang pembantu keluar dari kawasan kampung mereka.

SAMPAI

Setelah mendengar cerita sebenar yang disampaikan oleh pasangan suami isteri malang itu, saya lihat datuk dan Pak Habib menarik nafas panjang.

Saya termenung dan Tajuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada sedih atau sebaliknya. Susah mahu diteka apa yang ada di dalam tempurung kepala Tajuddin.

Tajuddin menudingkan telunjuk ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Semua perhatian tertumpu ke arah yang ditunjukkan oleh Tajuddin.

Kumpulan tersebut sedang mengurung lelaki yang mereka panggil sebagai Tuk guru yang kadang-kadang mereka sebut juga sebagai Pak Guru.

"Halang mereka, Pak Habib," saya bertanya.

"Jangan, biarkan," jawab Pak Habib.

"Nanti mencemarkan surau kita," tingkah Tajuddin.

"Jangan, bila berada dalam surau, lebih mudah kita bertindak, kalau mereka robohkan surau, baru kita halang," ujar Pak Habib.

Saya dan Tajuddin berpandangan.

Barangkali Pak Habib sudah memikirkan buruk baiknya jika bertindak terburu-buru, kumpulan itu akan menang, Shafie tidak dapat diselamatkan dan terus jadi milik mereka, fikir saya.

Datuk minta suami malang menyambung ceritanya kembali. Permintaan datuk segera ditunaikan.

Kejadian malam itu merupakan malam perpisahan antara pasangan suami isteri dengan anak mereka, Shafie. Hilang entah ke mana. Perasaan sedih tiak dapat dibendung oleh si isteri.

Tiga bulan terpisah membuat si isteri merana dan jatuh sakit. Bermacam-macam usaha dilakukan, sakit yang ditanggung oleh wanita malang itu tidak juga sembuh.

Si isteri yang rindukan Shafie dibawa oleh suaminya ke hospital. Setelah diperiksa dah duduk dalam wad lebih dari dua minggu, doktor mendapati wanita itu tidak mengalami sebarang sakit.

Dia mengalami tekanan perasaan yang agak hebat, rasa putus asa, kecewa dan marah sentiasa bermain dalam batinnya.

Menurut doktor yang merawatnya, penyakit itu boleh dikurangkan secara bertahap-tahap. Dan akhirnya boleh baik terus.

Satu saranan yang cukup mudah, tetapi agak berat untuk dilaksanakan. Sebagai ikhtiar, si suami malang tetap mencuba dan berusaha.

Dia segera memulakan langkah untuk mengubatinya dan mencari anaknya dengan cara berpesan-pesan pada orang yang dikenalinya.

Usaha lain yang dilakukannya ialah menulis risalah sebanyak-banyaknya dalam tulisan jawi. Risalah itu ditampalkan di semua surau dan masjid seluruh daerah.

Bila ada masa terluang, dia akan melakukan sembahyang fardhu dari surau ke surau atau masjid dengan harapan ada jemaah yang tahu tentang Shafie.

TETAMU

Pada suatu malam Jumaat, di bulan rabiulakhir, seorang kenalan dari kampung berdekatan datang ke rumah.

Kenalan itu menceritakan, kira-kira jarak tiga buah kampung dari kediamannya tersebar berita seorang muda yang baru keluar dari tempat pertapaan. Hebat dengan ilmu dunia dan akhirat.

Anak muda itupun segera dimuliakan oleh penduduk kampung berkenaan dianggap sebagai 'manusia keramat hidup'.

Mulutnya masin, sebut apa saja terus menjadi. Boleh menyembuhkan apa saja jenis penyakit dengan cara menyentuh ibu jari pesakit. Banyak benar kehebatan orang muda tersebut.

Suami malang segera tertarik dengan cerita tersebut. Dia ingin melihat bagaimana rupa anak muda ahli pertapaan itu. Di samping itu, dia mahu juga menyuruh isterinya berubat dengan orang alim dan warak.

Satu persetujuan diikat oleh suami malang dengan kenalan dari kampung berdekatan. Pada hari jumaat akan datang, mereka berdua akan menunaikan fardhu jumaat di kampung tersebut.

Hari yang dijanjikan pun sampai kira-kira setengah jam lagi mahu masuk waktu, suami malang dan kenalannya duduk dalam masjid. Setiap jemaah yang masuk jadi perhatian suami malang.

Entah macamana dia terpandang satu kumpulan memakai pakain serba putih masuk ke dalam masjid. Kumpulan itu berada di saf atau barisan tengah masjid.

Orang yang mereka panggil 'Tuk guru' menutup sebahagian mukanya, macam kebiasaan yang dilakukan orang-orang Arab dipadang pasir ketika menjaga kambing.

Kerana jaraknya agak jauh, pandangan sering diganggu oleh gerak kepala para jemaah dan muka orang mahu dikenali separuh tertutup, maka suami malang tidak dapat melihat dengan jelas wajah individu yang mahu dikenalinya itu.

Selesai sembahyang dan berdoa para jemaah menerkam pintu masjid mahu keluar.

Suami malang dan rakannya segera menuju ke arah kumpulan berpakaian serba putih. Belum pun sempat sampai, kumpulan itu sudah mengiringi ketua mereka ke bawah pokok kekabu.

Sebahagian daripada para jemaah terus menuju ke arah pokok tersebut.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 255/284

BACA: SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Monday, March 09, 2026

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Pada tahun 1901, seorang jutawan British bayar £20,000 untuk beli hak minyak Iran. 125 tahun kemudian, pada tahun 2026, Amerika dan Israel membunuh Supreme Leader Iran. Selat Hormuz ditutup dan 3,200 kapal terperangkap.

Sejarah Empayar Barat Dan Minyak Iran

Jepun, negara yang mengimport 95% minyak dari Timur Tengah sedang tercekik kerana bekalan tenaga hampir lumpuh. Dan puncanya hanya satu, minyak.

𝟭𝟵𝟬𝟭: 𝗕𝗥𝗜𝗧𝗜𝗦𝗛 "𝗕𝗘𝗟𝗜" 𝗠𝗜𝗡𝗬𝗔𝗞 𝗜𝗥𝗔𝗡

William Knox D'Arcy, jutawan British, menawarkan £20,000 kepada Shah Iran untuk hak EKSKLUSIF cari minyak di tiga suku keluasan Iran selama 60 tahun. Shah setuju.

Selepas 7 tahun dan hampir bankrap, mereka akhirnya menemui minyak pada tahun 1908.

Lahirlah Anglo-Persian Oil Company — hari ni dikenali sebagai 𝗕𝗣, 𝗕𝗿𝗶𝘁𝗶𝘀𝗵 𝗣𝗲𝘁𝗿𝗼𝗹𝗲𝘂𝗺.

𝟭𝟵𝟭𝟰: 𝗖𝗛𝗨𝗥𝗖𝗛𝗜𝗟𝗟 𝗠𝗔𝗦𝗨𝗞

Winston Churchill menukar seluruh armada kapal perang British kepada enjin minyak — lebih laju, lebih power. Jadi, British perlukan bekalan yang tak pernah putus, so kerajaan British beli 51% saham Anglo-Persian.

Iran jadi "stesen minyak" untuk British Empire.

Iran dapat cuma 16% "keuntungan bersih" tapi British kenakan cukai korporat yang LEBIH TINGGI dari royalti Iran.

Kerajaan British — yang tak memiliki setitis pun minyak tu — dapat lebih banyak duit dari minyak Iran berbanding Iran sendiri. Selama hampir 50 tahun.

Dan apabila Arab Saudi menandatangani perjanjian 50-50 dengan Aramco, Iran pun minta sama tapi pemilik Anglo-Iranian menolaknya mentah-mentah.

𝟭𝟵𝟱𝟭: 𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗕𝗔𝗡𝗚𝗞𝗜𝗧

Iran pada masa itu adalah monarki berperlembagaan seperti Malaysia — Shah jadi ketua negara tapi Perdana Menteri memegang kuasa eksekutif sebenar.

Shah lemah dan tidak berani melawan British.

Parlimen kemudiannya melantik Dr. Mohammad Mossadegh dan dia terus nasionalisasikan industri minyak Iran. Shah cuba memecat Mossadegh pada 1952, tetapi rusuhan besar pecah dan Shah terpaksa lantik balik dia.

Menurut Mossadegh: 𝗜𝗻𝗶 𝗺𝗶𝗻𝘆𝗮𝗸 𝗸𝗶𝘁𝗮. 𝗞𝗶𝘁𝗮 𝘆𝗮𝗻𝗴 𝗽𝗮𝘁𝘂𝘁 𝘂𝗻𝘁𝘂𝗻𝗴.

British kemudiannya membalas tindakan ini dengan boikot, hantar kapal perang Ke Iran dan membekukan aset. Tapi Mossadegh tidak berundur.

𝟭𝟵𝟱𝟯: 𝗖𝗜𝗔 𝗝𝗔𝗧𝗨𝗛𝗞𝗔𝗡 𝗗𝗘𝗠𝗢𝗞𝗥𝗔𝗦𝗜 𝗜𝗥𝗔𝗡

Lepas gagal menekan Iran, British meminta pertolongan Amerika dengan alasan: "Mossadegh akan jatuh ke tangan komunis."

USA panik. Waktu ini memang kuasa komunis memang tengah kuat.

CIA hantar Kermit Roosevelt Jr. ke Tehran dengan beg penuh duit. Beli media, upah perusuh, rasuah tentera. CIA gunakan Shah untuk cuba mengawal Iran.

Percubaan pertama jatuhkan Mossadegh gagal dan Shah lari ke Rom. Lepas itu, CIA atur percubaan kedua & kali ini CIA berjaya. Hampir 300 orang mati, Mossadegh ditangkap dan ditahan sampai mati.

Shah diterbangkan balik dari Rome dan didudukkan semula ke takhta oleh CIA. Sebagai "terima kasih," dia mengurniakan 𝟰𝟬% 𝗹𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴 𝗺𝗶𝗻𝘆𝗮𝗸 𝗜𝗿𝗮𝗻 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗔𝗺𝗲𝗿𝗶𝗸𝗮.

Dan pada 1956, Mesir nasionalisasikan Terusan Suez — dunia belajar bahawa chokepoint minyak boleh jadi senjata paling berkuasa.

𝟭𝟵𝟱𝟯-𝟭𝟵𝟳𝟵: 𝗦𝗛𝗔𝗛, 𝗢𝗣𝗘𝗖 𝗗𝗔𝗡 𝗘𝗠𝗕𝗔𝗥𝗚𝗢

Shah menjadi diktator pro-Barat. CIA bersama Israel menubuhkan SAVAK — polis rahsia dengan lebih 5,000 ejen. Sesiapa yang mengkritik Shah boleh hilang tanpa jejak.

Pada 1960, Iran bersama Iraq, Arab Saudi, Kuwait dan Venezuela kemudiannya menubuhkan OPEC. Dan pada 1973, Mesir dan Syria menyerang Israel, Amerika bekalkan senjata untuk selamatkan Israel dan negara Arab membalas dengan embargo minyak.

Harga naik 4 kali ganda — dari $3 ke $12, bersamaan $22 ke $88 dalam nilai hari ini.

Shah pun turut sama menaikkan harga minyak untuk untung lebih dan beli senjata canggih tapi dia tak sedar kekayaan yang sama sedang menanam benih kejatuhannya.

𝟭𝟵𝟳𝟵: 𝗕𝗟𝗢𝗪𝗕𝗔𝗖𝗞

Selama 26 tahun rakyat Iran hidup dibawah Shah yang ditabal oleh CIA dan pada tahun 1979, semuanya meletus. Berjuta rakyat turun ke jalanan.

Ayatollah Khomeini pulang dari pengasingan di Paris dan tumbangkan Shah. Kali ini tiada CIA yang mampu selamatkan dia.

Pelajar Iran menyerbu Kedutaan Amerika dan menahan 52 diplomat selama 444 hari. Mereka tunjuk dokumen CIA sebagai bukti campur tangan Amerika — seluruh dunia nampak. Hubungan diplomatik putus sampai ke hari ini.

𝟮𝟬𝟮𝟲: 𝗦𝗘𝗝𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗕𝗘𝗥𝗨𝗟𝗔𝗡𝗚

28 Februari 2026, Amerika dan Israel serang Iran. Khamenei terbunuh bersama berpuluh pegawai kanan tentera. Iran membalas dengan menyerang Israel, Dubai, Abu Dhabi, Doha dan Bahrain dan menutup 𝗦𝗲𝗹𝗮𝘁 𝗛𝗼𝗿𝗺𝘂𝘇. Trafik turun 80%. 20% bekalan minyak dunia lalu selat yang cuma 34 KM lebar ini.

Negara paling terkesan?

Jepun — 95% minyak dari Timur Tengah, 80% lalu Hormuz. Sama seperti pada tahun 1973, Jepun sekali lagi menjadi mangsa perang orang lain.

Jepun betul-betul terkesan apabila sekutu menyerang Iran tanpa sebarang amaran. Jepun tercekik.

Jepun memang ada rizab minyak strategik tapi hanya cukup untuk 254 hari.

Namun, jika selat ni kekal tertutup berminggu-minggu, Yen akan jatuh. Defisit perdagangan melebar. Ekonomi menuju stagflasi.

Dan ironinya? Jepun langsung tiada kena mengena dengan konflik Iran. Tapi sebab satu selat sempit 34 KM lebar ditutup — seluruh ekonomi ketiga terbesar Asia boleh terjejas.

𝟭𝟮𝟱 𝗧𝗔𝗛𝗨𝗡, 𝗦𝗔𝗧𝗨 𝗣𝗔𝗧𝗧𝗘𝗥𝗡, 𝗧IADA 𝗦𝗜𝗔𝗣𝗔 𝗕𝗘𝗟𝗔𝗝𝗔𝗥
  • 1901 — British ambil minyak Iran.
  • 1953 — CIA jatuhkan satu-satunya demokrasi Iran pernah ada.
  • 1973 — OPEC embargo → harga naik 4x → dunia Barat berlutut.
  • 1979 — Rakyat bangkit → Shah jatuh → Amerika kehilangan sekutu terbesar.
  • 2026 — Supreme Leader terbunuh → Hormuz ditutup → dunia panik.

Setiap kali kuasa luar cuba mengawal minyak Iran, ia backfire.

Dan setiap kali, yang paling menderita bukan pemimpin — tapi rakyat biasa yang tiada kaitan dengan permainan kuasa besar.

Dari kapal perang Churchill ke pesawat pengebom Amerika. Puncanya tak pernah berubah. Minyak!

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, March 06, 2026

Donald Trump 'Merayu' Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Donald Trump 'Merayu' Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Menurut media Israel Yedioth Ahronot, seorang pegawai Amerika telah mencadangkan gencatan senjata segera melalui perantara dari Itali. Iran menolaknya secara terus. Perkara ini berlaku hanya beberapa jam selepas serangan bermula.

Trump Merayu Gencatan Senjata Namun Iran Menolak

Fikirkan perkara ini sejenak. Presiden yang berjanji bahawa operasi ini akan berlangsung cepat dan pasti, kini sudah mencari jalan keluar — tetapi pihak lawan menutup pintu itu.

Alasan Iran mudah tetapi sangat jelas: mereka pernah bersetuju dengan gencatan senjata pada Jun 2025 selepas gelombang serangan terakhir AS-Israel.

Namun gencatan senjata itu hanya memberi masa kepada Amerika dan Israel untuk menambah bekalan, menyusun semula kekuatan dan merancang serangan yang jauh lebih besar ini.

Iran tidak mahu mengulangi kesilapan itu. Mereka memutuskan untuk terus berperang sehingga kos yang ditanggung Amerika menjadi tidak tertanggung.

Trump membayangkan operasi ini hanya mengambil masa empat hingga lima hari. Iran jelas tidak bekerjasama dengan garis masa itu.

REJIM IRAN TIDAK RUNTUH

Seluruh teori di sebalik perang ini ialah bahawa pembunuhan Ayatollah Ali Khamenei akan menyebabkan Republik Islam Iran runtuh dari dalam.

Namun penganalisis tentera Israel sendiri kini mengakui perkara itu tidak berlaku.

Rejim Iran memang terjejas, tetapi masih berfungsi. Sebuah majlis kepimpinan peralihan telah pun ditubuhkan. Struktur komando IRGC (Islamic Revolutionary Guard Corps) masih cukup kukuh untuk menyelaras serangan balas berterusan di sepuluh negara secara serentak.

Ya, ada rakyat Iran yang meraikan di jalanan. Tetapi terdapat juga perhimpunan berkabung besar dengan ribuan orang melaungkan "mati Amerika" — dan laporan media bukan Barat menunjukkan perhimpunan ini jauh lebih besar daripada apa yang ditunjukkan oleh media Barat.

Pembunuhan Khamenei tidak menyebabkan rakyat menentang rejim. Bagi ramai orang, ia menjadikannya seorang syahid dan menyatukan negara menentang penyerang.

Seorang penganalisis bukan Barat berkata secara terus terang:

"Trump salah perkiraan. Kematian Ayatollah Khamenei tidak melemahkan pendirian Iran untuk mempertahankan kedaulatan mereka. Kesyahidan Rahbar menyatukan negara."

SALAH PERCATURAN

Trump kelihatan tidak berada dalam keadaan yang baik. Perang dengan Iran tidak tamat secepat yang dijangka. Semakin berlarutan, semakin besar kerugian Amerika. Trump akan kehilangan kelebihan, manakala Iran yang sudah terdesak kini bersedia bertempur habis-habisan.

Trump sedang terperangkap dalam perang dengan Iran kerana terdapat beberapa kekangan yang mengikat dirinya sendiri, iaitu:

Tentera Amerika tidak boleh mengalami korban yang terlalu ramai. Tentangan terhadap perang daripada rakyat Amerika, khususnya gerakan MAGA yang melihat Trump mengkhianati ideologi "America First" semakin kuat.

Perang tidak boleh berlarutan kerana kekurangan kelengkapan dan persenjataan, sedangkan Iran masih belum menggunakan senjata berat sepenuhnya, namun sudah mampu menyebabkan kerosakan besar terhadap pangkalan tentera, radar dan aset ketenteraan Amerika di Timur Tengah.

Kerajaan Amerika mengalami masalah kewangan yang serius.

Iran terlalu besar untuk ditundukkan dengan mudah dan mampu menanggung kerugian lebih lama. Senjatanya, sama ada dron atau peluru berpandu, juga mempunyai keupayaan yang setanding dengan Amerika.

Iran mendapat sokongan dari Rusia dan China di belakangnya, yang tidak akan membiarkannya tumbang.

Matlamat ketenteraan tidak jelas. Trump mahukan kemenangan, tetapi apakah maksud "menang"?

Menukar rejim pemerintahan? Itu pun sukar, kerana jika pemimpin tertinggi atau komander tentera terbunuh, akan ada generasi baharu yang menggantikan mereka.

Semangat kebangsaan Iran tidak akan berubah. Jika mahu menang secara ketenteraan sepenuhnya, Amerika perlu menghantar tentera darat, yang akan menjadikan perang itu berpanjangan tanpa penghujung.

Tentera Amerika akan terkorban dalam jumlah yang besar dan kemenangan tetap tidak terjamin.

Atau adakah Trump mahu mengebom Iran sehingga kembali ke Zaman Batu? Jika begitu, Amerika Syarikat juga akan menerima tindak balas yang sama.

Jika terpaksa kalah atau berundur di tengah jalan, Presiden Trump akan berakhir.

AMERIKA SEDANG MENERIMA SERANGAN SEBENAR

Pentagon mengakui tiga anggota tentera Amerika terbunuh dan lima lagi cedera parah, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan akibat serpihan dan gegaran letupan.

Ini adalah kematian tempur pertama Amerika — sedangkan perang ini baru dua hari bermula.

Imej yang tersebar di luar media Barat menunjukkan kerosakan besar di pangkalan AS di Erbil, Kurdistan Iraq, akibat serangan Iran.

Imej satelit turut mengesahkan serangan Iran yang berjaya ke atas pangkalan udara Ali Al-Salem di Kuwait.

Beberapa kejadian lain turut dilaporkan:
  • Burj Al Arab di Dubai mengalami kerosakan
  • Pelabuhan Jebel Ali terbakar
  • Sebuah kapal tangki minyak sedang tenggelam di Selat Hormuz
  • Sistem radar amaran awal AS di Qatar dilaporkan musnah

Pentagon berkata semua ini tidak mengganggu operasi.

Namun kerosakan itu benar-benar berlaku, telah disahkan, dan tidak ditunjukkan kepada anda.

Malah Yedioth Ahronot mengakui secara terbuka bahawa satu serangan ke atas kapal pengangkut pesawat, satu kapal tangki tenggelam atau kematian puluhan tentera Amerika boleh menyebabkan sokongan rakyat Amerika terhadap perang ini runtuh dengan cepat.

Mereka tahu sokongan itu sebenarnya sangat rapuh.

IRAN MENUKAR STRATEGI — DAN IA BERKESAN

Iran belajar daripada perang Jun 2025.

Daripada melancarkan satu serangan peluru berpandu besar yang mudah dipintas dan digunakan sebagai propaganda, mereka kini menggunakan strategi serangan kecil tetapi berterusan sepanjang hari.

Sasaran mereka termasuk:
  • Pangkalan tentera AS
  • Sasaran Israel
  • Infrastruktur negara Teluk
  • Laluan perkapalan antarabangsa

Kerosakan setiap serangan mungkin kecil, tetapi kesan terkumpulnya sangat besar.

Beberapa kesan yang sudah berlaku:
  • Lapangan terbang di negara Teluk ditutup
  • Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (antara paling sibuk di dunia) membatalkan 70% penerbangan
  • Maersk menghentikan semua penghantaran melalui Selat Hormuz
  • Kapal tangki minyak diserang
  • Syarikat insurans membatalkan perlindungan kapal
  • Tiga kapal tangki diserang dalam satu hari

Matlamat Iran bukan memenangi satu pertempuran dramatik.

Matlamat mereka ialah melemahkan ekonomi gabungan negara lawan secara perlahan sehingga kos meneruskan perang menjadi lebih mahal daripada menghentikannya. Dan strategi itu sedang berjaya.

Pasaran minyak akan dibuka pada hari Isnin, dan hampir semua penganalisis menjangka harga minyak akan melonjak.

PERANG INI TIDAK POPULAR — DI MANA-MANA

Di Amerika Syarikat, satu tinjauan awal YouGov menunjukkan hanya 33% rakyat Amerika menyokong serangan ke atas Iran.

Penganalisis Israel sendiri menyifatkannya sebagai:
"Sangat tidak popular di AS, baik dalam kalangan pengkritik Trump mahupun penyokong kuatnya."

Perang ini juga tidak pernah menjadi agenda awam sehingga beberapa hari lalu.

Ahli Kongres dari kedua-dua parti menyatakan perang ini tidak berperlembagaan.

Senator Bernie Sanders menyebutnya sebagai: "Perang haram, dirancang lebih awal dan tidak berperlembagaan."

Yang bertujuan memenuhi cita-cita lama Benjamin Netanyahu untuk menarik Amerika ke dalam perang dengan Iran.

ACLU menuntut Kongres bertindak segera. Resolusi kuasa perang bipartisan dijangka dibentangkan minggu ini.

TENTANGAN GLOBAL BESAR

Di peringkat global, reaksi balas sangat besar:
  • Perusuh pro-Iran cuba menyerbu kedutaan AS di Pakistan dan Iraq
  • Negara Teluk seperti Kuwait, Qatar, Bahrain, UAE, Oman, Jordan dan Arab Saudi kini menerima peluru berpandu Iran yang sebenarnya mensasarkan pangkalan AS di wilayah mereka
  • Menteri luar negara Teluk mengadakan mesyuarat kecemasan
  • Presiden Mesir memberi amaran rantau itu boleh "terjerumus ke dalam kekacauan" 

Negara besar dunia juga memberi reaksi:
  • China mengecam pembunuhan Khamenei sebagai pelanggaran serius kedaulatan Iran
  • Rusia mengecam serangan tersebut
  • Kesatuan Eropah mengadakan perbincangan kecemasan
  • Perancis walaupun menyatakan kepuasan atas kematian Khamenei, tetap menuntut pengurangan ketegangan

Beberapa negara yang menyokong sepenuhnya ialah:
  • Amerika Syarikat
  • Israel
  • Kanada
  • Australia
  • Ukraine

Selebihnya dunia sama ada marah atau ketakutan.

SOALAN YANG TIADA SIAPA TANYA

Jika perang ini benar-benar perlu, benar-benar adil dan benar — mengapa Trump sudah meminta gencatan senjata pada hari kedua?

Jika rejim Iran sepatutnya runtuh — mengapa ia masih berdiri, masih melawan, dan masih melancarkan peluru berpandu ke sepuluh negara?

Jika ini adalah "keamanan melalui kekuatan" — mengapa tiga tentera Amerika sudah mati, lapangan terbang Teluk terbakar, kapal tangki tenggelam dan ekonomi dunia hampir runtuh?

Perang yang mereka jual kepada anda dan perang yang sebenarnya sedang berlaku adalah dua perkara yang sangat berbeza.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

SBDJ Siri 254: Tuk Guru Sasau

Datuk dan Pak Habib masih menanti suami malang menyambung cerita yang terputus. Sudah hampir lebih dari sepuluh saat masa berlalu, suami malang masih juga membisu. Datuk mula nampak resah. Pak Habib masih macam biasa, tenang dan selesa.

SBDJ Siri 254 Tuk Guru Sasau

Pada hemat saya apa yang di ucapkan oleh si suami malang diikuti dengan teliti oleh datuk dan Pak Habib. Saat saya menoleh ke kanan, terpandangkan isteri kepada lelaki (suami malang) tersebut tunduk merenung permukaan bumi, tiada seorang pun tahu apa yang bermain dalam tempurung kepalanya.

Dalam keadaan serba tenang tetapi mendebarkan itu, datuk menarik nafas dalam-dalam, dia merasakan lelaki itu seperti keberatan mahu meneruskan kata-kata.

Andainya telahan datuk itu tepat, memang sungguh menghampakan, bukan saja buat dirinya, malahan melibatkan Pak Habib dan diri saya sendiri.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menjauhkan diri dari kami, terus merawat dan melayani anak muda yang mereka anggap dan gelar "Tuan atau Pak Guru."

Beberapa orang dari mereka menangis sambil mengharapkan orang yang mendatangkan kecelakaan kepada pemimpin agung mereka, akan ditimpa bencana.

"Anak kamu memang hebat, dia ada kebolehan dan pelajaran, memang tak berhati perut orang yang dengki dengannya," datuk mula mengocak suasana yang agak sepi, sekaligus secara diplomasi mengajak lelaki itu membuka mulut.

"Iya, mereka memang tak patut," si isteri yang menyampuk.

Datuk dan Pak Habib berpandangan.

"Anak kami selalu dihantar oleh pengetua pesantren menghadiri seminar di luar negeri," si lelaki meningkah cakap isteri dengan nada suara yang megah.

MENJERAT

"Dihantar ke mana tu?" datuk cuba menjerat.

"Ke Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Siam dan Arab Saudi. Ada cerita lain orang dengki dengan anak saya."

"Cerita macam mana tu." Pak Habib pula bertanya.

"Kononnya anak saya ni sombong dengan ustaz-ustaz disitu, maklumlah dia ada pelajaran tinggi, selalu memandang rendah pada orang lain, cerita ini susah nak percaya," si lelaki itu menelan air liur dan berhenti bercakap.

"Hidup ini memang sudah, miskin orang benci bila senang ada pelajaran sidikit, timbul macam-macam fitnah," si isteri memberikan komen yang agak terkesan dalamm diri saya.

"Ada cerita lagi tentang dirinya," datuk cuba membunuh percakapan si isteri yang pada pendapat datuk sudah keluar dari perkara yang diperkatakan.

"Ada," jawap si lelaki.

"Apa dia? Ceritakanlah," Pak Habib mendesak.

"Kononnya, dia menolak cinta seorang gadis. Tetapi, malangnya sigadis tidak dapat menerimanya malah terus merayu dan memujuk.

"Anak saya bosan dengan sikap gadis. Dia jadi marah lalu terkeluar kata-kata yang pedih dan bisa dari mulut anak saya.

"Gadis yang kecewa, kononnya terus gunakan khidmat bomoh hitam," ujar lelaki tersebut. Nada suaranya sekejap meninggi dan sekejap merendah.

"Allah huakbar."

Pandangan saya segera beralih ke arah kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sedang menjulang "Tuk Guru" sambil bergerak ke bucu surau belah kanan.

"Mereka mendewa-dewakan anak kami," keluh si lelaki merenung ke arah kumpulan berbadan besar dan tegap.

"Mereka orang jahil yang harus kita perbetulkan," kata Pak Habib.

"Itu juga harapan kami berdua," serentak pasangan suami isteri bersuara.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap segera meletakkan "Tuk Guru" disudut surau tersebut. Mereka terus memuji dan memuja Tuk Guru.

LANGIT

Pak Habib medongak ke langit melihat awan, datuk mengerutkan dahi. Mereka berdua sedang memikirkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Tidak manis dibiarkan perkara ini berlarut.

Memang kejam kalau dibiarkan pasangan itu terkatung-katung dengan masaalah tanpa diberikan penyelesaian sewajarnya.

Tidak berakal namanya, membiarkan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap mendewa-dewakan Shafie yang ternyata kurang waras.

Pada anggapan kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap Shafie orang yang tinggi ilmu agamanya.

Jika perkara ini tidak dihalang akan menambahkan lagi bilangan orang yang terjebak dalam ajaran sesat, barangkali itu yang bermain dalam kepala Pak Habib.

"Bagaimana? Perlukah kita selesaikan masalah ini," Datuk tatap wajah Pak Habib.

"Bukan cara orang berilmu meninggalkan kerja yang belum selesai. Sekali masuk gelanggang, selesaikan langkah supaya tidak sumbang. Jangan jadi guru kepalang ajar, ilmu murid bagaikan kembang tak jadi," kata Pak Habib.

"Faham dengan maksud yang diungkapkan. Kalau begitu mari kita selesaikan bersama," jawab datuk penuh keyakinan.

Dengan pantas si suami malang menjeling kearah isterinya yang termanggu. Dia mengajak isterinya beredar dari situ.

"Nanti dulu, jangan beredar begitu saja, cerita tentang anak kamu belum habis lagi. Tak boleh cerita separuh jalan, nanti semuanya jadi rosak," datuk menghalang pasanga suami isteri beredar.

"Cakapnya itu memang benar," lemah tekanan suara Pak Habib menyokong tindakan datuk.

Pasangan suami isteri itu termenung sejenak. Kemudian mereka mengangguk setuju.

"Ceritakan apa yang mahu kamu ceritakan," kata Pak Hbib bersahaja.

"Bila anak kami diserang penyakit ganjil ini, memang azab rasanya. Orang hanya simpati, kami yang menanggungg tak tahu nak cerita.

"Macam kata orang dulu-dulu, betapalah berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," si isteri mengambil alih tugas si suami bercerita.

"Tak berusaha mengubatinya?" sanggah datuk.

"Masakan kami tak berusaha, tak ada emak bapak yang mahu menengok anaknya sakit. Jangan bercakap ikut sedap mulut saja," si isteri memperlihatkan bunga kemarahan pada datuk.

Tidak memadai dengan itu dia melepaskan jelingan yang cukup tajam, bagaikan mata pisau, kearah datuk.

Disaat suasana yang lebih kuat, mengarah kepada sempadan ketegangan, Pak Habib cepat bertindak.

Dia minta maaf bagi pihak datuk andainya kata-kata yang diucapkan tadi menyinggung perasaan pasangan suami isteri.

Pak Habib segera menerangkan, dalam usaha mencari sebuah penyelesaian yang jitu tidak terniat di hati datuk atau dirinya untuk melukakan sesiapa.

Saya bersyukur, penjelasan beruntung kerana apa yang dikatakan oleh Pak Habib itu disambut dengan baik oleh pasangan suami isteri terbabit.

Suara pekikan Allahhu akbar, tidak lagi kedengaran dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap. Mereka sekadar mengelilingi 'tuk guru' yang sengaja menelentang tubuh di tanah. Kedua belah tangannya berada atas dada, tidak ubah seperti mayat yang terbujur.

Beberapa orag saudara mara terdekat Pak Habib mula datang ke tempat kejadian. Tidak berapa lama berselang orang-orang kampung berdekatan datang beramai-ramai, cerita orang mengamuk di surau sudah tersebar jauh.

"Kerana percayakan cakap orang anak kami di sihir, kami tidak membawanya ke hospital untuk berubat. Kami juga berikhtiar ubat cara kampong," si suami malang telan air liur untuk sekian kalinya.

Kemudian garu pangkal leher. Si isteri Nampak cemas sedikit, melihat orang kampong kian ramai datang.

KAMPUNG

Kumpulan orang kampung itu, kebanyakannya ada hubungan darah dengan Pak Habib. Mereka mula melingkungi kawasan sekitar.

Tajuddin segera bergabung degan mereka dan perbuatan Tajuddin tidak ditegah oleh Pak HABIB.

Suasana yang mahu dirahsiakan oleh datuk dan Pak Habib dari pengetahuan ramai, sudah tidak menjadi rahsia lagi.

Sebahagian dari mereka yang datang itu (kaum lelaki) segera mengelilingi kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap yang menghurungi "Tuk Guru."

Memang, dari kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap, ada percubaan mahu mengusung Tuk Guru keluar dari kepungan orang ramai. Ternyata percubaan itu gagal, mereka dipaksa duduk diam disitu.

Kumpulan lelaki berbadan besar dan tegap cuba membantah. Tetapi, puak orang kampung menunjukan tindak balas yang kasar. Mereka terus berdiam.

Bila sudah ramai yang datang ke kawasan surau, keadaan menjadi sudah tidak terkawal. Nampaknya Pak Habib dan datuk gagal untuk menguasai keadaan sekitar.

Mereka yang datang mahu segera mengetahui keadaan sebenar yang berlaku.

"Semua dukun dan pawang yang ditemui sepakat mengatakan anak kami kena sihir. Mereka cuba berikhtiar mengubatinya. Usaha mereka gagal, malah keadaan anak kami semakin bertambah teruk," tiba-tiba sahaja suami malang menyambung kembali cerita yang terputus.

"Kalau boleh segerakan cerita tentangnya, jangan terhenti-henti, kamu tengok keadaan sudah jadi kelam-kabut.

"Kalau ceritanya selalu sahaja terputus-putus, masalah tak boleh selesai dengan cepat, anak kamu tidak boleh diselamatkan.

"Saya takut orang yang datang ini bertambah marah bila mereka dapat tahu anak kamu buat kacau dalam surau," Pak Habib bersuara sambil menyuruh pasangan suami isteri merenung keadaan sekitar.

Pasangan suami isteri segera merenung keadaan sekitar. Kali ini mereka amat cemas sekali. Wajah mereka Nampak pucat. Malah si isteri kelihatan menggeletar.

"Kamu lihat sendiri," kata Pak Habib.

Pasangan suami isteri itu mengangguk.

"Saya tidak berbohong," tambah Pak Habib.

"Iya, awak tak berbohong," sahut si isteri.

"Kalau begitu selesaikan masalah ini, suruh suami kamu tamatkan cerita tentang anak kamu berdua dengan segera.

"Dengan cara itu, masalah kamu boleh diselesaikan dan anak kamu dapt diselamatkan," kali ini nada suara Pak Habib cukup keras dan wajahnya nampak serius.

MALANG

Setelah dua tiga kali mohon maaf pada datuk dan Pak Habib, si suami malang memperlihatkan perubahan yang sungguh mengejutkan.

Dia tidak mudah bersedih. Malah wajahnya memperlihatkan rasa yakin tidak berbelah bagi pada datuk dan Pak Habib.

"Usaha cara tradisional gagal, kami bawak anak kami jumpa doktor di rumah sakit, setelah diperiksa didapati kepanasan badannya melampaui had normal disamping anak kami juga mengalami tekanan perasaan.

"Malah dia ditempatkan dalam wad khas yang dikandang, takut dia melakukan hal yang tak diingini pada pesakit lain," si suami malang berhenti sejenak, sambil mengerutkan dahi macam mengingati sesuatu.

Kemudian dia bercerita kembali, setelah seminggu berada di hospital keadaannya beransur baik. Badannya kembali normal. Tetapi, dia suka bercakap sendirian.

Kerana yakin keadaan anaknya boleh baik, dia minta izin dari pihak hospital untuk membawa anaknya pulang kerumah. Permintaannya segera dipenuhi.

Kerana Shafie suka meracau dan menjerit sesuka hati, tanpa mengira waktu samada malam atau siang, pagi atau petang. Pasangan suami isteri itu menempatkan isteri dalam kandang buluh yang didirikan di ruang tamu rumah.

Shafie dibiarkan bergerak bebas disitu. Makan minumnya diatur dengan sempurna. Begitu juga dengan pakaiannya. Sampai waktu mandi terus dibawa ke telaga.

JANGGUT

Pada suatu hari, rumah pasangan itu didatangi oleh seorang tua yang berjanggut putih separas dada.

Orang tua itu memarahi pasangan suami isteri yang disifatkannya melayani anak seperti melayani binatang. Pasangan suami isteri itu menerangkan keadaan yang sebenar.

Orang tua yang tidak diketahui asal usulnya, dari mana datangnya, tidak mahu menerima alasan tersebut. Malah dia menawarkan diri untuk mengubati Shafie dengan bayaran tertentu.

Pasangan suami ister setuju dengan tawaran tersebut. Bila persetujuan dicapai, minta syarat diubah dari nilai rupiah ke sebentuk cincin. Kerana anak, si ibu sanggup memenuhi syarat yang ditetapkan.

Orang tua itu berjanji tiga hari lagi dia akan datang untuk memulakan pengubatan tradisional yang didakwanya mempunyai kaedah baru dengan mencampur adukkan perubatan tradisional dengan perubatan moden.

Pasangan suami isteri hanya diminta menyediakan sebentuk cincin sebagai upah dan tiga ruas buluh kuning sebagai alat untuk mengubat.

Manakala orang tua itu akan membawa ubat-ubatan berupa pil dn cecair yang didakwanya dibeli di luar negeri.

Menurutnya dalam tempoh seminggu Shafie akan pulih seperti sediakala dan boleh menyambung pelajarannya di Jordan.

Seperti yang dijanjikan, cukup tempohnya orang itu pun datang ke rumah pasangan suami isteri tersebut.

Dia datang lepas isyak, kali ini, dia tidak datang sendirian, ditemani dua orang muda yang berpakaian rapi dan memperlihatkan ciri-ciri orang berpelajaran dalam bidang kedoktoran.

Sebaik sampai di rumah pasangan suami isteri tersebut, kedua-dua orang muda itu terus menemui menemui Shafie yang berada dalam kandang buluh di ruang rumah.

Shafie mebiarkan sahaja kedua-dua orang muda itu memeriksa tubuhnya dengan menggunakan alat yang menyerupai 'skrew driver' disamping beberapa wayar yang dilekapkan ke badan Shafie.

Bila urusan pemeriksaan selesai, kedua-dua anak muda itu segera melapurkan pada orang tua yang sedang duduk bersila menghadapi tempat bara. Bau setanggi menguasai seluruh ruang tamu.

Dalam keadaan separuh sedar orang tua berjanggut itu menghulurkan jari hantunya pada ibu shafie agar disarungkan cincin bermata berlian.

Semuanya dilaksanakan oleh si wanita yang kepingin melihat anaknya sembuh.

Bila cincin sudah berada dijari, orang tua menyuruh dua anak muda mengeluarkan Shafie dari kandang buluh.

Kalau tadi Shafie hanya mengikut saja, macam kerbau dicucuk hidung, kali ini keadaan sungguh berbeza. Dia mula melawan dan meronta-ronta.

Sebaik sahaja pintu kandang dibuka, Shafie terus menolak kedua-dua anak muda itu hingga jatuh dalam kandang. Orang tua berjanggut terus membakar kemenyan.

Sebaik sahaja orang tua berjanggut itu membuka mata, dilihatnya Shafie sudah berdiri di depannya.

Dalam keadaan terketar-ketar dia membaca mantera untuk melemahkan Shafie. Segala jenis jembalang dan hantu disebutnya.

Dalam keadaan serba tidak kena itu, orang tua berjanggut terus melucutkan cincin di jari dan diletakkan kembali atas lantai.

Tempat perasap di depannya terus ditendang oleh Shafie. Bara api berterbangan mengenai baju dan pipi orang tua berjanggut.

Kerana terasa sakit dia terus menjerit dan terjun dari rumah. Shafie terus memburunya.

Kedua-dua orang tua Shafie yang terkejut dengan kejadian itu jatuh terduduk dilantai.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 254/284

BACA: SBDJ Siri 253: Anak Kami Di Sihir Orang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat!

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat!

Di tengah malam yang sunyi di langit Tehran, suasana di sekitar Lapangan Terbang Mehrabad kelihatan tenang seperti biasa, namun jauh di atas atmosfera, mata elektronik yang tidak pernah tidur sedang memerhati.

Iran Perdaya Serangan Udara AS-Israel Guna Cat

Satelit pengintip, dron peninjau dan sensor inframerah milik Amerika Syarikat sedang mengimbas permukaan bumi, mencari sasaran bernilai tinggi.

Dalam era peperangan moden, medan tempur tidak lagi hanya dipenuhi pesawat dan kereta kebal. Ia kini dikuasai oleh data, sensor dan algoritma sasaran pintar.

Namun pada malam itu, sesuatu yang luar biasa didakwa berlaku sesuatu yang mungkin menggoncang kepercayaan bahawa teknologi canggih sentiasa mengatasi kecerdikan manusia.

Menurut rakaman yang tersebar dikalangan pemerhati ketenteraan, Iran dipercayai melaksanakan satu operasi tipu daya (military deception) yang sangat halus.

Di landasan Mehrabad, siluet pesawat tempur F-14 Tomcat dilukis menggunakan cat khas yang menghasilkan tanda haba (thermal signature) yang hampir menyerupai pesawat sebenar.

Apabila sensor inframerah Amerika mengimbas kawasan tersebut, apa yang dilihat oleh sistem ialah imej jelas pesawat tempur seolah-olah jet tersebut sedang diparkir di landasan.

Beberapa minit kemudian, peluru berpandu berpandu tepat dilancarkan. Letupan berlaku.

Namun selepas asap reda, sesuatu yang mengejutkan muncul: Tiada serpihan, pesawat kelihatan masih utuh. Hanya landasan yang hangus terbakar.

Maka, dunia baru sahaja menyaksikan satu contoh klasik bagaimana kepintaran taktikal mampu menipu teknologi perang paling mahal di dunia.

Ilusi di Medan Perang Moden

Thermal signature

Dalam doktrin ketenteraan moden, konsep ini dikenali sebagai camouflage, concealment and deception (CCD), iaitu gabungan teknik untuk menyembunyikan aset sebenar dan memanipulasi persepsi musuh.

Kajian ketenteraan menunjukkan bahawa strategi ini telah lama menjadi komponen utama peperangan kerana ia menjejaskan proses membuat keputusan pihak lawan.

Taktik penyamaran dan penipuan boleh melibatkan penggunaan decoy inframerah, struktur palsu atau manipulasi tanda haba untuk mengelirukan sistem pengesanan moden.

Dalam peperangan moden yang bergantung kepada sensor optik dan inframerah, mencipta tanda haba palsu boleh menyebabkan sistem sasaran menyerang objek yang sebenarnya tidak bernilai.

Lebih menarik lagi, kajian mengenai teknik penyamaran moden menyatakan bahawa sumber haba tiruan atau bahan yang memanipulasi pantulan inframerah mampu menghasilkan imej hampir sama dengan objek sebenar apabila dilihat oleh sensor termal.

Ini bermaksud sesuatu yang kelihatan seperti pesawat pada kamera inframerah mungkin sebenarnya hanya lukisan atau struktur kosong yang dipanaskan.

Dalam konteks operasi Mehrabad, kemungkinan yang dibincangkan oleh penganalisis ialah penggunaan cat atau bahan komposit yang menyerap dan memancarkan haba bagi meniru profil haba pesawat sebenar.

Jika benar, ia merupakan contoh klasik bagaimana teknologi murah boleh menewaskan sistem senjata bernilai jutaan dolar.

Mengapa Sasaran Inframerah Boleh Diperdaya

Sistem senjata moden—termasuk dron serangan dan peluru berpandu berpandu sering menggunakan gabungan beberapa sensor; Elektro-optik (EO) – kamera resolusi tinggi, Inframerah (IR) – mengesan haba objek dan Radar atau laser targeting.

Sensor inframerah amat penting kerana ia membolehkan sasaran dikesan walaupun pada waktu malam atau dalam keadaan cuaca buruk. Namun sistem ini mempunyai kelemahan.

Sensor Inframerah (IR) sebenarnya hanya melihat perbezaan suhu antara objek dan persekitarannya. Jika sesuatu permukaan dipanaskan atau direka dengan bahan tertentu, ia boleh menghasilkan imej haba yang menyerupai objek sebenar.

Manual ketenteraan Amerika sendiri mengakui bahawa decoy inframerah boleh digunakan untuk mengganggu sistem pengesanan walaupun ia tidak selalu menipu sensor sepenuhnya.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa penyamaran multispektral yang menggabungkan manipulasi visual, inframerah dan radar, boleh menjadikan sasaran palsu kelihatan sah kepada sistem pengawasan.

Dalam erti kata lain, sensor moden sangat canggih tetapi ia tetap boleh diperdaya jika musuh memahami cara sensor tersebut "melihat dunia."

Sejarah Panjang Perang Tipu Daya

Apa yang didakwa berlaku di Mehrabad sebenarnya bukanlah sesuatu yang benar-benar baru.

Sejarah peperangan penuh dengan kisah tipu daya luar biasa.

1. Operasi Fortitude – Perang Dunia Kedua

Pada tahun 1944, pihak Berikat membina tentera palsu lengkap dengan kereta kebal getah dan lapangan terbang tiruan untuk menipu perisikan Jerman sebelum pendaratan Normandy.

Jerman percaya serangan utama akan berlaku di Pas de Calais, bukan Normandy.

Strategi ini berjaya mengekalkan sebahagian besar tentera Jerman di lokasi yang salah.

Kajian mengenai penipuan taktikal menyebut bahawa penggunaan sasaran palsu dan struktur tiruan telah lama menjadi alat penting dalam peperangan darat dan udara.

2. Lapangan Terbang Palsu

Sepanjang Perang Dunia Kedua dan Perang Dingin, banyak negara membina lapangan terbang palsu lengkap dengan pesawat tiruan untuk mengelirukan pengebom musuh.

Teknik ini berkesan kerana musuh sering bergantung pada foto udara untuk memilih sasaran.

3. Konflik Moden

Dalam konflik moden seperti di Syria, penggunaan decoy kereta kebal, sistem pertahanan udara palsu dan pelancar roket tiruan menjadi semakin biasa.

Dalam perang Rusia-Ukraine – kedua-dua pihak menggunakan sistem senjata palsu untuk mengelirukan satelit dan dron.

Pada Perang Teluk 1991 – Iraq menggunakan kereta kebal tiruan.

Analisis RAND mengenai operasi bandar menunjukkan bahawa penipuan taktikal mampu memaksa musuh membazirkan sumber penting terhadap sasaran tidak bernilai.

Dengan kata lain, prinsipnya sama sejak ribuan tahun lalu, hanya teknologinya berubah.

Mengapa Iran Sangat Mahir dalam Taktik Asimetri

Iran telah lama terkenal sebagai negara yang menekankan strategi peperangan asimetri.

Berbeza dengan Amerika Syarikat yang memiliki bajet pertahanan ratusan bilion dolar, Iran sering bergantung pada pendekatan yang lebih kreatif: dron murah tetapi banyak, peluru berpandu balistik buatan tempatan, rangkaian milisia proksi, peperangan siber dan operasi penipuan taktikal.

Pendekatan ini lahir daripada pengalaman sejarah.

Selepas Revolusi Iran 1979, negara itu menghadapi sekatan ekonomi dan teknologi yang menyukarkan mereka mendapatkan senjata moden Barat.

Akibatnya, strategi ketenteraan Iran berkembang dengan falsafah: "Jika tidak mampu menandingi teknologi musuh, ganggu cara teknologi itu berfungsi."

Itulah sebabnya Iran banyak melabur dalam camouflage, decoy dan perang elektronik.

F-14 Tomcat: Legasi Perang Dingin

Menariknya, pesawat yang didakwa menjadi sasaran umpan tersebut ialah F-14 Tomcat.

F-14 merupakan pesawat tempur ikonik Amerika yang dibangunkan pada tahun 1970-an untuk Tentera Laut AS.

Selepas Revolusi Iran, Iran menjadi satu-satunya negara selain Amerika yang masih mengoperasikan pesawat ini.

Walaupun Amerika telah menamatkan penggunaan F-14 pada 2006, Iran dilaporkan masih mengekalkan sejumlah kecil pesawat tersebut melalui kejuruteraan songsang dan penyelenggaraan tempatan.

Kerana nilai simbolik dan taktikalnya, F-14 Iran dianggap sasaran bernilai tinggi dalam sebarang konflik udara.

Oleh itu, mencipta siluet F-14 palsu di landasan boleh menjadi taktik yang sangat menarik bagi memancing serangan musuh.

Ekonomi Peperangan: Peluru Berpandu Mahal vs Cat Murah

Jika dakwaan ini benar, implikasi paling menarik ialah dari segi ekonomi peperangan.

Bayangkan situasi berikut: Peluru berpandu berpandu tepat bernilai USD 1–2 juta dan sasaran sebenarnya hanyalah lukisan atau struktur murah.

Ini mencipta situasi yang dikenali dalam strategi ketenteraan sebagai cost-imposition strategy, iaitu memaksa musuh membelanjakan sumber mahal untuk memusnahkan sasaran murah.

Konsep ini semakin penting dalam peperangan moden.

Kajian mengenai keberkesanan decoy menunjukkan bahawa walaupun sasaran palsu tidak menipu sensor sepenuhnya, ia masih boleh mengganggu penilaian sasaran dan memaksa musuh membazirkan senjata.

Dalam konflik intensiti tinggi, pembaziran peluru berpandu boleh memberi kesan besar terhadap operasi jangka panjang.

Sensor vs Tipu Daya: Perlumbaan Tanpa Penamat

Perkembangan ini juga menggambarkan satu realiti penting dalam peperangan teknologi tinggi.

Setiap kali teknologi sensor menjadi lebih canggih, teknik penipuan juga berkembang.

Kajian mengenai mimicry ketenteraan menunjukkan bahawa tentera moden sering meniru konsep alam semulajadi, seperti haiwan yang menyamar atau meniru bentuk makhluk lain untuk mengelakkan pemangsa.

Dalam konteks ketenteraan, sensor menjadi "mata" dan decoy menjadi "ilusi".

Pertempuran antara keduanya tidak pernah berakhir.

Sebagai contoh, penyelidikan terkini mengenai pengesanan sasaran menggunakan dron multispektral menunjukkan bahawa walaupun sensor moden boleh mengesan banyak jenis penyamaran, decoy yang direka dengan baik masih sukar dibezakan daripada sasaran sebenar.

Apakah Ini Benar-Benar Berlaku?

Thermal signature 2

Walaupun cerita ini sangat menarik, penting untuk diingat bahawa tiada pengesahan rasmi daripada Pentagon setakat ini.

Rakaman yang beredar mungkin bukti sebenar operasi penipuan, propaganda maklumat atau salah tafsir terhadap rakaman serangan.

Dalam peperangan moden, perang maklumat juga memainkan peranan besar. Menyebarkan naratif bahawa musuh telah ditipu boleh meningkatkan moral domestik dan melemahkan imej teknologi lawan.

Namun walaupun rakaman itu tidak disahkan, konsep di sebaliknya tetap realistik.

Implikasi Geopolitik Lebih Besar

Jika teknik seperti ini benar-benar digunakan secara meluas, ia boleh memberi kesan besar terhadap doktrin peperangan masa depan.

Beberapa implikasi strategik termasuk:

1. Kebergantungan terhadap AI Targeting

Sistem senjata moden semakin bergantung kepada kecerdasan buatan untuk mengenal pasti sasaran. Decoy yang direka untuk menipu algoritma boleh menjadi senjata baru dalam peperangan.

2. Kebangkitan "Low-Cost Warfare"

Negara dengan sumber terhad boleh mengimbangi kelebihan teknologi negara besar dengan strategi murah tetapi kreatif.

3. Peperangan Persepsi

Matlamat sebenar mungkin bukan hanya memusnahkan aset, tetapi memanipulasi persepsi musuh tentang keadaan medan perang.

Seperti yang dinyatakan dalam kajian mengenai penipuan strategik, tujuan utama deception ialah mengawal keputusan musuh tanpa perlu bertempur secara langsung (Walsh, 2019).

Kesimpulan: Apabila Ilusi Menjadi Senjata

Jika cerita di Mehrabad benar, ia menggambarkan satu paradoks yang sangat menarik dalam peperangan moden.

Di satu pihak, dunia memiliki teknologi ketenteraan paling canggih dalam sejarah satelit pengintip, dron autonomi dan peluru berpandu pintar.

Namun di pihak lain, satu lukisan yang dipanaskan di atas landasan mungkin cukup untuk memperdaya sistem tersebut.

Dalam peperangan, kemenangan tidak selalu milik mereka yang memiliki teknologi paling mahal.

Kadangkala, ia dimenangi oleh mereka yang lebih memahami bagaimana musuh berfikir, melihat dan membuat keputusan dan di situlah letaknya seni peperangan sebenar.

Bukan sekadar kekuatan senjata, tetapi keupayaan mencipta ilusi yang dipercayai oleh musuh. Dalam dunia konflik moden, realiti di medan perang sering kabur.

Kadangkala pesawat yang dimusnahkan hanyalah bayang dan kadangkala bayang itu sendiri mampu mengubah perjalanan strategi global.

Fb: Mohd Ezli Mashut

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com