Sunday, December 02, 2018

Golongan Jin Yang Mengganggu Manusia

Golongan Jin Yang Mengganggu Manusia

Menyebut tentang syaitan, perlu rasanya dirujuk tulisan Raji al-Asmar dalam bukunya, Asy-Syayatin: Haqiqatuha, yang menyebut bahawa perkataan 'iblis' disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali, manakala kalimah 'syaitan' disebut sebanyak 88 kali.

Jin iblis
Gambar hiasan.

Mempercayai tentang kewujudan syaitan juga iblis itu adalah suatu yang termaktub dalam kalamullah. Ia bukan dongeng atau rekaan.

Walaupun demikian terlalu banyak telah direka oleh manusia mengenainya, termasuk namanya seperti toyol, hantu raya, langsuir, bajang dan lain-lain yang melahirkan pelbagai amalan bidaah dan khurafat.

Dalam keadaan tertentu nama-nama elok disebut, seperti nama-nama wali, syeikh, embah, nenek, panglima hitam dan sebagainya, padahal apa yang disebut itu lebih merujuk kepada jin-jin. Di dalam hadis-hadis juga tersebut perkataan 'syaitan'.

Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dijelaskan tentang syaitan yang mengganggu nabi ketika sedang sembahyang.

Dalam hadis lain dijelaskan tentang syaitan yang menyerupai seorang syeikh dari Najd yang masuk bersama himpunan orang-orang Quraisy yang diadakan di Darunnadwah, iaitu satu mesyuarat untuk membunuh nabi.

Syaitan telah memberi nasihat bagaimana hendak membunuh baginda. Peristiwa itu berlaku sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Dalam peperangan Badar pun iblis telah datang mengetuai pasukan yang terdiri daripada syaitan, yang ada bersamanya bendera. Iblis menjelma menyerupai seorang lelaki daripada Bani Mudallij, manakala syaitan menyerupai rupa Suraqah bin Malik bin Ja'syam.

Dalam sebuah hadis yang ditakhrij oleh at-Turmizi dan an-Nasaiy daripada Aisyah, beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan daripada golongan jin dan manusia telah lari daripada Omar."

Dalam hadis daripada Hamnah Jahsy, beliau berkata, dia mengalami masalah darah haid yang keluar begitu banyak. Beliau memberitahu hal ini kepada Rasulullah.

Baginda bersabda, "Sesungguhnya ia adalah satu sepakan daripada sepakan syaitan."

Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik pula menyatakan bahawa beliau telah mendengar baginda bersabda yang bermaksud, "Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya."

Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, ia berkata bahawa beliau pada satu ketika duduk di sisi nabi, tiba-tiba datang seorang lelaki yang paling buruk mukanya, juga pakaiannya, manakala bajunya terlalu busuk. Dia datang melangkahi orang ramai sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah.

Lelaki itu berkata," Siapa yang menjadikan langit. Baginda menjawab: Allah. Siapa yang menjadi Allah. Tanyanya lagi. Subahanallah, jawab nabi."

Lelaki tadi memegang dahinya lalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Ia berdiri lalu pergi.

Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda, "Ini adalah iblis, datang untuk menimbulkan syak terhadap agama kamu."

Hadis-hadis yang tersebut di atas hanya menyebut kalimah 'iblis' ataupun 'syaitan' tanpa menyebut siapakah nama syaitan ataupun iblis yang terlibat dengan peristiwa-peristiwa tersebut.

GOLONGAN JIN

1. Marid

Raji al-Asmar dalam bukunya Al-Jinn ada menyebut nama 'Marid' iaitu syaitan daripada golongan jin.

Apabila makhluk ini berupaya menggangkat sesuatu yang berat dan mencuri pendengaran dinamakan 'Marid'.

Disebut di dalam al- Quran sebanyak tiga kali yang maksudnya:

"...dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka." (Surah al- Nisa ’ : 117)

"Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ia menurut tiap-tiap Syaitan yang telah sebati dengan kejahatan." (Surah al- Hajj : 3)

"Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka."(Surah al- Saffat : 7)

Andainya makhluk ini mempunyai keupayaan lebih daripada itu dinamakan 'Ifrit'.

Dalam buku yang sama muka surat 51-53, Raji al-Asmar ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis, iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia.

2. Al-Khabil

Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila.

3. Aal-Hajis

Aal-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa waswas, juga yang membisikkan telinga menyebabkan timbul waswas.

4. Qarin

At-Tabi' ataupun Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, terdiri daripada lelaki dan perempuan.

5. Al-Hatif

Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat.

6. Al-Amir

Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah.

7. Asy-Syaqq

Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan.

8. Wilha

Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali.

9. Khanzab

Manakala 'Khanzab' ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.

Anak Iblis

Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A'war, Masuth, Dasim dan Zalambur.

Tugas iblis:
  • Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah.
  • A'war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina.
  • Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah.
  • Dasim pula menggoda suami agar marah isteri.
  • Manakala Zalambur menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, November 29, 2018

Kenapa Syaitan Memilih Waktu Senja?

Kenapa Syaitan Memilih Waktu Senja?

Senja merupakan waktu peralihan antara siang dan malam, yang Allah telah menjadikan aturan khusus buat makhluk-Nya pada kedua-dua waktu tersebut. Waktu siang adalah untuk manusia bekerja dan mencari rezeki, manakala waktu malamnya pula adalah waktu untuk beristirehat dan tidur.

Syaitan Waktu Senja

Firman Allah Taala dalam surah An Naba’ ayat 10-11: ”Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi) dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) sebagai masa untuk mencari rezeki.”

Jika siang adalah waktu untuk manusia keluar mencari rezeki, maka waktu malam pula merupakan waktu di mana jin dan syaitan berkeliaran untuk menjalankan kegiatan mereka.

Justeru, tidak hairanlah jika pusat-pusat maksiat seperti kelab malam, rumah pelacuran, disko, fun fair, pusat judi, konsert hiburan dan karaoke, aktif pada sebelah malam.

Menyedari bahayanya godaan dan gangguan pada malam hari, Nabi Muhammad SAW mengingatkan umatnya dengan sabda Baginda, “Sekiranya manusia mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya mereka tidak akan berani berjalan sendirian di malam hari.”

Waktu senja permulaan bagi malam

Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran dan antara tabiat syaitan ialah, mereka suka berada di antara dua situasi atau dua keadaan.

Contohnya, antara matahari terbit dan tenggelam, antara teduh dan panas terik, antara sejuk dan dingin, antara hujan dan panas.

Nabi Muhammad SAW melarang seseorang untuk duduk antara kawasan teduhan dan kawasan yang disinari cahaya matahari.

Begitu juga larangan orang-orang tua agar jangan bermain hujan panas kerana dipercayai mudah terkena penyakit demam.

Syaitan juga suka berada di antara seorang lelaki dan seorang wanita (bukan mahram) yang duduk berdua-duaan.

Jika dianalisa lebih mendalam, lautan yang terletak di pertemuan antara dua arus menjadi lokasi pilihan syaitan dan iblis untuk membina istananya.

Kepercayaan bahawa Segitiga Bermuda dan Segitiga Formosa (iaitu kawasan yang selalu berlaku kehilangan kapal laut dan pesawat secara misteri) sebagai kawasan yang dikuasai oleh kerajaan jin mungkin ada benarnya.

Kajian saintis menunjukkan kedua-dua segitiga tersebut merupakan kawasan pertemuan antara arus air hangat dan air yang dingin.

Di dalam Shahih Muslim, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air. Kemudian dia mengutuskan para tenteranya (untuk memfitnah manusia). Di antara para tentera itu, mereka yang memiliki kedudukan paling hampir dengannya ialah yang paling hebat dalam membuat fitnah.”

Ibnu Qayyim Al Jauzi berkata, senja ialah waktu yang paling disukai syaitan dan pergerakan syaitan pada malam hari lebih hebat berbanding waktu siang, kerana kegelapan malam memberikan kekuatan kepada mereka.

Selain kegelapan, warna hitam turut memberikan kekuatan kepadanya dan pemuja-pemuja syaitan kebiasaannya memakai panji dan pakaian berwarna hitam.

Rasulullah SAW juga menyuruh agar membunuh anjing berwarna hitam yang mempunyai titik putih di atas mata kerana ia adalah syaitan.

Jika waktu pagi adalah waktu manusia berpusu-pusu keluar untuk bekerja, maka waktu senja adalah waktu untuk syaitan dan jin keluar berpusus-pusu untuk menjalankan operasi mereka.

Bagi menghindari dari diganggu oleh makhluk yang berkeliaran ini, maka Islam menetapkan beberapa ketentuan yang boleh dijadikan sebagai panduan keselamatan.

1. Menahan kanak-kanak dari berada di luar rumah pada waktu senja

Ibnu Hajar Al Asqalani dalam kitab Fathul Bari mengatakan bahawa antara hikmah Rasulullah SAW melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja ialah kebimbangan terhadap keselamatan mereka dari gangguan syaitan.

Pada saat itu, kotoran-kotoran dan najis-najis yang sangat disukai oleh syaitan biasanya masih melekat pada diri anak-anak ketika mereka leka bermain.

Kanak-kanak juga tidak membentengi diri mereka dengan amalan-amalan zikir yang boleh mencegah gangguan syaitan terhadap mereka.

Ketika syaitan-syaitan berkeliaran, biasanya mereka akan bergantungan pada apa sahaja yang boleh mereka jadikan gantungan.

Kerana itu dibimbangi terjadi hal-hal yang tidak diinginkan pada anak-anak itu.

Dari satu aspek lain, kanak-kanak terutamanya yang belum mumayyiz memiliki hati yang bersih dari dosa dan tiada hijab.

Oleh sebab itu, kebiasaannya kanak-kanak dapat melihat makhluk-makhluk halus atau merasai tindakan makhluk tersebut.

Nabi SAW bersabda, “Setiap anak Adam ketika lahir ditusuk di kedua tepi badannya oleh syaitan dengan jarinya kecuali ‘Isa ibni Maryam, syaitan hendak menusuknya tetapi hanya berjaya menusuk uri (ibunya).”

Kerana itulah bayi yang baru lahir dapat merasai tusukan tersebut lalu menangis.

Tidak hairan juga jika ada bayi-bayi yang menangis di waktu senja atau tengah malam kerana diganggu oleh makhluk-makhluk ini.

Untuk mengelakkan masalah ini dari terjadi, maka ibu bapa dan ahli kelurga seharusnya menahan anak-anak dari keluar dan mengunci pintu sebelum masuk waktu senja.

Selain kanak-kanak, Islam juga melarang penganutnya membiarkan ternakan mereka berkeliaran di waktu senja.

Di kalangan jin dan syaitan, mereka juga mempunyai haiwan ternakan dan boleh jadi dibimbangi haiwan ternakan manusia ini akan dirosakkan oleh jin yang menyerupai anjing atau oleh haiwan ternakan jin itu sendiri.

2. Menutup bekas minuman dan makanan pada waktu malam

Waktu malam adalah waktu di mana syaitan dan jin giat beroperasi. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggoda atau menumpang makan.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim, "Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya, “Kalian tidak memiliki tempat untuk bermalam dan tidak juga makan malam."

Sebaliknya, apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya, “Kalian telah mendapat tempat bermalam.”

Perintah Rasulullah SAW agar menutup bekas air dan makanan ada asasnya kerana penemuan saintis dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria.

Ianya boleh mengundang pelbagai penyakit dan kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Dalam memperkatakan perihal kuman, virus dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan, ”Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat.

"Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin.

"Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.”

Kebolehan jin, syaitan dan iblis memasuki tubuh manusia melalui salur darah telahpun diketahui oleh Rasulullah S.A.W. melalui sabda Baginda, ”Sesungguhnya syaitan itu bergerak bebas di dalam tubuh anak Adam melalui saluran-saluran darahnya.”

Virus dan bakteria adalah unsur luar tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati sel-sel serta organ-organ dalaman.

Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan.

Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma.

Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a., ”Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).”

Begitu juga saranan agar menutup bekas makanan dan minuman agar tidak dimasuki kuman.

Serangga dan haiwan melata seperti lipas, tikus, nyamuk, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat yang disukai jin seperti longkang, tandas dan tong sampah merupakan kenderaan yang menjadi tunggangan jin berbentuk virus.

Apabila serangga begini menyentuh makanan yang tidak ditutup maka mereka akan memindahkan virus tersebut kepada makanan.

Dan serangga-serangga ini kebanyakannya keluar di waktu senja iaitu saat syaitan keluar berkeliaran.

Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq.

Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.”

Ianya jelas menunjukkan bahawa antara hikmah suruhan menutup bekas makanan adalah untuk menghindari mudarat penyakit yang berpunca dari gangguan jin melalui pemakanan.

3. Membaca Bismillah bagi menghalang syaitan masuk

Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api namun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan.

Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, “Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah).

"Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.”

Selain makanan dan minuman, aurat manusia juga menjadi perhatian syaitan yang mana sesetengahnya menjadikan kemaluan manusia sebagai kediaman, dan sesetengah yang lain pula duduk bertenggek pada aurat yang terdedah seperti rambut, punggung dan dada wanita.

Walaupun makhluk ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan tersebut menjadi terhalang sekiranya manusia membaca doa-doa tertentu yang diwaridkan dari Rasulullah SAW.

Sebagai contoh, doa masuk tandas sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Saidina Ali bin Abu Thalib bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tabir antara mata jin dan aurat-aurat Bani Adam jika salah seorang di antara kamu masuk bilik mandi hendaklah ia mengucapkan Bismillah.”

Begitu juga dengan aurat yang ditutup rapi semata-mata kerana Allah (bukan kerana fesyen) menyebabkan syaitan dan jin tidak dapat masuk.

Maka disebabkan itulah Rasulullah SAW menyarankan umatnya agar berdoa dengan doa masuk tandas mahupun ketika hendak bersama dengan isteri.

Amalan-amalan memagar dan mendinding rumah kediaman dengan menggantung pelbagai bahan azimat, menyelit kertas-kertas wafaq dan tangkal, atau menabur bahan-bahan tertentu yang kononnya boleh menghalang kemasukan makhluk halus adalah tipudaya syaitan sangat berbahaya.

Makhluk yang ditugaskan untuk menjaga rumah itu adalah syaitan dan jin yang sebenarnya akan menimbulkan masalah dan huru hara dalam rumah di kemudian hari.

4. Memohon Perlindungan Allah dari angkara sihir dan bahaya malam

Oleh kerana amalan sihir melibatkan penggunaan syaitan dan jin, maka tidak hairanlah jika ada mangsa-mangsa sihir yang menjadi bertambah tenat dan meracau-racau terutama bila tibanya malam, kerana pada waktu malam, segala kejahatan mengambil peranan.

Dalam surah al Falaq, Allah sendiri memberi peringatan khas kepada umat Islam agar sentiasa berdoa memohon perlindungan denganNya dari segala kejahatan:

“Katakanlah (Wahai Muhammad); "Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan; dan dari bahaya gelap apabila ia masuk; dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); dan dari kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya."

Oleh yang demikian, kita sepatutnya mengisi waktu malam dengan amalan-amalan yang boleh mengundang rahmat dan keredhaan Allah seperti bersolat, berzikir, membaca Al Quran dan seumpamanya.

Sekiranya rumah kita dipenuhi dengan lagu-lagu yang melalaikan, atau filem-filem yang mengandungi unsur khurafat dan tercela, atau aktiviti-aktiviti yang dimurkai Allah, maka serangan sihir mudah berlaku kerana kita telah gagal membenteng diri dan keluarga dengan perlindungan Allah.

5. Menjaga aurat terutama kepala ketika keluar rumah waktu senja

Waktu senja adalah waktu syaitan giat menghasut dan menggoda manusia kerana mereka akan mencari ruang dan pintu yang boleh mereka tembusi pada tubuh manusia.

Para ulama bersepakat bahawa otak manusia merupakan antara sasaran utama syaitan kerana itulah pengawalan segala aktiviti anggota tubuh.

Kita mungkin pernah mendengar pesan orang-orang tua agar menutup kepala ketika keluar rumah pada waktu senja. Pesanan ini mungkin ada hikmahnya.

Kita dapat perhatikan amalan orang-orang alim yang mendoakan kebaikan anak-anak dengan mengucup atau meniupkan doa pada ubun-ubun mereka.

Amalan ini dilakukan dengan harapan agara ubun-ubun itu akan sentiasa mengilhamkan perkara-perkara baik untuk dikerjakan oleh anggota tubuh.

Sebahagian lagi menyarankan agar kita menutup ubun-ubun dengan sesuatu agar ia tidak terdedah kepada bisikan syaitan yang suka meracuni hati dan fikiran manusia.

Kajian saintis terhadap struktur otak manusia menemukan kebenaran ini.

Menurut Prof Keith L. More, di dalam otak manusia terdapat satu bahagian yang dikenali sebagai frontal lobe yang menjadi pusat segala perancangan manusia. Sama ada perancangan itu baik atau jahat, ianya bermula dari situ.

Menurut Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, itulah ubun-ubun. (rujuk Al Islam keluaran Mac 2010).

Allah telah pun menegaskan hal ini melalui firmanNya dalam surah al Alaq ayat 15-16 yang bermaksud, “Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), (iaitu) ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.”

Dalam surah Al Rahman ayat 41, Allah juga berfirman, “Orang-orang yang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas ubun-ubun kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka)."

Menurut satu qaul dalam mazhab Shafii, seseorang yang tidak menutup kepalanya dengan suatu tutupan dianggap sebagai orang fasiq dan tidak bersifat adil.

Boleh jadi, itulah sebab orang-orang tua dahulu menyarankan agar kita menutup kepala supaya syaitan tidak dapat meracuni fikiran kita.

6. Tidak membiarkan roh dan jasad lalai ketika tidur

Oleh kerana syaitan suka berada di antara dua keadaan, maka waktu tidur adalah antara waktu yang mudah untuk seseorang dimasuki syaitan.

Ini kerana waktu tidur terletak antara hidup dan mati seseorang sebagaimana sabda Nabi SAW, “Tidur itu saudara mati.”

Oleh yang demikian, ketika manusia tidur dalam keadaan lalai, maka mudahlah syaitan menerjah masuk ke dalam mimpi dan perasaannya.

Adakalanya orang yang tidur akan mengalami mimpi-mimpi yang menakutkan hasil serangan syaitan itu tadi.

Begitu juga dengan orang yang suka tidur di waktu senja menjelang maghrib. Mereka akan mengalami kecelaruan fikiran tatkala bangun dari tidur.

Memang tiada dalil yang melarang seseorang tidur selepas asar, tetapi apabila diperhatikan kepada bahaya membiarkan jasad dalam keadaan separuh sedar di saat syaitan berkeliaran, maka sesetengah ulama melarang seseorang dari tidur selepas asar.

Sesetengahnya berpendapat sekiranya dilakukan 40 hari berturut-turut boleh menyebabkan jadi gila (dalam bahasa arab, orang gila disebut ‘Majnun’ yang bermakna ‘orang yang dimasuki jin’).

Besar kemungkinan ini disebabkan oleh penguasaan syaitan terhadap otaknya.

Dalam kitab Mishkatul Masabih ada disebutkan, “Tidur sedikit di waktu tengahari tidaklah dikeji. Rasulullah SAW ada juga melakukannya. Ini dapat mengimbangi kekuatan tubuh badan setelah bertahajjud di malam hari.”

Ibn Qaiyim menambah, "Tidur di siang hari amat dikeji kerana ia akan mewarisi penyakit kebengkakkan (muka kelihatan sembab dan tidak bercahaya) malapetaka, merosakkan warna kulit, menimbulkan penyakit radang limpa, melemahkan urat saraf dan melemahkan syahwat.

"Sekeji-keji tidur ialah ketika awal hari (matahari terbit) dan terlebih keji lagi ialah tidur di akhir siang hari (selepas Asar).”

Bagi seseorang yang terpaksa keluar ketika mana para syaitan sedang berkeliaran mencari mangsa, maka pendekatan yang harus dilakukan ialah dengan mengamalkan apa yang ditunjuki oleh Nabi SAW iaitu: (1) berdoa memohon perlindungan dari kejahatan jin dan syaitan, (2) pastikan diri dalam keadaan suci dari hadas, (3) hati dan fikiran kena selalu berzikir ingat kepada Allah, (4) tidak keluar bersendirian kecuali ditemani seorang mahram, (5) menjauhi dari melalui kawasan-kawasan gelap atau sarang maksiat, (6) menutup aurat terutama bahagian kepala.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mahyuddin09


Friday, November 02, 2018

Apa Sebenarnya Maksud Syaitan Dari Golongan Manusia?

Apa Sebenarnya Maksud Syaitan Dari Golongan Manusia?

Syaitan merupakan kata umum untuk setiap entiti ṭaghūt, penderhaka dan golongan sesat, sama ada dari golongan manusia ataupun daripada golongan jin, mahupun dari golongan yang lain, bukanlah sebuah kewujudan yang khusus di dalam al-Qur'an, bahkan manusia yang jahat, tukang fitnah dan orang yang melakukan kerosakan juga digelar syaitan.

Syaitan Manusia
Gambar hiasan.

Oleh itu, yang dimaksud dengan "syaṭān al-ins" adalah manusia yang sesat dan menyimpang kerana menderhakai segala perintah Allah dan juga berada pada tahap menyesat dan menyimpangkan orang lain.

Asal-usul Syaitan

"Shayṭān" kata terbitan daripada perkataan "shaṭana" yang bermakna menjauhi. Oleh kerana syaitan menjarakkan diri dari perbuatan yang baik, maka ia dihindarkan dari rahmat Allah. Lantaran itulah ia digelar dengan nama ini.

Syaitan merupakan kata am manakala Iblis adalah kata khas. Dengan kata lain, syaitan ialah setiap kewujudan yang berbahaya, menyesatkan, penderhaka, ṭāghūt, sama ada dari jenis manusia mahupun bukan manusia.

Sementara itu, Iblis ialah nama syaitan yang telah memperdaya Nabi Adam dan sampai sekarang sentiasa bersama tenteranya untuk mengganggu dan menggoda manusia.

Kitab Ṣiḥaḥ Al-Lughah mengatakan, "Setiap kedegilan yang berpaling dari kebenaran dan realiti, sama ada dari kalangan individu manusia ataupun jin, mahupun daripada kalangan haiwan adalah syaitan."

Antara beberapa hal di dalam al-Qur’an yang menggunakan perkataan syaitan ialah kewujudan yang berbahaya dan memudharatkan, kewujudan yang tersesat dari jalan yang benar dan berada pada tahap menganggu orang lain.

ebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur'an: “ﺍﻧﻤﺎ ﯾﺮﯾﺪ ﺍﻟﺸﯿﻄﺎﻥ ﺍﻥ ﯾﻮﻗﻊ ﺑﯿﻨﮑﻢ ﺍﻟﻌﺪﺍﻭﺓ ﻭ ﺍﻟﺒﻐﻀﺎﺀ ”.. 4 ] (Qs. Al-Maidah [5]:91)

Dalam al-Qur'an, syaitan tidak dirujuk kepada mana-mana makhluk tertentu sahaja, bahkan manusia-manusia jahat dan melakukan kerosakan juga dikatakan sebagai syaitan.

“ﻭﮐﺬﺍﻟﮏ ﺟﻌﻠﻨﺎ ﻟﮑﻞ ﻧﺒﯽ ﻋﺪﻭﺍً ﺷﯿﺎﻃﯿﻦ ﺍﻻﻧﺲ ﻭﺍﻟﺠﻦ ”. ‏[ 5 ]

Iblis juga disebut sebagai syaitan kerana kerosakan dan kejahatan yang terdapat pada kewujudannya.

Perkataan syaitan juga adalah kata panggilan untuk mikrob-mikrob:

"Janganlah engkau biarkan sampah-sampah bermalam di rumah kalian.

"Sesungguhnya sampah-sampah tersebut merupakan tempat tinggal syaitan."

Oleh kerana sampah-sampah merupakan tempat berkumpulnya segala haiwan dan serangga berbahaya, maka ia diterjemahkan sebagai syaitan (dalam hadis tersebut).

Selain itu, dalam kebanyakan ayat al-Qur'an Allah SWT memanggil pengikut hawa nafsu, hasad, marah, takabbur, munafik dan sebagainya sebagai syaitan.

Oleh itu, syaitan mempunyai pelbagai makna yang berbeza di mana realiti miṣdāq (extention)-nya ialah Iblis dan tenteranya.

Manalaka miṣdāq yang lain ialah manusia yang sesat dan menyesatkan.

Walau bagaimanapun, sebahagian kecil maknanya ialah ialah mikrob-mikrob berbahaya.

Selain itu, syaitan dalam maknanya yang asli diceritakan sebagai pemahaman sifat, iaitu “kejahatan” dan di dalam al-Qurʻan membawa makna tersebut.

Melainkan, kadang-kadang membawa makna tentang diri Iblis dan kadang-kadang membawa makna umum setiap kewujudan yang jahat, di mana kejahatan yang dimilikinya sangat utuh.

Oleh itu, berkemungkinan syaitan itu terdiri daripada jin atau manusia yang di kalangan syaitan daripada kelompok jin terdapat individu istimewa yang mempunyai pangkat syaitan tertinggi, iaitu Iblis.

Walau bagaimanapun, terdapat perselisihan pendapat tentang Iblis, sama ada ia daripada golongan jin atau malaikat.

Secara zahirnya, kesimpulan daripada sebahagian ayat-ayat al-Qur'an adalah Iblis berasal daripada golongan para malaikat.

Pada ayat yang lain disebutkan, "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam.” Maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, lalu menderhakai perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripada-Ku, sedangkan mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (Allah) bagi orang-orang yang zalim." (Qs. Al-Kahf [18]:50)

Oleh itu, Iblis berasal daripada golongan jin dan lantaran ia melakukan ibadah selama ribuan tahun, ia berada sebaris dengan golongan malaikat. Atas alasan itu ia menjadi tujuan (miṣdāq) perbicaraan ayat tersebut.

Kesimpulan

Syaitan merupakan sebuah entiti yang memiliki kedudukan yang degil dan menderhakai, pada masa yang sama ia juga adalah penyebar fitnah dan menyesatkan.

Boleh jadi syaitan ini berasal dari golongan manusia, jin dan haiwan atau dari jenis yang lain. Yang dimaksud dengan syaitan ins ialah manusia-manusia yang memiliki sifat-sifat seperti ini.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: islamquest

Thursday, November 16, 2017

17 Pintu Syaitan Untuk Memasuki Tubuh Manusia

17 Pintu Syaitan Untuk Memasuki Tubuh Manusia

Jin selalu mengintai-ngintai kita untuk mencari jalan dan peluang agar mereka dapat masuk ke dalam tubuh badan kita. Jangan salah faham. Tidak semestinya apabila jin masuk ke dalam tubuh badan, seseorang itu akan menjadi kerasukan (histeria).

17 Pintu Syaitan Untuk Memasuki Tubuh Manusia
Gambar hiasan.

Apa yang lebih bahaya ialah, apabila jin-jin ini masuk ke dalam badan kita, ia akan mempengaruhi kita dan menjauhkan kita dari jalan kebenaran yang diredhai Allah.

Mungkin ramai yang tak perasan, sebenarnya ada 17 pintu di mana jika tanpa sedar kita membukanya, maka akan masuklah jin ke dalam tubuh badan kita.

Apakah matlamatnya?

Hanya satu. Iaitu untuk menjauhkan kita dari jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan dengan anda apakah 17 pintu tersebut.

17 pintu yang akan dikongsikan dalam artikel ini dipetik dari buku bertajuk Wiqoyatul insan minal jinni wasy-syaithoni, Ash-sharimul batari fit tashaddi lis saharati al-asyrar, karya Syeikh Wahid Abdussalam Bali.

17 pintu tersebut adalah:

  1. Kebodohan
  2. Marah
  3. Cinta Dunia
  4. Panjang angan-angan
  5. Rakus
  6. Kikir
  7. Sombong
  8. Suka dipuji
  9. Riya’
  10. Bangga diri
  11. Keluh kesah dan gundah gulana
  12. Mengikut hawa nafsu
  13. Buruk sangka
  14. Menghina seorang Muslim
  15. Meremehkan dosa
  16. Merasa aman dari azab Allah
  17. Putus asa dari rahmat Allah


Daripada semua pintu yang saya tuliskan di atas, ada tiga pintu yang paling penting untuk anda perhatikan agar jangan sampai anda lakukannya.

Mengapa?

Kerana ketiga-tiga pintu inilah yang boleh dikatakan sebagai pintu utama, yang akan menyebabkan terbukanya pintu-pintu kecil.

Ketiga-tiga pintu utama ini ialah:

  • Sombong
  • Tamak/cinta dunia
  • Dengki


4 Perkara Penting

Pertama

Semua amal yang anda lakukan, yang mana tidak berasal dari nabi, selain akan tertolak, juga sangat berpotensi mendatangkan jin kafir dalam tubuh manusia, bahkan sangat dicintai jin kafir.

Ini berpunca dari kebodohon kita terhadap agama Islam itu sendiri. Menurut Syeikh Abdul Wahid Salam Bali, ketika beliau meruqyah seseorang, jin mengaku masuk melalui lubang dubur, disaat orang itu masuk ke bilik mandi tanpa membaca doa terlebih dahulu.

Ada seorang yang hafal Al Quran telah dirasuk oleh jin (jin masuk ke dalam badannya), adalah disebabkan orang itu makan dengan tangan kirinya.

Ada juga keadaan di mana seorang yang diruqyah, jin masuk ke dalam badannya kerana zikir dengan menyebut-nyebut kata Al Jabbar, tetapi dengan niat untuk minta kekuatan, bukannya kerana Allah.

Akhirnya jin masuk ke dalam tubuh badannya, dan masih banyak lagi contoh-contoh lain.

Apa yang dapat difahami dengan kebodohan itu, ialah kita tidak mendalami tentang ilmu agama itu sendiri menyebabkan kita melakukan perkara yang akhirnya memberikan ruang untuk jin masuk ke dalam badan.

Kedua

Perbuatan yang sangat dimurkai Allah ialah sifat sombong. Sifat ini sangat disukai jin dan sangat berpotensi untuk jin masuk ke dalam badan.

Ini kerana sombong adalah sifat utama Iblis yang merupakan ketua kepada semua jenis jin kafir. Dengan sebab sombonglah yang menghalang Iblis untuk tunduk kepada Nabi Adam walaupun diperintahkan oleh Allah.

Allah berfirman di dalam Surah Sad ayat 74 yang bermaksud:

“Melainkan Iblis, dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya), serta menjadilah dia dari golongan yang kafir”

Ingatlah, musuh kita (jin dan syaitan) selalu mengintai kita dan melihat kita dari tempat yang kita tidak dapat melihat mereka. Sebagaimana firman Allah di dalam Surah Al-Araf ayat 27:

“Wahai anak-anak Adam, Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapa kamu dari syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesunggunya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman”.

Ketiga

Sifat mudah marah adalah salah satu pintu masuk yang paling mudah untuk jin masuk ke tubuh manusia. Seorang yang sedang marah maka ketika itu tekanan darahnya tidak teratur, jantung berdegup kencang, dan disitulah syaitan mudah sekali untuk masuk.

Rasulullah SAW telah bersabda:

“Sesungguhnya syaitan menyusup dalam diri manusia melalui aliran darah”. (Muttafaqun ‘alaih. HR. Bukhari no. 3281 dan Muslim no. 2175

Keempat

Sifat yang sangat perlu untuk kita berhati-hati dan berbahaya adalah cinta dunia. Jika sifat ini telah tertanam sedalam-dalamnya di hati kita, akhirnya akan melahirkan pula pelbagai penyakit hati yang lain iaitu:

  • ujub
  • bangga diri
  • iri dengki


Penyakit-penyakit hati ini akhirnya akan menghalalkan segala cara dalam meraih dunia. Sebab itulah kita sering terdengar individu-individu yang walaupun sudah kaya tetapi ditangkap akibat terlibat dengan jenayah rasuah. Inilah bahayanya penyakit cintakan dunia.

Semoga dengan perkongsian ini dapat mengingatkan kita agar selalu menjaga diri supaya kita tidak membuka pintu-pintu yang akhirnya menyebabkan jin dan syaitan dapat masuk ke dalam tubuh badan kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: Asal-usul Kejadian Jin, Iblis Dan Syaitan

sumber: perawatislam