Sunday, December 02, 2018

Golongan Jin Yang Mengganggu Manusia


Menyebut tentang syaitan, perlu rasanya dirujuk tulisan Raji al-Asmar dalam bukunya, Asy-Syayatin: Haqiqatuha, yang menyebut bahawa perkataan 'iblis' disebut dalam al-Quran sebanyak 11 kali, manakala kalimah 'syaitan' disebut sebanyak 88 kali.

Jin iblis
Gambar hiasan.

Mempercayai tentang kewujudan syaitan juga iblis itu adalah suatu yang termaktub dalam kalamullah. Ia bukan dongeng atau rekaan.

Walaupun demikian terlalu banyak telah direka oleh manusia mengenainya, termasuk namanya seperti toyol, hantu raya, langsuir, bajang dan lain-lain yang melahirkan pelbagai amalan bidaah dan khurafat.

Dalam keadaan tertentu nama-nama elok disebut, seperti nama-nama wali, syeikh, embah, nenek, panglima hitam dan sebagainya, padahal apa yang disebut itu lebih merujuk kepada jin-jin. Di dalam hadis-hadis juga tersebut perkataan 'syaitan'.

Dalam sebuah hadis al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah dijelaskan tentang syaitan yang mengganggu nabi ketika sedang sembahyang.

Dalam hadis lain dijelaskan tentang syaitan yang menyerupai seorang syeikh dari Najd yang masuk bersama himpunan orang-orang Quraisy yang diadakan di Darunnadwah, iaitu satu mesyuarat untuk membunuh nabi.

Syaitan telah memberi nasihat bagaimana hendak membunuh baginda. Peristiwa itu berlaku sebelum berlakunya peristiwa Hijrah.

Dalam peperangan Badar pun iblis telah datang mengetuai pasukan yang terdiri daripada syaitan, yang ada bersamanya bendera. Iblis menjelma menyerupai seorang lelaki daripada Bani Mudallij, manakala syaitan menyerupai rupa Suraqah bin Malik bin Ja'syam.

Dalam sebuah hadis yang ditakhrij oleh at-Turmizi dan an-Nasaiy daripada Aisyah, beliau berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku melihat syaitan-syaitan daripada golongan jin dan manusia telah lari daripada Omar."

Dalam hadis daripada Hamnah Jahsy, beliau berkata, dia mengalami masalah darah haid yang keluar begitu banyak. Beliau memberitahu hal ini kepada Rasulullah.

Baginda bersabda, "Sesungguhnya ia adalah satu sepakan daripada sepakan syaitan."

Satu hadis daripada Usamah bin Syuraik pula menyatakan bahawa beliau telah mendengar baginda bersabda yang bermaksud, "Tangan Allah berserta jemaah. Maka apabila bersendirian seseorang itu daripada jemaah, syaitan-syaitan akan menyambarnya, seumpama serigala menyambar kambing daripada kumpulannya."

Dalam sebuah hadis daripada Ibn Umar, ia berkata bahawa beliau pada satu ketika duduk di sisi nabi, tiba-tiba datang seorang lelaki yang paling buruk mukanya, juga pakaiannya, manakala bajunya terlalu busuk. Dia datang melangkahi orang ramai sehingga ia duduk di hadapan Rasulullah.

Lelaki itu berkata," Siapa yang menjadikan langit. Baginda menjawab: Allah. Siapa yang menjadi Allah. Tanyanya lagi. Subahanallah, jawab nabi."

Lelaki tadi memegang dahinya lalu mengangguk-anggukkan kepalanya. Ia berdiri lalu pergi.

Baginda mengangkat kepalanya lalu bersabda, "Ini adalah iblis, datang untuk menimbulkan syak terhadap agama kamu."

Hadis-hadis yang tersebut di atas hanya menyebut kalimah 'iblis' ataupun 'syaitan' tanpa menyebut siapakah nama syaitan ataupun iblis yang terlibat dengan peristiwa-peristiwa tersebut.

GOLONGAN JIN

1. Marid

Raji al-Asmar dalam bukunya Al-Jinn ada menyebut nama 'Marid' iaitu syaitan daripada golongan jin.

Apabila makhluk ini berupaya menggangkat sesuatu yang berat dan mencuri pendengaran dinamakan 'Marid'.

Disebut di dalam al- Quran sebanyak tiga kali yang maksudnya:

"...dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka." (Surah al- Nisa ’ : 117)

"Dan ada di antara manusia yang membantah perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan dan ia menurut tiap-tiap Syaitan yang telah sebati dengan kejahatan." (Surah al- Hajj : 3)

"Dan (Kami pelihara urusan langit itu) dengan serapi-rapi kawalan dari (masuk campur) tiap-tiap Syaitan yang derhaka."(Surah al- Saffat : 7)

Andainya makhluk ini mempunyai keupayaan lebih daripada itu dinamakan 'Ifrit'.

Dalam buku yang sama muka surat 51-53, Raji al-Asmar ada menyebut nama Al-Ghaddar, Al-Khabil dan Al-Hajis, iaitu nama-nama jin jahat yang mengganggu manusia.

2. Al-Khabil

Al-Khabil misalnya dirujuk sebagai jin yang merasuk manusia yang boleh menyebabkan gila.

3. Aal-Hajis

Aal-Hajis ialah jin khas yang boleh menyebabkan manusia berasa waswas, juga yang membisikkan telinga menyebabkan timbul waswas.

4. Qarin

At-Tabi' ataupun Qarin, yang hidup bersama dengan manusia, terdiri daripada lelaki dan perempuan.

5. Al-Hatif

Al-Hatif ialah jin yang suaranya dapat didengar oleh manusia tetapi tidak dapat dilihat.

6. Al-Amir

Jin yang dinamakan Al-Amir tinggal di tempat tertentu di tempat tinggi seperti di kemuncak gunung, di lembah-lembah, rumah yang ditinggalkan, di kubur atau di bumbung rumah.

7. Asy-Syaqq

Nama lain ialah Asy-Syaqq iaitu syaitan yang boleh menjelma separuh bentuk manusia yang kadang-kadang mengganggu manusia ketika musafir keseorangan.

8. Wilha

Nama lain yang lebih dikenali ialah al-Wilha, iaitu golongan jin yang mengganggu manusia ketika mengambil air sembahyang, menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk berulang kali.

9. Khanzab

Manakala 'Khanzab' ialah syaitan yang mengganggu manusia ketika mendirikan sembahyang, menyebabkan seseorang itu berniat berulang kali, memesongkan ingatan manusia kepada peristiwa di luar sembahyang menyebabkan hilang rasa khusyuk.

Anak Iblis

Abdullah bin Muhammad bin Ubaid meriwayatkan satu hadis, daripada Mujahid, ia berkata: Iblis mempunyai lima anak, masing-masing diberi tugas, iaitu Thabur, A'war, Masuth, Dasim dan Zalambur.

Tugas iblis:
  • Thabur berurusan menggoda orang yang ditimpa musibah agar meratap, mengoyak-ngoyak pakaian dan meratap ratapan jahiliah.
  • A'war ditugaskan menggoda manusia melakukan zina.
  • Masuth ditugaskan menggoda manusia agar mencampuradukkan berita benar dengan palsu serta menimbulkan fitnah.
  • Dasim pula menggoda suami agar marah isteri.
  • Manakala Zalambur menyemarakkan manusia agar menipu ketika di pasar.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon