Monday, March 16, 2015

SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Akhirnya Dilancarkan

SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Akhirnya Dilancarkan

Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M) akhirnya dilancarkan dengan pek permulaan serendah RM5.90 bagi memberi pilihan terutama kepada golongan berpendapatan rendah, sederhana dan pelajar untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan telekomunikasi.

SR1M-2015

Dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pada 16.3.2015, SR1M menawarkan perkhidmatan talian telekomunikasi, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta akses internet.

Pada harga pek permulaan serendah RM5.90 itu, pengguna akan mendapat RM5 kredit percuma berserta 150 Megabait (MB) akses internet.

Dalam ucapan perasmiannya, Hasan berkata SR1M merupakan satu lagi inisiatif di bawah pelbagai produk Rakyat 1Malaysia yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mengurangkan beban kos sara hidup.

“Kewujudan SR1M bukanlah untuk menambah persaingan kepada industri penyedia rangkaian telefon mudah alih tetapi sebagai alternatif bagi mereka yang memerlukan telefon bimbit sebagai alat perhubungan utama seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta pelajar,” katanya.

Hasan berkata SR1M menawarkan perkhidmatan telekomunikasi yang terkini pada harga rendah bersama-sama kualiti yang setara dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi lain.

“Kadar SR1M dapat menarik penguna telefon bimbit yang mahukan kesenangan dan kebebasan dalam penggunaan tanpa perlu terikat dengan bil telefon serta caj-caj tersembunyi yang dirungutkan,” katanya, sambil menambah SR1M menyasarkan satu juta pengguna di seluruh negara pada tahun ini.

Caj yang dikenakan oleh SR1M adalah lapan sen bagi setiap 30 saat, lapan sen bagi setiap SMS manakala penggunaan internet akan dicaj lima sen bagi setiap MB data yang dimuat turun.

Hasan berkata SR1M merupakan inisiatif syarikat swasta sepenuhnya tanpa sebarang pembiayaan atau insentif berbentuk kewangan daripada kerajaan dan ia diusahakan oleh syarikat Optic Tech Sdn Bhd yang bekerjasama dengan U-Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian mudah alih.

“Liputan SR1M adalah menyeluruh dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa agar pengguna dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi berkualiti,” katanya, sambil menambah kini terdapat sedikit gangguan di pedalaman Sabah dan ia akan ditambah baik dalam tempoh terdekat.

Hasan berkata SR1M kini menumpu kepada sistem prabayar namun perkhidmatannya akan diperluas bagi perkhidmatan pascabayar.

SR1M juga mewujudkan rangkaian kedai milik Bumiputera di dalam bidang telekomunikasi sejajar dengan dasar kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera, katanya.

Sementara itu, Hasan menyeru lebih banyak pihak dan syarikat swasta tampil untuk bekerjasama dengan kerajaan mewujudkan inisiatif berkonsepkan 1Malaysia agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati dan menggunakan barangan dan perkhidmatan murah dan berkualiti. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Kenapa Pendigitalan RTM Bakal Tenggelamkan ASTRO!?

Tuesday, September 23, 2014

SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Terbaru

SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Terbaru

Dapatkan Sim Pack SR1M. Memperkenalkan talian baru untuk rakyat Malaysia, Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M)!

SR1M Sim Kad Rakyat 1Malaysia [2]

Kadar rendah yang hanya ditawarkan melalui SR1M akan secara tidak langsung memberi harapan baru kepada rakyat atau golongan berpendapatan rendah untuk menggunakan sistem telekomunikasi yang terkini dan canggih seperti perkhidmatan jalur lebar dan 4G.

Ini sekaligus akan merealisasikan harapan kerajaan untuk menggalakkan penggunaan telefon pintar melalui SR1M oleh setiap rakyat di negara ini.

Mengenai SR1M

Sejajar dengan usaha kerajaan dalam menyediakan kehidupan yang lebih sempurna dengan memperkenalkan produk-produk 1Malaysia, maka Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M) akan menambahkan satu lagi produk 1Malaysia yang secara jelas memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Produk SR1M yang bakal diperkenalkan ini bukan sahaja akan ditawarkan dengan harga rendah malah ianya juga mempunyai kualiti yang setanding dengan jenama lain yang menyediakan perkhidmatan yang sama di Malaysia.

Sasaran pengguna utama adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak kira di luar bandar atau di bandar.

Pengguna daripada kalangan lepasan sekolah pula merupakan golongan sasaran kedua yang berpotensi untuk menikmati kadar rendah SR1M.

Selain daripada itu, usaha mencambahkan peniaga Bumiputera yang baru dalam bidang telekomunikasi juga amat dititikberatkan dalam menjayakan program ini.

Produk Simkad Rakyat 1Malaysia ini pastinya akan memberi banyak manfaat kepada pengguna atau rakyat samada secara langsung atau tidak langsung.

Antara manfaatnya ialah dengan pewujudan produk ini maka akan membuka akses golongan berpendapatan rendah terhadap dunia telekomunikasi yang terkini iaitu dengan perkhidmatan jalur lebar, 4G dan sebagainya.

Akses kepada lebuhraya maklumat akan berada di hanya hujung jari selain memudahkan hubungan dua hala antara pengguna di bandar dengan penguna di luar bandar.

Inisiatif ini adalah merupakan hasil usaha pihak Optic Tech Sdn Bhd sebagai pengedar tunggal dengan kerjasama Clixster sebagai rakan kongsi dalam menyediakan jaringan telekomunikasi yang terkini dan mampu milik untuk rakyat Malaysia.

Ciri-ciri SR1M

1. Tiada Pelan, Tiada Komitmen

Kadar rendah SR1M

Tidak perlu mendaftar dalam mana-mana pelan untuk menikmati kadar rendah yang ditawarkan.

2. Kadar Rata Ke Seluruh Negara

Nikmati kadar rata panggilan ke seluruh negara bersama 20% rebat kredit untuk setiap isian semula dari pengedar berdaftar SR1M.

3. Kualiti Liputan & Rangkaian

SR1M menawarkan liputan rangkaian di seluruh Malaysia setaraf dengan pembekal rangkaian sedia ada.

Panduan Pengguna SR1M

1. Cara menambah nilai SR1M

Tambah nilai di mana-mana pengedar SR1M yang memaparkan tanda SR1M yang terdapat di pelbagai lokasi di seluruh negara, termasuk di cawangan pengedar SR1M dan kedai serbaneka terpilih.

Anda boleh menambah nilai pada bila-bila masa dan di mana jua supaya anda boleh terus berhubung dengan kenalan anda.

2. Cara memeriksa baki SR1M

Anda boleh memeriksa baki dengan menekan *126# dan kemudian tekan butang panggil.

3. Nombor USSD

*126# dan tekan butang panggil untuk Pertanyaan Baki.
*129# dan tekan butang panggil untuk Menu Pengguna.

4. Khidmat pelanggan

Hubungi talian 011-2211-3311 untuk mendapatkan khidmat pelanggan SR1M.

BACA INI JUGA: SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Akhirnya Dilancarkan

Sumber: SR1M.com.my