Wednesday, January 04, 2017

Bahaya Pneumonia, Jenis Dan Simptom Jangkitan Paru-paru

Bahaya Pneumonia, Jenis Dan Simptom Jangkitan Paru-paru

Pneumonia adalah penyakit jangkitan kuman di dalam paru-paru yang menyebabkan pesakit akan berasa letih dan sukar bernafas, membunuh lebih ramai kanak-kanak daripada penyakit lain, lebih tinggi berbanding AIDS, malaria dan demam campak (measles).

Pneumonia

Selain itu, pesakit juga mungkin mengalami batuk berkahak yang teruk dan mengalambil masa yang lama, demam panas yang kuat dan pesakit mengalami rasa sukar bernafas.

Biasanya bagi pesakit dapat boleh dirawat di rumah dengan diberikan antibiotik dan insha ALLAH akan sembuh dalam masa seminggu.

Bagi pesakit yang telah berusia 60 tahun ke atas, kanak-kanak terutama bawah umur lima tahun dan pesakit diabetes, jangkitan kuman pada paru-paru selalunya mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Jika tidak dirawat dengan segera, jangkitan kuman dalam paru-paru boleh membawa maut.

Dalam beberapa kes di mana pesakit tidak dirawat dengan sempurna, pesakit akan mengalami komplikasi seperti mengalami nanah di bahagian paru-paru, mengalami kebocoran paru-paru, masalah pertukaran oksigen dalam paru-paru dan akhirnya membawa maut setelah beberapa minggu.

Pesakit perlu terus mengambil ubat antibiotik yang diberikan oleh doktor, rehat yang mencukupi, ubat demam dan minum air secukupnya.

Pastikan berjumpa doktor untuk pemeriksaan berkala sehingga pesakit benar-benar sembuh.

Namun, jika pesakit tiba-tiba mengalami sukar bernafas atau demam yang kuat, bawa terus ke hospital kerana mungkin mengalami komplikasi dalam paru-paru dan memerlukan rawatan di hospital dengan segera.

Tanda-tanda dan gejala Pneumonia

Ini bergantung kepada sebab, umur dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan seseorang kanak-kanak itu.

Secara amnya, kanak-kanak akan mengalami:
  • Demam panas
  • Batuk dengan atau tanpa kahak
  • Sakit dada
  • Tiada selera makan, tidak mahu makan
  • Rasa tidak sihat, sering merengek
  • Pernafasan laju atau susah bernafas
  • Muntah atau cirit-birit

Adakah jangkitan kuman Paru-paru (Pneumonia) ini serius?

Jangkitan kuman pada paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil.

Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.

Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital:
  • Pernafasan laju
  • Sukar untuk bernafas
  • Bibir menjadi biru
  • Batuk berdarah
  • Tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing

Apakah rawatan untuk jangkitan di paru-paru?

Jenis rawatan Pneumonia bergantung kepada tahap jangkitan. Kebanyakannya adalah tidak serius dan disebabkan oleh virus, oleh itu sistem pertahanan badan memainkan peranan utama untuk melawan penyakit ini.

Apabila jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor. Untuk jangkitan Pneumonia yang tidak serius, ubat boleh diberi dalam bentuk pil.

Anda boleh mencuba rawatan ini di rumah:
  • Paracetamol
  • Rehat yang secukupnya
  • Minum air yang banyak
  • Sekiranya jangkitan menjadi lebih serius ubat akan diberikan melalui suntikan.
  • Jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Bahaya Pneumonia Kepada Kanak-kanak

Di Malaysia, pneumonia dalam kalangan kanak-kanak bawah usia lima tahun adalah penyebab kelima kematian dengan empat peratus kematian selain antara 28 peratus dan 40 peratus kemasukan ke hospital.



Pesakit Pneumonia boleh diselamatkan menerusi pengambilan vaksin dan ia bukan sesuatu yang mustahil dijadikan 'wajib' dalam imunisasi kebangsaan seperti vaksin kanser servik (HPV) yang diwajibkan untuk remaja perempuan.

Walaupun terdapat pelbagai kuman yang menyebabkan pneumonia menunjukkan simptom yang sama, kuman streptococcal peneumoniae paling bahaya, namun ia boleh dicegah menerusi pemberian vaksin pneumokokkal.

Vaksin pneumokokkal ada di Malaysia sejak tahun 2005, tetapi ia masih lagi belum dijadualkan dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) Kementerian Kesihatan.

Pada masa ini, vaksin itu hanya boleh didapati di hospital swasta atau klinik pakar kanak-kanak swasta. Bagaimanapun, kesedaran ibu bapa terhadap kepentingan mencegah pneumonia kini semakin meningkat dan kebanyakan daripadanya memilih untuk mengambil suntikan vaksin untuk anak mereka

Lebih 55 negara sudah pun memasukkan jadual vaksin itu ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, termasuk Singapura, Macau, Hong Kong, Australia dan New Zealand.

Kepentingan imunisasi vaksin ini juga dapat membantu imuniti kelompok yang menyediakan pertahanan sekumpulan individu daripada diserang penyakit, yang mana tujuh daripada 10 kanak-kanak yang mengambil vaksin boleh membantu tiga individu yang tidak mengambilnya.

Pengambilan vaksin pneumokokkal boleh diambil oleh bayi seawal usia dua bulan dan pengambilannya adalah selang masa 10 tahun.

Untuk pesakit yang sudah sembuh dari penyakit ini juga boleh mengambil suntikan vaksin. Mereka yang sudah mendapat vaksin ini jika terkena jangkitan sama pada masa akan datang biasanya hanya jangkitan ringan kerana tubuh mereka sudah ada ‘kubu’ pertahanan daripada kuman berkenaan.

Bagi mereka yang sudah dijangkiti pneumonia, ada kemungkinan mereka juga boleh mendapat jangkitan berulang sekiranya tidak mengambil langkah pencegahan.

Kanak-kanak yang berisiko tinggi seperti sejarah asma dalam keluarga dan kelahiran pramatang, selain pendedahan di tempat sesak dan ramai orang, tempat berhabuk dan asap rokok turut meningkatkan risiko jangkitan

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan jangkitan kuman Pneumonia ini?

Mengekalkan amalan cara hidup sihat. Amalan kebersihan diri dan persekitaran yang baik. Teruskan penyusuan susu ibu.

Mengambil imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.

Contohnya:
  • Vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles) - wajib untuk semua kanak-kanak di bawah Program Immunisasi Kanak-Kanak Negara.
  • Vaksin influenza (untuk kanak-kanak tertentu yang berisiko tinggi contohnya masalah pernafasan yang kronik, penyakit jantung dan masalah kurang pertahanan badan)
  • Vaksin pneumococcal (juga untuk kanak-kanak yang berisiko tinggi contohnya kanak-kanak yang tiada limpa, sakit buah pinggang yang kronik dan kanak-kanak yang menerima rawatan yang melemahkan sistem pertahanan badan).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, December 30, 2016

Kenali Simptom Serangan Pneumonia, Punca Dan Rawatan Jangkitan Paru-paru Pada Anak

Kenali Simptom Serangan Pneumonia, Punca Dan Rawatan Jangkitan Paru-paru Pada Anak

Adakah anak kerap diserang batuk, demam dan selesema? Apabila ini berlaku, sudah tentu si kecil kurang selera makan dan enggan minum susu. Ada kalanya susu yang diminum tersedak disebabkan batuk.

Pneumonia

Ia mungkin situasi biasa, tetapi jika masalah kesihatan itu berlarutan lebih tiga hari, cepatlah bertindak! Ini kerana jika dibiarkan, paru-paru anak anda mungkin dijangkiti virus yang mengakibatkan anak anda mengalami pneumonia atau paru-paru berair.

Secara umumnya jangkitan paru-paru adalah berkaitan penyakit pneumonia. Pneumonia merujuk kepada jangkitan kuman pada paru-paru yang membuatkan seseorang itu sukar bernafas.

Ia berlaku disebabkan saluran udara pada paru-paru dipenuhi nanah dan lendir yang menyebabkan sistem pernafasan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Keadaan ini jika dibiarkan berterusan akan mengakibatkan oksigen tidak sampai ke dalam darah dan sel tubuh.

Ini akan menyebabkan kanak-kanak mengalami kekurangan oksigen yang menyebabkan dia sukar bernafas yang membahayakan nyawa si manja anda.

Pneumonia terjadi kerana jangkitan bakteria, virus, fungus dan parasit. Secara umum antara bakteria yang menyebabkan pneumonia adalah ‘Streptococcus pneumoniae’, ‘Haemophilus influenzae’, ‘Chlamydia trachomatis’,’Mycoplasma pneumoniae’ dan ‘Legionella pneumophila’.

Jangkitan kuman atau virus yang menyebabkan jangkitan di hidung , batuk, selsema dan berterusan pada paru-paru.

Pencegahan Awal Jangkitan Paru-paru Pada Anak

Pneumonia adalah masalah jangkitan paru-paru yang sangat biasa di kalangan kanak-kanak Malaysia. Jangkitan paru-paru kerap dialami oleh kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun.

Kira-kira 60 peratus punca utama kebanyakan kanak-kanak dimasukkan ke wad di Malaysia. Pada awalnya kanak-kanak akan mengalami keradangan paru-paru (bronkitis) sebelum bertukar menjadi lebih kronik iaitu pneumonia.

Pneumonia mungkin sukar dikesan pada kanak-kanak yang aktif, tetapi secara umum boleh dikesan menerusi perubahan sifat kanak-kanak itu iaitu meragam, tidak mahu minum susu dan tidak aktif.

Bagi kanak-kanak yang aktif, mungkin sedikit sukar mengesan gejala ini tetapi jika dia batuk berpanjangan selama tiga hari, lesu, muntah, nafas berbunyi dan mengalami kekurangan air (dehidrasi) segera dapatkan pemeriksaan lanjut dengan pegawai perubatan berdekatan. ibu bapa sepatutnya menyedari risiko pneumonia.

Segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kanak-kanak yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga oleh pengasuh di taska, ‘day care’ iaitu dalam kelompok yang ramai dan keluarga yang besar dengan rumah yang sempit.

Pada masa yang sama persekitaran dibiarkan tidak bersih dan perkongsian bekas makanan dan minuman yang menyebabkan penyakit disebar dengan mudah.

Dalam pada itu, bagi bayi yang berusia satu hingga tiga bulan sepatutnya sihat dan tidak ada sebab bayi ini mengalami demam. Namun jika tetap mengalami demam, bayi harus menjalani pemeriksaan imunisasinya.

Jangkitan kuman paru-paru boleh menjadi sangat serius dalam masa yang singkat terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil. Kanak-kanak boleh mengalami kekurangan air (dehidrasi) atau kekurangan oksigen.

Kanak-kanak yang mengalami tanda-tanda berikut perlu dimasukkan ke hospital iaitu pernafasan laju, sukar untuk bernafas, bibir menjadi biru, batuk berdarah dan tidak boleh makan atau minum atau tidak kencing. Jangkitan kuman ini boleh membahayakan nyawa.

Simptom Jangkitan Paru-paru Pada Anak
  1. Demam panas
  2. Batuk dengan atau tanpa kahak
  3. Sakit dada
  4. Tiada selera makan, tidak mahu makan
  5. Rasa tidak sihat, sering merengek
  6. Pernafasan laju atau susah bernafas
  7. Muntah atau cirit-birit

Rawatan Jangkitan Paru-paru Pada Anak

Kanak-kanak yang mengalami jangkitan kuman ini disebabkan oleh bakteria, antibiotik akan diberi oleh doktor.

Bagaimanapun, jika jangkitan kuman di paru-paru ini berlarutan atau menjadi kritikal, anak anda perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan oksigen, antibiotik dan sokongan perubatan yang lain.

Dalam pada itu, pencegahan awal untuk mengelak jangkitan kuman boleh dilakukan seperti amalan kebersihan diri, persekitaran yang baik dan meneruskan penyusuan susu ibu.

Alternatif lain pencegahan awal ibu bapa boleh mendapatkan vaksin melalui hospital swasta untuk meningkatkan imun anak anda.

Vaksin seperti vaksin batuk kokol (pertussis) dan demam campak (measles), Vaksin influenza dan Vaksin pneumococcal merupakan pengambilan imunisasi boleh mencegah jangkitan kuman di paru-paru.

Beza batuk biasa dan batuk pneumonia
  • Batuk biasa bunyinya ‘tidak dalam’ berbanding batuk akibat pneumonia.

Batuk pneumonia
  • Bunyinya ‘dalam’ dan kerap terjadi waktu malam sehingga ke pagi. Kahak berhimpun kerana lebih kerap batuk di sebelah malam.

5 Tips Mudah Sebagai Langkah Pencegahan Pneumonia
  1. Mesti ada termometer untuk mengukur suhu badan anak.
  2. Dapatkan puting botol susu jenis Y-Cut iaitu susu keluar apabila dihisap oleh anak kecil. Jenis ini membantu mengelak anak kecil tersedak susu.
  3. Pastikan persekitaran taska bersih dan tidak terlalu ramai kanak-kanak.
  4. Dapatkan rawatan doktor jika demam, selesema dan batuk tidak pulih selepas tiga hari.
  5. Teruskan penyusuan susu ibu untuk meningkatkan antibodinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahpama

Saturday, July 18, 2015

Apa Sebenarnya Penyakit Paru-paru Berair?

Apa Sebenarnya Penyakit Paru-paru Berair?

Ada orang berpendapat bahawa mandi malam adalah penyebab utama seseorang menghidap penyakit paru-paru berair (pneumonia), yang merupakan salah satu penyebab utama kematian dikalangan pesakit kronik dan boleh terjadi kepada semua peringkat umur.

Paru-paru Berair

Kononnya air ketika kita mandi akan masuk melalui liang-liang roma sebelum terkumpul dibahagian paru-paru. Sejauh mana kebenarannya?

Punca Penyakit Paru-paru berair

Paru-paru berair terjadi apabila berlakunya pengumpulan cecair berlebihan dalam paru-paru kita.

Jangkitan paru-paru berair terbahagi pula kepada dua iaitu Pulmonari Edema (PE) dan Pneumonia.

1. Pulmonari Edema

Pulmonari Edema adalah pengumpulan air berlebihan pada ruang tisu dan organ. Kesannya, paru-paru bengkak dan berair.

Punca berlakunya penyakit ini adalah disebabkan oleh kecederaan pada permukaan paru-paru dan kegagalan fungsi kiri jantung. Maka, kepercayaan sesetengah pihak bahawa ianya berpunca daripada kemasukan air ketika mandi adalah salah.

2. Pneumonia

Manakala penyakit Pneumonia pula disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus dalam paru-paru yang menyebabkan keradangan berlaku.

Malah, Pneumonia juga boleh dijangkiti melalui udara yang disebarkan menerusi air liur dan hingus pesakit. Sekali lagi, ia bukan berpunca dari mandi malam.

Nanah

Cecair yang terdapat dalam paru-paru pula bukanlah sama seperti air yang kita minum atau air paip yang dikatakan masuk kedalam paru-paru ketika mandi, tetapi ia adalah cecair yang dipenuhi nanah yang banyak malah adakalanya bercampur darah dan bendalir tubuh.

Tanda-tanda Penyakit Paru-paru berair

Tanda-tanda yang boleh dilihat biasanya pesakit akan mengadu mengalami batuk, sakit dada dan sukar bernafas apabila melakukan kerja-kerja ringan.

Pada peringkat awal, rawatan akan dilakukan dengan menggunakan imbasan x-ray pada dada. Kemudian, pemeriksaan darah dan pemeriksaan fungsi paru-paru akan dilakukan.

Kesimpulan

Oleh itu, jika anda mengalami masalah sukar bernafas, mudah penat dan merasa tidak cukup oksigen meskipun hanya melakukan kerja-kerja ringan, segeralah datang berjumpa doktor supaya anda mendapat rawatan sebelum terlambat kerana penyakit ini boleh membawa maut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com