Saturday, October 19, 2013

Kerajaan AS Kembali Pulih Selepas Lumpuh 16 Hari

Kerajaan AS Kembali Pulih Selepas Lumpuh 16 Hari

Operasi pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS), semalam kembali pulih setelah Kongres meluluskan satu pendekatan perbelanjaan, selepas 16 hari kerajaan negara ini lumpuh ekoran krisis politik.

AS Debt Crisis

Kongres, semalam meluluskan pendekatan tersebut pada saat-saat akhir bagi menamatkan krisis yang melumpuhkan kerajaan dan mengelak bencana hutang yang boleh mengancam ekonomi global.

Pendekatan itu, bagaimanapun hanya menawarkan penyelesaian jangka pendek dan tidak mengubah isu-isu asas berhubung perbelanjaan dan defisit kerajaan yang menjadi perbalahan antara Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Ia hanya melibatkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan hutang siling sehingga 7 Februari ini, menyaksikan kemungkinan krisis berkenaan akan berlaku semula pada awal tahun depan.

Dewan Senat dan Dewan Perwakilan, masing-masing meluluskan pendekatan perbelanjaan tersebut selepas Parti Republikan membatalkan usaha untuk mengaitkan rang undang-undang itu kepada perubahan dalam rang undang-undang penjagaan kesihatan yang dianjurkan oleh Presiden AS, Barack Obama.

Dewan Senat yang didominasi Parti Demokrat meluluskan pendekatan itu dengan 81 undi menyokong dan 18 undi menentang, yang kemudian menyaksikan Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Republikan meluluskan pendekatan itu dengan 285 undi menyokong dan 144 undi menentang.

Kebuntuan itu diselesaikan, sehari sebelum Perbendaharaan AS menyatakan bahawa kemampuan negara ini meminjam dana baru akan berakhir, keadaan yang mungkin mencetuskan ancaman kepada ekonomi global.

Obama kemudian meluluskan pendekatan tersebut sebelum pukul 12 tengah malam tadi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Presiden AS itu berkata, pihaknya akan menyambung semua operasi kerajaan dengan serta-merta.

''Kita juga akan meredakan ketidakpastian dalam dunia perniagaan dan dalam kalangan rakyat,'' katanya.

-REUTERS/AGENSI

Thursday, October 17, 2013

Indonesia Atasi China Sumber Serangan Siber Nombor Satu Di Dunia!

Indonesia Atasi China Sumber Serangan Siber Nombor Satu Di Dunia!

Kebanjiran luar biasa serangan siber dari Indonesia awal tahun ini bukan satu kebetulan.

Cyber_Attack

Laporan oleh agensi rangkaian penghantaran internet, Akamai Technologies yang didedahkan semalam menyatakan mengatasi China untuk menjadi sumber nombor satu serangan siber di dunia.

Indonesia mencatat 38 peratus lalu lintas internet dikaitkan penggodaman ke atas pelayan yang dipantau Akamai dalam suku kedua, meningkat 21 peratus sejak awal tahun ini.

Kelajuan purata sambungan Internet di Indonesia meningkat 125 peratus dalam suku kedua berbanding tempoh sama pada 2012” Laporan Akamai Technologies, Agensi rangkaian penghantaran internet

China, jatuh di tempat kedua, dengan satu pertiga serangan lalu lintas global.

Bahagian Amerika Syarikat jatuh kepada 6.9 peratus namun negara itu kekal di tempat ketiga.

Mengenal pasti dengan sebenar di mana pusat operasi sesuatu serangan siber agak sukar kerana seorang penggodam boleh mengambil alih mesin mangsa yang terletak di negara lain.

Bagaimanapun, peningkatan mendadak Indonesia, yang mencatat kurang satu peratus sebelum tahun ini, disifatkan luar biasa.

Akamai mendapati kelajuan purata sambungan Internet di Indonesia meningkat 125 peratus dalam suku kedua berbanding tempoh sama pada 2012.

Ketika jalur lebar menguasai pasaran yang kian maju, serangan siber juga boleh berleluasa.

Kerajaan Indonesia mengakui masalah itu.

Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat republik itu, Tifatul Sembiring, bercakap bulan lalu untuk mengutamakan keselamatan siber di seluruh negara.

Pejabatnya menganjurkan Forum Keselamatan Maklumat Indonesia minggu lalu untuk membincangkan topik itu.

Jangan terkejut jika isu itu juga akan ditimbulkan minggu depan apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan Forum Tadbir Urus Internet di Bali, Indonesia. -AGENSI

Saturday, October 12, 2013

Korea Utara Ancam Tenggelamkan Kapal Perang Amerika Syarikat!

Korea Utara Ancam Tenggelamkan Kapal Perang Amerika Syarikat!

Korea Utara kelmarin membuat ugutan serius untuk terus menenggelamkan kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat (AS) sebagai membantah latihan ketenteraan antara tiga negara iaitu Korea Selatan, Jepun dan AS.

USS George Washington

Amaran terbaru itu disuarakan Korea Utara sehari selepas AS melancarkan latihan ketenteraan selama dua hari bersama Korea Selatan dan Jepun di kawasan lautan di selatan Semenanjung Korea.

Latihan itu turut disertai kapal pengangkut pesawat USS George Washington yang dikuasakan oleh tenaga nuklear, kapal membawa peluru berpandu, helikopter anti-kapal selam dan juga pesawat pemberi amaran awal.

“Latihan ketenteraan ini menunjukkan AS-Jepun-Korea Selatan telah menjadi satu gabungan peperangan nuklear dan ia telah dilihat berfungsi dalam keadaan sebenar,” kata Jawatankuasa Penyatuan Aman Korea Utara dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, jika ketiga-tiga negara itu melancarkan peperangan nuklear tetapi pada masa sama berulang lantang memberi amaran dan mengugut Korea Utara tentang program nuklear, Pyongyang akan bertindak balas.

“Pihak tentera revolusi akan melancarkan serangan balas dan menenggelamkan semua pihak termasuk mereka yang membuat provokasi bersama-sama dengan kapal pengangkut mereka ke dalam laut,” katanya.

Rejim Korea Utara telah beberapa kali mengutuk latihan ketenteraan bersama dan mengugut akan membuat serangan balas namun sehingga kini tidak mengambil apa-apa tindakan.

Selasa lepas, Pyongyang memberi amaran kepada AS mungkin berlakunya ‘bencana yang teruk’ ekoran latihan terbaru dan segera meletakkan anggota tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga.

Bagaimanapun, sumber rasmi Amerika dan Korea Selatan mengklasifikasikan latihan itu sebagai latihan operasi mencari dan menyelamat bagi mempersiapkan mereka jika menghadapi bencana atau tragedi besar.

Sumber: Channel News Asia

Wednesday, October 09, 2013

Lelaki Di Belasah Teman Wanita Gara-gara Curang

Lelaki Di Belasah Teman Wanita Gara-gara Curang

Seorang wanita China ditahan kerana memaksa teman lelakinya berlutut di jalan raya sebelum menampar muka lelaki itu berulang kali.

Curang
Adegan Chui ditampar oleh Cheng sambil diperhatikan 
seorang lagi wanita yang mengikut lelaki itu pulang.

Lelaki berusia 23 tahun yang dikenali sebagai Chui itu dituduh bermain kayu tiga apabila membawa pulang seorang wanita lain ke flatnya di Hong Kong.

Selepas teman wanitanya mengheret Chui ke jalan raya dan mula bertindak kasar, jiran tetangga berkumpul dan merakam adegan itu yang kemudian dimuat naik ke YouTube.

Wanita berusia 20 tahun bernama Cheng itu kemudian ditahan kerana disyaki melakukan kekerasan, manakala mangsa dikejarkan ke hospital.

Kejadian itu berlaku Jumaat lalu di kawasan Kowloon City selepas Chui membawa pulang seorang wanita ke flatnya walaupun dia berpacaran dengan Cheng.

Cheng memaksa Chui berlutut di kaki lima sambil diperhatikan jiran tetangga dan menuduhnya curang. Wanita yang mengikut Chui pulang turut berdiri di sisi mangsa ketika pasangan itu bertengkar.

Bagaimanapun, Chui menegaskan dia tidak mengajak wanita terbabit pulang dan meminta kekasihnya itu mendengar dulu apa yang hendak dikatakannya.

“Dengar dulu apa yang hendak saya katakan sebelum kamu memukul saya,” katanya.

Cheng yang berang kemudian mula menampar muka Chui hingga lelaki itu menjerit. “Kamu mempermainkan saya!” jerit Cheng.

Dia juga menggesa wanita yang berdiri di sisinya itu agar menjelaskan perkara yang sebenar. Kejadian itu dirakam seorang jiran yang mendesak supaya Chui memutuskan hubungan dengan Cheng dan tidak puas hati kerana mangsa tidak melawan kembali.

Jiran lain mula campur tangan tetapi dipintas Cheng yang menjerit agar mereka menjaga hal sendiri.

Kebanyakan saksi memihak kepada Chui dan seorang wanita berkata: “Berdirilah cepat, tolak perempuan yang berperangai buruk ini, kamu layak dapatkan wanita lebih baik.” Seorang jiran menghubungi polis yang kemudian menahan Cheng.

Jurucakap polis memberitahu akhbar South China Morning Post yang mereka menerima panggilan telefon kira-kira jam 5.10 petang pada 4 Oktober lalu dari Kowloon City.

Selepas video insiden itu dimuat turun, ia berjaya menarik lebih 700,000 pengunjung dalam tempoh kurang dari tiga hari.

Polis yang tiba di tempat kejadian kemudian menahan Cheng sebelum menghubungi ambulans untuk membawa Chui ke hospital untuk rawatan. -Agensi

Tuesday, October 08, 2013

Google Bakal Beli Blackberry?

Google Bakal Beli Blackberry?

Reuters melaporkan bahawa Google antara syarikat yang merancang membeli sebahagian atau keseluruhan Blackberry, di samping syarikat lain seperti Cisco dan SAP.

Google Blackberry

Kedengaran seperti berita yang baik untuk Google, bergantung kepada apa yang mereka inginkan daripada Blackberry dan berapa banyak mereka ingin belanja.

Mungkin peminat tegar Blackberry di luar sana kurang bersetuju (ada ke lagi peminat), tetapi Blackberry boleh dikatakan syarikat yang sudah retak menunggu belah, dan mungkin Google tidak akan berhasrat berbelanja besar $5-$7 billion membeli syarikat termasuk pekerjanya yang sedang menunggu mati itu sesudah membeli Motorola pada harga $12.5 billion sebelum ini dan belum pun mendapat sebarang keuntungan dari situ.

Mungkin Google lebih berminat untuk membeli patent dan pengguna BBM daripada Blackberry pada harga $2 billion. Blackberry mempunyai patent yang sangat bagus, mungkin lebih bagus daripada Motorola atau Nokia. Blackberry boleh dikatakan “bapa” kepada smartphone moden sebelum iPhone.

Sebuah lagi patent yang dimiliki Blackberry setelah mereka membeli Certicom adalah elliptic curve cryptography (ECC). Ini dikatakan teknologi yang sangat penting untuk masa hadapan kerana NSA pun turut melesenkan teknologi ini.

Komuniti cryptography turut bersetuju bahawa mereka perlu bertukar kepada ECC yang juga membolehkan forward secrecy (bermaksud meng-encrypt setiap sesi browser dengan kekunci baru, supaya sekiranya sesiap mendapat kunci terbaru, mereka masih tidak boleh decrypt sesi lama) tanpa perlu banyak penukaran prestasi.

Google berkemungkinan membeli teknologi itu dan menjadikannya public domain gar keselamatan laman web dapat terjaga sekiranya patent ini jatuh ke tangan yang salah.

Tak lupa, BBM yang mempunyai 80 juta pengguna, dan sekiranya Google mendapatkannya, pengaruh Google akan lebih meluas kerana BBM masih digunapakai di kebanyakan negara-negara membangun.

QNX juga merupakan antara sistem OS yang paling stabil dan lancar, dan akan menjadi aset kepada Google dengan pembelian ini.

Perjanjian ini mungkin akan dilengkapkan dalam sebulan dua ini kalau semua berjalan lancar. Kita tunggu dan lihat.

Sumber: Pcmamak.com

Friday, October 04, 2013

Amerika Syarikat Hampir Muflis!

Amerika Syarikat Hampir Muflis!

Dunia kini bimbang krisis penutupan operasi kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan membawa kesan ekonomi lebih meluas jika ia dibiarkan berlanjutan.

Amerika Syarikat Bankrupt

Kesan pembekuan bajet negara itu mula dirasai di seluruh dunia apabila sistem pengesanan gempa bumi global yang dibiayai AS kini ditutup.

Pembekuan bajet itu turut menyebabkan saintis-saintis AS menarik diri daripada persidangan antarabangsa serta memaksa Presiden Barack Obama menangguhkan lawatan ke dua buah negara rantau Asia Tenggara.

“Walaupun impak penutupan kerajaan ini masih terhad, kesannya akan lebih buruk dan meluas jika ia dibiarkan berlanjutan selama beberapa hari atau minggu,” lapor agensi berita Xinhua merujuk kepada ekonomi AS.

Dalam pada itu, Kongres AS perlu mencapai persetujuan untuk menamatkan penutupan operasi kerajaan. Selain meningkatkan siling hutang AS melepasi angka AS$16.7 trilion dalam masa dua minggu lagi.

Kegagalan berbuat demikian menyebabkan risiko negara kuasa besar itu tidak dapat membayar hutang-hutangnya.

“Jika AS mungkir membayar hutangnya, negara itu akan hilang kredibiliti di mata dunia,” kata pensyarah Pusat Kajian AS Universiti Sydney, David Smith.

“Jika dilihat begitu banyak hutang yang terkandung dalam sistem ekonomi AS, ia akan mendatang kesan buruk (di dalam dan luar negara),” tambahnya.

Orang awam melihat papan notis mengenai penutupan kawasan 
Statue of Liberty di Battery Park, New York baru-baru ini.

Dalam pada itu, ketua-ketua kewangan Eropah turut melahirkan kebimbangan penutupan kerajaan AS akan mengancam ekonomi negara itu dan ekonomi dunia.

Setakat ini, krisis di Washington itu memaksa ratusan ribu kakitangan awam bercuti tanpa gaji, muzium-muzim ditutup manakala penyelidikan saintifik turut terbantut.

Di AS, selepas krisis subprima, kerajaannya menggunakan pelbagai pendekatan untuk merangsang ekonominya. Salah satu caranya adalah membuat pembelian bon. Walaupun pada satu ketika, terdapat petanda Rizab Persekutuan AS akan memberhentikan atau mengurangkan pembelian bon atas hujah ekonominya semakin pulih, namun, akhirnya Rizab Persekutuan AS membatalkan rancangan ini.

Pembatalan ini menunjukkan ekonomi dan kewangan AS masih belum pulih, maka adalah satu perkara yang langsung tidak mengejutkan apabila kongres tidak meluluskan satu bajet persekutuan khas yang memberi kesan kepada rakyatnya.

Mungkin selepas ini akan timbul ramalan apakah yang akan terjadi kepada ekonomi AS. Tergugatnya ekonomi AS akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung ke atas ekonomi dunia.

Namun, sebesar manakah kesannya membuatkan pelabur dan pasaran saham dunia mengambil sikap tunggu dan lihat meskipun terdapat tanggapan bahawa akan berlaku lagi satu gelombang krisis ekonomi.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, October 02, 2013

Amerika Syarikat 'Lumpuh' 800,000 Kakitangan Tidak Di Bayar Gaji!

Amerika Syarikat 'Lumpuh' 800,000 Kakitangan Tidak Di Bayar Gaji!

Pejabat Pengurusan dan Bajet White House kelmarin mengarahkan sebahagian agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) ditutup selepas Kongres gagal meluluskan satu bajet persekutuan khas bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, kali pertama seumpamanya dalam tempoh 17 tahun.

USA down
Gambar hiasan.

Pengarahnya, Sylvia Mathews Burwell berkata, agensi-agensi kini diarah melaksanakan rancangan penutupan ekoran ketiadaan peruntukan.

Arahan itu dikeluarkan 10 minit sebelum 12 tengah malam semalam (12 tengah hari waktu Malaysia) di mana kerajaan AS secara rasminya tiada peruntukan selepas sehari Dewan Perwakilan yang didominasi Parti Republikan dan Dewan Senat yang kerusi majoriti dipegang oleh Parti Demokrat, gagal meluluskan bajet khas tersebut.

Keadaan itu berlaku selepas Parti Republikan menggesa perubahan dilakukan ke atas rang undang-undang penjagaan kesihatan negara sebagai pertukaran kepada persetujuan mereka ke atas bajet khas berkenaan, namun ia ditolak oleh Presiden, Barack Obama dan Parti Demokrat.

Beberapa jam sebelum 12 tengah malam semalam, Dewan Senat dengan undian 54-46 menolak satu usul oleh Dewan Perwakilan berhubung rang undang-undang bajet sementara yang membolehkan bajet khas itu diluluskan.

Penolakan itu dibuat kerana rang undang-undang bajet sementara tersebut turut menangguhkan pelaksanaan rang undang-undang penjagaan kesihatan selama setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan.

Penutupan agensi-agensi kerajaan itu melibatkan kira-kira 800,000 kakitangan yang diberikan cuti tanpa gaji sehingga bajet tersebut diluluskan.

Tindakan itu juga menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (RM3.23 bilion) seminggu.

Antara agensi dan jabatan terlibat dengan penutupan itu termasuklah Jabatan Pertahanan membabitkan 400, 000 kakitangan, Jabatan Perdagangan (30,000), Jabatan Pengangkutan (18,481) dan Jabatan Tenaga (12,700).

Namun, bahagian kritikal kerajaan lain termasuk agensi ketenteraan, kawalan trafik udara dan kuasa serta senjata nuklear akan kekal beroperasi.

Jabatan Negara juga terus beroperasi memproses permohonan visa rakyat asing selain kedutaan serta konsulat masih meneruskan perkhidmatan kepada rakyat di luar negara.

Obama berkata, kegagalan fungsi kerajaan akan segera memberi kesan kepada rakyat dengan beratus ribu kakitangan kerajaan perlu bercuti daripada tugas selain pusat veteran, taman negara, kebanyakan agensi angkasa lepas dan operasi kerajaan lain akan terganggu.

Beliau menyalahkan Parti Republikan yang cuba menggunakan bajet tersebut untuk memenuhi janji yang sukar dicapai kepada sayap parti berhaluan kanan mereka. -AFP/AP


Friday, August 30, 2013

3 Anak Kembar 'Dilelong' Tepi Jalan

3 Anak Kembar 'Dilelong' Tepi Jalan

Menyayat hati.Tiga bayi kembar berusia 11 bulan ditinggalkan di tepi jalan oleh bapanya, dengan harapan ada pihak yang mahu mengambil mereka, atas alasan dia tidak mampu menyara anak-anaknya itu.

Xu Lin tried to give away 3 twin baby
Menyayat hati.

Xu Lin yang sudah mempunyai dua anak lelaki berusia lima dan enam tahun, menawarkan kepada orang ramai untuk membawa pulang ketiga-tiga anak kembar lelakinya itu.

Bayi tersebut dibalut dengan selimut dan dibaringkan di atas tikar ketika Xu Lin cuba memberikan mereka kepada pejalan kaki di jalan berkenaan.

Xu Lin bagaimanapun ditangkap selepas orang ramai menghubungi polis kerana menyangka dia adalah anggota sindiket pemerdagangan orang.

Jurucakap polis berkata, Xu Lin mendakwa keluarganya kini menderita kemiskinan dan tidak mampu lagi untuk menanggung tiga bayi kembar.

Bayi-bayi berkenaan kini ditempatkan di pusat kebajikan negara.

Dalam pada itu, seorang saksi memberitahu Xu Lin memberitahu bahawa ketiga-tiga bayi kembarnya itu sihat.

``Namun dia dan isterinya tidak mampu memelihara mereka. Mereka sebelum ini mengharapkan anak perempuan,’’ katanya.

Undang-undang China berhubung satu anak satu keluarga ini menyaksikan ibu bapa dibenarkan membayar denda jika mereka mahu mempunyai lebih daripada seorang anak.

Menurut kerajaan China, undang-undang itu berjaya mengurangkan tambahan 400 juta kelahiran di negara yang mempunyai populasi 1.3 bilion penduduk itu.

Penduduk China dijangka mencecah 1.4 bilion orang pada 2020. -Mynewshub

Monday, August 26, 2013

Tandas Mewah Ala-ala Jepun "Washlet" Meletup

Tandas Mewah Ala-ala Jepun "Washlet" Meletup

Sebuah tandas mewah ala Jepun atau “washlet” yang dibeli satu keluarga di Dongguan, wilayah Guangdong meletup baru-baru ini.

Keadaan tandas ala Jepun milik keluarga Liu yang meletup.

Akhbar Southern Metro Daily semalam melaporkan, keluarga Liu bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

Mereka yang pulang kira-kira jam 9 malam mendapati pangsapuri mereka mempunyai kesan abu dan bau terbakar yang datang dari arah bilik air.

“Saya membuka pintu dan dalam rumah diselubungi asap hitam dengan bau plastik terbakar. “Saya berundur kerana tidak tahan dengan bau hangit itu,” kata isteri Liu. Bilik air di kediamannya rosak teruk dengan dipenuhi jelaga dan sisa tandas yang meletup itu.

Polis menganggarkan tandas elektronik itu meletup antara jam 6 petang hingga 9 malam. Keluarga itu juga bernasib baik kerana letupan menyebabkan paip air bocor dan secara tidak langsung memadamkan api sebelum ia sempat marak.

Siasatan awal mendapati kerugian dialami keluarga itu akibat letupan tandas itu ialah 300,000 yuan (RM161,881). Syarikat Dongpeng yang mengeluarkan tandas itu mendakwa model dimiliki keluarga Liu tidak lagi dikeluarkan.

“Kejadian sedemikian tidak pernah berlaku,” kata jurucakap syarikat itu. -Agensi

Apa sebenarnya tandas mewah Jepun?


Inovasi dalam tandas Jepun moden sebenarnya di tempat duduk. Tandas mewah Jepun adalah tandas elektrik dengan kerusi semburan air untuk membersihkan kawasan kemaluan seorang wanita. Semburan air dimulakan oleh panel kawalan jauh yang melekat pada tempat duduk tandas.

Di samping itu, tempat duduk tandas juga didatangkan dengan loceng dan wisel: kerusi panas dan semburan, sensor tekanan hanya diaktifkan apabila seseorang duduk di atasnya, pengering, sensor gerakan untuk membuka tudung apabila seseorang berjalan di dalam bilik, keupayaan untuk bersuara, hampir dengan ciri-ciri yang sangat moden yang anda tidak mampu bayangkan sebenarnya.


Jika terdapat gangguan kuasa, pengguna masih boleh menggunakan kertas tandas dan menyiram ia seperti tandas biasa.

-Sentiasapanas.com

Monday, August 19, 2013

Wanita Sanggup Jahit Lidah Untuk Kurus

Wanita Sanggup Jahit Lidah Untuk Kurus

Pelbagai cara dilakukan wanita untuk menurunkan berat badan dan mengekalkan bentuk tubuh menarik, namun tindakan Marlene Beltran, 20, dan Lysander Lanusa, 27, boleh dianggap ekstrem.


Kedua-dua mereka menjalani pembedahan menjahit lidah bagi mengekang selera makan yang besar.

“Ia bukan pembedahan menjahit lidah biasa, sebalik sejenis peranti daripada plastik dipasang di atas lidah dan dijahit untuk mencegah makanan berat daripada ditelan.

“Walaupun berasa sakit dan tidak selesa, mereka melakukannya dengan gembira kerana hasil yang diperoleh juga tidak mengecewakan,” lapor akhbar Daily Mail.

Sebagai contoh, Lysander yang pada awalnya mempunyai berat kira-kira 90.7 kilogram berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 10,4 kilogram dalam tempoh sebulan.

Marlene yang mempunyai berat badan 70 kilogram pula berjaya mengurangkan lapan kilogram dalam tempoh sama.

Kaedah menjahit lidah diperkenalkan pakar bedah plastik dari Beverly Hills, Nikolas Chugay pada 2009. Peranti yang dilekatkan pada lidah memerlukan enam jahitan.

Pembedahan hanya mengambil masa 10 minit untuk diselesaikan dan bayaran yang dikenakan ialah sebanyak AS$2,000 (RM6,550).

Jahitan terbabit menyebabkan cubaan untuk mengambil makanan keras menjadi begitu menyakitkan sehingga terpaksa mengehadkan pengambilan makanan cair hanya kepada 800 kalori setiap hari.

Pembedahan itu juga menyebabkan lidah kehilangan deria rasa dan mereka akan berasa sakit jika makan apa juga makanan kecuali cecair.

“Rasa sakit pada lidah menyebabkan saya tidak boleh makan,” kata Lysander.
Marlene pula berkata beliau mendapat perhatian daripada pakar sebelum membuat keputusan.

Pakar penurunan berat badan Dr Robert Huizenga berpendapat, kaedah yang digunakan Beltran dan Lysander adalah primitif tetapi beliau yakin ia boleh menjadi kaedah berkesan.

“Pendekatan digunakan sangat primitif. Ia seolah-olah anda mengupah seseorang memegang pistol yang diacu di kepala setiap kali anda makan,” katanya. –AGENSI


Friday, August 16, 2013

"James Bond" Meninggal Dunia!

"James Bond" Meninggal Dunia!

Siapa masih ingat lagi aksi payung terjun berpakaian ala James Bond ketika upacara pembukaan Sukan Olimpik London dua tahun lalu?? Beliau Mark Sutton, 42 tahun telah meninggal dunia semalam selepas terjun dalam sebuah acara terjun.


Beliau meninggal dunia di tempat kejadian selepas jatuh terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Banjaran Alps di Switzerland.

Mark, dilaporkan menerima jemputan satu acara melibatkan juruterbang. Acara itu melibatkan aksi payung terjun dari sebuah helikopter.

Insiden tragis itu berlaku pada hari pertama acara tiga hari itu berdekatan Martigny, hampir dengan sempadan Perancis.

Pada Olimpik 2012, Mark yang berpakaian seperti Jame Bond melakukan aksi payung terjun ke dalam Stadium Olimpik bersama rakan Gary Connery yang berpakaian seperti Ratu Elizabeth II.

Bercakap kepada akhbar The Sun, Garry berkata beliau sudah kehilangan seorang kawan yang bijak dan kelakar.

Pihak polis mengesahkan seorang lelaki British berusia 42 tahun mati selepas terjun bersama seorang rakan dari sebuah helikopter di kawasan Grandes-Otannes.

Menurut kenyataan polis, kedua-duanya terjun pada ketinggian 3,300 meter pada pukul 11 pagi semalam dan mengikut perancangan akan mendarat di kawasan berhampiran.

Siasatan awal mendapati, pendaratan gagal dan Mark telah terhempas di kawasan pergunungan.

“Mangsa, berusia 42 tahun dan tinggal di Chamonix, Perancis dikategorikan sebagai yang terbaik di dunia dalam aksi terjun bebas,” menurut kenyataan itu. –Mynewshub



Dibunuh Hanya Kerana Hidup Senang!

Dibunuh Hanya Kerana Hidup Senang!

Di Papua New Guinea di mana kebanyakan penduduknya tinggal di pondok, segerombolan perusuh lengkap bersenjata api, parang dan kapak menyer­bu sebuah rumah kayu pada waktu malam.


Kumpulan perusuh terbabit menahan Helen Rumbali dan tiga saudara perempuannya serta membakar rumah mereka manakala semua wanita berkenaan dibawa untuk diseksa.

Tuduhan yang dijatuh­kan ke atas mereka adalah mengamalkan ilmu sihir!

Selepas beberapa kali dikelar menggunakan pisau, akhirnya kakak Helen dan dua anak saudaranya yang masih remaja dibebaskan hasil rundingan bersama pihak polis. Namun Helen, berusia 40-an yang juga bekas guru dihukum pancung.

Penyerangnya mendakwa mereka mempunyai bukti kukuh mengatakan wanita itu menggunakan ilmu sihir untuk membunuh seorang penduduk kampung yang meninggal dunia akibat penyakit, baru-baru ini.

Kubur mangsa menunjukkan tanda penggunaan sihir hitam dan sekumpulan kunang-kunang membawa pemburu ahli sihir ke rumah Helen.

Masalah keganasan berkaitan pemburuan ahli sihir makin meningkat di Papua New Guinea yang memiliki tujuh juta penduduk pelbagai kaum dan lebih 800 bahasa pertuturan yang mana kebanyakan penduduknya menyara hidup dengan bertani.

Pemburuan ke atas ahli sihir kini makin merebak ke bahagian di mana amalan tidak berperikemanusiaan tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun, tiada penjelasan kukuh mengenai peningkatan begitu ketara dalam pembunuhan sebegini.

Bagaimanapun, ada hujah menunjukkan keganasan itu didorong bukan saja disebabkan penularan kepercayaan penduduk terhadap ilmu hitam, tetapi turut disebabkan rasa cemburu akibat ledakan jurang ekonomi antara golongan kaya dan miskin.

“Cemburu menyebabkan banyak kebencian berlaku. Golongan yang begitu cemburu dengan individu yang berjaya akhirnya mengambil jalan mudah dan me­ngaitkannya dengan kepercayaan penduduk terhadap sihir untuk membunuh mereka bagi menghentikan perkembangan hidup individu berkenaan,” kata Pe­ngerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Bougainville Utara, Helen Hakena berdasarkan kawasan di mana Helen Rumbali dibunuh.

Beliau berkata, tuduhan mengamalkan ilmu sihir yang dijatuhkan terhadap Helen hanya satu alasan.

“Ia sememangnya kes yang disebabkan rasa cemburu terhadap keluarganya yang berjaya dalam hidup,” katanya.

Katanya, penduduk kampung iri hati kerana suami Helen dan anak lelakinya adalah kakita­ngan kerajaan. Mereka juga memiliki rumah diperbuat daripada kayu serta ahli keluarga yang berpendidikan dan punya kedudukan sosial yang tinggi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memfailkan beratus kes keganasan berkaitan amalan sihir di Papua New Guinea sejak akhir-akhir ini dan banyak lagi kes seumpamanya di kawasan pedalaman yang tidak dilaporkan.

Sehingga bulan lalu, Akta Sihir negara berkenaan yang berusia 42 tahun membenarkan kepercayaan terhadap ilmu hitam digunakan sebagai pembelaan sah terhadap pembunuhan individu yang disyaki me­ngamalkan sihir.

Langkah kerajaan memansuhkan undang-undang berkenaan adalah penyebab kepada keganasan yang berlaku baru-baru ini.

“Tidak dinafikan ada kepercayaan yang benar-benar wujud dan dalam keadaan tertentu menjadi pendorong kepada individu terbabit. Mereka juga percaya jika tidak membunuh individu berkenaan, ia akan menyebabkan kematian dan musibah kepada kampung,” kata peguam di Universiti Nasional Australia, Miranda Forsyth yang mengkaji isu berkenaan.

Tetapi menurutnya, dalam kejadian yang berlaku di Papua New Guinea baru-baru ini, ia kelihatan seperti tidak didorong oleh kepercayaan tulen berkenaan sebaliknya disebabkan serangan ke atas golongan kaya oleh penduduk miskin dan kebanyakan mereka terlepas daripada hukuman.

Dia dan pakar lain yang mahir dalam bidang ilmu sihir di rantau Melanesia percaya kemakmuran yang dikecapi negara berkenaan dan ketidaksamarataan dalam budaya tradisional masyarakat menjadi pe­nyebab kepada keganasan terbabit.

Jiran terdekat iaitu Vanuatu dan Kepulauan Solomon juga mempercayai ilmu hitam, tetapi belum pernah melihat tahap keganasan sedemikian.

Perbezaannya hanya disebabkan Papua New Guinea memiliki pertumbuhan ekonomi terpantas.

Kekayaan sumber mineral dan gas asli menyaksikan ia antara pemba­ngunan ekonomi terpantas dunia sepanjang dekad lalu dengan peningkatan hampir tujuh peratus setiap tahun bermula 2007 hingga 2010.

Pertumbuhan ekonomi memuncak pada 8.9 peratus pada 2011 sebelum turun kepada lapan peratus tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Papua New Guinea, Ravunama Auka, tidak menganggap cemburu sebagai penyebab utama pembunuhan berkaitan ilmu sihir terutama dalam kes yang pernah ditanganinya.

Walaupun tidak memiliki statistik katanya, keba­nyakan mangsa dibunuh kerana kepercayaan asal iaitu ia berlaku disebabkan ilmu sihir.

Auka mengakui pembunuhan disebabkan perkara ini makin meningkat, tetapi tidak dapat menjelaskan puncanya.

Antara kemungkinan penjelasan adalah penyebaran kepercayaan ahli sihir yang sebelum ini hanya boleh dilihat di wilayah tanah tinggi Chimbu, kata ahli antropologi, Philip Gibbs, pakar dalam bidang ilmu sihir dan juga paderi Roman Katolik yang menetap di hutan Papua New Guinea sejak 41 tahun lalu.

Dalam budaya Chimbu, penduduknya me­ngebumikan si mati dalam konkrit supaya badan mereka tidak dimakan haiwan jahat kecil pada waktu malam yang dipercayai boleh merasuk individu yang masih hidup.

Malah, penduduk membayar bomoh untuk me­nyembuhkan jika ada antara mereka yang dirasuk haiwan jahat yang dipercayai meninggalkan tubuh mereka pada waktu malam dan menyerupai haiwan kecil.

Katanya, mereka yang disyaki dirasuk sering diseksa bagi mendapatkan pengakuan dan adakalanya dibunuh.

“Bentuk kepercayaan sebegitu mula tersebar ke wilayah lain yang mana ia tidak pernah wujud sebelum ini dan kami bertanya soalan yang sama iaitu mengapa?” katanya.

Keluarga yang dituduh akan meninggalkan ladang kecil mereka dengan tergesa-gesa dan hanya me­ngambil apa yang diperlukan.

Oleh itu, penduduk kampung perlu memutuskan siapa yang akan menduduki tanah kosong berkenaan.

“Di situlah rasa iri hati dan tamak timbul,” kata­nya.

Papua New Guinea kini berada di bawah tekanan antarabangsa sebagai tindak balas terhadap beberapa siri kes keganasan berprofil ting­gi yang menjadi perhatian dunia.

Pada Februari lalu, perusuh membogel, menyek­sa dan mengikat seorang wanita yang dituduh me­ngamalkan ilmu sihir. Dia kemudian dibakar hidup-hidup di hadapan ratusan penonton yang ketakutan di Mount Hagen iaitu bandar ketiga terbesar negara berkenaan.

Pada Julai pula, polis menahan 29 individu yang dituduh menjadi sebahagian daripada puak kanibal di kawasan pedalaman hutan Papua New Guinea dan mendakwa mereka menyebabkan kematian tujuh individu yang disyaki bomoh.

Bagi kes Helen yang berlaku April lalu, tiada tang­kapan dibuat, namun polis mengatakan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai ‘pembunuhan kelas pertama’.

Inspektor Kanan Polis, Cletus Tsien tidak membuat sebarang spekulasi me­ngenai motif jenayah berkenaan.

“Kita sedia maklum keluarga mangsa adalah golongan kaya. Mungkin puncanya ada isu berkaitan perasaan cemburu.

Kita juga tahu mereka dituduh melakukan sihir, tetapi tiada bukti kukuh,” katanya. -MyMetro

Video Ngeri Hukuman Mati Dikhalayak Ramai Di China

Video Ngeri Hukuman Mati Dikhalayak Ramai Di China

Foto mengerikan pada detik-detik terakhir seorang lelaki yang dihukum mati di depan khalayak ramai di China tersebar dan mendapat kritikan pelbagai pihak.


Lelaki tidak dikenali itu dilihat memakai pelekat dibawa keluar dari belakang van polis dengan disaksikan sekumpulan besar orang ramai, termasuk kanak-kanak dari atas bukit.

Lelaki itu kemudian dibawa ke tengah kawasan lapang di tengah belukar dan pistol diacukan di belakang kepalanya sebelum dia ditembak mati anggota polis.

Menurut laporan Shangaiist.com, video itu dimuat naik di Sina dan ditonton lebih 2.3 juta kali sejak Isnin lalu. Video itu dirakam oleh seorang daripada kumpulan orang ramai yang berdiri melihat hukuman bunuh itu dari atas bukit.

Ia bermula dengan paparan sekumpulan kenderaan polis tiba di sepanjang laluan berlumpur di bawah bukit. Sebilangan besar anggota polis kemudian muncul dari kenderaan itu.

Lelaki itu kemudian dibawa keluar dari van dan diiringi ke kawasan belukar yang sudah ditebas.

Anggota polis kemudian memusingkan muka lelaki itu kepada orang awam seolah-olah untuk menunjukkan wajahnya.

Lelaki terbabit diarahkan melutut sebelum ditembak di belakang kepalanya.

Klip video itu tidak memaparkan sebarang maklumat mengenai lelaki terbabit atau apakah tuduhan jenayah yang dihadapinya.

Dipercayai video itu dirakam pada November tahun lalu.

Walaupun China tidak pernah mendedahkan berapa ramai rakyatnya yang dihukum mati setiap tahum, Amnesty Internatinal mendakwa angka mungkin mencecah ribuan.

Malah, hukuman terhadap pesalah dalam kes berprofil tinggi juga sering dijalankan secara rahsia tanpa dimaklumkan kepada keluarga pesalah terlebih dulu. -Agensi

Bekas Tunang Balas Dendam Sebar Gambar Lucah!

Bekas Tunang Balas Dendam Sebar Gambar Lucah!

Seorang wanita di Singapura yang sedih apabila keluarga tunangnya lebih memilih bekas teman wanita lelaki berkenaan merancang untuk memburukkan wanita terbabit.

Gambar hiasan

Siti Nurazlin Samat, 28, berusaha mendapatkan nombor telefon wanita itu dan menyamar sebagai pegawai polis lelaki sebelum memperdaya mangsa.

Dia berjaya menggoda mangsa berusia 24 tahun itu yang juga eksekutif program kokurikulum di sekolah dan menjalin hubungan intim bersamanya menggunakan e-mel dan akaun Facebook palsu.

Pada Mei 2011, wanita berkenaan menghantar 10 gambar bogel dirinya kepada Siti Nurazlin.

Pada Disember tahun yang sama, Siti Nurazlin menyamar sebagai ibu bapa menghantar surat bertaip bersama empat daripada gambar bogel mangsa kepada pengetua sekolah menengah tempat mangsa bekerja.

Siti Nurazlin mengatakan dia memperoleh gambar lucah itu dalam buku matematik anak lelakinya yang kononnya mengadu ekesekutif sekolah itu yang memberinya foto berkenaan.

Dia turut mendakwa mungkin berlaku insiden penderaan seksual di sekolah berkenaan.

Mangsa kemudian dipecat dari sekolah itu. -Agensi

Thursday, August 15, 2013

Barack Obama Kritik Gaya Hidup Mewah Kim Kardashian

Barack Obama Kritik Gaya Hidup Mewah Kim Kardashian

Selebriti Amerika Syarikat (AS), Kris Jenner membidas Presiden Barack Obama kerana mengkritik gaya hidup mewah anak perempuannya, Kim Kardashian dan suami, Kanye West, lapor akhbar Daily Mail.


Obama, 52, dalam wawancara program televisyen AS, Kindle Single baru-baru ini mengkritik rancangan Keeping Up With The Kardashians sebagai mengagungkan kebendaan.

Program realiti itu memaparkan gaya hidup elegan Kim dan beberapa anggota keluarga Kardashian yang lain.

"Kanak-kanak tidak perlu disogok dengan baju apa yang dipakai pada setiap hari oleh Kim Kardashian atau lokasi percutian mewah Kanye West bagaikan ia satu lambang kejayaan," katanya.

Mengulas komen Obama, ketua keluarga Kardashian berusia 57 tahun itu memberitahu pada Jumaat lalu bahawa, dia menolak kenyataan Obama yang menuduh Kim dan West obses dengan kemewahan.

"Saya mendapati sangat pelik apabila Obama memetik nama Kim dan West.

"Pertama sekali West tidak pernah pergi bercuti. Tidak pernah," kata Jenner

"Kim pula berhak menikmati kejayaan yang dicapai sekarang kerana dia seorang wanita yang paling bekerja keras di dunia. Dia tidak pernah berputus asa," tambahnya -Agensi

Saturday, August 10, 2013

Tiga Hakim Langgan Pelacur Dipecat

Tiga Hakim Langgan Pelacur Dipecat

Tiga hakim akan dipecat oleh Parti Komunis China manakala seorang lagi diletakkan dalam tempoh perhatian, beberapa hari selepas laporan online menuduh mereka melanggan pelacur.

Gambar hiasan.

Satu siasatan dilakukan selepas seorang penulis blog yang diberi nama Ni oleh media tempatan, menyiarkan rakaman di internet minggu lalu menuduh lima pegawai berkenaan melanggan pelacur di sebuah kawasan peranginan tempatan.

Ia adalah skandal terbaru menyusuli kes rasuah dan pelanggaran disiplin termasuk kesalahan seksual oleh pegawai China yang didedahkan di internet.

Anggota Suruhanjaya Disiplin Shanghai berkata, empat hakim dan seorang eksekutif syarikat kerajaan melawat pusat peranginan terbabit bulan lalu dengan empat daripada mereka melanggan pelacur.

Berikutan itu, ketua dan timbalan ketua hakim Tribunal Sivil Mahkamah Tinggi Nombor 1, Chen Xueming dan Zhao Minghua dari Mahkamah Tinggi Rakyat Shanghai akan dipecat dari Parti Komunis, kata suruhanjaya terbabit dalam Weibo.

Timbalan ketua pemeriksaan disiplin suruhanjaya itu, Ni Zhengwen juga akan dipecat manakala timbalan ketua tribunal mahkamah nombor 5, Wang Guojun tidak mendapatkan khidmat pelacur dan akan diletakkan dalam perhatian parti selama dua tahun.

Suruhanjaya terbabit akan meminta parti untuk memecat semua empat hakim terbabit.

Seorang eksekutif Shanghai Construction Group, Guo Xinghua dipecat firma terbabit dan akan dipecat dari parti.

Video dikirimkan Ni menunjukkan lima pegawai termasuk Chen dan Zhao memasuki bilik mewah selepas makan diikuti beberapa wanita. Keterangan video menunjukkan Chen menyediakan pelacur itu.

Ni yang memberi maklumat menuduh Zhao campur tangan dalam satu kes sivil pada 2009 yang menyebabkannya kerugian besar, lapor akhbar Global Times, Isnin lalu.

Rakyat China menggunakan media sosial untuk mendedahkan salah laku pegawai meskipun usaha mereka kadang kala dilihat menggugat kestabilan sosial dan disekat pihak berkuasa. -AFP