Saturday, October 19, 2013

Kerajaan AS Kembali Pulih Selepas Lumpuh 16 Hari


Operasi pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS), semalam kembali pulih setelah Kongres meluluskan satu pendekatan perbelanjaan, selepas 16 hari kerajaan negara ini lumpuh ekoran krisis politik.

AS Debt Crisis

Kongres, semalam meluluskan pendekatan tersebut pada saat-saat akhir bagi menamatkan krisis yang melumpuhkan kerajaan dan mengelak bencana hutang yang boleh mengancam ekonomi global.

Pendekatan itu, bagaimanapun hanya menawarkan penyelesaian jangka pendek dan tidak mengubah isu-isu asas berhubung perbelanjaan dan defisit kerajaan yang menjadi perbalahan antara Parti Republikan dan Parti Demokrat.

Ia hanya melibatkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan hutang siling sehingga 7 Februari ini, menyaksikan kemungkinan krisis berkenaan akan berlaku semula pada awal tahun depan.

Dewan Senat dan Dewan Perwakilan, masing-masing meluluskan pendekatan perbelanjaan tersebut selepas Parti Republikan membatalkan usaha untuk mengaitkan rang undang-undang itu kepada perubahan dalam rang undang-undang penjagaan kesihatan yang dianjurkan oleh Presiden AS, Barack Obama.

Dewan Senat yang didominasi Parti Demokrat meluluskan pendekatan itu dengan 81 undi menyokong dan 18 undi menentang, yang kemudian menyaksikan Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Republikan meluluskan pendekatan itu dengan 285 undi menyokong dan 144 undi menentang.

Kebuntuan itu diselesaikan, sehari sebelum Perbendaharaan AS menyatakan bahawa kemampuan negara ini meminjam dana baru akan berakhir, keadaan yang mungkin mencetuskan ancaman kepada ekonomi global.

Obama kemudian meluluskan pendekatan tersebut sebelum pukul 12 tengah malam tadi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Presiden AS itu berkata, pihaknya akan menyambung semua operasi kerajaan dengan serta-merta.

''Kita juga akan meredakan ketidakpastian dalam dunia perniagaan dan dalam kalangan rakyat,'' katanya.

-REUTERS/AGENSI

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon