Thursday, January 24, 2019

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta

Setakat ini sudah banyak diperkatakan tentang abdikasi atau tindakan turun takhta oleh Sultan Muhammad V dari jawatan Yang di-Pertuan (YDP) Agong namun, perlembagaan negara dan adat istiadat diraja memastikan segalanya akan kembali seperti biasa dan YDP Agong baharu akan menaiki takhta.

Sultan Muhammad V

Untuk ruangan ini saya cuba secara sepintas lalu menceritakan sedikit perihal raja-raja di sana sini dalam menghadapi cabaran ketakhtaan dan hal-hal hati nurani.

Jika Queen Beatrix di negara Belanda turun takhta secara sukarela pada tahun 2013 dan meletakkan puteranya di takhta sebagai pengganti, Raja Nepal pula hancur takhtanya apabila Putera Mahkota baginda, akibat terlalu marah dihalang dari mengahwini wanita yang dikasihinya, menembak baginda dan ahli-ahli keluarga terdekat. Ranaplah takhta diraja di situ.

Kini, Nepal menjadi sebuah Republik. Itu akibat satu dentuman hati nurani diraja.

Sebaliknya pada tahun 1936 di England, King Edward Vlll pada usia 42 senang-senang turun takhta kerana ditegah mengahwini wanita yang baginda cintai.

Berlainan dengan Putera Mahkota Nepal itu, yang berhasrat berkahwin dengan seorang gadis, King Edward Vlll memilih bakal permaisuri untuk Empayar British seorang janda dua kali.

Dalam usia bujangnya yang lanjut itu terselit kisah seorang kasanova dan romeo yang sentiasa mendampingi wanita-wanita cantik.

Namun, pilihan baginda itu mencerminkan bagaimana kerenah hati manusia ini tidak dapat diduga malah segalanya mungkin.

'Takhta kutendang demi jantung hati yang tersayang’. Itulah agaknya yang memaut sanubari baginda.

Bagaimanapun, takhta Inggeris terus tegap, sudah diduduki 70 orang raja sejak tahun 802, lebih 1,200 tahun dulu.

Raja terakhir Mesir yang bernama King Farouk selepas diturunkan dari takhta pada awal 1950-an berkata secara gurauan, "Saya percaya satu hari nanti king yang tinggal ialah king daun pakau: King Spade, King Diamond, King Clover, King Heart dan King of England."

Rujukan kepada King of England itu menunjukkan begitu mendalamnya hati orang Inggeris terhadap king atau queen mereka, seolah-olah tidak mungkin tergugat oleh apa saja.

Gara-gara hati nurani bererti perasaan yang mencakup antara kasih sayang dengan marah meradang.

Untuk ini tidak ada contoh yang lebih baik daripada King Henry Vlll di England, yang beristeri enam orang, bertakhta selama 38 tahun dari 1509 hingga 1547.

Apabila Mazhab Roman Khatolik melarang baginda menceraikan isteri pertama untuk berkahwin sekali lagi, baginda mengarahkan penubuhan Mazhab Anglican di bawah baginda. Bebaslah baginda daripada cengkaman Khatolik.

Anehnya dua daripada enam permaisurinya itu berakhir dengan kepala masing-masing dipenggal, termasuk Anne Boleyn, ibu Queen Elizabeth l.

Ada sebab-musababnya yang diada-adakan. Berdasarkan tahun-tahun yang king itu bertakhta, nescaya Sultan Mansor bertakhta pada masa yang sama di Melaka sebelum ditewaskan oleh Albuquerque dari Portugal pada tahun 1511.

King Emanuel di Portugal melaporkan kepada Pope di Rom bahawa Melaka mempunyai 30 ribu buah rumah yang diduduki oleh orang Islam (dipanggil Moors, kependekan daripada Moslem).

Jika lima orang dalam sebuah rumah, maka penduduk Melaka berjumlah 150,000 orang, lebih ramai daripada penduduk London pada waktu itu.

Emanuel bagai terlupa Melaka juga mempunyai raja. Beliau lebih memberi tekanan kepada hakikat bahawa sebuah kota besar Islam telah jatuh ke tangan Kristian Khatolik.

Albuquergue mengulas bahawa tidak terdapat strategi keselamatan di Melaka yang terbuka bebas untuk perdagangan.

Pengawal-pengawal bergajah hanya bersenjatakan lembing dan keris, itu pun hanya menjaga keselamatan raja apabila bergerak, ataupun sebagai santeri di sekeliling istana.

Kesimpulan itu menggalakkan beliau menyerang Melaka dengan hanya beberapa buah kapal.

Menjelang merdeka 1957 Raja Pahag Almarhum Sultan Abu Bakar dan permaisuri baginda Tengku Azam telah dihantar ke seberang laut sebagai bakal YDP Agong pertama.

Akhirnya Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Bekas PM Tunku Abdul Rahman mengaku dalam ruangan mingguannya di sebuah harian Inggeris dalam tahun1980-an bahawa beliau menasihati raja-raja tentang perlunya peruntukan Islam dihormati memandangkan Islam ialah agama rasmi Malaya yang merdeka.

Maksudnya, Almarhum menghadapi soal had poligami. Terlepaslah takhta YDP Agong. Perlu diulangi: fakta ini daripada sumber hitam putih Tunku, bahan tatapan umum.

Dalam penungguan, rakyat Malaysia penuh antisipasi sukacita mengalu-alukan DYMM SPB YDP Agong yang ke-16.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Saturday, January 19, 2019

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Ulama Terkenal Meninggal Dunia Diseksa Komunis China

Seorang ulama yang paling dihormati dan terkenal dalam kalangan umat Islam Uighur di China, Muhammad Salih Hajim, rupa-rupanya telah meninggal dunia selepas diseksa rejim Komunis. Beliau amat dihormati kerana menjadi ulama pertama yang menterjemahkan Al-Quran ke dalam Bahasa Uighur.

Islam Uighur China

Beliau dilaporkan meninggal dunia selepas dikurung di kem tahanan China selama 40 hari mulai Disember 2017.

Lebih dahsyat lagi, ahli keluarga beliau yang lain turut ditahan secara besar-besaran – termasuklah anak saudara beliau, Nurmemet Hajim yang pernah menuntut di Malaysia dan bekerja di pelbagai pejabat kedutaan.

Selain itu turut ditahan ialah anak perempuan Muhammad Salih Hajim iaitu Nezire Muhammad Salih (guru agama) dan Asiye Muhammad Salih (pensyarah universiti), anak lelaki beliau Nejip Muhammad Salih (petani), dan juga cucu lelaki beliau Imran Tuniyaz.

Tidak ketinggalan, adik beliau iaitu Mehsud Abley Hajim dan isterinya Ayshemqiz turut ditahan manakala anak lelaki sulung mereka kini tinggal dalam buangan di luar negara.

Sebelum ini, telah tersebar secara meluas akan laporan mengenai layanan kerajaan China ke atas Umat Islam berketurunan Uighur – mereka dilayan ibarat pesakit mental di kem tahanan khas untuk mengubah identiti mereka agar menjadi lebih ‘China’.

Langkah ini menyusuli beberapa tindakan seperti kempen ‘anti-Halal’ dan pengubahan demografi penduduk Xinjiang yang majoritinya sebelum ini terdiri daripada Uighur yang beragama Islam kini dibanjiri kedatangan etnik Han China.

Pada Ogos 2018, Jawatankuasa PBB tentang Penghapusan Diskriminasi Perkauman telah melaporkan bahawa seramai satu juta warga Uighur telah ditahan di pusat “anti-keganasan” di China.

Manakala seramai dua juta orang lagi dipaksa menjalani “indoktrinasi kebudayaan dan politik” yang disebut sebagai “pendidikan semula” ke atas mereka agar mentaati rejim Komunis dan mengubah identiti Islam mereka.

Laporan Rukiye Turdush dalam portal Al-Jazeera menyatakan bahawa rejim Komunis China memisahkan anak-anak Uighur secara paksa daripada keluarga mereka dan ditempatkan di sekolah-sekolah khas untuk memaksa mereka mempelajari peraturan Komunis China, mentaati Parti Komunis China, belajar Bahasa Mandarin, dan menghapuskan identiti Muslim serta tradisi Uighur mereka.

Setiap keluarga Uighur turut dipaksa menerima kader Parti Komunis China untuk tinggal di rumah mereka sekurang-kurangnya selama lima hari dalam tempoh setiap dua bulan.

Program ini jelas sekali menceroboh unit keluarga Uighur dan cukup membimbangkan dari segi impaknya ke atas keberadaan umat Islam Uighur di Xinjiang.

Kesemua langkah terdesak ini berpunca daripada kebimbangan China terhadap kebangkitan Muslim Uighur yang semakin berani memperjuangkan hak dan autoriti politik mereka – termasuklah kewujudan puak pemisah Uighur yang memperjuangkan kemerdekaan Xinjiang untuk membentuk negara Turkistan Timur.

Terbaru, tindakan kerajaan Malaysia membebaskan 11 orang warga Uighur yang dikehendaki oleh China telah mengundang bantahan keras rejim Komunis itu.

Perdana Menteri Tun Mahathir sebaliknya mengatakan bahawa keputusan diambil untuk menghantar kesemua warga Uighur ke Turki atas alasan ‘mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan’.

Dari segi politik dan moral, langkah kerajaan menghantar warga Uighur ini ke Turki dan mengingkari permintaan China yang mahu menahan mereka adalah langkah yang tepat sama sekali.

Dengan rekod pembunuhan politik dan hak asasi manusia yang buruk, tentulah China akan mengambil tindakan yang buruk ke atas 11 warga Uighur ini.

Namun begitu, kemudiannya Portal South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa Tentera Laut China akan datang menjalankan latihan di Selat Melaka bersama Malaysia dan Thailand mulai 20 Oktober 2019 ini.

Latihan selama sembilan hari yang berhampiran Port Dickson dan Pelabuhan Klang serta diberi nama ‘Peace and Friendship 2018’ itu akan menyaksikan kehadiran tiga kapal pemusnah dan frigat China, dua helikopter ‘shipborne’, tiga kapal pengangkut pesawat Il-76 serta 692 orang anggota tentera laut China.

Pastinya, tiada apa yang pelik tentang kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini jika difahami bahawa Tentera China pernah menjalankan latihan bersama angkatan tentera Malaysia sejak 2014 dan 2015 lagi dengan nama yang sama iaitu ‘Peace and Friendship’ (Keamanan dan Persahabatan).

Malah, latihan tersebut tetap diadakan meski pun sejak 2013 lagi diketahui bahawa kapal-kapal China menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia berhampiran Beting Patinggi Ali dan Beting Serupai di perairan Sarawak.

Cuma dalam konteks politik semasa – dalam keadaan Jho Low masih dikatakan bersembunyi di China dan pembantaian China ke atas warga Muslim Uighur masih berlangsung – mungkin ada eloknya jika kedatangan tentera China ke Selat Melaka ini ditangguh atau dibatalkan terus.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Sunday, January 13, 2019

Dakwah Agama Di Malaysia

Dakwah Agama Di Malaysia

Jujur - kita – umat Islam terutamanya orang Melayu di Malaysia mahu orang bukan Islam khususnya kawan rapat memeluk agama Islam. Mengapa?

Dakwah Agama

Pertama, kita akan dapat pahala jika mengislamkan mereka secara langsung – sama ada dengan sendiri atau dengan bantuan gologan agamawan. Paling tidak pun kita berdoa agar hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.

Kedua, kita dapat menyelamatkan mereka daripada kesesatan. Kita percaya kita berada di jalan yang benar. Lantas mengislamkan mereka bererti membawa mereka ke jalan yang benar.

Mengapa kita lakukan itu semua? Mengapa kita mahu mereka masuk Islam? Sebab kita sayang mereka.

Kita tidak sanggup melihat orang yang kita sayang terus hidup dalam kegelapan. Lantas mereka perlu diselamatkan.

Dakwah atas sifat kasih

Jadi orang bukan muslim tidak harus sangsi atau marah jika ada usaha dakwah dijalankan ke atas mereka. Ini kerana dakwah dibuat atas sifat kasih sayang terhadap mereka.

Niat yang murni. Sama ada mereka mahu menerimanya terpulanglah. Tidak ada paksaan.

Bagaimana pula bukan muslim? Khususnya pendakwah non muslim. Tentunya mereka juga percaya pegangan mereka benar. Bagi mereka kitalah yang berada di jalan yang tidak betul.

Lalu mereka mahu menyelamat kita. Mengapa? Sebab mereka sayang kita.

Kawan lama saya, bekas wartawan Straits Times Singapura, Ismail Kassim menceritakan bagaimana usaha mengkristiankan beliau dijalankan kepadanya sebanyak tiga kali.

Kisah ini ada dalam buku berjudul “No Hard Feelings “ yang Ismail hasilkan pada tahun 2008.

Kata Ismail kali pertama ialah pada tahun 1960. Evangelist terkenal dari Amerika Syarikat Billy Graham melawat Singapura dan mengadakan perhimpuan atau ceramah perdana di Stadium Jalan Besar.

Graham mempunyai reputasi sebagai seorang pendakwah hebat yang boleh meyakinkan orang ke jalan Jesus Christ.

Menurut Ismail beliau diberitahu jika dengar hujah Graham sekali akan pecaya selama-lamanya.

Sebenarnya bukan orang Kristian yang mahu Ismail mendengar hujah Graham. Sebaliknya Ismail sendiri yang mahu mendengar apa yang disampaikan oleh Graham.

Lalu Ismail mengajak kawannya yang beragama Kristian menemaninya ke Stadium Jalan Besar.

Dan Ismail pun melihat sendiri dan mendengar Graham bercakap mengenai pengembaraan keagamaannya dan apa yang membuatnya menerima Bible sebagai kata-kata tuhan. Words of God, katanya.

Pada akhir ceramah, Graham merayu semua yang hadir menerima Christ sebagai penyelamat peribadi atau personal saviour.

Kali kedua ialah pada tahun 1980-an. Kenalannya, seorang non Muslim tiba-tiba kerap bercakap mengenai agamanya dan benda-benda hebat yang berlaku dalam hidupnya sejak dia mula kembali kepada agamanya.

Dan kali ketiga ialah pada tahun 2007. Dua wanita memegang Bible datang ke kediaman Ismail untuk bercakap mengenai agama Kristian.

Ketiga-tiga kali Ismail tidak terpujuk akan dakwah yang disampaikan. Ismail seperti yang beliau sendiri mengakui bukanlah seorang Muslim yang “kuat” ketika usaha mengkristiankannya dijalankan.

Terutama pada tahun 1960. Beliau mengaku belajar solat hanya pada tahun 1983.

Pun begitu Ismail tidak berganjak. Beliau tetap Islam hingga ke hari ini – hidup sebagai seorang Muslim yang mengamalkan ajaran dan tuntutan Islam, a practicing Muslim - walaupun tiga kali berdepan dengan pendakwah Kristian.

Ismail tidak marah terhadap pendakwah berkenaan. Beliau tahu mengapa mereka berdakwah. Padanya mereka berhak menyampaikan mesej mereka dan beliau juga berhak untuk tidak menerima mesej itu.

Di Malaysia ada undang undang yang melarang pendakwah bukan Islam menjalankan kegiatan mereka terhadap orang Islam. Ia bertujuan menjaga keislaman umat Islam.

Kurang ajar, tak hormat orang Islam

Selain boleh dibawa ke muka pengadilan kerana melanggar perundangan, aktivti pendakwah non muslim terhadap umat Melayu Islam menimbulkan pelbagai reaksi. Terutamanya apabila Bible diberi kepada orang Islam khususnya budak sekolah.

Ramai yang marah dan sebagainya. Tuduhan kurang ajar dan tidak menghormati orang Islam dilemparkan. Reaksi sedemikian, setuju atau tidak, boleh difahami.

Tapi ini seolah-olah memberi gambaran umat Islam sangat mudah terpengaruh.

Berilah penghormatan dan kepercayaan kepada umat Islam, terutamanya orang Melayu. Iman mereka tidaklah setipis itu.

Nakal atau jahat macam mana pun umat Islam, mereka tidak akan menukar agama hanya dengan melihat salib atau diberi malah membaca Bible.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Monday, December 31, 2018

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

'Kaum Kami Mangsa Di Malaysia'

Bagaimana sesebuah negara boleh maju seandainya bangsanya menganggap diri sebagai mangsa, malah berebut-rebut untuk menjadi mangsa dan mahu menjadi mangsa selama-lamanya? Fenomena ini pelik tetapi lumrah di Malaysia. Melayu gusar bumi yang dipijaknya menjadi milik orang (Cina), ekonominya dikuasai Cina dan kini kuasa politiknya semakin tergugat.

Bangsa Malaysia

Cina merungut dirinya dilayan bagai rakyat kelas kedua, disekat daripada mengembangkan potensinya dalam sistem negara yang didominasi Melayu-Muslim.

India pula mengeluh, teriakan protesnya tidak kedengaran – dianggap terlalu minoriti (apatah lagi berpecah belah sesama diri) oleh media tempatan, dan tiada nilai berita berbanding kaum orang asal dari lensa kamera media antarabangsa. Orang asal barangkali “bumiputera” yang lebih teruk kedudukannya ekonomi dan politiknya berbanding bukan bumiputera.

Sentimen ini berlegar-legar dalam satu kitaran untuk saling menebalkan prejudis masing-masing. Dari kaca mata Cina, kegusaran Melayu itu sekadar alasan untuk menutup “kemalasan” sendiri, dan mahu terus bergantung kepada “tongkat”.

Untuk Melayu pula, Cina umpama dapat betis mahu paha – tidak pernah bersyukur dengan kemurahan hati “tuan milik bumi ini”, malah menuntut lebih tanpa sehiris kesediaan untuk menerapkan dirinya ke dalam budaya masyarakat Melayu-Muslim.

Jurang lebar meninggalkan komuniti India yang terpinggir merasakan dirinya tidak memiliki apa-apa, lantas nothing to lose

jikalau bangkit menentang – menjelaskan pendekatan perjuangan mereka yang ada kalanya, nampak keras dan ganas, sebagai reaksi minoriti terhadap sang penguasa.

Orang asal yang diperah sumber semula jadinya, hanya mampu mendoakan agar trak besar tidak mencerobohi tanah adat mereka, memunggah balak dan kemudian meninggalkan mereka dalam habuk yang berterbangan.

Sentimen-sentimen ini terus menghantui Malaysia, sungguhpun kita bebas dari cengkaman kuasa Umno-BN pada 9 Mei 2018.

Kontroversi pengiktirafan UEC (Sijil Peperiksaan Bersama), ratifikasi Icerd, malah rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman yang berakhir dengan tragedi kematian seorang anggota Bomba, Muhammad Adib – kesemuanya menemui jalan buntu dalam perbincangan ke arah penyelesaian. Antara puncanya, masyarakat kita diselubungi sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”.

Persoalannya, tidakkah kita sebagai warga Malaysia harus khuatir, bahawa kitaran sentimen sebegini jikalau dibiarkan terus berkisar, bakal jadi pusaran deras yang akhirnya menenggelamkan Malaysia pada masa depan?

Hilang yakin diri

Biasanya “mangsa” merujuk kepada pihak yang dizalimi, ditindas malah dikorbankan, dan sebagaimana yang sedia maklum, ia dari pihak yang “lemah”.

Mentaliti “mangsa” ini akan menghakis keyakinan dalam diri satu bangsa. Memandang diri sebagai mangsa bermakna tidak yakin dengan kemampuan diri untuk melawan, atau bersaing dengan pihak yang lain.

Apabila sesuatu bangsa enggan menguji kemampuan diri, sudah tentu ia gagal membuktikan kemampuan diri.

Misalnya, pilihan raya tempatan ditolak di Malaysia dengan alasan bahawa kaum Cina akan menguasai bandar-bandar besar, dengan andaian bahawa Melayu-Muslim gagal menyaingi calon Cina di gelanggang pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan).

Persoalannya, bagaimana Sadiq Khan boleh menjadi Datuk Bandar Muslim pertama di London pada tahun 2016, jikalau tiada pilihan raya tempatan?

Mengapa Muslim sebagai minoriti di United Kingdom mampu menampilkan keyakinan untuk memimpin di Barat, sebaliknya Muslim sebagai majoriti di Malaysia, sering rasa tergugat dengan demokrasi tempatan?

Sesungguhnya Sadiq Khan menjadi lambang kemegahan dunia Muslim, kerana kepimpinannya diiktiraf oleh masyarakat non Muslim di Barat.

Namun, tatkala masyarakat Muslim mengagumi dan berbangga dengan kehebatan Sadiq Khan, pernahkah masyarakat Melayu-Muslim merenung sejenak, bukankah ia juga mencerminkan “kehebatan” masyarakat non muslim untuk menobatkan seorang pemimpin dari kalangan minoriti yang berbeza anutan agama dengan majoriti?

Di sini bezanya antara bangsa yang berkeyakinan diri dengan bangsa yang melihat dirinya mangsa. Untuk masyarakat yang matang dan berkeyakinan, kaum majoritinya akan memilih pemimpin mereka tanpa dikaburi sentimen kaum dan agama yang sempit, dengan keyakinan bahawa sistem demokrasi yang utuh mampu mewujudkan persaingan untuk melahirkan pemimpin yang berkaliber.

Komuniti minoriti pula merasakan dirinya berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum majoriti, diberi peluang yang sama rata untuk menonjolkan bakat dan kemampuan dirinya. Hak asasi mereka terjamin di bawah sistem demokrasi yang mantap.

Akhirnya, Kristian sebagai majoriti dalam masyarakat ditampilkan sebagai bangsa yang bukan sahaja tidak menindas komuniti minoriti, malah memberi hak kepada yang berhak, dan kedudukan yang sama rata sesama manusia.

Sementara Muslim sebagai masyarakat minoriti di kota London, membuktikan potensi dan pengaruhnya, dengan kepimpinan yang diiktiraf manusia sejagat. Warga kota London hidup bermaruah di depan mata antarabangsa.

Kuasa besar, jiwa besar?

Alangkah indahnya negara dan masyarakat sebegitu, yang mana warganya sudah tentu mengharungi liku-liku sebelum mengecapi apa yang ada pada hari ini.

Mustahil ia dicapai dalam jangka sekelip mata, sungguhpun dengan kepantasan teknologi 5G pada hari ini cuma, tepuk dada tanya selera, apakah ia matlamat yang dikongsi bersama dalam masyarakat Malaysia, untuk kita menuju ke destinasi ini pada masa depan?

Jikalau itulah destinasi yang dikongsi bersama, maka kita perlu menghentikan kitaran sentimen tersebut dari mana-mana titiknya, tanpa sehiris rasa apologetik bahawa diri kita sebagai pengecut yang “berganjak langkah”, atau pengkhianat yang menggadaikan kepentingan bangsa.

“Kuasa yang besar disusuli dengan tanggungjawab yang besar.” Demikianlah q uote dalam filem Spiderman. Bukan itu sahaja, bangsa yang bercita-cita untuk menggarap kuasa yang besar, seharusnya juga berjiwa besar.

Bagaimana seseorang pemimpin politik boleh menjadi negarawan di Malaysia, jikalau perjuangannya hanya disempitkan untuk satu-satu kaum tertentu?

Bagaimana seseorang pemimpin politik meraih penghormatan seluruh rakyat, andainya beliau hanya mampu menggertak dengan kuasa yang ada dalam tangan, dan bukannya memukau dengan aura ketokohannya?

Di sini kita terperangkap. Bukan sahaja tokoh, malah komuniti kaum tertentu menuntut kuasa yang lebih besar, tanpa kesediaan untuk menampilkan dirinya sebagai seorang tokoh atau bangsa yang beramanah, berjiwa besar dan bertanggungjawab.

Kuasa yang dihambat dipergunakan untuk mengayakan diri, mengugut mereka yang mendedah dan mempersoalkan penyelewengan diri, kemudian mengerah kaum diri untuk menutup skandal dan menegakkan benang basah atas semangat assabiyah.

Kegagalan ini menghakis asas moral kepimpinan Melayu, khususnya, lantas diambil kesempatan sesetengah komuniti minoriti yang lain untuk menghalalkan pendekatan protesnya yang keras.

Mereka memandang rendah bangsa Melayu lantaran pemimpin Melayu yang korup; mereka menolak budaya Melayu kerana prejudisnya bahawa bangsa ini tidak berusaha untuk memperbaiki kelemahan diri, sebaliknya menuntut hak istimewa untuk menutup kemalasan dirinya.

Semakin kaum bukan Melayu menolak kepimpinan dan kebudayaan Melayu, semakin kuat penolakan Melayu terhadap kaum lain.

Kitaran ini berlaku bertahun-tahun, malah berdekad-dekad. Pergeseran dan pergolakan sedemikian melahirkan ketidakpercayaan antara satu sama lain, yang kemudiannya berkembang menjadi kebencian dan permusuhan.

Kesemua sentimen ini bertakung bagai minyak tanah, yang menunggu masa untuk dinyalakan apabila ada pihak memetik api hasutan, sama ada kaum mahupun agama.

Apakah rakyat Malaysia mahu meneruskan ketegangan sedemikian, untuk dekad-dekad akan datang? Sejauh manakah Malaysia boleh pergi, andainya setiap warganya diselubungi sentimen “mangsa”, diperdayakan untuk bermusuhan sesama diri agar “pemangsa” sebenar tidak dikesan?

Bagaimana Malaysia mara ke depan, jikalau kaum majoritinya hilang keyakinan, dan kaum minoritinya pula hilang semangat kekitaan, kerana tidak merasakan bumi ini dimilikinya, sungguhpun “tanah tumpahnya darahku” keluar dari bibirnya setiap kali lagu kebangsaan didendangkan?

Yakinlah, mustahil masalah boleh diselesaikan dengan menimbulkan masalah yang lain. Jangan sesekali kita mengemis simpati dengan memainkan sentimen “kaum kami mangsa dalam Malaysia”, padahal ia hanya alasan untuk menyembunyikan kelemahan, kejahatan, kegagalan, dan prejudis dalam diri kita.

Kita menagih simpati dengan menampilkan diri kita sebagai mangsa, malah mangsa yang lebih kasihan berbanding mangsa lain.

Tidak pernah kita menggariskan tempoh bila ia harus dihentikan, kerana nampaknya tiada mana-mana pihak yang yakin dengan kemampuan dirinya.

Tiada mangsa yang akan berjaya. Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang membebaskan dirinya dari sentimen “mangsa”. Tiada sesiapa yang harus menjadi mangsa di bumi ini, andainya kita ingin menjayakan Malaysia.

Nota: Penulis adalah LIM HONG SIANG, bekas editor Merdeka Review edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, December 06, 2018

Cash Is King Era Baru?

Cash Is King Era Baru?

Cash is king, bak kata pemimpin politik suatu ketika dulu dan kita berasakan apa yang dicanang itu benar-benar telah tertanam di kepala ramai pejuang, buahnya itulah yang kita tuai sekarang ini. Tengok saja samseng cap bulu ayam yang dibayar untuk mengambil alih kuil Sri Mahamariamman tempoh hari. Hanya dengan bayaran seratus dua, mereka tanpa ada malu menjeritkan nama tuhan.

Cash Is King Era Baru

Mereka tentu menyangka bayaran yang diterima sebagai imbuhan itu menjadikan mereka ada hak untuk membuat huru-hara di rumah ibadat tersebut.

Ada khabar yang mengatakan bahawa wang sebanyak RM1.5 juta telah dibayar kepada pihak kuil. Pengurusan kuil tersebut pula terpecah dua dengan satu pihak didakwa mengkhianati pihak yang lain dalam hal wang pampasan tersebut.

Membuat kacau di rumah ibadat apa agama sekali pun adalah salah, melempar daging babi ke masjid, misalnya, adalah perbuatan teramat sial yang harus dihentikan.

Kita tidak mahu dek kerana tamak akan imbuhan kita tergamak bergaduh atas nama agama.

Berkelana cari suami

'Peguam' yang dituduh membayar samseng itu juga tentu sekali berasakan wang adalah penyelesai segala masalah mereka.

Di Jepun sekarang telah berlaku ramai lelaki enggan berkahwin kerana bimbang wang hasil penat mereka bekerja nantinya terpaksa dibelanjakan kepada isteri dan anak-anak.

Mereka tidak mahu membelanjakan wang itu kepada orang lain kerana khuatir tidak cukup bekalan pada hari tua.

Kerana lelaki Jepun mementingkan wang (untuk diri sendiri) negara itu sedang berdepan masalah warga tua yang tidak mempunyai waris untuk menjaga mereka.

Kini, sudah ada gadis dari negara matahari terbit itu membuat rombongan ke serata dunia demi mencari jodoh atau pasangan hidup.

Kisah benar

Ada dua gadis Jepun yang keluar dari negara itu hanya untuk mencari pasangan hidup. Kedua-duanya kini telah berkahwin dengan lelaki Malaysia.

Menurut Noraini Kawamura, dia sudah ke India, Indonesia dan Malaya. Dan daripada pengembaraan itu dia memutuskan bahawa negara ini serta lelaki Melayunya paling sesuai dibuat suami.

Suami beliau ialah seorang pemandu lori dan beliau sendiri kini berkerja menjual Yakult ke merata tempat.

Sementara itu teman Noraini, Midori Takeda, pula memilih seorang pelukis batik sebagai suaminya. Kedua-dua mereka kini dikurniakan seorang anak.

Sombong dengan harta

Kita adalah jahat apabila menyokong partai politik hanya kerana memikirkan keuntungan wang ringgit.

Inilah yang mengakibatkan rasa tidak puas hati kepada sesetengah penyokong parti yang tewas dalam pilihan raya ke 14 lalu.

Kita semua sedia maklum yang hampir semua ahli politik dari partai yang pernah memerintah itu terlalu kaya. Juak-juak mereka juga tidak kurang hebatnya dan mereka menjadi sombong akibat mempunyai harta yang tidak jelas puncanya itu.

Kesombongan itulah yang menjadi punca kebencian rakyat. Justeru ia menjadi antara sebab mereka disingkirkan daripada memerintah negara ini.

Diharapkan kumpulan yang memerintah hari ini tidak pula menumpukan usaha masing-masing untuk mengkayakan diri sendiri dan kroni.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Wednesday, November 28, 2018

Wahai Menteri Serta Golongan Agama, Jangan Bodoh Sombong Dan Jangan Lupa Diri

Wahai Menteri Serta Golongan Agama, Jangan Bodoh Sombong Dan Jangan Lupa Diri

Malaysia sudah beberapa kali diuji dengan barah perkauman. Barah, suatu sel yang tiada jaminan tidak akan kembali lagi, walaupun telah menjalani rawatan kemoterapi. Begitulah perkauman di Malaysia.

Ahli politik pembohong

Selama bertahun lamanya, nampaknya ia masih kekal dan mungkin akan terus kekal di kalangan masyarakat kita maka, jika kita tidak boleh menghapuskan barah, kita mampu mengawalnya.

Begitu jugalah dengan perkauman. Kita mampu mengawalnya dan ia bermula dari rumah, dan dari apa yang kita didik dan beritahu anak-anak kita.

Apa yang kita ajar mereka, itulah bekalan yang mereka bawa ke sekolah dan bertemu rakan-rakan lain. Minda mereka dicorak oleh kita. Pengetahuan mereka ditambah oleh kita. Sebagai ibu bapa, kita bertanggungjawab dan bersalah dalam hal ini.

Ahli politik, pemimpin-pemimpin NGO, ambillah pengajaran. Guna akal sebelum berbicara. Fikir kesan kata-katamu itu.

Anda semua mempunyai ramai penyokong dan pengikut. Pada mereka, hanya andalah sahaja yang benar. Maka, mereka akan mengikut kata-kata anda.

Apa yang anda tuturkan hanya akan menjadi api atau air. Jika api yang anda keluarkan, maka terbakarlah.

Namun jika air yang anda siram, maka subur dan bercambahlah. Anda juga bersalah dan bertanggungjawab dalam hal ini.

Pemimpin-pemimpin agama, tanya pada diri anda, apakah yang anda tuturkan dan ajar pengikut anda.

Adakah anda mengajak mereka melakukan kebaikan dan menghormati agama lain? Atau anda berselindung di sebalik pakaian keagamaan anda menyemai kebencian? Anda juga bersalah dalam hal ini.

Ada sebab mengapa anda dipilih atau terpilih menjadi ketua mereka. Ini kerana pengikut anda tidak mempunyai keupayaan berfikir seperti anda.

Maka jika anda memanipulasi fikiran mereka, menghasut mereka, andalah yang bersalah dan wajar dihukum terlebih dahulu, bukan pengikut-pengikut anda.

Berfikir sebelum bertindak, berfikir sebelum bercakap. Tatkala masyarakat negara lain seperti di Palestin, Syria dan Rakhine dahagakan kebebasan, keamanan, ada orang di Malaysia yang dahagakan kekacauan. Mereka mahu lihat negara ini musnah.

Apa yang telah terjadi, kita ambil sebagai iktibar. Jangan kita ulangi kesilapan silam kita. Kita pernah diuji sebelum ini dan kita sudah lihat kesannya. Hanya orang gila sahaja yang mahu lihat ianya berulang sekali lagi.

Jadilah air, bukan api. Sejukkan, bukan panaskan lagi.

***

Nota: Mohamad Siddiq Azani ialah seorang peguam dan anggota Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Thursday, November 01, 2018

Kisah Terkulainya Cik Mary Ann Jolley Ditangan Pendekar Najib!

Kisah Terkulainya Cik Mary Ann Jolley Ditangan Pendekar Najib!

Silap besar dan sesat yang nyatalah untuk sesiapa yang menganggap politik negara ini semudah mentafsir bidalan Abdul Hadi Awang atau kepintaran Nazri Aziz.

Mary Ann Jolley Pendekar Najib

Memanglah di permukaannya politik Malaysia agak mudah dan polos namun di mata awam, ada sifir politik yang lebih rumit dan mendebarkan berbanding Malaysia.

Nah, di situlah titik permulaan kesilapan orang yang tidak mengetahui. Ketika hal ehwal negara dilihat laksana lebuh raya yang lurus, siasah sebenar umpama jalan-jalan kampung yang berselirat dan serba menduga.

Justeru apabila anda mentertawakan Najib Razak yang kelihatan tenggelam punca atau hilang sabar, kita sebenarnya mengagumi langkah strategik bekas perdana menteri itu.

Pedulilah apa pun anda kata, namun Najib sebebarnya berjaya menempuhi sesi temu bual dengan Cik Mary Ann Jolley dengan jayanya.

Pujian yang melangit juga wajar dirafakkan kepada pasukan pemikir, perencana dan pelaksana langkah politik kontemporari Najib.

Sebagaimana lincahnya Najib mengutarakan pemikiran dan hujah di media sosial, begitu jugalah kepintaran yang ditunjukkan beliau di depan kamera Al Jazeera

Tanda sahabat sejati

Kerana kepintaran Najib maka boleh dikatakan semua orang - terutama anggota Umno - lupa kepada isu desakan bercuti kepada Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru itulah yang diperlukan oleh Umno atau sekurang-kurangnya Ahmad Zahid, Lokman Noor Adam dan ratusan ribu penyokong parti berkenaan.

Maka satu daripada masalah Umno dapat diselesaikan dengan penuh bergaya oleh salah seorang pemimpin teragung mereka. Najib.

Mungkin ada yang sudah terlupa bagaimana hubungan persahabatan di antara Najib dan Ahmad Zahid sudah terbina sejak puluhan tahun silam.

Dan pada setahun silam - atau tepatnya 27 Okt 2017 - Najib sekali lagi menegaskan betapa bertuahnya beliau memiliki seorang sahabat sejati dari Bagan Datuk. Ahmad Zahid namanya.

Ketika bekas timbalan perdana menteri itu didesak oleh orang yang ada di sekelilingnya untuk bercuti, tidak ada orang yang lebih tepat tampil untuk mempertahankan beliau kecuali Najib.

Jika ada pun orang yang mungkin lebih sesuai membela Ahmad Zahid lebih gigih daripada Najib, tentulah individu tersebut bernama Lokman.

Nak berharap kepada Jamal Yunos, ada sedikit risiko juga. Bimbang pada masa diperlukan beliau sukar dikesan.

Dan di sebalik kecaman masyarakat kita, jangan sesekali menolak kemungkinan bahawa bakal pemimpin terhebat masa depan Umno - Lokman - mengadakan pakatan dengan Al Jazeera. Justeru temu bual 101 East itu konon-kononnnya memerangkap Najib.

Jolley kena belajar lagi

Mana mungkin seorang pejuang rakyat sehebat Najib boleh tersasul dan tersilap langkah di depan Cik Jolley?

Najib bukan sekadar pejuang. Beliau ialah seorang panglima. Jika tidak cukup menggerunkan, beliau juga bertaraf pendekar.

Selain ada senjata yang berbisa, beliau juga ada armada laut yang bersedia digerakkan menerjah badai tanpa mempedulikan sama ada sauh sudah dilabuh atau belum. Asalkan layar sudah dikembangkan, hanya ada satu kata, maju terus!

Sekali lagi ditegaskan, susah untuk diterima akal Najib boleh tergelincir kata-katanya di depan Cik Jolley.

Siapa sangatlah wartawan asing yang mewakili media asing itu berbanding pengarang-pengarang media Malaysia, kan?

Secara jujur, kita wajar mencari seseorang yang dapat menyampaikan pesanan kepada wartawan Al Jazeera itu supaya dia belajar lebih mendalam lagi bagaimana cara untuk berdepan dengan Najib.

Cik Jolley wajib berguru dengan ketua-ketua pengarang akhbar negara cara-cara untuk mengajukan soalan yang benar-benar mencabar Najib.

Setakat wartawan bernama Cik Jolley, ia umpama lebihan makanan di celah gigi saja. Kalau Al Jazeera mahu mengenakan orang lain, bolehlah.

Mereka mungkin berjaya memberi tekanan kepada pemimpin lain di dunia seperti Donald Trump, Vladimir Putin malah Raja Salman di Saudi itu.

Namun, mereka melakukan silap yang terlalu besar apabila menggunakan taktik yang sama ke atas Najib.

Apabila beliau kemudiannya mengakui gagal mengawal perasaan semasa temu bual itu berlangsung, sebenarnya tindakan tersebut mesti difahami dengan betul.

Najib tidak mengaku salah, tetapi sekadar berbudi bahasa selayaknya orang Timur yang penuh dengan kesopanan dan kesusilaan.

Penegasan terbaik Najib kepada Al Jazeera itu dapat dilihat ketika beliau berkata, "Because as far as I am concerned, making lies, fabricating lies is not something we want to tolerate in this country."

Dan 'pukulan maut' terakhir untuk Najib menafikan perangkap Cik Jolley dan Al Jazeera itu ialah apabila beliau dengan penuh bergaya dan segak bangkit dari kerusinya dan berkata, "I'm going to walk out. No more. No more. I'm done."

Dalam konteks politik Malaysia, apakah maksud kenyataan Najib yang dilihat ramai sebagai 'mengelak' atau 'mengalah' itu?

Bagi ahli politik, aksi tersebut sebenarnya membawa mesej yang jelas lagi terang dan menawan, bak permata disinari cahaya.

Pernyataan itu wajib difahami sebagai soalan padu daripada beliau, "Anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?"

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Friday, August 10, 2018

Gay Itu Aneh

Gay Itu Aneh

Seorang anak buah saya, warga Amerika, umurnya 12 tahun. Dia bercuti sebulan setengah, pulang ke Malaysia. Dia pulang ke Malaysia ketika ada cerita panas tentang LBGT. Dia tak tahu itu. Dia tidak membaca berita tentang negara ini. Baginya, bagi abang dan kakaknya yang berbeza empat dan tiga tahun lebih tua, “family first”: keluargalah yang perlu diutamakan.

Gay Itu Aneh
Gambar hiasan.

Selepas keluarga, barulah negara mereka, Amerika Syarikat. “Family first” adalah “nilai Amerika” yang ketiga-tiganya belajar di sekolah.

Dan memang sistem pendidikan AS—bagi sesetengah orang mengecamnya sebagai ‘sistem Barat’ atau ‘kafir’ itu—mengajarkan bahawa keluarga adalah perkara utama waima dalam hidup bernegara.

Dalam kata lain, negara pun tidak boleh menandingi keluarga. Apatah lagi hal-hal lain. Begitulah asas patriotisme Amerika dibentuk. Seolah-olah keluarga adalah negara, negara adalah keluarga.

Umurnya 12 tahun seperti yang saya tuliskan tadi. Sehinggalah dalam satu perbualan kami, dia memberi komen tentang maksud “gay”. Katanya, gay mempunyai dua makna dalam perbendaharaan kata bahasa Inggeris.

Makna pertama adalah makna yang dikecam ramai orang. Gay, jelasnya, bermaksud seseorang lelaki yang suka kepada pasangan sejenis. Sementara maksud kedua, jelasnya lagi, “gembira” (“happy”).

Maksud kedua itu adalah pengertian yang lebih lama dipakai bagi tamadun manusia. Bukan pengertian pertama. Dan dia pun memberikan contoh ayat, “Hey Uncle Hasmi, I am so gay for you!”

Terjemahan dalam bahasa Melayu, “Hei Pakcik Hasmi, saya gembira untuk anda!”

Di waktu lain, anak buah saya itu ngobrol dengan kakaknya. Dia merasa aneh dengan lelaki yang menyukai kaum sejenis. Jawab sang kakak, “jangan tindas dan bersikap berat sebelah terhadap mereka.”

Jawab sang adik, “ya, tetapi tetap aneh!”

Di dalam masyarakat yang terbuka seperti Amerika Syarikat itu pun, menyukai kaum sejenis tetap dilihat aneh.

Aneh bukan kerana sesiapa yang menyebut atau mengajarkannya sebagai aneh, tetapi daripada rasa awalnya sendiri sudah pun begitu. Perasaan awal itulah barangkali yang disebut dalam Islam sebagai “fitrah”.

Tetapi Amerika tidak memakai hujah agama bagi berhadapan dengan individu LBGT. Terutama begitu rencam dan banyaknya agama di sana.

LBGT pun ‘mati’

Kalau dipakai hujah Islam, maka tidak sampai ke hati penganut agama lain. Begitulah kalau diguna pun hujah dari Kristian, misalnya, juga terhad kepada penganut Kristian sahaja.

Oleh itu, bagi pemerintah Amerika Syarikat, apa yang mustahak perlu diajarkan di sekolah ialah keluargalah yang pertama: family first.

Mencintai keluarga dan darah daging sendiri. Sementara mana-mana kelompok LBGT, mustahil mereka dapat melahirkan zuriat sebagai unit asas yang membentuk sistem kekeluargaan.

LBGT pun ‘mati’. Mati tanpa dibunuh.

Anak-anak saudara saya itu, dalam hatinya pun tahu, tanpa keluarga, ibu-ayah atau datuk-neneknya, maka mereka takkan lahir di dunia ini.

Bagaimanakah sistem ibu-ayah, datuk-nenek, lelaki-perempuan boleh menjadi pilihan kedua atau serata dengan sistem sejenis manusia?

Tanpa ‘dihasut’ atau didakwah lebih lanjut pun, mereka yang sedang menjalani proses remaja tidak akan sanggup menjadi mana-mana kelompok dalam kategori LBGT.

Namun, sekali lagi tidak pula sampai mahu memalukan, menindas atau memukul golongan itu.

Di sini, kita harus bergembira atau dalam bahasa Inggerisnya, “gay” terhadap menteri agama, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang hampir jelas jalan pemikirannya dengan anak-anak saudara saya.

Maksud saya, dengan sistem pendidikan di Amerika yang maju, yang perlu kembali mengajarkan anak-anak kita bahawa keluarga adalah yang terpentingnya dalam sistem sosial.

Sejauh mana pun atuk-nenek mereka dan walaupun berbeza warganegara, mereka pasti akan pulang. Menjejak manusia yang kerananya mereka ada di muka dunia.

Menafikan kenyataan ini adalah kebiadapan. Bukan kepada negara—Malaysia atau Amerika—tetapi kepada diri mereka sendiri.

Selepas habis berbual, kami perlu berlalu. Dia membuka pintu kereta kepada saya, sambil katanya, “Uncle Hasmi, ladies first!”

Begitulah dia berjenaka. Terbahak saya ketawa.

***
HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini