Thursday, June 25, 2020

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Starbucks adalah antara jenama yang selalu mendapat tempat di hati peminat kopi kerana itulah ramai yang sanggup membayar sehingga RM20 untuk secawan kopi yang diadun dengan penuh perasaan dan nikmat.

Howard Schultz Starbuck
Howard Schultz.

Tetapi, tahukah anda pada tahun 2007/2008, Starbucks pernah dilanda krisis kewangan sehingga mereka hampir diisytiharkan muflis.

Pada tahun 2008, saham Starbucks jatuh sehingga 28% dan terpaksa menutup 600 cawangan pada tahun yang sama dan menutup 300 cawangan lagi pada tahun 2009, juga dilaporkan telah memberhentikan 6,700 pekerja.

Tidak mahu isu ini terus berpanjangan, langkah awal yang diambil oleh Starbucks adalah dengan melantik kembali Howard Schultz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks menggantikan Jim Donald.

Di bawah kendalian Schultz, dia menemui beberapa masalah yang dihadapi:

Pertama, dia mendapati Starbucks terlalu mementingkan birokrasi berbanding pelanggan. Kedua, dia mendapati bahawa Starbucks terlalu menyalahkan keadaan ekonomi serta kenaikan harga susu untuk menaikkan harga kopi.

Starbucks juga menghadapi persaingan dari McDonald's, yang pada tahun 2008 telah mula memasuki perniagaan membuat kopi.

Schultz mempunyai pandangan yang berbeza. Dia telah mengambil inisiatif dengan mengirim surat kepada para pekerja dengan menyatakan bahawa "Syarikat mesti mengalihkan fokus mereka dari birokrasi kepada pelanggan".

Dia juga menambah bahawa pentingnya untuk Starbucks 'menjalinkan hubungan emosi dengan para pelanggan'.

'My Starbucks Idea'

Setelah berjaya mencari pucuk akar yang rosak, Schultz telah melancarkan kempen 'My Starbucks Idea', kempen bertujuan untuk membuang dinding yang menghalang Starbucks dan para pelanggan.

Starbucks meraikan perbezaan pendapat dengan bertukar idea di antara para pelanggan dan juga syarikat.

Pelanggan boleh memberi pandangan mengenai segala hal melibatkan Starbucks; produk, perkhidmatan, susun atur kedai, iklan, tanggungjawab sosial, bahkah muzik di dalam kedai juga turut dialu-alukan.

Hasilnya? Starbucks telah menerima lebih daripada 93,000 pandangan yang dikongsikan oleh 1.3 juta pengguna di media sosial. Selain itu juga, impression terhadap Starbucks juga telah meningkat kepada 5.5 juta sebulan.

Starbucks kini lebih fokus untuk menjalankan perniagaan dalam bentuk komuniti, bermula dengan kempen 'Free Wi-Fi', 'Soy Lover' dan lain-lain.

Selain itu, Starbucks turut menyedari bahawa mereka harus menghasilkan pemasaran berasaskan media sosial dan tidak boleh dilihat putus asa atau terlalu ingin untuk meningkatkan jualan.

Oleh itu, Starbucks telah mengambil inisiatif dengan mengurangkan iklan yang berasaskan produk dan lebih memberi tumpuan dalam membina hubungan di antara syarikat dan pelanggan.

Ciapan spontan dari Starbucks yang hanya membuat emoji senyuman juga pernah mendapat pujian dari para pelanggan.

Manakala hantaran lain di media sosial seperti 'keep calm and make coffee' juga adalah antara usaha baharu yang dihasilkan oleh Starbucks dalam membina hubungan dengan para pelanggan.

Beberapa tahun lalu, Starbucks pernah dilanda kontroversi apabila syarikat itu dikaitkan menggunakan keuntungan mereka bagi membiayai tentera Israel.

Sekali lagi, media sosial berjaya membuatkan Starbucks keluar daripada masalah tersebut dengan membina mesej yang kuat bahawa, 'Starbucks adalah organisasi yang cintakan kedamaian'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Saturday, June 13, 2020

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Ratu Hatshepsut, Firaun Wanita Pertama Mesir Purba

Hatshepsut adalah firaun ke-5 daripada dinasti ke-18 Mesir, adalah pemangku rasmi kepada anak tirinya, Thutmose III, yang hanya berusia 2 tahun ketika kematian bapanya Thutmose II, dan Hatshepsut adalah satu-satunya pengganti yang layak untuk memerintah Mesir.

Ratu Hatshepsut
Gambar hiasan.

Hatshepsut adalah puteri Firaun Thutmose I yang dilantik menjadi ratu setelah mengahwini adik lelakinya bernama Thutmose II, putera Thutmose I dan isteri kedua pada umur 12 tahun.

Salasilah

Suami Hatshepsut, Thutmose II, merupakan adik beradik sebapa (berlainan ibu) dan sebab utama Thutmose II mengahwini Hatshepsut adalah kerana dia adalah anak tunggal Thutmose I dengan isterinya yang pertama (kedudukan isteri yang tertinggi), Ahmose.

Ibu Thutmose II, Mutnofret adalah isteri kedua bapanya, menjadikan Thutmose II kurang layak untuk diangkat sebagai pengganti.

Dengan mengahwini Hatshepsut, Thutmose II menjadi pilihan utama sebagai firaun seterusnya.

Pasangan Thutmose II dan Hatshepsut hanya mempunyai seorang anak, iaitu Neferure, yang merupakan seorang perempuan.

Walaupun ibunya seorang Firaun, Neferure tidak layak untuk diangkat menjadi firaun, kerana keutamaan harus diberikan kepada Thutmose III.

Firaun Wanita Pertama

Hatshepsut merupakan seorang firaun yang hebat, yang mana pemerintahannya selama 21 tahun merupakan suatu tempoh kemakmuran buat Mesir.

Hatshepsut memainkan peranan yang sangat penting dalam membina Mesir, antaranya menaik taraf laluan perdagangan yang penting buat ekonomi kerajaan berkenaan.

Lembah Diraja atau The Valley of Kings yang menjadi lokasi pemakaman firaun-firaun juga terbina kerana Hatshepsut.

Di lokasi tersebut, Hatshepsut telah membina makam buat bapa dan dirinya sendiri, sebelum para firaun selepas baginda mula membina makam mereka di tempat yang sama.

Walaupun ratu Hatshepsut mempunyai karisma sebagai firaun, majoriti Egyptologist (pengkaji tamadun Mesir Purba) berpendapat, sebab ratu itu diangkat adalah kerana krisis dalaman diraja melibatkan rampasan kuasa oleh kerabat diraja lain, maka ratu Hatshepsut harus melantik dirinya sebagai firaun.

Ratu Hatshepsut dibantu oleh para penyokong yang mengambil jawatan dalam badan kerajaan seperti Senenmut yang berjawatan sebagai ketua menteri.

Ada pendapat menyatakan, Senenmut adalah kekasih gelap ratu Hatshepsut namun hanya ada sedikit bukti untuk mengaitkan hubungan mereka berdua.

Patung Hatshepsut
Patung Ratu Hatshepsut.

Dua pencapaian gemilang ratu Hatshepsut ialah; aktiviti perdagangan dan projek pembinaan.

Dalam dunia perdagangan, ratu Hatshepsut meluaskan jaringan tersebut selepas penjarahan kaum gasar Hyksos pada 1650 SM, kemudian mengembalikan kekayaan Mesir pada zaman pemerintahnya.

Pada tahun kesembilan pemerintahan, Hatshepsut mengetuai penjelajahan ke tanah Punt bagi menjalankan hubungan perdagangan dengan orang Punt.

Sebanyak 5 buah kapal pelayaran dan seramai 210 orang kelasi berlayar mewakili ratu Hatshepsut.

Hasil dari hubungan dagang itu, wakil ratu Hatshepsut membawa balik kemenyan beserta 31 batang pokok kemenyan atau myrrh.

Namun, kewujudan Tanah Punt yang Ratu Hatshepsut telah jelajahi sehingga sekarang masih menjadi misteri.

Ada dua pendapat tentang keberadaan tanah tersebut. Yang pertama adalah di kawasan Ethiopia dan Eritrea, namun kawasan tersebut pada zaman pemerintahan Ratu Hatshepsut tidak ada sebarang kerajaan, malah hanya perkampungan saja.

Manakala pendapat kedua adalah Tanah Punt berada di bahagian timur Mesir. Pendapat ini lebih relevan kerana terdapat rekod-rekod Mesir Purba menyatakan keberadaan tanah yang sama.

Dalam The Egyptian Book of the Death iaitu buku sihir Mesir Purba, ia menyatakan bahawa Tanah Punt adalah beberapa buah negeri atau kawasan di sebelah timur namun, tiada penjelasan dimana keberadaan sebenar Punt itu.

Sebuah lagi karya Mesir Purba iaitu The Shipwrecked Sailor menyatakan, raja Punt adalah pemerintah kawasan pulau, bukannya pemerintah sebuah daratan besar seperti Afrika.

Bukti kukuhnya adalah ukiran di dinding kuil Djeser-Djeseru yang menunjukkan bahawa Punt terletak di kawasan persimpangan jalan perdagangan beberapa tamadun besar dunia.

Jika tamadun besar itu dimaksudkan adalah tamadun China dan India, tidak mustahil tanah Punt berada di Asia Tenggara. Ini mengukuhkan teori bahawa Nusantara adalah Tanah Punt itu.

Tambahan pula, para pelayar Ratu Hatshepsut pernah menemui Ratu Ati, ratu Punt, namun kenyataan ini sukar dibuktikan jika kawasan Ethiopia yang tiada kerajaan menjadi lokasi sebenar Punt.

Yang menarik, dari jurnal-jurnal sejarah kuno dari tamadun luar seperti Yunani Purba atau China, nama Brunei yang bertempat di pulau Borneo mempunyai banyak gelaran mengikut lidah pedagang asing seperti Poni, Pome, Poli, Boni dan sebagainya.

Kita terfikir juga, bagaimana orang Mesir Purba memanggil Brunei itu adala Punt? Kalau benar, adakah pulau Borneo pernah mempunya sebuah kerajaan purba di zaman ratu Hatshepsut sekali gus membuktikan Tanah Punt itu adalah Borneo?

Pembinaan

Selain aktiviti perdagangan, Ratu Hatshepsut juga pernah menyumbang dalam perlaksanaan projek-projek pembinaan bangunan yang baginda banggakan.

Hatshepsut adalah firaun prolifik dalam pembinaan, dengan beratus-ratus projek pembinaan dilaksanakan di Mesir Utara (Upper Egypt) dan Mesir Selatan (Lower Egypt). Berbanding projek pembangunan yang pernah firaun sebelumnya telah laksanakan, bangunan ratu Hatshepsut lebih gah dan lebih banyak sehinggakan firaun seterusnya menuntut bangunan-bangunan tersebut adalah milik mereka.

Sebab utama ratu Hatshepsut menjadi terkenal dalam projek pembinaan adalah kerana dia mempunyai arkitek tersohor bernama Ineni yang pernah berkhidmat di bawah pemerintahan ayahanda dan suaminya.

Pembinaan paling masyhur adalah kuil agung milik ratu Hatshepsut sendiri iaitu Djeser-Djeseru yang bertempat di kawasan Deir el-Bahri berdekatan dengan Thebes.

Seni bina kuil tersebut diinsipirasikan oleh ketua menteri kepercayaan baginda, Senenmut.

Kuil Hatshepsut
Djese-Djeseru. Kuil agung Hatshepsut.

Tahun 1458 SM, ratu Hatshepsut mangkat pada usia pertengahan 40-an dan dikebumikan di lembah raja-raja, berdekatan Deir el-Bahri.

Bagi memastikan pemerintahannya kekal dikenali, kubur ayahandanya telah dibuka dan dikubur bersama-sama.

Kemudian, Thutmose III menjadi firaun seterusnya selama 30 tahun, mengikut jejak ibu tirinya sebagai Pembina terkenal dan sebagai seorang pahlawan.

Pada akhir pemerintahan, firaun Thutmose III berusaha menghapuskan sebarang jejak ibu tirinya seperti patung berukir wajah ratu itu dan projek pembinaan di bawah namanya. Sebabnya masih kabur, sama ada dia tidak mahu sebarang kewujudan firaun wanita atau mendekatkan jurang masa pemerintahan setiap firaun lelaki.

Akibatnya, masyarakat Mesir tidak tahu tentang ratu Hatshepsut sehinggalah pada tahun 1822 di mana para ahli Egyptologist berjaya membaca tulisan Hieroglyph pada kuil Djeser-Djeseru.

Di situlah legenda ratu Hatshepsut kembali dikenali ramai, sebagai firaun wanita pertama dunia.

Cubaan Memadam Legasi Hatshepsut

Tidak diketahui individu sebenar yang cuba untuk memadamkan Hatshepsut daripada sejarah.

Menurut rekod, cubaan untuk menghancurkan legasi Hatshepsut berlaku pada penghujung era pemerintahan Thutmose III.

Ketika Hatshepsut memerintah, Thutmose III adalah jeneralnya yang paling berjaya, turut memainkan peranan penting lain sebagai atlet, penulis, sejarawan, ahli botani dan arkitek.

Selepas kematian Hatshepsut, pemerintahan Thutmose III selama 33 tahun menyaksikan kawasan taklukan Mesir semakin luas.

Thutmose III juga tiada sebarang masalah atau dendam terhadap ibu tirinya jadi, Thutmose III bukanlah suspeknya.

Namun begitu, terdapat beberapa spekulasi yang mengaitkan Thutmose III sendiri sebagai suspek utama yang cuba 'menyucikan' rekod kewujudan ibu tirinya itu.

Thutmose III bertindak sedemikian kerana marahkan Hatshepsut yang menduduki takhta firaun sebelumnya.

Antara suspek lain termasuklah Amenhotep II, yang merupakan anak dan waris Thutmose III, yang membantu bapanya mentadbir di penghujung pemerintahannya.

Sebagai anak kepada salah seorang isteri firaun, kedudukannya bagi menaiki takhta sedikit goyah.

Menurut beberapa sumber, dengan memadamkan legasi Hatshepsut, takhta sebagai firaun lebih mudah untuk diduduki, namun tidak jelas bagaimana.

Sama ada betul atau tidak Amenhotep II yang cuba memadamkan legasi Hatshepsut, tiada siapa yang tahu.

Namun yang pasti, individu tersebut cuba melakukan apa sahaja bagi menghapuskan Hatshepsut daripada rekod sejarah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Wednesday, June 03, 2020

Kartel Sinaloa, Organisasi Dadah Terbesar Dan Paling Ganas Di Dunia

Kartel Sinaloa, Organisasi Dadah Terbesar Dan Paling Ganas Di Dunia

Perang dadah di antara kartel dan kerajaan Mexico telah melalui suatu masa yang sangat panjang dan isu ini tidak pernah diselesaikan, malah beribu orang telah menjadi korban termasuk ahli politik, pelajar, wartawan dan orang awam.

Sinaloa Cartel

Lebih 300,000 orang telah menjadi korban sejak perang anti dadah dimulakan pada 2006 dan budaya ini terus-menerus menguasai Mexico dan semakin ramai telah menjadi korban nyawa dalam usaha untuk membanteras kartel yang semakin hari, semakin berkuasa.

Negara jiran, Amerika Syarikat telah menghabiskan berbilion dolar untuk membantu Mexico memerangi perang, tetapi sehingga sekarang kartel dadah terus menjadi kuat dan semakin berkembang.

Salah satu usaha Donald Trump untuk memerangi dadah adalah membina tembok tinggi untuk menghalang dadah masuk ke Amerika Syarikat, walaupun kebanyakan orang melihat tembok ini hanya berfungsi sebagai diskriminasi kepada negara jiran.

Amerika Syarikat bertungkus lumus mahu memerangi dadah disebabkan negara uncle sam adalah lubuk paling besar untuk pasaran dadah.

Drug Enforcement Administration (DEA) dalam laporan yang dikeluarkan menyatakan bahawa dadah seperti heroin, methamphetamine, dan cocaine banyak diimport masuk secara haram ke AS.

Tapi sebenarnya, kartel Mexico memegang pasaran heroin dan methamphetamine, manakala untuk kokaine, kebanyakannya datang dari Bolivia, Colombia dan Peru.

Sinaloa Kartel, Organisasi yang sukar dijatuhkan

Joaquín 'El Chapo' Guzmán

Amerika Syarikat menyatakan bahawa Kartel Sinaloa adalah sebuah organisasi terbesar dunia dalam aktiviti pengedaran dadah.

Ditubuhkan pada 1980-an dan selama penubuhan mereka, Kartel Sinaloa telah dipimpin oleh seorang 'tokoh' dadah terkenal, Joaquín 'El Chapo' Guzmán.

Untuk pengetahuan anda, El Chapo itu bermaksud pendek, pernah dianggap sebagai lelaki terkaya di dunia.

Kehidupan El Chapo adalah berkisarkan pengedaran dadah dan dia juga telah menjadi subjek dalam pelbagai siri buku dan juga drama televisyen.

Selama dipimpin oleh El Chapo, Kartel Sinaloa mendapat reputasi yang tinggi dan dianggap sebagai kartel paling ganas di Mexico.

Mereka telah menjalinkan hubungan yang kuat untuk mendapat akses kepada senjata-senjata berbahaya, seperti peluru berpandu dan senjata api AK-47.

Mereka telah menculik, menyeksa dan menyembelih ahli-ahli kumpulan lain yang tidak bersefahaman dengan mereka.

Pantang sahaja bertemu, kartel di Mexico akan berperang bagi menuntut kawasan jajahan mereka.

CNN pernah menulis bahawa pada tahun 2014 sahaja, El Chapo telah membunuh kira-kira 2,000 ke 3,000 orang yang tidak bersefahaman dengan kumpulan ini.

El Chapo pernah ditangkap pada pada Mei 1993 dan dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun di atas kesalahan mengedar dadah, menculik dan membunuh.

Tetapi dia berjaya meloloskan diri dengan merasuah pegawai-pegawai di penjara dan menurut Malcolm Beith, El Chapo menghabiskan $2.5 juta untuk merasuah semua orang yang terlibat.

Tidak berpuas hati dengan cara kerajaan Mexico menangani isu El Chapo, Amerika Syarikat pada tahun 2004 mengumumkan wang sebanyak $5 juta akan diberikan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat ke atas El Chapo.

AS juga telah membekukan semua aset sesiapa sahaja yang mempunyai hubungan dengan El Chapo, termasuk isteri beliau yang melahirkan anak kembar mereka di Los Angelas pada 2011.

Salah seorang anak El Chapo, Edgar meninggal dunia pada Mei 2008 selepas di tembak di kawasan parkir kereta.

El Chapo sekali lagi berjaya ditangkap dan ditempatkan di penjara dengan sekuriti paling ketat di Toluca, Mexico.

Seperti biasa, dia sekali lagi berjaya meloloskan diri dengan cara paling terkenal, dengan menggunakan terowong bawah tanah yang dikorek di sebuah rumah berhampiran penjara.

Selepas berjaya melarikan diri dengan cara paling licik di dunia, El Chapo sempat berjumpa dengan Sean Penn dan telah ditemuramah oleh majalah popular, Rolling Stone, di mana dia mengakui mempunyai kapal terbang, kapal selam dan berjuta harta.

Dalam temuramah tersebut, El Chapo mengakui bahawa dia telah menjadi lelaki paling berkuasa apabila menguasai pasaran dadah dan menjadi antara orang yang paling ditakuti.

Tetapi pada tahun 2016, El Chapo ditangkap sekali lagi oleh pihak berkuasa Mexico dalam satu kejadian tembak menembak yang telah membunuh lima orang yang paling rapat dengan El Chopa.

Dia dihantar terus ke Amerika Syarikat pada 2017 selepas kerajaan AS memohon kepada kerajaan Mexico untuk mengadili El Chapo di mahkamah Amerika Syarikat.

Dalam keterangan mahkamah, El Chapo mengakui bahawa dia pernah merasuah bekas Perdana Menteri Mexico, Peña Nieto sebanyak $100 juta tetapi dinafikan oleh pihak Nieto.

Guzmán telah disabitkan dengan 10 tuduhan, termasuk terlibat dalam usaha jenayah yang berterusan, konspirasi narkotik, pengedaran dadah antarabangsa jenis kokain, heroin, ganja dan ubat-ubatan haram. Dia juga disabitkan dengan kesalahan penggunaan senjata api.

Pada Julai 2019, El Chapo dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, keputusan yang telah mengakibatkan keganasan berterusan di Mexico apabila beberapa kumpulan mengambil kesempatan untuk menguasai Sinaloa.

Tetapi, Kartel Sinaloa menjadi semakin kuat dan terus menguasai barat laut Mexico dan sekarang diketuai oleh anaknya, Ovidio Guzmán Lopez.

Ovidio Guzmán Lopez

Apabila anaknya ditangkap oleh pasukan keselamatan Mexico pada Oktober 2019, tentera yang mewakili Kartel Sinaloa telah bertindak ganas dengan mengisytiharkan perang ke atas pasukan tentera kerajaan.

Anggota-anggota Kartel Sinaloa dikerahkan ke seluruh bandar tersebut yang dilengkapi dengan senjata-senjata gred tentera.

Mereka berperang dengan tentera, membakar kenderaan, bahkan cuba menyerang penjara sebelum pemimpin mereka akhirnya terpaksa dibebaskan oleh kerajaan Mexico.

Pihak berkuasa Mexico memutuskan untuk membebaskan Ovidio berikutan tindak balas dahsyat daripada kartel yang menjadikan bandar itu seperti 'medan peperangan'.

Ia merupakan bukti bahawa Kartel Sinaloa akan terus berkembang dan menjadi lebih kuat, biarpun dengan ketiadaan El Chapo.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Thursday, May 28, 2020

Sejarah Gundik Maharaja China

Sejarah Gundik Maharaja China

Dalam institusi maharaja China, salah satu perkara penting yang perlu diambil kira oleh maharaja adalah memastikan kelangsungan dinasti, yang hanya boleh dicapai apabila permaisurinya melahirkan seorang putera.

Gundik Maharaja China
Gambar hiasan.

Untuk tujuan itu, maharaja China mempunyai sebuah harem yang besar, dipenuhi oleh kaum wanita sebagai gundik.

Terdapat hierarki khusus di dalam harem ini, namun kelas-kelasnya sentiasa berubah dari masa ke semasa, dan secara umumnya harem mengandungi tiga hierarki iaitu; permaisuri, gundik atasan dan gundik biasa.

Selain itu, sida-sida yang berkhidmat untuk wanita-wanita diraja ini juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada harem tersebut.

HIERARKI DI DALAM HAREM

Puncak hierarki di dalam harem Diraja China adalah permaisuri, iaitu seorang 'isteri rasmi' Maharaja.

Permaisuri adalah wanita yang paling dihormati dan pemimpin yang dimuliakan bagi kaum wanita China, memandangkan beliau dianggap sebagai 'ibu seluruh dunia'.

Di dalam harem, hanya maharaja dan ibundanya sahaja berkedudukan lebih atas berbanding permaisuri. Kesemua individu lain perlu patuh terhadap perintahnya.

Tambahan lagi, terdapat juga suatu kedudukan khusus buat permaisuri yang dinamakan sebagai maharani balu, merujuk kepada permaisuri-permaisuri yang usianya melebihi usia maharaja.

Antara maharani balu yang masyhur dalam sejarah adalah Wu Zetian dari Dinasti Tang (yang kelak menjadi maharaja wanita pertama China) dan Cixi dari Dinasti Qing.

GUNDIK-GUNDIK ATASAN DALAM HAREM DIRAJA CHINA

Tingkat di bawah permaisuri diduduki oleh gundik-gundik atasan, yang mana bilangan dan gelaran gundik-gundik atasan ini berbeza mengikut dinasti yang memerintah.

Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Dinasti Qing, sebuah harem diraja mengandungi seorang Gundik Kehormat Diraja, dua orang Gundik Kehormat, dan empat orang Gundik Atasan.

Tingkat di bawah gundik-gundik atasan ini diduduki oleh kelas gundik-gundik biasa dan bilangannya berbeza mengikut maharaja.

Menurut catatan Adat-Istiadat Zhou, seorang maharaja ditetapkan agar memiliki 9 orang gundik berkedudukan tinggi, 27 orang gundik berkedudukan pertengahan dan 81 orang gundik berkedudukan rendah.

Namun, pada zaman pemerintahan Dinasti Han (206SM-220M), tiada penetapan had bilangan gundik atasan bagi seseorang maharaja.

Malah, pada era Maharaja Huan dan Maharaja Ling, dicatatkan terdapat lebih 20,000 orang wanita mendiami Kota Larangan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (1368-1644M), terdapat sebuah sistem rasmi dalam pemilihan gundik-gundik yang bakal menyertai harem maharaja, yang berlangsung di dalam Kota Larangan setiap tiga tahun.

PEMILIHAN GUNDIK

Calon-calon yang dipilih kebiasaannya berusia dalam lingkungan 14 hingga 16 tahun dan perlu menjalani proses penelitian latar belakang, keperibadian, tingkah laku, rupa paras dan keadaan tubuh.

SIDA-SIDA – LELAKI YANG DIBENARKAN DALAM HAREM

Sida-Sida China adalah satu-satunya kaum lelaki yang dibernarkan berada di dalam harem, dan untuk memastikan setiap bayi yang dilahirkan adalah anak kandung maharaja, lelaki sama sekali tidak dibenarkan untuk berkhidmat kepada wanita yang mendiami harem.

Satu-satunya pengecualian yang diberikan ke atas peraturan ini adalah sida-sida, iaitu lelaki yang telah dikembiri atau dikasi.

Sepanjang sejarah China, sida-sida sememangnya hadir untuk memainkan peranan dalam menumpahkan khidmat kepada keluarga diraja, termasuklah di dalam harem.

Namun, bagi sida-sida yang bercita-cita tinggi, mereka tidak hanya sekadar berkhidmat kepada keluarga diraja, sebaliknya mereka turut melibatkan diri dalam politik harem demi menduduki jawatan yang berpengaruh dan meraih kekayaan.

Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming, dicatatkan terdapat sekitar 100,000 orang sida-sida yang berkhidmat untuk maharaja dan haremnya.

Dalam situasi harem yang penuh dengan wanita-wanita maharaja, perseteruan dikalangan mereka demi merebut perhatian maharaja tidak dapat dielakkan.

Kedudukan yang paling menjadi rebutan tidak lain dan tidak bukan adalah status sebagai permaisuri.

Masing-masing bersaing untuk mengandung, seterusnya melahirkan putera maharaja yang akan memberikan kelebihan buat mereka.

PERSETERUAN DI DALAM HAREM

Sememangnya menjadi kelaziman untuk wanita yang bercita-cita tinggi di dalam harem menyusun rancangan demi menjatuhkan seterunya.

Untuk mencapai tujuan tersebut, tidak kurang ada yang menjalinkan kerjasama dengan sida-sida.

Seandainya helah yang diatur itu membuahkan hasil, kedudukannya di dalam harem meningkat dan sebagai balasan, sida-sida yang memberikan sokongan akan dibalas dengan dilantik dalam mana-mana jawatan berautoriti.

Permainan politik di dalam harem sebegini kerap berlaku dalam sejarah China, misalnya pada zaman Dinasti Tang, terdapat salah seorang gundik atasan Maharaja Gaozing bernama Wu Zetian.

Menurut cerita, Wu Zetian pernah mengarahkan agar puteranya yang baru dilahirkan dibunuh, kemudian menudingkan kesalahan pada Permaisuri Wang.

Akibatnya, Permaisuri Wang dilucutkan pangkat dan gelaran itu diambil-alih oleh Wu Zetian.

Apapun, harem maharaja tidaklah diselubungi sepenuhnya oleh suasana konflik politik, lebih-lebih lagi pada zaman pemerintahan Maharaja Huangdi.

Beliau mempunyai empat orang gundik yang mana setiap seorang daripada mereka tidak dilantik berdasarkan rupa paras, sebaliknya atas faktor kebolehan.

Salah seorang gundiknya merupakan pencipta resipi masakan dan kayu penyepit makanan. Gundik yang lain pula ada yang dipercayai mencipta sikat dan secara bersama, gundik-gundik ini membantu Huangdi dalam memerintah empayar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, May 19, 2020

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Para saintis telah mengenal pasti kawah asteroid paling tua di dunia yang terletak di Australia mungkin boleh memberikan penjelasan kepada kita, bagaimana bumi telah beralih dari Zaman Ais menjadi seperti yang kita ada sekarang.

Kawah Yarrabubba

Penyelidik memaklumkan, asteroid tersebut telah melanda Yarrabubba di Australia Barat kira-kira 2.2 bilion tahun lalu sekali gus membentuk kawah yang berusia kira-kira separuh usia bumi.

Kesimpulan itu dicapai berdasarkan ujian mineral pada batu berkenaan dan para saintis menyifatkan ia sebagai penemuan yang menarik kerana boleh memaparkan peristiwa pemanasan ketika era tersebut.

Laporan kajian itu turut diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.

Kawah tersebut ditemui di kawasan pedalaman pada 1979, namun ahli geologi tidak pernah menguji untuk mengetahui usia sebenarnya.

Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit.

Landskap itu sangat rata kerana usianya berbilion tahun, namun batuannya mempunyai ciri tersendiri, kata penyelidik, Profesor Chris Kirkland.

Menurutnya, mereka dapat mengira usia sebenar kawah tersebut berdasarkan kristal pada batu itu yang mengandungi sejumlah kecil uranium yang merosot pada kadar konsisten.

Ia berusia 200 juta tahun lebih tua berbanding impak struktur, Vredefort Dome di Afrika Selatan.

Menurut saintis, landskap Australia Barat adalah sangat usang dan mereka tidak pernah menjangkakan kawah tersebut berusia berbilion tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, May 08, 2020

Tradisi Pembunuhan Pewaris Takhta Empayar Uthmaniyyah Dihalalkan Atas Nama Kestabilan Awam

Tradisi Pembunuhan Pewaris Takhta Empayar Uthmaniyyah Dihalalkan Atas Nama Kestabilan Awam

Pada musim panas 1553, Suleiman Yang Agung, sultan ke-10 Empayar Uthmaniyyah mengarahkan tiga khadamnya yang bisu dan pekak untuk membunuh pewaris takhta iaitu putera kandungnya sendiri, Mustafa.

Sultan Suleiman
Sultan Suleiman.

Sultan Suleiman khuatir puteranya akan melancarkan pemberontakan dan menggulingkannya justeru, Mustafa harus dibunuh terlebih dahulu sebagai tindakan pencegahan.

Dalam undang-undang Empayar Uthmaniyyah ketika itu, membunuh saudara sedarah bukanlah suatu kesalahan.

Bapa membunuh anak, anak membunuh bapa, adik membunuh abang, abang membunuh adik, sepupu, bapa saudara, anak saudara dan saudara lelaki sedarah yang lainnya adalah tindakan yang absah.

Lebih kurang 150 tahun sebelum kejadian itu, telah terjadi perang saudara antara empat putera Sultan Bayezid I yang berebut untuk mewarisi takhta kekuasaan setelah beliau meninggal.

Perang saudara yang memakan korban puluhan ribu orang dan melemahkan kuasa empayar Uthmaniyyah itu hanya berakhir selepas kira-kira 10 tahun.

Pemenangnya, putera bongsu Bayezid I iaitu Mehmed I yang kemudiannya ditabalkan menjadi sultan.

Cucu beliau, Sultan Mehmed II yang dikenali sebagai Mehmed Yang Menakluk pada zaman pemerintahannya telah mengeluarkan suatu dekri undang-undang yang berbunyi:

"Sesiapa sahaja dari puteraku yang mewarisi takhta, dibenarkan untuk dia membunuh abang dan adik lelakinya, demi kestabilan dan kepentingan awam".

Sejarawan percaya 60 orang putera raja telah dibunuh sepanjang 600 tahun tempoh empayar Uthmaniah.

16 daripadanya kerana memberontak melawan sultan. Tujuh orang kerana percubaan memberontak dan selebihnya dibunuh 'demi kestabilan dan kepentingan awam'.

Kali terakhir pembunuhan saudara sedarah berlaku ialah apabila Sultan Mehmed III mewarisi takhta empayar Uthmaniyyah.

Mehmed III dikatakan membunuh 19 orang saudara kandungnya sendiri setelah beliau ditabalkan menjadi sultan.

Pembunuhan saudara sedarah untuk memastikan pemerintahan empayar Uthmaniyyah kuat, kukuh dan tidak diganggu-gugat "demi kestabilan dan kepentingan awam" berakhir apabila Sultan Ahmed I yang mewarisi takhta pada tahun 1603 bertindak untuk tidak membunuh saudara-saudara sedarahnya.

Menjadi putera raja empayar Uthmaniyyah adalah sesuatu yang malang, kerana kebanyakan mereka lahir dengan takdir untuk dibunuh, malah dengan cara pembunuhan yang tidak terbayangkan.

Dibunuh tanpa menumpahkan darah menggunakan sapu tangan sutera yang dicekup ke mulut atau dijerut ke leher sehingga mangsa putus nafas.

Suatu tradisi Turkic-Mongol yang mereka warisi di mana darah keturunan raja tidak boleh ditumpahkan ke bumi.

Malangnya, setelah itu secara perlahan-lahan empayar Uthmaniyyah sedikit demi sedikit mengalami kemerosotan.

Sebahagiannya kerana terjebak dalam perang antara pelbagai kumpulan putera-putera raja yang berebut untuk mewarisi takhta.

Kontroversi Pembunuhan Sehzade Mustafa Oleh Sultan Suleiman Al-Qanuni

Pembunuhan Sehzade Mustafa
Pembunuhan Sehzade Mustafa.

Keagungan dan keadilan Sultan Suleiman Al-Qanuni sentiasa diselubungi sejarah hitam iaitu kisah pembunuhan anaknya yang merupakan putera mahkota kerajaan Uthmaniyyah dan panglima tentera hebat yang dihormati oleh Tentera Elit Janisari bernama Mustafa.

Kisah ini sering dijadikan modal buat golongan orientalis untuk memburukkan Sultan Suleiman Al-Qanuni.

Kisah ini turut dilakonkan semula dalam drama the Magnificent Century yang dipaparkan dengan penuh emosi namun, harus diakui kisah ini benar-benar berlaku dalam sejarah empayar Uthmaniyyah.

Pada tahun 1550 M, usia Sultan Suleiman sudah semakin tua dan pada tahun 1552 M, Sultan Suleiman menderita penyakit yang sukar disembuhkan dan semakin parah pada beberapa tahun berikutnya.

Duta besar Hasburg bernama Busbecq menggambarkan bahawa, Sultan Suleiman menyembunyikan wajah pucatnya dengan lapisan bedak putih.

Dengan keadaanya yang semakin tenat, Sultan Suleiman mula mencurigai anak-anaknya yang dilihat memiliki cita-cita untuk menjatuhkannya.

Pada tahun 1553, Sultan Suleiman telah memimpin satu ekspedisi ke Iran bagi menghadapi Syiah Safawi.

Apabila berhenti di Eregli, baginda telah memanggil anaknya memasuki khemah, membunuhnya dengan mengarahkan orang yang dipercayai untuk membunuhnya sehingga Mustafa meninggal akibat dicekik.

Persoalan mengenai punca mengapa Sultan Suleiman membunuh anaknya Mustafa telah dibincangkan oleh ahli sejarah.

Namun, terdapat sepucuk surat yang tidak bertarikh dari Mustafa kepada ayah Pasha menunjukkan bahawa cita-citanya untuk merebut kerusi kesultanan.

Surat itu tertulis, "Syukur kehadapan Tuhan, wahai temanku di antara penuntut hak penerus kerajaan, kemampuan dan kapasiti yang ada padaku sangat tergantung padamu".

Colli Imber menyatakan bahawa populariti Mustafa dikalangan Janisari (tentera elit Uthmaniyyah) menyebabkan beliau mampu menjatuhkan dan memberontak terhadap Sultan Suleiman dengan mudah jika dia ingin melakukannya.

Sejarah mencatatkan bahawa hasil pemberontakan Janisarilah yang menyebabkan datuk Sultan Suleiman, iaitu Sultan Beyazid II terpaksa diturunkan takhta dan digantikan oleh bapanya Sultan Selim I.

Ahli sejarawan Ottoman sepakat menyatakan bahawa kematian Mustafa merupakan konspirasi antara isterinya Roxalena atau Hurrem, puterinya Mihrimah dan suaminya Grand Vizier (menteri) Rustem Pasha.

Hal ini kerana Mustafa adalah anak Mahidevran, manakala Roxalena menginginkan salah satu daripada anaknya yang menaiki takhta.

Rustem Pasha dilihat melaksanakan hasrat ibu mertuanya dengan licik apabila beliau telah memalsukan surat yang kononya Mustafa ingin bersekongkol dengan Syiah Safawi untuk menjatuhkan bapanya.

Sejarawan berbangsa Turki bernama Akgunduz menyatakan bahawa Mufti Uthmaniyah iaitu Ebu's Su'ud telah menfatwakan kehalalan darah Mustafa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2