Wednesday, September 27, 2017

Sambutan Gema Seni Tradisional Malaysia

Sambutan Gema Seni Tradisional Malaysia

Dalam usaha memelihara kesenian tradisional di Malaysia, Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), di bawah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) telah memperkenalkan program Gema Seni Tradisional.

Gema Seni Tradisional

Menerusi acara tahunan yang mula diperkenalkan sejak 2015 ini, program bersifat apresiasi ini cuba mendekatkan khalayak khususnya generasi muda kini agar terus mengenal dan menghargai keindahan seni budaya warisan bangsa.

Antara kesenian yang pernah diketengahkan adalah Makyung dari Pasir Mas, Wayang Kulit dari Dalang Cina, Caklempong, Dikit Barat, Gamelan, Seni Bertabik, Ghazal, Dondang Sayang dan Keroncong.

Gema Seni Tradisional tampil untuk mengajak penonton menghayati keindahan lagu Irama Melayu Asli menerusi Citra Seni dan Malam Kemala Irama.

Usaha untuk mengajak generasi muda menghargai kesenian tradisional, perlu diadakan secara berterusan dari masa ke semasa.

Penganjuran program seperti ini sangat bermanfaat kepada masyarakat terutamanya kepada generasi kini yang mungkin tidak kenal kesenian warisan kita.

Melalui usaha ini, kesenian tradisional ini akan terus dipelihara malah diwarisi oleh generasi baru untuk dipertahankan pada masa depan.

Biarlah usaha ini turut mendapat perhatian pihak stesen TV dan radio untuk memberikan ruang kepada program-program sebegini agar ia dapat disebar luaskan kepada semua peringkat masyarakat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Tuesday, September 26, 2017

Sambutan Bulan Kebajikan Negara (Malaysia)

Sambutan Bulan Kebajikan Negara (Malaysia)

Bulan Kebajikan Negara disambut pada 10 September hingga 1 Oktober sebagai mengiktiraf sumbangan diberikan kepada kumpulan sasar yang memerlukan oleh pelbagai pihak.

Bulan Kebajikan

Program sambutan Bulan Kebajikan Negara merupakan platform kolaborasi strategik dan manifestasi kerjasama multisektoral antara kementerian, agensi kerajaan, NGO dan syarikat korporat untuk kesejahteraan kumpulan sasar yang berada di bawah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).

Program tersebut sangat bertepatan dengan lima teras utama JKM iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian.

Sambutan Bulan Kebajikan Negara diharap akan memberi rangsangan kepada kumpulan sasar untuk memperkasa jati diri bagi tujuan pembangunan modal insan yang mampan dan kapasiti menyeluruh penglibatan semua agensi kerajaan, swasta dan NGO.

Antara program dirancang sempena sambutan ini ialah pameran dan jualan produk OKU dan warga emas, program Ziarah Kasih, Kempen Sahabat B.I.J.A.K Self and Protect, kempen pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), penyampaian bantuan alat tiruan dan penyampaian anugerah bagi menghargai pencapaian serta sumbangan kumpulan sasar yang dikenal pasti.

JKM turut memperkenalkan aplikasi yang dibangunkan secara mudah alih bagi memudahkan penyampaian dan semakan maklumat mengenai perkhidmatan JKM.

Aplikasi itu akan dibangunkan secara berfasa dan dilengkapi dengan kemudahan carian, navigasi, perkongsian, paparan gambar dan berhubung melalui panggilan terus atau emel.

Bagi fasa pertama, aplikasi dibangunkan ialah Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan yang menerima geran dan status pusat jagaan, manakala fasa kedua melibatkan Taska dan Program 2 Years Exit (2 YEP).

Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui aplikasi Android bagi fasa pertama dan akan ditambah baik secara berterusan.

Menururt laporan, ramai orang menggunakan nama rumah kebajikan untuk meminta derma di kedai makan dan perkara ini sangat mengganggu.

Jadi, dengan adanya aplikasi ini, anda boleh membuka dan memeriksa sama ada rumah kebajikan yang disebutkan itu berdaftar dengan kementerian atau tidak.

Kalau berdaftar, kerajaan sudah pun memberi bantuan kewangan berbentuk geran bagi tempoh setahun.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

Tuesday, September 19, 2017

Sambutan Maal Hijrah Awal Muharam

Sambutan Maal Hijrah Awal Muharam

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Muharam

Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah, Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Di Malaysia, hari tersebut merupakan hari keagamaan bagi umat Islam dengan mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negara.

Sambutan Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.

Kalender Hijrah secara rasmi belum bermula ketika zaman Rasulullah SAW.

Kalendar ini hanya bermula pada zaman Khalifah Arrasyidin kedua iaitu Saidina Umar al-Faruq r.a.

Terdapat beberapa cadangan daripada para sahabat untuk penetapan tarikh bagi Madinah ketika itu.

Ada yang mencadangkan tahun Islam bermula ketika kelahiran Nabi Muhammad SAW, ada yang mencadangkan permulaan tarikh Islam ditetapkan pada hari Rasulullah dibangkitkan sebagai nabi dan rasul tetapi pandangan yang mencadangkan permulaan tarikh Islam pada tarikh hijrah Nabi S.A.W.

Penetapan ini ialah untuk mengenang betapa pentingnya tarikh hijrah yang menjadi anjakan paradigma dalam sejarah agama Islam yang mana pertama kali dalam sejarah Islam seorang nabi dan rasul membentuk sebuah kerajaan.

Hijrah dengan segala kesukaran dan berjaya membuat hubungan diplomatik dengan beberapa negara serta menyampaikan dakwah Islam secara global sehingga Islam tersebar ke serata dunia.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Tuesday, September 12, 2017

Sambutan Hari UNESCO Malaysia

Sambutan Hari UNESCO Malaysia

Pada tahun 2011, Malaysia me­lalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah memperkenalkan sambutan Hari UNESCO Malaysia sebagai memperingati penubuhan organisasi tersebut pada 1946 dan juga penyertaan Malaysia sebagai ahli pada 1958.

Hari UNESCO Malaysia

Asas mengadakan sambutan Hari UNESCO Malaysia pada mulanya adalah untuk menghebahkan peranan SKUM yang dibentuk pada 1966 bagi mengukuhkan kerjasama Malaysia dalam UNESCO untuk sektor pendidikan, saintifik dan kebudayaan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah satu pertubuhan yang berteraskan pembangunan mampan untuk kebaikan sejagat dan secara dasarnya tidak membezakan ideologi politik di kalangan negara ahli.

Tetapi begitu malang sekali se­perti mana agensi PBB yang lain, UNESCO kebelakangan ini telah dipergunakan sebagai medan dan senjata geopolitik demi mencapai agenda sesebuah negara.

Apabila agenda politik menjadi faktor pendorong maka hasrat dan objektif murni UNESCO lazimnya akan menjadi mangsa.

Tetapi setelah beberapa tahun sambutan Hari UNESCO Malaysia telah melalui beberapa fasa perubahan sejajar dengan keadaan geopolitik semasa.

Umpamanya sambutan pada 2012 menggunakan tema Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari sementara sambutan 2014 pula dengan tema Warisan Kita, Warisan Dunia.

Selain menganjurkan pelbagai bentuk program yang berunsurkan kesenian, kebudayaan dan warisan antara lain bertujuan memupuk sikap menghormati nilai sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda, tema tersebut juga adalah isyarat tersirat Kuala Lumpur kepada maksud sebenar Kebersamaan dalam kerangka UNESCO.

Sambutan Hari UNESCO Malaysia menekankan kepada rentetan sejarah Malaysia dan dikaitkan pula dengan objektif UNESCO iaitu untuk memastikan pembangunan yang mampan, membasmi kemiskinan serta memelihara keamanan.

Perjalanan sejarah Malaysia yang bermula dari kemerdekaan pada 1957 sehingga kini sebenarnya banyak yang boleh dipelajari oleh berbagai agensi PBB terutama sekali UNESCO.

Rakyat Malaysia terdiri dari berbagai bangsa, kaum dan kebudayaan seperti mana UNESCO yang mempunyai 195 negara ahli dari berbagai latar belakang bermula dari Afghanistan dan Bhutan sehinggalah kepada negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Kestabilan dan kemakmuran yang di nikmati selama ini oleh Malaysia walaupun menghadapi berbagai kekangan melalui kepelbagaian latar belakang rakyat boleh dijadikan iktibar kepada UNESCO dan bakal dijadikan landasan mencapai matlamat tersebut.

Semua program sambutan yang telah disediakan mengambil kira pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang mementingkan aspek kemanusiaan bagi setiap dasar yang digubal.

Apabila UNESCO menerima negara Palestin sebagai ahli yang ke 195 pada 2011, AS dan beberapa sekutunya telah membuat bantahan dengan menggunakan pelbagai alasan yang pada asasnya dapat dinilai penglibatan Palestin dalam pertubuhan tersebut mampu mengancam sebuah negara ahli yang lain iaitu Israel. Akibatnya adalah AS dan Israel telah menghentikan bayaran yuran tahunan kepada UNESCO sebagai bantahan penyertaan Palestin.

Paling perit kesannya adalah bayaran dari AS yang berjumlah AS$80 juta setahun merangkumi hampir satu per empat dari jumlah bajet tahunan pertubuhan tersebut.

Banyak program dan inisia­tif terpaksa dibatalkan kerana kekurangan peruntukan. Paling ketara adalah banyak program 2014 sama ada terpaksa dibatalkan atau dikurangkan kerana bajet UNESCO kekurangan sebanyak AS$150 juta.

Begitu ironis sekali kerana AS salah sebuah negara pengasas penubuhan UNESCO yang antara lain mengesyorkan matlamat menghindar tindakan ekstrim sebagai asas penubuhan tetapi sebaliknya telah mengambil tindakan melam­pau hanya kerana bercanggah ke­pentingan politik mereka.

Begitu murni sekali objektif anti-ekstrim ini kerana untuk menjayakan berbagai inisiatif UNESCO dasar luar sesebuah negara perlu di elakkan dari dipengaruhi oleh sikap yang melampau.

Isu keahlian negara Palestin juga menterjemahkan UNESCO masih dibelenggu oleh sifat berpuak da­lam kalangan negara ahli.

Dari pengundian 58 negara ahli yang mewakili lembaga pertubuhan ter­sebut, hanya 40 negara menerima Palestin sebagai ahli sementara masing-masing 14 dan 4 negara yang berkecuali dan menentang usul tersebut.

Harapannya adalah Hari UNES­CO Malaysia mampu memberi isyarat bahawa UNESCO perlu berbalik kepada hasrat asal penubuhan dan mengetepikan se­gala perbezaan ideologi politik demi kejayaan setiap program yang dirancangkan.

Kuala Lumpur boleh menggunakan Hari UNESCO Malaysia sebagai landasan mempromosi sifat kesederhanaan dalam UNESCO kerana itulah amalan Malaysia selama ini.

Selamat menyambut Hari UNSECO.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Patriot

sumber: utusan

Saturday, August 12, 2017

Sambutan Festival Tari Malaysia

Sambutan Festival Tari Malaysia

Festival Tari Malaysia telah mula disambut sejak tahun 1992 dan dilaksanakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan tujuan festival adalah bagi memantapkan lagi kumpulan-kumpulan kesenian di peringkat negeri selaras dengan perkembangan pesat di negara ini.

Festival Tari Malaysia

Selain itu festival tari ini diharap dapat menjadikan kesenian sebagai satu pengisian kepada industri pelancongan negara.

Beberapa kategori dipertandingkan sempena festival tari tersebut.

Antaranya Anugerah Kostum Terbaik tarian kontemporari, Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Kontemporari dan Anugerah Susunan Muzik Terbaik Tarian Rampaian Tradisional.

Penyertaan Festival Tari Malaysia ini dibuka kepada mereka yang berumur 16 hingga 35 tahun.

Keutamaan adalah kumpulan baharu untuk menampilkan bakat masing-masing dengan penyertaan setiap pasukan tidak melebihi 15 orang

Kumpulan yang ingin bertanding perlu menyediakan sinopsis mengenai sejarah penubuhan kumpulan, pereka tari, pemuzik, konsep serta tema tarian.

Pertandingan semasa Festival Tari Malaysia menawarkan hadiah wang tunai, sijil penyertaan dan trofi.

Masuk adalah percuma dan borang penyertaan boleh didapati di pejabat atau laman web JKKN.

Medan serlah bakat seni tari

Tarian tradisi mahupun etnik melambangkan warisan bangsa dan identiti sesebuah negara. Rutin dalam gerak tarinya dipersembahkan bukan kosong, tetapi ada isinya iaitu menceritakan sifat majmuk masyarakat, cara hidup sesebuah kaum termasuk pakaian, makanan, adat resam dan seni.

Atas sebab ini pentingnya tarian tradisi ini terus dipelihara.

Ia juga mendorong Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menganjurkan Festival Tari Malaysia.

Mengikuti peredaran semasa tiada salahnya asal tidak meminggirkan seni tradisi yang menjadi lambang jati masyarakat. Memeliharanya inilah antara usaha giat dijalankan JKKN.
JKKN sentiasa mencari inisiatif untuk memberi nilai tambah, pembaharuan ke arah transformasi dan menjadi pemangkin kepada perkembangan seni budaya tanah air dalam mengiktiraf karyawan seni budaya tempatan dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan karya bermutu dan dihayati bersama.

Festival Tari Malaysia membawa satu kelainan dengan memberi peluang kepada generasi muda untuk menyerlahkan bakat bukan saja dalam bidang tradisional seperti kelazimannya, malah memberi peluang untuk mendedahkan bakat dalam genre tarian moden seperti street dance, hip hop, ballet, kontemporari, jazz, line dance, tap, bally, lyrical dance dan banyak lagi genre tari moden lain yang bersesuaian.

Setiap kumpulan akan bersaing dengan lapan daripadanya adalah kategori tradisional manakala selebihnya kategori moden.

Acara Festival Tari Malaysia ini terbuka kepada orang ramai dan mereka dijemput hadir untuk menyaksikan FESTARI kerana tiada bayaran dikenakan.
 
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Tarian Tradisional Masyarakat Majmuk Di Malaysia

sumber: jkkn

Friday, August 11, 2017

Sambutan Hari Koperasi Negara

Sambutan Hari Koperasi Negara

Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Hari Koperasi

Hari Koperasi Negara disambut pada Ogos setiap tahun sebagai pengiktirafan kerajaan kepada gerakan koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi negara.

Gerakan koperasi telah mula diperkenalkan di negara ini pada tahun 1922 dan kini ia telah berkembang dengan pesatnya.

Tujuan Hari Koperasi Negara diadakan ialah untuk menjelaskan aktiviti, peranan dan hala tuju gerakan koperasi serta menghebahkan kepada masyarakat umum bahawa koperasi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dari segi ekonomi dan sosial.

Objektif Hari Koperasi Negara

Objektif sambutan Hari Koperasi Negara adalah untuk:
  • Mewujudkan semangat kerjasama di kalangan koperasi-koperasi.
  • Memberi penghargaan kepada koperasi-koperasi di atas sumbangan yang telah diberikan terhadap gerakan koperasi.
  • Menilai pencapaian gerakan koperasi di dalam bidang ekonomi dan sosial selaras dengan konsep, prinsip dan falsafah koperasi.
  • Mendapatkan idea-idea baru dalam usaha memperkukuhkan pengurusan, pentadiran dan perniagaan koperasi selaras dengan Dasar Koperasi Negara.

8 Fungsi dan Aktiviti Koperasi

1. Fungsi Kewangan & Perbankan

Koperasi dengan fungsi kewangan dan perbankan telah mempelopori perkembangan gerakan koperasi sejak tahun 1920an.

Koperasi fungsi ini menjalankan aktiviti kewangan iaitu menyediakan pinjaman kepada anggota pada kadar faedah yang berpatutan.

Aktiviti lain di bawah fungsi ini ialah pajak gadai secara islam (Ar-Rahnu), pelaburan dan perkhidmatan insuran.

Anggota-anggotanya adalah terdiri daripada mereka yang bergaji tetap terutamanya di sektor awam, badan berkanun dan swasta.

Pada masa ini 2 buah koperasi yang khusus menjalankan fungsi perbankan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad.

2. Fungsi Perumahan

Tumpuan koperasi jenis ini ialah menjalankan projek-projek perumahan untuk anggota-anggotanya.

Kebanyakan projek bertumpu kepada rumah berkos rendah dan sederhana.

Harga jualan rumah-rumah ini adalah di dalam lingkungan keupayaan anggota dan pada umumnya sekitar 20% hingga 30% lebih rendah daripada harga yang lazimnya ditawarkan di pasaran.

3. Fungsi Pengguna

Tujuan utama koperasi fungsi pengguna adalah untuk membantu anggota-anggotanya mendapatkan barangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.

Di antara aktiviti yang dijalankan oleh koperasi ini adalah seperti pasar mini, pasaraya, kedai runcit, stesen minyak, kedai alatan rumah dan lain-lain.

Koperasi fungsi pengguna di peringkat sekolah pula diperkenalkan dengan tujuan untuk menanam sifat berjimat-cermat dan memupuk asas keusahawanan di kalangan pelajar.

Di antara aktiviti utama yang dijalankan ialah mengusahakan kantin sekolah, kedai buku, kedai dobi dan kelas komputer.

4. Fungsi Pengangkutan

Sebahagian besar koperasi fungsi pengangkutan adalah terdiri daripada koperasi di rancangan pembangunan tanah seperti FELDA, RISDA dan FELCRA yang menjalankan aktiviti mengangkut hasil pertanian ke kilang pemprosesan.

Selain daripada koperasi peserta rancangan, koperasi lain yang menjalankan fungsi pengangkutan adalah seperti koperasi pengusaha teksi, pengusaha bas dan lori.

5. Fungsi Peladangan

Koperasi yang didaftarkan di bawah fungsi peladangan menjalankan aktiviti pembangunan dan pengurusan tanah pertanian.

Di antara tanaman utama yang diusahakan oleh koperasi-koperasi ini ialah getah, kelapa sawit, nanas, koko dan sayur-sayuran.

6. Fungsi Perindustrian

Sebahagian besar koperasi fungsi perindustrian adalah terdiri daripada koperasi-koperasi yang menjalankan kegiatan industri kecil yang lebih dikenali sebagai Koperasi Industri Kampung (KIK).

KIK ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber-sumber untuk mengeluar, memasar dan menghasilkan barangan daripada hasil anyaman, barangan hiasan tembikar dan perak dan barangan perabot.

7. Fungsi Pembinaan

Koperasi fungsi pembinaan menjalankan aktiviti-aktiviti berkaitan kerja pembinaan infrastruktur seperti pembinaan jambatan kecil, jalan-jalan dan kerja penyelenggaraan umum.

Di antara koperasi-koperasi yang terlibat dengan kegiatan pembinaan ialah Koperasi Pembangunan Daerah (KPD), koperasi di rancangan FELDA, FELCRA dan RISDA.

8. Fungsi Perkhidmatan

Koperasi fungsi perkhidmatan merupakan koperasi-koperasi yang di dalam aktiviti dan kegiatan selain daripada yang berkaitan dengan fungsi kewangan, pengguna, perladangan, pengangkutan, perindustrian, pembinaan dan perumahan.

Di antara perkhidmatan yang dijalankan oleh koperasi-koperasi ini ialah pengurusan dana, penyelenggaraan bangunan dan kawasan perumahan, sewaan bangunan/lot-lot gerai, pusat asuhan kanak-kanak, kelas komputer, pusat pembayaran bil dan seumpamanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: skm

Wednesday, August 09, 2017

Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

Tanggal 31 Ogos 2017 ini bakal menyaksikan acara kemuncak World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini.

World #QuranHour 2017

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah, Marhaini Yusoff berkata, sambutan World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H jatuh pada tarikh yang sama di mana negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.

Menurutnya, pengisian sepanjang hari tersebut bermula dengan World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana pada jam 11 pagi.

“Pada masa sama, kempen berinteraksi dengan al-Quran di 14 negeri. Majlis pelancaran World #QuranHour bertemakan Dunia Berbudi & Penyayang bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah.

“Pada tahun lepas, 70 lokasi di 50 negara dan 700 lokasi dalam negara telah berdaftar untuk menganjurkan satu jam bersama al-Quran kali pertama.

“Saya berharap lebih ramai khususnya rakyat luar negara melalui pejabat kedutaan dan Kementerian Pendidikan menyertai aktiviti bersama al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, selepas program World #QuranHour di UIAM, tumpuan rakyat kepada Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka.

Menurutnya, aktiviti bermula dengan program Gema Wahyu bermula pada jam 4 petang.

Katanya, antara pengisian program adalah solat Asar berjemaah, bacaan al-Quran daripada qari dalam dan luar negara, selebriti, solidariti bacaan, sesi tadabbur dan tazakkur dan doa untuk Malaysia.

Selepas itu, kata Marhaini, acara diteruskan dengan gema takbir selepas solat Maghrib, jemaah akan bertakbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Bagi masyarakat Muslim yang tidak pulang ke kampung untuk beraya, rebutlah peluang berkumpul, bersolat jemaah dan bertakbir di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti. Semoga ia memberi semangat untuk kembali kepada ALLAH dan menuju kemerdekaan sebenar.

“Orang ramai termasuk mereka yang bukan Islam dan warga asing di sekitar ibu kota dialu-alukan menyertai Merdeka #Quran Hour jam 8.30 malam.

“Merdeka #QuranHour sangat istimewa kerana kali pertama diadakan dalam suasana sambutan Hari Merdeka. Pengisian tadabbur dan tazakkur daripada surah Yasin yang dikaitkan menuju kemerdekaan diri diharapkan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, surah Yasin menekankan hubungan vertikal dengan ALLAH dan horizontal sesama makhluk dan ada tiga aspek iaitu memperbaiki hubungan dengan ALLAH, sesama manusia atau makhluk, dan seluruh alam.

“Surah Yasin tidak asing bagi masyarakat Islam di negara ini. Ramai yang boleh membaca malah ada yang boleh menghafal. Namun hanya segelintir yang tahu makna dan pengajarannya untuk dijadikan panduan kehidupan.

“Sempena World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, surah Yasin dijadikan pilihan untuk kita lebih memahami isi kandungannya yang boleh dipelajari, difahami dan diamalkan. Seterusnya ia mampu membentuk karakter individu berakhlak mulia dan mempunyai kerangka fikir al-Quran.

“Saya berharap kepada sesiapa yang menganjurkan World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour untuk turut sama bertadabbur dan bertazakkur surah Yasin,” katanya.

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff.

Menurut Marhaini lagi, di akhir program ada jamuan sempena malam raya bagi meraikan peserta yang hadir untuk berkongsi makanan dalam semangat kasih sayang. Ini kerana makanan dan minuman disediakan adalah sumbangan masyarakat yang berbudi dan penyayang.

Selain itu katanya, bagi agensi kerajaan, korporat, individu yang ingin melaksanakan sikap berbudi penyayang melalui sumbangan makanan dan minuman untuk jamuan itu boleh terus menghubungi 019-6500763 (Rusmin) dan 013-6826335 (Maslinda).

“Berdasarkan pengukuran kesan di media sosial tahun lepas, kita mencapai 87 juta 'impression'.

"Tapi lebih penting adalah kualiti umat yang ingin kita lahirkan apabila mula berinteraksi dengan al-Quran.

“Setakat ini kita nampak hasil daripada gelombang World #QuranHour tahun lepas semakin besar.

"Contohnya, di peringkat negeri, Melaka menjalankan Melaka #QuranHour setiap bulan. Ternyata kita melihat program al-Quran berkembang secara organik di masjid, organisasi mahupun di rumah," katanya.

Marhaini berkata, hasil tindakan daripada baca, faham dan amal al-Quran, Rumah Ngaji Johor telah mengambil langkah untuk mewujudkan Fisabilillah Bakers. Seramai 100 sukarelawan belajar membuat roti dan menyumbangkannya kepada sahabat jalanan.

“Inilah semangat yang ingin kita ambil, daripada nilai cakna yang terdapat dalam al-Quran. Orang yang berinteraksi dengan al-Quran, akan dapat dilihat dari segi perubahan karakter dan tindakan mereka.

“Komuniti al-Quran juga sentiasa menjalinkan hubungan dan bergerak untuk berkongsi ilmu di peringkat negeri dalam luar negara. Kini perhubungan berlandaskan al-Quran turut terjalin hingga ke luar negara seperti China, Hungary, Bosnia, Croatia, dan Turki.

“Selepas World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, impak terhadap diri kita agar terus menunduk hati masing-masing dengan keagungan ALLAH SWT. Seterusnya dapat memperkukuhkan diri dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi menjadi warganegara berkarakter dengan kerangka fikir al-Quran,” katanya.

BACA INI JUGA: Sambutan 'World Quran Hour' Membaca Al-Qur'an Serentak Diseluruh Dunia

sumber: sinarharian

Monday, July 31, 2017

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Sambutan Hari Pahlawan, Upacara Menghormati Pengorbanan Pahlawan Negara

Setiap kali tanggal 31 Julai, Sambutan Hari Pahlawan disambut bagi mensyukuri keamanan yang dikecapi negara sehingga membolehkan pembangunan berjalan tanpa sebarang ancaman daripada anasir-anasir tidak bertanggungjawab yang ingin menghuru-harakan kemakmurannya.

Sambutan Hari Pahlawan

Negara merakamkan sejarah keramat setiap kali 31 Julai yang menjadi tradisi bagi menyambut Hari Pahlawan selaras dengan tamatnya darurat menentang pengganas komunis pada Julai tahun 1960 lalu.

Upacara menghormati pengorbanan dan jasa kepahlawanan negara ini telah menjadi azimat kekuatan kepada bangsa untuk bangkit sejak tahun 1963 lagi.

Sambutan itu bertujuan untuk memperingati jasa dan pengorbanan perajurit yang terkorban dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Simboliknya pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti.

Oleh itu, Hari Pahlawan boleh diertikan dengan hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Pahlawan negara seharusnya menjadi sejarah yang sentiasa dikenang kerana telah mencipta ketamadunan negara sekali gus menjadi bangsa tuan kepada bumi bertuah ini.

Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.

Semasa pemerintahan British, Hari Pahlawan dikenali sebagai Poppy Day sempena nama bunga Poppy.

Konvensyen Geneva pada tahun 1945 secara ringkas menggariskan larangan membunuh atau menyerang tentera yang cedera, tidak sedarkan diri dan telah meletakkan senjata atau tidak berupaya untuk berperang.

Mengambil semangat daripada pengiktirafan ini, selepas tamatnya Perang Dunia Kedua yang dikenang di seluruh dunia menjadikan tarikh itu telah ditetapkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk memperingati jasa perajurit angkatan tentera dan polis yang terlibat secara langsung dalam kemelut perebutan dengan beberapa pihak berkepentingan dan berlarutan selama bertahun-tahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Sudah menjadi tradisi setiap tahun tarikh 31 Julai merupakan tarikh sambutan Hari Pahlawan sama ada di peringkat kebangsaan mahu pun negeri bagi mengenang jasa pahlawan negara.

Selamat menyambut hari pahlawan.

BACA INI JUGA: Bagaimana Komando Malaysia Dilatih!?

sumber: utusan