Tuesday, September 12, 2017

Sambutan Hari UNESCO Malaysia


Pada tahun 2011, Malaysia me­lalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) telah memperkenalkan sambutan Hari UNESCO Malaysia sebagai memperingati penubuhan organisasi tersebut pada 1946 dan juga penyertaan Malaysia sebagai ahli pada 1958.

Hari UNESCO Malaysia

Asas mengadakan sambutan Hari UNESCO Malaysia pada mulanya adalah untuk menghebahkan peranan SKUM yang dibentuk pada 1966 bagi mengukuhkan kerjasama Malaysia dalam UNESCO untuk sektor pendidikan, saintifik dan kebudayaan.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) adalah satu pertubuhan yang berteraskan pembangunan mampan untuk kebaikan sejagat dan secara dasarnya tidak membezakan ideologi politik di kalangan negara ahli.

Tetapi begitu malang sekali se­perti mana agensi PBB yang lain, UNESCO kebelakangan ini telah dipergunakan sebagai medan dan senjata geopolitik demi mencapai agenda sesebuah negara.

Apabila agenda politik menjadi faktor pendorong maka hasrat dan objektif murni UNESCO lazimnya akan menjadi mangsa.

Tetapi setelah beberapa tahun sambutan Hari UNESCO Malaysia telah melalui beberapa fasa perubahan sejajar dengan keadaan geopolitik semasa.

Umpamanya sambutan pada 2012 menggunakan tema Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari sementara sambutan 2014 pula dengan tema Warisan Kita, Warisan Dunia.

Selain menganjurkan pelbagai bentuk program yang berunsurkan kesenian, kebudayaan dan warisan antara lain bertujuan memupuk sikap menghormati nilai sejarah khususnya dalam kalangan generasi muda, tema tersebut juga adalah isyarat tersirat Kuala Lumpur kepada maksud sebenar Kebersamaan dalam kerangka UNESCO.

Sambutan Hari UNESCO Malaysia menekankan kepada rentetan sejarah Malaysia dan dikaitkan pula dengan objektif UNESCO iaitu untuk memastikan pembangunan yang mampan, membasmi kemiskinan serta memelihara keamanan.

Perjalanan sejarah Malaysia yang bermula dari kemerdekaan pada 1957 sehingga kini sebenarnya banyak yang boleh dipelajari oleh berbagai agensi PBB terutama sekali UNESCO.

Rakyat Malaysia terdiri dari berbagai bangsa, kaum dan kebudayaan seperti mana UNESCO yang mempunyai 195 negara ahli dari berbagai latar belakang bermula dari Afghanistan dan Bhutan sehinggalah kepada negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Kestabilan dan kemakmuran yang di nikmati selama ini oleh Malaysia walaupun menghadapi berbagai kekangan melalui kepelbagaian latar belakang rakyat boleh dijadikan iktibar kepada UNESCO dan bakal dijadikan landasan mencapai matlamat tersebut.

Semua program sambutan yang telah disediakan mengambil kira pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara yang mementingkan aspek kemanusiaan bagi setiap dasar yang digubal.

Apabila UNESCO menerima negara Palestin sebagai ahli yang ke 195 pada 2011, AS dan beberapa sekutunya telah membuat bantahan dengan menggunakan pelbagai alasan yang pada asasnya dapat dinilai penglibatan Palestin dalam pertubuhan tersebut mampu mengancam sebuah negara ahli yang lain iaitu Israel. Akibatnya adalah AS dan Israel telah menghentikan bayaran yuran tahunan kepada UNESCO sebagai bantahan penyertaan Palestin.

Paling perit kesannya adalah bayaran dari AS yang berjumlah AS$80 juta setahun merangkumi hampir satu per empat dari jumlah bajet tahunan pertubuhan tersebut.

Banyak program dan inisia­tif terpaksa dibatalkan kerana kekurangan peruntukan. Paling ketara adalah banyak program 2014 sama ada terpaksa dibatalkan atau dikurangkan kerana bajet UNESCO kekurangan sebanyak AS$150 juta.

Begitu ironis sekali kerana AS salah sebuah negara pengasas penubuhan UNESCO yang antara lain mengesyorkan matlamat menghindar tindakan ekstrim sebagai asas penubuhan tetapi sebaliknya telah mengambil tindakan melam­pau hanya kerana bercanggah ke­pentingan politik mereka.

Begitu murni sekali objektif anti-ekstrim ini kerana untuk menjayakan berbagai inisiatif UNESCO dasar luar sesebuah negara perlu di elakkan dari dipengaruhi oleh sikap yang melampau.

Isu keahlian negara Palestin juga menterjemahkan UNESCO masih dibelenggu oleh sifat berpuak da­lam kalangan negara ahli.

Dari pengundian 58 negara ahli yang mewakili lembaga pertubuhan ter­sebut, hanya 40 negara menerima Palestin sebagai ahli sementara masing-masing 14 dan 4 negara yang berkecuali dan menentang usul tersebut.

Harapannya adalah Hari UNES­CO Malaysia mampu memberi isyarat bahawa UNESCO perlu berbalik kepada hasrat asal penubuhan dan mengetepikan se­gala perbezaan ideologi politik demi kejayaan setiap program yang dirancangkan.

Kuala Lumpur boleh menggunakan Hari UNESCO Malaysia sebagai landasan mempromosi sifat kesederhanaan dalam UNESCO kerana itulah amalan Malaysia selama ini.

Selamat menyambut Hari UNSECO.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Patriot

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon