Thursday, June 01, 2017

Sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, International Children's Day

Sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, International Children's Day

Sambutan Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, International Children's Day disambut pada 1 Jun setiap tahun bagi memperingati dan memberi kesedaran kepada semua mengenai kanak-kanak di seluruh dunia yang telah meninggal dunia akibat keganasan akibat penderaan, peperangan, eksploitasi dan diskriminasi.

International Children's Day

Penganiayaan terhadap kanak-kanak sememangnya berlaku di seluruh dunia, dieksploitasi sebagai buruh di sesetengah negara dan ramai kanak-kanak yang tidak berdosa ini hidup menderita terhimpit dalam konflik peperangan di negara-negara bergolak.

Penculikan, penyiksaan dan pembunuhan kanak-kanak juga berlaku dan lebih menyedihkan lagi apabila serangan dilakukan ke atas sekolah-sekolah dan hospital-hospital yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan terbaik untuk mereka.

Keadaan ini menyebabkan kanak-kanak tidak dapat menikmati kehidupan yang sempurna, makanan yang seimbang, pendidikan yang teratur, kemudahan pembelajaran yang terbaik dan sebagainya.

Realiti yang sedang berlaku ke atas kanak-kanak di seluruh dunia terutamanya di negara-negara yang sedang mengalami peperangan sudah pasti meninggalkan kesan yang sangat mendalam di dalam jiwa mereka seperti trauma fizikal dan kesan psikologi.

Sehubungan dengan itu, sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Antarabangsa:

1. Masyarakat perlu sentiasa peduli dan terus membantu pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan dan pihak sukarela yang menguruskan dan memberi perlindungan kepada kanak-kanak setempat mahupun kanak-kanak di seluruh dunia seperti rumah-rumah perlindungan, rumah anak-anak yatim dan kem-kem pelarian melalui bantuan tenaga dan juga kewangan.

2. Masyarakat setempat perlu lebih prihatin dan peduli dengan situasi-situasi yang mengancam keselamatan kanak-kanak yang berada di sekitar tempat tinggal mereka serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa seperti pasukan keselamatan sekiranya berhadapan dengan keadaan yang mencurigakan.

3. Ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa mengambil berat dan memantau keselamatan kanak-kanak serta menekankan aspek keselamatan diri ini sedari kecil lagi.

4. Media massa juga mempunyai peranan penting dalam menyampaikan mesej perlindungan keselamatan kepada semua lapisan masyarakat. Pada masa yang sama, unsur-unsur negatif seperti keganasan serta bahan lucah dan seksual perlu di sekat sepenuhnya kerana ia boleh mempengaruhi minda dan nafsu yang menjadi faktor penyumbang kepada berlakunya jenayah.

5. Badan-badan bukan kerajaan perlu memperhebatkan usaha-usaha memberi kesedaran dan kemahiran mengenai perlindungan kanak-kanak kepada pelbagai golongan masyarakat melalui pelbagai bentuk program seperti ceramah, kempen kesedaran, bengkel dan latihan-latihan keselamatan.

6. Pihak kerajaan serta pihak bertanggungjawab perlu meningkatkan usaha bagi membenteras kegiatan-kegiatan yang tidak diingini daripada terus berleluasa dalam masyarakat. Rondaan-rondaan pihak polis sudah tentu dapat membantu orang ramai dan mengurangkan kes-kes jenayah yang berlaku.

7. Semua bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak hendaklah dihentikan serta-merta dan usaha-usaha penjagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak perlu dilaksanakan dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab oleh seluruh anggota masyarakat.

Semua pihak diajak supaya bersama-sama berusaha membina masa depan yang terbaik untuk kanak-kanak Malaysia dan seluruh dunia kerana mereka adalah harapan dan masa depan.

Selamat menyambut Hari Kanak-Kanak Antarabangsa.

BACA INI JUGA: Sambutan Hari Kehilangan Kanak-Kanak Antarabangsa, International Missing Children's Day

sumber: ikram