Wednesday, February 12, 2020

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Percaya atau tidak, seekor anjing peliharaan telah menyelamatkan pemiliknya daripada berkunjung ke bandar Wuhan yang merupakan pusat tercetusnya wabak maut, novel koronavirus (2019 n-CoV). Pastinya tertimbul persoalan, bagaimana anjing peliharaan yang diberikan nama Kimi itu berbuat demikian?

Kimi Dog

Kimi dikatakan telah mengoyakkan pasport pemiliknya, seorang wanita yang berasal dari Taiwan.

Pada awalnya, wanita tersebut berasa sungguh marah kerana anjingnya bertindak menggigit dan mengoyakkan pasportnya sehingga menyebabkannya terpaksa membatalkan hasratnya melawat bandar di Hubei itu.

Beliau meluahkan perasannya menerusi satu entri di laman Facebook pada 13 Januari 2020 yang lalu, ia sebelum menularnya berita mengenai wabak koronovirus itu.

Beberapa hari kemudian, wanita tersebut terkejut dengan berita penyebaran wabak koronavirus yang telah meragut ratusan nyawa dan berasa bersyukur dengan perbuatan Kimi.

"Masihkah anda ingat akan pasport saya? Anjing telah melindungi saya.

"Selepas mengoyakkan pasport, virus tersebut telah merebak ke tempat yang saya ingin pergi.

"Apabila difikir kembali, saya berasa sungguh terharu. Nasib baik anjing saya membatalkan kunjungan saya ke situ," katanya menerusi satu muat naik di Facebook.

Pastinya wanita tersebut berasa terhutang nyawa dengan anjing kesayangannya itu.

Ribuan Kucing di Wuhan Diancam Kebuluran

Kimi Dog

Sementara itu, sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan wabak koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan terabai, kelaparan dan trauma.

Terpanggil dengan situasi yang menyayat hati ini, beberapa kumpulan pencinta haiwan tampil menghulurkan bantuan.

Seorang doktor haiwan yang bekerja di Wuhan memberitahu kumpulannya telah berjaya menyelamatkan lebih 2,000 haiwan peliharaan di situ sejak 23 Januari 2020 lalu.

"Haiwan-haiwan peliharaan itu ditemui di rumah tanpa sebarang makanan dan minuman.

"Pemilik haiwan berkenaan meninggalkan rumah mereka dan tidak menyangka mereka tidak boleh pulang.

"Situasi itu menyebabkan haiwan peliharaan mereka mati akibat kebuluran dan dahaga," katanya.

Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan pula telah mengambil permintaan bagi membantu haiwan peliharaan yang terperangkap selama dua hari selepas sekatan tersebut dikuat kuasa.

Presiden persatuan, Du Fan berkata seramai 60 sukarelawan telah menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan dari lebih 500 kediaman.

"Sebenarnya, ada beberapa tragedi yang berlaku terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini seperti mati sebelum kami tiba," katanya.

Menurutnya, dengan kira-kira 300,000 hingga 600,000 penduduk di Wuhan mempunyai haiwan peliharaan, agak sukar untuk mereka memenuhi permintaan yang memuncak.

"Kebanyakan yang minta bantuan kami adalah golongan migran yang bekerja di Wuhan dan tinggal di kejiranan kecil di sini.

"Mereka tidak mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di Wuhan untuk membantu menguruskan haiwan peliharaan masing-masing," katanya lagi.

Dalam pada itu, terdapat beberapa sukarelawan menempatkan haiwan-haiwan peliharaan yang diselamatkan di rumah mereka dan ada juga yang mengekalkan di rumah pemilik.

Kimi Dog

Bagi haiwan yang disimpan di rumah asal, para sukarelawan akan datang secara berkala untuk memberi makanan dan minuman.

Menurut doktor haiwan di Wuhan Pet Life Online, kebanyakan haiwan peliharaan kelihatan trauma dan takut kepada manusia ketika mereka cuba menyelamatkan manakala keadaan rumah sangat bersepah.

"Terdapat lebih 100 ekor haiwan peliharaan di rumah saya sekarang. Untuk makluman, ada beberapa rumah yang menggunakan kata laluan dan ada juga yang menggunakan kunci biasa.

"Bagi kes kecemasan, kami terpaksa masuk ke rumah dengan memecahkan pintu depan atau memanjat tingkap," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Friday, November 01, 2019

Rahsia Geliga Landak

Rahsia Geliga Landak

Batu landak (Geliga), juga disebut dengan sebutan geliga landak berasal dari endapan yang mengeras daripada landak, terbentuk dalam lambung haiwan ini dalam waktu yang cukup lama dan biasanya ditemui dalam ukuran yang kecil.

Rahsia Geliga Landak

Warna batu hempedu landak atau geliga landak ini ada yang berwarna hitam, cream dan coklat. Geliga landak ada yang berbentuk seperti batu sungai dan batu apung. Batu geliga landak ini berpori.

Batu geliga landak sering digunakan sebagai azimat dan juga dipercayai berkhasiat membantu penyembuhan beragam penyakit dalaman yang berbahaya seperti kanser.

Untuk perawatan kanser, batu geliga landak ditumbuk halus kemudian diracik sebelum diminum.

Di China, tabib menggunakan Geliga landak sebagai antiradang, antioksidan, antibodi dan detoksifikasi tubuh.

Dalam masyarakat Cina Malaysia, ia banyak digunakan sebagai rawatan alternatif kanser, demam berdarah, meningitis, herpes, jangkitan, pneumonia dan lain-lain.

Dipercayai Geliga Landak juga berkhasiat untuk menyembuhkan:
  • Leukemia atau kanser darah.
  • Kanser payudara.
  • Sakit hempedu.
  • Sakit ginjal.
  • Tumor otak.
  • Ganguan sistem saraf dan metabolisme.
  • Sakit Lever.
  • Flu tulang.
  • Diabetes.

Ia juga efektif untuk penyakit kulit, pengerasan pembuluh koroner dan untuk menghilangkan angin, pedih ulu hati, lambung, epilepsi, hepatitis dan pelbagai penyakit lain.

Saiz geliga yang sekecil ibu jari atau yang bersaiz besar sedikit, dapat dijual sehingga mencecah puluhan ribu ringgit kerana ia didakwa mempunyai khasiat perubatan yang tinggi.

Bagaimana Geliga Landak Terhasil?

Batu landak ialah sejenis herba cina tradisional yang sangat bernilai, sejenis bahan yang menyerupai batu dalam badan landak.

Sudah sekian lama batu landak ini digunakan dalam masyarakat memandangkan batu landak mampu menyembuhkan pesakit yang menghidapi penyakit yang tidak dapat diubati.

Batu landak ini merupakan bahan yang jarang ditemui dan memiliki nilai perubatan yang amat tinggi.

Selain geliga, bahagian isi, perut, hati, hempedu, duri dan lemak landak juga dipercayai boleh digunakan dalam penghasilan ubat-ubatan.

Boleh dikatakan seluruh badan landak bernilai tinggi. Kesemua bahagian landak mengandungi protein yang tinggi, kurang lemak, tiada pencemaran dan mengandungi banyak kalsium, iodin dan bahan mineral lain yang berkhasiat.

Landak ialah sejenis binatang menyusu atau mamalia yang berduri diseluruh badan dan tinggal di hutan.

Landak mempunyai kekuatan yang sangat tinggi dan selalunya cepat sembuh dari penyakit disebabkan tabiat pemakanannya.

Landak ialah herbivor yang sangat suka memakan bahagian batang dan akar tumbuh-tumbuhan yang pahit. Umum diketahui kebanyakan herba juga membawa rasa pahit.

Oleh itu, landak memiliki fungsi sistem imuniti yang mampu menyingkirkan kuman dan bakteria penyakit.

Landak akan mencari dan memakan sejenis herba apabila ia sakit atau terluka. Herba yang dimakan oleh landak akan dihadam dan bercampur dengan bahan anti kuman untuk menghasilkan sejenis bahan pelerai bagi meleraikan kuman yang terdapat dalam badan landak.

Oleh itu, landak dikatakan cepat sembuh dari penyakit yang dihidapi.

Geliga

Rahsia Geliga Landak
Jenis-jenis geliga landak.

Namun, terdapat juga sesetengah bahan pelerai singgah di dalam badan landak, lama-kelamaam bahan pelerai tersebut menghasilkan batu iaitu batu landak.

Kesihatan, kekuatan, organisasi gen dan habitat untuk memperolehi herba sebagai makanan akan mempengaruhi struktur batu landak.

Hal ini memberi sebab bagi menjelaskan perbezaan permukaan, kelicinan, saiz, kualiti dan warna setiap batu landak.

Semakin lama batu landak itu di dalam badan landak, saiznya semakin besar. Begitu juga dengan nilai perubatan dan kuailiti yang jauh lebih tinggi berbanding dengan batu landak yang kecil.

Namun, bukan setiap landak mempunyai batu di dalam badannya. Kalau ada pun hanya sebiji.

Oleh itu, nilai dan harga batu landak adalah sangat tinggi berbanding dengan ubat biasa. Setiap batu landak adalah berbeza dari segi visual.

Oleh itu, pengetahuan untuk menilai ketulenan batu landak amat diperlukan dan sangat mencabar.

Herba

Berdasarkan rekod dalam sejarah herba cina tradisional dan sesetengah orang asli, mereka telah lama menggunakan batu landak untuk tujuan perubatan.

Sejajar dengan perkembangan bidang perubatan, kajian penyelidikan juga telah membuktikan keberkesanan dan nilai batu landak dalam dunia perubatan.

Spesies Landak

Landak bukannya landak mini. Sesetengah masyarakat yang keliru terhadap kedua-dua haiwan ini mungkin akan beranggapan bahawa landak ialah landak mini.

Bahagian belakang dan sisi badan landak mini penuh dengan duri; manakala bahagian kepala, ekor dan perut pula penuh dengan bulu keras.

Mulutnya tajam dan panjang, ekor pula pendek. Kesemua kakinya mempunyai lima jari, bergerak menggunakan kaki depan.

Terdapat juga sesetengah landak mini yang mana kaki depannya hanya mempunyai empat jari.

Gigi landak mini biasanya merangkumi 36-44 batang gigi. Kesemua giginya tajam untuk melicinkan proses pemakanan serangga.

Kesemua duri di seluruh badan landak mini akan berdiri umpama bola berduri apabila terkejut.

Kepala dan keempat-empat kakinya juga tidak dapat dilihat apabila landak mini terkejut.

Landak mini merupakan Erinaceidae dalam mamalia. Landak mini biasa yang dijumpa ialah Landak mini Eropah.

Landak mini Eropah ini bertaburan luas di bahagian Eropah, bahagian Utara Asia, di bahagian Utara China dan Sungai Yangtze.

Landak mini Eropah mengalami hibernasi semasa musim sejuk dan digelar juga sebagai " badger pencuri tembikai" di kalangan masyarakat Sunan.

Landak ialah sejenis tikus yang mempunyai duri. Duri berperanan untuk melindungi dirinya daripada serangan musuh.

Landak terdapat dalam warna coklat, kelabu, dan putih. Landak yang berlainan jenis mempunyai duri yang berlainan bentuk.

Kesemua landak mempunyai bulu keras di mana permukaanya mempunyai selapis keratin dan memasuki bahagian otot.

Landak di China mempunyai duri dalam sekelompok manakala landak di Amerika pula mempunyai luaran yang terhasil daripada campuran bulu keras dan duri.

Duri landak sangat tajam dan senang gugur. Duri ini akan menyerang mush landak.

Duri landak boleh tergantung pada kulit dan susah diasingkan. Nama bahasa Inggeris Landak ialah Porcupine.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Tuesday, October 29, 2019

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Kenapa Tenggiling Sangat Bernilai?

Melihat keunikan pada sisik luarannya, mungkin ramai yang menyangka haiwan ini adalah spesies garang apatah lagi memiliki kuku yang panjang dan tajam namun, tanggapan salah sama sekali kerana tenggiling adalah haiwan pemalu dan akan melindungi dirinya dengan menjadi bulat seperti bola apabila dihampiri dan disentuh manusia.

Tenggiling mahal

Tenggiling atau nama lainnya Manis javanica turut dikenali sebagai Malayan pangolin.

Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi Malayan pangolin adalah satu-satunya spesies yang ditemui di Malaysia selain Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja dan Singapura.

Haiwan yang tergolong dalam keluarga mamalia ini mendiami hutan tropika dan sub tropika, hutan kayu kering dan kawasan savana terbuka.

Tenggiling memiliki perisai unik keras pada sisik di badannya, manakala kukunya yang besar dan tajam bagi memecah sarang dan busut selain lidah melekit bagi menjilat serangga seperti semut dan anai-anai.

Telinga dan kelopak mata tenggiling boleh ditutup untuk mengelak serangan semut.

Jika berasa terancam, haiwan mamalia ini akan menggulungkan dirinya seperti bola sehingga menyukarkan gigi haiwan liar untuk menembusi dagingnya.

Malangnya, mekanisme pertahanan itu juga membuatkan ia lebih mudah bagi pemburu haram mengutip dan memasukkannya ke dalam guni.

Pemerdagangan

Tenggiling dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Justeru, Tenggiling tidak boleh dipelihara atau diniagakan malah tiada permit pemilikan dikeluarkan Jabatan Perhilitan untuk orang ramai.

Tenggiling menghadapi ancaman manusia akibat kemusnahan habitat selain menjadi buruan pemburu haram.

Ia mudah tertekan dan meskipun diselamatkan, kebanyakan tenggiling akan mati semasa proses memburu dan pemerdagangan.

Selepas ditangkap, haiwan itu diletak dalam guni tanpa sumber makanan dan boleh menyebabkannya mati.

Meskipun usaha penguatkuasaan berterusan, penyeludupan tenggiling masih berleluasa. Rampasan yang dilaporkan mungkin kecil berbanding jumlah pemerdagangan sebenar.

Permintaan tinggi dari restoran di luar negara terutamanya di China menyebabkan harga daging tenggiling melambung tinggi sehingga melebihi RM800 sekilogram di pasaran gelap yang didalangi sindiket tertentu sama ada dalam dan luar negara.

Sisik Tenggiling

Selain daging, sisik tenggiling juga tergolong di dalam larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit.

Sisik Tenggiling di pasaran gelap dianggarkan bernilai AS$3,000 sekilogram.

Mengapa Tenggiling Menjadi Buruan?

Jika berbalik kepada mitos, Tenggiling dicari kerana memiliki manfaat kesihatan - daging, sisik serta organ dalaman.

Pengamal perubatan tradisional percaya ia mampu mengubati pelbagai penyakit termasuk kanser manakala dagingnya dijadikan sajian eksotik, menguatkan tenaga syahwat lelaki, memanaskan suhu badan dan kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Kebanyakan permintaan tenggiling ini adalah kerana daging dan sisiknya yang dipercayai mempunyai nilai yang tinggi.

1. Sisik Tenggiling

Sisik tenggiling dipercayai memiliki kelebihan untuk membantu kesihatan manusia. Ia dipercayai boleh meningkatkan susu ibu, mengeringkan nanah, memulihkan penyakit kulit dan penyakit dalam badan.

Apa yang lebih mengejutkan pada tahun 2015, sisik tenggiling merupakan salah satu perubatan tradisional yang dilindungi oleh insurans perubatan di Vietnam.

2. Daging Tenggiling

Di China dan Vietnam, Tenggiling merupakan daging termahal yang dipercayai memiliki kelebihan nutrisi yang bagus khususnya untuk buah pinggang.

Oleh sebab daging tenggiling sangat mahal, orang kaya di negara tersebut akan memesan daging tenggiling untuk menunjukkan "kemewahan" yang mereka miliki.

Terdapat juga dakwaan bahawa dagingnya Tenggiling mampu menguatkan tenaga syahwat lelaki serta memanaskan suhu badan.

3. Minuman 'wine' Tenggiling

Ia terhasil daripada air rebusan tenggiling bayi yang dipercayai boleh menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

4. Darah Tenggiling

Juga dipercayai menyembuhkan penyakit kulit dan memperbaiki pernafasan.

5. Kulit Tenggiling

Kulitnya dijadikan barangan kasut, beg dan tali pinggang.

Pusat Perlindungan Tenggiling Di Malaysia

Penubuhan Institut Penyelidikan dan Perlindungan Tenggiling Sabah (Sapsari) mampu memastikan habitat dan spesies tenggiling yang menjadi haiwan dilindungi sepenuhnya dapat dikawal daripada ancaman kepupusan.

Penubuhan Sapsari adalah satu inisiatif yang dinanti-nantikan, memandangkan haiwan Tenggiling Sunda di Sabah, semakin terjejas akibat aktiviti pemburu haram.

Sapsari atau Sabah Pangolin Sanctuary and Research Institute akan dibangunkan di kawasan Taman-taman Sabah (TTS) Tawau memandangkan kawasan itu terdapat habitat Tenggiling Sunda yang banyak.

Institut ini akan dibuka kepada orang awam dan pelancong untuk datang sebagai akses terhadap pendidikan terhadap haiwan terancam itu.

Selain itu, dengan adanya pusat ini juga mampu memberi maklumat kepada orang ramai bahawa haiwan ini adalah sepsies yang dilindungi sepenuhnya kerana mengalami ancaman kepupusan akibat aktiviti penyeludupan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Monday, August 05, 2019

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Cara Menangkap Burung Liar Tanpa Jerat Atau Senjata

Pada kebiasaannya, bagi sesiapa saja yang gemar menangkap apa-apa juga jenis burung mengikut kemahuan masing-masing tentulah mereka mempunyai cara atau kaedah tersendiri seperti memasang jerat, memasang cecair bergetah di sekitar pokok yang sering dihinggapi oleh beburung, jaring dan sebagainya lagi.

Menangkap Burung Liar
Gambar hiasan.

Namun, ada juga yang mengambil jalan singkat janji asal saja dapat menangkap burung-burung yang diidamkan tak kira samada burung itu nanti dapat ditangkap dalam berkeadaan hidup atau mati apabila ada yang sanggup menggunakan lastik, umpan dipasang pada mata kail dan diikat atas pokok atau perangkap tikus.

Jika burung-burung dapat ditangkap dengan menggunakan cara sedemikian maka harapan kita untuk melihat unggas ini terus hidup adalah sangat tipis kerana tanpa kita sedari mungkin ada terdapat kecederaan di bahagian-bahagian yang tertentu pada tubuh burung itu tidak kelihatan dan ini tentu sekali akan mendatangkan risiko kematian terhadap burung-burung telah kita tangkap itu.

Jadi, disini saya ingin berkongsi cara-cara atau kaedah yang mungkin berguna kepada sesetengah orang bagaimana untuk menangkap burung liar khususnya dari spesis tekukur.

Burung tekukur kebiasaannya banyak terdapat di kawasan sawah padi dan burung ini jarang kita temui dalam kelompok yang banyak seperti burung pipit atau burung layang-layang.

Burung tekukur juga kelihatan hampir menyerupai burung pergam atau burung merbuk cuma dibezakan dari segi bentuk saiz badan dan suara dimana burung tekukur badannya jauh lebih kecil daripada burung pergam atau merbuk sementara suara burung tekukur lebih jelas dan halus didengar walaupun kedengaran agak sayup-sayup tetapi suara burung pergam atau merbuk tak ubah seperti bunyi hon kapal laut yang berdengung-dengung.

Cara Menangkap Burung Liar

Kali ini kami ingin menunjukkan cara, bagaimana untuk menangkap burung tekukur liar ini agar ia selamat dan tidak cedera.

Mula-muka sekali, kita kenalah ke pasar raya dan beli satu botol arak (bukan untuk diminum), asal arak sajalah tak kira berapa peratusan alkohol yang dilabelkan pada botol arak tersebut, janji ianya arak.

Kemudian, bawa balik ke rumah, simpan ditempat yang selamat serta jauhi daripada kanak-kanak dan mereka yang kaki arak.

Kemudian, ambil segenggam beras dan masukkan ke dalam bekas atau gelas yang tidak lagi digunakan.

Kemudian, rendam beras itu bersama arak selama satu malam dan keesokannya, jemur dibawah panas terik matahari selama 2 hari.

Setelah itu, bawa beras yang direndam arak tadi ke lokasi di mana ada terdapat burung tekukur bersama kotak yang telah dipotong dengan ukuran lebih kurang 2 kaki persegi dan kita kenalah letakkan kotak tersebut ditempat yang agak strategik atau tempat di mana burung berkenaan selalu turun untuk mencari makanan.

Langkah terakhir, taburkan beras yang telah direndam dengan arak di atas kotak yang dibentang tadi dalam jumlah yang berpatutan.

Waktu selepas tengah hari hingga ke senja adalah masa yang amat sesuai untuk kita menggunakan kaedah penangkapan ini sebab biasanya burung tekukur akan keluar mencari makanan pada waktu itu.

Selepas semuanya selesai, maka giliran untuk kita menuai hasil tangkapan dengan bersembunyi disebalik rerumput agar kelibat kita terlindung dan tidak kelihatan oleh burung liar.

Sekiranya burung-burung tekukur itu sudah memakan beras yang kita letakkan di atas kotak, hanya dua tiga kali patukan saja dan sesudah menelannya, kita akan dapat melihat burung itu akan mula khayal, pening, terhuyung-hayang dan kemudianya akan "tersungkur".

Pada masa itulah peluang kita untuk menangkap burung tekukur itu tadi dalam keadaan masih hidup dan simpanlah didalam kurungan.

Burung ini akan pulih semula seperti sediakala dalam tempoh beberapa ketika tanpa sebarang kecederaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: HMAM

Saturday, July 06, 2019

Benarkah Harga Tokek Gecko Sangat Mahal Dan Mampu Menyembuhkan AIDS?

Benarkah Harga Tokek Gecko Sangat Mahal Dan Mampu Menyembuhkan AIDS?

Beberapa tahun yang lepas, reptilia yang lebih dikenali dengan nama panggilan Tokek Gecko menjadi sumber kekayaan baharu bagi mereka yang mahu menjadi kaya dengan cara yang pantas. Semuanya bermula dengan kepercayaan bahawa enzim dari air liur Tokek Gecko ini dapat menyembuhkan AIDS, barah dan juga selesema H1N1.

Tokek mahal
Tokek Gecko.

Internet kemudiannya dipenuhi dengan lambakan artikel, rangkaian perbualan dan forum yang memaparkan perbincangan mengenai keuntungan lumayan yang boleh diperolehi melalui penjualan Tokek Gecko.

Artikel di internet memaparkan stok, bagi memenuhi permintaan yang melonjak naik daripada pelanggan yang mudah ditipu yang kebanyakannya dari Malaysia dan Singapura.

Bagi mereka yang percaya, Tokek Gecko boleh bernilai di antara beberapa ribu hingga beberapa juta ringgit seekor.

Apabila perdagangan ini disiasat oleh rangkaian pemantauan hidupan liar dikenali sebagai Traffic, rupa-rupanya gembar-gembur dalam talian hanyalah sembang kosong dan semua pengiklan haiwan tersebut langsung tidak menjual Tokek Gecko.

Adakah ini scam internet yang sangat besar?

Pengarang laporan "The Trade in Tokay Geckos (Gekko gecko) In South-East Asia: With A Case Study On Novel Medicinal Claims In Peninsular Malaysia" berpendapat sedemikian.

Mereka menyatakan bahawa penemuan mereka menyokong dakwaan oleh peniaga persendirian yang juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

Sebelum penipuan besar-besar ini berlaku, Tokek Gecko berharga tidak lebih daripada RM76 di perdagangan haiwan peliharaan antarabangsa namun pada akhir tahun 2009, pihak berkuasa di seluruh Asia Tenggara mula merampas spesismen hidup yang didagangkan secara haram.

Akhbar-akhbar dilimpahi dengan laporan bahawa menangkap atau menternak cicak ini menjadi pendapatan sampingan yang baharu dan sangat lumayan bagi orang kampung.

Penyiasatan oleh Traffic dengan bertemu ramai peniaga, yang kebanyakannya bertaburan di seluruh negeri Kedah dan Kelantan, yang mengakui bahawa setiap Tokek Gecko dijual mencecah harga puluhan ribu ringgit.

Seorang peniaga mendakwa bahawa semasa puncak perdagangan (di antara 2009 dan 2011), beliau menjual 100 Tokek Gecko seminggu kepada pembeli di Singapura, Malaysia dan juga Eropah, sebagai rawatan kanser.

Dia mengenakan bayaran sebanyak RM19,000 bagi seekor Tokek Gecko dan menyatakan bahaya mengenai perdagangan ini, termasuk ditangkap dan dirompak ketika urusan jual beli.

Beliau berkata bahawa, sindiket yang pernah menjadi majikannya telah kehilangan lebih RM100,000 kepada peniaga Thai dan Laos yang cerdik.

Sifat tamak telah membuatkan perniagaan ini semakin pesat membangun, ditambah pula dengan harga yang melonjak naik.

Juga dikhabarkan bahawa Tokek Gecko lebih besar, yang mana beratnya 400 gram atau lebih, boleh menghasilkan "enzim" yang mampu menyembuhkan AIDS.

Tokek-tokek ini dikatakan bernilai lebih RM3 juta setiap seekor dam untuk menjadikan seekor Tokek Gecko mencapai berat ini, ada peniaga sengaja menyuntik silikon atau memaksa haiwan ini memakan kepingan logam.

Ini kerana, para penyelidik berasa ragu jika Tokek Gecko mampu mencapai berat itu secara semulajadi.

Traffic juga tidak menemui apa-apa yang menyokong kredibiliti dakwaan tersebut dan apa yang dapat dipastikan adalah, berlaku ketidaktentuan yang besar dalam harga jualan Tokek Gecko.

Sesetengah penjual meletakkan harga RM580 seekor dan ada yang menjual dengan harga RM50,000.

Ini menunjukkan bahawa tiada nilai pasaran sebenar bagi "komoditi" ini, yang mana seterusnya menyokong teori bahawa ia sememangnya tidak bernilai dan hanya bermula dengan satu penipuan licik.

Tokek Gecko yang dijual untuk penghasilan ubat-ubatan baru nampaknya diperoleh daripada hutan liar di Thailand, Laos dan Myanmar, yang kemudianya diangkut melalui jalan darat ke Malaysia.

Satu laporan berita memperincikan bagaimana lebih daripada 1,000 Tokek ditemui di dalam bonet kereta.

Namun kini, kita boleh menarik nafas lega kerana zaman kegemilangan ubat ajaib Tokek Gecko telah berakhir.

Dakwaan perubatan tersebut langsung tidak berasas dan Tokek Gecko hanyalah seekor cicak yang mempunyai rupa bentuk serta warna yang menarik.

Bermula tahun 2011, Tokek Gecko menjadi salah satu haiwan yang dilindungi di Malaysia dan memerlukan lesen untuk pemilikan dan perdagangan, selepas ia dimasukkan ke dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang baru.

Walaupun populasi setempat yang berkurangan (di Bangladesh) dianggap disebabkan oleh perdagangan Tokek Gecko untuk ubat baru, namun bagi skala serantau, jumlah haiwan yang ditangkap dari hutan untuk tujuan ini nampaknya agak kecil.

Memandangkan terdapat pelbagai jenis dan banyak spesies haiwan ini, perdagangan Tokek Gecko untuk ubat-ubatan baru tidak mungkin menimbulkan ancaman serius kepada populasi Tokek liar.

Tokek Gecko telah lama diperdagangkan untuk perubatan tradisional, yang mana sekitar 15 juta ekor Tokek kering telah dieksport ke Taiwan sejak 2004, 71% daripadanya berasal dari Thailand dan yang lain dari Jawa, Indonesia.

Pada tahun 2011, penghantaran sebanyak 1.2 juta ekor Tokek Gecko yang ditangkap secara haram berjaya dipintas dari Jawa dalam perjalanan ke Hong Kong.

Tidak seperti perdagangan perubatan baru yang kebanyakannya berlaku di Semenanjung Malaysia dan Singapura, perdagangan untuk perubatan tradisional di negara-negara Asia Timur, seperti China, Hong Kong, Vietnam dan Taiwan, berada pada skala yang sangat besar.

Tokek Gecko digunakan dalam perubatan Cina tradisional untuk merawat penyakit kulit, asma, kencing manis dan kanser.

Ujian klinikal pada tikus telah menunjukkan bahawa terdapat sumber dari Tokek Gecko mempunyai ciri-ciri anti-tumor.

Walau bagaimanapun, pakar telah mengkritik kajian ini kerana melakukan ujian dengan kawalan yang tidak baik, saiz sampel yang tidak mencukupi dan memindahkan keputusan berdasarkan satu spesies (Gekko japonicas) kepada yang lain (Tokek Gecko).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa tidak terdapat bukti saintifik bahawa Tokek dapat menyembuhkan AIDS atau kanser dan tidak ada maklumat mengenai keselamatan terhadap pendedahan kepada Tokek Gecko.

Namun, perdagangan Tokek Gecko untuk perubatan baru seolah-olah sedang berkembang pesat.

Walaupun secara meluas dianggap sebagai spesies biasa, beberapa kajian populasi sebenarnya telah dilakukan terhadap Tokek Gecko, yang mempunyai penampilan menarik, berwarna biru-kelabu, dengan bintik-bintik yang berkisar dari kemerahan-oren hingga kuning keputihan.

Status pemuliharaannya belum dinilai oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

Namun, daripada sedikit kajian yang telah dilakukan, bilangan reptilia ini secara umum telah didapati menurun. Ini berlaku di Jawa, Indonesia dan utara-timur Thailand, dan pada masa lalu, di tanah besar China.

Di Nepal, Tokek Gecko dianggap sangat jarang dan di Vietnam, ia disenaraikan sebagai spesies terancam. Status haiwan ini masih belum didokumentasikan di negara lain.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukur tahap perdagangan dan jumlah Tokek Gecko yang ditangkap dari hutan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, June 30, 2019

Kisah Kenapa Helang Di Gelar Raja Segala Burung

Kisah Kenapa Helang Di Gelar Raja Segala Burung

Pada usia 40 tahun, burung helang perlu membuat keputusan samada akan mati pada usia itu atau ingin terus hidup dan untuk terus hidup lebih lama, burung ini perlu 'menyeksa' dirinya terlebih dahulu. Bukan kerja mudah.

Rahsia Helang umur panjang

Dalam proses itu, burung helang perlu terbang tinggi ke puncak gunung untuk membuat sarang bagi mengasingkan diri.

Di sarang tersebut burung helang tua itu akan mencabut pelepah bulunya satu demi satu menggunakan paruhnya sehingga togel seperti baru menetas dari telur.

Bezanya, kali ini badannya dipenuhi dengan darah yang keluar dari liang roma setiap kali bulunya dicabut.

Burung helang tidak boleh terbang sementara menunggu bulu tumbuh normal. Paruh dan kuku kaki juga akan tumbuh berganti baru.

Proses yang menyusahkan ini berlaku disarang selama 150 hari dan selepas itu, burung helang tersebut akan terbang bebas melawan angin kencang di angkasa raya sesekali menjunam ke bawah mencari mangsa untuk hidup 40 tahun lagi.

Pernah dengar kisah ini?

Bukan mudah untuk menjadi burung helang, kerana itulah burung ini di anggap raja burung tidak sama berbanding ribuan jenis burung yang lain.

ALLAH juga yang menjadikan burung itu berbeza-beza sebagai tamsilan kehidupan manusia yang juga ada bezanya.

Beza bukan untuk disombongkan tetapi setiap golongan burung ada tanggungjawabnya yang berbeza.

Apabila semua golongan burung menjalankan tanggungjawab masing-masing dan tidak cuba membuat kerja burung lain, maka harmonilah dunia burung. Tiada perang dan sengketa.

Kalau hendak menjadi seperti burung helang, pastikan kita juga sanggup berkorban seperti burung ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: denaihati

Wednesday, June 19, 2019

Kahlua, Baka Kucing Maine Coon Dari Sarawak Menang Anugerah Antarabangsa

Kahlua, Baka Kucing Maine Coon Dari Sarawak Menang Anugerah Antarabangsa

Sarawak diletakkan pada peta dunia peminat kucing baru-baru ini apabila memenangi anugerah baka Maine Coon terbaik pada pertunjukan antarabangsa anjuran Persatuan Peminat Kucing (CFA) pada 30 April 2019 lepas.

Kahlua Maine Coon

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuching, kucing berusia satu tahun lima bulan yang dinamakan Kahlua milik Cheryl Cheah ini, turut memenangi pelbagai anugerah dalam lain-lain kelas persaingan di seluruh dunia.

Menurut Cheah, berikutan wabak rabies di Sarawak ia telah menjadikan kucingnya sukar untuk bersaing dalam pertandingan luar.

Meskipun dengan keputusan ujian sah rabies dari United Kingdom (UK), permohonan kucing dari Sarawak untuk bersaing di Semenanjung Malaysia sebaliknya dinafikan.

Berikutan itu, Cheah telah memaklumkan perkara ini untuk merayu kepada Menteri Pertanian bagi membenarkan Kahlua bersaing di Kedah, yang merupakan pertandingan terakhir sebelum musim pertunjukan tahun 2019 ini.

Cheah berkata, beliau yakin kucingnya mempunyai peluang yang baik untuk menang berdasarkan markah yang diperolehi dalam pertunjukan sebelum ini.

Sehubungan itu, Cheah akan memohon kepada Kerajaan Sarawak menerusi Ketua Menteri untuk mengeluarkan passport kucing bagi memudahkan urusan dokumen perjalanan bagi kucingnya menyertai pertunjukan luar.

Pasport untuk tempoh sah satu tahun memadai untuk kucing saya dan berharap akan mendapat pasport ini daripada Kerajaan Sarawak, katanya.

Kahlua, kucing gebu dengan bulu bewarna perang, hitam dan putih ini juga merupakan Kucing Terbaik Malaysia dan satu-satunya kucing Malaysia yang disenaraikan Sepuluh Kucing Terbaik di Kejohanan Baka Antarabangsa bersaing dengan kucing dari negara seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Filipina.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusanborneo