Sep 5, 2014

Maine Coon, Baka Kucing Terbesar Di Dunia!

Sebahagian besar daripada kita mungkin bersetuju bahawa kucing adalah haiwan yang paling banyak sekali dijadikan haiwan peliharaan.

Maine Coon

Bentuknya yang comel dengan bulunya yang halus dan sangat jinak jika diajak bermain adalah beberapa alasan mengapa kucing menjadi pilihan untuk dipelihara.

Malah, ada yang memelihara kucing sebagai salah satu langkah terapi menghilangkan tekanan, menarik bukan?

Dan sekiranya anda adalah peminat tegar kucing, sudah semestinya anda tidak terlepas daripada menonton filem 'Garfield', karya seni garapan komik Jim Davis yang menggambarkan Garfield sebagai kucing yang pemalas tetapi sangat mementingkan kekemasan.

Filem arahan Peter Hewit ini menjadi popular dek kerana watak Garfield yang memiliki saiz yang besar dan sangat comel.

Pasti anda tertanya-tanya, benarkah wujud kucing dengan saiz besar sebegitu di dunia sebenar? Jawapannya, YA!

Garfield
Watak Garfield terus diingati kerana saiz dan aksinya di dalam filem.

Maine Coon adalah salah satu ras kucing yang berasal dari Maine, Amerika Syarikat. Maine Coon dikenali kerana saiznya yang besar, berperwatakan santai namun agak kasar.

Kucing ini dikenali dan disayangi di Maine kerana kebolehannya untuk mengawal populasi tikus.

Ramai yang percaya Maine Coon lahir daripada kacukan kucing liar dengan kucing dari keluarga Racoon.

Sifat istimewa pada kucing ini ialah kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan baik dalam keadaan cuaca yang sejuk berbanding kucing biasa.

Haiwan unik ini juga mempunyai susuk tubuh agam dan panjang. Tulangnya besar dan kelihatan sangat tegap umpama pemburu yang hebat.

Maine Coon Jinak
Haiwan yang sangat jinak berbanding kucing daripada spesis lain.

Maine Coon turut memiliki sepasang mata oval yang besar, telinga dan kaki serta ekor yang panjang beralun.

Cosie, merupakan spesis pertama Maine Coon berwarna 'brown tabby' yang memenangi pertandingan kucing di Madison Square Garden pada 1895. Namun, populariti haiwan ini menurun pada era 1900 apabila dikalahkan oleh kucing Parsi.

Atas dasar cinta dan minat, pada tahun 1968, enam orang penggemar kucing Maine Coon mula bergabung dan membentuk 'Maine Coon Breeders and Francies Association (MCBFA)' untuk melindungi dan memelihara spesis istimewa ini.

Hasilnya, pada tahun 1980, Maine Coon telah diakui oleh semua organisasi kucing sebagai satu spesis haiwan yang memiliki ciri dan standard tersendiri.

Maine Coon - Stewie
Stewie dinobat sebagai Maine Coon terpanjang di dunia pada 2010.

Bulunya yang berkilat dan tebal mempunyai ciri istimewa iaitu kalis air. Kewujudan bulu tebal pada bahagian leher, perut dan kaki berfungsi melindungi tubuh daripada salji dan suhu sejuk.

Kucing jantan dewasa biasanya mempunyai berat badan antara 6 hingga 9 kilogram dengan panjang badan satu meter! Kucing betina pula lebih kecil dengan berat sekitar 4 hingga 6 kilogram.

Dibandingkan dengan kucing Parsi yang lebih suka tidur, Maine Coon lebih aktif dan sangat manja dengan tuannya.

Satu lagi ciri menarik haiwan ini adalah ia begitu menyukai air. Jangan terkejut jika melihat kucing ini berendam bersama tuannya di dalam tab mandi!

Maine Coon boleh ditemui dalam beberapa warna dan corak termasuk solid, tabby, bicolor, tortoiseshells, tabby-tortoise, smoke dan shaded.

Paling terkenal dan menjadi pilihan adalah warna brown-classic-tabby. Matanya besar berbentuk oval dan warnyanya berbeza sama ada hijau, keemasan atau biru.

Maine Coon - Stewie Cancer
Stewie mati akibat kanser.

Pada tahun 2010, Guiness World Record telah menobatkan Stewie, dari spesis Maine Coon sebagai kucing terpanjang di dunia dengan ukuran 4 kaki atau 121.92 cm dengan berat sekitar 15 kilogram.

Kucing yang dimiliki pasangan Robin Hendrickson dan Erik Brandsness sangat disayangi kerana sangat cekap menangkap tikus serta sifatnya yang mampu bergaul dengan kucing daripada spesis lain.

Namun, pada Februari 2013 yang lalu, telah meninggal dunia kerana menghidap kanser pada kedua-dua buah pinggangnya.

Sehingga kini, Guiness World Record masih belum menemui pengganti Stewie untuk diiktiraf sebagai pemegang rekod kucing terpanjang di dunia!

Saksikan videonya di YouTube.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Kenapa Kucing Menggeselkan Badan?

-Sentiasapanas.com

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

9 comments

cantik giler...tapi takut pulak tengok. besar sangat...macam musang..

Peminat tegar je yang sanggup nak pelihara kucing ni..

Saya pn ada jga kucg ne kuat mkn besaq mcm ne la

Saya pn ada jga kucg ne kuat mkn besaq mcm ne la

Nak sangat2 kucing nii :( Apa salahnya sekali berbelanja lebih kan untuk miliki kucing yg boleh hidup lama dan teman kita? Masalahnya skg susah sgt nak jumpa maine coon asli. Kebanyakannya mix ataupun langsung tak nampak mcm main coon atau ada ciri2 lengkap main coon. Apapun saya cuma suka kucing yg extra size. Kalau ada mana2 kedai yg jual, mmg nak beli :)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon