Thursday, June 22, 2017

8 Festival Muzik Terbaik Di Seluruh Dunia

8 Festival Muzik Terbaik Di Seluruh Dunia

Ribuan manusia berkumpul dan bersatu mendengar muzik dari zaman festival muzik era ‘Hippy’ 1960-an lagi dan terus berevolusi ke semua cabang dan aliran muzik.

Dari pentas rancak Electronic Dance Music (EDM) di Belgium hingga ke pentas manifesto seni ‘Burning Man’ di tengah gurun tandus Nevada, saya senaraikan 8 festival muzik terbaik di seluruh dunia yang berbaloi untuk dikunjungi oleh peminat tegar muzik.

1. Burning Man
Lokasi: Nevada, USA
Tema: Steampunk

Burning Man

Seperti berada di lokasi penggambaran filem ‘Mad Max’, festival diadakan di tengah-tengah gurun tandus Nevada, Amerika Syarikat.

Burning Man dicetuskan oleh seorang penggiat seni bernama Lary Harvey sejak 1986 lagi. Dia membakar sebuah tugu unggun api berupa seakan-akan seorang lelaki bagi menandakan hari Soltis musim panas.

2. Songkran
Lokasi: Thailand
Tema: Pesta air

Songkran

Sambutan seluruh Thailand bagi merayakan Tahun Baru Thai yang berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 April.

Lebih kepada pesta budaya, Songkran bermaksud ‘perubahan’ dan setiap tahun seluruh bandaraya akan bergempita dengan dendangan lagu-lagu Thai, klasik dan moden serta diraikan warga Thai juga pelancong asing.

Festival 'bermain' dan bersiram sesama sendiri, membuatkan pesta air ini mesti dikunjungi sekali seumur hidup.

3. Carnaval De Bahidorá
Lokasi: Cuautla, Mexico
Tema: Hutan, sungai dan alam bunian

Carnaval De Bahidorá

Berlangsung selama 24 jam tanpa henti, Bahidorá bertemakan karnival di dalam hutan dan sungai, dengan pengunjung berpakaian seperti manusia halus Elf.

Muziknya pula gabungan antara Alternative Indie dan Electronica dan ini satu-satunya festival yang mengajar pengunjung melakukan trik sarkas dan asas kayak.

4. FUSION
Lokasi: Larz, Jerman
Tema: Seni, arca dan militari

FUSION

Mengambil tempat di bekas lapangan tentera udara Jerman, FUSION sarat dengan persembahan muzik dan dihiasi perhiasan-perhiasan askar serta arca-arca besar.

Pengunjung disarankan berpakaian beret, melakukan hasil seni dan memainkan peralatan muzik yang boleh menzahirkan manisfeto diri.

Hanya makanan vegetarian sahaja dibenarkan dijual atau dimakan di tapak festival.

5. Montreux Jazz Festival
Lokasi : Montreux, Switzerland
Tema : Muzik jazz

Montreux Jazz Festival

Walaupun ia sebenarnya sebuah festival muzik Jazz, penganjur selalu menjemput nama-nama besar muzik Rock, Pop dan Hip-Hop dari Hollywood.

Dalam salah satu sambutan, pentas yang sepatutnya berpaksikan muzik Jazz ini digegarkan oleh The Chemical Brother, Lionel Ritchie dan Lady Gaga.

Barangkali, penganjur tidak mahu festival Jazz terbesar ini tenggelam dimamah usia, mungkin?

6. Itadaki
Lokasi: Shizuka, Jepun
Tema: Teknologi hijau

Itadaki

Lokasi di sepanjang pesisir pantai Suruga, festival musim panas ini dijana menggunakan bio-diesel.

Konsep mesra alam dibawa kerana penganjur menentang penggunaan petrol yang membawa kemudaratan kepada alam sekitar.

Festival ini benar-benar mengetengahkan budaya maju pemuzik Jepun melalui persembahan berteknologi hijau, lampu-lampu neon dan barisan pemuzik hebat seperti Rhymester, Kemuri dan Shibusashirazu Orchestra.

7. Tomorrowland
Lokasi: Boom, Belgium
Tema: Alam fantasi EDM

Tomorrowland

Bermula hanya di sebuah pekan kecil pada 2005, Tomorrowland berevolusi menjadi antara festival muzik EDM terbesar dunia.

Pernah dibarisi artis-artis EDM bertaraf Hollywood seperti Avicii, Alesso dan David Guetta, ia terus membesar saban tahun dengan 15 pentas muzik, bola disko gergasi dan istana kisah dongeng saiz sebenar.

8. Rainforest World Music Festival
Lokasi: Sarawak, Malaysia
Tema: Hutan hujan, budaya dan etnik

Rainforest World Music Festival

Mengangkat kesenian dan muzik peribumi Borneo, di samping pemuzik-pemuzik peribumi dari serata benua dunia.

Uniknya, mereka memainkan instrumen-instrumen muzik eksentrik yang menyatu dengan bunyi-bunyi alam semula jadi.

Hayati muzik-muzik indah dan mengagumkan ini sambil berlatar belakangkan Gunung Santubong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: stail

Saturday, April 29, 2017

Sambutan Festival Bambu Dan Halia Tambunan

Sambutan Festival Bambu Dan Halia Tambunan

Sambutan pesta Festival Bambu Dan Halia Tambunan diraikan pada bulan September atau Oktober setiap tahun bagi mempromosikan hasil produk Bambu dan tanaman Halia khususnya bagi daerah Tambunan.

Halia Tambunan

Daerah Tambunan sememangnya terkenal dengan pokok bambu yang tumbuh dengan subur diserata lembahnya.

Bambu pula adalah sejenis tumbuhan serbaguna. Banyak produk yang boleh dihasilkan menggunakan bambu.

Antara yang terkenal ialah dijadikan sebagi alat muzik. Memang tidak dapat dinafikan pada hari ini muzik hasil buatan tangan daripada bambu, meniti bukan sahaja di bibir muda-mudi bahkan di corong-corong radio dan menghiasi skrin tv.

Selain itu, menurut kaji selidik, sampai masanya nanti bambu boleh menggantikan kayu, bagi menghasilkan perabot rumah.

Manakala bagi tumbuhan Halia pula, Tambunan merupakan pengeluar utama Halia di Sabah. Halia tumbuh dengan subur di daerah ini dengan ramai pengusaha halia yang berjaya dalam perniagaan mereka.

Bambu Tambunan

Berdasarkan dua senario di atas maka pelaksanaan pesta dua dalam satu ini amat tepat dan bersesuaian sekali.

Selain mempromosikan Tambunan sebagai tumpuan pelawat dalam dan luar, ianya juga dapat membantu mempromosikan hasil Bambu dan Halia.

Maka dengan itu pihak penganjur mengambil langkah menganjurkan perayaan ini setiap tahun. Uniknya perayaan seumpama ini hanya boleh didapati di Tambunan sahaja.

Antara akiviti menarik sempena Pesta Bambu dan Halia Tambunan ini:
  • Seminar Bambu dan Halia.
  • Pameran Bambu dan Halia.
  • Sukan Tradisi (Rampanau, Pancing Bambu dan Halia, Panjat Bambu, Sukan Berantai, Lumba Kerbau dan lain-lain lagi).
  • Battle of the Acoustic Bamboo Band.
  • Persembahan Kebudayaan dan nyanyian.
  • Pertandingan Ratu Rekaan Fesyen Bambu/Halia.
  • Masakan Tradisi dan lain-lain lagi.

Jangan lupa berkunjung ke pesta Tambunan untuk melihat sendiri festival ini nanti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mytambunan2u

Friday, April 28, 2017

Sambutan Perayaan Vaisakhi Penganut Sikh

Sambutan Perayaan Vaisakhi Penganut Sikh

Vaisakhi juga dikenali sebagai Baisakhi) ialah salah satu pesta menuai kuno di Punjab, yang juga menandakan bermulanya tahun suria baru dan musim menuai baru.

Vaisakhi

Vaisakhi juga membawa kepentingan keagamaan bagi penganut agama Sikh, yang jatuh pada hari pertama bulan Vaisakh dalam kalendar Nanakshahi suria, bersamaan dengan 14 April dalam kalendar Gregory.

Vaisakhi merupakan salah satu perayaan utama dalam kalendar Sikh, memperingati penubuhan Khalsa pada tahun 1699; Tahun Baru Sikh.

Vaisakhi juga disambut sebagai bermulanya tahun baru oleh bangsa India di Bengal Barat, Kerala, dan sesetengah rantau lain di India.

Kepentingan tertentu yang dihubungkan dengan perayaan ini menonjolkan kepelbagaian antara rantau di luar Punjab.

Di Himachal Pradesh, Dewi Hindu Jwalamukhi dipuja pada hari Vaisakhi, sementara di Bihar, dewa matahari Surya diberi penghormatan.

Perayaan ini disambut sebagai Rongali Bihu di Assam, Naba Barsha di Bengal, Puthandu di Tamil Nadu, Vishu (atau Vaishakhi) di Kerala, dan Tahun Baru Sinhala/Tamil di Sri Lanka.

Selain Punjab, Vaisakhi juga disambut sebagai pesta menuai di beberapa negeri lain di utara India, termasuk Haryana, Himachal Pradesh dan Uttaranchal.

Vaisakhi dalam agama Sikh

Guru Gobind Singh, guru Sikh Kesepuluh mengasas Khalsa (Hamba-hamba Tuhan) pada perhimpunan Vaisakhi tahun 1699, di Keshgarh Sahib berhampiran Anandpur, di mana beliau bersedia untuk para pengikut berjumpa dengan beliau di Pesta Vasakhi di Anandpur.

Pada hari itu Guru Gobind Singh meminta seorang lelaki dalam jemaah yang sanggup mengorbankan nyawa diri demi perjuangannya tampil ke hadapan.

Lelaki itu bernama Daya Singh dan dia mengikut Guru ke dalam khemah beliau. Sewaktu Guru keluar dari khemah, pedang beliau diwarnai darah; maka beliau meminta seorang lagi.

Seorang demi seorang Dharam Singh, Himmat Singh, dan Sahib Singh ctampil ke hadapan. Seorang demi seorang mereka memasuki khemah Guru, dan Guru keluar sendiri dengan pedang berdarah.

Para pengikut berasa gementar, sehingga kelima-lima lelaki itu keluar dari khemah, lalu dinamai Panj Piare atau lima orang tersayang.

Guru mencurahkan air ke dalam sebiji mangkuk untuk direnjiskan pada lima orang itu dalam upacara inisasi yang serba ringkas.

Beliau membaca doa sambil mengacau air dengan sebilah pedang keluli yang pendek; melambangkan perlunya kekuatan.

Isteri Guru, Mata Sundri, kemudian tampil ke hadapan lalu meletakkan beberapa hablur gula ke dalam air suci atau amrit sebagai peringatan bahawa kekuatan mesti diimbangi dengan kebaikan resmi. Setelah selesai upacara, barulah Guru merenjiskan amrit pada kelima-lima orang itu.

Guru mengisytiharkan lima orang pengikut itu sebagai ahli-ahli terawal sebuah masyarakat orang-orang setaraf yang lama, bergelar Khalsa atau "suci".

"Tentera keramat" ini bertujuan membaktikan sepanjang umur mereka untuk membantu yang lain dan mengejar keadilan demi segala insan tanpa mengira agama.

Panj Pyare itu diminta memakai lima lambang tersendiri identiti baru mereka, iaitu Lima K.

Sebagai langkah menghapuskan pembahagian sosial, nama keluarga Panj Pyare digugurkan oleh Guru, terutamanya kerana nama keluarga dikaitkan dengan kasta seseorang - kemudian Guru mengurniakan gelaran Singh (yang bermaksud "singa") kepada Panj Pyare (dan semua lelaki Sikh) sebagai peringatan perlunya keberanian.

Pada masa yang sama, Guru mengurniakan gelaran "Kaur" ("puteri") pada semua perempuan Sikh untuk menekankan maruah dan kesetarafan sepenuhnya.

Kemudian, Guru berlutut menghadap kelima-lima pengikut itu lalu meminta mereka menginisiasi beliau. Maka, Khalsa menjadi sebuah masyarakat di mana tuan dan pengikut adalah setaraf.

Bagi orang-orang Sikh, perayaan bermusim ini juga amat penting sebagai memperingati penubuhan Akal Khalsa (Tentera kepada Yang Abadi) di Anandpur Sahib.

Akal Khalsa memainkan peranan penting dalam menentang pemerintahan Empayar Mughal.

Berabad-abad kemudian, anak lelaki sulung kebanyakan keluarga Hindu di Punjab ditahbiskan sebagai Sikh agar membolehkan anak-anak itu berlatih dan menjadi pahlawan dan berjuang demi rakyat jelatan. Kanak-kanak lelaki lain pula menjaga keluarga, orang tua dan tanah.

Sambutan

Bagi menyambut perayaan, para penganut berkumpul di gurdwara atau tempat ibadah Sikh.

Sambutan bermula awal apabila penganut yang membawa bunga dan persembahan pergi ke gurdwara sebelum subuh.

Perarakan sekitar bandar juga satu kebiasaan Vaisakhi merupakan hari kelahiran Khalsa (Orang-orang Suci) dan para penganut Sikh diberi identiti yang jelas tatalaku untuk diikuti.

BACA INI JUGA: Kumbh Mela, Ritual Penyucian Dosa Penganut Hindu

sumber: wikipedia

Thursday, April 27, 2017

Sambutan Festival Regatta Lepa ‘Pesta Air Sabah’

Sambutan Festival Regatta Lepa ‘Pesta Air Sabah’

Regatta Lepa adalah sambutan pesta air tahunan dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' yang diadakan di daerah Semporna, Sabah, sejak tahun 1994, pada bulan April setiap tahun.

Festival Regatta Lepa

Kepada kaum Bajau Semporna, 'Lepa' (sejenis bot) banyak kegunaannya dalam kehidupan harian. Bot ini digunakan untuk menangkap ikan dan kenderaan harian.

"Lepa' juga digunakan sewaktu upacara perkahwinan dan persembahan kebudayaan. Kehidupan unik berteraskan lepa ini dipusakai turun-temurun sehingga kini.

Daerah Semporna, Sabah, menyambut Perayaan Regatta Lepa setiap tahun pada bulan April. Lepa merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan kaum Bajau sejak zaman dahulu.

Perayaan Regatta Lepa merupakan tapak untuk memperkenalkan dan mempromosi seni, budaya dan adat kaum Bajau yang berwarna-warni.

Setiap tahun pengunjung akan berpeluang melihat sendiri keunikan pembuatan bot Lepa yang cantik disulami dengan tarian dan muzik yang dimainkan di atas bot lepa.

Regatta Lepa merupakan acara tahunan untuk semua peminat, pengusaha dan penggiat seni-budaya Bajau dan Lepa berkumpul.

Melalui perayaan ini, kaum Bajau yang berada di merata tempat termasuk di pulau-pulau akan bertemu, bersosial dan bertanding. Pertandingan utama adalah merebut gelaran 'Lepa Tercantik'.

Perayaan ini memakan masa 2 hingga 3 hari. Bayangkan di tepi pantai terdapat ratusan Lepa yang dihias cantik dengan segala macam renda, payung, sambulayang (layar) berwarna-warni, pakaian tradisi, persembahan kebudayaan dan pertandingan acara laut.

Semua lepa-lepa ini akan beratur sambil bergerak perlahan dihadapan pentas yang disediakan untuk para hakim dan orang kenamaan untuk menilai dan memilih pemenang. Pemenang akan dipilih berdasarkan kecantikan Lepa dan tarian yang dipersembahkan.

Festival Regatta Lepa

Aktiviti sambutan Regatta Lepa dibahagikan kepada 2 kawasan utama iaitu 'Acara Laut' di tepi pantai dan 'Pentas Budaya' dan pameran di Padang Pekan Semporna.

Pada sebelah malamnya pula, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan persembahan kebudayaan tempatan sambil diselang-selikan dengan nyanyian artis tempatan dan nasional. Pertunjukan bunga-api turut mewarnai langit Semporna pada malam tersebut.

Lepa: Dalam bahasa kaum Bajau Pantai Timur Sabah bermaksud 'bot'. Ia dipercayai berasal dari komuniti nelayan yang menetap di Pulau Bum-Bum Semporna pada satu ketika dahulu.

Regatta Lepa: Merupakan perayaan tahunan Daerah Semporna sejak tahun 1994.

Regatta Lepa mula diperkenalkan pada tahun 1994 sebagai perayaan peringkat daerah dan kemudiannya diiktiraf menjadi perayaan peringkat negeri Sabah.

Pada tahun 2003 Regatta Lepa telah dimasukkan ke dalam kalendar 'Pesta Air Malaysia' dan kini Regatta Lepa merupakan salah-satu acara tahunan Malaysia.

Daerah sunyi Semporna akan bergemerlapan dan berpesta apabila menyambut Regatta Lepa.

Di sepanjang jalan 'Sambulayang' akan menghiasi pandangan disamping pemidang dan iklan yang berwarna-warni.

Bot-bot Lepa akan berlabuh disepanjang pantai Semporna dan menghiburkan pengunjung dengan pelbagai tarian, nyanyian dan muzik.

Festival Regatta Lepa

Setiap bot lepa akan dihiasi dengan 'sambulayang'. 'panji-panji', tipas-tipas' dan renda. Perayaan ini mengundang ribuan pengunjung dari dalam dan luar negeri saban tahun.

Acara-acara lain disepanjang perayaan ini termasuklah acara 'lumba kelle-kelle', tarik-tali lepa, lumba renang dan menangkap itik.

Pada sebelah malamnya pula, pertunjukan 'pentas budaya' akan diadakan di Padang Pekan Semporna.

Datanglah dan saksikan sendiri perayaan hebat ini!

BACA INI JUGA: 6 Lokasi Pelancongan Di Sabah Yang Setanding Luar Negara!

sumber: sabah

Thursday, March 09, 2017

Festival Unta Raja Abdulaziz, Pertandingan Ratu Cantik Unta!

Festival Unta Raja Abdulaziz, Pertandingan Ratu Cantik Unta!

Di Jeddah, Arab Saudi, lebih 300,000 ekor unta bakal bersaing dalam satu pertandingan 'ratu cantik' unta pada hujung bulan Mac ini untuk merebut hadiah bernilai 25 juta pound (RM136 juta).

Festival Unta Raja Abdulaziz

Pertandingan ratu cantik dalam Festival Unta Raja Abdulaziz ini merupakan festival yang telah lama diadakan sejak dulu lagi yang menggambarkan warisan kebudayaan kerajaan Arab Saudi, dimana pemilik unta datang berkumpul untuk bertanding bersama unta mereka dalam pertandingan ratu cantik.

Pemenang pelbagai kategori pertandingan ratu cantik unta yang diadakan sempena Festival Unta Raja Abdulaziz itu akan menerima hadiah berjumlah RM137 juta.

Hakim akan menilai pemenang menerusi kecantikan asli dalam lima kategori berdasarkan kacukan dan warnanya.

Unta itu akan dihakimi oleh satu jawatankuasa Badwi yang dipilih dan biasanya, harga unta yang memenangi pertandingan seumpama itu akan mencecah jutaan ringgit.

Unta yang akan dimahkotakan dengan gelaran ratu cantik unta itu akan dipilih menerusi beberapa kriteria ketat yang ditetapkan, khususnya kecantikan semulajadi, termasuk pada bulu, mata, telinga, bibir, ketinggian, bentuk kepala, panjang leher dan bentuk bonggolnya.

Yang paling penting, peserta ratu cantik unta terbabit tidak boleh dihias oleh pemilik serta perlu memiliki kecantikan semula jadi.

Menjelang festival berkenaan yang akan berlangsung dari 19 Mac hingga 15 April 2017, harga unta dalam pasaran saham meningkat 70 peratus.

Festival Unta Raja Abdulaziz

Ia tradisi turun temurun yang menyaksikan pemilik haiwan itu memperagakan unta paling cantik mereka.

Antara baka unta yang menjadi perhatian dalam pertandingan itu termasuk unta putih Al Wadah, unta hitam Al Majahateer dan unda merah Al Homor yang dianggap sebagai baka unta paling cantik bagi spesies tersebut.

Pertandingan ratu cantik ini terdiri daripada lima kategori utama mengikut baka dan warna unta, antaranya ialah:
  1. Maghateer
  2. Majaheem
  3. Sufur
  4. Shuol
  5. Homr

Mengikut tradisi, para lelaki akan berkumpul untuk memulakan acara dengan perarakan bersama unta-unta mereka.

Festival Unta Raja Abdulaziz ini merupakan antara acara terbesar di Arab Saudi di mana lebih dari 2 juta orang akan menghadiri festival ini untuk menyaksikan unta-unta tercantik berkumpul di padang pasir, termasuklah kerabat diraja, selebriti, pereka fesyen terkenal dan juga atlet.

BACA INI JUGA: LUAR BIASA! Di Peluk UNTA Yang Kerinduan Selepas Lama Tidak Bertemu!

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, September 15, 2016

8 Fakta Menarik Sambutan Perayaan Kuih Bulan Yang Anda Harus Tahu

8 Fakta Menarik Sambutan Perayaan Kuih Bulan Yang Anda Harus Tahu

Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh (zhōng qiū jié) adalah perayaan kaum Cina yang kedua penting selepas Tahun Baru Cina.

Kuih bulan

Mari kita kenali lebih dekat budaya kaum Cina ini dengan 8 fakta menarik perayaan ini.

1. Tarikh

Sambutan Pesta Kuih Bulan dirayakan pada hari ke-15, bulan lapan dalam calendar lunar Cina.

2. Sejarah

Perayaan Kuih Bulan dipercayai bermula 3,000 tahun lampau semasa pemerintahan Dinasti Shang (1600 – 1046 sebelum Masihi), di mana raja-raja menyembah bulan untuk mendapatkan hasil tuaian yang berganda pada musim luruh.

3. Dewi Bulan

Upacara menyembah bulan purnama diadakan pada malam perayaan di mana juadah seperti kuih bulan, akar teratai, buah-buahan, manisan dan juga barangan kosmetik seperti bedak disembahkan kepada Dewi Bulan yang bernama Chang Er.

4. Tanglung

Pada malam perayaan, kanak-kanak berarak di kawasan perumahan mereka dengan membawa tanglung yang berwarna-warni.

Di sesetengah kampung, orang dewasa bergembira dengan cuba menyelesaikan teka-teki yang ditulis di atas tanglung.

5. Malam Romantis

Di zaman lampau, kaum Cina juga menyembah Yue Xia Lao Ren atau Orang Tua di bulan yang dipercayai boleh menjodohkan pasangan untuk perkahwinan.

Di sesetengah kawasan di China juga, acara tarian diadakan untuk pemuda-pemudi untuk mencari pasangan.

6. Malam Kemenangan

Ia juga merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongolia di akhir Dinasti Yuan (1280 Sebelum Masihi – 1341 Masihi).

Pesanan rahsia untuk menggulingkan kerajaan Mongolia berjaya disebarkan dengan disorokkan dalam kuih bulan.

7. Masa Untuk Keluarga

Pada lazimnya, ahli keluarga berkumpul untuk makan besar dan upacara menyembah bulan pada malam Perayaan Kuih Bulan.

Bentuk kuih bulan yang bulat adalah simbolik kepada keharmonian sekeluarga.

8. Kuih Bulan

Perayaan Kuih Bulan tidak lengkap tanpa kuih bulan iaitu sejenis pastri tradisional yang berintikan pes kacang merah, biji teratai dan kuning telur masin.

Di zaman moden ini, terdapat pelbagai perisa inti kuih bulan yang menarik seperti cokelat, kopi, keladi, teh hijau, mangga bahkan durian!

BACA INI JUGA:

Sumber: Gemfive

Sejarah Dan Mitos Perayaan Kuih Bulan

Sejarah Dan Mitos Perayaan Kuih Bulan

Bulan, itulah simbol perayaan Kuih Bulan yang disambut kaum Cina setiap tahun. Cahaya yang terang dan bulan mengambang penuh dengan diterangi tanglung-tanglung adalah satu lagi perayaan terpenting kaum Cina.

Kuih+Bulan

Hari tersebut juga dikenali sebagai Pesta Perpaduan kerana bulan penuh akan muncul di langit. Bulan penuh melambangkan keluarga yang lengkap dan bersatu.

Mengikut kalendar Cina, pesta Kuih Bulan ialah pada hari ke-15 pada bulan Ogos hingga akhir September.

Asal usul perayaan Kuih Bulan mula diperkenalkan semasa Pesta Menuai di Dinasti Zhou dan ambutan ini diteruskan di istana semasa pemerintahan Dinasti Tang.

Maharaja pada masa itu akan berdoa terhadap bulan agar keluarga bersatu padu dan kedamaian negara dijamin.

Amalan ini diteruskan semasa Dinasti Song, yang disambut oleh raja dan rakyat seluruh negara dan diwariskan hingga kini.

Terdapat sejarah dan mitos yang amat menarik sinonim dengan perayaan Kuih Bulan.

Sebelum kita berbicara tentang sejarah dan mitos perayaan Kuih Bulan, kita mengenali Kuih Bulan sebagai satu hidangan istimewa pada perayaan ini.

Kuih Bulan diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang merah atau adunan biji teratai atau kuning telur masin.

Kini, Kuih Bulan telah dimodenkan dengan pelbagai warna dan adunan dengan pelbagai perisa seperti pandan, durian, keladi dan macam-macam lagi.

Ada juga kuih bulan yang dibuat dalam bentuk ais krim dan agar-agar dengan pelbagai warna dan bentuk tetapi masih mengekalkan konsep bulat seperti bulan. Kuih bulan bertemakan Angry Birds pun ada di pasaran hari ini.

Itulah penangan arus kemodenan. Kuih Bulan yang halal boleh juga dinikmati pelbagai bangsa.

Harga kuih bulan sudah semakin mahal dan dikatakan kalau ada lebih intinya seperti kuning telur masin, harganya mampu mencecah puluhan ringgit.

Selain itu, Kuih Bulan sebagai buah tangan kepada kaum keluarga dan sahabat handai juga amat digalakkan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Sejarah Kuih Bulan

Sejarah perayaan Kuih Bulan bukan sahaja dengan makan kuih bulan dan perarakan tanglung tetapi semangat perpaduan dan perjuangan yang tinggi dalam dua peristiwa yang berlaku.

Sejarah perjuangan pertama mengenai sambutan perayaan Kuih Bulan yang ingin saya kongsikan adalah tentang Dinasti Yuan.

Peristiwa pertama tentang sejarah perjuangan rakyat China semasa Dinasti Yuan dan satu lagi mitos tentang Permaisuri Chang Er yang berada di bulan menjadi dewi yang berpegang kepada soal prinsip hidup dan kesetiaannya.

Perayaan Kuih Bulan sangat berkait rapat dengan satu peristiwa sejarah dalam memperingati perjuangan rakyat China yang bangkit menuntut kebebasan di bawah pemerintahan Mongol yang menindas dan kejam.

Kekejaman dalam pemerintahan Mongol memaksa pihak Ming bersepakat untuk memberontak memperjuangkan dinasti mereka.

Pemimpin Xhu Yuan Zhang dan pengikutnya, Liu Bo Wen telah menyelitkan sepucuk nota ke dalam kuih bulan kepada rakyat.

Mesej yang diselit menerangkan cara-cara dan pesanan untuk rakyat bersatu menentang puak Mongol yang menindas mereka selama ini.

Pemberontakan berjaya maka kuih bulan menjadi makanan kebanggaan dan simbol perjuangan keadilan dan juga dikenali sebagai perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Mitos Dewi Bulan

Dewi Bulan

Pernahkah anda mendengar tentang Permaisuri Chang Er di bulan? Apa kata kita cuba fokuskan penglihatan kita betul-betul kepada bulan pada 30 September ini. Ada tak bayangan dewi di dalam bulan?

Benar atau tidak itulah mitos perayaan Kuih Bulan dengan cerita dongeng bahawa pada zaman purba, terdapat sepuluh buah matahari di langit.

Sepuluh buah matahari menyebabkan cuaca yang terlalu terik dan menyebabkan rakyat hidup dalam kepanasan yang boleh membawa maut.

Semasa Zaman Dinasti Xia (2070 hingga 1600 Sebelum Masihi) seorang raja bernama Hou Yi, raja Negeri Youqiong merupakan pahlawan yang gagah dan pandai memanah.

Baginda disanjung kerana ada kuasa misteri dan berjaya memanah sembilan daripada sepuluh buah matahari itu.

Rakyat jelata amat gembira dan memuja Hou Yi yang menyelamatkan mereka daripada ancaman maut. Hou Yi mempunyai isteri yang jelita bernama Chang Er.

Hou Yi telah dihadiahkan ginseng panjang umur oleh Permaisuri di Langit iaitu 'Wang Muniangniang'.

Ginseng panjang umur tersebut akan menjadikan orang yang memakan ginseng itu menjadi dewa atau dewi di kayangan.

Hou Yi yang terlalu sayangkan permaisurinya tidak sanggup makan ginseng panjang umur dan menyerahkan ginseng tersebut untuk disimpan Chang Er.

Peristiwa itu diketahui oleh Peng Meng, seorang pengikut Hou Yi. Ketika Hou Yi keluar, Peng Meng telah memaksa Chang Er memberikan ubat panjang umur itu kepadanya.

Chang Er tahu bahawa Peng Meng tidak jujur dan akan melakukan sesuatu kepada rakyat jelata jika menjadi dewa dan Chang Er terpaksa makan ubat tersebut untuk mengelakkan Peng Meng memakan ginseng panjang umur tersebut.

Chang Er terpaksa menelan ubat panjang umur kerana tidak mampu melawan Peng Meng dan akhirnya dia terbang dari bumi menuju ke bulan lalu menjadi dewi.

Sekembalinya Hou Yi ke istana, para dayang menceritakan apa yang telah berlaku kepada Hou Yi namun nasi sudah menjadi bubur. Chang Er telah pergi buat selama-lamanya menjadi dewi bulan.

Hou Yi berasa amat sedih, lalu menyeru permaisurinya di bulan kerana terlalu merinduinya. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang. Bayang permaisurinya yang bergerak di bulan pun dapat dilihatnya dengan jelas.

Setiap hari, bak kata pepatah "umpama pungguk rindukan bulan", Hou Yi akan berdoa untuk permaisurinya Chang Er yang berada di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya di tempat tertentu.

Dewi Chang Er menjadi pujaan rakyat di atas kesanggupannya menelan ubat tersebut daripada jatuh ke tangan Peng Meng.

Rakyat jelata juga beramai-ramai berdoa dengan meletakkan pelbagai jenis makanan, semoga Chang Er di bulan dapat memberikan kesejahteraan dan keamanan kepada rakyatnya.

Doa yang dilakukan beramai-ramai oleh kaum Cina akhirnya menjadi tradisi pada hari ke-15, bulan 8 menurut kalendar Cina.

Akhirnya, menjadi perayaan dan tradisi rakyat China terhadap kesetiaan Dewi Chang Er yang berkorban demi rakyat dan negaranya. Sedih tetapi penuh dengan kesedaran yang boleh dijadikan pengajaran.

Tanglung

Tanglung

Terdapat banyak cerita dongeng yang berbeza-beza tentang asal-usul Pesta Kuih Bulan di China, tetapi memakan kuih bulan merupakan perkara yang paling penting dalam Pesta Kuih Bulan ini.

Pada malam 15 haribulan bulan 8 menurut kalendar China, anggota keluarga akan berkumpul dan bersama-sama menikmati pemandangan bulan purnama yang indah sambil memakan kuih bulan yang enak diterangi tanglung-tanglung untuk melihat Permaisuri Chang Er.

Pelbagai cara yang berbeza-beza bagi etnik China dalam merayakan Pesta Kuih Bulan ini, namun tujuannya tetap sama, untuk memperjuangkan keamanan dan mengeratkan perpaduan.

Sambutlah perayaan yang bermakna ini bersama-sama tanpa mengira bangsa dan agama, sambil kita menikmati Kuih Bulan, buah-buahan dan teh serta bermain tanglung bersama keluarga.

Setiap peristiwa yang berlaku ada sejarahnya yang perlu diingati dan dijadikan iktibar dan mitos serta lagenda perayaan Kuih Bulan boleh dipelajari sebagai satu tradisi kebanggaan kaum Cina hingga ke anak cucu.

Namun, pastinya perisa asli Kuih Bulan itulah yang mampu mengungkap seribu persoalan dan menjawab ketulenan sebenar sejarah, mitos dan legenda Kuih Bulan.

BACA INI JUGA:

Sumber: Utusan