Tuesday, August 01, 2017

Faraid, Cara Pembahagian Harta Dalam Islam Sebagai Pilihan Terakhir

Faraid, Cara Pembahagian Harta Dalam Islam Sebagai Pilihan Terakhir

Artikel ini adalah perkongsian kepada anda agar tahu macam mana hendak mengira bahagian faraid ahli waris anda dengan cara yang paling mudah.

Faraid

Cara pengiraan yang tak perlu nak pening-pening kepala nak faham. InsyaAllah dengan kaedah ni ianya dapat membantu anda.

Untuk itu, jom kita sama-sama belajar cara pengiraan mudah ini.

Kita bawakan satu contoh sebuah keluarga yang dikira ‘standard’ di mana dalam sebuah keluarga diketuai oleh si suami, seorang Isteri dan lima orang anak yang terdiri daripada 2 kelaki dan 3 perempuan dan juga seorang ibu dan bapa si suami.

Telah ditakdirkan si suami tadi telahpun meninggal dunia dan insan-insan di atas merupakan ahli waris si arwah.

Dengan mengandaikan bahawa perkara-perkara seperti kos pengurusan jenazah, hutang piutang, harta sepencarian dan wasiat tak lebih 1/3 arwah telah diselesaikan terdapat lebihan harta berjumlah RM3 juta untuk diagihkan kepada ahli waris tadi mengikut kaedah faraid.

Setelah merujuk kepada surah an-nisa ayat 11-12, maka kadar pembahagian harta pusaka bagi waris-waris arwah mengikut faraid adalah seperti berikut:-
  1. Bahagian si ayah adalah sebanyak 1/6
  2. Bahagian si ibu adalah sebanyak 1/6
  3. Bahagian si isteri adalah sebanayk 1/8
  4. Anak-anak mendapat lebihan daripada baki harta di mana anak lelaki akan menerima dua bahagian dan anak perempuan akan menerima satu bahagian.

Berdasarkan ketetapan dalam surah an-Nisa’ di atas, setiap seorang ahli waris akan menerima bahagian masing-masing dengan jumlah yang berbeza.

Dan jumlah bahagian masing-masing adalah seperti berikut:-
  1. Si ayah mewarisi sebanyak RM500,000
  2. Si ibu mewarisi sebanyak RM500,000
  3. Si isteri mewarisi sebanyak RM375,000
  4. Anak lelaki mewarisi sebanyak RM464,285 setiap seorang
  5. Anak perempuan mewarisi sebanyak RM232,146 setiap seorang

Itulah jumlah harta pusaka arwah yang diterima oleh waris-warisnya mengikut agihan secara faraid berdasarkan kepada kadar di atas.

Bagaimana admin mendapatkan nilaian bahagian ahli waris ni?

Jom kami tunjukan cara pengiraannya.

KAEDAH 1: Tentukan dahulu nilai yang diterima oleh Ayah, Ibu dan Isteri arwah.

Untuk menentukan nilai yang akan diterima oleh ketiga-tiga ahli waris ini maka admin gunakan kaedah pecahan.

Kita dah tahu bahawa bahagian Ayah dan Ibu arwah adalah 1/6 dan bahagian untuk isteri arwah pula adalah 1/8.

Untuk mengetahui berapakah keseluruhan bahagian yang ada, maka kita mesti cari pembawah yang sama bagi pecahan-pecahan tersebut.

Maka kaedahnya adalah seperti berikut:-

Faraid

Menerusi kaedah di atas kita dah tahu bahawa keseluruhan bahagian harta peninggalan si arwah adalah 24 bahagian kesemuanya.

4 bahagian masing-masing adalah untuk ayah dan ibu manakala si isteri mendapat 3 bahagian. Daripada 24 bahagian tadi hanya 11 bahagian telahpun diagihkan. Manakala 13 bahagian lagi adalah untuk anak-anak si arwah.

Langkah seterusnya untuk mengetahui berapakah nilai RM yang diperolehi oleh setiap daripada mereka (ayah, ibu dan Isteri si arwah) maka kita perlu bahagikan RM3 juta tadi kepada 24 bahagian untuk kita ketahui berapakah jumlah bagi setiap bahagian

Maka satu bahagian adalah bernilai RM125,000.

Faraid

KAEDAH 2: Tentukan nilai yang diterima oleh anak-anak

Seperti mana yang admin dah bagitau awal-awal tadi bahawa anak-anak si arwah akan menerima lebihan harta setelah datuk, nenek dan ibunya mendapat bahagian masing-masing.

Memandangkan arwah mempunyai 2 orang anak lelaki maka pembahagian harta pusakanya akan terhenti setakat ini sahaja kerana mereka adalah penghalang (stopper) bagi waris-waris yang lain daripada menerima harta pusaka arwah .

Jadi setiap daripada anak lelaki arwah akan menerima dua bahagian manakala setiap anak-anak perempuannya akan menerima satu bahagian.

Maka cara pengiraan adalah seperti berikut:-

Faraid

Tadi anda dah tahu bahawa nilai bagi lebihan harta pusaka arwah yang masih belum diagihkan adalah sebanyak RM1,625,000 (RM3,000,000 – RM1,375,000).

Oleh itu, untuk mengetahui berapakah nilai bagi tiap-tiap satu bahagian daripada nilai baki aset maka RM1,625,000 perlu dibahagi dengan 7 bahagian dan anda akan dapati bahawa setiap bahagian bernilai RM232,142.86.

Dengan ini anda ketahui bahawa anak lelaki akan mewarisi baki harta pusaka arwah sebanyak RM464,285 (RM232,142 x 2 bahagian) setiap seorang dan anak-anak perempuanya pula mewarisi RM232,142.86 tiap-tiap seorang.

Jadi, itu saja caranya. Mudah kan!

Begitulah cara paling mudah pengiraan faraid secara manual dilakukan. Namun perlu diingat, apa yang di kongsikan di sini hanyalah salah satu keadaan sebuah keluarga yang biasa. Situasi ini boleh berubah mengikut kepada ahli waris si arwah.

Bagi kes si mati yang tidak ada anak lelaki, atau selain daripada situasi di atas maka kadar pembahagiannya berubah tetapi masih tertakluk pada kadar yang dinyatakan dalam ayat 11 dan 12 dalam surah an-Nisaa’ tadi.

Satu perkara yang perlu ditekankan di sini ialah faraid adalah cara agihan harta pusaka, adalah pilihan terakhir dalam sistem agihan harta pusaka Islam sekiranya cara pembahagian berasaskan persetujuan semua ahli waris yang dilakukan sebelumnya gagal.

Dan apa yang PALING PENTING ialah pembahagian harta pusaka ini tidak akan dapat dilaksanakan sekiranya tidak ada perlantikan pentadbir harta pusaka.

Tanpa pentadbir harta pusaka maka tiadalah pengagihan harta pusaka dapat dibuat kepada waris. Melantik pentadbir setelah berlakunya kematian pemilik harta pusaka berkemungkinan mudah ataupun sebaliknya.

Untuk mengelakan sebarang permasalahan, perlantikan pentadbir harta pusaka sewaktu anda masih hidup adalah jalan penyelesaiannya dan ianya hanya boleh dilakukan menerusi penulisan surat wasiat sahaja.

Semoga perkongsian kali ini akan memberikan sedikit pencerahan kepada anda tentang ilmu faraid yang amat berguna dalam membuat perancangan agihan harta pusaka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Cara Daftarkan Nama Anak Sebagai Pemilik Tanah atau Rumah Sebagai Persediaan

sumber: bijakpusaka