Thursday, May 20, 2021

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Covid-19: Cara Kerajaan Islam Dahulu Menangani Wabak Berbahaya

Di saat-saat genting yang negara kita hadapi, bahkan dunia yang sangat tenat kini, sangat penting untuk kita patuhi saranan ahli agama khususnya ulama dan juga pakar perubatan, kerana jika hanya bermodal semangat tanpa ilmu, maka akan lebih banyak merosak berbanding memperbaiki.

Wabak

Mari kita sorot kembali kepada lembaran sejarah Islam, seharusnya kita menyauk hikmahnya. Sejarah ini bukan hanya sekadar dinikmati kehebatan kisah-kisah masa lampau, tetapi juga untuk belajar daripada musibah zaman dulu agar tidak berulang lagi pada zaman ini.

Menyikapi suasana bencana yang kita bahkan seantero dunia sedang depani kini, ulama telah banyak menulis buku-buku berkaitan tentang 'treatment' menghadapinya.

Tinggal mahu atau tidak sahaja lagi untuk dinafi mahupun diikuti, namun fikirlah orang lain dan bukan hanya diri kita sendiri yang tidak mahu menelusuri, mengikuti mahupun mempercayainya.

Dr Ali Muhammad Audah yang telah menghimpunkan 24 kitab sepanjang zaman mengisahkan bagaimana umat mengalami bencana (dalam hal ini wabak penyakit) dan bagaimana pemerintah mereka menanganinya.

CARA PEMERINTAH ISLAM MELAWAN PENYAKIT BERJANGKIT

Antara pelajaran terpenting yang perlu kita ketahui adalah kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya 'Badl al-Maun fi Fadhli At-Tha'un' mengenai wabak penyakit menyerang kota Damsyik pada tahun 749 Hijrah atau sekitar tahun 1348 Masihi.

Maka, waktu itu majoriti ulama memberi saranan agar masyarakat tidak berkumpul dan menjauhkan diri daripada majlis-majlis serta tempat yang ramai orang, namun apakah yang terjadi selepas itu?

Masyarakat tidak mengikuti saranan yang diberikan para ulama dan mereka keluar menuju lapangan luas bersama para pemimpin negara. Mereka berdoa dan meminta pertolongan Allah secara beramai-ramai.

Sungguh menakutkan, wabak itu semakin menular padahal sebelum mereka berkumpul, mangsa kematian adalah sangat sedikit.

Hadis Rasulullah telah mengingatkan.

Seterusnya Imam Ibnu Hajar pun mengisahkan apa yang terjadi itu pernah juga terjadi pada zaman selepasnya ketika wabak melanda Kaherah (Mesir), tepatnya pada 27 Rabiul Akhir tahun 833 Hijrah (1430 Masihi) yang mana pada awalnya kes kematian kurang daripada 40 orang.

Masyarakat pada masa itu keluar ke tanah lapang pada 4 Jamadilawal setelah mereka melakukan puasa tiga hari sebagaimana yang dilakukan ketika akan solat istisqa' (mohon hujan).

Mereka berkumpul untuk tujuan berdoa kemudian pulang ke rumah masing-masing, namun tidak sampai sebulan setelah agenda berkumpul mereka itu, jumlah kematian meningkat mendadak menjadi 1,000 orang setiap hari dan terus bertambah.

GILA KUASA

Sungguh perkara itu telah terjadi di negara kita ini dengan permulaannya adalah ketika berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun 2020 lalu.

Betapa pihak kerajaan yang menyeru jangan keluar atau masuk ke tempat yang dijangkiti, tetapi itulah yang berbondong-bondong ahli politik lakukan!

Sunnah Nabi Muhammad SAW dalam mengendalikan sesuatu wabak penyakit yang melanda sesebuah tempat sebagaimana mafhum hadis berikut:

"Jika kamu mendengar wabak melanda suatu negeri, maka jangan kamu memasukinya. Dan jika kamu berada di daerah itu, janganlah kamu keluar untuk lari daripadanya." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Maka sejak usai PRN Sabah yang kali pertamanya berlangsung ketika negara berdepan serangan pandemik Covid-19, jangkitan di Semenanjung terus meningkat. Masihkah kita ingat keadaan itu?

Sejak awal lagi beberapa penganalisis menduga kelangsungan pilihan raya itu akan mengundang suatu yang negatif terhadap usaha membendung penyebaran Covid-19 di negara ini.

Ia jelas terbukti apabila kes baharu meningkat mendadak selepas PRN Sabah pada 26 September 2020 dan hal ini tidak dinafikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam ucapan khas beliau 6 Oktober 2020.

Berbalik kepada kisah yang ditulis oleh Imam Ibnu Hajar, beberapa orang pada waktu itu telah memberi fatwa bahawa berkumpul untuk berdoa itu perlu kerana beranggapan seharusnya demikian.

Ada juga yang menyatakan bahawa dulu, pada zaman seorang raja bernama al-Muayyad, situasi seperti itu terjadi dan wabak boleh ditangani dan hilang.

Hakikatnya, ulama telah menetapkan fatwa bahawa tidak berkumpul adalah keadaan yang lebih utama untuk menghindarkan diri daripada fitnah penyakit.

PATUHILAH SARANAN

Ya, kita wajib hanya takut kepada Allah, bukan Covid-19, namun kerana takutkan pada Allah, maka laksanakanlah sunnatullah yang perlu diikhtiarkan, bukan tidak kisah sahaja.

Oleh itu, perlu satu kaedah yang lebih rasional serta kritis kerana ia berkaitan keselamatan dan nyawa manusia yang nilainya amat besar. Ia tidak lain dan tidak bukan, fatwa daripada mufti yang perlu diselaraskan di setiap negeri. Jika tidak, boleh jadi wabak ini sukar dibendung. Setakat denda dan hukuman, sebenarnya ia akan menambah masalah baru pada rakyat.

Maka bersegeralah pihak yang sepatutnya melaksanakan selagi masih ada kesempatan ini. Boleh jadi itulah jalan dan petunjuk yang sebaiknya diikuti, bukan menambahkan bebanan rakyat yang sedia ada.

Kita sebagai rakyat dan masyarakat yang punya agama, segeralah sedar agar tidak terus mementingkan diri. Berlaku ihsanlah terhadap manusia lainnya yang berusaha melakukan yang terbaik untuk memutuskan rantaian wabak ini.

Dr Majdi al-Hilali menulis dalam kitabnya 'Innahu al-Quran Sirru Nahdhatina' bahawa umat yang memandang rendah terhadap usaha manusia bermaksud telah mengkhianati Allah.

Ini kerana Allah SWT memberikan kepada manusia hukum, sebab dan akibat. Tentunya yang tidak peduli dengan semua itu tandanya mereka tidak mensyukuri nikmat yang dikurniakan-Nya.

Beliau menjelaskan bahawa usaha manusiawi itu boleh jadi dalam bentuk 'physical distancing', menetap di rumah saja jika tiada keperluan yang mendesak di luar, sentiasa memakai penutup mulut (mask).

Begitu juga fatwa ulama tentang menghindarkan diri daripada tempat yang ramai, termasuk saranan sementara waktu untuk tidak solat di masjid dan surau, keputusan itu semuanya dengan dalil dan musyawarah yang panjang, tentunya bukan berlandaskan ego dan kepentingan peribadi.

Kerana nyawa seorang manusia itu mahal harganya, Umar bin Khattab r.a., imannya tinggi tetapi ketika diberi pilihan untuk datang ke daerah wabak atau kembali ke Madinah, beliau memilih untuk pulang ke Madinah.

Kalimahnya yang terkenal, "Kita pergi daripada takdir Allah kepada takdir Allah yang lain."

Atau bahasa mudahnya dapat kita ertikan sebagai, selamatkanlah diri kita daripada terjebak dengan sesuatu wabak itu, maka tetaplah di tempat yang didiami sendiri itu.

Makanya, ambillah pelajaran daripada sejarah ini agar kita muhasabah dan tidak jatuh di tempat yang sama dua kali dan kelak wabak pandemik yang melanda seantero ini segera dihilangkan Allah, hingga masjid kembali ramai dengan umat yang merindui serta kita semua dapat kembali hidup sebagaimana biasanya sebelum pandemik ini hadir.

Teruslah sama perbaikinya

Betapa ramai yang pernah terkena virus ini lalu sembuh dan dapat kembali hidup seperti biasa dan berapa ramai juga yang dijangkiti lalu ia pergi menghadap Ilahi.

Fikirlah agar kita terus berusaha melandaikan lekuk jangkitan ini. Hindarkan sikap pentingkan diri, prihatinlah dengan insan lain di sekeliling yang sangat berhati-hati.

Sampai bila kita semua hendak menunggu undang-undang, menunggu fatwa, menunggu penguatkuasaan atau menunggu diri sendiri dijangkiti Covid-19 terlebih dahulu? Nauzubillah.

Sewajarnya inilah masanya masyarakat menggunakan 'common sense' dan rasa tanggungjawab untuk sama-sama memerangi wabak ini.

Apa pun, kita tidak patut salahkan sesiapa lagi. Menoleh ke belakang dan menuding jari kepada mana-mana pihak hanya merugikan dan membuang masa berharga dalam menghadapi dan berjuang menghapuskan Covid-19 ini.

Rasional dan jalan terbaiknya ialah kita semua perlu melihat bagaimana untuk menghadapinya ke arah lebih baik dan memastikan kes baharu tidak terus meningkat hari demi hari.

Maka teruskan usaha-usaha kita bersama doa agar Allah segera melenyapkan virus ini di bumi Malaysia dan seluruh dunia. Ayuhlah!

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, May 04, 2021

Gelombang Covid-19 Yang Menghancurkan Sistem Perubatan India!

Gelombang Covid-19 Yang Menghancurkan Sistem Perubatan India!

Ketika ini, kes jangkitan Covid-19 di India mencatatkan lebih 300,000 kes sehari dengan lebih 3,000 kematian setiap hari, dengan hospital di seluruh negara itu sudah tidak mampu menampung pertambahan bilangan pesakit sehingga terpaksa menolak mana-mana pesakit yang cuba mendaftar masuk.

Covid-19

Selain itu, bekalan oksigen diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 semakin berkurangan sehingga memaksa sesetengah beralih kepada pasaran gelap untuk mendapatkannya.

Ya, memang benar kemunculan varian baru Covid-19 yang lebih mudah berjangkit menjadi pencetus gelombang kedua pandemik di India, tetapi hakikatnya pengisytiharan 'kemenangan' pra-matang yang dibuat kerajaan Narendra Modi pada September tahun 2020 lepas sebagai pencetus gelombang kedua Covid-19.

Mereka menyangka selepas berjaya menempuh gelombang pertama pada 2020, imuniti berkelompok sudah dicapai sekali gus membuka jalan kepada kehidupan normal pra-pandemik.

Mungkin ramai menggaru kepala dengan dakwaan ini yang dikemukakan oleh Modi kepada rakyat India pada tahun lepas, tetapi dakwaan mengarut ini disokong dengan model kajian kes Covid-19 di India yang menunjukkan imuniti berkelompok tercapai.

Dakwaan ini bukan sekadar dijaja di jurnal-jurnal penyelidikan, malah dalam kolum-kolum akhbar tempatan.

Selain itu, figura-figura terkemuka terutama ahli politik berterusan menjaja bilangan jangkitan dan kadar kematian yang rendah sebagai bukti kejayaan India menangani Covid-19.

Mereka memberi gambaran bahawa orang India mempunyai ciri istimewa yang membantu mereka kebal daripada jangkitan, namun bagi pakar virulogi dari Universiti Ashoka, Shahid Jameel, anggapan sebegitu mengarut semata-mata dan terbukti sudah memakan diri.

Bagi K Srinath Reddy, Presiden Yayasan Kesihatan Awam India, beliau memahami mengapa ahli-ahli politik berusaha menjaja naratif ini kepada rakyat jelata.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, India berdepan situasi kemelesetan ekonomi dan baru saja hendak bangkit semula dan selain itu, pemimpin-pemimpin sektor perniagaan turut menggesa sektor-sektor ekonomi dibuka semula lantaran mereka menanggung kerugian besar menutup operasi semasa PKP dilaksanakan di India.

Dengan bilangan kes semakin berkurangan pada Februari tahun 2021, kehidupan dilihat kembali seperti pra-pandemik, dengan pertandingan sukan dihadiri ribuan penonton, pusat-pusat beli-belah dibanjiri pengunjung dan aktiviti perkumpulan ramai dibenarkan termasuk perhimpunan-perhimpunan politik dan keagamaan.

Walaupun jawatankuasa parlimen India memberi amaran bilangan katil di hospital tidak akan mencukupi sekiranya berlaku gelombang Covid-19 yang seterusnya, ia langsung tidak diendahkan oleh Modi.

Hospital-hospital sementara dirobohkan termasuk empat buah hospital sementara di New Delhi dan hospital sementara dengan kapasiti 800 buah katil di Pune.

Selain itu, aktiviti perhimpunan terus giat dijalankan di sebalik amaran ia boleh menjadi pencetus pandemik, dengan salah satu daripadanya yang diluluskan kerajaan ialah festival keagamaan Kumbh Mela di Haridwar, Uttarakhand.

Ketua Menteri Tirath Singh Rawat menggalakkan ramai orang untuk hadir sambil menambah, "Tiada siapa yang akan dihalang di bawah nama Co3vid-19 kerana kami pasti keyakinan kepada Tuhan akan mengatasi ketakutan kepada virus ini."

Sejak itu, Uttarakhand mencatat pertambahan kes mendadak sebanyak 1,800% dalam tempoh 25 hari dan ironinya, antara individu yang disahkan positif Covid-19 ialah Singh Rawat sendiri.

Sementara di West Bengal pula, kempen-kempen pilihan raya negeri dinyatakan sebagai punca peningkatan kes Covid-19 paling tinggi di India, dengan proses pengundian dijalankan di sebalik peningkatan kes.

Dan kini, harga yang dibayar akibat kebebasan palsu ini ialah peningkatan kadar kematian yang tinggi terutama dalam kalangan generasi muda dan menurut Dr Amit Thadhani, pengarah hospital Niramaya di Mumbai, varian baru dilihat lebih agresif dengan kebanyakan mangsanya ialah orang muda.

Tambahnya lagi, kebanyakan kes yang dimasukkan ke hospital ialah individu muda yang menderita simptom-simptom Covid-19 yang kritikal.

Tetapi, yang paling memilukan ialah melihat ramai orang di atas pengusung yang menunggu giliran untuk dibawa masuk ke hospital.

Bagi yang bernasib baik, mereka boleh menunggu sambil menggunakan tangki oksigen yang dibeli sendiri, tetapi bagi yang tidak bernasib baik, maka tempat letak kereta hospital menjadi tempat untuk mereka menghembuskan nafas terakhir.

Bagi Dr Jalil Parkar, dari Hospital Lilavati, beliau mengakui sistem kesihatan awam India kini di ambang keruntuhan kerana bukan saja berdepan kekurangan pelbagai bahan seperti kit ujian saringan Covid-19, vaksin dan tangki oksigen, malah pihak hospital terpaksa menggunakan semua ruang yang ada termasuk koridor dan ruang bawah tanah sebagai wad pesakit Covid-19.

Dan bukan rakyat biasa saja yang berdepan masalah sebegini, pemimpin kerajaan juga turut bergelut mendapatkan katil rawatan untuk ahli keluarga mereka seperti dihadapi Vijay Singh Kumar.

Singh Kumar merupakan Ahli Parlimen Uttar Pradesh dan Menteri Pengangkutan India dan dalam satu ciapannya di Twitter, beliau merayu agar abangnya ditempatkan di hospital untuk rawatan Covid-19.

Berikutan bilangan kes Covid-19 yang tinggi, usah terkejut ada negeri cuba menyorok kadar kematian mereka dalam laporan rasmi Covid-19.

Antara negeri yang dituduh terlibat dalam perkara ini ialah Gujerat dan Uttar Pradesh dengan bilangan mayat yang disimpan di rumah mayat mengatasi angka rasmi kematian.

Dengan lambakan mayat sebegitu rupa, penggali kubur dan rumah-rumah pengebumian berdepan tugas sukar menguruskan pengebumian dan pembakaran mayat.

Contoh mudah, kemudahan pembakaran mayat Nigambodh Ghat di Delhi melaporkan mereka sudah kehabisan ruang untuk melaksanakan pembakaran mayat walaupun telah menyediakan 60 tempat pembakaran.

Manakala saban hari, penggali-penggali menggali kubur baru setiap hari untuk mengebumikan mayat yang baru tiba dari rumah mayat.

Kini, kerajaan-kerajaan negeri di Delhi dan Mumbai berlumba-lumba membina semula hospital-hospital sementara selepas dirobohkan berbulan-bulan sebelumnya dan kerajaan pusat turut mengumumkan mana-mana individu berusia 18 tahun ke atas layak mendapat vaksin bermula 1 Mei 2021.

Bagaimanapun, India masih berdepan isu kekurangan vaksin yang masih belum diselesaikan.

Di samping itu, India turut mengeluarkan perintah semua oksigen untuk kegunaan perindustrian dialihkan untuk kegunaan perubatan dan gerabak-gerabak keretapi turut diubahsuai sebagai wad-wad tambahan pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan Modi ibarat nasi sudah menjadi bubur, kerana bagi Dr Thandani, perkara ini sepatutnya disedari kerajaan sejak pertengahan tahun lepas tetapi mereka seolah-olah duduk dalam dunia mereka sendiri dan memandang rendah kesan pandemik Covid-19.

Dan beliau percaya gelombang kedua ini belum pun sampai ke puncaknya dan mungkin lebih ramai orang akan menderita untuk bulan-bulan seterusnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Monday, May 03, 2021

AstraZeneca: Vaksin 'Kelas Kambing' Untuk Rakyat Bukan Kayangan!

AstraZeneca: Vaksin 'Kelas Kambing' Untuk Rakyat Bukan Kayangan!

AstraZeneca nasibnya tak sama seperti Pfizer. Sebanyak 280,000 dos AstraZeneca sampai ke Malaysia tidak disambut macam selebriti seperti ketika Pfizer sampai di KLIA. Ada liputan khas secara langsung di televisyen.

Vaksin

Dua menteri dan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (KKM) hadir menyambutPfizer. Kemudian Pfizer dibawa dari lapangan terbang dengan outrider polis. Hebat layanan kepada Vaksin kelas bangsawan ini.

Manakala ketibaan AstraZeneca bukan sahaja tidak disambut oleh VIP tetapi ketibaannya di bumi Malaysia ini disangsikan.

Sekarang dunia tanpa sempadan. Berita beberapa negara di dunia menolak AstraZeneca untuk rakyat mereka dapat dibaca oleh rakyat Malaysia melalui internet.

Malangnya, inilah salah satu contoh kes dalam masyarakat Malaysia berkelas-kelas yang mengamalkan sistem dua darjat.

Dalam hal ini, saya angkat tabik hormat kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (Pick), Khairy Jamaluddin yang peka terhadap kebimbangan rakyat terhadap tahap keselamatan AstraZeneca kepada penerima vaksin itu.

Kata-kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba bahawa kemungkinan risiko AstraZeneca adalah kecil berbanding manfaatnya tidak mudah diterima oleh rakyat.

Anak-anak Malaysia bangkit dan bangun mencabar. Mereka tidak akan benarkan ibu bapa mereka, datuk nenek mereka yang tua berumur lebih 60 tahun disuntik dengan vaksin AstraZeneca.

Akhirnya kedua-dua menteri yang bertanggungjawab dalam program vaksinasi kebangsaan iaitu Khairy dan Dr Adham terpaksa tunduk dan mengalah.

Mereka akhirnya bersetuju bahawa vaksin AstraZeneca itu tidak dimasukkan dalam program vaksinisasi kebangsaan.

Syabas kepada Khairy dan Dr Adham kerana sedia mendengar protes rakyat. Jika berdegil dan keras kepala mungkin padahnya besar dalam pilihan raya tak lama lagi yang akan tiba.

Tetapi kenyataan Khairy yang menyatakan dia tidak mahu AstraZeneca itu membazir sahaja kerana telah dibeli maka dicipta satu program yang bernama "first come, first serve".

Maksudnya kerajaan menjemput rakyat yang sanggup tampil ke depan untuk menerima vaksin AstraZeneca itu secara sukarela.

Sekali pandang agak munasabah pendekatan menteri Khairy ini, tetapi jika ditimbang-timbang dan dibuat dua kali pandang, cadangan Khairy ini semacam memperjudikan nyawa rakyat secara sukarela.

Ada persamaan seperti perjudian nyawa tembak pistol di kepala sendiri secara "Russian Roullette."

Tidakkah menteri Khairy menyedari bahawa terdapat Perkara5(1) di bawah Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup kepada rakyatnya? "Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya kecuali mengikut undang-undang."

Saya menghormati sikap berjimat cermat Khairy yang tidak mahu 280,000 dos vaksin AstraZeneca itu terbuang membazir begitu sahaja. Vaksin itu dibeli dengan duit rakyat.

Mungkin dari RM5 bilion yang diambil dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang menjadi kontroversi.

Kerajaan sekarang sanggup membatalkan projek keretapi laju HSR dengan Singapura dan telah membayar sebanyak RM320 juta sebagai pampasan kepada republik itu.

Bayaran pampasan itu juga satu jenis pembaziran. Projek HSR tidak dapat tetapi negara rugi RM320 juta.

Tetapi, tidak ada nyawa yang jadi pertaruhan dalam kes pembatalan projek HSR itu.

Tidak sama dengan vaksin AstraZeneca ini. Negara Denmark di Eropah tetap dengan keputusannya menolak vaksin AstraZeneca untuk rakyatnya.

Akhir kalam, AstraZeneca ini benar-benar menggambarkan cerminan masyarakat berkelas di Malaysia yang masih feudal. Vaksin pun ada kelas bangsawan dan kelas marhaen.

Vaksin Pfizer adalah untuk kelas bangsawan dan AstraZeneca vaksin kelas marhaen. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan kepada semua rakyatnya tidak terpakai dalam program vaksinasi melawan Covid-19.

Falsafah Charles Darwin yang mengkaji teori evolusi dengan memperkenalkan konsep "natural selection" dan "survival for the fittest" nampaknya digunapakai dalam program vaksinasi di Malaysia.

Dr Adham dengan cepat sebelum ini menyatakan vaksin AstraZeneca akan disuntik kepada golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas.

Kenyataan menteri itu mengundang tafsiran bahawa rakyat golongan tua yang telah bersara dan tidak produktif lagi dari segi ekonomi akan disuntik dengan vaksin yang berisiko.

Tetapi menteri itu lupa, rakyat Malaysia apabila ditekan-tekan mereka akan bangkit.

Kini mereka bersuara lantang dan garang. Mereka menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan menentang keputusan menteri kesihatan itu.

Mereka tidak mahu ibubapa, nenek dan datuk mereka yang tua itu, yang mereka sayang dan kasihi dijadikan tikus makmal atau guinea-pig untuk disuntik dengan vaksin AstraZeneca yang jelas mampu menyebabkan rakyat bawahan mati katak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Monday, March 08, 2021

3 Gejala Pada Mata Tanda Anda Mungkin Dijangkiti Covid-19!

3 Gejala Pada Mata Tanda Anda Mungkin Dijangkiti Covid-19!

Jangkitan virus Covid-19 tidak hanya memberi kesan kepada sistem pernafasan, sebaliknya ia juga mampu tersebar ke organ-organ vital dalam tubuh lain termasuk mata, kerana virus ini juga mampu berkumpul dan berkembang sebagai selaput lendir pada permukaan mata, kelopak dan bahagian dalam mata yang sekali gus mempengaruhi penglihatan.

Covid-19
Gambar hiasan.

Dilaporkan, terdapat satu hingga tiga peratus pesakit Covid-19 mengalami gejala berkaitan mata.

Berikut adalah 3 tanda Covid-19 telah mempengaruhi penglihatan.

1. Sensitif terhadap cahaya

Menurut kajian yang dilakukan BMJ, hampir 18 peratus pesakit Covid-19 mengalami masalah sensitif terhadap cahaya yang juga disebut fotofobia. Gejala paling jelas apabila seseorang berasa tidak selesa dalam cahaya terang.

Jika ia berlarutan, keadaan itu dapat menyebabkan seseorang mengalami gangguan penglihatan.

Rasa sensitif itu juga dapat menyebabkan keradangan akut pada mata dan biasanya ia disertai dengan sakit kepala yang berdenyut-denyut.

2. Mata gatal, pedih

Mata gatal, pedih atau kering juga adalah gejala umum yang menunjukkan terdapatnya jangkitan akibat Covid-19.

Kajian dalam BMJ juga membuktikan bahawa 17 peratus pesakit mengalami kegatalan mata manakala 16 peratus pula mengalami sakit mata.

Ada juga pesakit Covid-19 yang mengalami gejala seperti sensasi terbakar, kemerahan, bengkak di kawasan mata serta kerap bersin.

3. Konjungtivitis

Pelbagai kajian menunjukkan bahawa pesakit yang dijangkiti virus Covid-19 boleh mengalami konjungtivitis iaitu keadaan di mana mata menjadi merah selain berair, bengkak dan gatal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Tuesday, March 02, 2021

Fakta Vaksin BioNTech Pfizer Covid-19 Sebenarnya Di Hasilkan Syarikat Muslim!

Fakta Vaksin BioNTech Pfizer Covid-19 Sebenarnya Di Hasilkan Syarikat Muslim!

Mungkin ramai daripada kita yang masih ragu-ragu dengan pembuatan dan seterusnya pengambilan suntikan vaksin COVID-19, berdasarkan kepada komen-komen di media sosial apabila kebanyakannya mempersoalkan bahan dan tujuan pembuatan vaksin.

Vaksin

Namun, disebalik kekecohan terbabit, tahukah anda bahawa vaksin yang dihasilkan untuk melawan wabak yang melanda seluruh dunia ini direka oleh dua orang tokoh kedokteran beragama Islam.

Mereka adalah suami isteri, Dr Ugur Sahin, 55, dan isterinya, Dr Ozlem Turci, berasal daripada keluarga Turki yang memilih untuk berpindah ke Jerman bagi mencari peluang hidup yang lebih cerah.

Kedua-dua mereka ini adalah pengasas kepada syarikat BioNTech yang bertanggungjawab bekerjasama dengan Pfizer untuk menghasilkan bekalan vaksin.

Dr Sahin telah berpindah ke Cologne, Jerman ketika beliau berusia empat tahun dan sejak dari kecil dia sudah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Mempunyai ijazah kepakaran khidmat terapi imuniti kepada pesakit barah telah mendorong beliau dan isterinya menubuhkan sebuah syarikat bagi membangunkan alat imunoterapi kanser.

Apa yang menariknya adalah beberapa tahun yang lalu, Dr Sahin menyatakan bahawa dia berharap bahawa syarikatnya akan mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin jika berlaku pandemik global.

BioNTech Pfizer

Dan kini, impiannya menjadi kenyataan apabila syarikat BioNTech yang menjalinkan kerjasama dengan Pfizer telah berjaya menghasilkan vaksin yang mampu mencegah jangkitan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Syarikat yang dibangunkan pada tahun 2008 itu kini sudah mempunyai 1,800 pekerja dan hasil pelaburan besar Pfizer ke atas syarikat BioNtech telah memberi manfaat yang besar kepada mereka dari segi kemudahan uji kaji dan pengkomersialan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Monday, January 04, 2021

Panduan Doktor Buat Pesakit Covid-19 Kuarantin Sendiri Di Rumah Jika 'Diabaikan' KKM

Panduan Doktor Buat Pesakit Covid-19 Kuarantin Sendiri Di Rumah Jika 'Diabaikan' KKM

Membenarkan pesakit Covid-19 tanpa gejala terus tinggal di rumah masing-masing sudah lama dilakukan di beberapa negara luar, tetapi ia agak asing di negara ini, bagaimanapun dengan peningkatan berterusan kes baru setiap hari, pilihan yang ada pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi semakin terhad.

Kuarantin Covid-19

Sebelum ini semua pesakit Covid-19 - sekali pun hanya menunjukkan simptom kecil - memang dibawa KKM ke hospital atau pusat kuarantin.

Pada April lalu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan amalan segera mengasingkan pesakit Covid-19 berkesan membantu mengekang penularan wabak tersebut, namun amalan berkenaan tidak lagi diamalkan.

Pertambahan kes baru berjumlah ribuan orang menyebabkan katil untuk pesakit Covid-19 atau ambulans untuk membawa mereka ke pusat pengasingan tidak lagi mencukupi.

Noor Hisham turut menasihatkan pesakit Covid-19 asimptomatik agar mengkuarantin diri sendiri di rumah sehingga ada katil kosong untuk mereka di hospital.

Perubahan pendekatan - bukan disebabkan pertukaran dasar yang disengajakan sebaliknya akibat terpaksa ekoran sistem penjagaan kesihatan awam yang kini terhad - menimbulkan kekeliruan.

Pesakit Covid-19 Di Biarkan Terkapai-kapai

Sebilangan orang yang positif Covid-19 tidak tahu apa yang harus mereka lakukan sementara menunggu berhari-hari lamanya sebelum dijemput KKM.

Pakar perunding pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara, Dr Musa Mohd Nordin, menyarankan beberapa tindakan sementara yang boleh dilakukan pesakit Covid-19 sementara mereka menunggu di rumah.

Berikut adalah garis panduan yang dicadangkan:

Kontak Rapat Covid-19

1. Jika anda positif tetapi asimptomatik, terus berada di rumah dan lakukan pengasingan kendiri sebaik saja keputusan ujian diterima.

2. Semua isi rumah juga perlu melakukan pengasingan.

3. Pejabat kesihatan daerah akan menghubungi anda pada waktu yang sepatutnya.

4. Anda hanya boleh meninggalkan rumah dalam keadaan tertentu.

5. Jangan pergi ke tempat kerja, sekolah atau kawasan awam.

6. Jangan gunakan pengangkutan awam atau teksi.

7. Jika perlu keluar rumah, anda mesti memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal sebelum kembali serta-merta selepas selesai berurusan.

8. Di Selangor, Pasukan Khas Covid-19 Selangor (STC) akan memaklumkan keputusan anda melalui aplikasi SeLangkah dalam tempoh 24 jam selepas ujian dijalankan. Justeru anda tidak perlu keluar dari rumah untuk mendapatkan keputusan tersebut.

9. Jauhkan diri sebaik mungkin daripada orang lain dalam rumah, terutama jika mereka adalah golongan berisiko tinggi.

10. Di mana boleh, elakkan daripada menggunakan ruang bersama seperti dapur atau seumpamanya ketika ada orang lain dan bawa makanan anda ke bilik untuk dimakan.

11. Pakai pelindung muka atau pelitup muka pembedahan semasa meluangkan masa di kawasan bersama dalam rumah anda.

12. Lakukan kegiatan beriadah di dalam atau kawasan halaman rumah saja.

13. Patuhi nasihat umum bagi mengurangkan penularan jangkitan dalam kalangan penghuni rumah.

14. Tempoh pengasingan anda termasuk hari anda melakukan ujian dan 10 hari berikutnya.

15. Maksudnya jika ujian pertama dilakukan 15 hari bulan, tempoh pengasingan anda berakhir pada jam 11.59 malam 25 hari bulan.

16. Tempoh pengasingan rasmi 10 hari bermula pada hari keputusan ujian menunjukkan anda positif.

17. Kebanyakan pesakit Covid-1 mengalami rasa tidak sihat yang ringan. Dapatkan segera rawatan sekiranya keadaan anda atau penghuni rumah anda semakin buruk.

18. Anda boleh kembali menjalani kehidupan biasa dan menamatkan pengasingan 10 hari penuh jika anda kekal dalam keadaan sihat, atau simptom anda cuma batuk ringan atau kehilangan deria baru yang mungkin memerlukan masa beberapa minggu untuk pulih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Friday, December 18, 2020

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Vaksin Pfizer Covid-19 Berkesan 95 Peratus!

Pemilihan vaksin Covid-19 keluaran syarikat farmaseutikal antarabangsa Pfizer oleh kerajaan Malaysia, adalah berdasarkan laporan interim ujian klinikal yang menunjukkan keberkesanan vaksin adalah 95 peratus dalam mencegah jangkitan wabak itu.

Vaksin Pfizer

Laporan interim ujian itu telah diterbitkan di The New England Journal of Medicine pada 10 Disember 2020 lalu, malah kerajaan turut mendapat akses data untuk menilai kualiti, keselamatan dan tahap keberkesanan vaksin itu.

Vaksin ini juga telah mendapat Emergency Use Authorization daripada tujuh negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Bahrain, Kanada, Arab Saudi, Mexico dan Singapura.

Bagaimanapun, keputusan pembelian akhir serta penggunaan vaksin itu di Malaysia adalah tertakluk kepada pendaftaran dan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain itu, Jawatankuasa Khas Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang ditubuhkan sebelum ini, sedang mempertimbangkan calon vaksin lain yang berada di fasa tiga ujian klinikal bagi tujuan imuniti kelompok sehingga 70 peratus jumlah populasi negara.

Vaksin Covid-19: Agama tuntut cegah penularan wabak

Pengambilan vaksin penting dan menjadi langkah pencegahan yang dituntut mana-mana agama untuk mengelakkan penularan penyakit atau wabak seperti Covid-19 menjejaskan populasi manusia, kata pemimpin agama.

Mereka senada berpendapat, pengambilan vaksin itu adalah sifat yang dituntut dan dikategorikan sebagai amalan baik untuk menjaga kesihatan diri sendiri, orang sekeliling, masyarakat, dan negara.

Mufti Wilayah Persekutuan Dr Luqman Abdullah berkata pandemik Covid-19 itu berisiko tinggi membawa mudarat kepada orang Islam justeru langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelak ia terus menular dan membahayakan.

"Seperti kita tahu, tiada lagi undang-undang khusus agar pengambilan vaksin (apabila ada di pasaran) itu jatuh sebagai hukum wajib. Jadi kita kena bergerak dalam rangka undang-undang.

"Vaksin itu harus, tapi digalakkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai keperluan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

"Kalau penggambilan atau penggunaan vaksin itu tidak diutamakan, akan wujud kemungkinan hadirnya penyakit lain, yang dibimbangi akan membawa keseriusan atau masalah yang sama seperti Covid-19.

"Jadi apabila ada vaksin, ia akan membanteras perkara itu dari berlaku. Pencegahan dituntut dalam agama," katanya.

Penting dari sumber halal

Kerajaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja berhubung fatwa penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas mengenai hal itu telah dipersembahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.

Vaksin Covid-19 juga akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia, manakala warga asing akan dikenakan caj yang akan ditetapkan KKM.

Pada masa yang sama kerajaan tidak bercadang untuk mewajibkan pengambilan vaksin itu sebaliknya hanya diberikan kepada mereka yang bersetuju untuk mengambilnya secara sukarela, terutama golongan berisiko dan mudah menghidapi penyakit.

Luqman yang juga bekas pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata, perlu dipastikan juga sumber vaksin itu dari bahan yang halal dan diperakui KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), bagi mengelakkan berlakunya polemik berpanjangan.

"Kerana itu pentingnya saintis Muslim seluruh dunia menggerakkan usaha mencipta vaksin 100 peratus dari bahan atau sumber yang halal, agar tidak lagi menjadi pendebatan.

"Sumber yang halal itu penting kerana adalah perkara pokok yang akan menjadi buah mulut kita semua.

“Selain itu, perlu dipastikan juga ia tiada kesan sampingan atau negatif kepada penerima vaksin,” katanya.

Penerimaan vaksin dari sumber lain (tidak halal) dibenarkan mengikut kesesuaian dan keadaan tertentu sahaja, asalkan ia tidak menyimpang daripada syariat Islam yang jelas mementingkan maslahat manusia di dunia dan akhirat.

Jadikan dunia lebih selamat

Presiden Malaysia Hindu Sangam RS Mohan Shan berkata pengambilan vaksin itu mesti diambil dan perlu diutamakan kerana ia amalan yang baik untuk kesejahteraan hidup seseorang tanpa mengira agama, bangsa, dan negara.

"Ia adalah langkah yang penting untuk kesihatan. Manusia yang baik ialah orang yang tidak menyusahkan orang lain dan tidak mementingkan diri, malah berfikiran sebagai seorang yang rakyat yang pentingkan negara berbanding diri sendiri.

"Janganlah mati sia-sia disebabkan Covid-19. Kita perlu utamakan kesihatan dan pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan yang terbaik," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Dhammaduta Malaysia Sister Loh Pai Ling berkata menurut Buddha, amalan berbuat baik dan mengelak kejahatan itu penting.

Justeru katanya, pengambilan vaksin yang memberi kesan yang baik untuk seseorang individu dan juga masyarakat adalah termasuk dalam amalan tersebut.

Jelasnya, ketika negara dan dunia sedang mengalami pandemik Covid-19, kehadiran vaksin mampu menjadikan dunia selamat, sihat dan stabil untuk didiami.

"Kita perlu ada niat yang suci murni dan tujuan yang baik untuk menjadikan negara atau dunia dengan komuniti yang selamat (aman bebas dari pandemik), sihat dan stabil, dapat dicapai dengan sempurna.

"Bagaimanapun, mereka yang enggan menerima atau menolak pengambilan vaksin (atas apa jua alasan/sebab), mesti mengikut prosedur operasi standard, sama ada untuk diri mereka sendiri atau komuniti rapat yang mempunyai hubungan dengan mereka," tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Gurdwara Malaysia Sardar Jagir Singh berkata dari segi agama Sikh, tiada larangan untuk pengambilan vaksin sebagai langkah untuk memelihara diri daripada ancaman Covid-19.

"Penting juga bagi masyarakat mengambil vaksin untuk keselamatan diri dan juga bagi kebaikan serta keselamatan masyarakat.

"Jika kita tak mahu mengambilnya maka kita akan mengancam diri sendiri dan mengancam keselamatan masyarakat dan keluarga," tambahnya.

Alahan Teruk

Sementara itu, individu dengan alahan teruk mungkin dilarang mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 yang dihasilkan firma Pfizer dan BioNTech.

Amaran tersebut disampaikan oleh saintis pemerintah yang juga penasihat utama program vaksin dan rawatan Covid di Amerika, Dr Moncef Slaoui.

Dr Slaoui berkata, "Pesakit dengan alahan teruk telah dikecualikan daripada menjalani uji kaji klinikal. Saya jangkakan, disebabkan FDA akan membuat keputusan, perkara ini akan dipertimbangkan.

"Jangkaannya ialah, pesakit dengan alahan teruk akan diminta supaya tidak mendapatkan suntikan itu sehingga kami betul-betul memahami kedudukan perkara sebenar."

Menurut laporan Reuters, Agensi Kawalan Produk Ubat-Ubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA) mencatat dan menyiasat dua kes alahan teruk (anafilaksis) dan satu kes yang mungkin menunjukkan alahan ekoran program suntikan Covid-19 di Britain dan beberapa kes di seluruh dunia.

Anafilaksis berlaku ekoran tindak balas daya ketahanan tubuh manusia yang boleh menjadi teruk dan ada kalanya membawa maut. Pihak Pfizer dan BioNTech menyokong siasatan MHRA.

Sehubungan itu, FDA mungkin akan meminta pembekal supaya memerhatikan sama ada penerima vaksin akan menghadapi sakit lumpuh pada wajah yang dinamakan palsi Bell atau tidak.

Palsi Bell secara am jarang berlaku, bersifat sementara dan tidak serius.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Monday, October 12, 2020

Covid-19: Menteri Kayangan Malaysia Punca Gelombang Ketiga Meletus!

Covid-19: Menteri Kayangan Malaysia Punca Gelombang Ketiga Meletus!

Semasa saya menulis warkah ini, terdapat 400 pesakit positif Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth, hospital rujukan tertiari Sabah di Kota Kinabalu termasuk merawat Ketua Menteri Sabah (Hajiji Mohd Noor).

Covid-19


Semua pesakit bukan Covid-19 yang tidak mempunyai penyakit yang mengancam nyawa tidak diterima untuk menyalurkan semua sumber bagi menangani Covid-19.

Bahkan ujian makmal rutin biasa telah dikurangkan untuk membolehkan lebih banyak ujian untuk Covid-19.

Pekerja penjagaan kesihatan letih dan kepenatan. Sumber seperti PPE dan peralatan penting lain hampir habis. Kakitangan dipanggil untuk bertugas di jabatan lain kerana ramai daripada mereka dikuarantin.

Kerja keras selama berbulan-bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama telah dipandang sambil lewa dan diketepikan!

Kita telah mencapai jumlah kes pecah rekod berjumlah 691 pada 6 Oktober 2020.

Malaysia Memasuki Gelombang Ketiga!

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19 selepas mencatatkan angka tiga digit kes baharu selama beberapa hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam Facebook rasminya mengingatkan orang ramai supaya bekerjasama memutuskan penularan rantaian wabak itu.

"Kita sekarang sudah memasuki gelombang ketiga #COVID19.

"Sekali lagi kita mesti bersama berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini. #KitaJagaKita," katanya.

Sabah Jadi Kambing Hitam

Pada masa ini terdapat 3439 kes positif di Malaysia, di mana 1901 (55 peratus), lebih daripada separuh berasal dari Sabah.

Dari 1 September 2020 ke 10 Oktober 2020, Sabah mempunyai 3423 kes, ini mengejutkan kerana ia bersamaan dengan 22 peratus daripada 15,096 kes yang direkodkan Malaysia sejak awal!

Terdapat 21 kematian yang merupakan 13.5 peratus daripada jumlah 152 kematian setakat ini.

Sedarlah wahai Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin yang dikasihi, anda ialah seorang "abah" yang mahu "merotan" rakyatnya kerana berkelakuan buruk dan tidak mematuhi SOP, tetapi menutup mata terhadap menteri-menteri kerajaan pintu belakang.

Anda gagal menyedari bahawa fakta menyedihkan mengenai gelombang baru Covid-19 yang disenaraikan di atas bukan disebabkan oleh Covid-19, tetapi kegagalan pentadbiran anda untuk mengutamakan kesihatan rakyat di atas segalanya.

Dengan mengabaikan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan membiarkan pilihan raya negeri berlangsung, kempen tanpa kawalan oleh jentera yang terlalu bersemangat (pada semua parti yang bertanding) ini telah menyebabkan penderitaan ramai orang pada hari ini.

Kasta Tinggi Punca COVID-19 Merebak

Faktanya bahawa ketua menteri Sabah sendiri telah dijangkiti menunjukkan sejauh mana menularnya virus itu.

Menteri dan banyak pegawai atasan lain yang tidak mengikuti SOP dan dilepaskan adalah punca sebenar berlakunya peningkatan kes yang mendadak ini.

Kelewatan dalam melaksanakan perintah penutupan pula ibarat 'luka disirami garam' memperburuk keadaan yang sudah teruk.

Sedar dan lihatlah bahawa ramai orang tidak akan menganggap anda sebagai "Abah" kerana didakwa telah membiarkan "anak-anak anda" menderita dengan menyebabkan gelombang baru wabak ini dan menambah buruk keadaan dengan mengamalkan pilih kasih melalui hukuman selektif terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP.

Seret VIP (orang kenamaan) yang menjadi penyebab gelombang Covid-19 ini dan singkirkan mereka daripada jawatan.

Mereka telah membawa lebih banyak penderitaan kepada orang-orang yang memilih mereka untuk berkuasa. Ini penyelewengan kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada mereka.

Kematian yang berlaku akibat gelombang baru Covid-19 ini berkaitan secara langsung dengan mereka semua dan mereka mesti bertanggungjawab! Cukuplah bercakap.

Tinggalkan kiasan anda dan perutusan rasmi, bertindak pantas. Kami letih dengan ucapan panjang lebar yang tidak mempunyai isi yang nyata selain dijadikan sindiran di internet dan jenaka media sosial.

Jumlah masa dan sumber daya yang digunakan oleh "perutusan khas" anda dapat disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan dengan lebih baik lagi.

Ambil tindakan sebenar.

Sedar akan kesalahan dan kegagalan serta betulkan dengan segera. Salurkan sumber ke Sabah dengan secepatnya.

Ketua menteri Sabah kini dirawat di wad di Hospital Queen Elizabeth tetapi seperti semua VIP lain, tidak perlu berbaring di jabatan kecemasan menunggu tempat tidur di wad.

Terdapat kekurangan rasa empati dan tindakan sebenar daripada pentadbiran tertinggi negara, yang mengakibatkan ketidakpedulian terhadap keadaan sebenarnya di lapangan.

Segera, bekalkan PPE yang mencukupi untuk bertahan sehingga akhir tahun kerana banyak pusat di Sabah akan kehabisan PPE tidak lama lagi dan kita akan melihat keadaan PPE DIY yang pernah terjadi jika ini tidak dilakukan.

Sistem pengedaran PPE terpusat yang diselaraskan perlu menggantikan sistem semasa yang perlahan dan tidak telus.

Elaun Covid-19 untuk pekerja penjagaan kesihatan di barisan hadapan perlu diberikan sepanjang tempoh ini dan bukan beberapa bulan selepas itu.

Banyak pengorbanan yang dibuat, ibu bapa kepada bayi yang baru lahir terpaksa bekerja; cuti tahunan telah dibekukan; ramai yang bekerja lebih masa dengan mengurangkan tidur dan rehat.

Arahkan sektor swasta untuk membantu dalam pengurusan kes Covid-19 dan membayar balik dengan dana yang diperlukan. Jika perlu, gunakan dana kecemasan.

Apakah penderitaan "anak-anak abah" tidak dapat menggerakkan hati anda?

Bodoh Tidak Bertempat

Menteri Pertahanan (Ismail Sabri Yaakob) telah mengumumkan majlis perkahwinan yang dihadiri tetamu lebih 250 orang dibenarkan dengan menunjukkan kad jemputan perkahwinan (pada sekatan jalan).

Ini benar-benar tidak masuk akal dan bodoh.

Apa gunanya mendapat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) manakala perhimpunan sebegitu masih dibenarkan?

Tolong gunakan akal sihat semasa melaksanakan SOP, dengarlah nasihat Kementerian Kesihatan daripada mendorong mereka dan memujuk mereka untuk melakukan sebaliknya.

Jangan putus asa

Kepada rakyat, sama ada di Sabah atau di manapun, saya menggesa anda untuk mengamalkan SOP seketat mungkin.

Jangan mematuhi SOP yang tidak masuk akal - perkahwinan boleh ditunda ke kemudian hari; perhimpunan besar tidak boleh diadakan sehingga kita dapat mengawal keadaan.

Sudah sampai waktunya untuk bangkit dan memutuskan bagaimana kelangsungan hidup "keluarga" perlu diteruskan kerana "abah" kita seakan tidak mampu.

Berikan sokongan anda kepada mereka yang berada di barisan hadapan, sama ada dalam bentuk wang, makanan, atau alat bantuan lain.

Mereka yang diberkati kerana lebih berada perlu membantu golongan yang serba kekurangan.

Kepada mereka yang berada di barisan hadapan, jangan berputus asa. Seluruh rakyat negara ini berada di belakang anda dan menyokong anda, melalui bantuan material dan yang lain bila-bila yang boleh memanjatkan doa.

Kebodohan individu tertentu mungkin telah mensia-siakan usaha beberapa bulan yang lalu dan membuang semua masa dan tenaga anda; tetapi Malaysia lebih memerlukan anda sekarang.

Semoga Tuhan memberi anda kekuatan, kesabaran dan ketabahan melalui saat-saat ini. Sama-samalah kita berdoa.

Nota: Penulis adalah DR TACHDIJAN ialah nama samaran. Beliau ialah seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com