Tuesday, July 30, 2019

Asal-usul Lagu Dondang Sayang

Asal-usul Lagu Dondang Sayang

Dondang Sayang merupakan sejenis nyanyian atau balada cinta yang digunakan oleh masyarakat dahulu kala untuk menyampaikan perasaan kasih mereka dan dinyanyikan dalam bentuk berbalas pantun yang di sampaikan secara spontan oleh penyanyinya.

Asal-usul Dondang Sayang

Menurut sejarah, Dondang Sayang muncul pada kurun ke15 Masihi semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka, iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah.

Dondang Sayang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka.

"Dondang" bermakna nyanyian, manakala "dondang sayang" bermaksud nyanyian mengulit kasih.

Nyanyian Dondang Sayang ini digunakan untuk menghiburkan para pedagang yang singgah di Melaka dan merupakan seni persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu yang sangat menghiburkan, ada kalanya agak melucukan.

Kualiti nyanyian bagi seni ini bergantung kepada kecekapan penyanyinya berjual beli pantun.

Ahli

Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi empat orang ahli muzik yang terdiri daripada:
  • Seorang pemain biola;
  • Dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; seorang pemain tawak ( gong kecil).

Pemain biola biasa merupakan ketua kumpulan ahli muzik yang memainkan peranan utama dalam dondang sayang, dan membekalkan melodi kaunter kepada melodi vokal atau suara.

Pemain-pemain muzik boleh saling bertukar alat- alat muzik mereka antara persembahan, tetapi pemain biola jarang berbuat demikian, walaupun dibenarkan.

Sehingga lima buah rebana boleh digunakan, jika terdapat pemain muzik yang berlebihan.

Kadang-kadang, rebana boleh digantikan dengan gendang ataupun kompang. Barisan alat muzik boleh juga ditambahkan dengan akordion.

Alat

Alat-alat muzik yang digunakan untuk mengiringi nyanyian Dondang Sayang terdiri daripada sebuah biola, sebuah gong dan 3 buah rebana yang mana terbahagi kepada dua, iaitu rebana kompang atau rebana keras.

Kini, persembahan dondang sayang diiringi alat muzik seperti biola, rebana, gong atau tetawak, gendang dan akordion.

Alat muzik ini ialah satu gabungan simbolis yang mencernakan satu sejarah kegemilangan negeri Melaka pada masa dahulu.

Rebana berasal dari Timur Tengah, biola berasal dari Portugis dan gong warisan pedagang Cina. Daripada gabungan ini, lahirlah peralatan muzik dalam dondang sayang.

Bagaimanapun, alat muzik yang penting ialah biola, rebana, gong atau tetawak, sementara alat sampingan ialah akordion, marakas, tamborin dan gendang.

Persembahan

Persembahan dondang sayang dimulakan dengan gesekan biola, dikuti tingkahan rebana dan gong. Pada waktu yang sama pantun dondang sayang akan dinyanyikan.

Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar, bermula dengan pengenalan biola, diikuti rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh nyanyian pada bar kelima. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.

Dalam lagu dondang sayang, penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kadang-kadang lucu.

Jumlah pemantun tidak terhad tetapi berpasang-pasangan. Mereka mendendangkan pantun empat kerat secara berlagu dengan berbalas-balas pantun sesama mereka.

Pemantun akan mendendangkan lagu mengikut muzik yang dimainkan.

Setiap pantun soal harus dijawab oleh pemantun seorang lagi. Sekiranya pantun itu tidak terjawab maka penyanyi yang ketiga boleh mengambil alih nyanyian itu.

Jenis

Ada empat jenis dondang sayang, iaitu dondang sayang Melaka, dondang sayang Baba Peranakan, dondang sayang Tanjung Penyengat dan dondang sayang Pulau Pinang.

Sungguhpun penjenisan ini lebih relatif sifatnya, setiap persembahan dondang sayang tetap diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India dan Portugis terutamanya di Melaka.

Dondang sayang turut dipertandingkan dalam pelbagai pertandingan pada peringkat negeri dan kebangsaan, antaranya Pesta Dendang Rakyat dan Pertandingan Dondang Sayang anjuran kerajaan.

Semakin Dilupakan

Pada masa dahulu, persembahan Dondang Sayang merupakan pilihan utama masyarakat untuk menceriakan lagi majlis-majlis perkahwinan yang di adakan.

Tetapi, pada zaman yang serba moden ini nyanyian Dondang Sayang semakin pupus terutamanya dalam kalangan masyarakat muda.

Pada 29 November 2018 tahun yang lalu, Dondang Sayang mendapat pengiktirafan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai ‘Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity.’

“Si kaduk panjat pokok pisang,
Jumpa kuda terus melompat,
Jika umur masih panjang,
Belajar sungguh sampai dapat.”

“Dara berbedak menyikat rambut,
Sambil memakai emas bersaga,
Kalau tak hendak intan tercabut,
Kenalah pandai tuan menjaga."

“Hati senang memetik nangka,
Pergi memetik jangan ditangguh,
Nasihat saya untuk orang muda,
Belajar Dondang Sayang bersungguh-sungguh”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, June 17, 2019

Sejarah Lagu Liverpool 'You’ll Never Walk Alone'

Sejarah Lagu Liverpool 'You’ll Never Walk Alone'

Anda pastinya mengenali lagu ini jika anda adalah peminat setia pasukan bolasepak Liverpool FC kerana lagu ini mempunyai sejarah yang panjang, terutamanya dalam seni teater Broadway. Lagu ini merupakan salah satu lagu dalam teater Broadway yang berjudul Carousel, yang ditulis oleh Oscar Hammerstein II dan Richard Rodgers, pada tahun 1945.

Lagu Liverpool

Drama Carousel ini diadaptasi daripada skrip teater Liliom, karya Ferenc Molnar, iaitu penggiat seni teater di Austria-Hungary pada tahun 1909.

Drama ini mengisahkan Andreas Zavocky yang dikenali sebagai Liliom (dalam Bahasa Hungary bermaksud budak jahat) yang bercinta dengan penjaga karosel (kuda pusing dalam sarkis) bernama Julie Zeller.

Dalam drama yang berlatarbelakangkan Great Depression dan kesukaran hidup, menceritakan bagaimana Liliom yang terlibat dengan kegiatan jenayah untuk meneruskan hidup dan mahu meninggalkan Julie, namun terpaksa bertahan apabila mengetahui Julie mengandung.

Liliom kemudiannya mendapat idea untuk meninggalkan kekasihnya, iaitu merompak dan menikam diri sendiri.

Dan kemudian, Liliom melihat penderitaan Julie dan rohnya terseksa melihat pengorbanan kekasihnya membesarkan anaknya.

Persembahan teater ini mendapat tempat dihati ramai orang, terutamanya mereka yang bercinta atau berkahwin dengan tentera yang ketika itu sedang dalam perbatasan dalam Perang Dunia Kedua, dan lagu You’ll Never Walk Alone menjadi popular di Amerika.

Kemudian pada tahun 1963, lagu ini dinyanyikan semula oleh kumpulan popular dari Merseyside sebelum The Beatles menempa nama, iaitu Gerry and The Pacemakers.

Gerry and The Pacemakers, merupakan kumpulan irama Merseybeat (yang sealiran dengan The Beatles sebelum popular), menyanyikan lagu ini dan mendapat tempat di hati pengurus pasukan Liverpool ketika itu, Bill Shankly.

Bill Shankly merasakan lagu itu mempunyai semangat bersatu-padu dan menyatukan seluruh peminat bolasepak Liverpool, memilih lagu tersebut sebagai lagu tema Liverpool dan lagu itu dimainkan di Anfield kali pertama pada tahun 1963.

Penyanyi kumpulan tersebut Gerry Marsden juga merupakan peminat pasukan Liverpool teruja dengan permintaan Bill Shankly dan ia dimainkan di Wembley pada tahun 1965 ketika Liverpool menewaskan Leeds United 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA.

Semenjak itu, lagu You’ll Never Walk Alone versi Gerry and The Pacemakers dimainkan di Anfield setiap kali bermulanya perlawanan di situ.

Oleh kerana populariti pasukan Liverpool, pasukan lain seperti Celtic juga menggunakan lagu tersebut dalam kejohanan Cup Winners Cup pada tahun 1966, sebelum menjadi juara Eropah pada tahun 1967.

Lagu ini juga digunakan oleh Borussia Dortmund di Jerman selepas tahun 1966, FC Twente, Feyenoord, dan SC Cambuur di Belanda, sebelum St Pauli di Jerman juga menggunakan lagu ini pada 1970an.

Lagu ini juga digunakan oleh FSV Mainz 05, kelab di mana Juergen Klopp, jurulatih Liverpool bermain dan pernah menjadi pengurus di situ (sekarang faham kenapa Klopp memilih Liverpool).

Selain itu, pasukan lain seperti FC Tokyo, Bali United, PAOK di Greece dan banyak lagi pasukan bolasepak menggunakan lagu ini sebagai anthem pasukan mereka.

Lagu ini juga pernah dicover oleh kumpulan punk rock Britain, The Adicts, Johnny Cash, Elvis Presley, Perry Como, penyanyi jazz dan soul terkemuka Ray Charles, Olivia Newton John, Pink Floyd (menerusi lagu Fearless dalam album Meddle pada tahun 1971), The Lettermen dan Nina Simone.

Lagu yang ditulis untuk pementasan teater Broadway, yang melalui zaman perang dunia, hari ini menjadi popular dalam pop culture terutamanya dalam bolasepak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Saturday, April 20, 2019

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Asal-usul Masakan Rendang Di Malaysia

Resepi masakan Rendang merupakan hidangan tradisi Raya bagi kebanyakan orang Melayu di Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia yang sering di hidangkan terutamanya ketika menyambut hari raya kerana seakan tidak lengkap suasana meriah tanpa hidangan yang lazat dan menyelerakan ini.

Asal-usul Rendang

Rendang merupakan masakan daging yang disediakan dengan santan, lada, bawang, daun kunyit, daun limau purut dan kerisik.

Rendang sesuai dihidangkan sebagai lauk, yang mana ia dimakan dengan lemang, nasi, pulut kuning atau pulut kunyit, ketupat palas atau ketupat pulut, ketupat nasi, roti atau diratah makan begitu saja.

Kebanyakan bahagian daging lembu yang digunakan untuk membuat rendang ialah daging batang pinang kerana rasa dagingnya yang lembut dan sedap.

Selain dijadikan hidangan pada hari perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, rendang juga disajikan pada majlis kenduri-kenduri seperti tamat berzanji, majlis perkahwinan, majlis berkatan atau bersunat, kenduri doa selamat, kenduri hari jadi dan sebagainya.

Rendang yang dimasak boleh dinikmati bersama pelbagai jenis hidangan karbohidrat seperti nasi himpit, ketupat, nasi putih dan pulut.

Rendang di Malaysia boleh dimasak dengan pelbagai jenis bahan utama seperti daging, ayam, itik dan puyuh serta terdapat juga rendang yang dimasak menggunakan organ dalaman haiwan seperti paru, hati dan limpa.

Sajian ini boleh dimasak menurut pelbagai cara sama ada secara kering ataupun basah.

Asal-Usul Rendang di Malaysia

Makanan yang mempunyai aroma yang menyelerakan ini dikatakan asalnya disediakan oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Indonesia.

Di Malaysia, terdapat populasi Minangkabau yang besar di Negeri Sembilan dan disebabkan budaya Minangkabau dibawa dan diadaptasi menurut cara masyarakat setempat, budaya dan masakan masyarakat Malaysia juga sedikit sebanyak dipengaruhi.

Di Malaysia, setiap daerah mempunyai hidangan rendang tersendiri dan disebabkan itu, resepi rendang telah dipelbagaikan supaya boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai contoh, antara jenis-jenis rendang yang terkenal di setiap pelosok negara ialah:
  • Rendang Ayam Lengkuas Sabah.
  • Rendang Daging Tok di Perak.
  • Rendang Hati Johor.
  • Rendang Ayam Nogori.
  • Rendang Minang Negeri Sembilan.
  • Rendang Daging Hitam Sarawak.

Rendang Sebagai Penyatuan Keluarga dan Komuniti

Masakan rendang yang datangnya dari negara jiran ini jika dimasak untuk kenduri yang akan dihadiri oleh sejumlah tetamu yang ramai, aktiviti gotong royong akan diadakan oleh jiran tetangga yang terdekat.

Gotong royong terjadi apabila jiran tetangga berkumpul di rumah yang mengadakan kenduri dan membawa bahan-bahan asas yang diperlukan untuk memasak hidangan ini.

Selain hidangan rendang, hidangan lain yang disediakan untuk kenduri tersebut juga dimasak secara bergotong-royong seperti nasi minyak dan ayam masak merah.

Semua jenis hidangan rendang boleh disimpan untuk jangka masa yang lama dan ia tidak mudah basi.

Ini kerana kadar air yang terkandung di dalam rendang yang kering atau basah (rendang berkuah) adalah punca rendang boleh disimpan di dalam peti sejuk dalam masa yang lama.

Selain itu, penggunaan rempah yang berlebihan juga merupakan salah satu faktor yang menjadikan rendang tidak mudah basi.

Kaedah Masakan Turun-Temurun

Rempah ratus yang dicampur bersama bahan lain untuk menghasilkan rendang juga berfungsi sebagai antimikroba dan antioksida yang melindungi kita daripada penyakit berbahaya.

Masakan rendang boleh bertahan sehingga 3 bulan tanpa merubah rasa asal serta aroma hidangan dan walaupun disimpan lama, rasa hidangan tersebut akan menjadi semakin enak.

Hidangan yang sangat popular di kalangan rakyat Malaysia ini sebenarnya dimasak untuk jangka masa yang lama oleh generasi terdahulu dan cara masakan tersebut masih diamalkan oleh penduduk-penduduk di kampung.

Rendang dimasak lama kerana mahu daging yang dimasak dalam rencah rendang menyerap segala rasa rempah yang dimasukkan disamping memastikan daging dimasak sehingga empuk dan kering.

Semakin lama dimasak, semakin enak rasa rendang tersebut dan lebih lama rendang itu dapat disimpan.

Jadi, bersiap-sedialah untuk mencuba (bagi sesiapa yang tidak mencuba) dan menyediakan masakan ini pada Aidilfitri dan Aidiladha yang akan menjelang tiba.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: butterkicap

Wednesday, March 20, 2019

Asal-usul Perkataan Millionaire Dan Skim Ponzi Disebaliknya

Asal-usul Perkataan Millionaire Dan Skim Ponzi Disebaliknya

Tahukah anda, daripada mana datangnya asal usul perkataan millionaire? Istilah yang sering menjadi idaman ramai orang itu sebenarnya tercetus hasil dari sebuah peristiwa yang berlaku di Perancis pada kurun ke-18 yang lalu.

John Law (1671-1729)
John Law (1671-1729).

Peristiwa ini sebenarnya adalah sebuah kisah yang sangat menarik untuk diceritakan, bukan sahaja kisah tentang asal usul istilah ini, tetapi juga tentang seorang ahli ekonomi yang bermula dari seorang pembunuh, kemudian dilantik sebagai orang paling berkuasa di Perancis, tetapi akhirnya menjadi pelarian dan mati dalam kemiskinan.

Kisah John Law dan Mississippi Bubble mempunyai banyak pengajaran yang boleh kita pelajari. Selain itu ianya juga satu gambaran yang jelas tentang keadaan ekonomi dunia moden hari ini dan kemungkinan juga nasibnya di masa akan datang.

Segalanya bermula sebaik sahaja kemangkatan Louis XIV pada tahun 1715, yang juga digelar sebagai Louis The Great dan merupakan Raja Perancis yang memerintah sejak 1643.

Di bawah pemerintahannya, Perancis merupakan kuasa dominan di Eropah dan terlibat dalam banyak kempen ketenteraan, dari Perang Perancis-Belanda, Perang Perwarisan Sepanyol, sehinggalah ke Perang Perikatan Besar.

Istana Versailles yang besar dan tersergam indah itu juga dibina dibawah pemerintahan beliau. Disebabkan itulah beliau mendapat gelaran tersohor seperti Louis The Great dan juga The Sun King, namun disebalik kemegahan itu, beliau meninggalkan Perancis dalam keadaan gawat.

Disebabkan oleh kempen peperangan yang berterusan dan juga pembinaan istana Versailles, Perancis menanggung beban hutang yang menggunung.

3 billion livres adalah jumlah hutang yang perlu ditanggung oleh pewaris Louis XIV berbanding hanya 145 juta hasil pungutan cukai yang diperolehi.

Perancis yang ketika itu diperintah oleh Bupati Phillipe II, Duke of Orleans (oleh kerana pewaris Louis XIV masih lagi kecil) kini didalam krisis.

Phillipe II buntu mencari penyelesaian kepada krisis tersebut yang semakin lama semakin mencengkam Perancis dan tanpa penyelesaian yang jitu, Perancis mungkin akan terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi.

Dalam tidak sedar, penyelesaian kepada masalah Perancis itu datang dari sumber yang tidak disangka.

Ianya muncul dari seorang lelaki kebanyakan dan bukannya kerabat diraja mahupun golongan bangsawan dan orang yang dimaksudkan itu adalah John Law.

Kaki Judi, Pembunuh dan juga Ahli Ekonomi

Siapa sangka tiga perkataan ini boleh berada dalam satu ayat yang ditulis bagi menggambarkan seseorang, namun ini adalah sesuatu yang amat sesuai sekali bagi menggambarkan John Law dan juga kisah hidupnya.

John Law dibesarkan di bawah bumbung seorang tukang emas di Edinburgh. Pada ketika itu, tukang emas merupakan bentuk terawal bank di mana ia mampu mengeluarkan pinjaman melalui cagaran emas.

Disebabkan itulah John Law mahir tentang selok-belok perbankan melalui pemerhatiannya pada perusahaan ayahnya sendiri.

John Law juga seorang yang cekap dalam pengiraan dan matematik, malangnya kebolehan yang ada tidak digunakan untuk tujuan yang baik, sebaliknya digunakan untuk berjudi. Ini menjadikan hidupnya serba tidak kena.

Apabila ayahnya meninggal dunia beliau dihalau dari rumah kerana tabiatnya yang gemar berjudi itu menyebabkan beliau menghabiskan sisa peninggalan harta ayahnya.

Kemudian, ketika berumur 23 tahun, beliau telah membunuh seorang pesaing kerana berebutkan seorang wanita.

Berpelacaranlah beliau di serata Eropah sebagai seorang kaki judi dan juga seorang pelarian undang-undang.

Namun begitu, dengan pengalaman yang ada dan kecekapannya, ia sedikit sebanyak membantu Law dalam memahami institusi perbankan dan juga kewangan.

Untuk pengetahuan anda, John Law adalah antara pejuang awal wang kertas dan pada tahun 1705, beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk, Money and Trade Considered: With a Proposal for Supplying the Nation with Money.

Di dalam buku tersebut John Law menyatakan kritikan beliau terhadap wang emas dan perak.

Baginya wang kertas adalah sesuatu yang lebih sesuai untuk digunakan sebagai suatu medium untuk transaksi kerana lebih senang dibawa.

John Law juga menganggap kekayaan sesebuah negara itu lebih bergantung kepada hasil pengeluaran sesuatu negara dan bukannya nilai emas serta perak yang dimiliki.

Konsep yang dibawakan John Law itu terkedepan daripada zamannya. 70 tahun lebih awal daripada Adam Smith yang menjadikan idea itu sebagai kontemporari melalui bukunya Wealth of Nations.

John Law mencadangkan agar sesebuah negara menggantikan wang emas dan perak yang ada kepada wang kertas yang disandarkan melalui kredit dan bon kerajaan.

Cadangan Law itu pada mulanya dipersembahkan pada Parlimen Scotland, kerana krisis yang dialami oleh negara itu disebabkan kegagalan perusahaan mereka di Panama.

Namun cadangan John Law ditolak kerana ahli parlimen Scotland kurang yakin dengannya.

Tetapi berbeza dengan Perancis, cadangan John Law nampak memberikan harapan. Begitulah terdesaknya Perancis mahu menyelesaikan masalah hutang yang mereka hadapi.

Malapetaka Bermula

Bupati Perancis, Phillipe II menerima cadangan dari John Law, untuk mengeluarkan wang kertas sebagai alternatif kepada wang emas dan perak.

Atas kebenaran kerajaan Perancis, John Law menubuhkan Banque General yang beroperasi menggunakan ¼ modal dari pelabur (emas dan perak) dan selebihnya menggunakan bon hutang kerajaan yang ingin dimansuhkan.

Dalam masa tidak sampai setahun, usaha John Law membuahkan hasil kerana wang kertas yang dikeluarkan oleh Banque Generale mula digunakan dengan sangat meluas.

Melihat populariti wang kertas John Law, kerajaan Perancis membenarkan agar cukai kerajaan dibayar menggunakan wang kertas.

Tetapi, apabila semakin ramai orang menggunakan wang kertas John Law, semakin berisiko perusahaannya.

John Law sedar yang beliau tidak mempunyai modal dan aset yang cukup untuk meneruskan perusahaannya dan dianggarkan pada ketika itu, semua wang kertas yang dikeluarkan hanya disandarkan kepada 10% sahaja jumlah emas dan perak yang dimiliki oleh Banque Generale.

Jika pada suatu ketika, kesemua orang yang menggunakan wang kertas Johm Law ingin menukar wang kertas itu kepada emas, Banque General pastinya akan jatuh bangkrap.

Melihat masalah tersebut, John Law menubuhkan sebuah syarikat perdagangan yang dinamakan sebagai Company of the West.

Sepertimana East India British Company pada zamannya, Company of The West ditubuhkan untuk “membangunkan” wilayah Mississipi yang ketika itu dimiliki oleh kerajaan Perancis.

John Law menawarkan saham kepada sesiapa yang berminat untuk melabur dalam perusahaan “membangunkan” wilayah paya bakau tersebut dan disinilah kita melihat kebijaksaan perancangan beliau.

Bagi mendapatkan aset dan modal bagi meneruskan operasi banknya, beliau menggunakan modal yang diambil dari pembelian saham Company of The West.

Dengan modal tersebut, beliau boleh mengeluarkan lebih banyak wang kertas dan dengan lebih banyak wang kertas, maka lebih banyak orang boleh membeli saham Company of The West.

Kesemua ini ditambah dengan permintaan saham yang tinggi, membuatkan saham syarikat itu melonjak naik.

Dari 500 livre ia melonjak naik sehingga 3000% kepada 15,000 livre.

Kejayaan John Law dalam kedua-dua perusahaannya (Banque General dan juga Company of The West) menjadikan beliau antara orang yang paling berkuasa di Perancis.

Kepercayaan Bupati Phillipe II juga membolehkan beliau dilantik sebagai Controller of General Finances (lebih kurang macam Menteri Kewangan Perancis).

Kenapa kesemua ini boleh berlaku?

Sebenarnya ini merupakan antara perancangan licik John Law, dimana beliau menggembar-gemburkan cerita tentang kekayaan hasil bumi yang terdapat di Mississipi.

Katanya di situ ada emas, perak, dan hasil bumi yang tidak terkira banyaknya yang memberi pulangan keuntungan yang lumayan buat pelabur.

Tetapi di sebalik kisah gebang John Law, Mississipi sebenarnya adalah kawasan berpaya yang gersang dari sebarang kekayaan. Yang ada hanyalah ular dan buaya.

Company of The West sudah tentu tidak mampu memberi sebarang keuntungan pun dari perusahaan mereka di Mississippi. Ia hanyalah satu skim Ponzi.

Namun begitu, pada ketika inilah istilah “millionaire” wujud buat pertama kalinya dalam sejarah kerana mereka yang sempat menjual saham Company of The West ketika ia sedang mencanak naik akan sempat menjadi jutawan. Tetapi, bagi mereka yang lain, malang besar menimpa.

Khabar angin mula tersebar yang sebenarnya Company of The West tidak mempunyai sebarang perusahaan yang menguntungkan. Dan apabila orang ramai mula berspekulasi, harga saham Company of The West jatuh merundum.

Hasilnya? Malapetaka. Harga saham Company of The West jatuh ke paras 500 livre.

Mereka yang terlibat dan memiliki saham syarikat tersebut mula panik dan bertebaran ke bank bagi menukar kembali wang kertas mereka kepada emas. Tetapi nasi sudahpun menjadi bubur.

Banque General tidak mempunyai emas dan perak yang cukup dan akhirnya terpaksa menghentikan pengeluaran wang kertas sepenuhnya.

Ramai orang jatuh miskin kerana wang kertas yang mereka miliki sudah tidak mempunyai nilai lagi.

Pengajarannya

John Law kini menjadi orang yang paling dibenci di Perancis. Daripada hero yang kononnya telah menyelamatkan Perancis dari kancah krisis ekonomi, beliau menjadi penjahat yang menjerumuskan Perancis dan seluruh rakyatnya dalam kemiskinan. Harga barang meningkat naik sehingga 60 kali ganda.

Rakyat menjadi berang dan mula mencari John Law untuk melepaskan geram tetapi dia sudah melarikan diri seminggu selepas jatuhnya Company of The West.

Banyak pengajaran yang kita boleh pelajari dari kisah John Law dan Mississipi Bubble.

Dari buruknya sifat tamak, pembohongan, kepentingan ilmu untuk menilai pembohongan dan juga tentang sistem mata wang kita sendiri.

Walaupun eksperimen John Law untuk menukar semua mata wang emas kepada mata wang kertas gagal, ianya menjadi batu asas kepada sistem sekarang.

Segala kelemahan dan kesilapan John Law diambil sebagai pengajaran bagi menambah baik penggunaan mata wang yang kita gunakan pada masa kini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, January 25, 2019

Benarkah Asal-Usul Logo Chevrolet Adalah Simbol Salib?

Benarkah Asal-Usul Logo Chevrolet Adalah Simbol Salib?

Sekilas pandang, Chevrolet adalah antara pengeluar automobil yang memiliki logo jenama cukup dikenali ramai, tetapi juga pada masa sama disalah erti, terutama di negara-negara majoriti muslim dan dikatakan bahawa, logo tersebut diilhamkan daripada bentuk tali bow atau bowtie dan bukannya simbol salib yang disangka ramai orang.

Chevrolet Logo

Mungkin ada sudah tahu, tetapi ramai juga yang belum tahu apakah kisah di sebalik logo pengeluar automotif dari Amerika Syarikat itu - Chevrolet.

Bowtie Chevrolet diperkenalkan oleh pengasas bersama syarikat itu, William C Durant pada lewat 1913 yang diinspirasi daripada kertas dinding (wallpaper) di sebuah hotel Perancis.

REKABENTUK KERTAS DINDING HOTEL?

Di Barat, versi Durant tentang bagaimana logo itu tercipta memang sudah diketahui ramai orang.

Walaupun kisahnya agak panjang, tetapi kesimpulan cerita yang disahkan sendiri Durant ialah logo tersebut ialah ilham daripada rekabentuk kertas dinding di Hotel Parisian.

Menurut penerbitan rasmi pengeluar itu, The Chevrolet Story (1961) sempena meraikan ulang tahun ke-50:

Ia berasal daripada imaginasi Durrant sebagai seorang pengembara pada 1908. Beliau melihat corak bergerak menuju infiniti sebagai rekabentuk kertas dinding di sebuah hotel Perancis.

Beliau kemudian mengoyak sekeping kertas dinding tersebut dan disimpannya untuk ditunjukkan kepada rakan-rakan dengan anggapan ia akan jadi tanda nama yang baik untuk kereta."

-The Chevrolet Story (1961)

Bagaimanapun, muncul beberapa kenyataan bercanggah yang masing-masing cuba menjelaskan misteri di sebalik logo Chevrolet itu. Dua daripada asal-usul logo tersebut datang daripada keluarga Durant sendiri.

Pada 1929, anak perempuan Durant, Margery menerusi buku autobiografi berjudul, My Father menceritakan tentang tabiat bapanya yang kadangkala merekabentuk tanda nama di atas beberapa helai kertas di meja makan.

"Saya fikir ia antara satu makan malam dengan hidangan sup dan ayam goreng, di mana beliau melakar rekabentuk yang digunakan pada kereta Chevrolet hingga hari ini."

-Margery, buku autobiografi 'My Father' (1960)

ILHAM IKLAN AKHBAR

Chevrolet from Coalettes

Lebih separuh abad kemudian, satu lagi kisah asal usul logo bowtie muncul pada 1986, dikeluarkan majalah Chevrolet Pro Management berasaskan temubual dengan balu Durant, Catherine yang mengimbas semula detik percutian dia dan suaminya di Hot Springs, Virginia pada 1912.

Menurut Catherine, ketika Durant membaca akhbar di bilik hotel, beliau terkesan dengan satu rekabentuk iklan dan terus berkata;

"Saya fikir ini akan jadi lambang yang sangat bagus untuk Chevrolet"

Malangnya, kenyataan itu tidak cukup kuat kerana Catherine tidak pula mengesahkan apakah motif di sebalik logo tersebut dan bagaimana ia digunakan.

Bagaimanapun, sejarahwan dan editor The Chevrolet Review, Ken Kaufmann menemui rahsia di sebalik kesahihan asal-usul logo tersebut.

Pada 12 November 1911, beliau terbaca senaskhah akhbar lama, The Constitution (1910-1917) terbitan Atlanta yang menyiarkan iklan sejenis jenama arang, 'Coalettes'.

Kebetulan pula, logo Coalettes dalam iklan akhbar itu juga berbentuk bowtie condong dan sangat mirip kepada bentuk logo ikonik Chevrolet.

Persoalannya, apakah Durant dan isterinya melihat iklan yang sama, sepanjang tahun penerbitan akhbar itu?

Malah, edisi akhbar tersebut didapati bertarikh cuma sembilan hari selepas penubuhan Chevrolet Motor Company.

TEORI BENDERA SWISS

Switzerland for Chevrolet

Satu lagi versi penjelasan adalah mengaitkan logo Chevrolet dengan lambang salib pada bendera Switzerland.

Ini kerana pengasas bersama Chevrolet, Louis Chevrolet dilahirkan dalam kalangan keluarga Perancis di La Chaux-de-Fonds dalam wilayah kecil Neuchâtel di Switzerland pada Krismas 1878.

Walaupun ada pelbagai versi sejarah tentang asal usul logo Chevrolet, tetapi kisah bowtie diiktiraf sebagai versi paling sahih.

Chevrolet 1913

The Washington Post pada 2 Oktober 1913 menjadi premis pertama menggunakan simbol itu sebagai iklan Chevrolet.

WARNA DAN REKABENTUK

Logo chevrolet

Ada banyak variasi warna dan perincian bowtie Chevrolet yang digunakan sepanjang beberapa dekad lalu sejak diperkenalkan pada lewat 1913, tetapi bentuk utama kekal tidak pernah berubah.

Pada 2004, Chevrolet mula mengadaptasikan warna emas yang kini menjadi identiti jenama itu bagi semua model yang dipasarkan seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pandulaju

Tuesday, January 15, 2019

Asal-usul Salib Umat Kristian

Asal-usul Salib Umat Kristian

Salib atau palang salib adalah lambang agama Kristian yang didirikan di bumbung gereja atau digantung pada leher penganut Kristian, menjadi identiti agama Kristian sejak sekian lama. Lambang ini juga terdapat pada lambang Persatuan Palang Merah Sedunia, bendera Switzerland, Britain, Australia dan lain-lain dengan pelbagai gaya, bentuk, saiz dan warna.

Asal-usul Salib

Perkataan salib pertama kali diucapkan oleh Jesus di dalam injil matius 10:30: "Barangsiapa tidak memikul salibnya dan mengikut Aku, ia tidak layak bagi-Ku."

Jesus telah diseksa, dihina dan diolok-olok sebelum disalib dan ada ramai orang telah disalib sebelum dan selepas Jesus.

Jesus dikatakan dipakaikan mahkota duri Inijl Matius27:29: "Mereka menganyam sebuah mahkota duri dan menaruhnya di atas kepalanya, lalu memberikan dia sebatang buluh di tangan kanannya. Kemudian mereka berlutut di hadapannya dan mengolok-olokkan Dia, katanya: "Salam, hai Raja orang Yahudi!"

Askar Pilatos Pilate menyangka Jesus hendak menjadi raja Israel, maka sebab itulah Jesus diejek dengan mahkota berduri tersebut.

Hanya setelah Maharaja Constantine melihat lambang salib dalam mimpi barulah lambang ini digunakan sebagai lambang Kristian.

Maharaja Rom ini baru beragama Kristian, dan sebelum itu menyembah dewa Apollo.

Palang salib bukan lambang dewa Apollo seperti didakwa tetapi digunakan pada mata wang dan cop kerajaan Rom sehingga beliau mati.

Minatnya lebih kepada dewa matahari dan bukan faktor mimpi menyebabkan beliau menggunakan lambang palang salib.

Di Muzium Iskandariah, Mesir, tersimpan sebuah palang salib bagi agama orang Mesir. Palang salib ini bermaksud hidup baru sebab dipalang.

Di Ireland, ditemui palang salib tua dengan patung manusia disalibkan, tetapi orang yang disalibkan itu ialah Penguasa Parsi dan bukan Jesus.

Ini kerana mahkota yang dipakai menyerupai mahkota Raja Parsi dan bukan mahkota duri yang dipakaikan kepada Jesus.(Matius 27:29).

Palang salib adalah lambang agama Mithra di Farsi dan telah digunakan berabad-abad lamanya di sana. Di Ireland dan Chester banyak terdapat tanda-tanda agama ini.

Orang Kristian telah menggunakan kekuatan pedang dan api bagi melenyapkan agama matahari.

Hypatia iaitu seorang guru agama matahari telah dibunuh dan perpustakaan Alexanderia/Iskandariah telah dibakar.

Hakikatnya segala pengajaran dan adat istiadat agama matahari dibawa masuk ke dalam agama gereja.

Dahulu orang Kristian menggunakan tiga jenis salib iaitu huruf T, salib Andreas berbentuk X dan salib Rome (+). Salib Jesus sekarang ini 'barangkali' dipengaruhi oleh salib bangsa Rome.

Pada mulanya orang Kristian menggunakan lambang 'ikan sungai' sebagai lambang agama Kristian dan kubur-kubur orang Kristian abad pertengahan menggunakan lambang 'ikan sungai'.

Injil tidak memberi sebarang sebab penggunakan lambang 'ikan sungai' kecuali Jesus dikatakan pernah makan 'ikan'.

Orang Kristian dari golongan 'Saksi-Saksi Yehuwa' tidak mengakui Jesus mati dibunuh di palang salib.

Mereka menyatakan Jesus mati tergantung di sebuah tiang sahaja yang disebut 'tiang seksa', tidak di atas kayu salib yang berbentuk palang.

Orang Islam sebagaimana Al Quran menyatakan Jesus atau Nabi Isa gagal ditangkap untuk disalibkan. Sebaliknya malaikat telah membawanya ke langit.

Allah berfirman dalam Qur’an surah An-Nisa ayat 156-157:

"Dan kerana kekafiran mereka (terhadap Isa) dan tuduhan mereka terhadap Maryam dengan kedustaan besar (zina), dan kerana ucapan mereka, “Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putera Maryam, Rasul Allah”, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa."

St Barnabas dalam Injil Barnabas pula menyatakan, orang yang disalib itu ialah Judas Iscariot.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

Wednesday, January 09, 2019

Asal-usul Yakuza Jepun

Asal-usul Yakuza Jepun

Dunia sering melihat Jepun sebagai sebuah negara yang serba lengkap dengan teknologinya dan banyak sisi baik yang disebarkan di media untuk tatapan umum namun, sisi gelap negara itu turut dibincangkan sama ada industri pornografi yang keterlaluan serta angka bunuh diri dalam kalangan rakyat Jepun yang semakin rencam saban tahun.

Asal-usul Yakuza Jepun

Jika diceritakan mengenai sejarah lampau negara ini merentas beberapa dekad, ia pasti berkisarkan era Perang Dunia Kedua dan zaman empayar Jepun yang menjajah banyak tanah negara asing.

Penceritaaan sejarah ini pastinya tidak lengkap jika kita mengenepikan sejarah kumpulan sindiket jenayah atau pun kongsi gelap negara ini iaitu Yakuza.

Pastinya perkataan Yakuza ini tidak mampu kita pisahkan dari lagi-lagi peminat filem Jepun.

Sedar atau tidak, kumpulan ini masih wujud di Jepun dengan puluhan ribu ahlinya yang masih aktif beroperasi serta menjalankan perniagaan. Ia juga telah berakar umbi ke dalam masyarakat Jepun yang serba moden dan maju ini.

Dalam artikel ini akan menerangkan asal-usul perkataan yakuza serta teori-teori kemunculan mereka.

Permainan hanafuda menimbulkan perkataan Yakuza

Kebanyakan jurnal kajian berkaitan yakuza berpendapat bahawa perkataan yakuza berasal dari sebuah permainan judi dari Jepun yang dikenali sebagai hanafuda.

Permainan ini mempunyai sembilan nombor iaitu nombor 1 hingga 9, yang pemain perlu mengambil tiga kad dan mencampurkan semua nombor dari tiga kad yang dimiliki. Daripada hasil tambah tersebut, nombor paling belakang akan dikira sebagai skor.

Maka, jika pemain itu mendapat hasil campur tiga kad berjumlah 19, maka dialah pemenang kerana nila skornya adalah 9.

Sebaliknya, jika pemain itu mendapat nombor 20 sekali pun, ia dikira tak berguna kerana skor yang diperolehinya adalah 0.

Maka, terhasilnya perkataan Yakuza ini adalah daripada perkataan y a (lapan), ku (sembilan) dan za (tiga).

Campuran nombor ya ku za akan menghasilkan nombor 20 dan seperti yang dikatakan tadi, nombor ini tidak berguna kerana nilai skornya adalah 0.

Akhirnya, perkataan ini digunakan di luar permainan judi dengan membawa maksud orang-orang jahat dan tak berguna.

Teori-teori asal usul pembentukan kumpulan Yakuza

Asal-usul pembentukan yakuza tidaklah diketahui secara keseluruhannya, tetapi ia dipercayai wujud ketika pertengahan era pemerintahan Tokugawa (1603-1868).

Ketika era ini, terdapat beberapa kumpulan yang wujud dalam sejarah lampau Jepun.

Dari beberapa kumpulan inilah dipercayai wujudnya kumpulan yakuza.

1. Bakuto, dari operasi perjudian ke gerakan politik

Menurut Ahli Kriminologi Tokyo, Hashino bahawa bakuto ini adalah kumpulan organisasi jenayah paling berpusat dalam kalangan orang Jepun. Apa aktiviti mereka?

Kumpulan ini bermula apabila kerajaan ketika itu menyediakan satu skim bergerak.

Tujuan skim ini adalah untuk mendapatkan semula gaji yang telah diberikan kerajaan kepada pekerja-pekerja binaan mereka. Maka, bakuto memulakan aktviti rekrut dari kalangan penjenayah hinggalah para petani.

Mereka ini diarahkan untuk bermain judi dengan pekerja-pekerja binaan tadi dan hasil keuntungan dari permainan itu akan dibahagikan kepada pemain-pemain judi lantikan bakuto.

Lama kelamaan, kumpulan ini melebarkan sayapnya dengan membina satu kem (seperti hotel) berdekatan dengan jalan raya yang sibuk.

Orang-orang yang singgah, bukan sahaja dapat tidur di sana, malah mereka berpeluang untuk bermain judi.

Oleh kerana rapatnya bakuto dengan aktiviti judi, maka kumpulan inilah bertanggungjawab yang mempopularkan tradisi berjudi, adat memotong jari (yubitsume) dan kumpulan pertama sekali menggunakan perkataan ya-ku-za.

Jika diambil kira terkaitnya perkataan ya-ku-za dengan kumpulan bakuto, para pengkaji yang merumuskan mereka ini adalah yakuza yang sebenar.

Jika dikembangkan lagi, kumpulan bakuto tidaklah hanya tertumpu kepada aktiviti perjudian sahaja.

Menurut para pengkaji, kumpulan ini mempunyai kepakaran dalam aktiviti keganasan.

Ianya bertepatan dengan sifat kumpulan ini yang mempunyai kawasan-kawasan tersendiri dan mereka akan bertarung dan mengganas bagi melindungi perniagaan dan harta mereka.

Berdasarkan sejarah, oleh kerana kumpulan ini bertempur lebih hebat berbanding samurai, maka mereka direkrut untuk bertarung dalam Perang Saudara Boshin (1868-1869).

Sekitar tahun 1880-an pula, ahli kumpulan bakuto mula menyertai dan memegang tampuk kepimpinan gerakan Kebebasan dan Hak Rakyat (Freedom & People’s Right).

Ketika itu jugalah merupakan fasa paling ganas gerakan itu sehingga mereka menyertai arena politik.

Penyertaan kumpulan ini ke arena politik telah mengubah operasi mereka daripada aktiviti perjudian kepada operasi lebih besar seperti kumpulan yakuza yang kita kenali hari ini.

Tekiya, dari penjaja jalanan kepada peniaga kepercayaan kerajaan

Asal-usul Yakuza Jepun

Salah satu teori lain kemunculan yakuza berakar dari sekumpulan penjaja jalanan yang dikenali sebagai tekiya.

Mereka ini bermula sebagai saudagar ubat sebelum bercambah dan mula menjual barangan lain serta terlibat dengan aktiviti jenayah.

Mereka ini bukanlah penjaja jalanan biasa, ada helah dalam aktiviti urus niaga yang dibuat.

Kumpulan ini seringkali menjual produk yang nampak bagus, hakikatnya tidak berkualiti.

Apabila menjual, mereka akan berlakon menjadi mabuk dan terus bersembang pasal produk yang dijual.

Aktiviti perniagaan mereka juga agak besar kerana mereka akan mengambil alih gerai di pasar.

Penguasaan kumpulan ini di sesebuah pasar sampai tahap boleh menentukan siapa yang dibenarkan menjual dan barang apa yang boleh dijual.

Caj lebih akan dikenakan untuk sewa tapak termasuklah wang perlindungan dan duit poket.

Melaui caj perlindungan ini, peniaga akan terselamat daripada diganggu dan jika gagal membayar, ahli kumpulan tekiya akan mencuri barang, menakut-nakutkan pelanggan atau boleh membawa ke tahap serangan fizikal.

Tidak seperti bakuto, tekiya lebih kepada aktivti kerja yang sah dan menyebabkan pihak kerajaan memberi lebih banyak kuasa kepada ketua-ketua kumpulan ini.

Kalau difikirkan semula, taktik tekiya ini saling tak tumpah seperti kumpulan-kumpulan mafia yang ada diseluruh dunia sautu ketika dahulu.

Bakuto dan tekiya hilang ditelan zaman?

Permainan Hanafuda
Permainan Hanafuda.

Bakuto dan tekiya muncul pada era yang sama, apa yang menarik mereka juga beroperasi pada kawasan yang sama.

Konflik di antara dua kumpulan ini kurang berlaku kerana mereka bergembira dengan perniagaan masing-masing.

Bakuto beroperasi di jalan raya dan pekan, tekiya pula melakukan perniagaan di pasar jalanan dan pesta-pesta.

Kajian membuktikan bahawa, kemunculan bakuto dan tekiya pada abad ke-18 dan hilang sedikit demi sedikit dari masyarakat ini sebenarnya tidaklah pupus begitu sahaja.

Mereka berkemungkinan muncul semula dan perlahan-perlahan membentuk kumpulan yakuza.

Maka, segala bentuk operasi kumpulan yakuza seolah-olah sama seperti yang dilakukan kumpulan bakuto dan tekiya.

Dari budaya potong jari kepada berjudi dan meminta wang perlindungan dari peniaga.

Sedikit demi sedikit, kumpulan yakuza ini berevolusi hingga satu tahap, masyarakat Jepun mengganggap kumpulan ini jahat tapi memerlukan mereka dalam kehidupan seharian.

Bagaimana perkara ini boleh berlaku?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Saturday, January 05, 2019

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Asal-usul Tahun Baru Cina Dengan Haiwan Dan Unsur

Simbol haiwan dan unsur pada setiap kali sambutan Tahun Baru Cina diasaskan oleh astrologi Cina berdasarkan kitaran enam puluh tahun sejak dinasti Shang. Kitaran asas ini telah dibina daripada dua kitaran: 10 Batang Samawi (lima unsur dalam bentuk yin dan yang masing-masing) dan 12 Dahan Duniawi, atau kitaran 12 tahun haiwan dalam zodiak Cina.

ZODIAK CINA

Zodiak haiwan cina juga membentuk kitaran bulanan dan waktu seharian dan kitaran 60 tahun ini terdiri daripada dua kitaran berasingan yang saling berinteraksi.

Kitaran yang pertama ialah kitaran 10 Batang Samawi, iaitu Lima Unsur (dalam urutan: Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) dalam bentuk Yin dan Yang.

Yang kedua ialah kitaran 12 bintang haiwan zodiak (生肖 shēngxiāo) atau Dahan Duniawi, iaitu (mengikut urutan): tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, dan babi.

Gabungan 5 unsur × 12 haiwan menghasilkan kitaran 60 tahun ini yang semestinya bermula dengan Tikus Kayu dan berakhir dengan Babi Air.

Oleh sebab kitaran 12 haiwan zodiak ini boleh dibahagi menjadi dua, setiap satu bintang zodiak ini hanya tergolong dalam kelompok Yin atau Yang: naga sentiasa yang, ular sentiasa Yin, dan sebagainya.

Kitaran sekarang bermula pada tahun 1984 (seperti ditunjukkan dalam “Jadual kalendar 60 tahun” di bawah).


UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN
UNSUR ZODIAK 60 TAHUN

Apabila cuba menghitung tahun yang berkaitan, satu pedoman yang mudah diikuti ialah bahawa tahun yang berakhir dengan angka genap adalah Yang, manakala yang angka ganjil adalah Yin.

Oleh sebab zodiak Cina (tradisional) mengikuti kalendar Cina (lunisolar), maka tarikh peralihan ialah Tahun Baru Cina, bukannya jatuh pada 1 Januari seperti dalam kalendar Gregory.

Maka itu, seseorang yang lahir sebelum Tahun Baru Cina pada tahun tertentu tergolong di bawah bintang zodiak tahun sebelumnya.

Contohnya, bagi seseorang yang lahir pada Januari 1970, unsurnya adalah Tanah Yin, bukan Logam Yang.

Begitu juga, meskipun tahun 1990 ialah Tahun Kuda, sesiapa yang lahir antara 1 dan 26 Januari 1990 sebenarnya lahir pada Tahun Ular (bintang tahun sebelumnya), kerana Tahun Kuda 1990 hanya bermula pada 27 Januari 1990.

Apakah maksud lima unsur haiwan ini?

Zodiak Cina

Yin atau Yang dipecah menjadi Lima Unsur (Kayu, Api, Tanah, Logam, dan Air) di samping kitaran haiwan. Ini merupakan pengubah yang mempengaruhi sifat-sifat setiap 12 bintang haiwan.

Maka itu, setiap bintang haiwan ini bernaung di bawah satu unsur serta satu arah Yin-Yang.

Imbangan Yin dan Yang serta lima unsur dalam pembentukan seseorang banyak mempengaruhi apa yang berfaedah dan berkesan untuknya dari segi feng shui, iaitu bentuk Cina bagi ramalan.

Ini adalah kerana setiap unsur dihubungkan dengan arah dan musim tertentu, serta jenis Qì atau daya hidup yang berbeza.

Unsur kayu mempunyai sifat murah hati, mesra, mayakinkan, bekerjasama, mahu berkembang, idealistik, beretika, ghairah, suka meneroka.

Unsur api membawa sifat dinamik, kemanusiaan, bertenaga, berkobar-kobar, berdaya usaha, suka mengembara, tidak mudah puas hati, berdaya saing, berkemahiran dalam memimpin, kuat, sepenuh jiwa raga, suka jenaka.

Unsur tanah pula disifatkan sebagai seorang yang sabar, ketenteraan, cermat, stabil, boleh dipercayai, rajin, bercita-cita, degil, penuh tenaga, berdisiplin, kuat, lojik, sedia berkhidmat untuk orang lain.

Unsur logam ialah seseorang yang tekun, berdikari, keras hati, kuat, kuat, tegas dan bersemangat, berat mulut, memerlukan ruang bersendiri, sofistikated, suka mncari keseronokan, prihatin, menghormati orang lain.

Yang terakhir ialah unsur air yang mempunyai sifat berahsia, menawan, intuitif, belas kasihan, peka, kreatif, fleksibel, patuh, petah, intelek.

Walau bagaimanapun, adalah satu tanggapan salah umum bahawa seseorang cuma ada satu bintang iaitu berdasarkan tahun, walhal juga terdapat bintang yang berasaskan bulan, hari, dan waktu kelahiran.

Gabungan lengkap tahun, bulan, hari dan waktu kelahiran ini membentuk ’empat tunggak’ astrologi Cina untuk menilik nasib seseorang.

Contohnya, jika anda lahir pada 22 Februari 1988, pukul 2.36 pagi, maka anda lahir pada tahun Naga, bulan Harimau, hari Kambing dan waktu Lembu.

ZODIAK 2019

Khinzir atau Babi ialah bintang haiwan yang terakhir dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina dan dilambangkan oleh dahan duniawi manakala dalam budaya Cina, khinzir dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan.

Melahirkan anak pada tahun khinzir dianggap amat bertuah kerana anak-anak itu akan menjadi periang dan jujur.

Dalam versi Jepun, zodiak ini hanya dimaksudkan sebagai babi hutan (猪 inoshishi) sahaja dan bukan khinzir ternakan.

Tahun-tahun dan Lima Unsur
  • 30 Januari 1911 - 17 Februari 1912: Khinzir Logam
  • 16 Februari 1923 - 4 Februari 1924: Khinzir Air
  • 4 Februari 1935 - 23 Januari 1936: Khinzir Kayu
  • 22 Januari 1947 - 9 Februari 1948: Khinzir Api
  • 8 Februari 1959 - 27 Januari 1960: Khinzir Tanah
  • 27 Januari 1971 - 14 Februari 1972: Khinzir Logam
  • 13 Februari 1983 - 1 Februari 1984: Khinzir Air
  • 31 Januari 1995 - 18 Februari 1996: Khinzir Kayu
  • 18 Februari 2007 - 6 Februari 2008: Khinzir Api
  • 5 Februari 2019 - 24 Januari 2020: Khinzir Tanah
  • 2031 - 2032: Khinzir Logam
  • 2043 - 2044: Khinzir Air

Sifat Zodiak Khinzir
  • Kedudukan zodiak: Ke-12
  • Waktu naungan: 9 – 11 malam
  • Mata angin: Barat laut-Utara
  • Musim dan bulan Musim sejuk: November
  • Bulan qamariah: 8 November hingga 6 Disember
  • Zodiak Barat yang bersamaan: Scorpio
  • Polariti: Yin
  • Unsur: Air

Sifat
  • Sifat positif: Penyayang, bertoleransi, peka, optimis, patuh, jujur, altruistik, senang menerima tetamu.
  • Sifat negatif: Materialistik, mudah terpengaruh, mudah terpedaya, boros, ragu-ragu, naif.

Pasangan
  • Paling serasi: Kambing, Arnab, Anjing
  • Sederhana serasi: Tikus, Lembu, Naga, Kuda, Harimau.
  • Tidak serasi: Monyet, Ayam, Ular.

Semoga memberi manfaat.

P/s: Artikel ini adalah untuk pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, December 08, 2018

Asal-usul Bangsa Melayu

Asal-usul Bangsa Melayu

Persoalan tentang siapakah Melayu dan dari manakah asal usulnya sering kali menjadi perdebatan ramai. Ada yang berpendapat bahawa bangsa Melayu itu sendiri tidak wujud, namun antara teori ilmiah tentang asal nama 'Melayu' ialah daripada nama 'Sungai Melayu', sebagaimana yang tertulis di dalam Sejarah Jambi.

Asal-usul Bangsa Melayu

Istilah Melayu juga pernah dicatatkan oleh pengembara Cina pada 644-645 masihi dan para sejarahwan bersepakat bahawa perkataan 'Mo-Lo-Yu' di dalam catatan tersebut ialah nisbah kepada kerajaan Jambi dan Sriwijaya.

Melayu dikatakan terlahir daripada perkahwinan campur antara "penduduk tempatan" dengan saudagar-saudagar Cina, India, Arab dan Siam yang singgah di Semenanjung Tanah Melayu untuk berdagang semasa zaman kemahsyuran empayar-empayar di Tanah Melayu.

Spekulasi tentang siapakah "penduduk tempatan" inilah yang kerap kali menjadi bahan perdebatan antara ahli akademik, pakar sejarah dan ahli politik.

MELAYU BUKAN BANGSA

Melayu sebenarnya bukanlah satu bangsa yang hanya wujud di Malaysia tetapi orang Melayu telah wujud sekian lama di Kepulauan Melayu (Malay Archipelago).

Kepulauan yang terletak di antara Lautan India dan Lautan Pasifik ini mengunjur sejauh 4,000 batu dari timur ke barat dan 1,300 batu dari utara ke selatan dan merupakan kepulauan yang terbesar di dunia.

Kepulauan Melayu dibentuk oleh beribu-ribu buah pulau kecil dan pulau-pulau besar seperti Borneo, Sumatera, Jawa, Sulawesi, Filipina dan termasuk juga Semenanjung Malaysia.

Sebelum berlakunya banjir besar yang menenggelamkan Pentas Sunda dan tamadunnya lebih kurang 10,000 tahun yang lalu, kumpulan pulau yang terletak di atas Pentas Sunda dipercayai bersambung sebagai satu tanah besar yang memudahkan pergerakan dan interaksi manusia di atasnya.

Akibat daripada kejadian banjir besar ini, sebahagian penduduk di Pentas Sunda terpaksa berhijrah dan mereka ini dipercayai telah memulakan penempatan baharu di Asia Timur dan Kepulauan Pasifik.

Teori Out of Taiwan oleh Peter Bellwood menyatakan bahawa penutur bahasa Austronesia telah berhijrah keluar dari Taiwan dan bergerak ke arah Asia Tenggara sekitar 10,000 tahun dahulu dan membawa bersama mereka teknologi penanaman padi. Memandangkan bahasa Melayu merupakan salah satu cabang bahasa Austronesia, maka orang Melayu juga dianggap sebagai berasal dari Taiwan.

Kepercayaan bahawa orang Melayu berasal dari Yunnan atau selatan negara China juga dipercayai timbul daripada pemahaman bahawa penduduk terawal di Asia Tenggara adalah berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari selatan China ke Taiwan dan seterusnya ke Asia Tenggara (arah pergerakan utara ke selatan).

POPULASI LEBIH AWAL

Walau bagaimanapun, kepercayaan yang bertapak sekian lama ini telah berjaya digugat apabila bukti daripada kajian DNA menunjukkan pergerakan manusia di Asia dan Asia Tenggara adalah sebaliknya.

Kajian menggunakan Single Nucleotide Polymorphisms (SNPs) yang telah diterbitkan dalam majalah Science yang bertajuk, Mapping Human Genetic Diversity in Asia pada tahun 2009 menunjukkan bahawa Asia Tenggara adalah lokasi terawal kemasukan manusia dari Afrika ke Asia.

Dalam kajian ini, sebanyak 50 peratus haplotype yang ditemui (kumpulan SNPs pada satu kromosom yang diwariskan bersama-sama dipanggil haplotype) dalam populasi Asia Timur hanya terdapat dalam populasi di Asia Tenggara.

Ini menunjukkan bahawa Asia Tenggara merupakan sumber utama bagi takungan genetik populasi di Asia Timur seperti China dan Taiwan. Bukti ini seterusnya menyokong bahawa pergerakan manusia di Asia adalah dari arah selatan ke utara.

Analisis filogenetik menggunakan penanda SNPs telah meletakkan Orang Asli Semang dan orang Melayu pada cabang yang lebih awal berbanding populasi di Asia Timur yang secara langsung menunjukkan bahawa Orang Asli Semang dan Melayu adalah satu populasi yang lebih "awal" berbanding populasi di China dan Taiwan.

Selain bukti daripada kajian menggunakan SNPs, penjujukan penuh DNA mitokondria juga telah membuktikan bahawa Orang Asli di Semenanjung Malaysia (Semang) adalah berasal daripada kumpulan manusia moden terawal yang bergerak keluar dari benua Afrika.

Pergerakan ini berlaku lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu melalui jalan darat di sepanjang pesisir pantai melalui India ke Asia Tenggara dan seterusnya ke Australasia (Tajuk penerbitan: Single, rapid coastal settlement of Asia revealed by analysis of complete mitochondrial genome; Science 2005).

Pada zaman ini, kemungkinan besar laluan ke arah utara terhalang oleh cuaca yang ekstrem, bentuk muka bumi yang berbukit bukau dan kawasan gurun. Laluan pantai yang lebih landai dan cuaca yang kurang ekstrem mungkin antara faktor kenapa kumpulan manusia yang bergerak ke arah selatan berjaya tiba di Asia Tenggara.

Kajian serupa yang dilakukan ke atas 10 sub-etnik Melayu (Kelantan, Bugis, Banjar, Jawa, Acheh, Minang, Mendeleng, Rawa, Champa dan Pattani) menggunakan DNA mitokondria menunjukkan sejumlah orang Melayu juga mempunyai DNA mitokondria yang berusia hampir 60,000 tahun (Nur Haslindawaty Abd Rashid, tesis PhD, 2013) dan turut berkongsi haplogroup (kumpulan DNA mitokondria) yang sama dengan Orang Asli.

Penemuan ini membuktikan bahawa orang Melayu juga berasal daripada kumpulan manusia yang bergerak keluar dari Afrika lebih kurang 60,000-75,000 tahun dahulu yang kemudiannya menjadi penghuni terawal di Kepulauan Melayu.

Kajian menggunakan pelbagai jenis penanda DNA telah membuktikan bahawa kesemua sub-etnik Melayu mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi (Edinur et al, 2009; NurWaliyuddin et al., 2014).

Penemuan ini telah mengukuhkan lagi kepercayaan tentang asal usul dan hubung kait antara populasi awal di Kepulauan Melayu. Kesemua sub-etnik Melayu ini ternyata berasal dari susur galur yang sama dan berkongsi keturunan yang sama.

Namun demikian, pada hari ini, mereka telah dipisahkan oleh sempadan geografi dan politik dan hasilnya mereka terlihat sebagai populasi yang berbeza.

Pemisahan ini walau bagaimapun tidak dapat menafikan hubungan mereka yang telah dibuktikan secara genetik, sama seperti hakikat kewujudan mereka di Kepulauan Melayu sejak 60,000 tahun dahulu.

KITAB 'PERMATA YANG HILANG'

Menurut catatan Ibnu Yusof dalam kitab "Permata Yang Hilang" mengisahkan bahawa permulaan keturunan Melayu adalah hasil perkahwinan Siti Keturah dengan Nabi Ibrahim AS.

Perkahwinan ini berlaku selepas kematian isteri Nabi Ibrahim bernama Siti Sarah. Nabi Ibrahim dilahirkan pada 2128 SM dan wafat pada 1953SM.

Sebahagian anak-anak hasil daripada perkahwinan tersebut telah berhijrah ke Timur ke wilayah yang dikenali hari ini sebagai Tasik Tonle Sap, lembah Sungai Mekong. Di sinilah lahirnya satu bangsa dikenali Malai atau bangsa gunung.

Tetapi lama kelamaan perkataan Malai digantikan dengan Melayu kerana “ME” adalah perbuatan dan “LAYU” adalah melembutkan besi, tembaga, perak dan emas ke dalam bentuk acuan yang diperlukan dalam kehidupan seperti pembuatan anting-anting, periuk dan sebagainya.

Bangsa ini amat mahir dalam pertukangan besi, tembaga, perak dan emas. Ini disebabkan permulaan kerajaan pertama iaitu Dinasti Kaundiya adalah hasil perdagangan barangan tersebut telah membentuk empayar Funan pada 100 SM.

Kerajaan Funan ini merupakan kerajaan Melayu pertama dan empayarnya sehingga ke Segenting Kra.

Kewujudan amalan dan fahaman kepercayaan yang dibawa oleh golongan yang dihalau oleh Nabi Musa a.s. semasa berlakunya peristiwa Lembu Sapi, telah berhijrah ke Timur merentasi India sekitar tahun 1447 SM.

Sebahagian golongan ini tinggal di India dan sebahagian lagi tinggal di Funan lalu membentuk agama Hindu. Akibatnya, agama tauhid mulai dilupakan.

Kejatuhan kerajaan Funan telah menyebabkan ramai orang Melayu berhijrah keluar akibat serangan dan tekanan daripada kerajaan Dinasti Lavo dan Champa.

Kebangkitan kerajaan Langka­suka yang menggantikan kerajaan Funan telah membawa satu perubahan kepada bangsa Melayu.

Langkasuka yang meliputi wilayah Setul hinggalah Rudung (Ranong, Thailand) dan Pulau Dua (Kawthoung), Myanmar. Kejatuhan Langkasuka akhirnya digantikan dengan kerajaan Srivijaya pada abad keenam Masihi.

Kerajaan Kedah Tua dan Kelantan merupakan tempat persinggahan dalam perdagangan China dan India.

Walaupun agama Islam dikembangkan tetapi masih minoriti, berbanding masyarakat Melayu yang masih menganut agama Hindu dan Buddha.

Penguasaan empayar Srivijaya semakin lemah menjelang kurun ke-11 Masihi. Keadaan ini menyebabkan Kerajaan Kedah Tua membebaskan diri apabila rajanya memeluk Islam dan menamakan dirinya Sultan Mudzafar Shah 1 yang membentuk Kesultanan Kedah pada 1176 Masihi. Ini diikuti kerajaan Kelantan Lama memeluk Islam.

Bahasa Jawi telah menggantikan bahasa Kenawi yang telah digunakan sejak 3,000 sebelum Masihi lagi.

Gelombang kedatangan Islam kedua paling besar dan memberi impak kepada perubahan agama dalam kalangan masyarakat Melayu.

Contoh, misi ekspedisi Laksamana Cheng Ho yang membawa 80,000 buah kapal. Muhammad Ma Ho diberikan gelaran Laksamana Cheng Ho atau Zheng He.

Contoh lain, perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Syah dan juga pertolongan Cek Ko Po yang menubuhkan kerajaan Islam Demak seterusnya meruntuhkan kerajaan Majapahit. Keruntuhan kerajaan Majapahit menyebabkan pengislaman beramai-ramai rakyat Pulau Jawa, Sumatera dan Kalimantan.

Pengislaman kerajaan Melaka berlaku setelah satu peristiwa solat berjemaah di pantai Melaka oleh ketiga-tiga negara iaitu pedagang India Muslim, rombongan Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam dan pedagang Arab Muslim.

Kejadian ini telah mengubah pandangan dan perspektif Parameswara yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Ini merupakan salah satu perubahan ke atas masyarakat Melayu keseluruhannya dari agama Hindu Buddha kepada Islam.

PENTINGKAH KETURUNAN?

Mungkin bagi sesetengah pihak, pengetahuan tentang sejarah dan asal usul sesuatu bangsa tidak penting. Kenapa kita perlu bersusah payah memahami kejadian yang berlaku beribu-ribu tahun dahulu?

Adakah perjalanan dan pengalaman yang dilalui oleh nenek moyang kita masih relevan untuk dipelajari?

Harus diingat, pandangan kita tentang sejarah sebenarnya membentuk pandangan kita tentang masa hadapan.

Gagal menghayati sejarah bermakna kita gagal menghargai dan menghormati usaha keras nenek moyang kita, sedangkan hasil darinya kita nikmati hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, November 30, 2018

Sejarah Asal-usul Kuil Sri Maha Mariamman

Sejarah Asal-usul Kuil Sri Maha Mariamman

Kuil Sri Mahamariamman merupakan tempat yang suci bagi penganut Hindu yang dibangunkan oleh Thambusamy Pillai pada tahun 1873 yang pada mulanya merupakan kuil peribadi keluarga. Sekitar tahun 1920, kuil ini dibuka untuk umum dan pengurusannya diserahkan seluruhnya kepada yayasan yang secara khusus mengelola Kuil Sri Mahamariamman ini.

Kuil Sri Mahamariamman

Sri Mahamariamman merupakan kuil India tertua di Malaysia dan dikunjungi oleh ramai umat Hindu warga tempatan dan juga orang luar.

Sri Mahamariamman pada awalnya berlokasi di KL Railway Station, kemudian dipindahkan ke Jalan Tung HS Lee, lokasi berdekatan Chinatown, pada tahun 1885.

Struktur kuilnya menyerupai bentuk manusia yang berbaring dengan posisi kepalanya berada di Barat dan kakinya di Timur.

Terdapat juga menara berbentuk Piramid yang dihiasi dengan patung dewa dan dewi yang diukir oleh pengukir dari India Selatan.

Penganut Hindu Tamil menganggap Sri Mahamariamman sebagai Parvati atau Dewi Ibu.

Sejarah Sri Maha Mariamman Temple

1. Tanah terletaknya kuil berkenaan asalnya dimiliki oleh Consolidated Plantations Bhd yang merupakan adalah pemilik kepada Seafield Estate.

Ada 2 teori mengenai tarikh asal pembinaan kuil tersebut:
  • 1974: Kuil tersebut dibina pada tahun 1974 oleh seorang individu yang bernama Sabathy Perumal.
  • 1891: Ia dibina pada tahun 1891 di sebahagian tanah yang didedikasikan oleh pemiliknya untuk kegunaan pekerja Hindu di estet tersebut.

2. Pada tahun 1987, SIME UEP membeli tanah tersebut daripada Consolidated Plantations Bhd. Tanah tersebut asalnya adalah di bawah status tanah pertanian namun kemudiannya SIME UEP telah menukarkannya kepada skim pembangunan perumahan.

3. Pada tahun 1992-1993, tanah kuil berkenaan telah dituntut oleh pihak SIME UEP yang bertindak sebagai pemilik tanah setelah membeli tanah tersebut daripada pemilik estet pada tahun 1987.

Maka ditubuhkanlah Komitee Pengurusan Kuil berkenaan dibawah ROS dan Chellappa a/l K. Kalimuthu telah dilantik sebagai presiden manakala Nagaraju a/l Merganathan telah dilantik sebagai setiausaha komiti tesebut.

4. Pada tahun 1996, tuntutan pertama melalui saman sivil:

No.MT1-21-353-1996 diantara Chellappa a/l K.Kalimuthu (mendakwa sebagai Pegawai Awam Kuil Sri Maha Mariamman, Hicom Shah Alam Selangor sejajar dengan Seksyen 9 @Akta Pertubuhan 1966) dan Sime UEP Properties Sdn Bhd, Pengarah Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor Darul Ehsan, Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan, One City Development Sdn Bhd, Merganathan a/l Nallo (Defendants) dan Nagaraju a/l Merganathan (perayu/pencelah).

Kes ini juga sebenarnya pernah diwakili oleh mendiang Karpal Singh.

5. Pada tahun 2001, berlaku salah faham diantara Chellapa dan Nagaraju, di mana Chellapa telah menuduh Nagaraju telah ‘red caught handed’ mencuri duit dan barang dapur kuil, Nagaraju kemudiannya meletakkan jawatan sebagai setiausaha, namun kemudiannya kembali bersama Mohan dan Vijayakumar dan memaksa ahli komitee termasuklah Chelappa untuk mengosongkan kuil dengan cara paksaan dan ugutan.

6. Pada tahun 2007, One City Development telah membeli tanah itu dan telah ada rancangan untuk memindahkan kuil itu. Saman sivil pertama iaitu No.MT1-21-353-1996 untuk menuntut hak kuil tersebut diteruskan dan akhirnya dapat diselesaikan pada tahun 2014.

7. Pada tahun 2012, kira-kira 50 penganut Hindu mengadakan protes aman di hadapan bangunan Sekretariat Negeri Selangor dan mendesak kerajaan negeri untuk menghalang perobohan kuil berkenaan dan menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan ura-ura cadangan pemindahan kuil berkenaan di Persiaran Harmoni di Putra Heights.

8. Pada tahun 2014, Mac 2014, kedua-duanya Chellapa dan Nagaraju telah bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada One City selepas syarikat itu bersetuju:
  • Menyediakan dua tanah lain yang terletak berhampiran kuil yang ada untuk diberikan kepada persatuan kuil berkenaan sebagai pampasan.
  • Mendermakan RM1.5 juta untuk membina kuil baru di salah satu daripada dua bidang tanah yang diberikan oleh One City.

Mahkamah mengarahkan tapak di mana kuil itu terletak untuk diserahkan kepada One City dalam masa dua bulan selepas pembinaan kuil baru oleh pemaju.

Julai 2014, sebuah lagi saman sivil yang melibatkan pertelingkahan di antara Chellapa dan Nagaraju:

No.MT1-22-491-2001 (MT5) diantara Chellappa a/l K. Kalimuthu (mendakwa sebagai Pegawai Awam Kuil Sri Maha Mariamman, Hicom Shah Alam Selangor sejajar dengan Seksyen 9 @Akta Pertubuhan 1966) (as Plaintiff) dan Merganathan a/l Nallo, Nagaraju a/l Merganathan, Sangguletchumi isteri kepada Sanggu, Thanabalan a/l Murugiah, Low Kok Beng, Mohan a/l Muniandy, Subramaniam, Subramaniam a/l Sarangabani, Sarathy a/l Muthan, and Vello s (as Defendants).

Saman ini telah didengar dan Orders telah dimasukkan pada 25 Julai 2014.

9. Pada tahun 2016, berdasarkan keputusan mahkahmah pada 2014, Chellappa telah dinobatkan sebagai pengurus kuil yang sah.

Persatuan kuil berkenaan juga secara sukarela melepaskan hak mereka ke salah satu tanah yang dijanjikan dan dibayar ganti rugi RM1 juta oleh One City sebagai pampasan.

10. Pada tahun 2017, May 2017, pihak One City telah menghantar Notis Pengusiran (Eviction Notice) kepada pihak kuil.

Lokasi baru itu juga telah diwartakan oleh kerajaan negeri sebagai tempat ibadat.

Kawasan tanah untuk lokasi baru adalah satu hektar dan ruang tambahan 0.86 ekar di sebelah kuil akan membolehkan para penganut memarkir kenderaan mereka.

1 Jun 2017, isu menjadi panas semula apabila, Nagaraju bersama beberapa NGO telah menolak untuk mematuhi penghakiman persetujuan untuk berpindah, walaupun beliau telah menyetujui keputusan mahkhamah pada 2014.

Nagaraju dan NGO seperti Malaysian Indian Progressive Association (Mipas), Malaysian Indian Education Transformation Association (Mieta) telah menggunakan beberapa hujah untuk menolak cadangan pemindahan kuil berkenaan ke tapak baru (2.7 KM) dari tapak lama.

Berikut adalah hujah mereka:
  • Sebuah pokok Ara yang berusia 140 tahun ada ditanah tersebut, yang dianggap keramat kepada masyarakat Hindu.
  • Mempunyai merit sejarah bahawa kuil berkenaan adalah berusia lebih 140 tahun dan perlu dikekalkan.
  • Tapak baru bagi kuil adalah dikawasan Muslim yang mana acara sambutan dikuil mungkin akan menggangu masyrakat setempat dan mewujudkan racial-tension.

Mereka juga memberi amaran kepada kerajaan negeri selangor untuk menyelesaikan masalah ini jika tidak mahu menerima ‘political backlash’.

6 Jun, Dato Seri Azmin (MB Selangor ketika itu) telah menasihatkan dan memujuk pemaju untuk meletakkan notis eviction mereka sebagai on-hold.

Disember 2017, isu ini ‘panas’ sebentar apabila dibangkitkan semula oleh Sivarasa and Santiago yang mana mana kuil tersebut harus dikekalkan berdasarkan sejarah yang panjang sebagai kuil di tanah bekas estet tersebut.

11. Pada tahun 2018, 28 September, isu menjadi panas semula apabila satu notis pengosongan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mengarahkan penghuni kuil mengosongkan tapak pada atau sebelum 15 Oktober.

16 Oktober, Menteri Perpaduan YB Senator P. Waytha Moorthy menasihatkan masyarakat India untuk bertenang dan menegaskan bahawa beliau sedang menghubungi kesemua pihak taruh yang terlibat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

25 Oktober, menerusi hantaran yang tular di laman Facebook, kira-kira 300 individu yang tidak bersetuju kuil itu dipindahkan bertindak berkumpul di kuil berkenaan semasa urusan pemindahan dijalankan menyebabkan kesesakan teruk di LDP.

Seramai kira-kira 300 orang anggota polis ditempatkan di lokasi terlibat bagi mengawal sebarang situasi tegang yang tercetus.

Selepas perbincangan, pemaju (One City) bersetuju untuk menangguhkan perobohan sehingga 22 November iaitu selepas perayaan Deepavali.

Pengurusan kuil itu akan diambil alih oleh pasukan petugas khas yang diketuai oleh aktivis Hindraf “Ramaji”, yang nama sebenarnya M Ramachandran.

YB Sivarasa berjanji untuk bertemu dengan MB Selangor sebelum 22 November untuk mencari penyelesaian isu tersebut.

31 Oktober, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau menasihatkan kepada pihak yang membantah untuk mengikut keputusan dan perjanjian di mahkahamah pada 2014, beliau juga mengingatkan bahawa arahan untuk kuil itu dipindah atas arahan mahkamah bukan arahan kerajaan negeri.

17 November, kumpulan yang membantah persetujuan antara jawatankuasa kuil dan pemaju untuk berpindah merancang satu tunjuk perasaan di luar Parlimen bagi meminta campurtangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, walaupun mahkamah sudah membuat pada 2014.

Malah, ada 2 orang penganut hindu dikalangan jawatankuasa juga telah memulakan mogok lapar menentang pemindahan kuil tersebut.

Kumpulan “Save Seafield Sri Maha Mariamman Temple” berkata kuil itu, yang dibina lebih 40 tahun lalu, adalah warisan sejarah dan tidak patut dipindahkan.

Ketua kumpulan itu, S Ramaju, menuduh kerajaan tidak peduli akan bantahan mereka.

“Kami mahu perdana menteri campurtangan dan bantu kami cari satu penyelesaian. Tiada orang dengar rayuan kami,” katanya.

21 November, sekumpulan penganut Hindu berdemonstrasi di depan bangunan parlimen bagi mempertahankan kuil tersebut daripada dirobohkan pada tarikh akhir iaitu 22 November 2018.

Mereka telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya segera memberi perhatian kepada isu Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman di Ladang Seafield itu.

Memorandum tersebut diterima oleh seorang pegawai tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri yang berjanji akan membawa isu itu ke perhatian Mahathir.

23 November, sekali lagi memorandum cuba dibawa ke parlimen oleh Ramaji, yang juga Pengerusi Badan Bertindak Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman namun telah dihalang masuk kira-kira jam 5.50 petang ketika ingin menghadiri perjumpaan bersama Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy berhubung isu kuil.

Beliau mendakwa telah dilarang masuk parlimen kerana berpakaian Hindu.

Pada hari yang sama juga pihak pemaju dari One City telah menafikan bahawa mereka telah menangguhkan tarikh akhir 22 November kepada 29 November

25-26 November, telah diadakan mesyuarat tergempar bahawa akan ada usaha daripada pihak pemaju untuk datang menghalau orang-orang di dalam kuil dan memulakan kerja pembersihan kuil mulai Isnin (26 November), maka ramailah turun menunggu di kuil.

Pada pukul 2 pagi, sekumpulan lelaki Melayu (50-100 orang) berpakaian hitam yang dipercayai telah dibayar oleh pihak pemaju telah datang menyerbu kuil dan mengarahkan orang untuk keluar, keadaan menjadi tidak terkawal dan perkara ini telah diviralkan di media sosial menggunakan fungsi live facebook.

Unsur-unsur orang Melayu vs India dan kononnya jeritan Allahu Akbar dijerit oleh kumpulan berkenaan telah didendangkan di dalam seruan meminta bantuan oleh pihak dari dalam kuil berkenaan.

Maka ramailah dari kalangan orang India yang turun ke kuil berkenaan dan berlakulah pertempuran dan pergaduhan diantara kumpulan lelaki Melayu tadi dengan orang yang turun memberi bantuan kepada persatuan kuil, ada yang cedera parah akibat dipukul secara beramai-ramai dari kedua-dua belah pihak.

Pertempuran tersebut akhirnya telah berjaya dikawal oleh LPF dan FRU dan beberapa orang telah berjaya digari dan ditangkap oleh pihak polis.

Di dalam kekecohan tersebut, beberapa buah truck pickup telah diterbalikan dan beberapa buah kereta juga telah dibakar.

Sebagai kesimpulan, isu ini bukanlah isu ‘planted’ yang dirancang secara tiba-tiba, isu ini adalah isu lama yang sudah berpanjangan sejak bertahun-tahun walaupun sepatutnya telah diselesaikan dengan cara mahkahmah.

Namun, mungkin kerana ada agenda daripada pihak-pihak tertentu isu ini menjadi panas dan semakin ‘complicated’.

Diharapkan, kita sebagai rakyat Malaysia tidak termakan provokasi atau hasutan yang tidak sepatutnya seperti, bahawa kejadian ini adalah rusuhan di antara kaum Melayu dan India, orang Melayu nak robohkan kuil Hindu, ekstrimis Melayu atau Muslim dsbnya.

Walhal, ianya adalah pergeseran di antara pihak pengurusan kuil dan juga pihak pemaju yang telah memakan masa hampir 20 tahun namun tidak selesai-selesai lagi

Surat Pengekalan Kuil

Kerajaan Selangor dibawah kerajaan BN pada tahun 2001 pernah mengeluarkan sebuah surat kelulusan pengekalan tapak kuil tersebut berdasarkan sebuah mesyuarat exco pada 08.08.2001.

Malah, pada tahun 1993 sebuah surat daripada Timbalan menteri sumber manusia (Tan Sri M. Mahalingam), juga pernah dikeluarkan daripada pejabat beliau yang telah berpendapat bahawa pihak kuil berhak untuk menduduki tapak yang diduduki oleh kuil tanpa sebarang gangguan berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai oleh pemaju (SIME UEP) di mana pemaju telah bersetuju dengan syarat yang telah dikenakan oleh Majlis Mesyuarat EXCO Selangor pada tahun 1987 yang berbunyi;

“Pemaju dikehendaki memperuntukkan kawasan bagi maksud Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) seluas kira-kira 5 ekar dan tapak untuk Kuil Sri Maha Mariamman seluas kira-kira 1 ekar di tempat yang sedia ada.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, November 23, 2018

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Azan mula disyariatkan pada tahun kedua Hijriah. Mulanya, pada suatu hari Nabi Muhammad SAW mengumpulkan para sahabat untuk memusyawarahkan bagaimana cara memberitahu masuknya waktu solat dan mengajak orang ramai agar berkumpul ke masjid untuk melakukan solat berjamaah.

Sejarah Asal-usul Azan Dan Iqamat

Di dalam musyawarah itu ada beberapa usul. Ada yang mengusulkan supaya dikibarkan bendera sebagai tanda waktu solat telah masuk. Apabila bendera telah berkibar, hendaklah orang yang melihatnya memberitahu kepada umum.

Ada juga yang mengusulkan supaya ditiup trompet seperti yang biasa dilakukan oleh penganut agama Yahudi.

Ada lagi yang mengusulkan supaya dibunyikan loceng seperti yang biasa dilakukan oleh orang Nasrani.

Ada seorang sahabat yang menyarankan bahawa kala waktu solat tiba, maka segera dinyalakan api pada tempat yang tinggi dimana orang-orang dapat dengan mudah melihat ketempat itu, atau setidak-tidaknya asapnya dapat dilihat orang walaupun ia berada ditempat yang jauh.

Yang melihat api itu dinyalakan hendaklah datang menghadiri solat berjamaah.

Semua usul yang diajukan itu ditolak oleh Nabi SAW, tetapi beliau menukar lafaz itu dengan Assolatu jami’ah (marilah solat berjemaah).

Lantas, ada usul dari Umar Al-Khattab jikalau ditunjuk seseorang yang bertindak sebagai pemanggil kaum Muslim untuk solat pada setiap masuknya waktu solat.

Kemudian saranan ini agaknya dapat diterima oleh semua orang dan Nabi Muhammad SAW juga menyetujuinya.

Asal Usul Azan berdasarkan Hadis

Lafaz azan tersebut diperoleh dari hadis tentang asal usul azan dan iqamah:

Abu Dawud mengisahkan bahawa Abdullah bin Zaid berkata sebagai berikut, “Ketika cara memanggil kaum muslimin untuk solat dimusyawarahkan, suatu malam dalam tidur, aku bermimpi.

"Saya melihat ada seseorang sedang menenteng (membawa) sebuah loceng. Aku dekati orang itu dan bertanya kepadanya adakah dia hendak menjual loceng itu.

"Orang tersebut bertanya, Untuk apa? Aku menjawabnya, “Bahawa dengan membunyikan loceng itu, kami dapat memanggil kaum muslim untuk menunaikan solat.”

Orang itu berkata lagi, “Mahukah kau kuajari cara yang lebih baik?” Dan aku menjawab “Ya!” Lalu dia berkata lagi dan kali ini dengan suara yang amat lantang:
Allahu Akbar Allahu Akbar
Asyhadu alla ilaha illallah
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah
Hayya ‘alash sholah (2 kali)
Hayya ‘alal falah (2 kali)
Allahu Akbar Allahu Akbar
La ilaha illallah

Ketika esoknya, aku menemui Nabi Muhammad SAW dan menceritakan perihal mimpi itu kepadanya, kemudian Nabi Muhammad SAW, berkata, “Itu mimpi yang nyata. Berdirilah disamping Bilal dan ajarlah dia bagaimana mengucapkan kalimat itu. Dia harus mengumandangkan azan seperti itu kerana dia memiliki suara yang amat lantang.”

Lalu aku pun melakukan hal itu bersama Bilal.”

"Rupanya, mimpi serupa dialami oleh Umar dan dia juga menceritakannya kepada Nabi Muhammad SAW.

Asal Usul Iqamah

Setelah lelaki yang membawa loceng itu melafazkan azan, dia diam sejenak, lalu berkata, “Kau katakan jika solat akan didirikan:
Allahu Akbar, Allahu Akbar
Asyhadu alla ilaha illallah
Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah
Hayya ‘alash sholah
Hayya ‘alal falah
Qod qomatish sholah (2 kali), ertinya “Solat akan didirikan”
Allahu Akbar, Allahu Akbar
La ilaha illallah

Begitu subuh, aku mendatangi Rasulullah SAW kemudian kuberitahu beliau apa yang kumimpikan.

Baginda pun bersabda, “Sesungguhnya itu adalah mimpi yang benar, insya Allah. Bangkitlah bersama Bilal dan ajarkanlah kepadanya apa yang kau mimpikan agar diazankannya (diserukannya), kerana sesungguhnya suaranya lebih lantang darimu.”

Ia berkata, "Maka aku bangkit bersama Bilal, lalu aku ajarkan kepadanya dan dia yang berazan. Ia berkata, "Hal tersebut terdengar oleh Umar bin al-Khaththab ketika dia berada di rumahnya. Kemudian dia keluar dengan selendangnya yang menjuntai.

Dia berkata, “Demi Dzat yang telah mengutusmu dengan benar, sungguh aku telah memimpikan apa yang dimimpikannya.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Maka bagi Allah-lah segala puji.” – Hadits Riwayat Abu Dawud (499), at-Tirmidzi (189) secara ringkas tanpa cerita Abdullah bin Zaid tentang mimpinya, al-Bukhari dalam Khalq Af’al al-Ibad, ad-Darimi (1187), Ibnu Majah (706), Ibnu Jarud, ad-Daruquthni, al-Baihaqi, dan Ahmad (16043-redaksi di atas).

At-Tirmidzi berkata, “Ini hadits hasan shahih”.

Juga dishahihkan oleh jamaah imam ahli hadits, seperti al-Bukhari, adz-Dzahabi, an-Nawawi, dan yang lainnya. Demikian diutarakan al-Albani dalam al-Irwa (246), Shahih Abu Dawud (512), dan Takhrij al-Misykah (I: 650).

Lafaz Azan terdiri dari 7 bahagian:
Allahu Akbar, Allahu Akbar (2 kali)
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar”

Asyhadu alla ilaha illallah (2 kali)
“Aku bersaksi bahwa tiada Tuhan selain Allah”

Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah (2 kali
“Aku bersaksi bahwa Muhammad adalah Rasul Allah”

Hayya ‘alash sholah (2 kali)
“Mari menunaikan salat”

Hayya ‘alal falah (2 kali)
“Mari meraih kemenangan”

Ashsalatu khairum minan naum (2 kali)
“Shalat itu lebih baik daripada tidur” (hanya diucapkan dalam azan Subuh)

Allahu Akbar, Allahu Akbar (1 kali)
“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar”

Lailaha ilallah (1 kali)
“Tiada Tuhan selain Allah”

Menjawab Azan

Apabila kita mendengar suara azan, kita disunnahkan untuk menjawab azan tersebut sebagaimana yang diucapkan oleh muazin, kecuali apabila muazin mengucapkan “Hayya alash shalah”, “Hayya alal falah”, dan “As shalatu khairum minan naum” (dalam azan Subuh).

Bila muazin mengucapkan “Hayya alash shalah” atau “Hayya alal falah”, disunnahkan menjawabnya dengan lafazh “La haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azhim” yang ertinya, “Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah”.

Dan bila muazin mengucapkan “Ashsalatu khairum minan naum” dalam azan Subuh, disunnahkan menjawabnya dengan lafaz “Shadaqta wa bararta wa ana ‘ala dzalika minasy syahidin” yang ertinya, “Benarlah engkau dan baguslah ucapanmu dan saya termasuk orang-orang yang menyaksikan kebenaran itu”.

Ayat di dalam Al-Quran yang terkait dengan azan (seruan), "Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga), dan menunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus (Islam)." Surah Yunus 10:25

"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu, ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dikumpulkan." Surah Al Anfaal 8:24

"Hai kaum kami, terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih."

"Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.” Surah Al Ahqaaf 46:31-32

Azan itu adalah satu seruan kepada manusia untuk melaksanakan solat.

Renungkanlah setiap bait azan itu, semoga kita lebih sedar akan seruan untuk kita mengEsakan Allah, melaksanakan sunnah rasulNya, menjalankan solat dan menuju kemenangan. Insya Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots