Thursday, June 28, 2018

Benarkah Ketupat Telah Wujud Sejak 1300 Tahun Dahulu?


Makanan tradisional bernama ketupat, suatu hidangan yang dianggap begitu purba apabila dikatakan sudah tersurat dalam catatan sejarah seawal tahun 691 Masihi!

Benarkah Ketupat Telah Wujud Sejak 1300 Tahun Dahulu?

Namun hakikatnya, ramai orang Melayu sendiri kurang tahu akan keluarbiasaannya terutama aspek sejarah dan peranan ketupat secara lebih terperinci apatah lagi dalam dunia dan kehidupan Melayu moden ketika ini.

Ketupat adalah salah satu makanan yang dikongsi oleh seluruh bangsa Melayu di gugusan rantau Nusantara.

Jika ditekuni sejarah ketupat, kita akan mendapati makanan ini mempunyai magis yang luar biasa.

Berdasarkan catatan pengembara pendeta Buddha terkenal abad ketujuh Mashi yang bernama I-Tsing, kita boleh mengetahui banyak perkara yang tidak tersangkakan.

Tujuan I-Tsing adalah India, tetapi beliau singgah di Srivijaya. Bukan sekali tetapi dua kali dan salah satunya adalah antara tahun 691 ke 692.

I-Tsing menyatakan Srivijaya (Mo-lo-yu atau Shih-li-fo-shih atau Sribhoga ) adalah kota pelabuhan penting sebelum dinamakan sebagai Palembang.

Negeri Melayu ini juga kaya dengan emas. Srivijaya juga menggunakan mata wang emas dan perak.

Rakyatnya memakai minyak wangi dan lazim mengenakan pakaian kan-man atau kain sarung meskipun suka berkaki ayam.

Di pelabuhan Srivijaya terlihat kesibukan saudagar memperdagangkan antara lain rotan, pinang, dan kelapa.

Akan tetapi bahagian yang lebih memukau ialah pesta agama di Srivijaya pada waktu itu dilaporkan sangat meriah. Ada majlis berbuka puasa melibatkan jamuan khas dengan hidangan pelbagai juadah dari daging.

Paling penting I-Tsing merakamkan bahawa orang Melayu pada waktu itu sudah menjamah ketupat sebagai hidangan istimewa.

Selain menjadi makanan utama di biara Buddha, candi kerajaan kuno seperti era Majapahit dan Pajajaran, turut menjadikan ketupat makanan unggul tatkala tradisi pemujaan Dewi Sri, iaitu dewi tanaman dan kesuburan.

Ia dianggap pelindung kelahiran, rezeki dan kemakmuran yang sangat penting bagi masyarakat tani di Jawa.

Magis ketupat tidak terhad di Jawa, di Pantai Timur Tanah Melayu, upacara rawatan Main Teri akan melibatkan ketupat.

Ketika upacara ini, bangsal Teri yang dipasang di laman rumah akan diletak pada lelangitnya makanan seperti putu dan ketupat daun palas.

Selain itu, ketupat juga dinobatkan setingginya tatkala upacara Hindu di alam Melayu.

Di Bali, hingga kini, ada ritual Perang Ketupat atau Aci Rah Pengangon iaitu upacara untuk mengungkap rasa syukur pada Sang Hyang Widhi atas hasil tuaian.

Ia berfungsi untuk mohon keselamatan dan kesejahteraan umat manusia.

Di Lombok ritual Perang Ketupat ini menjadi lebih menarik, manakala untuk penganut Hindu, ketupat meraikan upacara Pujawali. Sedangkan penganut Islam menghadirkan ketupat untuk mengenang atau tahlil Raden Mas Sumilir.

Beliau merupakan pendakwah terkenal dari Demak, Jawa Tengah, yang menyebarkan Islam di Lombok pada abad ke-15.

Anehnya, penyebaran Islam ke rantau Nusantara oleh bangsa Arab tidak pula merobah bangsa Melayu.

Mereka tidak terhegeh-hegeh pada waktu itu menukar diri menjadi Arab. Sebaliknya kemelayuan yang mudah itu diberi erti baharu pada budaya.

Makanya, ketupat kini menjadi simbol dakwah yang marak di pedalaman Jawa. Kerajaan Demak menyaksikan ketupat dipromosi sebagai juadah khas ritual keIslaman.

Apabila Walisongo membawa Islam ke kampung di Jawa, menyedari budaya agraris pulau tersebut, Sunan Kalijaga mempakej semula ketupat. Ia dijadikan makanan khas umat Islam pula.

Ketupat yang memang sudah dikenali masyarakat itu dipersembahkan kembali sebagai ‘perayaan lebaran ketupat’, iaitu sambutan pada tarikh 8 Syawal (iaitu hari kelapan Aidilfitri).

Ini juga demi merayakan penganut Islam yang enam hari berpuasa sunat Syawal berturut-turut.

Perlahan-lahan berlaku fasa nyahsakralisasi Dewi Sri dan nyahmitologisasi tidak lagi dipuja sebagai dewa padi atau kesuburan.

Tetapi dikecilkan sebagai lambang yang terserlah dalam bentuk ketupat yang bermakna ucapan syukur kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Malah Slamet Mulyono dalam kamus Jawa susunannya merujuk ketupat sebagai kupat yang bermaksud mengaku bersalah, justeru bertaubat maka, ia dikaitkan dengan hari fitrah atau hari raya selepas sebulan berpuasa.

Beliau juga memaknakan bentuk unik ketupat sebagai seumpama kiblat papat limo pancer.

Dalam hal ini papat dimaknai sebagai lambang empat arah mata angin utama iaitu timur, barat, selatan dan utara.

Jadi, apa pun pacer (arah) seseorang itu, ia akan tetap berhalakan kiblat, sebagai salah satu syiar agama Islam. Maka ketupat dilekatkan semangat keagamaan yang baharu – Islam.

Jika diimbas kembali acara Perang Ketupat di Bali dan Lombok, ia dikatakan bermula apabila orang Hindu dari Bali ingin berhijrah ke Lombok pada abad ke-16. Mereka mendarat di Desa Lingsar yang sudah dihuni orang Islam.

Kedatangan orang Bali itu hampir mengakibatkan perang, tetapi segera didamaikan oleh seorang ulama Islam tempatan yang menyarankan ‘Perang Ketupat’ ini.

Pada acara tersebut, penganut Hindu dan Islam akan saling menyerang dengan cara mesra iaitu baling atau lempar ketupat, bukannya menumpahkan darah.

Jelaslah ketupat menjadi simbol untuk pelbagai agama di alam Melayu. Ia merentasi Buddha, kepercayaan Kejawen, pagan dan kemudian Islam.

Malah, ketupat menjadi jambatan antara kepercayaan yang sangat damai. Ia juga dapat menjadi hujah kriteria asas gastronomi masakan bangsa Melayu. Ini kerana ketupat dibahan daripada beras dan daun kelapa yang rumit anyamannya.

Pokok kelapa sangat dikait dengan orang Melayu bahkan, kelapa adalah nadi ekonomi Srivijaya. Tumbuhan palma ini juga sangat berguna.

Dalam kehidupan harian Melayu, lidinya menjadi penyapu, pelepah pula bahan bakar dan penakung minuman, selain diguna sebagai minyak masak dan santan. Umbut, bumbang, tambul dan buah dimanfaat sebagai makanan. Dalam hal ini daun kelapa jadi pembalut unik ketupat.

Sukar untuk hujah makanan Melayu tanpa kelapa, maka jika ada juadah Melayu direbutkan bangsa lain; kewujudan kelapa dalam bahan masakan dapat menjadi aspek pelerai.

Dalam hal ini, satu hujah yang sukar disanggah adalah daun ketupat selalunya diambil dari kelapa.

Selain fungsi agama, ketupat adalah makanan terpilih untuk pelaut Melayu berdasarkan pantun dari ‘Syair Asli Rajang Hari’.

Kita mengetahui pelayar di Brunei pada zaman dahulu sering membawa bekalan ketupat dalam perjalanan jarak jauh mereka sekali gus menjimatkan masa mereka untuk memasak nasi di atas kapal yang terhad sumber makanannya.

Anyam ketupat bawa belayar
Diletak yang masak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati

Akhir sekali, bagaimanakah ketupat dimakan, selain ketika upacara keagamaan?

Berdasarkan kepada pantun dari ‘Lima Puluh Pantun’, kita mendapati ketupat sering menjadi ganti kepada nasi dan ia tetap dimakan berkuah:

Makan ketupat bersama kuah
Nasi tidak dimakan lagi
Sudah dapat gading bertuah
Tanduk tidak berguna lagi.

Ketupat juga tidak semestinya dimakan kosong, malah boleh dibubuh inti.

Pendeta bahasa Melayu, Za’ba ada rakam serangkap pantun dalam ‘Ilmu Mengarang Melayu’ yang memperihalkan cara memakan ketupat berinti ini:

Nyiur gading tinggi menjulang
Masak ketupat berisi inti
Buah delima di dalam cawan
Hancur daging berkecai tulang
Belum dapat belum berhenti
Hendak bersama denganmu tuan.

Jelas sekali ketupat memang memiliki kekuatan dan kehebatan tersendiri sebagai juadah tradisi agama.

Sejarah ketupat yang panjang di alam Melayu lebih 1,300 tahun menjadikan ketupat sejenis makanan sangat bermakna.

Perlahan-lahan ia juga diterima masyarakat Cina yang hijrah ke alam Melayu. Ketupat kemudian diadoptasi dalam budaya pemakanan mereka.

Hari ini ketupat masih memain peranan sosial yang sungguh unik ketika majlis agama.

Tidak dapat dinafikan bahawa ketupat akan terus menjadi hidangan wajib orang Melayu dan budaya luar biasa ini tentunya menjadi kecemburuan bangsa-bangsa lainnya di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon