Saturday, May 16, 2026

SBDJ Siri 276: Perjalanan Di Halang

SBDJ Siri 276: Perjalanan Di Halang

Buat seketika, suasana diruang tamu dicengkam kesepain yang panjang. Shafie menggaru dahinya berkali-kali. Dia memang mengharapkan agar tetamu yang ada disitu mengajukan pertanyaan.

SBDJ Siri 276 Perjalanan Di Halang

"Kesudahan perlawanan itu siapa yang menang?" Jamaluddin ajukan pertanyaan.

Semua biji mata yang berada disitu tertumpu ke wajah Shafie. Dia merasa tidak senang bila mukanya ditatap lama-lama.

"Siapa yang menang?" ulang Jamaluddin.

"Haaa..." Shafie menarik nafas dalam-dalam. Air mukanya membayangkan rasa malu.

"Jawablah," Pak Habib mengusik nakal.

"Saya hampir-hampir kalah, mujur ada orang yang datang menyelamatkan saya," Shafie terus tersengih.

Dan orang yang berada diruang itu segera tertawa. Lucu, Shafie turut ketawa terkikih.

SUBUH

Tidak berapa lama berselang, azan Subuh bergema dari sebuah surau berdinding papan tidak jauh dari rumah keeluarga Shafie.

"Kita jemaah disurau, kalau ada sesiapa mahu mandi masih sempat," riang sekali nada suara ayah Shafie mengemukakan cadangan.

"Rasanya kita semua masih segar, basuh muka sudah memadai," sanggah Jamaluddin lalu disambut dengan ketawa.

"Lepas solat Subuh kita makan ramai-ramai disini. Semua hidangan saya sediakan," kata ibu Shafie setelah suara ketawa berakhir.

"Ini sudah cukup baik," saya tumpang sekaki dalam dialog Subuh.

Akibatnya saya menerima teguran dari datuk melalui jelingan mata yang tajam.

Saya adalah orang terakhir turun dari rumah ayah Shafie.

Lebih kurang dalam jarak lima belas kaki sebelum sampai ke kawasan sempadan surau, rombongan yang diketuai oleh ayah Shafie berhenti sebentar.

Kemudian mereka melencong ke kanan, tidak ikut jalan lurus menuju ke kaki tangga surau.

"Kenapa melencong ke kanan menjauhkan perjalanan, kalau lurus lagi dekat dan cepat sampai ke kaki tangga surau," bisik hati saya yang berada dibelakang.

Saya buat keputusan ikut jalan lurus. Tidak mahu melencong seperti yang dilakukan oleh ayah Shafie, datuk, Pak Habib dan Jamaluddin.

Ketika sampai ke hujung jalan, langkah saya terhenti. Dari cahaya lampu gasolin surau terlihat tulang temulang dan tengkorak manusia berserakkan dijalan lurus.

Tulang-tulang dan tengkorak yang bertaburan disitu berukuran kecil, sebesar tengkorak monyet. Saya jadi kaku, sepasang kepala lutut terasa lembik tidak boleh melangkah.

Cara kebetulan (mungkin sudah menduga) dalam saat panik itu, datuk dan Pak Habib merenung ke arah saya tetapi, Jamaluddin lebih pantas bertindak. Dia segera datang kepada saya.

"Baca bismillah dan surah an-Anas, melencong ke kanan macam kamu buat tadi," Jamaluddin memberi arahan.

Saya segera mematuhinya dan Jamaluddin terus menemani hingga saya bergabung dengan datuk. Pak Habib, ayah Shafie dan Tajuddin senyum sinis ke arah saya.

"Benda-benda begini perkara biasa di Tanah Sumatera. Perbuatan itu bukan ditujukan pada kita. Tetapi ditujukan pada salah seorang jemaah surau oleh musuhnya.

"Mungkin juga kerana dengki. Mereka lebih mengutamakan kekuatan ilmu syaitan dari kebesaran Allah. Perbuatan orang tak beriman," Tajudin mengeluh didepan datuk dan Pak Habib.

WUDUK

Jamaluddin yang ditemani ayah Shafie. Pak Habib dan Tajuddin segera menuju ke tampat mengambil wuduk. Tinggal saya bersama datuk berdiri dibucu surau papan.

"Kenapa kamu mengasingkan diri, berjalan kemudian," datuk renung muka saya, tiada jawapan yang dapat saya berikan.

"Lagi satu perangai buruk kamu, bila berjalan suka menoleh kebelakang. Apa kamu tak boleh buang tabiat buruk ni."

Saya terus membisu. Ada kemarahan menguasai wajah datuk. Beberapa orang kampung yang tidak dikenali menoleh ke arah saya dan datuk, sebelum mereka mengambil air sembahyang.

"Kalau semasa kamu menoleh, kamu lihat benda-benda yang baik untunglah, kalau terlihat benda yang tak senonoh, buruk padahnya," sambung datuk.

Dan saya yakin, orang yang lalu disisi tidak dapat menangkap kata-kata yang datuk hamburkan.

"Pergi ambil wuduk."

Datuk terus berlalu menuju ke tempat wuduk. Dengan rasa kesal saya melangkah mengekorinya menuju ke tempat yang sama.

Setelah menunaikan sembahyang Subuh, kami terus pulang ke rumah. Tetapi, tidak melalui jalan datang. Kami ikut jalan lain, terpaksa menyeberangi sebatang tali air yang airnya mengalir keruh.

Kata ayah Shafie, jalan baru itu dipilih bagi menghindarkan diri dari bertemu hal-hal tak diingini. Jalan baru ini agak jauh dibandingkan dengan jalan sebelumnya.

Kiri kanan jalan penuh dengan pepokok kecil dan tanaman tebu dan pisang. Kerana jarang digunakan rumput tumbuh hinga ke tengah jalan.

"Ahh, tebu hitam melintang jalan, berhenti dulu," ayah Shafie bersura, langkahnya terhenti. Begitu juga dengan langkah Jamaluddin, Pak Habib dan datuk.

"Ada apa Tamar?"

Saya renung muka Tajudin. Dia senyum.

"Ada apa Tamar," ulangnya lagi.

"Tebu hitam melintang jalan," bisik saya.

Wajahnya cemas.

Empat kerat tebu hitam yang panjangnya kira-kira dua kaki bertindih melintang, betul-betul ditengah jalan. Sebahagian dari kulitnya tersiat nipis hingga ke pangkal ruas.

"Ketepi biar aku lihat kedudukannya."

Datuk maju setapak kedepan, membongkok badannya melihat atur letak tebu hitam. Agak lama juga datuk melihatnya sambil hujung jarinya menculik permukaan jalan tanah merah. Sepasang bibirnya terus bergerak-gerak.

ANGKAT

Perlahan-lahan datuk angkat muka lalu merenung muka Pka Habib dan Jamaluddin. Mereka berbalas senyum.

"Ada jemaah yang keluar awal dari surau sengaja meletakkan batang tebu hitam disini. Barangkali, dia mahu menguji kebolehan salah seorang dari kita bertiga," selamba saja datuk bersuara.

"Nakal," komentar Pak Habib.

"Pelik, macam mana dia orang tahu kita mengubat Shafie," Jamaluddin kerutkan kening. Saya juga sependapat dengannya.

"Macam mana mereka tak tahu, semua orang kampung tahu anak saya ada masalah. Orang luar pula dapat merawatnya.

"Jadi dukun-dukun yang ilmunya setengah baldi iri hati. Kenapa tak panggil mereka.

"Masyarakat kita memang tak lepas dari hasad dengki," agak panjang ayah Shafie memberikan penjelasan.

Bila dia mahu menyambung penjelasannya lagi (sebenarnya mahu meluahkan rasa geram) Pak Habib segera menghalang.

"Sudah, aku faham. Bila kita banyak bercakap tentang orang lain, kita mudah tersasul mencaci peribadi orang. Secara tidak sengaja kita sudah membuat dosa," Pak Habib menepuk bahu ayah Shafie.

Dan dia menerima pandangan jujur Pak Habib.

Tebu hitam yang terletak melintang di tengah jalan dibiarkan begitu saja.

Perjalanan yang terganggu diteruskan. Atas permintaan Jamaluddin, kami diminta berjalan berdua-duaan seiring.

Pak Habib dipadankan dengan datuk, Jamaluddin dengan ayah Shafie, manakala saya dengan Tajudin.

Berjalan didalam kampung yang kiri kanannya diapit dua buah bukit, terasa dingin sekali. Kabus nipis berarak lembut dipuncak bukit.

Sekali pandang kabus itu bagaikan menyapu awan putih yang mula disuluh sinar matahari yang mula berusaha menampakkan diri.

Semasa melintas beberapa buah rumah dibibir jalan tanah merah, terdengar suara kanak-kanak perempuan membaca mukaddam yang diselang seli dengan suara ustazah membetulkan pembacaan.

Suasana begini mengingatkan saya pada kampung laman dan nenek di Semenanjung.

Sampai dikaki tangga kami disambut oleh Shafie dan ibunya dengan wajah eria. Perubahan pada diri Shafie mengejutkan kami yang berada dikaki tangga. Rasa tak percaya Shafie sesihat itu.

"Semoga dia sihat terus, macam dulu," bisik ayah Shafie pada Pak Habib.

"Mudah-mudahan, jangan lupa berdoa kepada Allah," antara jelas dengan tidak Pak Habib menjawab.

"Naik dengan satu syarat," sambil ketawa kecil Shafie merenung wajah ibunya.

Mereka berdua ketawa terkikih. Kami yang berada dikaki tangga bertambah hairan. Apakah si ibu dengan si anak bergurau atau serius.

"Syarat apa pula?"

Ayah Shafie beliakkan sepasang biji mata, menatap wajah isterinya yang masih ketawa. Pak Habib dan datuk saling berpandangan.

Dada mereka terus digayuti persoalan tanpa jawapan pasti. Tetapi, perasaan Jamaluddin tidak terusik dengan keadaan itu, dia senyum sinis sambil menggaru pangkal lehernya berkali-kali.

"Ada-ada saja perkara yang tak diduga," saya dapat menangkap suara runggutan Jamaluddin.

Memang dia bosan menghadapi masalah yang pada hematnya sengaja diada-adakan. Semuanya ini boleh melambatkan segaola rancangan yang diaturnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 276/284

BACA: SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Thursday, May 14, 2026

SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan

SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan

Semua yang berada di rauang tersebut hanya memperhatikan saja gelagat ayah Shafie. Lima minit masa berlalu, ayah Shafie masih berada dalam keadaan mamai. Pak Habib memberikan isyarat mata pada Jamaludin supaya melakukan sesuatu.

SBDJ Siri 275 Tengkorak Di Tengah Jalan

Dengan segera Jamaludin mendekati ayah Shafie dan terus membisikkan sesuatu di telinga lelaki yang berkening lebat itu.

Ayah Shafie mengangguk beberapa kali, malah terus menangis tersedu-sedu.

Dia pun minta maaf pada Jamaludin, pada datuk, pada Pak Habib dan semua yang berada di ruang rumah.

Suasana sekitar dibalut kesayuan tetapi, deru angin di luar rumah masih terdengar menyentuh dedaun pokok.

"Saya tak sedar dengan apa yang saya buat. Lubang telinga diasak dengan suara ghaib memberitahu saya, orang yang mendampingi saya berniat buruk. Mahu menghancurkan rumah tangga saya, anak bini dan jiran-jiran saya.

"Sebelum kejadian itu berlaku, saya mesti bertindak. Saya buat apa yang suara ghaib itu suruh," tersekat-sekat ayah Shafie bersuara.

Semua yang berada di ruang rumah berpandangan sama sendiri. Wajah ayah Shafie nampak gusar sekali.

"Saya menyesal, saya minta maaf," sambungnya penuh pilu.

"Sudahlah tu," Pak Habib memujuk.

"Sekarang kita uruskan apa yang ada di depan mata kita," Dengan tenang Jamaludin menujukan kata-kata itu pada Pak Habib.

"Maksud kamu Din?"

"Selesaikan masalah Shafie."

"Oh," Pak Habib tersenyum.

Kemudian, muka datuk dipandang. Mereka bertentang mata. Masing-masing kerutkan kening, macam ada sesuatu yang bermain di dalam tempurung mereka.

"Masih ribut lagi," pendek datuk bersuara.

Serentak Pak Habib dan Jamaludin mengangguk.

DERU

Memang, di luar bunyi deru ribut tidak juga berhenti. Suara pekikan dan jeritan mangsa ribut terus kedengaran. Sesekali terdengar suara tangisan kanak-kanak. Nyaring dan lantang.

Syaitan sedang berpesta untuk memperdayakan penghuni rumah, saya membuat andaian sendiri.

"Lihat tu."

Ibu Shafie bersuara. Jari telunjuknya menuding ke arah daun tingkap yang terdedah. Semua biji mata tertumpu ke arah tingkap tersebut. Buat seketika, semuanya bagaikan terpukau tanpa sebarang kata.

"Ahhh..."

Secara spontan dan serentak, semua yang berada di ruang rumah tersebut bersuara dengan sepasang biji mata masing-masing terbeliak.

Ada kain batik jawa berbau harum, melayang-melayang di muka jendela. Bila kain batik itu hilang dari pandangan, muncul lembaga manusia yang kurang jelas bentuknya.

Lembaga itu bertenggek di bendul tingkap dengan membelakangi kami. Bahagian belakangnya nampak menggerutu, macam kulit limau purut.

Semakin direnung, semakin berani lembaga itu mempamirkan dirinya.

Dia memperlihatkan bahagian belakang kepalanya yang berlubang mengeluarkan asap nipis. Bahagian belakang lehernya pula dipenuhi bulu hitam tebal dan kerinting.

Beberapa helai bulu tersebut gugur dan melayang-layang menuju ke arah Shafie yang terlentang tidak sedar diri.

"Ini merbahaya, kalau jatuh atas tubuh Shafie," kata Pak Habib dengan wajah cemas.

"Puuuhhhh..."

Pantas datuk bertindak. Dia hembuskan nafas ke arah bulu hitam yang berterbangan ke arah Shafie. Hembus pertama tidak memberi kesan. Hembus kali kedua mendatangkan hasil.

Bulu hitam itu berpusing-pusing dan berpatah balik ke arah pemiliknya. Pada saat itu juga terdengar letupan kecil di muka jendela. Lembaga manusia itu terus ghaib.

Kawasan sekitar dipenuhi kepulan asap yang berwarna kemerah-merahan untuk beberapa saat sebelum hilang.

NORMAL

Bila kembali normal, semuanya menarik nafas lega. Tetapi, keadaan Shafie tak berubah, masih terkadang pengsan.

"Nasib baik, kamu tak hilang akal dan cepat bertindak," Jamaludin renung muka datuk.

Tangan kanannya menepuk bahu datuk sebagai tanda tahniah dan terima kasih.

"Sekarang siapa nak mulakan kerja memulihkan Shafie," sambil menarik nafas, Jamaludin mengajukan pertanyaan.

"Iya, pada siapa," sampuk Pak Habib.

"Pada hemat saya, orang dari tanah semenanjung," Jamaludin luahkan pendapat.

Sepasang matanya tidak berkedip merenung wajah datuk. Tiada tindak balas positif dari datuk.

Dia kelihatan bersahaja. Cadangan dari Jamaludin dianggap sepi. Keadaan yang berlaku mendorong Pak Habib mengajukan pertanyaan secara terus terang pada datuk.

"Bagaimana sahabat dari semenanjung," Seperti tadi datuk tidak memberi sebarang reaksi.

"Jangan begitu sahabat, membisu semacam. Kalau boleh katakan boleh. Kalau tak boleh, katakan tak boleh," Pak Habib terus mendesak.

"Maaf," tutur datuk lembut.

"Berlawan dalam bilik tadi, penatnya belum hilang lagi. Saya rasa orang yang sesuai, orang dari Tanah Betawi, barangkali dia lebih arif dari saya. Lagipun negeri ini, negeri dia," datuk menolak dengan penuh diplomasi.

Jamaludin tersenyum sambil memperkemaskan silanya, macam sila seorang hulubalang di zaman silam.

"Ilmu batin saya tak sebanyak mana, ilmu agama pun pula tak setampuk pinang. Jadi biarlah awak yang menyelesaikannya," Ibu jari Jamaludin menunjuk ke arah datuk.

"Baiklah," Pak Habib toleh ke arah datuk dan Jamaludin, kemudian dia bergerak ke depan.

Belum pun sempat saya menggaru rasa gatal di kening, Pak Habib sudah menangkap pergelangan kaki kiri Shafie.

PICIT

Dengan penuh tenaga Pak Habib memicit urat-urat di kaki Shafie. Ditumbuk berkali-kali. Dari kaki kiri, jari-jemarinya bergerak dan merayap ke seluruh tubuh Shafie.

Bila bertemu dengan urat-urat yang dicari terus ditekan dan disentap.

Setiap kali urat disentap, ditarik, tubuh Shafie bergerak, macam ayam baru lepas disembelih menemui ajal.

"Urut seluruh badan," tanya datuk berbisik.

Pak Habib anggukkan kepala.

"Dah habis urat 44 disentuh," datang lagi pertanyaan dari datuk.

"Belum," pendek jawab Pak Habib.

"Perlukan bantuan, cakap saja."

"Biar saya selesaikan sendiri," suara Pak Habib penuh yakin.

Datuk pun tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Cuma melihat saja apa yang Pak Habib lakukan pada tubuh Shafie.

Kerana tidak ada gangguan, Pak Habib dapat melakukan kerja dengan penuh perhatian dan khusyuk. Sepasang kelopak matanya kelihatan separuh rapat. Gerak jarinya terus lancar.

"Allah, Allah, Allah."

Tiga kali Shafie menyebut nama Allah. Tiga kali juga Pak Habib menjentik dan menarik ibu jari kaki kirinya.

Setelah itu, Pak Habib mendekatkan mulutnya ke telinga kanan Shafie sambil melaungkan azan.

Sebaik saja azan diberhentikan, semua yang berada di dalam rumah terhoyong-hayang mengikut gerak rumah.

"Apa dah jadi."

Itulah ucapan serentak dari bibir penghuni rumah. Agak lama juga rumah bergegar.

Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu. Berkali-kali Jamaludin cuba bangun. Berkali-kali dia jatuh tergolek. Dia tidak putus asa, terus cuba bangun. Akhirnya dia dapat bangun setelah berpaut pada tiang seri.

AZAN

Tanpa membuang masa, Jamaludin terus melaungkan azan dengan lantang dan jelas. Rumah yang bergoyang terus berhenti.

Belum pun laungan azan habis, kelihatan sebelah kaki besar yang berbulu (yang saya lihat semasa dalam bilik misteri) bergerak menuju ke arah tingkap di mana lembaga mempamirkan belakangnya sebentar tadi.

Kaki besar berbulu melangkahi bendul tingkap dan terus hilang. Suara angin ribut dan pekikan orang minta tolong terus ghaib entah ke mana. Keadaan terasa agak sunyi.

Semuanya terpegun dalam suasana yang menyeramkan. Suasana seram dan sepi itu akhirnya dipecahkan oleh bunyi salakan anjing liar sayup di pinggir kampung.

"Bertenang tak ada apa yang mesti kita takutkan," Jamaludin bersuara.

Ayah dan ibu Shafie terus membisu. Sepasang mata mereka masih menyorot ke arah Shafie yang terkapar di lantai.

"Iya, tak ada apa yang mesti kita takutkan," Pak Habib mengulangi kata-kata yang baru dituturkan oleh Jamaludin sebentar tadi.

Saya lihat datuk anggukkan kepala. Setuju dengan Jamaludin dan Pak Habib.

"Dia sudah pergi, diharapkan tak akan datang lagi. Selepas ini kamu berdua kena kumpulkan 44 orang untuk baca surah Yassin selama seminggu di rumah ini," Pak Habib renung muka ayah dan ibu Shafie silih berganti.

"Boleh kamu buat?" Cara mengejut Jamaludin ajukan pertanyaan pada ayah Shafie.

"Boleh, kami boleh buat," Ibu Shafie memberikan jawapan.

Datuk dan Jamaludin menarik nafas lega. Seiring dengan itu, Shafie sedar dari pengsan yang panjang.

"Subhanallah," itu yang terucap dari mulutnya.

Shafie terus bangun dan sandarkan badan ke dinding. Semua muka yang berada di rumah ditatapnya satu-persatu. Tanpa silu-silu dia menghadiahkan senyum pada semua yang ada di situ.

DIRI

Tanpa diminta oleh sesiapa pun, Shafie memberitahu yang dirinya terasa amat letih sekali, setelah bertarung dengan sekumpulan manusia berkepala anjing di kawasan tanah yang berbatu keras.

Kumpulan itu mahu menjadikan dia anggota kumpulan tersebut, mahu menukarkan muka dan kepalanya menjadi kepala anjing seperti anggota itu.

Pak Habib dan orang-orang yang berada di ruang rumah tersenyum. Semua tahu, apa yang berlaku dan dialami oleh Shafie.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 275/284

BACA: SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 13, 2026

SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing

SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing

Dengan sedaya upaya, saya cuba mententeramkan perasaan. Usaha itu gagal, terasa semakin berkecamuk dalam hati. Memanglah boleh saya menjerit dan lari. Tetapi, untuk apa? Bukankah kehadiran datuk di sini untuk membantu.

SBDJ Siri 274 Di Bayangi Makhluk Asing

"Berikan ketenangan padaku Ya Allah," muncul sebuah doa dalam kalbu.

Perasaan kembali tenang dan tenteram. Tetapi, ada keganjilan di mata datuk. Sungguh mengejutkan sepasang biji mata hitamnya bertukar menjadi merah bara. Dari celah kelopak matanya keluar asap nipis yang lembut.

Pada saat yang sama tidak semena-mena, anak mata saya terasa panas semacam. Keadaan yang dialami mendorong saya berpaling ke arah lain. Tidak mahu menentang anak mata datuk yang berapi.

Tindakan itu mendatangkan keuntungan. Mata tidak terasa panas. Fikiran yang kosong segera diisikan dengan angan-angan yang tidak bertepi. Saya seperti terasa berada di taman yang indah.

Sayangnya, keindahan itu tidak lama dinikmati. Diganggu oleh suara yang keras dan kasar sekali.

"Renung muka dan mata aku," bentak datuk.

"Mata saya panas."

"Jangan banyak alasan, renung biji mata aku, biar terpancut biji mata kamu, jangan alihkan pandangan."

"Mata saya pedih dan berair."

"Jangan banyak alasan, ikut kata aku."

Saya tidak boleh melarikan diri dari arahan itu. Walau sepanas mana, saya harus bertahan.

Dalam saat bertahan itu, terlihat manusia tanpa wajah berdiri menghalang pandangan saya pada datuk.

Rasa panas tidak saya rasai lagi anak mata datuk yang merah tidak kelihatan tetapi, ada seketul bara kecil, (tidak tahu dari mana datang) terbang menuju ke arah kaki besar lalu melekat disitu.

Barangkali bara api itu biji mata datuk, fikir saya.

Dalam masa mencari jawapan itu terlihat manusia tanpa wajah berkaki besar membongkokkan badan ke arah datuk seolah-olah minta ampun, minta maaf, dengan pantas datuk tegakkan jari telunjuk dengan wajah bengis.

"Jangan kamu ganggu anak Adam, nyah kamu dari sini."

Selesai datuk berkata demikian, manusia tanpa wajah berkaki besar terus ghaib, hilang entah kemana.

Bagaikan diatur, Pak Habib dan Jamaluddin terus menerpa dan menolak daun pintu bilik.

"Usung keluar," kata datuk.

Pak Habib dan Jamaluddin menuju kearah Shafie yang terkapar lesu. Mereka usung Shafie keluar dari bilik misteri. Datuk segera mengekori dari belakang.

Sebelum mengikuti jejak Pak Habib dan datuk, saya renung setiap sudut bilik.

Tiada apa yang ganjil, semuanya kelihatan macam biasa, kecuali sekeping kulit buah delima kering yang pada hemat saya tidak membawa sebarang makna.

Bilik misteri segera saya tinggalkan.

Shafie yang tidak sedarkan diri diletakkan atas lantai diruang tengah rumah. Pak Habib yang sudah mengambil air wuduk duduk terpegun dihujung kaki Shafie. Wajahnya nampak serius sekali.

"Buka tingkap luas-luas."

Secara mengejut, Jamaluddin dari Betawi mengarahkan ayah Shafie. Permintaan itu segera dilaksanakan.

"Terlalu banyak iblis disini," tambah Jamaluddin.

Tiada sebarang komentar yang diluahkan oleh Pak Habib dan datuk terhadap rungutan Jamaluddin. Ayah Shafie kembali mengambil tempatnya disebelah kanan Pak Habib.

Terdengar sayup-sayup kokok ayam, bersama lolongan anjing liar berpadu dengan suara cengkerik yang iramanya tidak menentu.

ANGIN

Angin dinihari terus menerjah masuk melalui tingkap yang terdedah menyentuh setiap wajah yang ada disitu.

Ibu Shafie datang dari ruang sebelah kiri dan terus melabuhkan punggungnya yang kekurangan daging ditepi dinding tidak berapa jauh dari pintu masuk ke bilik misteri. Wajahnya nampak gusar sekali.

"Entah mengapa, tidak putus-putus anak saya dikacau dan diganggu gugat. Alangkah baiknya kalau nyawanya diambil oleh Allah.

"Ya Allah, kau ambillah nyawa anakku ini, tidak sanggup aku melihat hidupnya terseksa begini," ibu Shafie secara mendadak bersuara, penuh kekecewaan dan kekesalan yang amat sangat.

"Subhanallah," terdengar suara datuk dalam nada yang keras.

"Jangan menolak rahmat Allah, jangan putus asa, mudah kecewa," sambung datuk sambil duduk di kiri Jamaluddin.

Ayah Shafie terus membatu, tidak tahu apa yang difikirkannya.

"Beristighfar kamu, bertaubatlah kamu," Pak Habib tujukan kata-kata itu pada emak Shafie – wanita kampung yang berwajah selamba itu menarik nafas dalam-dalam, macam tadi juga dia tetap kesal dan kecewa.

Kali ini dia beristighfar tiga kali berturut-turut.

Tuuuuuppppp!

Sepasang daun tingkap yang terdedah tertutup sendiri. Beberapa detik berikutnya terbuka kembali.

Perkara yang tidak diduga itu berlarutan lebih dari lima kali. Saya dan Tajudin mula rasa cemas. Kami saling berpandangan.

Pak Habib dan datuk kelihatan tenang sekali. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Tetapi, Jamaluddin dari Betawi kelihatan lain macam, sedikit resah, bimbang tidak menentu. Wajahnya berkerut, urat-urat merah dikelopak mata jelas kelihatan.

Kalau tadi suasana tenang, kini beberapa orang daripada mereka yang ada disitu, termasuk saya bagaikan menghadapi satu tekanan hebat.

Diluar rumah terdengar bunyi deru angin yang kuat, bagaikan sedang berlaku ribut taufan yang menggila.

Terdengar bunyi pokok tumbang yang disertai dengan jeritan orang dewasa dan kanak-kanak.

Orang ramai dan binatang ternakan berlarian ke sana ke mari. Semuanya mahu menyelamatkan diri.

"Dengar tu, jiran-jiran saya dalam kemalangan, kita yang ada disini mesti membantunya," lantang sekali suara ayah Shafie dan terus berdiri sambil bercekak pinggang.

Beberapa saat berikutnya, dia duduk semula. Orang-orang disekelilingnya tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya.

Sambil duduk ayah Shafie mengulangi kata-kata yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut. Semua yang ada disitu buat tidak kisah. Dia kecewa.

Suara-suara jiran yang dikenalinya terus menjerit-jerit minta tolong. Didorong rasa simpati dan tanggungjawab berjiran ayah Shafie berdiri buat kali yang kedua.

"Awak semua orang luar, tidak tahu macam mana susahnya jiran-jiran saya menderita. Kalau kamu semua tidak mahu menolongnya. Biar aku yang uruskan," selesai meluahkan suara hatinya, ayah Shafie terus melangkah.

Datuk dan Pak Habib dirempuhnya. Dia menuju ke pintu yang diselak.

SEMPAT

Sebelum sempat ayah Shafie mengangkat selak pintu, Jamaluddin segera menerkam ke arah ayah Shafie dan menarik tangannya supaya duduk kembali. Tangan Jamaluddin ditepis oleh ayah Shafie.

"Siapa kamu yang melarang niat hati aku untuk menolong jiran-jiran yang susah. Apa kamu terfikir, tak gunakan otak. Orang yang kena ribut tu adalah saudara aku dan saudara kamu," ayah Shafie jegilkan biji mata pada Jamaluddin.

"Sabar, kamu tak tahu apa-apa. Iblis sedang memperdayakan kita.

"Bila kita semua keluar dari rumah ini, anak kamu akan lari masuk ke dalam hutan, mungkin tak akan balik lagi, terus jadi tawanan makhluk jahat, ghaib terus.

"Suara orang menjerit yang kita dengar, bukan suara jiran kamu, begitu juga dengan bunyi hujan ribut, bukannya betul. Semuanya tipu helah," lembut Jamaluddin memberikan penjelasan.

"Mustahil," ayah Shafie berkeras.

"Betul, duduklah," Jamaluddin terus memujuk.

Ayah Shafie terus duduk.

"Mustahil."

"Percayalah cakap aku ni, ilmu jahat dan dunia sudah aku lalui, sudah aku pelajari dari manusia dan alam jin.

"Ada ilmu dari alam jin yang baik. Pada hemat aku anak kamu ni ditawan jin jahat dengan ilmu Sapu Sejagat," terang Jamaluddin.

"Tak percaya," ayah Shafie gelengkan kepala.

Dia bangun dan kali ni bergerak menuju ke tingkap yang tertutup rapat. Daun tingkap dibuka. Dia masih mahu berusaha menolong orang diluar rumah dengan cara terjun ke tanah menerusi tingkap.

Pak Habib dan datuk hanya menarik nafas dalam-dalam melihat perangai ayah Shafie. Dia seperti kemasukan roh jahat. Semua alasan dan pujuk rayu Jamaluddin ditolaknya mentah-mentah.

"Jangan terjun," pekik Jamaluddin sambil berlari ke arah ayah Shafie yang sudah melangkah tingkap untuk terjun.

Dengan sekali rentap, ayah Shafie jatuh tergolek dilantai. Dengan pantas pula dia bangun lalu bergelut dengan Jamaluddin. Masing-masing mahu menewaskan antara satu sama lain.

Suasana dalam rumah jadi gamat. Ibu Shafie menangis. Saya dan Tajudin tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Datuk segera memberitahu Pak Habib, perkara yang terjadi didepan mata harus dileraikan.

Jika tercetus pergaduhan yang lebih dari itu, iblis akan bertepuk tangan melihat dua anak Adam bergaduh sama sendiri.

"Din, gunakan kebolehan kamu, jangan sampai cedera sudahlah."

Pak Habib mengenali Jamaluddin sejak zaman pemberontakan, memberikan arahan.

Tanpa disangka-sangka ayah Shafie memberhentikan perlawanan. Dia mengalah pada Jamaluddin, semua yang berada di rumah menarik nafas lega.

KEJUTAN

Dalam kelegaan yang masih berbunga itu, ayah Shafie membuat kejutan lagi, dia beralih angin, mengalah pada Jamaluddin memusuhi datuk.

Dia melompat dan membuka silat ke arah datuk. Anaknya yang tergolek didepan mata tidak dipedulikan. Ditangannya terhunus keris lama berluk tujuh.

Tiada siapa yang tahu bagaimana keris berkarat itu boleh berada ditangannya. Keris itu diacukannya berkali-kali kearah datuk.

Sekali sekala dihalakan pada Pak Habib. Kalau tidak dielakkan pasti terburai isi perut atau tercabut biji mata.

Pak Habib memberitahu bahawa keris ditangan ayah Shafie dihulurkan oleh seseorang ketika dia berdiri ditepi tingkap tadi.

Kerana gagal mencederakan datuk dan Pak Habib, ayah Shafie mengalihkan serangan kepada Jamaluddin kembali.

"Hisssssss."

Satu serangan kilat dari ayah Shafie, Jamaluddin mengelak. Serangan datang lagi, bertalu-talu.

Jamaluddin yang pandai menggunakan senjata api semasa pemberontakan ternyata memang seorang jaguh silat. Hujung keris berluk tujuh tidak menyentuh kulit tubuhnya.

"Opppppp..."

Jamaluddin berjaya menangkap pergelangan tangan ayah Shafie. Terus dikilas kebelakang lalu dihentakkan atas tempurung kepala lututnya.

Ayah Shafie menjerit kesakitan, ulu keris dalam genggamannya jatuh atas lantai terus ghaib.

Ayah Shafie juga turut tergolek tetapi, berjaya duduk dengan segera.

Tummmmm...

Datuk segera menumbuk lantai.

"Duduk diam disitu jangan rosakkan rancangan kami," sambung datuk.

Ayah Shafie termanggu-manggu, macam orang baru bangun tidur.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 274/284

BACA: SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, May 08, 2026

SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput

SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput

Berada dalam suasana gelap ditempat yang baru memang melemaskan. Langkah selanjutnya ialah menunggu risiko yang akan terjadi dengan seketul keazaman untuk melawan. Suara orang merintih, iramanya mula bertukar, sekejap tinggi sekejap merendah.

SBDJ Siri 273 Usung Keranda Reput

"Allah yang Maha Besar, lindungilah hambamu ini," berbunga doa dari kalbu yang ketakutan.

Dan suara orang merintih lenyap, bertukar dengan bunyi ombak dan angin. Terdengar dedahan patah dan pokok rebah ke bumi dilanggar angin kencang. Diri seolah-olah berada dipinggir pantai.

Dalam gelap pekat itu sekumpulan kelip-kelip muncul. Berlegar-legar didepan muka memberikan sekelumit cahaya, tetapi masih belum dapat memastikan apakah saya masih berada alam bilik atau ditempat lain. Kumpulan kelip-kelip hilang secara mengejut.

"Ahhh..." hati mengeluh kecil.

Dan dengan pasrah menanti kejadian selanjutnya.

Apa yang dinantikan apa yang dibimbangkan menjadi kenyataan yang sunguh mendebarkan. Tidak pernah terfikir perkara begitu harus saya hadapi.

Bagaikan putaran filem di layar tv, saya melihat sekumpulan orang sedang mengusung keranda yang ditutup dengan permaidani, orang yang mengusung bersamping dan bertanjak.

Kira-kira sepuluh orang mengiring pengusung keranda, lima sebelah kanan, lima sebelah kiri. Orang sebelah kanan memukul kompang manakala yang disebelah kiri meniup seruling dengan irama yang sungguh menyedihkan.

Saya menyaksikan kejadian dalam tempoh kurang lima minit.

Saya kembali berada dalam dunia gelap gelita. Aneh, beberapa saat berikutnya, kegelapan bertukar menjadi terang.

Terbentang didepan mata sebidang tanah perkuburan dengan nisan-nisan tua dari batu gunung dan batang kayu. Nisan dari kayu banyak yang sudah reput. Manakala dari batu gunung nampak hitam dibalut lumut.

Seimbas pandang macam kepala manusia muncul dari perut bumi.

Saat asyik melihat batu-batu nisan, cahaya terang segera bertukar menjadi gelap gelita kembali. Kemudian bertukar terang semula, silih berganti.

Perkara itu berlaku selama tujuh kali. Masuk kali kelapan, terus terang macam siang.

Lagi sekali saya berdepan dengan keadaan yang sungguh menyeramkan. Batu-batu nisan bergerak sendiri, tanah kubur merekah, rangka-rangka manusian bermunculan.

Semuanya, bergerak serentak menuju kearah saya. Mereka cuba menangkap saya untuk diheret ke sebuah lubang yang penuh dengan mayat berdarah.

"Tamar."

Suara ghaib yang hilang menjelma lagi, dari sudut mana suara itu datang tidak dapat dipastikan.

Suara itu minta saya mendengar dan mengikuti pembacaan beberapa potongan ayat al-Quran yang bakal dilafazkannya. Permintaannya segera saya patuhi.

"Baca sendiri," katanya.

Saya segera membaca dengan hati-hati dan teliti.

"Bagus," katanya.

"Terima kasih," saya membalas.

"Mereka roh jahat, cuba mempengaruhi roh kamu supaya bersatu dengan roh mereka. Jika kamu lemah, kamu hancur, boleh jadi gila," sambung suara itu, kemudian terus menghilang.

Saya terus mengulangi ayat-ayat Quran tersebut sebanyak mungkin yang boleh.

"Dummmmmmmm..."

Tanah kubur yang merekah terus meletup, batu-batu nisan berterbangan. Rangka-rangka manusia yang menuju kearah saya melambung di udara. Suasana terang bertukar gelap.

Tulang-temulang yang bertaburan nampak bercahaya, macam kelip-kelip terbang malam.

"Dummmmmmm..."

Satu dentuman kuat berlaku di sisi. Terasa paha kiri saya dipijak dan ditekan oleh sesuatu yang berat. Rasa sakit yang dialami tidak terkata. Tulang paha bagaikan hancur luluh.

"Aduuuuhhhhhh..."

Saya menjerit, serentak saya membuka mata, tafakur yang dilakukan untuk melawan roh jahat secara kebatinan sudah berakhir. Rupa-rupanya yang menekan dan memijak paha kiri saya ialah kaki besar berbulu.

Dengan sisa kekuatan yang ada saya lepaskan penumbuk kearahnya. Tidak mendatangkan sebarang kesan malah tangan saya merasa sakit.

Dengan sepasang tangan kaki besar berbulu saya tolak. Tidak bergerak langsung. Sakit saja yang saya perolehi.

"Sial," tutur saya garang.

Muka segera saya angkat mendongak wajah si kaki besar. Sesuatu yang sungguh menyeramkan saya lihat. Si kaki besar tak berwajah.

Hanya sepasang mata sebesar telur ayam tersembul di dahi. Tiada berhidung tak bermulut mempunyai telinga macam telinga gajah.

DARAH

Dari telinga kanannya mengalir keluar lendir nanah. Baunya busuk menusuk hidung. Telinga kirinya memuntahkan darah merah segar.

Suara dengusan manusia tanpa wajah, kaki berbulu bertali arus. Sekejap lembut sekejap keras dan nafasnya terasa menyentuh rambut. Kaki besar yang berbulu digerakkan perlahan-lahan.

Dalam suasana yang serba tidak tenteram itu, saya cuba mencari lagi sebelah pasangan kaki besar berbulu. Usaha itu gagal, tidak kelihatan langsung.

Manusia tanpa wajah merangkap kaki besar berbulu terus mendengus. Dia menguak macam kerbau jantan. Rupa-rupanya manusia tanpa wajah bagaikan tahu keinginan saya untuk melihat sebelah lagi kakinya.

"Ahhhhhuuuuuhhhhh..."

Suara manusia tanpa wajah membuat saya terkejut. Serentak dengan itu terdengar bunyi benda lembut bergesel dengan sesuatu yang keras.

Dengan pantas saya menoleh kearah bunyi tersebut. Tidak ada apa-apa pun, semuanya nampak macam biasa.

"Kruuuppp kraaaaappppp..."

Datang lagi bunyi ganjil memukul gegendang telinga saya. Dalam keresahan itu perlahan-lahan saya alihkan pandangan kearah bunyi benda ganjil itu. Satu pandangan mendebarkan terpampang didepan saya.

"Subhanallah."

Itu yang terkeluar dari kelopak bibir. Peluh dingin terasa muncul didahi, badan sedikit mengeletar. Tetapi, saya beranikan diri untuk melihat keganjilan yang saya anggap luar biasa.

Manusia tanpa wajah mempamerkan sebelah kakinya yang selama ini disembunyikan. Kaki yang disembunyikan itu rupa-rupanya cacat.

Kudung separas pangkal paha macam disambar buaya ganas. Daging segar bercampur darah bergantungan dibahagian yang terputus (kudung).

Daging yang mengelilingi tulang pangkal paha, bergerak-gerak macam ombak kecil. Bila diperhatikan dengan teliti, ternyata yang nampak itu adalah sekumpulan ulat putih sebesar biji beras berebut-rebut menggigit daging.

Berbelas-belas ulat putih yang tewas bertarung merebut menikmati daging paha segera jatuh dilantai dan terus ghaib entah ke mana.

Misteri kehilangan ulat sama dengan misteri kedatangan lalat besar yang berlegar disekeliling daging paha sambil mengeluarkan dengung yang kuat. Akhirnya bergabung dengan ulat putih menggigit daging.

"Hee, kotor," hati saya berkata.

"Ciss..."

Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah dibahu. Sakitnya bukan kepalang. Kaki kudung bergerak menyebabkan ulat-ulat putih berjatuhan dan lalat berterbangan.

Bau busuk menyumbat lubang hidung seketika. Kaki kudung hilang sekelip mata, begitu juga dengan bau busuk yang hapak.

Dalam rasa sengal dan sakit, saya cuba gerakkan sendi bahu yang kena tumbuk. Sekali gerak sakitnya tak terkata. Rasanya tulang-tulang sendi sudah berkecai.

Apa yang boleh dilakukan ialah mengerang menahan sakit. Si kaki besar tapa wajah terus mendengus sambil melangkah kearah bahu saya yang ditumbuknya.

UNDUR SETAPAK

Setelah maju setapak kedepan (hampir dengan bahu saya) si kaki besar undur setapak kebelakang. Perbuatan yang sama dilakukan sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Dari perbuatannya itu, dapat diduga saya tidak kemana-mana. Saya masih berada dalam bilik. Buktinya, setiap kali si kaki besar melangkah papan lantai yang dipijak berderup-derap.

Sungguh pelik, si kaki besar boleh menguasai fikiran saya hingga terasa berada disuatu dunia yang sungguh terasing.

Bila saya panggungkan kepala untuk melihat bagaimana dia mengangkat kaki untuk melangkah kedepan dan kebelakang.

"Kaki besar, buruk dan berbulu macam mana pijak lantai papan tak patah, syaitan agaknya," belum pun suara hati saya berakhir, satu tendangan singgah dikepala.

Otak terasa bergegar, kulit bagaikan terkoyak. Telinga berdesing panjang yang diakhiri dengan bunyi guruh dan petir. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Tamar."

Sayup-sayup terdengar nama dipanggil. Tidak tahu siapa yang memanggilnya.

"Tamar," datang lagi suara itu.

Saya tidak boleh menjawab, suara tersekat dikerongkong.

"Tamar," kali ketiga nama diseru.

Perlahan-lahan jari jemari yang keras saya gerakkan, begitu juga dengan sepasang kaki. Terbukti anggota tersebut masih berfungsi.

Kelopak mata saya cuba pejam celikkan, semuanya masih dalam keadaan baik.

Terasa badan digoncang berkali-kali oleh seseorang. Kelopak mata saya koyakkan lebar-lebar.

Datuk duduk bertinggung di depan, anak matanya memanah kearah anak mata saya, pandangan cucu dan datuk bersambung. Sesuatu yang luar biasa terasa bergolak diulu hati.

"Renung tepat kearah anak mata aku, jangan gerakkan anak mata kamu kemana-mana," lembut datuk bersuara. Saya patuh dengan arahannya.

Saat mata bertentangan, perasaan saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan yang muncul, ada rasa marah, benci dan geram.

Kemuncak dari semuanya, membuat saya mahu segera keluar dari suasana itu dengan menjerit atau lari dari situ.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 273/284

BACA: SBDJ Siri 272: Tendangan Maut
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 06, 2026

SBDJ Siri 272: Tendangan Maut

SBDJ Siri 272: Tendangan Maut

Tetapi, sebagai manusia yang tak pernah mengenal putus asa. Saya cuba memberikan penentangan sedaya mungkin. Setiap kali saya cuba melawan, semakin kuat batang leher ditekan. Semua ikhtiar dan usaha telah dilakukan hasilnya tidak ada apa-apa. Hanya rasa sakit yang diperolehi.

Siri Bercakap Dengan Jin 272 Tendangan Maut
Gambar hiasan.

Usaha terakhir yang dapat dilakukan ialah menyerahkan segala-galanya pada Allah. Kalau sudah janji mati dalam bilik misteri ini, maka saya relakan.

Barangkali, perkara ini memang ditakdirkan untuk hamba Allah yang hina, bisik batin.

Walaupun begitu mulut tidak lekang membaca beberapa potong ayat Quran untuk mengusir makhluk halus. Suara ketawa Shafie bertukar menjadi suara budak kecil merengek minta susu.

Nadanya, tidak sekeras tadi, macam ada sedikit kelembutannya.

Ada perubahan kecil yang diperolehi. Muka tidak lagi ditekan sekuat tadi. Malah boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan secara perlahan-lahan. Hidung juga tidak terasa pedih. Boleh menarik dan melepaskan nafas dengan selesa.

Tetapi, kaki kiri tidak boleh digerakkan, kalau ddigerakkan amat sakit sekali. Tulang-temulang terasa bagaikan dipatah-patahkan orang.

Kaki besar yang berbulu, tidak berubah kedudukannya. Masih macam tadi, masih berada disebelah kiri kepala. Bulu roma kakinya yang keras macam bulu hidung tidak lagi mencucuk cuping telinga.

Dalam usaha saya mahu melihat wajah pemilik kaki besar berbulu tebal, perlahan-lahan saya cuba donggakkan muka.

"Ahhh..."

Saya mengeluh kesakitan, batang leher terasa seperti dipulas dengan kuat. Cepat-cepat saya tundukkan kepala merenung lantai.

Gegendang telinga mula menangkap bunyi hembusan nafas yang kuat dari makhluk aneh, macam bunyi lembu mendengus.

Dalam situasi yang serba tidak kena itu, teringat, kehadiran makhluk aneh itu saat saya berniat mahu menumbuk Shafie. Ertinya, Shafie dan makhluk aneh ada hubungan sulit antara satu sama lain.

Saya harus memilih jalan selamat dengan menafikan niat untuk menumbuk atau memukul Shafie.

Saya terus mematikan diri dan membuka pintu batin membaca ayat-ayat Quran pengusir makhluk jahat. Perlahan-lahan kelopak mata saya buka, sasarannya ialah tubuh datuk.

Kehadiran si kaki besar dan Shafie dilupakan seketika. Mereka tidak sepenting datuk dalam hidup ini. Suara Shafie yang merengek, tidak kedengaran lagi, dengusan nafas makhluk aneh hanya muncul sekali-sekala.

SAMAR

Dalam keadaan yang samar-samar, saya lihat datuk sudah dapat berdiri. Dia dikelilingi kabus nipis yang muncul dari celah-celah papan lantai.

Dengan sepasang tangan kabus yang mengelilinginya dikuak berkali-kali hingga kabus itu beredar ke arah lain.

Tetapi, kabus yang lain pula terus muncul dari celah papan membuat datuk terbatuk-batuk. Dia nampak kelemasan.

Kerana merasakan dirinya semakin terancam, datuk segera angkat kaki kanan separas lutut kiri sambil berzikir dan berselawat, kaki kanannya dihentakkan ke papan lantai dengan sekuat hati.

Semua kabus yang ada disisinya bersatu, bergulung macam tikar. Bergolek menuju ketempat datuk menghentak kaki dan terus hilang bagaikan meresap dicelah-celah papan lantai.

Secara tidak diduga, ketika datuk melihat ke kanan untuk memastikan apakah kabus masih muncul untuk mengelilingi dirinya, dia terpandangkan saya yang tertiarap dilantai dengan sepasang tangan terkapai-kapai.

"Tamar."

Datuk menyeru nama saya.

"Huuummmm tuk..."

Cuma itu saja yang mampu saya luahkan. Saya tercungap-cungap keletihan dan sukar bernafas.

Bahagian belakang saya seperti ditekan sesuatu. Datuk bagaikan tahu apa yang bakal dilakukan kerana dia tahu saya tak boleh bersuara dengan lantang.

Dia segera angkat tangan memberi syarat supaya bertenang. Arahan itu segera dibalas dengan kerdipan mata.

"Tamar."

Ulang datuk.

Saya segera merenung kearahnya sambil mengerakkan kelopak mata.

"Bertahan dan sabar Tamar," tuturnya lagi.

Saya gerakkan kelopak mata, tanda mendengar.

"Bacalah beberapa ayat pilihan dari surah al-Jin," datuk menambah.

Dengan izin Allah juga dalam sekelip mata kaki besar yang berbulu hilang dari penglihatan.

Anehnya, ruang bilik masih terasa bergegar. Gegaran itu membuat katil bergerak, bantal jatuh dilantai.

Datuk yang berdiri bagaikan tidak tersentuh dengan gegaran itu. Dia masih berdiri dalam keadaan selesa sambil melihat bantal bergolek di lantai dan dikatil bergerak ke sana ke sini.

Sebaik saja gegaran berhenti, terdengar bunyi deru angin yang kencang menyerbu ke dalam ruang bilik menerusi tingkap yang terdedah. Tidak tahu bagaimana tingkap yang tertutup boleh terbuka sendiri.

Angin yang berpusu-pusu dalam bilik menerbangkan apa saja, termasuk gebar dan jam dinding. Dalam situasi yang serba mencemaskan itu, Shafie tidak bersuara langsung.

Pak Habib dan Jamaludin yang tidur diluar pintu bilik terus lena. Tidak sedar langsung apa yang terjadi dalam bilik.

Sungguh mendebarkan, bila melihat sekujur tubuh Shafie bergolek ke kiri ke kanan macam mayat.

Setiap detik yang berlaku depan mata, datuk ikuti penuh teliti. Peliknya dia tidak bertindak langsung. Sekadar jadi pemerhati.

BULU

Barangkali gerak-geri datuk sudah di pukau oleh si kaki besar yang berbulu, sebelum dia menghilangkan diri sebentar tadi.

Terniat juga mahu menjerit memanggil Pak Habib dan Jamaludin supaya datang membantu datuk yang di pukau. Niat itu terpaksa dibatalkan.

Kalau dipanggil pun mereka tidak akan mendengarnya. Deru angin kencang mengatasi segala macam bunyi.

"Tamar."

Renungan segera saya arahkan pada datuk. Dia kelihatan tidak bermaya sekali, tetapi cuba mahu menuturkan sesuatu kepada saya. Suaranya tidak keluar.

Datuk sandarkan tubuh kedinding, menahan dirinya dari jatuh ditolak angin kencang.

Mungkin keletihan atau kehabisan tenaga. Perlahan-lahan datuk jatuh terduduk. Matanya masih mengawasi apa yang berlaku dalam bilik misteri. Cuma dia tidak boleh bergerak dan bersuara.

Satu-satu cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kegawatan yang dihadapi ialah penyerahan diri zahir batin pada Allah yang Maha Kuasa. Membaca ayat-ayat Quran pilihan penuh khusyuk dan memahami maknanya sekali.

TIADA

Kerana kaki besar yang berbulu tebal tiada disisi, saya boleh bergerak. Perkara pertama yang saya lakukan ialah duduk bersila dengan kedua-dua tangan memeluk tubuh.

Saya kosongkan dada dan fikiran lalu diisikan dengan penyerahan dari seluruhnya pada Allah. Saya hiasi dengan zikir dan selawat dalam keadaan bertafakur.

"Gruuuuuuummmmmmmmm..."

Ruang bilik bergerak, macam digoncang oleh tenaga yang luar biasa. Serentak dengan itu terasa ada objek lembut jatuh atas kepala dan bergerak lemah turun ke leher terus ke bahu. Seterusnya benda lembut itu dengan pantas meliliti batang leher.

Kalbu saya kuat mengatakan benda lembut yang melingkar dileher ialah ular.

Saya membuat keputusan berhenti dari bertafakur yang sedang dilaksanakan. Kelopak mata segera saya gerakkan untuk dibuka.

Ada bisikan halus datang melarang saya membuka mata disuruhnya saya terus memejamkan mata. Disuruh bertahan semampu yang boleh, jangan bergerak, jangan berhenti berzikir dan berselawat.

Suara halus mengajar saya membaca beberapa potong ayat dari Quran yang menurutnya cukup ampuh untuk menentang kuasa jahat.

Sungguh menakjubkan dengan sekali ajar terus melekat. Saya dapat mengingatinya dengan tepat dan betul, pembacanya lancar sekali.

"Baca sekarang, semampu yang boleh, jangan berhenti," suara halus itu mengingatkan saya.

Apa yang disuruhnya segera saya lakukan.

Sebelum jumlah bacaan mencapai seribu kali, benda lembut dileher terasa menjadi keras. Tetapi, lilitannya kian kemas menjerut menyukarkan saya bernafas.

Tulang-temulang dan daging leher rasanya sudah hancur. Buah halkum terasa mahu pecah.

Sesungguhnya saya tidak terdaya lagi untuk melakukan penentangan. Nyawa bagaikan mahu berpisah dengan jasad, saya tidak dapat mengulangi ayat-ayat yang diberi oleh suara ghaib.

Kerana yakin nyawa akan tercabut, saya terus mengucap dua kalimah syahadat.

Setelah itu segala-galanya terasa seperti kosong. Sunyi dan sepi, tiada apa yang dapat diingati dalam otak. Tubuh terasa mengecil.

Suara ghaib yang selalu membisikan ayat-ayat suci ke telinga, terdengar sayup-sayup dan akhirnya terus hilang.

Tubuh yang mengecil terangkat dari lantai, berada diawang-awangan sebentar sebelum dilemparkan ke kawasan gelap gelita.

SUARA

Suasana sepi segera bertukar menjadi hiruk pikuk. Ada bermacam-macam dan berbagai-bagai suara lelaki dan perempuan mengerang, merintih, merengek kenikmatan.

Hilang suara tersebut diganti pula suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat.

Saya hanya mendengar suara saja sedangkan bentuk dan rupa tidak kelihatan langsung. Saya memang berada disuatu dunia yang sungguh asing sekali.

Jauh disudut kawasan yang luas terlihat cahaya lampu minyak tanah bergerak kearah saya.

Bila sudah menghampiri saya dalam jarak kira-kira tujuh kaki cahaya lampu minyak tanah itu terus ghaib.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 272/284

BACA: SBDJ Siri 271: Bilik Misteri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, April 28, 2026

SBDJ Siri 271: Bilik Misteri

SBDJ Siri 271: Bilik Misteri

Jamaludin mengangguk lemah. Tetapi, riak wajahnya membayangkan yang dia mahu tahu lebih terperinci, tidak memadai dengan apa yang disampaikan oleh ayah Shafie sebentar tadi.

"Ceritakan dari mula, macam mana anak kamu boleh jadi begini, agaknya berguru salah tempat atau otak terlalu bergeliga," tanya Jamaludin yang diiringi dengan senyum sinis.

SBDJ Siri 271 Bilik Misteri
Gambar hiasan.

"Awak tanya atau bergurau," Pak Habib mengusik Jamaludin.

"Hidup tak boleh serius selalu," balas Jamaludin, Pak Habib menyambutnya dengan ketawa.

"Kamu ceritakan pada saudara kamu ni, biar dia puas hati," tutur Pak Habib sebaik saja ketawanya berhenti.

Sebelum membuka kisah cerita yang dilalui oleh anaknya, ayah Shafie merenung seketika, macam ada sesuatu yang difikirkan.

"Wajarkah saya beritahu," pertanyaan ini ayah Shafie ajukan pada Pak Habib.

"Wajar, kerana dia keluarga kamu," lemah Pak Habib menjawab.

"Tak percaya dengan keluarga sendiri," pintas Jamaludin.

"Tidak pula," ayah Shafie tersipu-sipu malu.

Bila suasana terasa tenang, ayah Shafie membetulakan silanya. Biar selesa, baru seronok bercerita.

Dan ayah Shafie pun menceritakan secara terperinci bagaimana perkara buruk itu boleh dialami oleh anaknya.

Jamaludin pasang telinga dengan penuh minat. Mendengar dengan perasaan dengan apa yang diluahkan oleh ayah Shafie.

Ada ketikanya dia mengeluh panjang dan pada ketika yang lain dia gelengkan kepala beberapa kali.

"Salah kamu suami isteri."

Itu yang terhambur dari mulut Jamaludin sebaik saja ayah Shafie berhenti bercakap.

"Kenapa cakap macam tu, sakit hati kami mendengarnya," ibu Shafie meluahkan protes untuk Jamaludin.

Macam tadi juga, Jamaludin tersenyum dan ketawa kecil.

"Kamu berdua tidak peka dengan perangai, tingkah laku anak sendiri.

"Kalau kamu berdua peka, Shafie tak jadi macam ni, cuba kamu berdua kaji dan teliti cakap aku ni," Jamaludin terus bangun, tanpa memperdulikan orang sekitarnya, melangkah ke ambang pintu berdiri di situ.

Merenung ke arah dedaun yang bergerak lemah dirempuh angin.

Secara mengejut Jamaludin alihkan mata dari dedaun ke arah muka Pak Habib. Pandangan mereka segera bertembung.

"Sekarang saya tahu, kenapa awak ada di sini, melawat anak buah kita untuk memberikan bantuan, terima kasih atas pertolongan itu," biji mata Jamaludin tertumbuk ke muka Pak Habib.

"Ramalan awak salah," sanggah Pak Habib.

"Salah," air muka Jamaludin nampak berubah seketika.

"Iya," angguk Pak Habib.

"Habis macam mana boleh berada di sini," Jamaludin bertambah pelik.

"Semuanya berlaku secara tak sengaja, nak tahu lebih lanjut tentang kesihatan anak buah awak, tanya orang di sebelah," Pak Habib segera menuding jari ke arah datuk di kanannya.

DIALOG

Dialog antara Pak Habib dengan Jamaludin, saya ikuti dengan penuh minat. Begitu juga dialog antara Jamaludin dengan ayah Shafie.

Dalam serius berdialog, orang yang mendengarnya boleh tersenyum kerana ada kata lucu yang terkeluar secara tidak sengaja.

"Bagaimana dengan kesihatan anak buah saya," mendadak Jamaludin mengajukan pertanyaan pada datuk.

Dan datuk yang tidak bersedia, tidak dapat memberikan jawapan segera. Terpaksa berfikir seminit dua sebelum memberikan jawapan. Perhatian ayah dan ibu Shafie tertumpu ke arah datuk.

"Saya fikir, biar ayah Shafie sendiri menjawab, kalau saya yang memberikan pendapat, tak elok nanti orang kata masuk bakul angkat sendiri," pendek komen dari datuk.

"Bagaimana?"

Datang lagi pertanyaan dari Jamaludin untuk ayah Shafie. Ayah Shafie teragak-agak untuk memberikan jawapan. Bila disergah oleh isteri, barulah dia memberikan jawapan.

"Sudah banyak berubah, saya minta mereka berdua, bermalam semalam dua di sini," ayah Shafie menghalakan ibu jarinya ke arah datuk dan Pak Habib.

Saya lihat Pak Habib seperti mahu bersuara tetapi, tidak jadi kerana ayah Shafie meneruskan percakapan.

"Bukan apa-apa sekadar untuk melihat keadaan anak saya, kalau perlu memberikan rawatan penutup. Sebelum kamu datang sudah ditanya, malangnya sampaikan sekarang tak ada jawapan."

Penjelasan dari ayah Shafie membuat Jamaludin menjuihkan bibir ke bawah ke depan. Kemudian sambil melerekkan ekor matanya ke arah Pak Habib.

"Bagaimana Habib?"

Sepasang anak mata Jamaludin terpaku ke wajah Pak Habib minta jawapan. Tiada jawapan segera yang Pak Habib yang hamburkan. Dia terpaksa berfikir seminit dua dulu.

"Kalau begitu saya serahkan pada sahabat saya ni," Pak Habib pandang wajah datuk bersama renungan harapan.

Tetapi, tiada sebarang reaksi dari datuk. Pak Habib dan Jamaludin menarik nafas kecewa.

"Awak keberatan," Pak Habib memberanikan diri bertanya.

"Demi persahabatan, saya tunaikan. Malam ini kita buat sembahyang hajat kemudian benarkan Shafie tidur sebilik dengan Tamar dan saya, kalau keadaan berjalan baik, tidak ada gangguan, esok saya balik ke rumah Habib," datuk meletakkan syarat.

TIDAK

Jamaludin, Pak Habib dan kedua-dua orang tua Shafie terdiam. Tiada siapa yang berani mengatakan IYA atau TIDAK.

Semuanya tunduk, macam memikirkan sesuatu, seolah-olah syarat yang datuk kemukakan itu terlalu berat sangat.

"Bagaimana, setuju dengan permintaan saya itu," datuk minta kepastian.

"Biar saya jawab bagi pihak ayah Shafie," secara mengejut Jamaludin bersuara.

Secara tidak sengaja saya terpandangkan ayah dan ibu Shafie, kedua-duanya anggukkan kepala.

"Lihat mereka setuju dengan saya," suara Jamaludin keriangan dan telapak tangannya terus memukul lantai.

Telatah dan tindak-tanduk Jamaludin membuat Pak Habib ketawa.

Itulah kali pertama saya melihat Pak Habib ketawa berlebih-lebihan. Bila menyedari perbuatannya itu agak keterlaluan dia segera menutup mulut.

"Maafkan saya, ketawa saya berlebih-lebihan, ketawa berdekah-dekah bagaikan lupa diri, adalah ketawa digeletek syaitan. Jauhkan dari perbuatan itu, ketawalah secara sederhana," nada suara Pak Habib lemah.

"Lupakan tentang ketawa," datuk masuk campur.

"Iya kita lupakan, kita balik pada persoalan utama, jika ada lagi syarat-syarat sila beritahu," ayah Shafie bagaikan mendapat semangat dan kekuatan baru.

Nada suaranya, agak keras penuh keyakinan.

"Tak ada syarat lain, orang yang mengetuai sembahyang hajat, biar sahabat saya Tuan Habib," itu cadangan datuk.

"Eh, kenapa saya pula, carilah orang lain," Pak Habib cuba menolak.

"Tak usah berdalih lagi, tunaikan permintaan itu demi persahabatan dan menolong orang. Jangan menolak," Jamaludin terus menyambar lima jari-jemari Pak Habib, digenggam erat. Mereka berbalas senyum.

BERMULA

Malam itu setelah mengadakan sembahyang hajat dan membaca doa, datuk masuk ke bilik agak lewat.

Dia tidur sebilik dengan saya dan Shafie hanya untuk beberapa jam saja, masuk ke bilik semula menjelang subuh untuk melakukan sembahyang tahajud.

Semasa datuk mahu meletakkan kepala ke bantal terdengar satu dentuman yang amat kuat. Dalam cahaya samar-samar terlihat tubuh datuk melambung ke arah bumbung rumah.

Suara dengkur Shafie terhenti. Dia terjaga dari tidur, sepasang matanya menyorot tubuh datuk yang berada diawang-awangan dengan sepasang tangan terkapai.

Sungguh menghairankan, Pak Habib dan Jamaludin yang tidur di ruang tamu berhampiran pintu bilik tidak terjaga. Malah terus berdengkur.

Saya jadi cemas dan Shafie tidak memperlihatkan sebarang reaksi samada takut atau sebaliknya. Dia kelihatan bersahaja.

"Buuuuuuummmm..."

Datuk jatuh terkapar di depan saya, berguling-guling macam menahan kesakitan. Shafie tidak juga bertindak, tidak juga bersuara, sekadar melihat saja apa yang berlaku. Tidak ubah macam orang bodoh.

"Tolong saya angkat badannya."

Shafie tersengih saja.

"Mari," saya cuba menarik tangannya.

Dia menepis dan mendengus panjang. Wajahnya nampak garang, matanya mula merah. Dan saya tidak berani mendekatinya.

Datuk yang terlentang di depan mata, bergolek ke kiri, bergolek ke kanan. Mulutnya berbuih, sesekali dia mendengus dan mengerang menahan rasa sakit yang amat sangat.

Kerana tidak sanggup melihat datuk terseksa begitu, saya segera menerpa ke arahnya untuk memberikan bantuan. Kaki saya dipegang oleh Shafie, tanpa membuang masa satu tendangan kencang dilepaskan ke muka Shafie.

"Ahhhhhhhh..."

Saya tidak peduli dengan suara keluhan Shafie. Pokoknya, dia tidak boleh lagi memaut kaki menghalang langkah saya untuk menolong datuk. Shafie terus mengerang kesakitan.

Dalam beberapa minit saja saya sudah berdepan dengan tubuh datuk, mulutnya masih berbuih dan mengerang rasa sakit.

Semasa saya memangku kepala datuk, Shafie yang mengerang kesakitan tiba-tiba ketawa terkikih macam orang dirasuk hantu.

Entah mengapa, hati saya terasa sakit sekali mendengar suara ketawa Shafie. Bila terniat saja di hati untuk menumbuknya, ruang bilik terasa bergoyang.

"Duuuuuummm..."

Bunyi yang kuat ini memekakkan anak telinga. Lebih mencemaskan sebelah kaki besar yang berbulu tebal berada di kiri.

Bulu roma (bulu kaki) yang keras terus mencucuk cuping telinga kiri. Sakitnya bukan kepalang. Saya yakin, lebar telapak kaki itu melepasi dari dua kaki, panjangnya lebih kurang empat kaki. Betisnya sebesar kaki gajah.

Semasa mahu mendongak untuk melihat betapa tingginya makhluk aneh yang tidak diundang itu, pangkal leher saya seperti ditekan seluruh muka bertemu dengan papan.

Batang hidung terasa hancur, membuat saya sukar bernafas.

Ketawa Shafie semakin menjadi-jadi, rasanya tidak terdaya mahu melawan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 271/284

BACA: SBDJ Siri 270: Orang Betawi
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, April 27, 2026

SBDJ Siri 270: Orang Betawi

SBDJ Siri 270: Orang Betawi

Tanpa sebarang pemberitahuan, Shafie terus bangun dan meluru ke dalam biliknya. Tidak lama berselang, dia keluar dengan selembar kertas dan sebatang pena ditangannya.

"Tolong, tuliskan."

SBDJ Siri 270 Orang Betawi
Gambar hiasan AI.

Shafie hulurkan kertas dan pena pada datuk. Tanpa banyak tanya dan soal. Permintaan Shafie segera ditunaikan. Sehelai kertas sudah siap ditulis dalam tulisan jawi (Arab) segera datuk serahkan pada Shafie.

"Ingat, jangan baca dan amalkan ilmu ini, jika kamu semua tidak sembahyang lima waktu.

"Ada orang mengamalkan selawat dan zikir bila terdesak. Sembahyang semasa susah. Kikislah perbuatan yang salah ini.

"Janganlah, bila susah baru ingatkan Allah, bila senang Allah dilupakan.

"Itulah sebabnya amalan tidak menjadi, rezeki tak berkat," tutur datuk dalam nada bersahaja.

Tiada siapa berani menyanggah hujah-hujah yang datuk hamburkan. Pak Habib seperti tadi juga, masih termenung. Macam ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

Shafie bersama orang tuanya terus membaca tulisan berkali-kali. Begitu juga dengan Tajudin.

"Baca dengan hati-hati, jangan terlalu cepat," tegur datuk untuk sekian kalinya pada Shafie dan ayahnya.

Tajudin juga tidak terkecuali menjadi mangsa teguran datuk.

Teguran yang datuk tekankan ialah tentang penyebutan kalimah yang tidak betul. Dan tidak mereka menerima teguran itu dengan nada terbuka.

"Ingat, setiap sebutan dalam bahasa asal (Arab) mesti jelas dan tepat serta betul. Kalau silap sebutan akan membawa makna atau maksud yang lain, apa yang kita inginkan tidak akan menjadi," sambung datuk, wajah ketiga-tiga lelaki yang berada didepannya ditatap satu persatu.

"Faham dengan cakap aku itu," dalam senyum datuk bertanya.

"Faham," sahut Tajudin.

Shafie dan ayahnya cuma mengangguk saja.

"Memang betul cakapnya," secara spontan Pak Habib melibatkan diri dalam perbincangan kecil itu.

Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Pak Habib senyum sambil meraba hujung dagu.

"Sebaik-baiknya, kita faham maksud dan makna apa yang kita kata atau ucapkan. Bila kita faham maknanya akan menguatkan lagi keyakinan kita dalam hati," Pak Habib menyambung kembali percakapan yang terputus.

Shafie dan orang tuanya segera anggukkan kepala. Tajudin yang kurang pandai dan tak berapa kenal huruf jawi tersengih semacam.

Suasana di anjung rumah terasa sepi. Shafie dan ayahnya membaca dalam hati. Ibunya, yang bosan dengan suasana tersebut terus bangun dan menuju ke dapur. Tajudin termenung tetapi, bibirnya kelihatan bergerak-gerak.

"Kalau boleh menghafal dengan lancar dan faham maknanya memang bagus," Pak Habib memecahkan suasana.

"Itulah sebaik-baiknya," tingkah datuk.

Tiada tindak balas dari Shafie dan ayahnya. Tajudin hanya tersenyum saja.

SEPI

Suasana di anjung kembali dicengkam sepi. Pak Habib tunduk merenung lantai, macam ada sesuatu yang direnung di celah-celah papan lantai. Datuk termenung panjang, bagaikan ada yang bermain difikirannya.

"Assalamualaikum..."

Semua yang berada di anjung terkejut, berpandangan sama sendiri. Tetapi, mereka tetap menjawab salam seseorang di kaki tangga secara serentak.

Datuk dan Pak Habib berpandangan. Dengan pantas ayah Shafie menerkam ke pintu. Dia hadiahkan senyum pada tetamu yang tidak diundang.

"Hai orang jauh silakan naik!"

Riang sekali suara ayah Shafie. Semua di ruang anjung tumpukan perhatian ke arah pintu.

Seorang lelaki berbadan tegap, berkulit sawo matang, bermata galak tercegat di ambang pintu. Agak lama juga datuk merenung tubuh lelaki berkulit saw matang itu.

Renung datuk itu tak diendahkan oleh lelaki itu. Dia lebih berminat menatap wajah saya dan Tajudin.

Ketika lelaki berbadan tegap itu merenung muka Pak Habib, dahinya berkerut, macam mengingati sesuatu.

"Habib saudagar kapal."

Pak Habib anggukkan kepala. Serentak dengan itu lelaki berbadan tegao menerkam ke arah Pak Habib lalu memeluknya dengan erat sekali. Agak lama juga mereka berpelukan.

Ayah dan ibu Shafie tercengang.

"Dia ni orang kuat, bunuh lima belas orang tentera Belanda dengan badek."

Pak Habib menjatuhkan sepasang tangannya dari memeluk tubuh lelaki berkulit sawo matang.

Ungkapan yang Pak Habib hamburkan ternyata tidak disenangi oleh lelaki berkulit sawo matang.

"Oh, jangan dikenang tentang perkara itu. Itu masa penjajah, mahu tuntut kemerdekaan, lupakan tentang semuanya itu," lelaki berbadan tegap, berkulit sawo matang merendahkan diri.

Dengan spontan lelaki itu mendekati datuk lalu minta ruang pada datuk agar dia dapat duduk bersebelahan dengan Pak Habib. Datuk segera memberikan laluan.

"Dia ni kawan lama saya, sama-sama berjuang menentang anjing kompeni," Pak Habib terus menepuk bahu lelaki berkulit sawo matang dua tiga kali. Penuh kemesraan.

Ayah Shafie hanya melihat saja situasi yang tidak diduga.

Sungguh melucukan hanya baru beberapa duduk, lelaki itu bangun terus bersalam dengan Tajudin dan saya serta datuk.

Dia duduk kembali tanpa menghulurkan untuk bersalaman dengan Shafie walaupun Shafie bersedia untuk bersalam dengannya.

Hati kecil saya terus bertanya, siapakah lelaki yang tidak diundang ini?

"Dia saudara satu moyang dengan saya. Anak Betawi jati, namanya Jamaludin Darwis."

Begitulah ayah Shafie memperkenalkan lelaki berbadan tegap pada tetamunya. Datuk tersenyum. Saya dan Tajudin anggukkan kepala.

Sepasang mata saya terus menyorot ke arah lelaki berbadan tegap, wajahnya nampak bersih.

"Sudah cukuplah tu," kata lelaki berbadan tegap, memintas cakap ayah Shafie.

"Tak salah, bukannya apa-apa, mereka semua kawan saya," ayah Shafie mempertahankan tindakannya. Lelaki itu diam, tidak memberikan sebarang komentar.

Gerak-geri lelaki dari Betawi itu terus saya awasi. Cara dia duduk dan bercakap, secara tidak langsung menampakkan karisma tersendiri.

Dalam hati, terus membuat kesimpulan bahawa dia bersikap seperti kata pepatah, bagaikan harimau menyimpan kuku.

Bila ayah Shafie mahu menceritakan susur-galur keturunannya, dia nampak gelisah semacam.

"Maaf."

Suara lelaki Betawi itu agak keras menyebabkan ayah Shafie berhenti bercakap seketika.

"Kenapa?" Tanya ayah Shafie dan terus merenung biji mata sepupunya.

"Begini, masa surat kamu sampai, aku tak ada di Keramat, aku ke Surabaya. Lepas itu pergi ke Geylang langsung ke Tengkera Melaka, seminggu lebih aku di sana, kemudian aku ke Gunung Semanggol, hampir dua bulan aku berada di luar. Itulah sebabnya aku lambat datang menjenguk anak kamu. Kalau aku ada di rumah, awal aku datang ke sini," ujur Jamaludin dari Betawi.

"Jauh sungguh berjalan, buat apa ke sana?"

Pertanyaan yang membuat Jamaludin tersenyum. Dia berhasil mengubah topik percakapan ayah Shafie yang amat berminat untuk memperkatakan tentang keturunannya kepada topik lain.

"Semua tempat yang aku pergi tu, memamg kampung laman orang Betawi. Sayangnya, aku tak jumpa golongan tua Betawi yang datang ke situ. Aku berjumpa dengan generasi baru," Percakapan terhenti sebentar.

Jamaludin membetulkan duduknya, biar terasa selesa.

"Semua yang aku jumpa, generasi baru yang sudah tak kenal dengan adat budaya Betawi, apa lagi nak bercakap Betawi. Mereka sudah jadi macam orang tempatan, malah malu mengaku keturunan Betawi," ada nada kecewa mengiringi penuturan kata, sepasang mata merenung sayu ke depan.

"Hiss..." Jamaludin mendengus lalu tersenyum.

"Apa yang kau cakap tu, hanya sebuah nostalgia. Kita harus mengaku dan menerima kenyataan," Pak Habib terus meletakkan telapak tangan kiri atas kepala lutut kanan Jamaludin.

Digosoknya, berkali-kali dengan lembut.

"Iya, masa sudah banyak berubah, mempertahankan sebuah tradisi tua dalam dunia yang terus berkembang memang sulit. Kadang-kadang boleh membuat kita terasa sayu dan menangis.

"Orang tua menyalahkan yang muda dan yang muda menyalahkan yang tua sedangkan masa terus bergerak dan dunia ketawakan kita," Jamaludin luahkan perasaan.

"Lupakan perkara tu," ulang Pak Habib.

"Iya kita lupakan," sambut Jamaludin.

BUNGKAM

Suasana di anjung kembali bungkam, tiada sesiapa pun yang bersuara. Barangkali, sedang berfikir, apakah kata-kata yang diucapkan oleh Jamaludin sebentar tadi, betul atau sebaliknya.

"Sebenarnya kita sudah jauh tersasar dari persoalan sebenar," ayah Shafie bersuara memecahkan suasana bungkam.

"Barangkali terganggu kerana kedatangan aku?"

"Eh, saya tak bermaksud begitu," lembut sekali nada suara ayah Shafie dan dia merasa kesal kalau kata-katanya sebentar tadi menyinggung hati Jamaludin.

"Begini Din, perbincangan kami terhenti kerana Peah dikejar ular, kemudian tuntut ilmu nak kunci mulut ular dan buaya, kemudian baru kamu datang, semuanya terjadi secara kebetulan," sambung ayah Shafie dan mengharapkan penjelasan tersebut akan membunuh rasa serba salah dalam diri Jamaludin.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 270/284

BACA: SBDJ Siri 269: Mengunci Mulut Buaya Dan Ular
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Tuesday, April 14, 2026

SBDJ Siri 269: Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

SBDJ Siri 269: Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

Datuk menghadapi situasi genting dengan tenang. Ular tedung panggungkan kepala, bersedia untuk melakukan serangan maut. Wajah penduduk yang berada di situ dibalut ketakutan.

SBDJ Siri 269 Mengunci Mulut Buaya Dan Ular

Sungguh mengejutkan, ular tedung yang garang itu merendahkan badannya dan terus menyusur di celah-celah dedaun kering dan akar. Akhirnya hilang entah ke mana. Peah yang ketakutan dapat ditenangkan oleh ayah Shafie.

Peah segera memberitahu ayah Shafie bagaimana mulanya dia dikejar oleh ular tedung.

"Sudah berkali-kali suami saya mengingatkan, jangan lalu di bawah pokok besar berlubang jika mahu ke sawah.

"Kata suami saya, di situ ada ular tedung bertelur. Saya tak endahkan cakap suami, sambil lalu saya baling puntung kayu ke arah pangkal pokok besar," Peah berhenti bercerita.

"Saya tak terima apa-apa akibat buruk. Tetapi petang ini, petang ketujuh ular itu keluar dari lubang dan buru saya," sambung Peah.

Semua yang mendengarnya gelengkan kepala dengan mulut terlopong.

"Kamu baliklah ke rumah. Lain kali jangan melawan cakap suami. Ular tedung bertelur jangan diganggu," nasihat ayah Shafie pada Peah, wanita keras kepala.

"Terima kasih membantu saya," tutur Peah pada datuk.

"Sama-sama."

Peah pun beredar dari situ dan orang kampung yang berkumpul segera bersurai. Pulang ke rumah masing-masing, menyambung kembali kerja yang terganggu.

Kami kembali duduk di ruang tamu rumah orang Shafie. Topik perbincangan tergelincir dari merawat sakit Shafie kepada ular tedung.

"Awak pukau ular tedung tadi?" soal ibu Shafie.

Datuk tersenyum sambil gelengkan kepala.

"Jadi apa yang awak buat dengannya. Barangkali awak pengamal ilmu hitam," lancang sekali mulut ibu Shafie.

"Itu bukan amalan kita," sanggah datuk.

"Awak puja ular?" Ibu Shafie masih belum puas hati.

"Kita bercakap dengannya!" jawapan datuk membuat ibu dan ayah Shafie panggungkan kepala.

Mereka menatap muka datuk penuh kehairanan. Bagi menghilangkan keraguan yang tumbuh dalam hati pasangan isteri itu. Datuk segera menjelaskan kedudukan yang sebenar.

"Ular dan buaya. Jenis haiwan melata yang mudah kita jumpai, terutama di kawasan berair seperti kawasan berpaya, sungai hutan bakau dan kuala sungai," datuk mula merintis jalan penjelasan.

Semua yang ada di situ pasang telinga terutama kedua-dua ibu bapa Shafie.

"Ada masanya tak payah pergi jauh. Kita boleh jumpa ular di sawah di kebun pisang, malah dalam kawasan rumah kita.

"Dalam jenis tertentu binatang yang melata ini cukup bahaya. Ular bahkan buaya, sebenarnya makhluk Allah yang sangat dekat nalurinya dengan manusia," sambung datuk.

DAHI

Ayah Shafie kerutkan dahi sambil merenung keluar menerusi jendelah yang terdedah. Tajudin menggigit bibir, masih ragu-ragu untuk mempercayai kisah yang dituturkan oleh Datuk.

"Binatang dapat memahami apa yang ada dalam hati manusia. Sama ada berniat jahat atau sebaliknya. Mereka dapat merasakan getaran halus yang tidak disedari dipacarkan oleh manusia melalui kuasa tenaga semula jadi.

"Kerana itulah, bukan sesuatu yang pelik, bila terdapat ramai pawang ular dan buaya berbanding pawang binatang buas lain seperti harimau atau singa.

"Ular dan buaya banyak kaitannya dengan lagenda kehidupan manusia,” Datuk berhenti seketika, panjangkan leher merenung keluar macam ada sesuatu yang mahu dilihatnya.

Beberapa orang kampung dapat dilihat dengan jelas melalui jalan tanah merah yang berdebu. Mereka pulang dari ladang.

Angin nan bertiup menerbangkan debu-debu merah singgah di daun pokok yang tumbuh memagari kiri kanan jalan.

"Bila kita jumpa ular, apa yang mesti kita buat? Kita lari atau kita pukul sampai mati," Shafie bertanya.

"Bila kita jumpa ular, memang kita tidak diperkenankan terus membunuhnya. Kita halau terlebih terlebih dahulu, kalau dia pergi, jangan diganggu lagi.

"Boleh jadi pertemuan (manusia dan ular) tanpa disengajakan. Bila dia melawan dan mahu menyerang baru kita boleh bunuh," jawab Datuk tenang.

"Itupun dengan cara yang tidak menyiksakan," sambung Datuk penuh ghairah.

"Ada juga ular yang mematuk manusia dilarang membunuhnya. Sebelum orang yang kena patuk itu sembuh. Jika ular itu dibunuh, mungkin orang yang kena patuk itu mati."

"Ohhh..."

Saya segera menoleh ke arah Tajudin yang bersuara cemas. Pak Habib senyum. Ayah Shafie masih merenung keluar.

"Macam mana dengan ular yang mengejar Peah tadi? Boleh kita bunuh, kalau dia mematuk perempuan yang membantah cakap suaminya?" Ibu Shafie buat sekian kalinya mengajukan pertanyaan.

"Ular tadi ular biasa, dia marah kerana kawasan tempat dia bertelur dihampiri manusia. Saya katakan tadi, ular jangan diganggu."

"Apa yang awak cakap dengan ular tadi?" Datang lagi soalan dari ibu Shafie.

Datuk terdiam seketika, belum sempat anak wanita itu ditentangnya.

Ibu Shafie segera alihkan pandangan ke arah lain. Tidak berani menentang anak mata datuk yang dirasakannya seperti ada getaran yang membuat perasaannya jadi cemas.

"Buaya, ular, harimau dan binatang liar lainnya memang tidak suka bertemu dengan manusia.

"Itulah sebabnya, bila mereka terserempak dengan manusia, mereka terus menyerang. Ada semacam sumpah atau pantang larang dalam dunia mereka.

"Kalau ada cerita manusia dimakan buaya. Itu sebenarnya bukan salah buaya. Tetapi, salah manusia yang mengejutkannya," kata-kata yang datuk luahkan seolah-olah ditujukan kepada ibu Shafie.

Saya menarik nafas dalam-dalam sambil mengeliat. Rasa lenguh di setiap sendi terasa hilang.

Kalau boleh, memang saya mahu datuk segera menamatkan kisah yang dibincang dan kembali kepada topik asal sama ada mahu bermalam di rumah orang tua Shafie atau sebaliknya.

TARIK

"Bila satu masa kita bertemu dengan ular buaya, jangan takut dan panik. Bila kita panik atau takut, boleh membahayakan jiwa kita.

"Kalau boleh mengelak, eloklah mengelak. Kalau sudah tak boleh, tak ada salahnya kita membekali diri dengan ilmu kunci mulut buaya atau ular," datuk terbatuk kecil.

Setelah mengurut dadanya dua tiga kali. Datuk minta segelas air dingin.

Ibu Shafie segera bangun dan beredar ke ruang dapur. Datang semula dengan segelas air dingin. Dihulurkan kepada datuk.

"Terima kasih," kata datuk lalu minum air dingin senafas.

Ibu Shafie ke ruang dapur kembali membawa gelas kosong.

"Macam mana caranya, nak kunci mulut ular dan buaya? Apa petua dan amalan yang mesti dibuat?"

Saya terkejut kerana pertanyaan itu datang dari Tajudin. Ayah dan Ibu Shafie anggukkan kepala setuju dengan pertanyaan yang diajukan oleh Tajudin.

"Petua dan ilmu tu, ada syarat dan pantang larangnya," datuk renung muka Tajudin dan pasangan suami isteri.

"Apa syaratnya," Tajudin kian ghairah.

"Jangan takut dan tetap yakin, nyawa setiap makhluk di tangan Allah," datuk berhenti seketika.

BERSANDAR

Perlahan-lahan datuk rapatkan belakangnya ke dinding. Bersandar di situ dengan wajah ceria sekali. Kemudian menggerakkan lehernya ke kanan dan ke kiri hingga berbunyi kruuukkkk.

Bila merasakan duduknya sudah aman dan selesa, datuk terus menuturkan.

"Bila bertemu ular atau buaya ucapkan salam."

"Salam?" Mulut Shafie terlopong.

"Iya," angguk datuk.

"Bagaimana salamnya," susul Tajudin.

"Bila bertemu ular atau buaya ucapkan ini sebanyak tiga kali, "Assamu'alaikum 'alaa sayyidinal khadiri 'alaihis salam. Assalamu 'alaikum 'alaa sayyidinaa aliyyin radhiayallahaanu 'anhu."

"Semasa memberi salam itu, renung ular dan buaya dengan penuh keyakinan terhadap pertolongan dari Allah," dan apa yang dituturkan oleh datuk diikuti dengan penuh perhatian dan minat.

Memang tidak menghairankan, bila datuk bercakap, mereka termanggu-manggu dengan mulut terlopong. Kalau boleh, mereka mahu datuk terus bercakap dan bercerita tanpa berhenti.

"Cuma itu saja?" datang lagi pertanyaan dari Shafie.

"Ada lagi," jawab datuk.

"Apa dia yang ada lagi itu."

Pak Habib tersenyum mendengar pertanyaan yang diajukan oleh ayah Shafie.

"Selanjutny, bacalah doa ini sebanyak tiga kali iaitu: Yaa 'ibaadallooh a'iinuunii, selanjutnya bacalah Laa ilaha illallah sambil membaca perlahan-lahan menjauhi ular atau buaya atau tunggu binatang itu menjauhkan diri dari kita."

"Ada lagi," desak Tajudin.

"Tak ada," datuk gelengkan kepala.

Terdengar keluhan hampa dari pasangan suami isteri, Tajudin dan Shafie. Mereka bagaikan tidak percaya dengan apa yang datuk luahkan.

Mereka yakin masih ada yang disembunyikan atau sengaja dirahsiakan oleh datuk dari pengetahuan mereka.

"Percayalah pada saya, memang tidak ada lagi. Cuma itu saja yang saya tahu untuk mengunci mulut buaya dan ular," ujar datuk seiringan dengan senyum.

Setiap wajah yang ada di ruang tamu ditatapnya satu persatu, kecuali wajah Pak Habib.

Apa yang dapat saya rumuskan dari ungkapan datuk sebentar tadi ialah, kesangsian dengan keraguan yang bersarang dalam kepala Shafie bersama orang tuanya dan Tajudin sudah dibersihkan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 269/284

BACA: SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Monday, April 13, 2026

SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini

SBDJ Siri 268: Bermalam Saja Di Sini

Buat seketika, suasana menjadi bungkam sekali. Semuanya membisu, malah desiran angin dan kicau burung bagaikan terhenti. Perhatian tertumpu kepada datuk yang bakal mengeluarkan arahan selanjutnya.

SBDJ Siri 268 Bermalam Saja Di Sini

"Kita melangkah sekarang, jangan peduli apa yang berlaku semasa dalam perjalanan nanti," itu arahan dari Pak Habib, bukannya dari datuk yang diharapkan. Semua yang berada di situ anggukkan kepala. Tanda setuju.

"Kita melangkah sekarang," tambah Pak Habib.

Semuanya akur. Tiada seorang pun yang membantah.

Tidak sampai lima puluh kali melangkah. Secara mengejut Shafie rebah di bumi. Bergolek-golek menahan rasa sakit. Mulutnya berbuih dan terus kaku. Semua jadi kelam-kabut.

"Usah risau, dia cuma pitam," tenang ibunya bersuara.

Pak Habib dan datuk segera bertindak membantu memulihkan Shafie. Tetapi, ibunya menghalang keras.

"Kenapa?" Tanya datuk kehairanan.

"Perkara biasa," jawab ibunya.

"Biasanya?" Pak Habib membeliakkan biji mata.

"Iya," angguk ibunya.

"Perkara ini tidak berpanjangan, sekejap lagi dia pulih."

Cakap ibunya memang benar. Tidak lama berselang, keadaan Shafie pulih seperti sediakala. Boleh duduk dan berdiri tetapi, tidak boleh melangkah kerana masih belum mampu mengimbangi tubuhnya.

"Selalukah dia pitam macam ini?" Soal Pak Habib.

"Selalu, ini penyakit semula jadi. Kalau dia tidak pitam atau berbuih mulut, kesihatan dirinya tidak baik. Dalam setahun sekurang-kurangnya sekali dia pitam dan berbuih mulut. Sekarang dia cukup sihat," lanjut ibu Shafie.

"Bila dia pitam, ertinya dia cukup sihat," ayah Shafie menguatkan lagi pengakuan isterinya.

"Inilah keistimewaan anak kami," ibunya menambah dengan nada yang membayangkan kebanggaan.

Datuk dan Pak Habib kerutkan dahi. Mereka berdepan dengan dunia yang sungguh pelik. Orang sihat dianggap sakit dan orang sakit yang selalu pitam, berbuih mulut dikira cukup sihat.

Saya dan Tajuddin saling bertukar pandangan penuh kehairanan.

"Anak kamu berdua bukannya istimewa," kata datuk terus terang.

Pasangan suami isteri itu jegilkan biji mata ke arah datuk dan Pak Habib.

"Kalau bukan istimewa, apa dia?" sanggah ibu Shafie.

"Anak kamu menghidap penyakit ganjil, ada masanya hilang ingatan," sahut datuk.

"Mustahil," serentak pasangan suami isteri menjawab sambil termenung lalu menatap wajah Shafie.

"Kami dah jumpa dukun, pawang bomoh, semuanya mengatakan anak kami ini bertuah, boleh bawa kesenangan pada kami. Itulah sebabnya, kami hantar dia belajar. Lagi pun dia pitam dan berbuih mulut, semasa di kampung, bila di luar kampung, dia tak muntah dan pitam," si ayah memberikan penjelasan.

MAAF

Menyedari perasaan pasangan suami isteri itu tersinggung, Pak Habib segera meminta maaf. Datuk cuba menenangkan keadaan yang agak tegang dengan membawa kisah 'Abu Nawas berkokok macam ayam jantan' di tepi kolam.

Semua yang di situ ketawa terkikih. Shafie juga turut ketawa besar. Perjalanan yang terganggu seketika diteruskan kembali.

"Sudah dekat, tengok di depan itu, ada kawasan kampung. Di situ rumah kami," kata Shafie.

Memang benar. Di depan mata terbentang kawasan yang menghijau. Pepohon kelapa dan pinang tegak damai. Daunnya melintuk-liuk, seolah-olah mengalu-alukan kedatangan kami.

"Sebentar lagi, kita semua sampai," tambah Shafie keriangan. Ayah dan ibunya tersenyum.

Dua puluh minit kemudian, kami pun sampai di halaman rumah orang tua Shafie.

Sebuah rumah berbumbung lima yang sederhana. Berdindingkan papan berdiri. Ada ukiran di pintu dan tingkap. Papan penahan tempias hujan di hujung atap, juga diukir dengan awan larat yang sungguh menarik.

Kawasan sekitar bersih sekali. Di sudut rumah, kiri dan kanan ada pohon mangga dan langsat yang mula berbunga. Suasana demikian mengimbau ingatan saya ke kampung halaman di tanah semenanjung.

"Assalamualaikum..."

Semua biji mata tertuju ke arah lelaki tua yang secara mendadak tersembul dari balik pokok renik. Dan salam orang itu dijawab dengan lantang oleh Pak Habib.

Dengan pantas orang tua berdiri di depan ayah dan ibu Shafie. Menghalang langkah menuju ke kaki tangga.

"Semasa kamu berdua tak ada di rumah, macam-macam bunyi dalam rumah. Pinggan mangkuk, periuk berlaga sesama sendiri. Bila diintai tak ada apa-apa," lanjut orang tua berjanggut dan bertongkat itu.

Tiada sebarang komentar yang terhambur dari mulut ayah dan ibu Shafie. Mereka sekadar berpandangan dengan seribu tanda tanya.

Lelaki tua yang diamanahkan oleh pasangan suami isteri untuk melihat dan menjaga rumah segera menyerahkan kunci rumah.

"Syukur, kamu berdua dapat membawa anak kamu yang hilang balik ke rumah. Jaga baik-baik jangan sampai hilang kali kedua," lelaki tua itu memberikan kursus pendek kepada kedua-dua orang tua Shafie.

Lelaki tua itu segera melangkah mendekati datuk dan Pak Habib. Sinar matanya membayangkan rasa ingin tahu yang amat terhadap Pak Habib, datuk, Tajudin dan saya.

"Siapa mereka?"

Anak matanya menatap batang tubuh kami. Dari atas ke bawah. Dari bawah ke bawah yang dilakukannnya berulangkali. Seolah-olah kami dari angkasa lepas.

"Manusia berempat ini yang menangkap dan menyorok anak kamu?" tanya lelaki tua itu pada pasangan suami isteri. Wajah ibu Shafie nampak resah.

"Tidak," pantas ayah Shafie bersuara.

"Mereka menyelamatkan saya," Shafie bersuara lantang

Orang tua itu anggukkan kepala. Kali ini dia menatap wajah kami dengan senyum.

Kemudian dia kembali merenung muka ayah Shafie.

"Tadi aku terdengar suara orang bercakap dalam rumah. Aku cuba mengintai dari luar. Tiba-tiba aku terasa macam ada orang memerhatikan aku dari belakang. Bila aku nak toleh, pangkal tengkuk aku dipukul, tak tahu siapa memukulnya. Kamu berhati-hati sikit. Orang yang kamu bawa ni, kena jaga-jaga. Takut musang berbulu ayam," lelaki tua itu meninggalkan pesan, sebelum angkat kaki meninggalkan kedua-dua orang tua Shafie dan kami.

"Lupakan cakap orang itu," ujar ayah Shafie pada datuk dan Pak Habib.

Dia meneruskan langkah menuju ke kaki tangga. Ayah Shafie segera membuka kunci dan pintu rumah.

JEMPUT

Sebelum menjemput kami semua ke dalam rumahnya. Dia menyuruh isterinya masuk dulu. Memeriksa keadaan dalam rumah.

"Siapa orang tadi?" Pendek datuk bertanya.

"Dia jiran kami," jawab ayah Shafie.

Pertanyaan selanjutnya, tidak diteruskan oleh datuk.

"Tak ada apa yang tak kena. Semuanya macam biasa," kata ibu Shafie dari muka pintu. Kami pun dijemput masuk ke rumah.

Sebagai tetamu, kami dijamu kopi panas dan pisang nangka goreng yang sungguh menyelerakan.

"Bermalam saja di sini," tahan ibu Shafie, sebaik saja selesai solat Asar dan bersiap sedia untuk pulang ke rumah Pak Habib. Satu permintaan yang agak sulit untuk dijawab oleh Pak Habib atau datuk.

Bila menyedari tidak ada tindak balas yang positif dari Pak Habib atau datuk. Ibu Shafie mengajukan pertanyaan yang sama khusus untuk Pak Habib.

Pak Habib tidak memberikan jawapan muktamad. Kehampaan terpeta di wajah ayah dan ibu Shafie. Saya resah semacam, begitu juga dengan Tajudin tetapi, Shafie bersahaja sekali.

"Sebenarnya, saya mengharapkan bantuan awak berdua. Masalah anak saya belum selesai lagi. Saya berhajat nak mengadakan sembahyang hajat malam ni, tengahari esok lepas sembahyang zohor, saya nak adakan kenduri kesyukuran," secara terbuka ayah Shafie meluahkan rancangannya.

Pak Habib garu pipi kiri dengan jari manis dua tiga kali. Sementara itu datuk merenung keluar, melihat dedaun yang disentuh angin.

"Tapi..."

Macam ada sesuatu yang menghalang datuk dari meneruskan kata-kata. Saya kedutkan dahi dan melepaskan nafas.

Rasanya macam ada sesuatu yang tidak kena. Shafie yang tadi saat setia di sisi ayahnya berdepan dengan datuk dan Pak Habib segera bangun menuju ke dapur.

Shafie keluar dari ruang dapur dan duduk semula di sisi ayahnya tetapi, datuk masih belum menyambung kembali kata-kata yang terhenti.

Suasana diluar terasa tenang. Beburung melompat dari dahan ke dahan. Bagaikan gembira dengan sinar matahari petang yang kian meredup.

"Usah bertapi lagi, saya memang memerlukan ikhtiar awak berdua. Tidur semalam saja di rumah ini. Esok saya suruh anak buah saya menghantar awak balik ke rumah," tanpa disangka-sangka ibu Shafie muncul di ruang tamu dan terus melibatkan diri dalam dialog singkat.

Ayah Shafie setuju dengan apa yang dituturkan oleh isterinya.

"Alang-alang membantu, biarlah sampai selesai," sampuk Shafie sambil merenung muka Pak Habib dengan tepat sekali.

Ibunya masuk ke ruang dapur semula. Ayahnya sandarkan badan ke dinding.

Entah macamana, saya terasa hati. Dalam dialog antara ayah dan ibu Shafie dengan datuk dan Pak Habib, nama saya, Tajudin tidak disebut langsung.

Kalau kami berdua tidak diperlukan, ertinya kami harus pulang ke rumah Pak Habib. Ini satu penyeksaan, fikir saya sendirian.

TAMU

Suasana di ruang tamu terasa bungkam sekali. Tiada siapa yang bersuara, semuanya termanggu macam memikirkan sesuatu.

Suasana bungkam itu dikejutkan dengan suara jeritan seorang wanita awal tiga puluhan. Semua yang ada di ruang tamu segera berdiri.

"Peah dikejar ular tedung," kata seseorang di kaki tangga.

"Bantu," kata ayah Shafie.

Semua yang ada di ruang tamu turun ke halaman rumah. Wanita yang bernama Peah terus menjerit. Berlari bagaikan tidak cukup tanah.

Seluruh kampung jadi gempar. Penduduk keluar ke tanah lapang. Tiada seorang pun yang berusaha menahan Peah dari lari dan menjerit.

"Selamatkan keadaan," bisik Pak Habib ke telinga datuk.

"Baiklah," jawab datuk.

Datuk segera minta bantuan ayah Shafie agar menghalang Peah berlari ke arah utara menuju hutan kecil.

Ketika datuk mahu melangkah ke depan lagi memintas larian Peah, seekor ular tedung muncul. Semua yang ada di situ menjerit cemas.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 268/284

BACA: SBDJ Siri 267: Kubur Mahaguru Ghaib
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com