Saturday, May 16, 2026

SBDJ Siri 276: Perjalanan Di Halang

SBDJ Siri 276: Perjalanan Di Halang

Buat seketika, suasana diruang tamu dicengkam kesepain yang panjang. Shafie menggaru dahinya berkali-kali. Dia memang mengharapkan agar tetamu yang ada disitu mengajukan pertanyaan.

SBDJ Siri 276 Perjalanan Di Halang

"Kesudahan perlawanan itu siapa yang menang?" Jamaluddin ajukan pertanyaan.

Semua biji mata yang berada disitu tertumpu ke wajah Shafie. Dia merasa tidak senang bila mukanya ditatap lama-lama.

"Siapa yang menang?" ulang Jamaluddin.

"Haaa..." Shafie menarik nafas dalam-dalam. Air mukanya membayangkan rasa malu.

"Jawablah," Pak Habib mengusik nakal.

"Saya hampir-hampir kalah, mujur ada orang yang datang menyelamatkan saya," Shafie terus tersengih.

Dan orang yang berada diruang itu segera tertawa. Lucu, Shafie turut ketawa terkikih.

SUBUH

Tidak berapa lama berselang, azan Subuh bergema dari sebuah surau berdinding papan tidak jauh dari rumah keeluarga Shafie.

"Kita jemaah disurau, kalau ada sesiapa mahu mandi masih sempat," riang sekali nada suara ayah Shafie mengemukakan cadangan.

"Rasanya kita semua masih segar, basuh muka sudah memadai," sanggah Jamaluddin lalu disambut dengan ketawa.

"Lepas solat Subuh kita makan ramai-ramai disini. Semua hidangan saya sediakan," kata ibu Shafie setelah suara ketawa berakhir.

"Ini sudah cukup baik," saya tumpang sekaki dalam dialog Subuh.

Akibatnya saya menerima teguran dari datuk melalui jelingan mata yang tajam.

Saya adalah orang terakhir turun dari rumah ayah Shafie.

Lebih kurang dalam jarak lima belas kaki sebelum sampai ke kawasan sempadan surau, rombongan yang diketuai oleh ayah Shafie berhenti sebentar.

Kemudian mereka melencong ke kanan, tidak ikut jalan lurus menuju ke kaki tangga surau.

"Kenapa melencong ke kanan menjauhkan perjalanan, kalau lurus lagi dekat dan cepat sampai ke kaki tangga surau," bisik hati saya yang berada dibelakang.

Saya buat keputusan ikut jalan lurus. Tidak mahu melencong seperti yang dilakukan oleh ayah Shafie, datuk, Pak Habib dan Jamaluddin.

Ketika sampai ke hujung jalan, langkah saya terhenti. Dari cahaya lampu gasolin surau terlihat tulang temulang dan tengkorak manusia berserakkan dijalan lurus.

Tulang-tulang dan tengkorak yang bertaburan disitu berukuran kecil, sebesar tengkorak monyet. Saya jadi kaku, sepasang kepala lutut terasa lembik tidak boleh melangkah.

Cara kebetulan (mungkin sudah menduga) dalam saat panik itu, datuk dan Pak Habib merenung ke arah saya tetapi, Jamaluddin lebih pantas bertindak. Dia segera datang kepada saya.

"Baca bismillah dan surah an-Anas, melencong ke kanan macam kamu buat tadi," Jamaluddin memberi arahan.

Saya segera mematuhinya dan Jamaluddin terus menemani hingga saya bergabung dengan datuk. Pak Habib, ayah Shafie dan Tajuddin senyum sinis ke arah saya.

"Benda-benda begini perkara biasa di Tanah Sumatera. Perbuatan itu bukan ditujukan pada kita. Tetapi ditujukan pada salah seorang jemaah surau oleh musuhnya.

"Mungkin juga kerana dengki. Mereka lebih mengutamakan kekuatan ilmu syaitan dari kebesaran Allah. Perbuatan orang tak beriman," Tajudin mengeluh didepan datuk dan Pak Habib.

WUDUK

Jamaluddin yang ditemani ayah Shafie. Pak Habib dan Tajuddin segera menuju ke tampat mengambil wuduk. Tinggal saya bersama datuk berdiri dibucu surau papan.

"Kenapa kamu mengasingkan diri, berjalan kemudian," datuk renung muka saya, tiada jawapan yang dapat saya berikan.

"Lagi satu perangai buruk kamu, bila berjalan suka menoleh kebelakang. Apa kamu tak boleh buang tabiat buruk ni."

Saya terus membisu. Ada kemarahan menguasai wajah datuk. Beberapa orang kampung yang tidak dikenali menoleh ke arah saya dan datuk, sebelum mereka mengambil air sembahyang.

"Kalau semasa kamu menoleh, kamu lihat benda-benda yang baik untunglah, kalau terlihat benda yang tak senonoh, buruk padahnya," sambung datuk.

Dan saya yakin, orang yang lalu disisi tidak dapat menangkap kata-kata yang datuk hamburkan.

"Pergi ambil wuduk."

Datuk terus berlalu menuju ke tempat wuduk. Dengan rasa kesal saya melangkah mengekorinya menuju ke tempat yang sama.

Setelah menunaikan sembahyang Subuh, kami terus pulang ke rumah. Tetapi, tidak melalui jalan datang. Kami ikut jalan lain, terpaksa menyeberangi sebatang tali air yang airnya mengalir keruh.

Kata ayah Shafie, jalan baru itu dipilih bagi menghindarkan diri dari bertemu hal-hal tak diingini. Jalan baru ini agak jauh dibandingkan dengan jalan sebelumnya.

Kiri kanan jalan penuh dengan pepokok kecil dan tanaman tebu dan pisang. Kerana jarang digunakan rumput tumbuh hinga ke tengah jalan.

"Ahh, tebu hitam melintang jalan, berhenti dulu," ayah Shafie bersura, langkahnya terhenti. Begitu juga dengan langkah Jamaluddin, Pak Habib dan datuk.

"Ada apa Tamar?"

Saya renung muka Tajudin. Dia senyum.

"Ada apa Tamar," ulangnya lagi.

"Tebu hitam melintang jalan," bisik saya.

Wajahnya cemas.

Empat kerat tebu hitam yang panjangnya kira-kira dua kaki bertindih melintang, betul-betul ditengah jalan. Sebahagian dari kulitnya tersiat nipis hingga ke pangkal ruas.

"Ketepi biar aku lihat kedudukannya."

Datuk maju setapak kedepan, membongkok badannya melihat atur letak tebu hitam. Agak lama juga datuk melihatnya sambil hujung jarinya menculik permukaan jalan tanah merah. Sepasang bibirnya terus bergerak-gerak.

ANGKAT

Perlahan-lahan datuk angkat muka lalu merenung muka Pka Habib dan Jamaluddin. Mereka berbalas senyum.

"Ada jemaah yang keluar awal dari surau sengaja meletakkan batang tebu hitam disini. Barangkali, dia mahu menguji kebolehan salah seorang dari kita bertiga," selamba saja datuk bersuara.

"Nakal," komentar Pak Habib.

"Pelik, macam mana dia orang tahu kita mengubat Shafie," Jamaluddin kerutkan kening. Saya juga sependapat dengannya.

"Macam mana mereka tak tahu, semua orang kampung tahu anak saya ada masalah. Orang luar pula dapat merawatnya.

"Jadi dukun-dukun yang ilmunya setengah baldi iri hati. Kenapa tak panggil mereka.

"Masyarakat kita memang tak lepas dari hasad dengki," agak panjang ayah Shafie memberikan penjelasan.

Bila dia mahu menyambung penjelasannya lagi (sebenarnya mahu meluahkan rasa geram) Pak Habib segera menghalang.

"Sudah, aku faham. Bila kita banyak bercakap tentang orang lain, kita mudah tersasul mencaci peribadi orang. Secara tidak sengaja kita sudah membuat dosa," Pak Habib menepuk bahu ayah Shafie.

Dan dia menerima pandangan jujur Pak Habib.

Tebu hitam yang terletak melintang di tengah jalan dibiarkan begitu saja.

Perjalanan yang terganggu diteruskan. Atas permintaan Jamaluddin, kami diminta berjalan berdua-duaan seiring.

Pak Habib dipadankan dengan datuk, Jamaluddin dengan ayah Shafie, manakala saya dengan Tajudin.

Berjalan didalam kampung yang kiri kanannya diapit dua buah bukit, terasa dingin sekali. Kabus nipis berarak lembut dipuncak bukit.

Sekali pandang kabus itu bagaikan menyapu awan putih yang mula disuluh sinar matahari yang mula berusaha menampakkan diri.

Semasa melintas beberapa buah rumah dibibir jalan tanah merah, terdengar suara kanak-kanak perempuan membaca mukaddam yang diselang seli dengan suara ustazah membetulkan pembacaan.

Suasana begini mengingatkan saya pada kampung laman dan nenek di Semenanjung.

Sampai dikaki tangga kami disambut oleh Shafie dan ibunya dengan wajah eria. Perubahan pada diri Shafie mengejutkan kami yang berada dikaki tangga. Rasa tak percaya Shafie sesihat itu.

"Semoga dia sihat terus, macam dulu," bisik ayah Shafie pada Pak Habib.

"Mudah-mudahan, jangan lupa berdoa kepada Allah," antara jelas dengan tidak Pak Habib menjawab.

"Naik dengan satu syarat," sambil ketawa kecil Shafie merenung wajah ibunya.

Mereka berdua ketawa terkikih. Kami yang berada dikaki tangga bertambah hairan. Apakah si ibu dengan si anak bergurau atau serius.

"Syarat apa pula?"

Ayah Shafie beliakkan sepasang biji mata, menatap wajah isterinya yang masih ketawa. Pak Habib dan datuk saling berpandangan.

Dada mereka terus digayuti persoalan tanpa jawapan pasti. Tetapi, perasaan Jamaluddin tidak terusik dengan keadaan itu, dia senyum sinis sambil menggaru pangkal lehernya berkali-kali.

"Ada-ada saja perkara yang tak diduga," saya dapat menangkap suara runggutan Jamaluddin.

Memang dia bosan menghadapi masalah yang pada hematnya sengaja diada-adakan. Semuanya ini boleh melambatkan segaola rancangan yang diaturnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 276/284

BACA: SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Thursday, May 14, 2026

Kenali Sejarah Nama Rumah Yang Membentuk Dunia Hartanah Hari Ini

Kenali Sejarah Nama Rumah Yang Membentuk Dunia Hartanah Hari Ini

Pelbagai jenis rumah yang kita sebut hari ini sebenarnya mempunyai sejarah dan asal-usul nama yang menarik. Ada nama yang berasal daripada bahasa asing, budaya penjajah, bentuk binaan, malah gaya hidup masyarakat pada zaman tertentu.

Kenali Jenis Nama Rumah Di Malaysia

Berikut ialah beberapa jenis rumah yang biasa digunakan di Malaysia beserta asal-usul namanya.

1. Banglo

Perkataan "Banglo" berasal daripada perkataan Hindi "bangla", yang bermaksud "gaya Bengal" atau "rumah orang Bengal".

Bengal ialah sebuah wilayah besar di Asia Selatan yang kini meliputi kawasan di Bangladesh dan India Timur.

Pada asalnya, rumah bangla dibina sebagai rumah tradisional masyarakat Bengal. Reka bentuknya sederhana, luas, mempunyai satu tingkat dan beranda besar bagi menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di rantau tersebut.

Bagaimana Nama Banglo Menjadi Popular?

Pada abad ke-18 dan ke-19, pegawai penjajah British yang berada di India mula tertarik dengan reka bentuk rumah bangla kerana pengudaraan lebih baik, sesuai untuk iklim tropika, lebih selesa berbanding rumah batu Eropah, mudah dibina di kawasan ladang dan pentadbiran.

British kemudian mengadaptasi reka bentuk tersebut dan menyebutnya sebagai "bungalow" dalam bahasa Inggeris.

Dari situlah istilah bungalow tersebar ke seluruh dunia termasuk Asia Tenggara, Afrika dan Eropah melalui pengaruh penjajahan British.

2. Apartment

Nama "apartment" berasal daripada perkataan bahasa Perancis appartement, yang bermaksud ruang kediaman yang dipisahkan dalam sebuah bangunan besar.

Ia pula berasal daripada kata kerja Itali appartare yang membawa maksud "memisahkan" atau "mengasingkan".

Dalam sejarah awal di Eropah, golongan bangsawan dan orang kaya tinggal di rumah besar yang mempunyai banyak bilik atau ruang berasingan untuk keluarga, tetamu dan pekerja.

Lama-kelamaan, konsep ruang yang "dipisahkan" ini berkembang menjadi unit kediaman tersendiri dalam satu bangunan.

Dari situlah lahir istilah "apartment".

Di negara-negara Barat seperti Perancis dan Itali, apartment mula popular sekitar abad ke-18 hingga ke-19 apabila bandar semakin padat akibat perkembangan industri dan pertambahan penduduk.

3. Flat

Perkataan flat secara literal bermaksud "rata" atau "mendatar". Ia digunakan kerana setiap unit rumah berada pada satu aras lantai yang rata dalam bangunan bertingkat, berbeza dengan rumah teres atau rumah dua tingkat yang mempunyai beberapa aras dalam satu unit.

Perkataan "flat" sebagai jenis rumah berasal daripada bahasa Inggeris British yang merujuk kepada sebuah unit kediaman dalam bangunan bertingkat.

Istilah ini mula digunakan sekitar abad ke-19 di UK ketika pembangunan bandar semakin pesat akibat Revolusi Perindustrian.

Di Amerika Syarikat, istilah yang lebih popular ialah apartment, tetapi di Malaysia dan banyak negara bekas jajahan British, istilah "flat" lebih biasa digunakan terutama bagi rumah kos rendah atau sederhana.

4. Kondominium

Perkataan "kondominium" berasal daripada bahasa Latin iaitu condominium, gabungan dua perkataan "con" bermaksud bersama dan "dominium" bermaksud hak milik atau pemilikan, yang membawa maksud "pemilikan bersama".

Konsep ini mula berkembang di negara Barat, khususnya di Amerika Syarikat sekitar pertengahan abad ke-20 apabila pembangunan bandar semakin pesat dan tanah semakin mahal.

Sistem kondominium diperkenalkan bagi membolehkan ramai individu memiliki unit kediaman masing-masing dalam satu bangunan yang sama, sambil berkongsi kemudahan bersama seperti kolam renang, lif, tempat letak kereta, taman permainan, gimnasium dan dewan serbaguna.

Di Malaysia, istilah "kondominium" mula popular sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an apabila pembangunan bandar dan projek perumahan bertingkat meningkat di kawasan seperti Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Walaupun ramai menganggap kondominium dan apartment kedua-duanya sama, sebenarnya ada terdapat sedikit perbezaan.

Kondominium biasanya lebih mewah, ada banyak fasiliti, unit dimiliki individu dan yuran penyelenggaraan lebih tinggi, manakala apartment sebaliknya.

5. Teres

Perkataan terrace pada asalnya berasal daripada bahasa Latin, terra yang bermaksud "tanah" atau "permukaan rata".

Dalam seni bina Eropah abad ke-17 hingga ke-19, istilah terraced houses digunakan untuk merujuk kepada deretan rumah yang dibina secara berbaris dan seragam di kawasan bandar.

Rumah teres ialah sejenis rumah yang dibina secara bersambung dalam satu barisan, berkongsi dinding di kiri dan kanan dengan rumah jiran.

Nama "rumah teres" berasal daripada perkataan Inggeris terrace house.

Konsep rumah teres mula popular di UK ketika Revolusi Perindustrian. Pada waktu itu, bandar berkembang pesat dan memerlukan banyak rumah untuk pekerja kilang. Rumah dibina rapat-rapat bagi menjimatkan tanah dan kos pembinaan.

Di Malaysia, istilah "rumah teres" mula digunakan secara meluas selepas era pembangunan bandar sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an.

Ia menjadi pilihan utama pemaju kerana penggunaan tanah lebih efisien, kos lebih murah berbanding banglo, sesuai untuk keluarga sederhana dan mudah dibina dalam jumlah besar.

Biasanya rumah teres di Malaysia mempunyai satu atau dua tingkat, halaman kecil depan dan belakang, reka bentuk memanjang dan parkir di bahagian hadapan.

Terdapat juga beberapa variasi seperti rumah teres setingkat, rumah teres dua tingkat, rumah teres hujung (end lot) dan rumah teres tengah (intermediate lot).

Di sesetengah negara, rumah jenis ini turut dipanggil row house di AS, townhouse untuk versi yang lebih moden dan mewah dan linked house di beberapa negara Asia.

6. Rumah Berkembar (Semi-D)

Konsep rumah Semi-D mula berkembang di United Kingdom ketika Revolusi Perindustrian.

Ketika itu bandar semakin padat, golongan pertengahan mahu rumah lebih besar dan privasi lebih baik dan banglo terlalu mahal untuk kebanyakan orang.

Maka lahirlah reka bentuk dua rumah dibina berpasangan, berkongsi satu struktur tengah, kos lebih murah berbanding banglo dan masih mempunyai laman sisi dan ruang lebih luas.

Di Malaysia, istilah "Semi-D" mula popular melalui industri hartanah era 1970-an hingga 1990-an.

Pemaju menggunakan istilah Inggeris kerana lebih ringkas, bunyi lebih eksklusif dan mudah dipasarkan.

Hari ini, "Semi-D" sering dikaitkan dengan rumah kelas pertengahan tinggi, tanah lebih luas, privasi lebih baik dan nilai hartanah lebih tinggi daripada rumah teres.

Ciri utama Rumah Semi-D biasanya mempunyai satu dinding berkongsi, ruang tepi rumah, halaman depan dan belakang, parkir lebih besar dan rekaan lebih moden dan luas.

7. Rumah Bandar (Townhouse)

Rumah bandar atau townhouse ialah sejenis kediaman yang dibina secara bersambung dalam satu deretan, biasanya berkongsi dinding dengan rumah di sebelah kiri dan kanan.

Ia popular di kawasan bandar kerana penggunaan tanah yang lebih efisien serta reka bentuk moden yang praktikal.

Namun, ramai tidak tahu bahawa istilah "townhouse" sebenarnya mempunyai sejarah panjang yang bermula ratusan tahun dahulu di Eropah.

Perkataan townhouse berasal daripada gabungan dua perkataan bahasa Inggeris iaitu Town bermaksud bandar atau pekan dan House iaitu rumah.

Jadi, ia bermaksud "rumah di bandar".

Pada zaman dahulu, terutama sekitar abad ke-17 hingga ke-19 di negara seperti UK dan Perancis, golongan bangsawan dan keluarga kaya biasanya memiliki dua kediaman, Rumah besar di kawasan desa (country house) dan Rumah kedua di bandar (town house).

Rumah bandar ini digunakan apabila mereka datang ke kota untuk urusan politik, perdagangan, acara sosial atau musim tertentu.

Di Malaysia, istilah townhouse tidak semestinya sama seperti di Barat.

Kebanyakan townhouse tempatan mempunyai ciri berikut, dibina bertingkat (biasanya 2 tingkat), unit atas dan bawah mempunyai pemilik berasingan, berkongsi struktur bangunan, mempunyai reka bentuk lebih moden dan kompak serta popular di kawasan pinggir bandar.

Sesetengah townhouse Malaysia juga menyerupai gabungan rumah teres, apartmen bertingkat rendah dan kondominium kecil.

Disebabkan itu, definisi townhouse di Malaysia agak unik berbanding negara Barat.

8. Apartmen Perkhidmatan (Serviced Apartment/SoHo)

Dalam dunia hartanah moden, istilah seperti Serviced Apartment, SOHO, SOFO dan SOVO semakin popular terutama di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Namun ramai yang tidak tahu bahawa nama-nama ini sebenarnya mempunyai sejarah dan maksud tersendiri.

Apa Maksud "Serviced Apartment"?

Istilah Serviced Apartment berasal daripada gabungan dua konsep iaitu Apartment (unit kediaman bertingkat) dan Serviced (mempunyai perkhidmatan tambahan).

Konsep ini mula berkembang di New York City dan London sekitar pertengahan abad ke-20 untuk golongan profesional, pelancong jangka panjang dan ekspatriat.

Pada asalnya, serviced apartment merujuk kepada unit kediaman yang menawarkan kemudahan seperti housekeeping, concierge, keselamatan, dobi dan kemudahan hotel.

Sebab itu ia sering dianggap gabungan antara hotel dan apartmen biasa.

Di Malaysia pula, istilah ini berkembang sedikit berbeza. Banyak serviced apartment dibina di atas tanah komersial, bukan tanah kediaman.

Oleh sebab itu, bil utiliti, cukai dan yuran penyelenggaraan kadangkala lebih tinggi berbanding kondominium biasa.

Asal-Usul Istilah SOHO (Small Office Home Office)

Istilah ini berasal dari New York City sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an apabila semakin ramai individu bekerja sendiri dari rumah.

SOHO merujuk kepada unit kecil yang boleh digunakan sebagai rumah, pejabat kecil dan studio kerja.

Konsep ini menjadi popular selepas perkembangan freelancer, startup, perniagaan internet dan kerja jarak jauh.

Di Malaysia, pemaju hartanah menggunakan istilah SOHO untuk menarik golongan muda dan profesional bandar yang mahu tinggal dekat tempat kerja, menjalankan bisnes kecil dan mempunyai ruang kerja sendiri.

Biasanya unit SOHO lebih kecil, sekitar 300–700 kaki persegi.

Perbezaan SOHO, SOFO dan SOVO

Ramai orang keliru kerana ketiga-tiganya nampak hampir sama.

SOHO fokus utamanya, boleh tinggal dan boleh bekerja.

Manakala SOFO (Small Office Flexible Office), konsep lebih fleksibel untuk pejabat, startup, studio dan kadang-kadang kediaman. Biasanya lebih berorientasikan komersial.

Sementara itu, SOVO (Small Office Versatile Office), bermaksud serba guna.

Digunakan untuk pejabat, perniagaan, studio kreatif dan sesetengah kes kediaman sementara.

9. Penthouse

Istilah penthouse sering dikaitkan dengan rumah mewah di tingkat paling atas bangunan tinggi seperti kondominium, apartmen servis atau hotel.

Di Malaysia, perkataan ini menjadi simbol kemewahan, privasi dan status eksklusif, namun ramai tidak mengetahui bagaimana nama "penthouse" sebenarnya bermula.

Perkataan penthouse berasal daripada bahasa Inggeris lama iaitu "Pent", daripada perkataan lama Perancis apentis yang membawa maksud struktur tambahan atau bumbung kecil bersandar. "House" pula bermaksud rumah atau tempat tinggal.

Pada asalnya, penthouse bukan merujuk kepada rumah mewah, tetapi kepada ruang kecil tambahan yang dibina di atas bangunan.

Konsep penthouse mula popular di bandar-bandar besar seperti New York City sekitar tahun 1920-an. Ketika itu, bangunan pencakar langit mula berkembang pesat.

Pada mulanya, tingkat paling atas bangunan dianggap kurang bernilai. Orang kaya lebih suka tinggal di tingkat bawah kerana lebih mudah diakses dan bahagian atas bangunan biasanya digunakan sebagai ruang utiliti atau stor.

Namun, keadaan berubah apabila teknologi lif semakin moden, pemandangan bandar dari atas menjadi tarikan eksklusif dan golongan elit mula mahukan privasi dan ruang yang lebih tenang.

Pemaju hartanah kemudian menukar tingkat atas bangunan menjadi unit kediaman mewah yang luas dan dari situlah istilah penthouse apartment mula terkenal.

10. Duplex

Perkataan duplex berasal daripada bahasa Latin "duo" (dua) dan "plicare" (melipat atau menggandakan).

Kemudian, ia berkembang dalam bahasa Inggeris menjadi "duplex" yang membawa maksud berganda dua atau dua bahagian yang bersambung.

Dalam dunia hartanah, istilah ini digunakan untuk menggambarkan rumah yang mempunyai dua tingkat yang saling bersambung di dalam satu unit kediaman.

Bagaimana Istilah Duplex Digunakan Dalam Hartanah?

Di banyak negara Barat seperti AS dan Kanada, "duplex" asalnya merujuk kepada sebuah bangunan yang mengandungi dua unit rumah berasingan, biasanya satu di bawah dan satu di atas, kadang-kadang berkongsi satu dinding.

Namun di Malaysia, maksudnya sedikit berubah mengikut pemasaran hartanah moden.

Di Malaysia, rumah atau apartmen duplex biasanya bermaksud, satu unit kediaman, mempunyai dua tingkat di dalam unit yang sama, tingkat bawah dan atas dihubungkan dengan tangga dalaman.

Ia sering ditemui pada kondominium mewah, Serviced apartment, Penthouse moden dan SOHO premium.

11. Dwikunci

Istilah rumah Dwikunci atau Dual Key di Malaysia sebenarnya berasal daripada konsep hartanah moden antarabangsa yang mula popular di negara seperti Australia dan Singapura sebelum dibawa masuk ke pasaran hartanah Malaysia sekitar awal 2010an.

Nama "dwikunci" ialah terjemahan langsung daripada istilah Inggeris dual key, yang bermaksud "dua kunci".

Konsep ini dinamakan "dwikunci" kerana sebuah unit rumah mempunyai satu pintu masuk utama, tetapi di dalamnya terdapat dua ruang kediaman berasingan dan setiap ruang mempunyai kunci sendiri.

Sebab itu ia dipanggil rumah "dua kunci" atau "dwikunci".

Biasanya rumah dwikunci dibina dengan satu unit utama untuk pemilik, satu lagi studio atau bilik kecil lengkap dengan bilik air dan kadangkala dapur mini untuk disewa atau didiami ahli keluarga.

Di Malaysia, konsep ini mula berkembang pesat apabila pemaju hartanah melihat permintaan tinggi daripada pelabur hartanah, keluarga besar, pasangan muda yang tinggal bersama ibu bapa dan pemilik yang mahu pendapatan sewa tambahan.

Selain itu, istilah "dwikunci" juga dipilih kerana bunyinya lebih mesra Bahasa Melayu dan mudah digunakan dalam pemasaran projek perumahan tempatan berbanding istilah "dual key".

Kini kedua-dua istilah digunakan secara meluas dalam iklan hartanah Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan

SBDJ Siri 275: Tengkorak Di Tengah Jalan

Semua yang berada di rauang tersebut hanya memperhatikan saja gelagat ayah Shafie. Lima minit masa berlalu, ayah Shafie masih berada dalam keadaan mamai. Pak Habib memberikan isyarat mata pada Jamaludin supaya melakukan sesuatu.

SBDJ Siri 275 Tengkorak Di Tengah Jalan

Dengan segera Jamaludin mendekati ayah Shafie dan terus membisikkan sesuatu di telinga lelaki yang berkening lebat itu.

Ayah Shafie mengangguk beberapa kali, malah terus menangis tersedu-sedu.

Dia pun minta maaf pada Jamaludin, pada datuk, pada Pak Habib dan semua yang berada di ruang rumah.

Suasana sekitar dibalut kesayuan tetapi, deru angin di luar rumah masih terdengar menyentuh dedaun pokok.

"Saya tak sedar dengan apa yang saya buat. Lubang telinga diasak dengan suara ghaib memberitahu saya, orang yang mendampingi saya berniat buruk. Mahu menghancurkan rumah tangga saya, anak bini dan jiran-jiran saya.

"Sebelum kejadian itu berlaku, saya mesti bertindak. Saya buat apa yang suara ghaib itu suruh," tersekat-sekat ayah Shafie bersuara.

Semua yang berada di ruang rumah berpandangan sama sendiri. Wajah ayah Shafie nampak gusar sekali.

"Saya menyesal, saya minta maaf," sambungnya penuh pilu.

"Sudahlah tu," Pak Habib memujuk.

"Sekarang kita uruskan apa yang ada di depan mata kita," Dengan tenang Jamaludin menujukan kata-kata itu pada Pak Habib.

"Maksud kamu Din?"

"Selesaikan masalah Shafie."

"Oh," Pak Habib tersenyum.

Kemudian, muka datuk dipandang. Mereka bertentang mata. Masing-masing kerutkan kening, macam ada sesuatu yang bermain di dalam tempurung mereka.

"Masih ribut lagi," pendek datuk bersuara.

Serentak Pak Habib dan Jamaludin mengangguk.

DERU

Memang, di luar bunyi deru ribut tidak juga berhenti. Suara pekikan dan jeritan mangsa ribut terus kedengaran. Sesekali terdengar suara tangisan kanak-kanak. Nyaring dan lantang.

Syaitan sedang berpesta untuk memperdayakan penghuni rumah, saya membuat andaian sendiri.

"Lihat tu."

Ibu Shafie bersuara. Jari telunjuknya menuding ke arah daun tingkap yang terdedah. Semua biji mata tertumpu ke arah tingkap tersebut. Buat seketika, semuanya bagaikan terpukau tanpa sebarang kata.

"Ahhh..."

Secara spontan dan serentak, semua yang berada di ruang rumah tersebut bersuara dengan sepasang biji mata masing-masing terbeliak.

Ada kain batik jawa berbau harum, melayang-melayang di muka jendela. Bila kain batik itu hilang dari pandangan, muncul lembaga manusia yang kurang jelas bentuknya.

Lembaga itu bertenggek di bendul tingkap dengan membelakangi kami. Bahagian belakangnya nampak menggerutu, macam kulit limau purut.

Semakin direnung, semakin berani lembaga itu mempamirkan dirinya.

Dia memperlihatkan bahagian belakang kepalanya yang berlubang mengeluarkan asap nipis. Bahagian belakang lehernya pula dipenuhi bulu hitam tebal dan kerinting.

Beberapa helai bulu tersebut gugur dan melayang-layang menuju ke arah Shafie yang terlentang tidak sedar diri.

"Ini merbahaya, kalau jatuh atas tubuh Shafie," kata Pak Habib dengan wajah cemas.

"Puuuhhhh..."

Pantas datuk bertindak. Dia hembuskan nafas ke arah bulu hitam yang berterbangan ke arah Shafie. Hembus pertama tidak memberi kesan. Hembus kali kedua mendatangkan hasil.

Bulu hitam itu berpusing-pusing dan berpatah balik ke arah pemiliknya. Pada saat itu juga terdengar letupan kecil di muka jendela. Lembaga manusia itu terus ghaib.

Kawasan sekitar dipenuhi kepulan asap yang berwarna kemerah-merahan untuk beberapa saat sebelum hilang.

NORMAL

Bila kembali normal, semuanya menarik nafas lega. Tetapi, keadaan Shafie tak berubah, masih terkadang pengsan.

"Nasib baik, kamu tak hilang akal dan cepat bertindak," Jamaludin renung muka datuk.

Tangan kanannya menepuk bahu datuk sebagai tanda tahniah dan terima kasih.

"Sekarang siapa nak mulakan kerja memulihkan Shafie," sambil menarik nafas, Jamaludin mengajukan pertanyaan.

"Iya, pada siapa," sampuk Pak Habib.

"Pada hemat saya, orang dari tanah semenanjung," Jamaludin luahkan pendapat.

Sepasang matanya tidak berkedip merenung wajah datuk. Tiada tindak balas positif dari datuk.

Dia kelihatan bersahaja. Cadangan dari Jamaludin dianggap sepi. Keadaan yang berlaku mendorong Pak Habib mengajukan pertanyaan secara terus terang pada datuk.

"Bagaimana sahabat dari semenanjung," Seperti tadi datuk tidak memberi sebarang reaksi.

"Jangan begitu sahabat, membisu semacam. Kalau boleh katakan boleh. Kalau tak boleh, katakan tak boleh," Pak Habib terus mendesak.

"Maaf," tutur datuk lembut.

"Berlawan dalam bilik tadi, penatnya belum hilang lagi. Saya rasa orang yang sesuai, orang dari Tanah Betawi, barangkali dia lebih arif dari saya. Lagipun negeri ini, negeri dia," datuk menolak dengan penuh diplomasi.

Jamaludin tersenyum sambil memperkemaskan silanya, macam sila seorang hulubalang di zaman silam.

"Ilmu batin saya tak sebanyak mana, ilmu agama pun pula tak setampuk pinang. Jadi biarlah awak yang menyelesaikannya," Ibu jari Jamaludin menunjuk ke arah datuk.

"Baiklah," Pak Habib toleh ke arah datuk dan Jamaludin, kemudian dia bergerak ke depan.

Belum pun sempat saya menggaru rasa gatal di kening, Pak Habib sudah menangkap pergelangan kaki kiri Shafie.

PICIT

Dengan penuh tenaga Pak Habib memicit urat-urat di kaki Shafie. Ditumbuk berkali-kali. Dari kaki kiri, jari-jemarinya bergerak dan merayap ke seluruh tubuh Shafie.

Bila bertemu dengan urat-urat yang dicari terus ditekan dan disentap.

Setiap kali urat disentap, ditarik, tubuh Shafie bergerak, macam ayam baru lepas disembelih menemui ajal.

"Urut seluruh badan," tanya datuk berbisik.

Pak Habib anggukkan kepala.

"Dah habis urat 44 disentuh," datang lagi pertanyaan dari datuk.

"Belum," pendek jawab Pak Habib.

"Perlukan bantuan, cakap saja."

"Biar saya selesaikan sendiri," suara Pak Habib penuh yakin.

Datuk pun tidak lagi mengajukan sebarang pertanyaan. Cuma melihat saja apa yang Pak Habib lakukan pada tubuh Shafie.

Kerana tidak ada gangguan, Pak Habib dapat melakukan kerja dengan penuh perhatian dan khusyuk. Sepasang kelopak matanya kelihatan separuh rapat. Gerak jarinya terus lancar.

"Allah, Allah, Allah."

Tiga kali Shafie menyebut nama Allah. Tiga kali juga Pak Habib menjentik dan menarik ibu jari kaki kirinya.

Setelah itu, Pak Habib mendekatkan mulutnya ke telinga kanan Shafie sambil melaungkan azan.

Sebaik saja azan diberhentikan, semua yang berada di dalam rumah terhoyong-hayang mengikut gerak rumah.

"Apa dah jadi."

Itulah ucapan serentak dari bibir penghuni rumah. Agak lama juga rumah bergegar.

Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu. Berkali-kali Jamaludin cuba bangun. Berkali-kali dia jatuh tergolek. Dia tidak putus asa, terus cuba bangun. Akhirnya dia dapat bangun setelah berpaut pada tiang seri.

AZAN

Tanpa membuang masa, Jamaludin terus melaungkan azan dengan lantang dan jelas. Rumah yang bergoyang terus berhenti.

Belum pun laungan azan habis, kelihatan sebelah kaki besar yang berbulu (yang saya lihat semasa dalam bilik misteri) bergerak menuju ke arah tingkap di mana lembaga mempamirkan belakangnya sebentar tadi.

Kaki besar berbulu melangkahi bendul tingkap dan terus hilang. Suara angin ribut dan pekikan orang minta tolong terus ghaib entah ke mana. Keadaan terasa agak sunyi.

Semuanya terpegun dalam suasana yang menyeramkan. Suasana seram dan sepi itu akhirnya dipecahkan oleh bunyi salakan anjing liar sayup di pinggir kampung.

"Bertenang tak ada apa yang mesti kita takutkan," Jamaludin bersuara.

Ayah dan ibu Shafie terus membisu. Sepasang mata mereka masih menyorot ke arah Shafie yang terkapar di lantai.

"Iya, tak ada apa yang mesti kita takutkan," Pak Habib mengulangi kata-kata yang baru dituturkan oleh Jamaludin sebentar tadi.

Saya lihat datuk anggukkan kepala. Setuju dengan Jamaludin dan Pak Habib.

"Dia sudah pergi, diharapkan tak akan datang lagi. Selepas ini kamu berdua kena kumpulkan 44 orang untuk baca surah Yassin selama seminggu di rumah ini," Pak Habib renung muka ayah dan ibu Shafie silih berganti.

"Boleh kamu buat?" Cara mengejut Jamaludin ajukan pertanyaan pada ayah Shafie.

"Boleh, kami boleh buat," Ibu Shafie memberikan jawapan.

Datuk dan Jamaludin menarik nafas lega. Seiring dengan itu, Shafie sedar dari pengsan yang panjang.

"Subhanallah," itu yang terucap dari mulutnya.

Shafie terus bangun dan sandarkan badan ke dinding. Semua muka yang berada di rumah ditatapnya satu-persatu. Tanpa silu-silu dia menghadiahkan senyum pada semua yang ada di situ.

DIRI

Tanpa diminta oleh sesiapa pun, Shafie memberitahu yang dirinya terasa amat letih sekali, setelah bertarung dengan sekumpulan manusia berkepala anjing di kawasan tanah yang berbatu keras.

Kumpulan itu mahu menjadikan dia anggota kumpulan tersebut, mahu menukarkan muka dan kepalanya menjadi kepala anjing seperti anggota itu.

Pak Habib dan orang-orang yang berada di ruang rumah tersenyum. Semua tahu, apa yang berlaku dan dialami oleh Shafie.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 275/284

BACA: SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 13, 2026

Iran Ancam Pengayaan Uranium Ke Tahap Senjata Nuklear Jika AS Menyerang Sekali Lagi!

Iran Ancam Pengayaan Uranium Ke Tahap Senjata Nuklear Jika AS Menyerang Sekali Lagi!

Ahli parlimen Iran, Ebrahim Rezaei, menyatakan bahawa Iran akan mempertimbangkan untuk memperkaya uranium sehingga tahap ketulenan 90% jika AS melancarkan serangan baharu.

Angka tersebut penting kerana satu sebab, ketulenan 90% dianggap sebagai uranium gred senjata. Dalam bahasa mudah, itu adalah tahap yang dikaitkan dengan pembinaan bom nuklear.

Iran Cipta Senjata Nuklear

Pada masa ini, loji kuasa nuklear biasanya menggunakan uranium yang diperkaya sekitar 3% hingga 5%.

Jadi, ini bukan sekadar peningkatan kecil dalam retorik. Ini adalah isyarat terbuka daripada Iran.

"Jika anda terus menyerang, kami mungkin beralih ke arah keupayaan senjata nuklear."

Dan sejujurnya, ini adalah senario ngeri yang telah diperingatkan oleh ramai pakar selama bertahun-tahun, kerana hujah asal untuk menyerang Iran adalah, "Hentikan Iran daripada memiliki senjata nuklear."

Namun, para pengkritik kini mengajukan soalan yang pedas. Bagaimana jika tekanan ketenteraan akhirnya mendorong Iran ke arah perkara yang sepatutnya dihalang oleh peperangan tersebut?

Itulah sebabnya detik ini sangat berbahaya bagi pihak berkepentingan yang mahu Iran musnah.

Selama berdekad-dekad, Iran secara rasmi mempertahankan bahawa, program nuklearnya adalah untuk tujuan tenaga awam dan penyelidikan.

Ahli politik Iran secara terbuka membincangkan pengayaan gred senjata di khalayak ramai dan di sinilah ketakutan kuasa barat.

Kerana sebaik sahaja sesebuah negara mencapai keupayaan pengayaan 90%, keseluruhan persamaan geopolitik akan berubah.

Israel melihatnya sebagai ancaman terhadap negara haram mereka di Palestin, manakala AS melihatnya sebagai "garis merah" yang tidak boleh diterima.

Negara-negara Teluk bimbang akan peningkatan nuklear serantau dan negara seperti Rusia serta China sedang memerhatikan situasi ini dengan sangat teliti.

BERAPA LAMA PROSES DARI 60% ke 90%?

Dari perspektif strategik, memiliki stok uranium 60% bermakna itu sudah melepasi titik kesukaran paling tinggi.

Proses ini bermula dengan Uranium Hexafluorida (UF6) yang sudah diperkaya 60%. Bahan ini berada dalam bentuk gas.

Untuk memahami skala, kira-kira 440kg uranium 60% sudah memadai untuk menghasilkan lebih 10 bom nuklear sekiranya diperkaya sepenuhnya ke tahap senjata.

Ini adalah sebab mengapa agensi pengawalseliaan antarabangsa (IAEA) menganggap keupayaan memperkaya melebihi 20% sebagai kebimbangan serius, apalagi 60%.

Pada peringkat 60%, secara teori Iran atau mana-mana entiti yang memiliki bahan tersebut hanya perlu "menapis" sedikit sahaja lagi baki yang tinggal untuk menjadikannya 90% atau lebih dikenali sebagai "weapons-grade uranium".

Anggaran menunjukkan bahawa dalam masa empat hingga lima minggu sahaja, stok 60% boleh dinaikkan ke 90% sekiranya negara tersebut mempunyai kehendak politik dan kompetensi kejuruteraan.

Apabila mencecah 90%, ia secara rasmi diklasifikasikan sebagai "Tahap Senjata" (Weapons Grade).

BERAPA BANYAK STOK UF6 DIMILIKI IRAN?

Menurut anggaran oleh International Atomic Energy Agency (IAEA), Iran memiliki 441 kg stok 60% (U-235) uranium diperkaya dalam bentuk Uranium Hexafluorida (UF6) setakat pertengahan 2025.

FAKTA PENTING: UJIAN BOM MUNGKIN TIDAK DIPERLUKAN

Bom uranium tidak perlu diuji sebelum digunakan.

Bom uranium adalah senjata nuklear yang menghasilkan tenaga pemusnah dahsyat melalui pembelahan nukleus isotop Uranium-235. Ia memerlukan uranium yang diperkaya hingga tahap 90%, untuk mencetuskan tindak balas berantai nuklear yang melepaskan tenaga haba dan radiasi yang sangat besar.

Sebagai perbandingan, pembuatan bom jenis "gun-type" uranium (seperti di Hiroshima) adalah sangat mudah sehingga tidak memerlukan ujian letupan nuklear terlebih dahulu. Ini berbeza dengan bom plutonium yang memerlukan ujian kompleks seperti ujian Trinity.

Maksudnya, sebuah negara yang sudah memiliki uranium 90%, dengan pengetahuan kejuruteraan yang mencukupi dan sistem peluru berpandu, secara teorinya boleh menghasilkan senjata nuklear yang berfungsi tanpa sebarang ujian.

BERAPA LAMA DARI 90% MENJADI SENJATA NUKLEAR?

Secara teknikal, apabila uranium telah diperkaya sehingga tahap 90%, proses untuk menukarkannya menjadi senjata nuklear sebenarnya tidak mengambil masa yang lama, kerana halangan utama ialah proses pengayaan itu sendiri.

Beberapa laporan perisikan menunjukkan bahawa negara yang mempunyai bahan uranium gred senjata 90%, berpotensi menghasilkan satu bom nuklear dalam tempoh masa yang sangat singkat, dianggarkan dalam masa 12 hari sahaja.

Namun, untuk menghasilkan senjata yang boleh dipasang pada peluru berpandu moden, proses boleh mengambil 1–2 tahun atau lebih.

Untuk membina hulu ledak nuklear yang boleh dipasang pada peluru berpandu balistik, pakar menganggarkan ia mungkin mengambil masa antara enam bulan hingga satu tahun, kerana Iran sudah memiliki sistem peluru berpandu balistik moden yang mampu membawa hulu ledak nuklear, yang merupakan komponen penting dalam doktrin pencegahan nuklear mereka.

SENJATA PERTAHANAN DIRI

Pada masa yang sama, dunia membangkitkan sesuatu yang tidak selesa.

Negara seperti Korea Utara membangunkan senjata nuklear dan akhirnya menjadi hampir mustahil untuk diceroboh secara langsung.

Sementara negara tanpa pencegahan nuklear seperti Iraq, Libya dan lain-lain telah diserang, diancam kestabilannya atau mengalami pertukaran kerajaan secara paksa walaupun diundi secara demokrasi.

Kini, ramai penganalisis bimbang Timur Tengah mungkin memasuki fasa yang paling berbahaya, tahap di mana diplomasi mula runtuh sepenuhnya dan logik pencegahan nuklear mula mengambil alih.

Jika ancaman ketenteraan dan sekatan ekonomi mendorong Iran lebih dekat kepada senjata nuklear dan bukan menjauhinya, adakah keseluruhan strategi perang Trump-Netanyahu, merupakan satu kesilapan perhitungan yang membawa bencana sejak dari awal?

Atau, adakah disebaliknya ada perancangan dan agenda jahat yang jauh lebih besar?

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing

SBDJ Siri 274: Di Bayangi Makhluk Asing

Dengan sedaya upaya, saya cuba mententeramkan perasaan. Usaha itu gagal, terasa semakin berkecamuk dalam hati. Memanglah boleh saya menjerit dan lari. Tetapi, untuk apa? Bukankah kehadiran datuk di sini untuk membantu.

SBDJ Siri 274 Di Bayangi Makhluk Asing

"Berikan ketenangan padaku Ya Allah," muncul sebuah doa dalam kalbu.

Perasaan kembali tenang dan tenteram. Tetapi, ada keganjilan di mata datuk. Sungguh mengejutkan sepasang biji mata hitamnya bertukar menjadi merah bara. Dari celah kelopak matanya keluar asap nipis yang lembut.

Pada saat yang sama tidak semena-mena, anak mata saya terasa panas semacam. Keadaan yang dialami mendorong saya berpaling ke arah lain. Tidak mahu menentang anak mata datuk yang berapi.

Tindakan itu mendatangkan keuntungan. Mata tidak terasa panas. Fikiran yang kosong segera diisikan dengan angan-angan yang tidak bertepi. Saya seperti terasa berada di taman yang indah.

Sayangnya, keindahan itu tidak lama dinikmati. Diganggu oleh suara yang keras dan kasar sekali.

"Renung muka dan mata aku," bentak datuk.

"Mata saya panas."

"Jangan banyak alasan, renung biji mata aku, biar terpancut biji mata kamu, jangan alihkan pandangan."

"Mata saya pedih dan berair."

"Jangan banyak alasan, ikut kata aku."

Saya tidak boleh melarikan diri dari arahan itu. Walau sepanas mana, saya harus bertahan.

Dalam saat bertahan itu, terlihat manusia tanpa wajah berdiri menghalang pandangan saya pada datuk.

Rasa panas tidak saya rasai lagi anak mata datuk yang merah tidak kelihatan tetapi, ada seketul bara kecil, (tidak tahu dari mana datang) terbang menuju ke arah kaki besar lalu melekat disitu.

Barangkali bara api itu biji mata datuk, fikir saya.

Dalam masa mencari jawapan itu terlihat manusia tanpa wajah berkaki besar membongkokkan badan ke arah datuk seolah-olah minta ampun, minta maaf, dengan pantas datuk tegakkan jari telunjuk dengan wajah bengis.

"Jangan kamu ganggu anak Adam, nyah kamu dari sini."

Selesai datuk berkata demikian, manusia tanpa wajah berkaki besar terus ghaib, hilang entah kemana.

Bagaikan diatur, Pak Habib dan Jamaluddin terus menerpa dan menolak daun pintu bilik.

"Usung keluar," kata datuk.

Pak Habib dan Jamaluddin menuju kearah Shafie yang terkapar lesu. Mereka usung Shafie keluar dari bilik misteri. Datuk segera mengekori dari belakang.

Sebelum mengikuti jejak Pak Habib dan datuk, saya renung setiap sudut bilik.

Tiada apa yang ganjil, semuanya kelihatan macam biasa, kecuali sekeping kulit buah delima kering yang pada hemat saya tidak membawa sebarang makna.

Bilik misteri segera saya tinggalkan.

Shafie yang tidak sedarkan diri diletakkan atas lantai diruang tengah rumah. Pak Habib yang sudah mengambil air wuduk duduk terpegun dihujung kaki Shafie. Wajahnya nampak serius sekali.

"Buka tingkap luas-luas."

Secara mengejut, Jamaluddin dari Betawi mengarahkan ayah Shafie. Permintaan itu segera dilaksanakan.

"Terlalu banyak iblis disini," tambah Jamaluddin.

Tiada sebarang komentar yang diluahkan oleh Pak Habib dan datuk terhadap rungutan Jamaluddin. Ayah Shafie kembali mengambil tempatnya disebelah kanan Pak Habib.

Terdengar sayup-sayup kokok ayam, bersama lolongan anjing liar berpadu dengan suara cengkerik yang iramanya tidak menentu.

ANGIN

Angin dinihari terus menerjah masuk melalui tingkap yang terdedah menyentuh setiap wajah yang ada disitu.

Ibu Shafie datang dari ruang sebelah kiri dan terus melabuhkan punggungnya yang kekurangan daging ditepi dinding tidak berapa jauh dari pintu masuk ke bilik misteri. Wajahnya nampak gusar sekali.

"Entah mengapa, tidak putus-putus anak saya dikacau dan diganggu gugat. Alangkah baiknya kalau nyawanya diambil oleh Allah.

"Ya Allah, kau ambillah nyawa anakku ini, tidak sanggup aku melihat hidupnya terseksa begini," ibu Shafie secara mendadak bersuara, penuh kekecewaan dan kekesalan yang amat sangat.

"Subhanallah," terdengar suara datuk dalam nada yang keras.

"Jangan menolak rahmat Allah, jangan putus asa, mudah kecewa," sambung datuk sambil duduk di kiri Jamaluddin.

Ayah Shafie terus membatu, tidak tahu apa yang difikirkannya.

"Beristighfar kamu, bertaubatlah kamu," Pak Habib tujukan kata-kata itu pada emak Shafie – wanita kampung yang berwajah selamba itu menarik nafas dalam-dalam, macam tadi juga dia tetap kesal dan kecewa.

Kali ini dia beristighfar tiga kali berturut-turut.

Tuuuuuppppp!

Sepasang daun tingkap yang terdedah tertutup sendiri. Beberapa detik berikutnya terbuka kembali.

Perkara yang tidak diduga itu berlarutan lebih dari lima kali. Saya dan Tajudin mula rasa cemas. Kami saling berpandangan.

Pak Habib dan datuk kelihatan tenang sekali. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Tetapi, Jamaluddin dari Betawi kelihatan lain macam, sedikit resah, bimbang tidak menentu. Wajahnya berkerut, urat-urat merah dikelopak mata jelas kelihatan.

Kalau tadi suasana tenang, kini beberapa orang daripada mereka yang ada disitu, termasuk saya bagaikan menghadapi satu tekanan hebat.

Diluar rumah terdengar bunyi deru angin yang kuat, bagaikan sedang berlaku ribut taufan yang menggila.

Terdengar bunyi pokok tumbang yang disertai dengan jeritan orang dewasa dan kanak-kanak.

Orang ramai dan binatang ternakan berlarian ke sana ke mari. Semuanya mahu menyelamatkan diri.

"Dengar tu, jiran-jiran saya dalam kemalangan, kita yang ada disini mesti membantunya," lantang sekali suara ayah Shafie dan terus berdiri sambil bercekak pinggang.

Beberapa saat berikutnya, dia duduk semula. Orang-orang disekelilingnya tidak memberikan tindak balas yang sewajarnya.

Sambil duduk ayah Shafie mengulangi kata-kata yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut. Semua yang ada disitu buat tidak kisah. Dia kecewa.

Suara-suara jiran yang dikenalinya terus menjerit-jerit minta tolong. Didorong rasa simpati dan tanggungjawab berjiran ayah Shafie berdiri buat kali yang kedua.

"Awak semua orang luar, tidak tahu macam mana susahnya jiran-jiran saya menderita. Kalau kamu semua tidak mahu menolongnya. Biar aku yang uruskan," selesai meluahkan suara hatinya, ayah Shafie terus melangkah.

Datuk dan Pak Habib dirempuhnya. Dia menuju ke pintu yang diselak.

SEMPAT

Sebelum sempat ayah Shafie mengangkat selak pintu, Jamaluddin segera menerkam ke arah ayah Shafie dan menarik tangannya supaya duduk kembali. Tangan Jamaluddin ditepis oleh ayah Shafie.

"Siapa kamu yang melarang niat hati aku untuk menolong jiran-jiran yang susah. Apa kamu terfikir, tak gunakan otak. Orang yang kena ribut tu adalah saudara aku dan saudara kamu," ayah Shafie jegilkan biji mata pada Jamaluddin.

"Sabar, kamu tak tahu apa-apa. Iblis sedang memperdayakan kita.

"Bila kita semua keluar dari rumah ini, anak kamu akan lari masuk ke dalam hutan, mungkin tak akan balik lagi, terus jadi tawanan makhluk jahat, ghaib terus.

"Suara orang menjerit yang kita dengar, bukan suara jiran kamu, begitu juga dengan bunyi hujan ribut, bukannya betul. Semuanya tipu helah," lembut Jamaluddin memberikan penjelasan.

"Mustahil," ayah Shafie berkeras.

"Betul, duduklah," Jamaluddin terus memujuk.

Ayah Shafie terus duduk.

"Mustahil."

"Percayalah cakap aku ni, ilmu jahat dan dunia sudah aku lalui, sudah aku pelajari dari manusia dan alam jin.

"Ada ilmu dari alam jin yang baik. Pada hemat aku anak kamu ni ditawan jin jahat dengan ilmu Sapu Sejagat," terang Jamaluddin.

"Tak percaya," ayah Shafie gelengkan kepala.

Dia bangun dan kali ni bergerak menuju ke tingkap yang tertutup rapat. Daun tingkap dibuka. Dia masih mahu berusaha menolong orang diluar rumah dengan cara terjun ke tanah menerusi tingkap.

Pak Habib dan datuk hanya menarik nafas dalam-dalam melihat perangai ayah Shafie. Dia seperti kemasukan roh jahat. Semua alasan dan pujuk rayu Jamaluddin ditolaknya mentah-mentah.

"Jangan terjun," pekik Jamaluddin sambil berlari ke arah ayah Shafie yang sudah melangkah tingkap untuk terjun.

Dengan sekali rentap, ayah Shafie jatuh tergolek dilantai. Dengan pantas pula dia bangun lalu bergelut dengan Jamaluddin. Masing-masing mahu menewaskan antara satu sama lain.

Suasana dalam rumah jadi gamat. Ibu Shafie menangis. Saya dan Tajudin tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Datuk segera memberitahu Pak Habib, perkara yang terjadi didepan mata harus dileraikan.

Jika tercetus pergaduhan yang lebih dari itu, iblis akan bertepuk tangan melihat dua anak Adam bergaduh sama sendiri.

"Din, gunakan kebolehan kamu, jangan sampai cedera sudahlah."

Pak Habib mengenali Jamaluddin sejak zaman pemberontakan, memberikan arahan.

Tanpa disangka-sangka ayah Shafie memberhentikan perlawanan. Dia mengalah pada Jamaluddin, semua yang berada di rumah menarik nafas lega.

KEJUTAN

Dalam kelegaan yang masih berbunga itu, ayah Shafie membuat kejutan lagi, dia beralih angin, mengalah pada Jamaluddin memusuhi datuk.

Dia melompat dan membuka silat ke arah datuk. Anaknya yang tergolek didepan mata tidak dipedulikan. Ditangannya terhunus keris lama berluk tujuh.

Tiada siapa yang tahu bagaimana keris berkarat itu boleh berada ditangannya. Keris itu diacukannya berkali-kali kearah datuk.

Sekali sekala dihalakan pada Pak Habib. Kalau tidak dielakkan pasti terburai isi perut atau tercabut biji mata.

Pak Habib memberitahu bahawa keris ditangan ayah Shafie dihulurkan oleh seseorang ketika dia berdiri ditepi tingkap tadi.

Kerana gagal mencederakan datuk dan Pak Habib, ayah Shafie mengalihkan serangan kepada Jamaluddin kembali.

"Hisssssss."

Satu serangan kilat dari ayah Shafie, Jamaluddin mengelak. Serangan datang lagi, bertalu-talu.

Jamaluddin yang pandai menggunakan senjata api semasa pemberontakan ternyata memang seorang jaguh silat. Hujung keris berluk tujuh tidak menyentuh kulit tubuhnya.

"Opppppp..."

Jamaluddin berjaya menangkap pergelangan tangan ayah Shafie. Terus dikilas kebelakang lalu dihentakkan atas tempurung kepala lututnya.

Ayah Shafie menjerit kesakitan, ulu keris dalam genggamannya jatuh atas lantai terus ghaib.

Ayah Shafie juga turut tergolek tetapi, berjaya duduk dengan segera.

Tummmmm...

Datuk segera menumbuk lantai.

"Duduk diam disitu jangan rosakkan rancangan kami," sambung datuk.

Ayah Shafie termanggu-manggu, macam orang baru bangun tidur.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 274/284

BACA: SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Saturday, May 09, 2026

Siapakah Amalek Dalam Tradisi Yahudi?

Siapakah Amalek Dalam Tradisi Yahudi?

Nama Amalek sering muncul dalam kitab-kitab agama Yahudi dan menjadi antara musuh paling terkenal dalam sejarah bangsa Israel. Dalam tradisi Yahudi, Amalek bukan sekadar satu kaum biasa, tetapi dianggap simbol kejahatan, pengkhianatan dan ancaman terhadap kewujudan bangsa Israel sejak zaman purba lagi.

Amalek dalam tradisi Yahudi

Kisah Amalek disebut dalam kitab Taurat, Talmud dan pelbagai tulisan rabbinik. Sehingga hari ini, nama Amalek masih digunakan dalam ucapan politik, perdebatan agama dan naratif peperangan moden oleh sesetengah kelompok Yahudi.

Oleh sebab itu, topik ini sering menjadi bahan perbincangan hangat di seluruh dunia.

Namun, siapakah sebenarnya Amalek? Dari mana asal-usul mereka? Mengapa kaum ini begitu dibenci dalam sejarah Yahudi? Dan bagaimana nama Amalek masih mempengaruhi pemikiran moden sehingga hari ini?

Kali ini kita akan membincangkan sejarah Amalek berdasarkan sumber sejarah, tradisi Yahudi dan pandangan akademik moden.

Siapakah Amalek?

Dalam tradisi Yahudi dan kitab Taurat, Amalek merujuk kepada keturunan Amalek bin Elifas, cucu kepada Esau, saudara kepada Nabi Yaakub atau Israel.

Menurut kitab agama Yahudi, Amalek merupakan salah satu suku nomad yang tinggal di kawasan padang pasir Semenanjung Sinai dan wilayah selatan Kanaan pada zaman purba.

Kaum Amalek terkenal sebagai pejuang gurun yang sering menyerang kafilah dan kawasan penempatan Israel.

Dalam tradisi Yahudi, mereka dianggap musuh pertama yang menyerang bangsa Israel selepas keluar dari Mesir.

Serangan Amalek Terhadap Bani Israel

Peristiwa paling terkenal melibatkan Amalek berlaku selepas bangsa Israel keluar dari Mesir di bawah pimpinan Nabi Musa.

Menurut kitab Exodus atau Keluaran, kaum Amalek menyerang orang Israel ketika mereka berada di Rephidim.

Apa yang membuatkan serangan ini dianggap sangat kejam ialah mereka menyerang golongan yang lemah, tua dan ketinggalan di belakang.

Kisah ini menjadi titik permulaan permusuhan besar antara Israel dan Amalek.

Dalam tradisi Yahudi, tindakan Amalek dianggap lambang kebencian mutlak terhadap bangsa Israel.

Disebabkan itu, muncul ayat terkenal dalam Taurat yang menyatakan bahawa bangsa Israel perlu "menghapuskan ingatan terhadap Amalek."

Mengapa Amalek Sangat Dibenci?

Terdapat beberapa sebab utama mengapa Amalek dianggap musuh paling dibenci dalam sejarah Yahudi.

1. Amalek Menyerang Ketika Israel Lemah

Dalam naratif Taurat, bangsa Israel baru sahaja keluar dari perhambaan Mesir dan berada dalam keadaan lemah serta tidak stabil.

Serangan Amalek dilihat sebagai tindakan pengecut kerana menyasarkan golongan lemah dan tidak bersedia.

Dalam budaya Yahudi, tindakan menyerang orang yang tidak mampu mempertahankan diri dianggap dosa besar.

2. Amalek Menjadi Simbol Kejahatan

Dalam banyak tafsiran rabbinik, Amalek bukan lagi sekadar kaum tertentu.

Sebaliknya, mereka menjadi simbol kebencian terhadap Yahudi, kekejaman, anti-Semitisme, ancaman terhadap kewujudan Israel dan musuh agama.

Disebabkan itu, nama Amalek sering digunakan secara simbolik dalam sejarah Yahudi.

3. Perintah Memerangi Amalek

Dalam kitab Taurat terdapat perintah yang sering diperdebatkan, bahawa bangsa Israel perlu memerangi Amalek dan menghapuskan mereka.

Ayat ini menjadi antara teks paling kontroversi dalam tradisi Yahudi kerana melibatkan peperangan total terhadap satu kaum.

Ramai sarjana moden menegaskan bahawa konteks ayat tersebut berlaku dalam suasana peperangan purba dan tidak boleh digunakan untuk menghalalkan keganasan moden.

Raja Saul dan Perang Menentang Amalek

Salah satu kisah paling terkenal mengenai Amalek melibatkan Raja Saul, raja pertama Israel.

Menurut kitab Samuel, Tuhan memerintahkan Saul untuk menyerang Amalek dan memusnahkan mereka sepenuhnya.

Namun, Saul dikatakan gagal mematuhi arahan itu sepenuhnya kerana membiarkan Raja Agag hidup.

Disebabkan itu, Saul dikatakan kehilangan restu Tuhan menurut naratif kitab tersebut.

Kisah ini menjadi sangat penting dalam tradisi Yahudi kerana ia menunjukkan bahawa Amalek dianggap ancaman yang perlu dihapuskan sepenuhnya pada zaman tersebut.

Haman dan Hubungan Dengan Amalek

Dalam kisah Purim yang terkenal dalam tradisi Yahudi, musuh utama orang Yahudi ialah Haman.

Menurut tradisi rabbinik, Haman dianggap keturunan Agag, raja Amalek.

Disebabkan itu, Haman juga dikaitkan dengan semangat Amalek.

Perayaan Purim yang disambut masyarakat Yahudi setiap tahun turut mengandungi unsur kemenangan terhadap "Amalek moden".

Dalam banyak rumah ibadat Yahudi, nama Haman akan dihina ketika kitab Esther dibacakan.

Amalek Dalam Talmud dan Tradisi Rabbinik

Dalam Talmud dan tulisan rabbi, Amalek berkembang menjadi simbol spiritual.

Ada rabbi yang mentafsir Amalek sebagai simbol keraguan terhadap Tuhan, simbol kebencian mutlak, lambang kejahatan dunia dan musuh rohani manusia.

Disebabkan itu, istilah Amalek kadangkala digunakan secara metafora dan bukannya merujuk kepada kaum sebenar.

Adakah Amalek Masih Wujud?

Ini merupakan persoalan besar yang sering dibincangkan.

Menurut ramai sarjana Yahudi moden, identiti sebenar kaum Amalek telah lama hilang dalam sejarah.

Selepas kejatuhan kerajaan purba dan penghijrahan besar-besaran di Timur Tengah, hampir mustahil untuk mengenal pasti keturunan Amalek secara literal.

Namun dalam tradisi simbolik, nama Amalek masih digunakan.

Ada pemimpin agama dan politik yang pernah melabel musuh tertentu sebagai "Amalek moden".

Ini termasuk Nazi Jerman, Hitler, anti-Semitik ekstrem, pengganas tertentu dan musuh Israel.

Tetapi penggunaan istilah ini juga mencetuskan kontroversi besar.

Palestin dan Naratif Amalek

Dalam konflik moden Palestin-Israel, terdapat pemimpin politik serta tokoh agama Israel yang menggunakan istilah Amalek bagi menggambarkan musuh mereka.

Bagi kelompok Zionis ekstrem, Palestin dianggap penghalang utama kepada projek negara Yahudi yang mahu menguasai seluruh wilayah yang mereka dakwa sebagai tanah warisan nenek moyang mereka.

Oleh sebab itu, sebahagian kelompok ekstremis melihat penentangan rakyat Palestin, perjuangan pembebasan tanah dan tentangan terhadap penempatan haram Israel, sebagai bentuk "ancaman Amalek moden".

Melalui naratif ini, mereka cuba membentuk persepsi bahawa perjuangan Israel bukan sekadar isu geopolitik, tetapi misi suci yang diperintahkan Tuhan.

Mengapa Naratif Amalek Digunakan?

Terdapat beberapa sebab utama mengapa naratif Amalek terus digunakan dalam politik Israel moden.

1. Menyatukan Bangsa Yahudi

Konsep musuh bersama sering digunakan untuk menyatukan masyarakat. Dengan menggambarkan Palestin atau penentang Zionisme sebagai "Amalek", pemimpin tertentu dapat membina semangat nasionalisme dan ketakutan kolektif.

Apabila rakyat percaya mereka sedang menghadapi ancaman besar terhadap kewujudan bangsa mereka, mereka lebih mudah bersatu dan menyokong tindakan kerajaan.

2. Memberi Justifikasi Moral dan Agama

Naratif agama mempunyai pengaruh yang sangat kuat. Dengan mengaitkan konflik Palestin dengan kisah Amalek, tindakan ketenteraan dan penjajahan boleh digambarkan sebagai "perjuangan suci".

Ini menjadikan konflik lebih sukar diselesaikan kerana ia bukan lagi sekadar isu diplomatik, tetapi dianggap perintah agama.

3. Mengukuhkan Projek Zionisme

Zionisme moden bertujuan membina dan mempertahankan negara Yahudi di Palestin. Untuk memastikan projek ini terus bertahan, elemen ancaman luar sering digunakan sebagai alat politik.

Konsep Amalek membantu membina mentaliti bahawa Israel sentiasa dikepung musuh dan perlu mempertahankan diri pada setiap masa.

Kesan Naratif Ini Terhadap Rakyat Palestin

Apabila sesuatu bangsa dilabel sebagai "Amalek" atau ancaman mutlak, ia boleh menyebabkan proses dehumanization berlaku.

Dehumanization ialah keadaan apabila sesuatu kelompok tidak lagi dilihat sebagai manusia yang mempunyai hak dan maruah setara.

Akibatnya kekerasan menjadi lebih mudah diterima, pengeboman dianggap wajar, sekatan ekonomi dibenarkan dan penderitaan awam dianggap "harga peperangan".

Inilah antara kebimbangan utama banyak aktivis hak asasi manusia terhadap penggunaan istilah Amalek dalam konflik Palestin-Israel.

Kritik Terhadap Penggunaan Istilah Amalek

Ramai sarjana Yahudi sendiri mengkritik penggunaan istilah Amalek dalam politik moden.

Mereka berhujah bahawa kisah Amalek bersifat sejarah dan simbolik, ia tidak sepatutnya digunakan untuk membenci bangsa lain dan agama tidak boleh dijadikan alat membenarkan penindasan.

Sebahagian tokoh Yahudi progresif percaya penggunaan istilah Amalek terhadap Palestin hanya akan menggalakkan ekstremisme, memburukkan konflik dan menghalang keamanan.

Malah ada yang menegaskan bahawa ajaran agama sepatutnya digunakan untuk membawa keadilan dan keamanan, bukannya kebencian.

Konflik Palestin-Israel: Politik atau Agama?

Walaupun konflik Palestin-Israel sering dilihat sebagai isu agama, realitinya ia turut melibatkan penjajahan tanah, geopolitik, sumber ekonomi, keselamatan dan kuasa politik.

Namun apabila unsur agama seperti Amalek dimasukkan ke dalam konflik, ia menjadikan keadaan lebih rumit.

Konflik politik boleh dirunding, tetapi konflik yang dianggap "perintah Tuhan" jauh lebih sukar diselesaikan.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Friday, May 08, 2026

SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput

SBDJ Siri 273: Usung Keranda Reput

Berada dalam suasana gelap ditempat yang baru memang melemaskan. Langkah selanjutnya ialah menunggu risiko yang akan terjadi dengan seketul keazaman untuk melawan. Suara orang merintih, iramanya mula bertukar, sekejap tinggi sekejap merendah.

SBDJ Siri 273 Usung Keranda Reput

"Allah yang Maha Besar, lindungilah hambamu ini," berbunga doa dari kalbu yang ketakutan.

Dan suara orang merintih lenyap, bertukar dengan bunyi ombak dan angin. Terdengar dedahan patah dan pokok rebah ke bumi dilanggar angin kencang. Diri seolah-olah berada dipinggir pantai.

Dalam gelap pekat itu sekumpulan kelip-kelip muncul. Berlegar-legar didepan muka memberikan sekelumit cahaya, tetapi masih belum dapat memastikan apakah saya masih berada alam bilik atau ditempat lain. Kumpulan kelip-kelip hilang secara mengejut.

"Ahhh..." hati mengeluh kecil.

Dan dengan pasrah menanti kejadian selanjutnya.

Apa yang dinantikan apa yang dibimbangkan menjadi kenyataan yang sunguh mendebarkan. Tidak pernah terfikir perkara begitu harus saya hadapi.

Bagaikan putaran filem di layar tv, saya melihat sekumpulan orang sedang mengusung keranda yang ditutup dengan permaidani, orang yang mengusung bersamping dan bertanjak.

Kira-kira sepuluh orang mengiring pengusung keranda, lima sebelah kanan, lima sebelah kiri. Orang sebelah kanan memukul kompang manakala yang disebelah kiri meniup seruling dengan irama yang sungguh menyedihkan.

Saya menyaksikan kejadian dalam tempoh kurang lima minit.

Saya kembali berada dalam dunia gelap gelita. Aneh, beberapa saat berikutnya, kegelapan bertukar menjadi terang.

Terbentang didepan mata sebidang tanah perkuburan dengan nisan-nisan tua dari batu gunung dan batang kayu. Nisan dari kayu banyak yang sudah reput. Manakala dari batu gunung nampak hitam dibalut lumut.

Seimbas pandang macam kepala manusia muncul dari perut bumi.

Saat asyik melihat batu-batu nisan, cahaya terang segera bertukar menjadi gelap gelita kembali. Kemudian bertukar terang semula, silih berganti.

Perkara itu berlaku selama tujuh kali. Masuk kali kelapan, terus terang macam siang.

Lagi sekali saya berdepan dengan keadaan yang sungguh menyeramkan. Batu-batu nisan bergerak sendiri, tanah kubur merekah, rangka-rangka manusian bermunculan.

Semuanya, bergerak serentak menuju kearah saya. Mereka cuba menangkap saya untuk diheret ke sebuah lubang yang penuh dengan mayat berdarah.

"Tamar."

Suara ghaib yang hilang menjelma lagi, dari sudut mana suara itu datang tidak dapat dipastikan.

Suara itu minta saya mendengar dan mengikuti pembacaan beberapa potongan ayat al-Quran yang bakal dilafazkannya. Permintaannya segera saya patuhi.

"Baca sendiri," katanya.

Saya segera membaca dengan hati-hati dan teliti.

"Bagus," katanya.

"Terima kasih," saya membalas.

"Mereka roh jahat, cuba mempengaruhi roh kamu supaya bersatu dengan roh mereka. Jika kamu lemah, kamu hancur, boleh jadi gila," sambung suara itu, kemudian terus menghilang.

Saya terus mengulangi ayat-ayat Quran tersebut sebanyak mungkin yang boleh.

"Dummmmmmmm..."

Tanah kubur yang merekah terus meletup, batu-batu nisan berterbangan. Rangka-rangka manusia yang menuju kearah saya melambung di udara. Suasana terang bertukar gelap.

Tulang-temulang yang bertaburan nampak bercahaya, macam kelip-kelip terbang malam.

"Dummmmmmm..."

Satu dentuman kuat berlaku di sisi. Terasa paha kiri saya dipijak dan ditekan oleh sesuatu yang berat. Rasa sakit yang dialami tidak terkata. Tulang paha bagaikan hancur luluh.

"Aduuuuhhhhhh..."

Saya menjerit, serentak saya membuka mata, tafakur yang dilakukan untuk melawan roh jahat secara kebatinan sudah berakhir. Rupa-rupanya yang menekan dan memijak paha kiri saya ialah kaki besar berbulu.

Dengan sisa kekuatan yang ada saya lepaskan penumbuk kearahnya. Tidak mendatangkan sebarang kesan malah tangan saya merasa sakit.

Dengan sepasang tangan kaki besar berbulu saya tolak. Tidak bergerak langsung. Sakit saja yang saya perolehi.

"Sial," tutur saya garang.

Muka segera saya angkat mendongak wajah si kaki besar. Sesuatu yang sungguh menyeramkan saya lihat. Si kaki besar tak berwajah.

Hanya sepasang mata sebesar telur ayam tersembul di dahi. Tiada berhidung tak bermulut mempunyai telinga macam telinga gajah.

DARAH

Dari telinga kanannya mengalir keluar lendir nanah. Baunya busuk menusuk hidung. Telinga kirinya memuntahkan darah merah segar.

Suara dengusan manusia tanpa wajah, kaki berbulu bertali arus. Sekejap lembut sekejap keras dan nafasnya terasa menyentuh rambut. Kaki besar yang berbulu digerakkan perlahan-lahan.

Dalam suasana yang serba tidak tenteram itu, saya cuba mencari lagi sebelah pasangan kaki besar berbulu. Usaha itu gagal, tidak kelihatan langsung.

Manusia tanpa wajah merangkap kaki besar berbulu terus mendengus. Dia menguak macam kerbau jantan. Rupa-rupanya manusia tanpa wajah bagaikan tahu keinginan saya untuk melihat sebelah lagi kakinya.

"Ahhhhhuuuuuhhhhh..."

Suara manusia tanpa wajah membuat saya terkejut. Serentak dengan itu terdengar bunyi benda lembut bergesel dengan sesuatu yang keras.

Dengan pantas saya menoleh kearah bunyi tersebut. Tidak ada apa-apa pun, semuanya nampak macam biasa.

"Kruuuppp kraaaaappppp..."

Datang lagi bunyi ganjil memukul gegendang telinga saya. Dalam keresahan itu perlahan-lahan saya alihkan pandangan kearah bunyi benda ganjil itu. Satu pandangan mendebarkan terpampang didepan saya.

"Subhanallah."

Itu yang terkeluar dari kelopak bibir. Peluh dingin terasa muncul didahi, badan sedikit mengeletar. Tetapi, saya beranikan diri untuk melihat keganjilan yang saya anggap luar biasa.

Manusia tanpa wajah mempamerkan sebelah kakinya yang selama ini disembunyikan. Kaki yang disembunyikan itu rupa-rupanya cacat.

Kudung separas pangkal paha macam disambar buaya ganas. Daging segar bercampur darah bergantungan dibahagian yang terputus (kudung).

Daging yang mengelilingi tulang pangkal paha, bergerak-gerak macam ombak kecil. Bila diperhatikan dengan teliti, ternyata yang nampak itu adalah sekumpulan ulat putih sebesar biji beras berebut-rebut menggigit daging.

Berbelas-belas ulat putih yang tewas bertarung merebut menikmati daging paha segera jatuh dilantai dan terus ghaib entah ke mana.

Misteri kehilangan ulat sama dengan misteri kedatangan lalat besar yang berlegar disekeliling daging paha sambil mengeluarkan dengung yang kuat. Akhirnya bergabung dengan ulat putih menggigit daging.

"Hee, kotor," hati saya berkata.

"Ciss..."

Satu tumbukan yang padu dan kuat singgah dibahu. Sakitnya bukan kepalang. Kaki kudung bergerak menyebabkan ulat-ulat putih berjatuhan dan lalat berterbangan.

Bau busuk menyumbat lubang hidung seketika. Kaki kudung hilang sekelip mata, begitu juga dengan bau busuk yang hapak.

Dalam rasa sengal dan sakit, saya cuba gerakkan sendi bahu yang kena tumbuk. Sekali gerak sakitnya tak terkata. Rasanya tulang-tulang sendi sudah berkecai.

Apa yang boleh dilakukan ialah mengerang menahan sakit. Si kaki besar tapa wajah terus mendengus sambil melangkah kearah bahu saya yang ditumbuknya.

UNDUR SETAPAK

Setelah maju setapak kedepan (hampir dengan bahu saya) si kaki besar undur setapak kebelakang. Perbuatan yang sama dilakukan sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Dari perbuatannya itu, dapat diduga saya tidak kemana-mana. Saya masih berada dalam bilik. Buktinya, setiap kali si kaki besar melangkah papan lantai yang dipijak berderup-derap.

Sungguh pelik, si kaki besar boleh menguasai fikiran saya hingga terasa berada disuatu dunia yang sungguh terasing.

Bila saya panggungkan kepala untuk melihat bagaimana dia mengangkat kaki untuk melangkah kedepan dan kebelakang.

"Kaki besar, buruk dan berbulu macam mana pijak lantai papan tak patah, syaitan agaknya," belum pun suara hati saya berakhir, satu tendangan singgah dikepala.

Otak terasa bergegar, kulit bagaikan terkoyak. Telinga berdesing panjang yang diakhiri dengan bunyi guruh dan petir. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

"Tamar."

Sayup-sayup terdengar nama dipanggil. Tidak tahu siapa yang memanggilnya.

"Tamar," datang lagi suara itu.

Saya tidak boleh menjawab, suara tersekat dikerongkong.

"Tamar," kali ketiga nama diseru.

Perlahan-lahan jari jemari yang keras saya gerakkan, begitu juga dengan sepasang kaki. Terbukti anggota tersebut masih berfungsi.

Kelopak mata saya cuba pejam celikkan, semuanya masih dalam keadaan baik.

Terasa badan digoncang berkali-kali oleh seseorang. Kelopak mata saya koyakkan lebar-lebar.

Datuk duduk bertinggung di depan, anak matanya memanah kearah anak mata saya, pandangan cucu dan datuk bersambung. Sesuatu yang luar biasa terasa bergolak diulu hati.

"Renung tepat kearah anak mata aku, jangan gerakkan anak mata kamu kemana-mana," lembut datuk bersuara. Saya patuh dengan arahannya.

Saat mata bertentangan, perasaan saya jadi tidak tentu arah. Macam-macam perasaan yang muncul, ada rasa marah, benci dan geram.

Kemuncak dari semuanya, membuat saya mahu segera keluar dari suasana itu dengan menjerit atau lari dari situ.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 273/284

BACA: SBDJ Siri 272: Tendangan Maut
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

Wednesday, May 06, 2026

Fenomena Dedolarisasi Global dan Kebangkitan Yuan China

Fenomena Dedolarisasi Global dan Kebangkitan Yuan China

Dalam dunia ekonomi moden, mata wang bukan sekadar alat pertukaran untuk membeli barang atau membayar perkhidmatan. Ia juga melambangkan kuasa geopolitik, pengaruh ekonomi dan dominasi sesebuah negara di pentas antarabangsa.

Fenomena Dedolarisasi Global dan Kebangkitan Yuan China

Selama lebih 70 tahun, dolar Amerika Syarikat menjadi "raja" dalam sistem kewangan global. Hampir semua perdagangan antarabangsa, khususnya minyak dan komoditi utama dunia, dilakukan menggunakan dolar AS.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia mula menyaksikan perubahan besar. Semakin banyak negara mula mencari alternatif kepada dolar dan memilih untuk menggunakan yuan China dalam perdagangan antarabangsa.

Fenomena ini dikenali sebagai "dedolarisasi", satu proses di mana negara-negara mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS.

Kenapa perkara ini berlaku? Adakah dominasi dolar semakin lemah? Mengapa yuan China semakin diterima? Dan apakah kesannya kepada ekonomi dunia?

Kali ini kita akan membincangkan secara mendalam mengapa negara-negara mula beralih daripada dolar kepada yuan serta bagaimana perubahan ini boleh membentuk masa depan ekonomi global.

Sejarah Dominasi dolar Amerika

Selepas Perang Dunia Kedua, dunia memerlukan sistem kewangan yang stabil. Pada tahun 1944, satu perjanjian besar dikenali sebagai Sistem Bretton Woods diwujudkan.

Melalui sistem ini, dolar Amerika dijadikan mata wang utama dunia kerana ia disandarkan kepada emas.

Ketika itu Amerika memiliki ekonomi terbesar dunia, simpanan emas terbesar dunia berada di AS, infrastruktur kewangan Amerika sangat kuat dan dunia percaya kepada kestabilan politik dan ekonomi AS.

Walaupun sistem Bretton Woods runtuh pada tahun 1971 apabila AS menghentikan penukaran dolar kepada emas, dominasi dolar tetap kekal.

Malah, perdagangan minyak global mula menggunakan dolar secara eksklusif melalui sistem "petrodollar".

Akibatnya, negara perlu menyimpan dolar dalam rizab mereka, perdagangan antarabangsa bergantung kepada sistem kewangan AS, bank-bank dunia menggunakan dolar sebagai mata wang utama dan Amerika memperoleh pengaruh ekonomi yang sangat besar.

Apa Itu Dedolarisasi?

Dedolarisasi merujuk kepada usaha negara-negara untuk mengurangkan penggunaan dolar AS, menggunakan mata wang tempatan dalam perdagangan, menyimpan lebih banyak emas atau mata wang alternatif serta mengelakkan sistem kewangan yang dikawal AS.

Fenomena ini semakin ketara selepas beberapa siri krisis global dan sekatan ekonomi yang melibatkan Amerika Syarikat.

Rizab Dolar Semakin Menurun

Walaupun dolar AS masih menguasai sebahagian besar perdagangan antarabangsa, transaksi minyak dan rizab bank pusat dunia, pegangan rizab dolar global menurun secara beransur-ansur dalam tempoh dua dekad terakhir.

IMF melaporkan bahawa bahagian dolar dalam rizab dunia telah jatuh daripada sekitar 71% pada 1999 kepada sekitar 59% setakat kini.

Mengambil contoh mata wang Pound Sterling yang kehilangan dominasi global kepada dolar, ia berlaku secara berperingkat antara awal abad ke-20 hingga selepas Perang Dunia Kedua.

Secara umum, proses itu mengambil masa kira-kira 30 hingga 50 tahun.

Sebelum 1914, Pound British ialah mata wang paling kuat dunia. London menjadi pusat kewangan global dan banyak perdagangan antarabangsa menggunakan pound.

Selepas Perang Dunia Pertama (1914–1918), Britain menanggung hutang besar, ekonomi AS semakin kuat dan Dolar mula naik sebagai mata wang perdagangan dan simpanan.

Tahun 1920-an hingga 1930-an, Dolar semakin digunakan bank pusat dunia, sistem emas Britain mula goyah dan krisis ekonomi global melemahkan pound.

Perang Dunia Kedua (1939–1945), Britain menjadi sangat terbeban dengan hutang perang, lalu muncullah AS sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia.

Tahun 1944, Perjanjian Bretton Woods menetapkan dolar sebagai pusat sistem kewangan dunia, Dolar disandarkan kepada emas dan banyak negara mula menyimpan rizab dalam dolar.

Menjelang 1950-an, Dolar secara rasmi menjadi mata wang dominan dunia. Pound masih penting tetapi tidak lagi nombor satu.

Jadi, kejatuhan dominasi pound bukan berlaku "semalaman". Ia berlaku perlahan-lahan akibat perang, hutang, perubahan kuasa ekonomi dan kebangkitan Amerika Syarikat.

Kenapa Negara Mula Meninggalkan Dolar?

1. Sekatan Ekonomi Amerika Menjadi "Senjata"

Salah satu sebab terbesar dedolarisasi berlaku ialah penggunaan dolar sebagai alat geopolitik.

Amerika mempunyai kuasa besar kerana, sistem SWIFT banyak dipengaruhi Barat, bank global menggunakan dolar dan transaksi antarabangsa melalui bank AS.

Apabila sesebuah negara dikenakan sekatan, mereka boleh disekat daripada sistem kewangan global, tidak boleh berdagang menggunakan dolar dan rizab luar negara mereka dibekukan.

Perkara ini berlaku kepada beberapa negara seperti Rusia, Iran, Venezuela dan Afghanistan.

Akibatnya, banyak negara mula sedar bahawa terlalu bergantung kepada dolar boleh menjadi risiko besar.

2. Konflik Rusia-Ukraine Mempercepatkan Dedolarisasi

Apabila perang Rusia-Ukraine meletus, Barat mengenakan sekatan besar terhadap Rusia.

Antaranya, rizab bank pusat Rusia dibekukan, banyak bank Rusia diputuskan daripada SWIFT dan perdagangan menggunakan dolar disekat.

Tindakan ini mengejutkan banyak negara.

Mereka mula bertanya, "Jika ia boleh berlaku kepada Rusia, pasti ia boleh berlaku kepada kami suatu hari nanti."

Akibatnya, banyak negara mula mencari alternatif kepada dolar.

3. China Menjadi Kuasa Ekonomi Besar Dunia

China kini merupakan pengeluar terbesar dunia, pengeksport terbesar dunia, rakan dagang utama bagi banyak negara dan ekonomi kedua terbesar dunia.

Apabila perdagangan dengan China meningkat, penggunaan Yuan juga mula berkembang.

China secara agresif menggalakkan perdagangan menggunakan yuan melalui perjanjian mata wang dua hala, sistem pembayaran alternatif, Bank Pembangunan BRICS dan Projek Belt and Road Initiative (BRI).

Kenapa Yuan Menjadi Pilihan?

1. China Adalah Rakan Dagang Utama Dunia

Banyak negara berdagang lebih banyak dengan China berbanding Amerika.

Contohnya negara ASEAN, Rusia, Arab Saudi, Brazil, Iran, Pakistan dan Afrika Selatan.

Apabila perdagangan dengan China meningkat, lebih mudah menggunakan yuan berbanding dolar.

2. China Menawarkan Alternatif Kepada Sistem Barat

China juga telah membangunkan CIPS (Cross-Border Interbank Payment System).

Sistem ini menjadi alternatif kepada SWIFT dan membolehkan transaksi antarabangsa menggunakan yuan. Ini memberi pilihan kepada negara yang mahu mengelak kawalan Barat.

3. Yuan Lebih Stabil Dalam Sesetengah Situasi

Sesetengah negara melihat yuan sebagai lebih stabil untuk perdagangan tertentu, kurang terdedah kepada sekatan Barat dan sesuai untuk transaksi tenaga dan komoditi.

Walaupun yuan belum menggantikan dolar, penggunaannya semakin meningkat.

Negara-Negara Yang Sudah Mula Menggunakan Yuan

Rusia

Selepas dikenakan sekatan Barat, Rusia meningkatkan penggunaan yuan secara drastik.

Kini banyak perdagangan Rusia-China menggunakan yuan dan menjadi salah satu mata wang utama di Rusia.

Rizab yuan di Rusia juga semakin meningkat.

Arab Saudi

Arab Saudi sebelum ini sangat sinonim dengan sistem petrodollar.

Namun, kini terdapat perbincangan mengenai penjualan minyak kepada China menggunakan yuan dan jika ini berlaku secara besar-besaran, ia boleh menjadi tamparan besar kepada dominasi dolar.

Brazil

Brazil dan China telah bersetuju untuk berdagang menggunakan mata wang masing-masing tanpa melalui dolar AS.

Ini mengurangkan kos pertukaran mata wang dan kebergantungan kepada sistem AS.

Iran

Iran telah lama dikenakan sekatan ekonomi AS. Oleh itu Iran semakin aktif menggunakan Yuan, Ruble Rusia dan mata wang tempatan dalam perdagangan antarabangsa.

Negara BRICS

Kumpulan BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Kini blok BRICS semakin berkembang dan bercakap tentang mata wang alternatif, sistem pembayaran sendiri dan pengurangan penggunaan dolar.

Beberapa negara baru juga menunjukkan minat untuk menyertai BRICS.

Adakah Dolar Akan Jatuh?

Ini persoalan besar yang sering dibincangkan. Jawapannya, tidak semudah itu.

Walaupun dedolarisasi semakin meningkat, dolar masih mempunyai kekuatan besar.

Kenapa Dolar Masih Dominan?

1. Pasaran Kewangan AS Sangat Besar

Ramai penganalisis percaya dolar masih sukar digantikan sepenuhnya sebelum 2030, kerana Amerika mempunyai pasaran saham terbesar dunia, bon kerajaan yang dianggap selamat, sistem kewangan matang dan institusi kewangan kuat.

Pelabur global juga masih mempercayai aset Amerika.

2. Kebanyakan Rizab Dunia Masih Dalam Dolar

Sebahagian besar rizab bank pusat dunia masih disimpan dalam dolar. Ini menjadikan dolar sukar digantikan dalam masa singkat.

3. Banyak Hutang Dunia Dalam Dolar

Banyak negara dan syarikat meminjam dalam dolar, menyebabkan mereka masih memerlukan dolar untuk pembayaran hutang.

Kelemahan Yuan China

Walaupun yuan semakin berkembang, ia juga mempunyai beberapa cabaran besar.

1. Kawalan Ketat Kerajaan China

China masih mengawal aliran modal, sistem kewangan dan nilai mata wang. Ini menyebabkan sesetengah pelabur antarabangsa kurang yakin.

2. Yuan Belum Bebas Sepenuhnya

Dollar boleh digunakan secara bebas hampir di seluruh dunia, manakala Yuan pula masih mempunyai sekatan tertentu.

3. Ketelusan Sistem China Dipersoalkan

Sesetengah negara Barat mempersoalkan ketelusan ekonomi China, campur tangan kerajaan dan risiko geopolitik.

Ini menyukarkan yuan menjadi mata wang global sepenuhnya.

Peranan Emas Dalam Dedolarisasi

Selain yuan, banyak negara juga meningkatkan pembelian emas.

Kenapa? Kerana emas dianggap aset selamat, tidak dikawal mana-mana negara, pelindung daripada inflasi dan perlindungan ketika krisis.

Bank pusat di seluruh dunia membeli emas pada kadar tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimana Dedolarisasi Memberi Kesan Kepada Dunia?

1. Dunia Menjadi Lebih Multipolar

Sebelum ini sistem kewangan global sangat bergantung kepada Amerika.

Kini dunia bergerak ke arah pelbagai mata wang, pelbagai pusat ekonomi dan kuasa ekonomi lebih seimbang.

2. Persaingan Ekonomi Semakin Sengit

Amerika dan China kini bersaing dalam teknologi, perdagangan, mata wang, ecerdasan buatan dan infrastruktur global.

Dedolarisasi adalah sebahagian daripada persaingan besar ini.

3. Risiko Ketidakstabilan Kewangan

Perubahan besar dalam sistem kewangan boleh mencetuskan ketidaktentuan pasaran, volatiliti mata wang, krisis perdagangan dan perubahan harga komoditi.

Adakah Malaysia Terlibat?

Malaysia juga menunjukkan minat terhadap perdagangan menggunakan mata wang tempatan.

Malaysia dan China telah membincangkan penggunaan Ringgit dan Yuan dalam perdagangan dua hala.

Langkah ini boleh mengurangkan kos pertukaran mata wang, mengurangkan risiko turun naik dollar dan memperkukuh hubungan perdagangan serantau.

ASEAN secara keseluruhan juga semakin aktif membincangkan penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan.

Masa Depan Sistem Kewangan Dunia

Ramai pakar percaya dunia sedang memasuki era baru kewangan global.

Kemungkinan masa depan, Dolar Kekal Dominan dan mungkin masih kekal sebagai mata wang utama dunia untuk beberapa dekad lagi.

Namun, dunia dengan penggunaan pelbagai mata wang akan menggunakan Dolar, Yuan, Euro dan juga mata wang digital bank pusat (CBDC) secara bersama.

Tidak dinafikan juga kemungkinan kebangkitan sistem kewangan baru. Teknologi blockchain, mata wang digital dan sistem pembayaran baru boleh mengubah keseluruhan landskap kewangan dunia.

Kesimpulan

Fenomena negara mula beralih daripada dolar kepada yuan bukan lagi teori semata-mata. Ia sedang berlaku secara perlahan tetapi nyata.

Antara faktor utama yang mendorong perubahan ini ialah sekatan ekonomi Amerika, kebangkitan ekonomi China, ketegangan geopolitik global, keinginan negara untuk lebih bebas dan risiko terlalu bergantung kepada dolar.

Namun begitu, dominasi dolar tidak akan runtuh dalam masa singkat. Amerika masih mempunyai pengaruh ekonomi dan kewangan yang sangat besar.

Tetapi, dunia sedang bergerak ke arah sistem kewangan "multipolar", di mana dolar, yuan, emas dan mata wang tempatan berkongsi pengaruh.

Dalam tempoh beberapa dekad akan datang, persaingan antara dolar dan yuan mungkin menjadi salah satu pertarungan ekonomi paling penting dalam sejarah moden.

Dan perubahan ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara besar, tetapi juga kepada ekonomi global, harga barang, perdagangan antarabangsa dan kehidupan harian rakyat di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 272: Tendangan Maut

SBDJ Siri 272: Tendangan Maut

Tetapi, sebagai manusia yang tak pernah mengenal putus asa. Saya cuba memberikan penentangan sedaya mungkin. Setiap kali saya cuba melawan, semakin kuat batang leher ditekan. Semua ikhtiar dan usaha telah dilakukan hasilnya tidak ada apa-apa. Hanya rasa sakit yang diperolehi.

Siri Bercakap Dengan Jin 272 Tendangan Maut
Gambar hiasan.

Usaha terakhir yang dapat dilakukan ialah menyerahkan segala-galanya pada Allah. Kalau sudah janji mati dalam bilik misteri ini, maka saya relakan.

Barangkali, perkara ini memang ditakdirkan untuk hamba Allah yang hina, bisik batin.

Walaupun begitu mulut tidak lekang membaca beberapa potong ayat Quran untuk mengusir makhluk halus. Suara ketawa Shafie bertukar menjadi suara budak kecil merengek minta susu.

Nadanya, tidak sekeras tadi, macam ada sedikit kelembutannya.

Ada perubahan kecil yang diperolehi. Muka tidak lagi ditekan sekuat tadi. Malah boleh digerakkan ke kiri dan ke kanan secara perlahan-lahan. Hidung juga tidak terasa pedih. Boleh menarik dan melepaskan nafas dengan selesa.

Tetapi, kaki kiri tidak boleh digerakkan, kalau ddigerakkan amat sakit sekali. Tulang-temulang terasa bagaikan dipatah-patahkan orang.

Kaki besar yang berbulu, tidak berubah kedudukannya. Masih macam tadi, masih berada disebelah kiri kepala. Bulu roma kakinya yang keras macam bulu hidung tidak lagi mencucuk cuping telinga.

Dalam usaha saya mahu melihat wajah pemilik kaki besar berbulu tebal, perlahan-lahan saya cuba donggakkan muka.

"Ahhh..."

Saya mengeluh kesakitan, batang leher terasa seperti dipulas dengan kuat. Cepat-cepat saya tundukkan kepala merenung lantai.

Gegendang telinga mula menangkap bunyi hembusan nafas yang kuat dari makhluk aneh, macam bunyi lembu mendengus.

Dalam situasi yang serba tidak kena itu, teringat, kehadiran makhluk aneh itu saat saya berniat mahu menumbuk Shafie. Ertinya, Shafie dan makhluk aneh ada hubungan sulit antara satu sama lain.

Saya harus memilih jalan selamat dengan menafikan niat untuk menumbuk atau memukul Shafie.

Saya terus mematikan diri dan membuka pintu batin membaca ayat-ayat Quran pengusir makhluk jahat. Perlahan-lahan kelopak mata saya buka, sasarannya ialah tubuh datuk.

Kehadiran si kaki besar dan Shafie dilupakan seketika. Mereka tidak sepenting datuk dalam hidup ini. Suara Shafie yang merengek, tidak kedengaran lagi, dengusan nafas makhluk aneh hanya muncul sekali-sekala.

SAMAR

Dalam keadaan yang samar-samar, saya lihat datuk sudah dapat berdiri. Dia dikelilingi kabus nipis yang muncul dari celah-celah papan lantai.

Dengan sepasang tangan kabus yang mengelilinginya dikuak berkali-kali hingga kabus itu beredar ke arah lain.

Tetapi, kabus yang lain pula terus muncul dari celah papan membuat datuk terbatuk-batuk. Dia nampak kelemasan.

Kerana merasakan dirinya semakin terancam, datuk segera angkat kaki kanan separas lutut kiri sambil berzikir dan berselawat, kaki kanannya dihentakkan ke papan lantai dengan sekuat hati.

Semua kabus yang ada disisinya bersatu, bergulung macam tikar. Bergolek menuju ketempat datuk menghentak kaki dan terus hilang bagaikan meresap dicelah-celah papan lantai.

Secara tidak diduga, ketika datuk melihat ke kanan untuk memastikan apakah kabus masih muncul untuk mengelilingi dirinya, dia terpandangkan saya yang tertiarap dilantai dengan sepasang tangan terkapai-kapai.

"Tamar."

Datuk menyeru nama saya.

"Huuummmm tuk..."

Cuma itu saja yang mampu saya luahkan. Saya tercungap-cungap keletihan dan sukar bernafas.

Bahagian belakang saya seperti ditekan sesuatu. Datuk bagaikan tahu apa yang bakal dilakukan kerana dia tahu saya tak boleh bersuara dengan lantang.

Dia segera angkat tangan memberi syarat supaya bertenang. Arahan itu segera dibalas dengan kerdipan mata.

"Tamar."

Ulang datuk.

Saya segera merenung kearahnya sambil mengerakkan kelopak mata.

"Bertahan dan sabar Tamar," tuturnya lagi.

Saya gerakkan kelopak mata, tanda mendengar.

"Bacalah beberapa ayat pilihan dari surah al-Jin," datuk menambah.

Dengan izin Allah juga dalam sekelip mata kaki besar yang berbulu hilang dari penglihatan.

Anehnya, ruang bilik masih terasa bergegar. Gegaran itu membuat katil bergerak, bantal jatuh dilantai.

Datuk yang berdiri bagaikan tidak tersentuh dengan gegaran itu. Dia masih berdiri dalam keadaan selesa sambil melihat bantal bergolek di lantai dan dikatil bergerak ke sana ke sini.

Sebaik saja gegaran berhenti, terdengar bunyi deru angin yang kencang menyerbu ke dalam ruang bilik menerusi tingkap yang terdedah. Tidak tahu bagaimana tingkap yang tertutup boleh terbuka sendiri.

Angin yang berpusu-pusu dalam bilik menerbangkan apa saja, termasuk gebar dan jam dinding. Dalam situasi yang serba mencemaskan itu, Shafie tidak bersuara langsung.

Pak Habib dan Jamaludin yang tidur diluar pintu bilik terus lena. Tidak sedar langsung apa yang terjadi dalam bilik.

Sungguh mendebarkan, bila melihat sekujur tubuh Shafie bergolek ke kiri ke kanan macam mayat.

Setiap detik yang berlaku depan mata, datuk ikuti penuh teliti. Peliknya dia tidak bertindak langsung. Sekadar jadi pemerhati.

BULU

Barangkali gerak-geri datuk sudah di pukau oleh si kaki besar yang berbulu, sebelum dia menghilangkan diri sebentar tadi.

Terniat juga mahu menjerit memanggil Pak Habib dan Jamaludin supaya datang membantu datuk yang di pukau. Niat itu terpaksa dibatalkan.

Kalau dipanggil pun mereka tidak akan mendengarnya. Deru angin kencang mengatasi segala macam bunyi.

"Tamar."

Renungan segera saya arahkan pada datuk. Dia kelihatan tidak bermaya sekali, tetapi cuba mahu menuturkan sesuatu kepada saya. Suaranya tidak keluar.

Datuk sandarkan tubuh kedinding, menahan dirinya dari jatuh ditolak angin kencang.

Mungkin keletihan atau kehabisan tenaga. Perlahan-lahan datuk jatuh terduduk. Matanya masih mengawasi apa yang berlaku dalam bilik misteri. Cuma dia tidak boleh bergerak dan bersuara.

Satu-satu cara yang boleh dilakukan untuk mengatasi kegawatan yang dihadapi ialah penyerahan diri zahir batin pada Allah yang Maha Kuasa. Membaca ayat-ayat Quran pilihan penuh khusyuk dan memahami maknanya sekali.

TIADA

Kerana kaki besar yang berbulu tebal tiada disisi, saya boleh bergerak. Perkara pertama yang saya lakukan ialah duduk bersila dengan kedua-dua tangan memeluk tubuh.

Saya kosongkan dada dan fikiran lalu diisikan dengan penyerahan dari seluruhnya pada Allah. Saya hiasi dengan zikir dan selawat dalam keadaan bertafakur.

"Gruuuuuuummmmmmmmm..."

Ruang bilik bergerak, macam digoncang oleh tenaga yang luar biasa. Serentak dengan itu terasa ada objek lembut jatuh atas kepala dan bergerak lemah turun ke leher terus ke bahu. Seterusnya benda lembut itu dengan pantas meliliti batang leher.

Kalbu saya kuat mengatakan benda lembut yang melingkar dileher ialah ular.

Saya membuat keputusan berhenti dari bertafakur yang sedang dilaksanakan. Kelopak mata segera saya gerakkan untuk dibuka.

Ada bisikan halus datang melarang saya membuka mata disuruhnya saya terus memejamkan mata. Disuruh bertahan semampu yang boleh, jangan bergerak, jangan berhenti berzikir dan berselawat.

Suara halus mengajar saya membaca beberapa potong ayat dari Quran yang menurutnya cukup ampuh untuk menentang kuasa jahat.

Sungguh menakjubkan dengan sekali ajar terus melekat. Saya dapat mengingatinya dengan tepat dan betul, pembacanya lancar sekali.

"Baca sekarang, semampu yang boleh, jangan berhenti," suara halus itu mengingatkan saya.

Apa yang disuruhnya segera saya lakukan.

Sebelum jumlah bacaan mencapai seribu kali, benda lembut dileher terasa menjadi keras. Tetapi, lilitannya kian kemas menjerut menyukarkan saya bernafas.

Tulang-temulang dan daging leher rasanya sudah hancur. Buah halkum terasa mahu pecah.

Sesungguhnya saya tidak terdaya lagi untuk melakukan penentangan. Nyawa bagaikan mahu berpisah dengan jasad, saya tidak dapat mengulangi ayat-ayat yang diberi oleh suara ghaib.

Kerana yakin nyawa akan tercabut, saya terus mengucap dua kalimah syahadat.

Setelah itu segala-galanya terasa seperti kosong. Sunyi dan sepi, tiada apa yang dapat diingati dalam otak. Tubuh terasa mengecil.

Suara ghaib yang selalu membisikan ayat-ayat suci ke telinga, terdengar sayup-sayup dan akhirnya terus hilang.

Tubuh yang mengecil terangkat dari lantai, berada diawang-awangan sebentar sebelum dilemparkan ke kawasan gelap gelita.

SUARA

Suasana sepi segera bertukar menjadi hiruk pikuk. Ada bermacam-macam dan berbagai-bagai suara lelaki dan perempuan mengerang, merintih, merengek kenikmatan.

Hilang suara tersebut diganti pula suara orang mengerang kesakitan yang amat sangat.

Saya hanya mendengar suara saja sedangkan bentuk dan rupa tidak kelihatan langsung. Saya memang berada disuatu dunia yang sungguh asing sekali.

Jauh disudut kawasan yang luas terlihat cahaya lampu minyak tanah bergerak kearah saya.

Bila sudah menghampiri saya dalam jarak kira-kira tujuh kaki cahaya lampu minyak tanah itu terus ghaib.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 272/284

BACA: SBDJ Siri 271: Bilik Misteri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

Semoga memberi manfaat.

-Sentiasapanas.com