Ahad, Mac 08, 2020

Apa Itu Hipotensi, Punca, Simptom Dan Rawatannya


Loading...

Hipotensi atau darah rendah adalah suatu keadaan di mana bacaan tekanan darah di dalam arteri adalah lebih rendah daripada batas normal (90/60 mmHg), dan sukar dikesan kerana penyakit ini kadang-kala tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom darah rendah.

Apa Itu Hipotensi

Tekanan darah adalah keupayaan darah untuk menolak darah ke arah dinding pembuluh darah arteri ketika jantung mengepam darah, yang diukur sebagai tekanan sistolik dan diastolik.

Tekanan darah sistolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung berdenyut, manakala tekanan diastolik adalah tekanan yang diukur semasa jantung sedang rehat.

Anda akan selalu melihat tekanan darah ditulis sebagai tekanan sistolik di bahagian atas dan tekanan diastolik di bawahnya, contoh 120/80 mmHg (mmHg maksudnya milimeter raksa – unit yang digunakan untuk mengukur tekanan darah)

Tekanan darah normal di kalangan orang dewasa lebih rendah dari 120/80 mmHg, manakala darah dikatakan rendah apabila bacaan berada di paras lebih rendah dari 90/60 mmHg.

Punca Tekanan Darah Rendah

Terdapat beberapa keadaan atau faktor-faktor yang menyebabkan tekanan darah jatuh di bawah paras normal, sehingga mendatangkan gejala-gejala seperti pening, pengsan atau keadaan yeng lebih teruk lagi iaitu 'shock'.

Terdapat banyak punca atau penyebab tekanan darah rendah, dan setiap punca perlu diselidik dengan lebih lanjut.

Antara puncanya ialah;
  • Kehilangan darah, pendarahan, anemia dan dehidrasi pada tahap parah.
  • Penyakit jantung, seperti lemah jantung dan kegagalan jantung (heart failure).
  • Penyakit sistem saraf, seperti "multiple system atrophy" dan“autonomic neuropathy".
  • Kesan sampingan ubat seperti bisoprolol dan captopril yang digunakan untuk merawat hipertensi.
  • Penyakit organ kelenjar seperti "Addison's disease", iaitu penyakit organ kelenjar (adrenal).
  • Jangkitan kuman yang parah, yang menyebabkan "septic shock".

Jenis-Jenis Tekanan Darah Rendah

Terdapat tiga jenis utama tekanan darah rendah:

1. Tekanan Darah Rendah 'Orthostatic'

Jenis tekanan darah rendah ini akan berlaku bila anda berubah posisi, bangun dari tidur atau duduk, yang akan menyebabkan anda berasa pening atau pengsan.

Ia terjadi apabila tubuh badan tidak dapat menyesuaikan tekanan pengaliran darah dengan cepat agar sesuai dengan kedudukan badan.

Keadaaan ini biasanya akan berlaku hanya sekejap, dari beberapa saat ke beberapa minit selepas anda berdiri.

2. Tekanan Darah Rendah 'Neurally Mediated' (NMH)

Keadaan ini berlaku apabila otak dan jantung tidak berkomunikasi antara satu sama lain dengan baik.

Sebagai contoh, apabila anda berdiri untuk jangkamasa yang panjang, darah mulai berkumpul di kaki, menyebabkan tekanan darah menurun.

Dalam NMH, badan akan keliru dan memberitahu otak bahawa tekanan darah tinggi dan sebagai tindakbalas, otak melambatkan kadar denyutan jantung.

Hal ini membuatkan penurunan tekanan darah yang lebih, menyebabkan pening kepala dan rasa hendak pitam.

3. Tekanan Darah Rendah Teruk berkaitan dengan 'Shock'

'Shock' adalah suatu keadaan yang boleh mengancam nyawa di mana tekanan darah turun begitu rendah sehingga otak, buah pinggang dan organ-organ penting yang lain tidak mendapat bekalan darah yang cukup.

JENIS-JENIS HIPOTENSI

Pelbagai jenis hipotensi ini mempunyai sebab-sebab yang berbeza.

Hipotensi Ortostatik

1. Nyahhidrasi

Ianya berlaku bila badan kehilangan air lebih dari yang diambil seperti berpeluh berlebihan semasa aktiviti fizikal, demam, muntah dan cirit-birit.

2. Keadaan panas atau tidak bergerak untuk beberapa ketika yang lama.

3. Ubat-ubatan

Setengah ubat-ubatan boleh meningkatkan risiko anda untuk hipotensi ortostatik termasuk:

i). Ubat merawat tekanan darah tinggi dan penyakit jantung seperti:
  • Diuretics atau ubat kencing.
  • Calcium channel blockers.
  • Angiotensin-converting enzyme (ACE) inhibitors.
  • Angiotensin II receptor blockers.
  • Nitrates.
  • Beta blockers.

ii). Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat keadaan seperti kebimbangan, kemurungan, mati pucuk dan gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson).

4. Bahan-bahan lain

Alkohol, barbiturat dan beberapa jenis ubat yang dibeli sendiri sekiranya diambil dengan ubat tekanan darah tinggi.

5. Hipotensi selepas makan (postprandial hypotension):
  • Hipotensi 'postprandial' ini akan terjadi selepas makan.
  • Hipotensi 'Neurally Mediated' (NMH).

NMH biasa berlaku di dalam keadaan berikut:
  • Berdiri untuk masa yang lama.
  • Kesakitan atau ketakutan yang amat sangat.
  • Hipotensi teruk berkaitan dengan 'Shock'.
  • 'Hypotensive shock' adalah satu keadaan kecemasan yang memerlukan rawatan dengan segera.

Hypotensive shock terdiri daripada:

1. 'Septic shock'
  • Ia boleh berlaku apabila bakteria memasuki aliran darah. Bakteria mengeluarkan toksin (racun) yang berbahaya dengan membawa kepada penurunan tekanan darah.

2. Hypovolemic shock

Kehilangan darah atau cecair dari badan boleh berlaku akibat daripada:
  • Pendarahan luaran yang teruk (contohnya dari luka parah atau cedera).
  • Pendarahan dalaman yang teruk (contohnya dari pembuluh darah yang pecah atau luka yang menyebabkan pendarahan dalam badan).
  • Kehilangan cecair badan dari luka terbakar yang teruk
  • Keradangan kelenjar pankreas yang teruk (organ yang menghasilkan enzim dan hormon seperti insulin).
  • Cirit-birit yang teruk.
  • Penyakit buah pinggang yang teruk.
  • Terlalu sering menggunakan diuretik

3. 'Cardiogenic shock'

Ketidakupayaan jantung untuk mengepam darah disebabkan oleh serangan jantung, embolisme pulmonari atau aritmia (degupan jantung yang tidak teratur).

4. 'Vasodilatory shock'

Saluran arteri yang tiba-tiba meregang luas (vasodilatation) sehingga menurunkan tekanan darah.

Hal ini terjadi kerana:
  • Kecederaan kepala yang teruk.
  • Tindak balas kepada ubat-ubatan tertentu.
  • Kegagalan hati.
  • Keracunan.
  • Reaksi alergi yang teruk (dipanggil anafilaktik shock).

Siapa Yang Berisiko Mendapat Tekanan Darah Rendah?

Hipotensi boleh berlaku di kalangan individu dari pelbagai peringkat umur. Walau bagaimanapun, ada individu dalam kumpulan usia tertentu yang lebih cenderung untuk mendapat tekanan darah rendah yang tertentu:
  • Orang tua lebih cenderung untuk mendapat hipotensi ortostatik selepas makan.
  • Kanak-kanak dan remaja lebih cenderung memiliki tekanan darah rendah 'neurally mediated'.
  • Orang-orang yang mengambil ubat-ubatan tertentu, seperti ubat tekanan darah tinggi.
  • Orang-orang yang mempunyai gangguan sistem saraf pusat (seperti penyakit Parkinson).
  • Masalah hati.
  • Kurang bergerak (contohnya lumpuh) untuk tempoh masa yang lama.
  • Wanita hamil - Hipotensi semasa mengandung adalah perkara biasa dan akan pulih selepas bersalin.

Tanda-Tanda dan Gejala Tekanan Darah Rendah

Tanda-tanda dan gejala tekanan darah rendah bergantung kepada sebab terjadinya hipotensi.

Hipotensi ortostatik

Tanda-tanda dan gejala hipotensi ortostatik boleh berlaku dalam beberapa saat atau minit selepas anda bangun dari keadaan berbaring atau duduk.

Anda mungkin merasa bahawa anda akan pengsan, atau anda betul-betul pengsan. Tanda-tanda gejala termasuk:
  • Pening atau merasa pening.
  • Penglihatan kabur.
  • Kekeliruan.
  • Kelemahan.
  • Loya (perasaan sakit perut).
  • Hipotensi 'Neurally Mediated'.

Tanda-tanda dan gejala hipotensi 'neurally mediated' ini adalah sama dengan hipotensi ortostatik. Penurunan tekanan darah tidak berlaku lama dan sering hilang selepas duduk.

Hipotensi teruk berkaitan dengan 'Shock'

Pada peringkat awal, ia mungkin sukar untuk mengesan sebarang tanda-tanda atau gejala. Pada orang tua, gejala pertama mungkin hanya kekeliruan.

Jika keadaan 'shock' menjadi semakin teruk, seseorang itu tidak akan dapat duduk tanpa merasa pitam. Jika ini berlarutan, pesakit mungkin tidak sedar diri.

Tanda-tanda dan gejala-gejala yang lain adalah berbeza, bergantung kepada apa yang menyebabkan 'shock'.

Apabila isipadu darah menjadi rendah (dari kehilangan darah yang banyak, misalnya) atau jantung gagal mengepam darah, maka:
  • Kulit menjadi sejuk dan berpeluh. Ia akan kelihatan biru atau pucat. Jika ditekan, warna kembali normal dengan lebih perlahan daripada biasa.
  • Denyut nadi menjadi lemah dan pantas.
  • Pesakit akan mula bernafas dengan cepat.

Apabila berlaku vasodilatasi atau keregangan pembuluh darah (seperti dalam septik shock), seseorang merasa panas dan kulit menjadi merah pada awalnya.

Sekiranya berlarutan, 'shock' menjadi semakin teruk, kulit menjadi sejuk dan basah dan pesakit akan berasa tenat. Keadaan ini adalah suatu keadaan yang cemas dan mesti diberi perhatian serta merta.

Bagaimana Hipotensi dapat dikesan?

Hipotensi dapat dikesan berdasarkan sejarah perubatan, pemeriksaan fizikal dan keputusan ujian-ujian yang akan dijalankan.

Doktor anda perlu mengetahui mengenai:
  • Jenis tekanan darah rendah yang anda hidap dan tahapnya.
  • Apa keadaan yang menyebabkan tekanan darah rendah.

Antara pemeriksaan dan ujian yang dilakukan ialah;
  • ECG
  • Ujian tekanan darah BP monitoring
  • Ujian darah
  • "Tilt table test"
  • "Valsalva maneuver"
  • "Stress test"
  • Ujian imej echo

Komplikasi Hipotensi

Bahaya tekanan darah rendah adalah;
  • Pengsan. Bagi orang yang lebih berumur, ini sangat berbahaya kerana ia boleh menyebabkan keretakan tulang seperti tulang pinggul dan tulang tangan.
  • Hilang kesedaran. Ini sangat berbahaya terutamanya ketika memandu.
  • Bergantung pada penyebab, jika sakit jantung menyebabkan tekanan darah rendah, ini boleh menyebabkan organ lain tidak mendapat darah yang cukup, lalu boleh menyebabkan organ gagal berfungsi.
  • Boleh mengganggu mutu kehidupan seseorang.

Pakar-Pakar Yang Terlibat

Seorang doktor penjagaan primer atau pakar boleh mendiagnos dan merawat tekanan darah rendah.

Pakar-pakar lain yang mungkin juga terlibat adalah pakar jantung, pakar bedah, pakar buah pinggang, pakar otak dan sebagainya.

Bagaimana Hipotensi Dirawat?
  • Anda tidak memerlukan rawatan sekiranya tidak mempunyai apa-apa tanda dan gejala walaupun tekanan darah anda rendah.
  • Sekiranya anda merasa pening atau hampir pitam, anda sepatutnya terus duduk atau baring.
  • Letak kaki anda di paras yang sama dengan jantung atau duduk sambil meletak kepala di antara lutut.
  • Kalau masalah ini masih berkekalan, anda mesti segera berjumpa dengan doktor.

Amalan yang disyorkan untuk mengurangkan terjadinya keadaan hipotensi:
  • Minum banyak air sekiranya nyahhidrasi.
  • Menghadkan pengambilan alkohol.
  • Berdiri dengan perlahan.
  • Jangan silang kaki semasa duduk.
  • Elakkan berdiri terlampau lama pada satu tempat.
  • Tingkatkan pengambilan garam mengikut nasihat doktor.
  • Kurangkan pengambilan karbohidrat sekiranya anda selalu pening selepas makan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Kena ambil tahu juga perkara2 mcm ni.. thanks sharing SP

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon