Friday, December 14, 2018

Kisah Imam Syafie Dan Rezeki Yang Berkat


Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan hidup yang dialami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja dengan gaji sebanyak 5 dirham namun tidak mencukupi untuknya.

Rezeki Yang Berkat

Peliknya, Imam Syafie menyuruh dia untuk menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4 dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia tidak faham apa maksud dari suruhan itu.

Setelah berlalu beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan.

Lalu Imam Syafie memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itupun pergi melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan yang sangat hairan.

Setelah berlalu sekian lama, lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie dan berterima kasih atas nasihatnya.

Dia menceritakan bahawa wang 3 dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan menjadi lebih lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?

Imam Syafie menjelaskan bahawa, pekerjaan yang dia lakukan itu tidak berhak mendapat upah lebih dari 3 dirham dan kelebihan 2 dirham itu telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur dengannya.

Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir:

"Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya menjadi banyak. Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya."

Barangkali kisah ini dapat menjadi pelajaran yang sangat berharga bagi kita dalam bekerja.

Jangan terlalu berharap gaji besar bila pekerjaan kita hanya sederhana dan jangan berbangga mendapat gaji besar, padahal kerja kita tidak seimbang dengan gaji yang diterima.

Bila gaji yang kita terima tidak seimbang dengan kerja, ertinya kita sudah menerima harta yang bukan hak kita.

Itu semua akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada dan mengakibatkan hisab yang berat di akhirat kelak.

Harta yang tidak berkat akan mendatangkan masalah dalam hidup yang membuat kita susah, sekalipun bertaburkan benda-benda mewah dan serba lengkap.

Wang banyak tapi setiap hari bergaduh dengan isteri. Anak-anak tidak mendatangkan kebahagiaan. Dengan teman dan jiran sekeliling tidak sehaluan.

Kenderaan selalu bermasalah. Ketaatan kepada Allah semakin hari semakin melemah. Fikiran hanya dunia dan dunia. Harta dan harta.

Penglihatan selalu kepada orang yang lebih dalam masalah dunia. Tidak pernah puas, sekalipun mulutnya melantunkan alhamdulillah setiap saat.

Kening selalu berkerut. Satu persatu penyakit datang menghampiri. Akhirnya gaji yang besar habis untuk ke hospital dan klinik.

Tidak ada yang dapat dibahagikan untuk sedekah, infak dan amal-amal demi tabung masa depan di akhirat. Menjalin silaturrahim dengan sanak keluarga pun tidak.

Semakin kelihatan mewah tapi sifat kedekutnya juga semakin menguasai.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kemampuan untuk jujur dalam bekerja, hingga rezeki menjadi berkat dunia dan akhirat.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: hanifidrus

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon