Ahad, September 23, 2018

Petronas FP-1, Superbike Pertama Malaysia Enjin 899cc


Ini cerita pasal superbike pertama Malaysia yang dinamakan Petronas FP-1. Kalau anda mengikuti perkembangan dunia motosikal tempatan, pasti ingat akan kemunculan superbike ini dalam arena global.

Petronas FP-1, Superbike Pertama Malaysia Enjin 899cc

Kisahnya bermula pada sekitar tahun 2003 di mana Petronas melibatkan diri dengan satu projek khas bersama dengan Sauber Petronas Engineering untuk menyertai MotoGP.

Namun akhirnya mereka membuat keputusan untuk menyertai WSBK ataupun Kejuaraan Superbike Dunia. Era ini adalah zaman emas di mana Proton juga bekerjasama dengan Kenny Roberts dalam pasukan Proton Team KR.

Antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh penganjur WSBK ialah, Petronas mesti menghasilkan sekurang-kurangnya 150 unit FP-1 untuk pasaran sebagai homolagasi. Atas hasrat itu, maka lahirlah sebuah superbike pertama di Malaysia.

Pasukan Petronas untuk WSBK ini dikenali dengan nama Foggy Petronas Racing mengambil sempena nama juara WSBK dari Britain sebanyak 4 kali, Carl Fogarty. Kerjasama ini penting untuk mengkomersilkan teknologi F1 yang ada pada motosikal ini.

Antara pelumba yang pernah menunggang motosikal ini ialah Troy Corser, Chris Walker, James Haydon, Garry McCoy, Craig Jones dan Steve Martin. Bagaimanapun pasukan ini hanya berjaya menaiki podium sebanyak 3 kali sahaja.

Apabila Petronas membuat keputusan untuk menyertai WSBK, Sauber tak bersetuju dan telah menarik diri kerana kurang berminat dengan WSBK.

Petronas kemudian mengadakan kerjasama dengan Suter Racing Technology yang mempunyai sejarah yang panjang dalam kejuaraan Grand Prix untuk membangunkan enjin FP-1.

Firma kejuruteraan dari UK, MSX International pula telah dipilih menghasilkan model versi jalanan.

Kenapa motosikal ini kurang menyerlah dalam WSBK?

Antara sebabnya ialah sewaktu motosikal ini dibangunkan, kapasiti maksima enjin yang ditetapkan untuk motosikal 3 selinder ialah 900cc. FP-1 dihasilkan dengan enjin 899cc.

Bagaimanapun, bila ia membuat kemunculan pertama pada tahun 2003, undang-undang baru FIA membenarkan kapasiti sehingga 1000cc.

Jadi, FP-1 sudah ada kekurangan berbanding jentera lain. Ini macam tak adil! Kita dah kurang 100 cc berbanding jentera lain.

Pengeluarannya juga banyak tertunda akibat pelbagai masalah. Tapi akhirnya pengumuman dibuat pada tahun 2005 tentang kemasukan motosikal ini di pasaran.

75 unit dihasilkan di UK untuk pasaran di sana dan 75 lagi dipasang di kilang Modenas di Gurun, Kedah untuk pasaran tempatan. Kemudian, masalah timbul lagi bila FP-1 tidak mempunyai rangkaian pengedar untuk jualan.

Di Malaysia pula cuma ada satu pengedar tunggal, NAZA Bikers Dream. Sejak dari saat ini, berita FP-1 seolah-olah tenggelam dalam media massa.

Persoalannya di mana motor-motor ini sekarang?

Pada tahun 2010, pihak MCN (Motorcyclenews UK) telah menemui 60 unit FP-1 di dalam sebuah gudang di Essex.

Dikatakan pada tahun 2012, motor-motor UK ini dimiliki oleh Ark R&D tapi kemudiannya sebanyak 129 unit telah dijual kepada syarikat Malaysia yang dinamakan Momoto. Ia kemudian diberi penjenamaan semula dan dikenali dengan nama MM1.

Motosikal ini dilancarkan dengan bergaya, tak lama dahulu dan ia antara berita yang cukup membanggakan kita.

Namun yang demikian, projek ini tergendala lagi bila didapati cukai dan duti kastam semua motosikal belum dijelaskan.

Semua unit telah dirampas oleh pihak berkuasa dan Momoto telah memfailkan saman sebanyak RM83 juta terhadap Petronas yang sehingga hari ini belum ada penyelesaiannya.

Sementara itu pakar-pakar berpendapat semakin lama motosikal itu disimpan, semakin tinggi nilainya.

Dianggarkan harganya sekarang jika berjaya dipasarkan ialah sekitar 20,000 hingga 25,000 pound sterling.

Dalam RM tak mahal pun (sambil goncang tabung ayam), sekitar RM150,000 untuk sebuah motosikal keluaran tahun 2005.

Itulah harga yang perlu dibayar untuk nilai eksklusif sesuatu benda. Adakah anda rasa mahal? Sebenarnya tidak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mekanika

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

2 comments

Daripada bazir rm150 ribu, baik admin guna beli kawasaki h2r supercharge harga pun sama, hari ni dalam paper kosmo mukasurat 54, motor ni telah mengalahkan jet, jet peluang Dan kereta f1 dalam satu perlumbaan di Istanbul.

Tak nak. saya nak beli emas je 8-)

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon