Wednesday, April 18, 2018

Pertama Kali Mengundi? Ini Tips Dan Panduan Penting Untuk Anda


Pilihan raya ke 14 kali ini adalah pilihan raya orang muda kerana menurut SPR, lebih kurang lima juta pengundi muda akan mengundi untuk pertama kali. Ini menyumbang kepada 34 peratus kepada keseluruhan pengundi.

Pertama Kali Mengundi? Ini Tips Dan Panduan Penting Untuk Anda

Mengundilah kerana ia adalah tanggungjawab anda.

Oleh itu, kepada orang muda yang pertama kali mengundi pula, boleh baca tips menarik di bawah.

1. Pastikan menyemak dulu status anda.

Ini untuk mengetahui anda akan mengundi di kawasan mana.

Jika belum mendaftar, bermakna anda tidak layak untuk mengundi.

Jika mendaftar sekarang pun, anda tidak sempat untuk mengundi tahun ini. Tunggulah lima tahun lagi.

Proses pengesahan daftar pemilih pun memakan masa empat bulan menurut laman sesawang SPR.

2. Setelah mengetahui kawasan mengundi anda, rancanglah perjalanan.

Jika kawasan mengundi dekat tiada masalah. Jika anda terpaksa pulang ke kampung maka perlulah memohon cuti tambahan.

Jika anda ada duit, boleh menaiki kapal terbang saja.

3. Setelah sampai di kampung, pastikan anda berehat dahulu. Tenangkan fikiran.

Pastikan tidak berjumpa dengan JKKK atau yang sewaktu dengannya.

Cuba elakkan diri berjumpa dengan perayu-perayu undi.

Jika ibu anda bertanya, “Kau nak undi siapa tahun ini.”

Jawab sahaja, “Rahsia."

Ini untuk mengelakkan anda dipengaruhi.

4. Menjelang malam, elakkan menonton berita jam lapan.

Kalau boleh tontonlah siaran lain dan jka ada Astro, boleh menonton dokumentari Animal Planet.

Atau tutup sahaja televisyen dan membaca buku. Lebih baik lagi tidur awal.

Saya juga cadangkan anda duduk saja di bilik. Tidak perlu keluar.

Lagi pun, rancangan televisyen mungkin sudah dimonopoli oleh ibu anda untuk melihat drama Melayu.

5. Jika tidur mencukupi, sudah pasti bila bangun pagi otak anda akan berasa segar.

Otak perlu segar kerana anda bakal melakukan satu perkara yang besar untuk negara.

Saya nasihatkan anda supaya tidak bersarapan di warung-warung.

Sarapan saja di rumah.

6. Sampai saja di tempat mengundi, elakkan dari bertembung dengan perayu-perayu undi.

Jika terpaksa, mungkin ketika anda sedang beratur pastikan menjawab dengan sopan.

“Bang pastikan pilihan betul ya.

"Tengok logo warna hijau ini ya bang."

Anda hanya perlu senyum dan mengangkat ibu jari sahaja tanda bagus.

“Encik jangan lupa warna biru ya."

Sekali lagi anda hanya perlu senyum dan mengangkat ibu jari.

7. Bila tiba giliran anda, berikan kad pengenalan kepada petugas.

Petugas akan membuat semakan dan jika nama ada di senarai tersebut anda akan diberi dua keping kertas undi.

Selepas itu jari anda akan dicalit dengan dakwat sebagai tanda sudah pun mengundi.

Dua keping kertas ini adalah satu untuk undi wakil DUN dan satu lagi untuk Parlimen.

Semak kertas tersebut. Pastikan logo mana yang anda hendak undi.

Kemudian PANGKAH. Bukan tanda rait. Pangkah untuk memilih.

Pangkah DUN lain, Parlimen lain boleh ke?

Suka hati.

8. Setelah selesai memilih, terus bergerak ke peti undi, lipat dan masukkan ke dalam peti undi yang disediakan.

“Bang kalau saya nak swafoto boleh tak?"

“Buat apa nak swafoto?"

“Biasalah bang, nak letak dalam media sosial."

Kau kena tanya petugas.

9. Keluar dari tempat undi. Pastikan anda senyum. Berjalan dengan yakin.

Perayu-perayu undi mungkin akan mendekati anda lagi.

Seperti biasa terus saja mengangkat ibu jari sebagai tanda selesai jika sesiapa saja mendekati anda.

Elakkan berbual dengan mereka.

10. Santai

Setelah itu terpulang kepada anda mahu pulang ke rumah, ke tempat kerja atau jika anda bercuti bolehlah menelefon kawan-kawan untuk minum teh tarik.

Selamat mengundi.

BACA INI JUGA: Cara Daftar Mengundi Dan Semakan Lokasi Pengundian Online

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon