Tuesday, April 24, 2018

Misteri Tragedi Kapal Selam HMS Affry


Pada pukul 5 petang, 16 April 1951, HMS Affray yang merupakan salah sebuah daripada kapal selam kelas A, Tentera Laut Diraja British memulakan pelayaran dari Haslar Creek, Gosport berhampiran Portsmouth menuju ke perairan Selat Inggeris.

Misteri Tragedi Kapal Selam HMS Affry

Kapal selam berkenaan membawa seramai 75 kru pelbagai pangkat yang diketuai oleh Leftenan John Blackburn, 28, untuk menjalani latihan rutin.

Kira-kira pukul 9 malam, John Blackburn menghantar isyarat kepada pangkalan melaporkan kapal selam itu akan memulakan selaman pada pukul 9.15 malam.

Komander kapal selam berkenaan juga tidak perlu membuat sebarang hubungan dengan pangkalan sehingga keesokan harinya antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, hingga pukul 10.40 pagi hari berikutnya, tiada sebarang isyarat diterima daripada HMS Affray menyebabkan amaran kehilangan kapal selam itu dikeluarkan dan operasi mencari serta menyelamat di­lancarkan.

Pada pukul 1 petang, pihak tentera laut memaklumkan mengenai kejadian itu kepada keluarga kru, namun kebanyakan mereka telah pun mengetahui mengenai kehilangan kapal selam itu melalui radio.

Kod Morse

Misteri Tragedi Kapal Selam HMS Affry
Krew HMS Affry.

Maru Foster yang merupakan balu kepada Pegawai Pertama, Leftenan Derek Foster memberitahu, dia mengetahui kejadian itu ketika berada di rumahnya di Petersfield, Hampshire bersama anak lelakinya, David yang ketika itu berusia tiga tahun.

“Berita terkini pada masa itu mengatakan salah sebuah kapal selam kami telah hilang dan saya masih jelas mengingatinya.

“Tidak perlu beritahu saya kapal selam mana yang hilang, saya tahu ia adalah HMS Affray,” imbasnya.

Dalam pada itu, kesemua ahli keluarga kru kapal selam terbabit di seluruh negara berdoa agar anak, bapa dan adik-beradik mereka yang berada di dalam kapal itu selamat.

Pada pukul 9.55 malam 18 April, doa mereka seakan-akan dimakbulkan apabila sebuah kapal selam dan kapal melaporkan mendengar bunyi ketukan yang datang dari arah HMS Affray.

Bunyi yang didengari itu pada mulanya dipercayai merupakan mesej kod Morse yang diketuk pada badan kapal selam.

Ketika itu, anak kapal selam itu dijangka dapat hidup selama empat hari sebelum kehabisan oksigen dan pada masa itu masih ada lagi 48 jam bagi menyelamatkan mang­sa.

Bagaimanapun, harapan untuk melihat ada mangsa yang terselamat tidak menjadi kenyataan apabila kapal selam itu masih gagal ditemui pada pukul 7.45 malam, 19 April iaitu 69 jam selepas HMS Affray melakukan selaman terakhir.

Ketukan yang didengari sebelum ini sebenarnya datang daripada bunyi enjin kapal lain yang menyertai kumpulan penyelamat berkenaan.

Bangkai ditemui

Misteri Tragedi Kapal Selam HMS Affry

Setelah operasi mencari dijalankan secara berterusan, kapal selam itu akhirnya berjaya juga ditemui pada 14 Jun 1951, iaitu hampir dua bulan selepas kehilangannya apabila kapal HMS Loch Insh berjaya mengesan HMS Affray pada kedalaman 91 meter kira-kira 27 kilometer di barat laut Pulau Alderney.

Tiada mangsa terselamat dalam kejadian itu dan tidak diketahui mengapa tragedi itu berlaku.

Lembaga penyiasat juga gagal memberi penjelasan yang memuaskan dan misteri karamnya HMS Affray kekal sehingga hari ini.

Bangkai HMS Affray pada mulanya disangka akan dibawa naik dari dasar laut bagi membolehkan pemeriksaan teliti dilakukan untuk mencari punca ia karam selain membolehkan ahli keluarga mengebumikan anak kapal yang terkorban.

Namun, ahli keluarga mangsa kecewa apabila pihak tentera laut mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengeluarkan bangkai kapal selam itu dengan memberi alasan kos yang tinggi dan bahaya.

Menurut Joy Cook, balu kepada Laskar Kanan George Cook, tentera laut seolah-olah tidak mahu bangkai kapal selam itu dikeluarkan.

“Adakah terdapat sesuatu yang tidak kena mengenai kapal selam itu sehingga mereka tidak mahu kami tahu?” soalnya.

Lembaga penyiasat yang ditubuhkan kemudian membuat kesimpulan bahawa snort mast iaitu saluran yang digunakan menyedut udara di permukaan laut pada HMS Affray telah pecah menyebabkan air membanjiri kapal selam itu.

Para penyelam mendapati Snort mast itu terpisah daripada badan kapal selam, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia pecah sebelum kapal selam itu tenggelam atau kesan perlanggaran dengan dasar laut.

Tanda tanya mengenai punca sebenar kapal selam British karam 67 tahun lalu masih belum terungkai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Rusia Lancar Kapal Selam Paling Hebat Dan Tercanggih Di Dunia!

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon