Thursday, February 08, 2018

Bunga Orkid Tahan Panas Berjaya Di Hasilkan


Orkid sinonim sebagai tumbuhan berbunga tidak tahan panas dan memerlukan penjagaan rapi agar mampu bertahan lebih lama. Rupanya yang cantik sudah pasti menarik mata yang memandang, tetapi tidak semua mampu memelihara atau menjaganya.

Bunga Orkid Tahan Panas Berjaya Di Hasilkan
Arundina Mentari.

Menyedari hal itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mengambil inisiatif menjalankan kajian pembaikbakaan (R&D) untuk menghasilkan bunga orkid yang tahan cuaca panas dan rajin berbunga sejak 2013 dengan nilai RM60,000.

Selama empat tahun itu, Mardi berjaya menghasilkan dua jenis orkid iaitu Arundina Suria dan Arundina Mentari sebagai tanaman landskap.

Saintis Pembiak Baka Orkid Landskap Mardi, Wan Rozita Wan Engah berkata, proses R&D dua orkid ini singkat jika dibanding dengan orkid lain yang ambil masa tujuh hingga 10 tahun.

Menurutnya, dua orkid ini terhasil menerusi gabungan tiga spesies orkid iaitu Arundina graminifolia yang berasal dari Malaysia, Vietnam dan India.

"Kami memilih ketiga-tiga orkid ini kerana ia mempunyai ciri-ciri berlainan iaitu tahan lasak, berbunga sepanjang masa dan kriteria pokok yang sesuai sebagai tanaman landskap.

"Arundina Suria adalah kacukan orkid Vietnam dan India, manakala Arundina Mentari kacukan Malaysia dan Vietnam," katanya ketika ditemui.

Beza di antara dua orkid ini adalah dari segi warna, iaitu Suria berwarna putih keunguan, manakala Mentari pula merah gelap.

Mengulas berhubung proses penghasilan biji benih orkid itu, katanya, proses pertama adalah kacukan untuk menghasilkan biji benih yang mengambil masa tujuh minggu sebelum dituai.

Kemudian, katanya, kapsul benih yang matang akan disemai ke makmal selama lapan minggu untuk bercambah (sehingga benih bertukar hijau dan bercambah).

Selepas bercambah, anak benih itu dijaga dalam keadaan kultur selama setahun sebelum dipindah ke nurseri.

"Anak benih ditanam selama setahun di peringkat nurseri sebelum dipindah ke lapangan terbuka bagi kajian ketahanan kepada cahaya matahari, pertumbuhan pokok dan kekerapan berbunga," katanya.

Kos selenggara rendah

Salah satu tujuan terhasilnya orkid ini adalah kerana kekurangan orkid landskap tahan panas dalam pasaran.

Beliau berkata, setakat ini, banyak orkid yang dibeli dari luar negara bagi memenuhi permintaan tetapi tidak sesuai dengan cuaca di negara ini.

"Arundina Suria dan Mentari sejenis orkid landskap tahan panas, berbunga sepanjang masa, senang di biak (menerusi keratan dan belahan) dan boleh ditanam semula di dalam pasu, atas tanah atau batas landskap.

"Bukan itu sahaja, ia juga tidak memerlukan penjagaan rapi kerana ia senang dijaga dengan guna tanah campuran dan baja biasa, secara tidak langsung jimatkan kos penyelenggaraan," ujarnya.

Oleh itu, katanya, kedua-dua orkid ini mudah dijaga dan tidak memerlukan kos tinggi untuk di selenggara sebagai bunga landskap.

Permintaan tinggi

Walaupun baru diperkenal pada awal Disember 2017, tetapi orkid ini mendapat perhatian beberapa pihak, antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat pemaju perumahan.

Katanya, kedua-dua pihak itu berminat kerana kos penyelenggaraan yang rendah.

Antara sasaran pasaran Mardi bagi orkid ini adalah arkitek landskap, pengusaha nurseri tanaman, pengusaha landskap tanaman, pengurus taman, agensi kerajaan, peminat landskap taman dan penggemar orkid.

Pun begitu, katanya, berikutan kekangan bahan tanaman yang masih tidak mencukupi menyebabkan mereka perlu menghasilkan anak benih lebih banyak.

"Bagi merancakkan lagi proses pengeluaran, kami perlu hasilkan sekurang-kurangnya 1,000 anak pokok dalam tempoh dua minggu menerusi proses belahan dan keratan batang," katanya.

Mardi berharap dengan pengenalan orkid baharu ini sebagai perintis orkid landskap akan merancakkan lagi industri flora florikultur yang diberi keutamaan besar daripada pengguna.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 'Bellerina Orchid' Bunga Orkid Pelik Menyerupai Penari Balet!

sumber: sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon