Monday, October 02, 2017

Terowong Jalan Raya Gunung Chola Paling Tinggi Di Dunia


Terowong jalan raya tertinggi dunia mula dibuka kepada pengguna di wilayah Sichuan China, 15 tahun selepas projek itu dimulakan, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Gunung Chola

Projek mega yang terpaksa memecah masuk melalui Gunung Chola di Dataran Tinggi Qinghai-Tibet itu, terdiri daripada laluan terowong sepanjang tujuh kilometer dan lebih daripada lima kilometer jalan tambahan.

Dalam bahasa Tibet, nama Chola bermaksud gunung tinggi yang tidak boleh dicapai oleh burung helang.

Puncak gunung itu berada pada 6,168 meter dari paras laut dan diliputi oleh salji selama lapan bulan dalam setahun.

Terowong itu terletak di atas 4,000 meter. Jarak panjangnya, udara nipis dan suhu rendah pada altitud tinggi tersebut semuanya menyumbang kepada kerumitan pembinaan, kata ketua pereka terowong, Wei Yanqing.

Satu kajian kemungkinan dimulakan dalam tahun 2002 dan ia mengambil masa lapan tahun bagi pelbagai pakar untuk memuktamadkan satu pelan lengkap sebelum projek pembinaan bermula pada 2012 lalu.

Projek raksasa itu bernilai kira-kira 1.28 bilion yuan (RM828 juta), menurut Wang Qiang, ketua biro pengangkutan di Wilayah Autonomi Tibet, Garze yang mentadbir projek tersebut di kawasan pergunungan berkenaan.

Beliau menjelaskan bahawa terowong dua hala itu hanya membolehkan kenderaan dipandu pada had kelajuan maksimum 40 kilometer sejam namun ia mengambil masa kira-kira 10 minit untuk melepasi laluan tersebut.

Gunung Chola

Sebelum ini, banyak kenderaan terpaksa mengambil masa lebih daripada dua jam memandu sekeliling gunung pada lebuh raya yang terdedah kepada bencana tanah runtuh, ribut salji dan permukaan ais licin, kata Wang.

Laluan Sichuan-Tibet yang dibina pada 1951 merupakan lebuh raya pertama dibina di Tibet bagi menghubungkan wilayah terpencil berdekatan banjaran Himalaya itu sebelum dibina pula Qinghai-Tibet dan Xinjiang-Tibet.

Pihak berkuasa China menganggarkan terowong baharu itu mampu dilalui hampir 5,000 buah kenderaan setiap hari berbanding hanya 1,500 buah kenderaan yang menggunakan lebuh raya sedia ada.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 10 Jambatan Paling Tinggi Di Dunia

sumber: mynewshub

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon