Thursday, October 12, 2017

Api Misteri Hantui Keluarga Kampung Penambang!

Loading...

Penduduk di Kampung Penambang di Jalan Pantai Cahaya Bulan di Kota Bharu, gempar apabila ‘api misteri’ yang dikatakan ‘mengekori’ satu keluarga sejak tujuh tahun lepas kembali menghantui keluarga berkenaan.

Api Misteri

Pada 19 September 2017 lepas, rumah keluarga berkenaan dan jiran mereka hangus terbakar dalam kejadian yang didakwa mereka berpunca daripada api misteri itu.

Mangsa, Zainab Sulaiman, 80, menantunya Ropeah Zakaria, 50, dan cucu-cucunya, Wan Mohd Faiz Wan Hanafi, 21, Wan Nor Fatihah, 19, dan Wan Nor Fatini, 17, terpaksa berpindah ke beberapa tempat bagi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.

Bagaimanapun, keluarga itu yang menumpang di rumah seorang saudara juga di kampung berkenaan sekali lagi diserang api misteri itu menyebabkan beberapa helai pakaian, kain sejadah dan tuala yang diletakkan di dalam dua bilik terbakar Jumaat lepas (29/9/2017).

Pemilik rumah itu Faridah Sulaiman, 75, mendakwa semasa kejadian, api berkenaan dikatakan muncul sebanyak lima kali antara pukul 9.30 pagi dan 10.30 pagi menyebabkan beberapa pakaian terbakar.

Faridah yang juga adik kepada Zainab berkata pada waktu itu, beliau tiada di rumah kerana menghadiri kenduri kahwin saudara dan meninggalkan kakak dan keluarganya di rumah itu.

Katanya, rumahnya pernah terbakar tujuh tahun lepas ketika Zainab dan cucu-cucunya tinggal di situ kerana menjaga rumahnya yang ditinggalkan bagi menunaikan ibadah umrah.

Sementara itu, Zainab berkata mereka sekeluarga buntu dengan kehadiran api misteri itu dan sudah melakukan pelbagai usaha untuk memulihkan keadaan termasuk memanggil lebih 20 ustaz.

Penghulu Mukim Penambang Zainuddin Zakaria, 50, berkata bagi meringankan beban keluarga berkenaan, penduduk kampung berusaha membantu dengan merancang membina sebuah rumah kecil berhampiran rumah Faridah.

Dalam pada itu, ketika ditanya kes kebakaran yang memusnahkan dua rumah berkenaan, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Penolong Pesuruhjaya Bomba Nazili Mahmood berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

Mengulas kejadian sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed berkata kejadian di Kampung Penambang itu tidak semestinya berpunca daripada makhluk halus dan mungkin ada perkara yang tersirat.

Beliau meminta keluarga terbabit berhubung dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk siasatan lanjut kerana pihak itu mempunyai pasukan siasatan mereka sendiri dalam menguruskan perkara seperti itu.

BACA INI JUGA: Misteri Manusia Terbakar Secara Tiba-tiba

sumber: bernama

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon