Monday, May 15, 2017

Sambutan Hari Belia Antarabangsa

Sambutan Hari Belia Antarabangsa disambut pada 12 Ogos setiap tahun yang didedikasikan oleh PBB bagi merai dan mengiktiraf sumbangan aktif belia di seluruh dunia.

Hari Belia

Pada 12 Ogos tahun 1999, badan dunia tersebut telah mengisytiharkan tarikh 12 Ogos sebagai Hari Belia Antarabangsa berdasarkan Resolusi 54/120 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun tersebut.

Bermula tarikh itu juga, PBB telah memutuskan untuk mengisytiharkan 2010 sebagai permulaan International Year of Youth (IYY) dengan tema Dialogue and Mutual Understanding.

Di Malaysia, walaupun mungkin tiada sambutan khusus sempena Hari Belia Antarabangsa, namun sudah memadai diperuntukkan satu hari khas untuk negara meraikan dan mengiktiraf sumbangan belia pada 15 Mei setiap tahun di peringkat kebangsaan yang dikenali sebagai Hari Belia Negara.

Hari Belia Negara peringkat negeri dihadiri oleh pemimpin kerajaan negeri dan negara sekaligus menggambarkan kesungguhan mereka meletakkan belia sebagai aset dan modal yang amat berharga bagi Malaysia.

Secara umumnya, belia di mana sahaja mereka berada sentiasa diraikan, diiktiraf, dihargai, didengari dan diberi perhatian khusus.

Kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk menubuhkan Makmal Transformasi Pembangunan Belia yang bertujuan mengkaji kehendak dan keperluan belia dengan fokus utama kepada generasi Y yang berumur 10 hingga 28 tahun.

Ini bermakna, segala program yang dirancang kerajaan berkaitan belia adalah berdasarkan kajian kepada perubahan semasa minda generasi Y yang memberikan impak positif kepada pembangunan negara.

Selain itu, bertepatan dengan pengiktirafan global yang diberikan oleh dunia kepada warga belia melalui IYY, beberapa aspek harus diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka program pembangunan belia agar para belia Malaysia kekal kompetitif dan kompeten untuk bersaing dengan warga belia global yang lain.

Antara yang ingin difokuskan adalah aspek pembangunan program kesukarelawanan antarabangsa, yang mampu membentuk peribadi belia agar menjadi rakyat yang proaktif dalam menyumbang kepada proses pembangunan diri dan negara.

Kajian terhadap sekumpulan belia yang pernah terlibat dalam program kesukarelawanan antarabangsa ini mendapati, mereka memperoleh pelbagai manfaat dan kualiti seperti pendedahan antarabangsa, jaringan global, pelbagai skil tambahan, peningkatan keyakinan diri, kreativiti, pembukaan ufuk minda, motivasi dan kematangan.

Sebahagian besar elemen-elemen ini amat sukar diperoleh jika hanya tertumpu dalam bilik darjah dan kuliah, melainkan mereka keluar dan bercampur bersama masyarakat.

Di United Kingdom (UK), projek Gap Years diperkenalkan kepada mahasiswa dan belia bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan sepenuh masa dalam dan luar negara.

Dalam tempoh tiga hingga sembilan bulan iaitu luar daripada tempoh pembelajaran di universiti atau kolej, mereka diberi peluang sepenuh masa untuk terlibat dalam kerja kesukarelawanan yang dipilih sendiri oleh mereka. Mereka turut diberikan dana dan elaun oleh kerajaan UK.

Sebahagian besar belia di UK memilih untuk melakukan kegiatan sukarela di luar negara kerana ia memberikan mereka peluang untuk mengembara dan melihat sendiri dunia luar.

Sebagai sebuah negara maju yang melaksanakan dasar ini, ia ternyata memberikan impak positif kepada para belianya terutama dari segi kelebihan pengalaman, pendedahan, kematangan, pemikiran dan kemandirian.

Di Malaysia, Kelab Generasi Pemuda Tamadun Dunia (GPTD) telah melakukan eksperimen kesukarelawanan antarabangsa selama lebih sembilan tahun kepada belia dan mahasiswa.

Ternyata hasilnya amat menggembirakan apabila para belia yang lahir daripada program ini mempunyai kualiti dan jati diri yang amat diperlukan dalam menyumbang kepada proses pembangunan negara.

Namun begitu, eksperimen yang dilakukan oleh GPTD ini berskala kecil dan dilaksanakan di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Program kesukarelawanan antarabangsa ini wajar dipertimbangkan untuk dilaksanakan di peringkat nasional sebagai salah satu agenda dan polisi transformasi pembangunan belia bersepadu.

Ia juga diyakini mampu memenuhi cita rasa dan kehendak belia khususnya generasi Y yang sukakan aktiviti bersifat pengembaraan dan lasak.

Di samping itu, ia memberikan peluang kepada belia untuk berinteraksi dan berdialog dengan dunia luar bagi mewujudkan persefahaman dan keamanan sejagat.

Selamat menyambut Hari Belia.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.

#senarai bloglist hilang secara misteri. rakan blogger yang ada memasukkan blog ini dalam senarai bloglist, sila 'remove' blog ni ye. maaf diatas segala kesulitan.
EmoticonEmoticon