12/05/2016

Faiz Subri Pemenang Anugerah Puskas Fifa 2016!?

Ketika bola sepak negara tidak menunjukkan tanda-tanda ke arah pencapaian lebih tinggi, Faiz Subri menjadi 'penyelamat'.

Faiz Subri

Gol Mohd Faiz Subri sememangnya nasib. Tetapi ia adalah nasib yang baik. Malah bukan saja nasib baik untuk dirinya sendiri sebagai pemain bola sepak, bahkan terbias menjadi nasib yang membanggakan seluruh Malaysia.

Kemaskini: Faiz Subri Muncul Pemain Pertama Asia Menang Anugerah Puskas Fifa

Cukuplah perdebatan tentang jaringan luar biasa Faiz sama ada nasib atau tidak. Sudah jelas ia mempunyai kelas tersendiri sehingga mendapat tempat di pentas antarabangsa.

Bola sepak Malaysia sekurang-kurangnya dikenali dunia untuk sebab yang betul. Sebab yang tidak betul ialah jika Malaysia terkenal - misalnya - kerana skandal rasuah, seks, atau penganiayaan.

Walaupun kehebatan Faiz hanya dipertaruhkan melalui rakaman video, orang luar akan sedar adanya negara Malaysia dan mampunya pemain negara ini mencipta tendangan gol begitu cantik.

Kata penyair besar Indonesia - Chairil Anwar - "Nasib adalah kesunyian masing-masing".

Dan nasib Faiz hadir dalam bentuk kegembiraan yang mengubat kekecewaan kita terhadap sukan bola sepak negara.

Sebaik dicalonkan dalam 10 penjaring gol tercantik bagi dicalonkan sebagai penerima Anugerah Puskas Fifa 2016, Faiz sudah mencipta sejarah.

Faiz Subri bukan sekadar hidangan 'nasi kandar' penyedap rasa tetapi adalah calon yang selayaknya menang Anugerah Puskas Fifa 2016.

Di kakinya ada tuah

Kini, pemain tengah berusia 29 tahun itu telah dipilih sebagai tiga calon akhir untuk merebut gelaran berprestij itu.

Faiz menyifatkan ia sebagai satu bonus dan berlapang dada untuk apa jua keputusan diumumkan pada 9 Januari depan. Semoga nasib baik memihak kepada anak kelahiran Ayer Hitam itu lagi.

Secara ringkas peminat bola sepak yang mengikuti perkembangan pemain kelahiran Kedah ini pasti tidak akan menganggap gol tersebut sebagai 'nasib', atau bahasa mudah sebagai 'tidak sengaja'.

Sepanjang perjalanan bola sepak Faiz, jaringan-jaringan yang dilakukan sebelum gol istimewa itu boleh dikatakan ada kesinambungan meyakinkan.

Di kakinya ada 'tuah' yang menyusuli bakat bola sepak itu sendiri. Kita boleh menyaksikan bagaimana gol-gol yang dihasilkan Faiz Subri sebelum ini.

Jaringan Faiz terhasil dengan kesempurnaan teknik

Seperti dinyatakan bekas jurulatih Pulau Pinang Jacksen Ferreira Tiago sebelum ini, dia selalu melihat Faiz berlatih melakukan tendangan bebas.

Kata Tiago, tendangan ala Roberto Carlos itu pernah dilakukan Faiz sama ada ketika latihan atau dalam perlawanan sebenar dan dia tidak terkejut.

Jurulatih kelahiran Brazil itu percaya, tendangan Faiz adalah hasil usahanya selama ini yang tak jemu mencuba sebelum menghasilkan keajaiban.

Untuk mengulangi lagi pastinya sukar. Sesuatu yang istimewa tidak sering berlaku walaupun menjadi lumrah manusia selalu mengharap.

Akhirnya, waktu ini bukan lagi untuk kita berdebat jaringan Faiz itu tidak disengajakan, nasib atau kebetulan.

Sekarang waktu untuk kita memberi sokongan penuh kepada pemain Malaysia pertama yang sedang mengukir nama dalam sejarah bola sepak dunia.

Faiz sudah menyingkirkan bintang dunia seperti Lionel Messi dan Neymar. Sedikit sebanyak meruntuhkan ego kehebatan Argentina dan Brazil sebagai kuasa besar bola sepak dunia.

Walaupun Brazil masih mempunyai wakil sebagai pencabar melalui Johnath Marlone Azevedo da Silva di samping cabaran pemain wanita dari Venezuela, kitalah akan menentukan nasib Faiz seterusnya.

Sebelum entah bila lagi pemain bola sepak Malaysia akan dicalonkan dan menang Anugerah Puskas Fifa lalu membanggakan negara lagi, mari kita beri undian sebanyak mungkin kepada Faiz.

Kita semua pastinya mahu melihat kelibat pemain dari Malaysia berada di atas pentas, menang Anugerah Bola Sepak Terbaik Fifa 2016 di Zurich nanti.

Jom undi Faiz Subri Finalists Fifa Puskas Award 2016.

BACA INI JUGA: Apa Itu Anugerah Puskás FIFA?

Sumber: MK

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

http://datoksirkronik.blogspot.my/2017/01/faiz-subri-menang-anugerah-puskas-fifa.html

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon