May 4, 2016

Senarai Filem Wajib Tonton Mei 2016!

Bulan Mei, nampaknya didominasi oleh filem bergenre seram, dan kami senaraikan beberapa buah filem yang anda boleh tonton sepanjang bulan Mei ini.

Senarai Filem Wajib Tonton Mei 2016!

Senarai filem-filem ini dipilih berdasarkan pandangan peribadi penulis yang mungkin ada yang setuju dan sebaliknya.

Harmonika
Tarikh tayangan: 5 Mei 2016

Harmonika

Selepas kejayaan filem "Ophilia", Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-27 (FFM 27) Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin bakal muncul dengan sebuah naskhah terbarunya berjudul "Harmonika".

Mukhriz bagaimanapun akan tampil berbeza dengan filem terdahulu kerana mengarah sebuah filem seram kali ini.

Ternyata pengarah merupakan seorang yang berani apabila mempertaruhkan barisan pelakon baru seperti Elizad Sharifuddin, Ahya Rosli dan dua pelakon kanak-kanak sebagai peneraju.

Mother's Day
Tarikh tayangan: 5 Mei 2016

Mother's Day

Bulan Mei juga adalah bulan sambutan Hari Ibu, dan oleh itu jika anda tidak tahu mahu menonton filem apa bersama ibu tercinta, apa kata anda tonton filem komedi berjudul "Mother's Day" ini.

Ia berkisarkan tentang seorang hos televisyen yang merupakan seorang janda sedang mencari cinta, seorang gadis yang tidak tahu siapa ibunya dan seorang wanita yang mencari jalan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan ibunya.

Filem yang diarahkan oleh Garry Marshall ini pastinya tidak akan mengecewakan anda kerana ia dibintangi pelakon-pelakon hebat seperti Jennifer Aniston, Kate Hudson, Julia Roberts, Jason Sudeikis dan Shay Mitchell.

The Angry Birds Movie
Tarikh tayangan: 12 Mei 2016

The Angry Birds Movie

Rasanya ramai yang tergila-gila bermain permainan video Angry Birds beberapa tahun lalu bukan? Ya, selepas berjaya menjadi salah satu permainan video popular, akhirnya ia diangkat ke layar perak pula.

Ia mengisahkan tentang Red, seekor burung yang tidak boleh terbang yang tinggal di Bird Island. Dia tidak mampu mengawal kemarahan sehingga menyebabkan dia dihantar ke kelas untuk mengawal sikap pemarahnya yang mana dia kemudian bertemu dengan burung lain yang mempunyai masalah sama iaitu Chuck dan Bomb.

Kehidupan di pulau menjadi huru-hara dengan kedatangan kapal lanun Pig yang diketuai oleh kapten Leonard. Red, Chuck dan Bomb sertai misi mencari penyelamat lagenda Great Eagle untuk menyelamatkan pulau.

Apabila mereka mendapati usaha mereka sia-sia, kini terserah kepada Red untuk merancang untuk menyerang Piggy Island.

Filem animasi arahan Fergal Reilly dan Clay Kaytis ini akan menyaksikan Jason Sudeikis, Josh Gad, Danny McBride, Bill Hader, Maya Rudolph dan Peter Dinklage menyumbang suara untuk watak-watak dalam "Angry Birds Movie" ini.

Bangkok 13
Tarikh tayangan: 12 Mei 2016

Bangkok 13

Kepada peminat filem seram, jangan risau kerana bulan April juga mempunyai beberapa seleksi filem seram, antaranya adalah "Bangkok 13", sebuah filem seram dari Thailand.

Ia mengisahkan tentang seorang gadis yang mempunyai deria keenam iaitu dia boleh melihat benda-benda paranormal.

Perasaan ingin tahu telah membuatkannya menyertai rancangan televisyen yang mana mereka telah bekerjasama dengannya untuk merungkai 13 rahsia berhantu di Bangkok.

Filem arahan Dulyasit Niyomgul ini dibintangi oleh Thanthara Rungruang, Akarin Akaranitimayatharatt dan Thospol Sirvivat.

X-Men: Apocalypse
Tarikh tayangan: 19 Mei 2016

X-Men: Apocalypse

Jika bulan April filem "Marvel's Captain America: Civil War" ditayang, bulan Mei pula menyaksikan filem "X-Men: Apocalypse".

Kali ini pasukan X-Men terpaksa berdepan dengan musuh baru yang tidak sama seperti sebelum ini. Penjahat yang digelar Apocalypse adalah mutan purba yang mempunyai kuasa yang sangat luar biasa dan mahu menguasai dunia.

Filem arahan Bryan Singer ini akan menyaksikan pelakon berbeza yang akan membawa watak sebagai X-Men iaitu James McAvoy, Michael Fassbender, Jennifer Lawrence, Nicholas Hoult, Rose Byrne, Sophie Turner, Evan Peters, Olivia Munn, Ben Hardy dan Kodi Smit-McPhee.

Warcraft: The Beginning
Tarikh tayangan: 26 Mei 2016

Warcraft: The Beginning

Selepas kejayaan permainan video "Warcraft" yang mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan dari kaki-kaki permainan video, nampaknya ia juga akan diangkat ke layar perak.

Ia akan berkisarkan tentang Anduin Lothar menentang Durotan, manusia dan adiwira Orc. Apabila Dark Portal terbuka untuk menghubungkan Azeroth yang aman damai dengan dunia malap Draenor, tamadun Azeroth berdepan kemusnahan apabila pejuang-pejuang Orc cuba menjajah dunia mereka untuk mengelak dari pupus.

Filem aksi pengembaraan fantasi arahan Duncan Jones ini akan dibintangi oleh Ben Foster, Travis Fimmel, Paula Patton, Dominic Cooper dan Tobby Kebbell.

Adakah filem ini mencetuskan fenomena seperti permainan videonya? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

Demolition
Tarikh tayangan: 26 Mei 2016

Demolition

Jika anda ingin menonton sebuah filem ringan dan terhibur, filem "Demolition" adalah pilihan yang tepat untuk anda.

Ini kerana filem komedi ini mengisahkan tentang seorang pelabur bank bergelut untuk memahami emosinya selepas kematian isterinya dalam satu kemalangan.

Dia mula mencari di mana salahnya, dan akhirnya diselamatkan oleh seorang wanita yang ditemui secara tidak sengaja.

Filem arahan Jean-Marc Vallee ini menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat termasuk Jake Gyllenhaal, Naomi Watts, Chris Cooper dan Judah Lewis.

BACA INI JUGA: 5 Filem Seram Terbaik Asia

Sumber: Cinema

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

1 comments so far

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon