Wednesday, May 25, 2016

Konsert 35 Tahun Search Batal, Tiada Sebab Tipu Yazit


Bermula dengan harapan dan rasa teruja yang tinggi, akhirnya Search berasa mereka dirugikan oleh pertikaian yang tidak sepatutnya.

Search batal Konsert.jpg

Semuanya gara-gara salah faham mengenai aspek kewangan menjelang konsert 35 Tahun Search yang dijadual pada 30 Ogos ini.

Justeru Search mengarahkan peguam mereka mempertimbangkan apa saja pilihan undang-undang yang ada bagi membersihkan nama baik serta menebus 'kerugian' dialami.

Antara kerugian itu ialah hubungan yang rosak antara ahli kumpulan, serta kemudaratan daripada konflik sedang dialami.

Walaupun tidak menyatakan secara khusus peguam Search Yusmadi Yusoff berkata dia sudah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk meneliti perkara berkenaan.

"Buat masa ini Search kelihatan seperti pihak paling rugi dan ia berlaku pada waktu mereka sepatutnya menghadiahkan sesuatu yang istimewa kepada peminat sempena 35 tahun penubuhan kumpulan berkenaan.

"Saya sedang meneliti aspek perundangan yang boleh diambil terhadap penaja berkenaan," katanya kepada Malaysiakini.

Asalnya di Stadium Merdeka

Sebelum itu dalam sidang media di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, kumpulan legenda rock itu menyatakan kekecewaan mereka apabila rancangan mengadakan konsert di Litar Antarabangsa Sepang berdepan dengan masalah.

Ekoran pertikaian yang berlaku, mereka kemudian menghantar notis untuk membatalkan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani kumpulan berkenaan dengan syarikat Afjets Sdn Bhd.

Sebelum ini Search dan Afjets mengumumkan rancangan mereka membuat konsert besar-besaran bagi meraikan 35 tahun pembabitan mereka dalam hiburan negara.

Pada asalnya konsert berkenaan dirancang diadakan di Stadium Merdeka namun ditangguhkan.

Ia kemudian diumum akan diadakan di Sepang.

Konflik terjadi apabila pemain dram Search, Yazid, membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan bayaran daripada penaja.

Search kemudian menafikan dakwaan itu dan memberi tempoh 48 jam kepada Yazid untuk meminta maaf secara terbuka atas tuduhan berkenaan.

Yusmadi berkata, menjelang konsert pada Ogos nanti Search sudah memainkan peranan seperti sepatutnya, termasuk menjalankan promosi di media.

"Isunya ialah tindakan pihak penaja memberi kenyataan mengelirukan sehingga menjejas nama baik Search.

"Mereka juga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penaja seperti terkandung dalam MoU," katanya.

Sementara itu vokalis Search, Amy, berkata pihaknya berasa tawar hati dengan sikap tidak profesional ditunjuk Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Amrul Nizar Anuar dalam pertikaian dengan Yazit.

"Kami sebulat suara mengambil keputusan menarik diri daripada kerjasama itu dengan perasaan kecewa.

"Kolaborasi ini dipandang lebih memudaratkan nama baik Search dan (dibuat selepas) mengambil kira implikasi buruk yang timbul," katanya.

Duit saya berjuta, kenapa perlu tipu Yazit

Yazit.jpg

Tiada sebab untuk menggelapkan wang milik pemain dram Yazit Ahmad kerana pendapatan sedia ada sudah mencukupi, kata vokalis kumpulan Search.

Amy berkata Yazit harus berhenti melemparkan tuduhan Search tidak memberinya wang deposit konsert kerana sudah menerima banyak manfaat daripada rakan kumpulannya.

“Saya ada jutaan ringgit. Ini apa kes? Saya kawan dia, tak akan nak buat dia begitu?

“Jangan cakap kami penipu, tidak pedulikan dia. Dia bukan hidup sebatang kara nak cakap begitu. Dia ada anak-anak yang sudah besar. Ada adik-beradik.

“Cakap macam tidak ada sesiapa, macam kawan-kawan saja yang ada,” katanya kepada ProjekMMO selepas sidang media membatalkan konsert 30 Ogos ini.

Penyanyi lagu “Fantasia Bulan Madu” diminta mengulas dakwaan Yazit tidak menerima bayaran pendahuluan konsert itu, sempena ulang tahun ke-35 Search.

Dalam sidang medianya minggu lepas, Yazit juga mendakwa diabaikan ahli kumpulan itu sepanjang enam tahun menerima rawatan di hospital.

Amy, 57, berkata dakwaan rakannya itu tidak benar kerana kumpulan Search tidak mahu memperlihatkan beliau dalam keadaan sakit kepada umum.

“Saya ada gambar dengan dia di hospital. Saya tidak pernah keluarkan gambar itu kerana saya tidak mahu orang ramai tengok kawan saya dalam keadaan sakit.

“Isteri dia sakit kena batu karang di hospital, isteri saya dan mentua pergi melawat di hospital. Untuk elak bil RM20,000, dia dibawa dari Kuala Lumpur ke Melaka jam dua pagi,” katanya.

Diminta mengulas cadangan Yazit agar satu konsert kebajikan diadakan bagi menampung kos perubatannya, Amy berkata ia bukan satu keperluan.

Katanya, Yazit harus bersyukur masih menjana pendapatan hasil kerja keras ahli-ahli lain Search.

“Kenapa saya nak buat konsert kebajikan untuk dia? Setiap konsert dia dapat duit.

“Masa konsert di Istana Budaya empat malam, dia main empat lagu, dia di atas pentas setengah jam, saya dua jam setengah, saya nyanyi macam hendak mati.

“Dia dapat RM42,000 dengan duit T shirt RM7,000. Tidakkah dia kena bersyukur? Terima kasih kepada kawan-kawan yang cari rezeki,” katanya.

Amy berkata, pertikaian Yazit terhadap ahli kumpulan Search bukan isu baru, malah dia sendiri tidak disukai sejak awal penubuhan kumpulan itu.

Katanya, Yazit harus bersikap matang seiring dengan usia kumpulan rock legenda itu yang sudah 35 tahun.

“Dia tidak pernah setuju bila Hillary Ang hendak bawa saya masuk Search sejak hari pertama. Sejak itu saya tahu dia tidak suka saya.

“Selama perjuangan saya lapan tahun saman Sony, turun naik mahkamah, dia tidak pernah di situ. Dia sibuk mengata saya di belakang.

“Kita sudah 35 tahun. Umur saya sudah dekat 58. Kita tidak sepatutnya cakap begini.

“Kalau saya tidak sihat hari ini, katakanlah saya di hospital, dia dapat apa?” soal Amy, yang ditemani Nordin, pemain gitar Search.

BACA INI JUGA: 'Saya Adalah Pengasas Kumpulan Search'

Sumber: Themalaymailonline

1 comment

  1. Macam macam hal..sayang laaa kan lagenda rock gaduh sesama sendiri atas sebab kecik ermmmm..

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon