Mar 18, 2016

Pelatih Polis Meninggal Akibat Strok Haba!

Seorang pelatih asas kepolisan (PLAK) Siri 1/2016 yang baru sahaja menjalani latihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, Ahad lalu, meninggal dunia dipercayai akibat strok haba, malam kelmarin.

Meninggal Akibat Strok Haba

Pegawai Penyelaras PLAK Siri 1/2016 Pulapol Segamat, Asisten Superintendan Abu Bakar Ngah berkata, Pelatih Konstabel Azizan Ayob, 23, meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS) pada jam 10.26 malam.

“Selasa lalu, pelatih menjalani orientasi pengenalan kawasan latihan yang berakhir di padang kawad Pulapol dengan larian ringan dan belum pun masuk pusingan kedua, dia kelihatan seperti hendak pitam.

“Dia sempat dibantu oleh rakan pelatih lain dan dipapah keluar dari padang kawad sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Batu Anam. Melihat keadaannya yang agak kritikal, dia dikejarkan pula ke HDS,” katanya.

Menurutnya, mangsa berasal dari Melaka itu ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) HDS sebelum pihak Pulapol Segamat memaklumkan bapa mangsa yang juga merupakan seorang pesara polis.

Katanya, doktor turut memaklumkan keadaan mangsa kritikal kerana segala sel dalam badan sudah gagal untuk berfungsi selain terpaksa bergantung kepada bantuan mesin pernafasan.

“Mangsa disyaki mengalami strok haba dan bapa mangsa juga ada memaklumkan anaknya itu juga turut mempunyai penyakit sawan dan mengalami demam beberapa hari sebelum melaporkan diri di Pulapol Segamat.

“Malam semalam (kelmarin) pihak hospital memaklumkan tentang kematian pelatih kepada keluarga dan pihak Pulapol, sebelum jenazah diurus dan dihantar pulang ke kampung halamannya di Melaka untuk dikebumikan hari ini (semalam),” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pada waktu latihan orientasi, keadaan cuaca tidak begitu panas dan berawan serta kematian mangsa juga bukan disebabkan penderaan atau modul latihan PLAK yang sedang diikuti.

Katanya, mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangga Batu Kecil, Melaka dan Pulapol Segamat mengucapkan salam takziah kepada keluarga mangsa atas tragedi ini.

“Susulan insiden ini, pihak hospital telah memanggil pengurusan Pulapol untuk memaklumkan perkembangan dan langkah yang perlu diambil ketika musim panas bagi mengelakkan kejadian sama berlaku kepada 463 pelatih lain,” katanya.

BACA INI JUGA: Bahaya Strok Haba Dan Cara Mencegahnya

Sumber: SH

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

2 comments

kalau dah ajal..macam tulah cara kematiannya

bukan hendak meleter..tapi bagaimana arwah boleh dipilih untuk mengikuti Pulapol? Pegawai kesihatan tak periksa ke si arwah ada sejarah penyakit sawan sebelum memilih dia mengikuti Pulapol? bodoh

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon