Friday, March 25, 2016

Menyingkap Topeng Musuh Islam


Tulisan ini berinsprisasikan pembacaan terhadap buku tulisan Dr Munir Ghadban, Manhaj Haraki dalam Sirah Nabawi.

Musuh Islam

Suatu tulisan yang hebat hingga memberikan kepada kita perspektif yang agak unik dalam memahami sirah Rasulullah SAW.

Lalu dalam satu bahagian tulisan itu ada menceritakan bagaimana kebiasaannya apabila kita tanyakan kepada orang ramai, siapa musuh kita orang Islam, saya yakin ramai akan jawab, Syaitan.

Jawapan yang diberikan sangat tepat berdasarkan sepotong ayat Al-Quran, firman Allah SWT:

"Sesungguhnya syaitan itu merupakan musuh kepada kamu, maka hendaklah kamu jadikannya sebagai musuh kamu." Surah Fatir 6

Namun, persoalan seterusnya yang perlu dijawab, siapakah selain syaitan?

Ramai akan terkeliru sampai yang mengatakan syaitan sahaja musuh kita, selainnya adalah golongan yang kita perlu menyampaikan dakwah kepada mereka. Susah untuk menuduh ada musuh selain syaitan.

Kononnya takut-takut kita menafikan rahmat Islam kepada seluruh alam berdasarkan ayat firman Allah SWT:

"Dan tidak kami utuskan kamu wahai Muhammad selain untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." Surah Al-Anbiya’ 107

Namun begitu, apabila kita membaca sirah Baginda SAW, iaitu setelah tiba di Madinah. Kita melihat bagaimana Baginda menyiapkan bala tentera yang akan menentang musuh mereka iaitu Quraish.

Dr Munir Ghadban ada menyatakan pandangannya terhadap perang Badar yang seolah-olahnya dimulakan oleh Nabi Muhammad dengan hujah untuk merampas harta kafilah dagang Abu Sufyan yang ada di dalamnya harta muhajirin.

Dr Munir menyatakan apabila mengkaji kitab Hadis semula, sebenarnya yang memulakan perang ialah pihak Quraish yang mengutus surat kepada Abdullah bin Ubay di Madinah supaya membunuh Baginda SAW.

Dan juga Surat kepada Kaum muhajirin yang Quraish pasti akan memerangi mereka. Oleh yang demikian, pada pandangan Dr Munir yang memulakan perang ialah golongan Quraish iaitu dengan tindakan mengancam Rasulullah dan para muhajirin.

Perkara ini juga bukanlah suatu yang ganjil kerana mereka telah merancang membunuh Rasulullah ketika Baginda di Mekah lagi lalu berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW bersiap sedia menentang musuh Islam yang ketika itu ialah golongan Quraish.

Kembali kepada persoalan di atas mengenai musuh Islam, siapa selain syaitan?

Saya nyatakan di sini dengan tegasnya, syaitan bukan seorang diri, setiap masa dan tempat, dia akan mengambil sekumpulan manusia menjadi pengikut setia bahkan tenteranya yang akan membantu menjayakan misinya menyesatkan manusia.

Pada zaman Rasulullah SAW di awal zaman kelompok ini ialah kaum Quraish yang memerangi Baginda dan Baginda memerangi mereka dan memang berlakunya pertempuran hakiki yang menyebabkan pertumpahan darah di kalangan kedua-dua belah pihak.

USa real terrorist

Begitulah hakikatnya musuh Islam. Mereka daripada kalangan manusia berkelompok yang merancang menentang, menjatuhkan dan memusuhi Islam.

Bukan hanya syaitan yang bayangnya tidak dilihat, tetapi manusia di hadapan mata kita yang kita tidak sedari.

Sebab itulah dalam Al-Quran dalam satu surah lazim yang biasa kita baca bagaimana Allah SWT mengajarkan kepada kita supaya minta perlindungan itu bukan daripada syaitan semata-mata! kerana hakikatnya musuh kita bukanlah syaitan berbentuk jin sahaja.

“(Iaitu pembisik dan penghasut) daripada kalangan jin dan manusia.” Surah An Nas-6

Jika di zaman Rasulullah musuhnya Quraish sebelum mereka memeluk Islam, siapakah mereka pada hari ini? jika jauh di luar sana Yahudi dan Amerika, siapa di sini?

Semoga kita berhati-hati mengambil kawan dan lawan. Kejelasan terhadap siapa musuh antara kejayaan Baginda SAW membawa Islam sehingga ke ufuk tinggi.

Ust Ikram Abu Hassan
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

BACA INI JUGA: Islam Diperangi Kerana Dolar Dan Minyak!

Sumber: Ismaweb

1 comment

  1. Musuh Islam tetap tidak senang dalam hati mereka terhadap dunia Islam... semoga Allah jua yg melindungi segalanya... aamiin.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon