Friday, July 10, 2015

1,500 Isi Rumah Dapat TV Digital DTT Percuma RTM Di Sabah!


Hampir 1,500 isi rumah di Sabah akan dipilih menjadi peserta ujian penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT) bermula 27 Julai hingga Disember ini, kata Ketua Pegawai Komersial MYTV, Haniza Ros Nasaruddin.

Televisyen Digital Terestrial (DTT)

Beliau berkata kesemua peserta yang terpilih itu berada dalam lingkungan jarak kira-kira 25 kilometer hingga 100 kilometer dari tapak pemancar televisyen berkenaan di Bukit Karatong di sini.

Haniza Ros berkata peserta yang terpilih akan menerima pemasangan dekoder MYTV sementara secara percuma serta menikmati sebanyak tujuh siaran iaitu TV1, TV2, TV3, ntv7, 8TV, TV9 dan TV AlHijrah dalam bentuk digital untuk fasa pertama.

Beliau berkata dekoder sementara itu akan digantikan dengan dekoder yang baharu apabila fasa siaran ujian penyiaran DTT berakhir pada penghujung tahun ini.

“Semasa fasa ujian ini, MYTV akan membuat pertukaran daripada siaran analog kepada digital yang telah dimulakan sejak April lalu di beberapa kawasan terpilih di Semenanjung seperti di Pahang, Terengganu, serta Kelantan dan Sabah adalah yang pertama di Malaysia Timur (melaksanakan ujian penyiaran),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, fasa siaran ujian itu adalah untuk melihat keberkesanan liputan digital dari segi kekuatan penerimaan signalnya dan kualiti gambar yang dapat diterima oleh pengguna isi rumah sebelum diperkenalkan secara rasmi pada Januari tahun depan.

Beliau berkata di Sabah, sebanyak tiga kawasan dipilih sebagai stesen pemancar bagi siaran MYTV iaitu Bukit Karatong di Kota Kinabalu, Gunung Andrassy di Tawau dan Bukit Trig di Sandakan.

Haniza Ros berkata, pengguna isi rumah yang layak untuk menerima dekoder secara percuma itu perlu memenuhi beberapa syarat iaitu penerima mestilah seorang warganegara yang tidak melanggan dengan siaran berbayar, berpendapatan rendah dan golongan yang tersenarai sebagai penerima bantuan kerajaan.

Beliau berkata bagi pengguna isi rumah yang tidak tersenarai sebagai penerima bantuan kerajaan, mereka boleh mendapatkan dekoder secara percuma di cawangan yang akan ditetapkan di Sabah selepas MYTV dilancarkan pada tahun depan.

Menurut Haniza Ros selepas pelancaran MYTV, setiap pengguna isi rumah akan menikmati kira-kira 30 saluran rancangan percuma dan pengedaran dekoder bagi kawasan pedalaman adalah mengikut kawasan Pos Malaysia.

“Ini memang agenda kebangsaan dan kami memang menyasarkan 98 peratus isi rumah populasi di Malaysia akan mendapat siaran MYTV,” katanya.

Beliau berkata, keistimewaan MYTV ialah siarannya tidak terganggu akibat perubahan cuaca kerana ia disokong jaringan kabel fiber optik.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kawasan yang mungkin terhalang oleh keadaan berbukit, pemancar-pemancar berkuasa rendah yang dikenali sebagai ‘gap fillers’ akan dipasang untuk menerima signal dari pemancar utama untuk disalurkan kepada setiap pengguna isi rumah. –BERNAMA

BACA INI JUGA: OLED, TV Paling Nipis Di Dunia, Boleh Digulung Macam Kertas!

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon