Monday, March 16, 2015

SR1M, Sim Kad Rakyat 1Malaysia Akhirnya Dilancarkan


Sim Kad Rakyat 1Malaysia (SR1M) akhirnya dilancarkan dengan pek permulaan serendah RM5.90 bagi memberi pilihan terutama kepada golongan berpendapatan rendah, sederhana dan pelajar untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan telekomunikasi.

SR1M-2015

Dilancarkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek pada 16.3.2015, SR1M menawarkan perkhidmatan talian telekomunikasi, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta akses internet.

Pada harga pek permulaan serendah RM5.90 itu, pengguna akan mendapat RM5 kredit percuma berserta 150 Megabait (MB) akses internet.

Dalam ucapan perasmiannya, Hasan berkata SR1M merupakan satu lagi inisiatif di bawah pelbagai produk Rakyat 1Malaysia yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana mengurangkan beban kos sara hidup.

“Kewujudan SR1M bukanlah untuk menambah persaingan kepada industri penyedia rangkaian telefon mudah alih tetapi sebagai alternatif bagi mereka yang memerlukan telefon bimbit sebagai alat perhubungan utama seperti golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta pelajar,” katanya.

Hasan berkata SR1M menawarkan perkhidmatan telekomunikasi yang terkini pada harga rendah bersama-sama kualiti yang setara dengan pembekal perkhidmatan telekomunikasi lain.

“Kadar SR1M dapat menarik penguna telefon bimbit yang mahukan kesenangan dan kebebasan dalam penggunaan tanpa perlu terikat dengan bil telefon serta caj-caj tersembunyi yang dirungutkan,” katanya, sambil menambah SR1M menyasarkan satu juta pengguna di seluruh negara pada tahun ini.

Caj yang dikenakan oleh SR1M adalah lapan sen bagi setiap 30 saat, lapan sen bagi setiap SMS manakala penggunaan internet akan dicaj lima sen bagi setiap MB data yang dimuat turun.

Hasan berkata SR1M merupakan inisiatif syarikat swasta sepenuhnya tanpa sebarang pembiayaan atau insentif berbentuk kewangan daripada kerajaan dan ia diusahakan oleh syarikat Optic Tech Sdn Bhd yang bekerjasama dengan U-Mobile Sdn Bhd sebagai penyedia rangkaian mudah alih.

“Liputan SR1M adalah menyeluruh dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa agar pengguna dapat menikmati perkhidmatan telekomunikasi berkualiti,” katanya, sambil menambah kini terdapat sedikit gangguan di pedalaman Sabah dan ia akan ditambah baik dalam tempoh terdekat.

Hasan berkata SR1M kini menumpu kepada sistem prabayar namun perkhidmatannya akan diperluas bagi perkhidmatan pascabayar.

SR1M juga mewujudkan rangkaian kedai milik Bumiputera di dalam bidang telekomunikasi sejajar dengan dasar kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi Bumiputera, katanya.

Sementara itu, Hasan menyeru lebih banyak pihak dan syarikat swasta tampil untuk bekerjasama dengan kerajaan mewujudkan inisiatif berkonsepkan 1Malaysia agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati dan menggunakan barangan dan perkhidmatan murah dan berkualiti. –BERNAMA

BACA INI JUGA: Kenapa Pendigitalan RTM Bakal Tenggelamkan ASTRO!?

4 comments

  1. terbaik simkad rayat dah dilancarkan bila lagi ada sim kad seperti ini kat Indonesia

    ReplyDelete
  2. Harap-harap SR1M dapat bantu kurangkan perbelanjaan masa ekonomi tak menentu ini

    ReplyDelete
  3. klu peminat tegar whatsapp mmg x pandang lah ni ...

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon