Friday, August 23, 2013

Panas! Azilah Dan Sirul Dibebaskan Dari Tuduhan Membunuh Altantuya


Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu.


Ini berikutan mahkamah dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu.

Bagaimanapun, pihak pendakwa akan mempunyai peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini.

Hakim Datuk Md Apandi Ali mengetuai panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut.

Bagaimanapun, penghakiman itu dibacakan oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang memutuskan berlaku penyalaharahan yang serius oleh hakim Mahkamah Tinggi.

Ia termasuk tidak memanggil DSP Musa Safri, dan kegagalan untuk mengemukakan diari balai polis yang menyatakan bahawa Azilah (kiri) berada di Bukit Aman pada masa berkenaan.

Seorang lagi anggota panel hakim tersebut ialah Datuk Linton Albert.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan pembunuhan itu.

Azilah diwakili oleh peguam Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, manakala peguam Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Peguamcara Negara 111, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengetuai pasukan pendakwaraya yang turut dianggota DPP Manoj Kurup dan Noorin Badaruddin.

Altantuya telah dibunuh di hutan Puncak Alam dekat Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006. Menurut peguam, kedua-dua tertuduh mungkin dibebaskan dari penjara Sungai Buloh lewat hari ini.

Dalam mesej teks, Tun Majid berkata mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini. [Sumber]

Dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada 2009

Cif Inspektor Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dikenakan hukuman gantung 
sampai mati selepas didapati bersalah kerana membunuh Altantuya Shaariibu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Cif Inspektor Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar kerana didapati bersalah membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap Azilah, 33, dan Sirul Azhar, 37.

Katanya pembelaan kedua-dua tertuduh berdasarkan kepada penafian dan juga menyalahkan satu sama lain, dan dengan itu, ianya tidak boleh dipercayai.

"Mereka gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dapati konklusif.

"Saya dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kamu, Azilah dan Sirul Azhar," kata Mohd Zaki.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di satu kawasan dalam Mukim Bukit Raja dekat sini antara 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Pengarah eksekutif Malaysian Strategic Research Centre, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, yang sebelum ini dituduh bersubahat dengan mereka, telah dilepaskan dan dibebaskan pada 31 Oktober tahun lepas tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan ada kes prima kes terhadapnya.

Dalam penghakimannya hari ini, Mohd Zaki berkata pembelaan Azilah bergantung kepada keterangan yang dia tidak berada di tempat kejadian semasa jenayah itu dilakukan dan dia juga tidak membuat kenyataan berhubung tempat kejadian yang diterima oleh mahkamah.

"Dia mendakwa berada di Wangsa Maju dan dia bukannya orang terakhir berada bersama Altantuya kerana dia menyerahkan Altantuya pada malam itu kepada tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk dihantar pulang ke Hotel Malaya," katanya.

Mengenai Sirul Azhar, Hakim Mohd Zaki berkata pembelaan tertuduh kedua itu bergantung kepada keterangan bahawa dia adalah "kambing hitam", dia tidak membuat kenyataan berhubung barangan peribadi milik Altantuya, dia tidak berada di tempat kejadian sebaliknya berada di Sri Hartamas dan di Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan Altantuya tidak diserahkan kepadanya oleh Azilah untuk dibawa ke Hotel Malaya.

Pihak pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid manakala peguam Datuk Hazman Ahmad dan J. Kuldeep Kumar mewakili Azilah dan peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Marican serta Ahmad Zaidi Zainal mewakili Sirul Azhar.

Ketika hukuman dijatuhkan, Azilah dan Sirul Azhar kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang emosi. Di luar mahkamah, tunang Azilah, Nur Azila Baharuddin berkata keluarga Azilah di Sarawak telah diberitahu mengenai keputusan mahkamah itu dan mereka amat sedih kerana mengharapkan dia akan dibebaskan.

Nur Azila berkata beliau tetap berharap Azilah akan dibebaskan apabila rayuan terhadap keputusan hari ini dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutan.

Ditanya mengenai rancangan masa depan mereka berdua, Nur Azilah berkata:

"Tak ada rancangan lagi tapi memanglah nak kahwin sebab dah lama tunggu, kita berkenalan sejak 2004 dan bertunang pada 2006."

Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman AlHabshi yang turut ditemui pemberita, berkata beliau telah menghubungi bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu, untuk memaklumkan mengenai keputusan itu pada pukul 9.30 pagi tadi.

Beliau berkata Shaariibuu, berasa lega dan berpuas hati dengan keputusan hari ini serta ingin mengetahui perkembangan selanjutnya mengenai tindakan yang akan diambil oleh pihak pembelaan.

Ditanya mengapa Shaariibuu tidak hadir, Abdul Rahman menjelaskan beliau (Shaariibuu) terkeliru dengan laporan media antarabangsa bahawa keputusan hari ini ditangguhkan ke tarikh lain, selain keadaan kesihatannya yang tidak begitu baik.

Timbalan Pendakwa Raya Tun Majid Tun Hamzah pula berkata kes itu belum berakhir kerana ia boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Melainkan keputusan hari ini dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan nanti, barulah boleh dikatakan kes ini telah selesai," katanya. [Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon