Thursday, July 25, 2013

'Bonus' RM500 Untuk Penjawat Awam Dibayar 31 Julai


Kerajaan bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebagai persiapan Hari Raya Aidilftri kepada penjawat awam dari Gred1 – Gred54 bernilai RM500 yang akan dibayar pada 31 Julai depan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu kenyataan berkata ia melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM670 juta.

Sementara itu, Najib berkata bagi menghargai pesara kakitangan awam kerajaan turut bersetuju memberi Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM250 kepada 660,000 orang penjawat awam yang bersara dan menerima pencen.

Bayaran itu juga akan dibuat pada 31 Julai depan dengan peruntukan kewangan sebanyak RM165 juta.

Selain itu, Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.7 bilion bagi pembayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan Aidilfitri.

“Bagi tahun 2013, semua penjawat awam akan menikmati dua KGT, pertama adalah kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang diterima pada 25 Julai depan,” katanya.

Menurut beliau, ini dilaksanakan berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember tahun ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM1.3 bilion untuk 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

Kerajaan Selangor Bagi Bonus Sebulan Gaji

Sementara itu kerajaan negeri Selangor bersetuju memberikan bonus sebulan gaji kepada kakitangan awam di negeri tersebut.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM30 juta untuk tujuan itu kepada 21,776 kakitangan tetap, kontrak serta sambilan dan bonus akan diberi selewat-lewatnya hujung bulan ini.

“Jika Kerajaan Persekutuan mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini.

“Saya berharap bonus ini meringankan tanggungan warga kerja kerajaan negeri bagi menghadapi persiapan raya.

“Kita juga berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus untuk simpanan dan kegunaan masa depan,” katanya.

-SP

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon