Friday, June 14, 2013

Memahami Peranan Broker Senjata Dan Angkatan Tentera Malaysia


Anda pernah menonton Lord Of War lakonan Nicolas Cage. Lord Of War merupakan kisah tentang seorang broker senjata yang bernama Yuri Orlov dengan kerjaya uniknya iaitu menjual dan membekalkan senjata api haram kepada pihak bertelagah seperti di Colombia dan Afrika.

Arms-dealer

Agak menarik kisahnya tetapi saya hentikan setakat ini sahaja kerana ini bukan blog kupasan filem.

Siapa Broker Senjata?

Dalam dunia ada broker senjata yang kewujudannya benar dan profesion ini adalah satu realiti seperti manusia yang bernama Viktor Bout dan Leonid Menin (Sumber Wikipedia).

Ada satu lagi broker senjata yang saya selalu jumpa, iaitu agen atau wakil syarikat-syarikat pertahanan luar yang bersaing sesama sendiri untuk menjual sistem pertahanan mereka kepada kerajaan Malaysia.

Mereka ini mendapat komisyen yang lumayan di antara 1 hingga 10 peratus keuntungan yang diperolehi oleh syarikat yang diwakili mereka.

Sesiapa sahaja layak menjadi broker senjata, tidak ada kelulusan spesifik seperti diploma atau ijazah malah seorang broker senjata yang saya kenal mempunyai kelulusan hanya O-Level sahaja dan seorang lagi merupakan bekas jeneral berpangkat datuk.

Mereka ini sangat berdedikasi, mahir dalam bidang masing-masing, seorang dari mereka mempunyai pengetahuan yang luas dalam peperangan elektronik kerana beliau sekarang sedang menjual sistem radar dan beberapa lagi sistem yang berkaitan dengan peperangan elektronik kepada pihak tentera.

Beliau sendiri tidak pernah mengikuti mana-mana kursus khas malah bukan seorang jurutera atau pakar komputer pun, asalnya seorang broker daging ayam.

Dedikasi menyebabkan beliau sanggup menimba ilmu dari buku-buku atau laporan berkala dari majalah elektronik seperti Janes Defence untuk membolehkan beliau mempunyai ilmu yang lengkap dalam peperangan elektronik.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa pengetahuan beliau dalam bidang elektronik kadang-kadang menewaskan pegawai tentera yang beliau temui, yelah, nama pun ahli perniagaan, kalau tak dapat nak patahkan hujah lawan, macam mana nak jual barang kan?

Seorang lagi broker senjata yang saya kenal pernah dibayar komisyen yang lumayan di atas satu urusniaga dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), ini membuktikan kerjaya ini menjanjikan pendapatan yang sangat lumayan.

Ia sebenarnya bukan kerjaya makan gaji tetapi lebih kepada ahli perniagaan.

Peranan Broker Senjata

Mungkin ramai yang tertanya mengapa pembelian sistem pertahanan senjata tidak boleh dibuat secara langsung seperti di antara pembeli dengan pengeluar?

Saya tidak pasti soal ini kerana tidak dapat mengesan perolehan mana yang menggunakan konsep seperti di atas.

Sesebuah syarikat pengeluar senjata tidak mampu atau tidak kos efektif untuk membuka pejabatnya di Kuala Lumpur, ia sangat merugikan dalam soal pembayaran sewa pejabat, kereta, bil-bil utiliti dan gaji kakitangan sedangkan kontrak belum tentu dapat.

Cuba kita fikirkan…Boeing pernah mendapat kontrak membekalkan pesawat pejuang F/A 18D Hornet kepada Malaysia kira-kira 20 tahun lepas dan itulah satu-satunya kontrak yang berjaya diperolehi oleh syarikat itu sehingga sekarang.

Pembelian kedua dari jenis Super Hornet belum tentu ada lagi. Fikirkan berbaloi atau tidak jika Boeing mahu menubuhkan pejabat korporatnya di Kuala Lumpur untuk melobi kerajaan membeli lagi sistem senjata syarikat itu sedangkan sudah terbukti selepas 20 tahun, Malaysia masih tidak membeli apa-apa pesawat ketenteraan dari Boeing.

Bukankah lebih kos efektif dan strategik jika Boeing menawarkan syarikat Malaysia atau broker senjata tempatan menjadi wakil mereka di ibunegara.

Syarikat atau broker ini akan menanggung kos operasi mereka sendiri seperti sewaan pejabat dan gaji kakitangan dan kos-kos ini tidak ada kena mengena dengan Boieng.

Broker senjata ini akan diberi tempoh untuk membuat jualan dan jika gagal, tawaran akan dipindahkan kepada syarikat lain yang mampu memujuk kerajaan Malaysia membeli sistem senjata yang dikeluarkan.

Macamana Nak Jadi Broker Senjata?

ATM - arms-dealer

Saya tidak pasti bagaimana caranya untuk menjadi seorang broker senjata. Saya sendiri pernah ditawar untuk bekerja dengan salah seorang broker senjata untuk menjalankan kerja-kerja analisis tetapi tawaran itu terpaksa saya tolak disebabkan faktor-faktor tertentu.

Cara mereka menjalankan urusniaga sangat unik, masing-masing mempunyai skil tersendiri malah mempunyai sedikit pengetahuan mengenai “Corporate Espionage”, “Intelligence Gathering” dan pelbagai skill risik.

Mereka akan menyiasat dan mencari kelemahan produk sistem pertahanan lawan dan kemudian menawarkan timbal balas yang paling menarik kepada ATM dan kerajaan Malaysia.

Misalnya, kita tahu bahawa ATM sedang mencari pesawat AWACS dalam Rancangan Malaysia ke 10 dan beberapa buah syarikat dari Amerika Syarikat serta Eropah sedang bersaing menunggu tender untuk pesawat ini dibuka oleh Kementerian Kewangan.

Seorang broker senjata yang baik akan meminta syarikat prinsipalnya (syarikat yang diwakili) untuk menawarkan timbal balas yang menarik untuk kerajaan Malaysia samada dari segi penambahan jumlah penerbangan pesawat MAS, pembayaran melalui minyak kelapa sawit atau balasan “Transfer of Technology”.

Saya tidak pasti jika ini benar tetapi kalau tidak silap apabila Malaysia bersetuju membeli pesawat penyerang F/A 18D Hornet dahulu, negara ini juga mendapat faedah dari segi pertukaran teknologi yang membabitkan pemasangan alat pandang malam atau Night Vision Gogle (NVG).

Ekoran dari itu, teknologi sensitif seperti NVG berjaya dibawa masuk dan kini mula dipasang oleh syarikat-syarikat tempatan.

Sebagai contoh, broker senjata yang diberi nama A ini merupakan wakil kepada syarikat Boeing dan dalam usaha untuk menjual pesawat Boeing 737 AWACS kepada TUDM.

Kita tahu pesawat ini sangat mahal harganya berbanding pilihan dari negara Eropah, tetapi A telah berjaya menyakinkan kerajaan Malaysia bahawa Boeing dengan kebenaran kongres AS mahu membawa masuk produk halal Malaysia ke AS kerana AS mempunyai jutaan penduduk Islam dan ia merupakan pasaran yang sangat lumahan untuk
Halal Hub Malaysia.

Oleh kerana pembelian Boeing 737 memberikan faedah dari jangka panjang (kemasukan produk halal tadi), kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk membeli pesawat tadi walaupun ada pilihan yang murah dari negara Eropah.

Soal inilah yang gagal difahami oleh kebanyakkan rakyat negara ini termasuklah ahli-ahli politik kita, umum harus faham, pembelian senjata bukan semudah dan sama soal teknikalnya semasa kita membeli kereta, pemahaman yang sempit inilah akhirnya melahirkan pelbagai tuduhan dengan fakta-fakta perbezaan harga yang sebenarya diambil dari internet.

Sebagai contoh perbezaan harga Sukhoi Malaysia dengan India atau Vietnam di mana semua fakta seperti harga diambil dari laman-laman web sedangkan soal ini sebenarnya agak rahsia dan sukar untuk dicongak realiti sebenar hanya berdasarkan angka-angka dollar dan ringgit itu.

Komisyen

Soal komisyen yang nilainya berjuta bukan perkara baru dan isu ini mula menjadi hangat semasa kerajaan membeli kapal selam Scorpene melalui syarikat Razak Baginda dan beliau dibayar jutaan ringgit tetapi isu kapal Scorpene ini merupakan isu yang lain dan saya tidak berminat untuk menyentuh soal itu kerana umum sudah pun mengetahuinya melalui penjelasan dari Kementerian Pertahanan Malaysia dan pernah diterbitkan dalam akhbar serta journal pertahanan tempatan seperti Perajurit dan Tempur.

Dalam soal broker senjata ini, komisyen bukan dibayar oleh kerajaan Malaysia atau ATM (PERINGATAN!!! KOMISYEN TIDAK DIBAYAR OLEH KERAJAAN MALAYSIA), sebaliknya komisyen dibayar oleh syarikat prinsipal kepada broker senjata itu sendiri.

Soal bayaran komisyen tidak ada kena mengena di antara kerajaan dengan broker senjata.

Kita lihat soal pembelian helikopter EC725 Eurocpoter yang bernilai RM1.6 bilion, cuba bayangkan 10 peratus dari jumlah itu dibayar sebagai komisyen oleh Eurocopter kepada broker senjata tempatan?

Unsur Rasuah

Umumnya bukan mudah untuk melibatkan rasuah dalam pembelian senjata oleh kerajaan kerana ia juga membabitkan kelulusan beberapa panel dari ATM, Kementerian Kewangan dan bermacam lagi termasuklah Jawatankuasa Kira-kira Am yang terdiri dari wakil parti pembangkang dan kerajaan.

Pembelian senjata dari blok barat dan Eropah lebih ketat syaratnya dan sukar untuk mewujudkan senario rasuah tetapi tidak tahulah dengan blok sebelah Timur seperti Russia atau Ukraine.

BACA INI JUGA: Sejarah Dan Kehebatan Senjata AK-47

[Sumber]

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon