Tuesday, March 21, 2023

Boikot Kurma Medjoul Keluaran Israel, Beli Kurma Dari Palestin!

Boikot Kurma Medjoul Keluaran Israel, Beli Kurma Dari Palestin!

Umat Islam di seluruh dunia digesa menyemak label pada produk buah-buahan bagi mengelakkan daripada membeli kurma keluaran negara haram Israel.

Penganjur boikot, Friends of Al-Aqsa (FOA - foa.org.uk) – yang berpangkalan di UK – berkata, langkah itu sebagai usaha menentang jenayah apartheid pengganas Israel ke atas Palestin.

Boycott-israeli-dates-2023

Dengan cara tidak membeli kurma Israel, masyarakat Islam boleh menghantar mesej jelas mengecam pendudukan haram Israel dan apartheid di Palestin.

Israel ialah pengeluar kurma Medjoul terbesar di dunia, dengan 50 peratus kurma Israel dieksport ke Eropah, yang dijual di pasaraya utama serta kedai tempatan di seluruh benua, kata FOA dalam satu kenyataan.

SENARAI SYARIKAT ISRAEL PENGELUAR KURMA
*Setakat yang diketahui.

MEHADRIN

Mehadrin_medjoul_israel

Jenama: Mehadrin
Laman web: mehadrin.co.il

GALILEE

Galilee_dates_israel

Jenama: Galilee
Laman web: galilee-export.com

HADIKLAIM

hadiklaim_king_solomon_dates_israel

Jenama: King Solomon Dates
Laman web: hadiklaim.com

MEDJOOLPLUS

medjoolplus_dates_israel

Jenama: MedjoolPlusMp
Laman web: medjoolplus.com

AGRIFOOD-MARKETING

agrifood-marketing_israel_dates

Jenama: Star Dates
Laman web: agrifood-marketing.com

JORDAN RIVER-DATES

jordan_river_israel_dates

Jenama: Jordan River Dates
Laman web: jordanriver-dates.com

CARMEL AGREXCO

Jenama: King Medjoul Dates
Laman web: agrexco.com

URBAN PLATTER

urban_platter-israeli_dates

Jenama: Urban Platter
Laman web: urbanplatter.in

NAVAFRESH

NAVAFRESH - King Solomon Dates

Jenama: King Solomon Dates -Medjoul Natural Dates
Laman web: navafresh.com

NEGARA EROPAH PENGIMPORT KURMA PENGGANAS ISRAEL

KURMA TESCO ISRAEL
Menurut FOA, United Kingdom (UK), Belanda, Perancis, Sepanyol dan Itali antara yang mengimport buah kering dalam kuantiti banyak.

Pada tahun 2020, UK mengimport lebih 3,000 tan kurma dari Israel bernilai AS$8.9 juta.

Atas dasar itu, FOA mendesak boikot berkenaan dilancarkan berikutan tindakan kejam Israel membunuh sekurang-kurangnya 62 rakyat Palestin termasuk 13 kanak-kanak setakat tahun ini.

Kerajaan Israel meningkatkan perobohan rumah pada kadar yang membimbangkan dan berjanji untuk mengembangkan penempatan haramnya, katanya.

FOA menegaskan, organisasi hak asasi manusia antarabangsa termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch menyatakan bahawa Israel melakukan jenayah apartheid, namun negara Eropah gagal mengenakan sekatan ke atas Tel Aviv atau menegakkan undang-undang antarabangsa.

KEMPEN BELI KURMA MEDJOUL DAN PRODUK PALESTIN

BELI KURMA PRODUK PALESTIN

Kurma Medjoul Palestin

Berikut adalah kenyataan dan fakta ARIHA bagi menjawab persoalan-persoalan berkaitan Kurma Medjoul ARIHA dari Palestin.

1. Objektif ARIHA

Objektif utama ARIHA ialah untuk membantu meningkatkan ekonomi dan pendapatan para peladang, pekerja dan peniaga Palestin untuk menjamin 'sustainability' rakyat Palestin di Tebing Barat yang situasinya berlainan dari Gaza.

Projek pertanian Palestin terutamanya kurma sudah terbukti membantu rakyat Palestin dan bukannya memberi mudarat (contoh oleh Palestinian Agricultural Relief Committees, PARC seperti di bawah).

ARIHA turut menyalurkan bantuan kewangan hasil keuntungan jualan ke Palestin.

Pek media PARC: https://zaytoun.uk/frequently-asked-questions/

2. Sumber kurma Medjoul ARIHA

Kurma Medjoul ARIHA diambil dari ladang kurma di daerah Ariha (Jericho) yang berada dibawah pentadbiran kerajaan Palestinian Authority (boleh rujuk Oslo Accord 1993).

ARIHA mempunyai 'Certificate of Origin' dari Palestinian Authority yang membuktikan produk kurma ARIHA adalah hasil rakyat Palestin.

ARIHA juga mempunyai rakan kongsi yang memeriksa sendiri ladang-ladang kurma dan kilang pembungkusan untuk memastikan setiap biji kurma ARIHA adalah hasil tulen rakyat Palestin.

3. 100% hasil keluaran rakyat Palestin

Ladang kurma di ARIHA dimiliki sepenuhnya oleh peladang kurma Palestin dan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Israel.

Malah, peladang kurma Palestin bersaing dengan peladang Israel yang menerima subsidi pertanian dari kerajaan Israel.

ARIHA berharap pembeli kurma sentiasa berhati-hati dan memeriksa label, jenama kurma untuk memastikan kurma yang dibeli adalah produk tulen rakyat Palestin (lawati https://www.foa.org.uk/campaigns).

4. Tiada 'cukai export' oleh Israel

Tiada sebarang 'cukai export' dikenakan oleh Israel ke atas semua produk Palestin yang diexport.

Malangnya, semua pintu masuk/keluar Tebing Barat dikawal oleh Israel, oleh itu peniaga Palestin terpaksa menghantar export mereka melalui pelabuhan yang dikendalikan oleh Israel.

Semua rakyat Israel dan Palestin hanya perlu membayar yuran yang sangat minima (yuran pemeriksaan, dsb) untuk menggunakan kemudahan pelabuhan.

5. Kapal/kontena

Kurma ARIHA dihantar oleh pembekal Palestin menggunakan kapal/kontena milik Jepun/Taiwan/Singapura dan TIDAK dihantar menggunakan kapal/kontena syarikat Israel.

6. ARIHA dan Aqsa Syarif

ARIHA bertanggungjawab sepenuhnya terhadap import dan pengurusan kurma Medjoul Palestin.

Aqsa Syarif Berhad tidak mengeluarkan modal dan tenaga kerja serta tidak terlibat dalam pengurusan.

ARIHA memberikan hasil keuntungan jualan ke Aqsa Syarif untuk disalurkan ke projek-projek perladangan Palestin.

ARIHA mengharapkan agar semua pihak tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak tepat atau meragukan yang boleh menutup pintu rezeki rakyat Palestin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Monday, March 20, 2023

6 Resipi Roti Bakar Ketika Sahur, Cepat Dan Mengenyangkan!

6 Resipi Roti Bakar Ketika Sahur, Cepat Dan Mengenyangkan!

Selain berkhasiat, sesuatu makanan itu juga haruslah ringkas serta mudah disediakan kerana di pagi hari ramai yang kelang-kabut untuk bersiap ke tempat kerja.

Pencipta kandungan masakan, Linda Safar ada berkongsi resepi roti bakar yang bukan sahaja sesuai untuk sarapan malah boleh dicuba ketika bersahur nanti disepanjang bulan Ramadhan.

Ayuh kita cuba sendiri di rumah dan rasai kelazatannya!

1. Roti bakar telur goyang

Roti bakar telur goyang

Bahan-bahan:
  • Roti, cheese, telur.

Cara penyediaan:
  • Lenyek bulat di bahagian tengah roti.
  • Tabur cheese di sekeliling bahagian roti.
  • Letak telur di tengah roti dan set suhu ketuhar untuk 180’c selama 17 minit.

2. Roti jagung cheese

Roti jagung cheese

Bahan-bahan:
  • Roti, hirisan chicken ham, jagung, cheese.

Cara penyediaan:
  • Campur dan sebatikan chicken ham dengan jagung dan mayonis.
  • Lenyek bahagian tengah roti.
  • Ratakan bahan tadi ke atas roti, lapis cheese di atas.
  • Set suhu ketuhar kepada 180’C selama 15 minit.

3. Roti bakar gula

Roti bakar gula

Bahan-bahan:
  • Roti, mentega, gula.

Cara penyediaan:
  • Hiris hiris bahagian atas roti dalam bentuk kotak seperti gambar di atas.
  • Tuang mentega (dicairkan) ke atas keseluruhan permukaan roti.
  • Tabur gula di atas, bakar dalam ketuhar 180’C selama 10 minit.

4. Roti bakar blueberry

Roti bakar blueberry

Bahan-bahan:
  • Roti, blueberry, yogurt, telur kuning.

Cara penyediaan:
  • Yogurt dan telur kuning digaul sekata di atas roti.
  • Lenyek bahagian tengah roti supaya jadi tenggelam sedikit dan ada ruang.
  • Tuang bancuhan tadi.
  • Susun blueberry.
  • Set suhu kepada 180’C selama15 minit.

5. Roti telur udang

Roti telur udang

Bahan-bahan:
  • Udang, telur, roti, susu, timun.

Cara penyediaan:
  • Campurkan telur, susu, garam.
  • Masak udang guna sedikit minyak.
  • Buat telur dadar dengan sedikit minyak.
  • Susun timun dengan potongan memanjang.
  • Susun telur dan udang di atas roti, kemudian letak sos jika suka.

6. Roti sosej cheese

Roti sosej cheese

Bahan-bahan:
  • Roti, sosej dan bawang, cheese parut.

Cara penyediaan:
  • Ratakan mayo dan sos tomato.
  • Tabur sedikit cheese.
  • Susun sosej.
  • Tabur daun bawang, cheese dan mayo.
  • Bakar suhu 180'c dalam ketuhar selama 15 minit.

Selamat mencuba!

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Monday, March 13, 2023

SBDJ Siri 190: Ayah Perkosa Anak Kandung

SBDJ Siri 190: Ayah Perkosa Anak Kandung

Haji Basilam pun memulakan langkahnya. Kami segera mengekorinya, meredah pepokok renik dan badan yang dingin kembali berpeluh. Panas kembali terasa mengigit kulit tubuh. Sesekali terdengar siulan burung liar. Kami segera berjalan hingga bertemu dengan jalan enam kaki yang debunya berterbangan ditolak angin. Debu-debu itu jatuh di dedaunan dikiri kanan jalan enam kaki.

Toyol jadi-jadian

"Berhenti."

Haji Basilam angkat tangan. Langkah kami segera terhenti.

"Kenapa Pak Aji?" Tanya Andi Kamarool.

"Apa yang kamu berdua alami dan rasai bersama aku tetap menjadi rahsia kita bertiga, tidak boleh diceritakan pada orang lain," wajah kami terus ditatap oleh Haji Basilam silih berganti.

Saya dan Andi Kamarool bertukar pandangan. Kemudian, serentak kami mengangguk.

"Jika aku tahu, kamu berdua pecahkan rahsia ni pada orang lain, aku pecahkan kepala kamu berdua dengan ini.." Haji Basilam mengacukan penumbuk kepada kami berdua.

Wajahnya nampak serius, anak mata hitamnya bagaikan memancar keazaman. Nada suaranya cukup keras, membuat hati kami kecut perut.

"Kami berjanji patuh dengan pesan Pak Aji," serentak kami memberi ikrar.

"Ok."

Ada senyum terukir di kelopak bibir Haji Basilam. Saya menarik nafas lega.

"Mari Andi. Tamar, kita dah lewat ni."

Haji Basilam segera menarik tangan saya dan Andi Kamarool. Kami dipeluk dan ditolak dengan kasar agar mara ke depan.

Kemudian digesa berjalan cepat menuju ke kawasan perumahan. Saya tidak berminat bertanya pada Haji Basilam nama kampung yang ditujui. Sampai dipintu tangga rumah kelak, nama kampung akan diketahui juga, fikir saya dalam hati.

Setelah melepasi sebuah surau kecil berdinding papan, beratap zink, seterusnya, kami berdepan dengan sebuah rumah berbumbung limas. Halamannya, cukup bersih dari dedauan dan rerumput.

Kiri kanan halaman ditanam dengan pokok kemunting serta diselang seli dengan pokok bunga kertas.

"Datuk kamu ada di rumah tu."

Itu yang dituturkan oleh Haji Basilam, sebaik saja sebelah kaki saya berada di halaman rumah tersebut. Saya anggukkan kepala, Andi Kamarool tersenyum. Kami terus mendekati rumah berbumbung limas itu.

Entah bagaimana, pandangan saya tertumpu ke arah sesusuk lelaki tua yang berdiri di situ? Muncul pertanyaan dalam hati.

Walau demikian, di bawah sinar matahari yang membahang itu, saya terus mengamati lembaga tersebut. Sudah nyata, orang yang berdiri itu, tidak lain, tidak bukan ialah datuk saya.

Dia melambai-lambaikan tangan ke arah kami bersama senyum lebar. Lambaian kami balas, Langkah dipercepatkan menuju ke rumah.

"Lama juga kamu menanti budak-budak ni?"

Begitulah datuk menyambut kedatangan kami. Haji Basilam tidak segera menjawab. Malah dengan tenang mengesat peluh di dahi dengan hujung baju. Saya dan Andi Kamarool terus tercegat di kaki tangga.

"Budak-budak ni, buat hal pula. Lain yang disuruh, lain pula yang mereka buat," sahut Haji Basilam sambil menjeling ke arah saya dan Andi Kamarool. Kami pura-pura buat bodoh.

"Tak sangka agakan aku betul, memang aku jangka budak berdua ni, suka buat tergeliat," tanpa memandang ke arah kami datuk bersuara.

"Naik," Haji Basilam mengeluarkan perintah. Semuanya kami patuhi.

Setelah berada lebih dari tiga jam di dalam perut rumah berbumbung limas, sejarah rumah itu terungkap. Rumah yang sudah berusia lebih dari seratus tahun itu, milik salah seorang keluarga rapat Haji Basilam.

Sejak pemiliknya meninggal dunia, rumah tersebut terbiar dan menjadi rumah penginapan istimewa bila Haji Basilam berkunjung ke daerah Kerinchi.

"Saudara mara rapat yang lain, boleh dikatakan tidak betah tinggal di rumah ni. Paling lama mereka boleh tidur semalaman saja, masuk malam kedua, kena campak keluar," tenang sekali Haji Basilam mengungkapkan kisah aneh rumah pusaka.

"Pak aji pernah kena campak?" Andi Kamarool bertanya.

"Setakat ni belum lagi, Insya Allah perkara macam tu tak akan terjadi. Datuk si Tamar juga hebat, dah tiga hari tiga malam di sini, dia tak apa-apa."

"Ahemmm.." Datuk bersuara.

Haji Basilam segera menoleh ke arahnya (datuk) yang berdiri dekat tingkap. Serentak mereka ketawa kecil yang tersirat dengan seribu makna.

"Kata kamu dulu, kamu nak beri pengalaman baru pada budak-budak berdua ni. Ada baiknya kamu memikirkan perkara itu daripada bercerita tentang rumah lama dan diri aku," datuk melontarkan komen.

"Saya ingat."

"Apa rancangan yang kamu siapkan untuk mereka?"

"Mencari orang pendek?" biji mata datuk terbeliak.

Kemudian dia termenung sebentar, macam ada sesuatu yang difikirkan. Tanpa banyak cakap datuk masuk ke biliknya.

JUMPA

Petang itu, Haji Basilam membawa kami berjumpa dengan beberapa orang tertentu yang masih ada pertalian keluarga dengannya.

Selama Haji Basilam dan datuk menginap di rumah pusaka, mereka bermurah hati menyediakan sarapan pagi, makan tengahari dan malam untuk datuk dan Haji Basilam.

Imam surau berdekatan meminta datuk menjadi imam serta mengajar ilmu agama. Datuk tidak menghampakan permintaan tersebut.

Dalam sekelip mata saja nama datuk jadi buah mulut penduduk setempat. Kalau mereka menghadapi masalah hukum agama, datuk jadi tempat rujukan.

Pendek kata, datuk jadi tumpuan, tempat mengadu susah senang dan meminta nasihat. Malah kalau ada yang kena sakit demam, datuk juga jadi tumpuan.

"Datuk kamu terkenal di sini," bisik Haji Basilam, ketika keluar dari sebuah rumah anak buahnya.

Saya hanya anggukkan kepala sambil melagakan sisi bawah dengan atas berkali-kali. Andi Kamarool tidak memberikan sebarang komentar.

"Kamu berdua boleh pergi ke mana-mana di kampung ni. Dari pangkal hingga hujung kampung ni semuanya anak buah aku, keselamatan kamu terjamin, aku nak balik dulu. Ada hal yang nak aku buat bersama datuk kamu di rumah," Haji Basilam segera meninggalkan saya dan Andi Kamarool di kelapa simpang.

Kerana cuaca baik, saya mengajak Andi Kamarool pergi ke sebuah kawasan sebelah utara. Saya amat terpikat dengan suara burung merbuk yang datang dari arah tersebut.

Permintaan saya tidak dihampakan oleh Andi Kamarool. Bila sampai di kawasan tersebut, saya dapati banyak sekali beburung merbuk terbang bebas dan turun berkejar-kejaran dikawasan yang berpasir halus.

Sebagai manusia yang memang minat dengan burung merbuk terutama suaranya, keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan begitu membuat saya lupa dengan keadaan sekitar.

Tanpa kami sedari, langit yang putih bersih, segera bertukar menjadi hitam pekat, angin mula bertiup kencang. Dedaun tua dan reranting yang reput segera berjatuhan. Dalam sekelip mata, beburung merbuk yang berkeliaran terus ghaib entah ke mana.

"Hari nak ribut," kata Andi Kamarool.

Saya anggukan kepala.

"Kita balik Tamar."

"Tak sempat sampai, kita tumpang, kita tumpang teduh di mana-mana."

"Ayuh, kita cari tempat," Andi Kamarool mengemukakan usul.

Sebaik saja Andi Kamarool selesai bercakap, hujan pun turun dengan lebatnya. Kami tiada pilihan dan terpaksa meredah hujan lebat yang turun berjurai.

Akhirnya, kami tumpang berteduh di sebuah pondok usang. Saya dan Andi Kamarool mula menggigil.

Hujan terus turun mencurah-curah dan kali ini disertai dengan petir dan kilat sabung menyabung, memekakkan anak telinga. Di mana-mana kelihatan air sekata.

Kabel letrik yang terentang ditiang berlaga sama sendiri hingga menimbulkan percikan bunga api. Saya melihat dahan yang sekah dari pokok lalu jatuh ke bumi. Keadaan sekeliling sungguh mendebarkan. Sungguh menakutkan.

"Ribut dan hujan bersatu," saya merunggut.

"Macam membawa petanda yang buruk," sahut Andi Kamarool.

Dan satu ledakan petir mengegarkan seluruh kawasan. Kelihatan api petir menjilat pokok nibung.

"Macamana kita Tamar. Apakah kita mesti bertahan di sini."

"Sabar, bila reda kita balik."

Andi Kamarool mengangguk setuju.

Tidak lama berselang hujan beransur kurang. Begitu juga dengan angin. Kilat dan petir juga tidak sehebat tadi. Tanpa melengah-lengahkan masa, kami pun memulakan langkah pulang penuh debar.

"Terperangkap?" Tanya datuk sebaik sahaja kami melintasi ruang tengah untuk menuju ke bahagian belakang.

"Hujan lebat, petir dengan kilat sabung menyabung, angin cukup kuat." Andi Kamarool menjawab.

Ketika itu, saya sudah pun berada di bahagian belakang rumah menukar pakaian yang basah.

"Singgah dimana?"

Haji Basilam pula bertanya.

"Di rumah tinggal."

Jawapan itu disambut oleh datuk dan Haji Basilam dengan ketawa kecil. Haji Basilam memberitahu Andi Kamarool, semasa ketiadaan kami tadi, mereka dikunjungi oleh dua orang lelaki. Tetamu yang tidak diundang itu meninggalkan rumah sebelum hujan lebat turun.

Anehnya, Haji Basilam tidak pula menerangkan siapakah nama tetamu yang tidak diundang itu? Apakah tujuan mereka menemui datuk dan Haji Basilam.

Buat seketika legar-legar dalam tempurung kepala saya. Dan akhimya, punah sendiri.

TOPIK

Peristiwa hujan ribut petang tadi, menjadi topik perbualan yang agak hangat di kalangan para jemaah surau kecil. Para jemaah memberi tafsiran yang sendiri tentang kejadian itu.

Malah ada di antara mereka menimbulkan kejadian-kejadian aneh yang terjadi, sejak akhir-akhir ini sebagai tanda-tanda kemusnahan dunia atau kiamat.

Seorang jemaah malam itu dengan suara lantang menyebut tentang seekor binatang yang menyerupai lembu, boleh menyembuhkan orang yang sakit. Di sebut juga seorang anak yang dilahirkan berkaki tiga oleh seorang wanita.

Si jemaah yang berkulit hitam, berbadan kulit hitam, berbadan kurus itu terus bercerita tentang perkara-perkara yang menyeramkan. Boleh membuat bulu tengkuk meremang.

Bagaimana tidak seram dan cemas bila dia menyebut tentang ayah yang memperkosa anak kandung. Abang yang mencabuli adik sendiri.

Lelaki tua yang mahu mampus meliwat anak kecil, dia juga menyebut hal lesbian, homoseks dan paling tidak masuk akal bila anak memperkosa ibu kandungnya sendiri.

Semua yang berada dalam surau kecil, mendengar cerita itu dengan mulut terlopong.

"Apakah sewaktu melakukan perkara terkutuk itu mereka tidak ingat alam akhirat, di situlah kita akan kekal dan di situ juga kita akan menerima balasan dengan apa yang kita lakukan semasa hidup di dunia yang fana ini," kata orang itu dengan nada suara yang meninggi.

Semua muka yang tertonggok di depannya ditatap satu persatu. Saya lihat datuk dan Haji Basilam anggukkan kepala.

"Orang yang banyak membuat dosa, akan diseksa dalam api neraka. Manakala orang yang berbuat kebaikan, banyak membuat amalan akan hidup kekal dan bahagia dalam syurga bersama para nabi dan Rasul. Bersama para wali, para Syuhada dan orang orang yang soleh."

Saya kira, kalaulah manusia dapat membayangkan betapa ngerinya seksaan api neraka, mungkin manusia tidak berani membuat dosa seperti menipu, mencuri, membunuh, memperkosa.

Durhaka kepada ibu yang telah melahirkan kita dengan susah payah, kemudian memelihara kita hingga dewasa. Tetapi, sejak akhir-akhir ini durhaka kepada kedua orang ibu bapa sering terjadi.

"Apa yang saya katakan tadi untuk renungan bersama," secara mendadak orang kurus berkulit hitam bersuara dengan keras. Semua yang bermain dalam kepala saya terus hilang.

"Kita balik." bisik Haji Basilam kepada saya.

"Jum....," kata saya.

Serentak saya dan datuk bangun, kemudian dituruti oleh Andi Kamarool dan Haji Basilam. Beberapa orang jemaah mengikut jejak kami keluar dari surau kecil. Orang yang berkulit hitam dan berbadan kurus meneruskan ceramahnya.

ASAR

Petang besoknya, tanpa memberitahu datuk dan Haji Basilam, kami berdua membuat keputusan untuk pergi sembahyang Asar di sebuah masjid yang jaraknya lebih kurang 500 meter dari rumah tinggal, tempat kami berteduh petang semalam.

Saya berharap tindakan tidak bersembahyang jemaah disurau kecil tidak akan menimbulkan kemarahan pada datuk atau Haji Basilam.

"Mesti Pak Aji tertanya-tanya bila melihat kita tak ada di surau." bisik saya pada Andi Kamarool sambil membasuh tangan di kolah.

"Kalau marah, kita minta maaf." sahut saya.

"Aku juga terfikir macam tu."

Saya dan Andi Kamarool terus ketawa kecil dan terus mengambil wuduk. Semasa saya membasuh kedua belah cuping telinga, saya tercium bau yang amat busuk. Macam bau daging dan tulang yang dibakar rentung. Saya berhenti mengambil wuduk.

"Aku tercium bau bangkai, Andi."

"Aku juga begitu, Tamar."

"Kalau tak silap, bau itu datang dari arah belakang masjid dibawa angin, kau tengok daun pokok kecil tu bergoyang-goyang," saya arahkan sepasang anak mata menghala ke belakang masjid.

Andi Kamarool turut juga berbuat seperti apa yang saya buat. Lantas kami saling berpandangan.

"Kita sembahyang dulu, kemudian baru siasat dari mana bau busuk itu datang," satu usul yang lojik dari Andi Kamarool. Cepat-cepat saya anggukkan kepala tanda setuju.

Memang di kawasan belakang masjid terdapat sebidang tanah yang boleh dikatakan agak luas juga.

Di atas tanah itu terdapat beberapa batang pokok cempedak, asam gelugur atau asam keping dan selebihnya adalah pokok-pokok getah yang subur tidak ditoreh.

Tanah kubur tersebut sentiasa dijaga dengan rapi oleh penduduk setempat.

Malah, orang-orang dari kampung berdekatan yang meninggal dunia diizinkan ditanam ditanah perkuburan tersebut dengan syarat orang yang meninggal itu mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk.

Selesai sembahyang Asar kami pun memulakan tugas mengesan bau busuk tersebut. Kami menutup hidung dan mulut dengan sapu tangan tetapi, bau yang tidak menyenangkan itu terus mencucuk lubang hidung.

Tidak sukar bagi kami memasuki kawasan perkuburan yang pintu pagarnya tidak berkunci.

Cuaca yang terang benderang secara mendadak bertukar menjadi redup. Bila kepala di donggakkan ke langit, saya lihat ada tompok-tompok awan hitam tebal yang mula melindungi pancaran matahari.

Walaupun hari siang tetapi, bila memasuki perkuburan memang terasa seram sejuk. Lebih-lebih ladi keadaan cuaca redup dan mendung.

Suasana di kawasan perkuburan terasa sunyi. Batu-batu nisan tegak kaku sementara pepohon kemboja yang ditanam berdekatan batu-batu nisan nampak bergerak-gerak lemah. Beberapa ekor burung tanpa suara terus melompat dari dahan ke dahan kemboja.

"Nak hujan Tamar," bisik Andi Kamarool.

"Kita berdoa supaya hujan tak jadi macam semalam."

"Aku juga begitu," balas Andi Kamarool sambil merenung ke dada langit yang kian menghitam.

Bau busuk dan hangit terus menusuk batang hidung. Kami terus berjalan dengan hati-hati di celah-celah pepohon kemboja dan batu nisan yang kaku.

Bila sampai ke perdu cempedak atau pokok asam gelugur kami berhenti sebentar untuk menghilangkan rasa penat. Bau busuk dan hangit kian bertambah kuat, anak tekak terasa loya dan mahu muntah.

Tiba-tiba saya merasakan apa yang dilakukan adalah kerja yang sia-sia. Saya mengajak Andi Kamarool pulang. Tetapi, Andi Kamarool membantah cadangan saya.

"Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau sudah sampai separuh jalan. tiba-tiba mahu berhenti. Tak kenalah caranya. Kenapa masa mula-mula tadi tak mau fikir habis-habis," Andi Kamarool meluahkan protesnya.

Saya kira diam lebih baik dari bertekak. Perjalanan dan percarian ditanah perkuburan diteruskan.

"Berhenti."

Andi Kamarool memegang bahu kanan saya.

"Kenapa Andi?"

"Aku dengar suara orang bercakap di sebelah hujung sana," bisik Andi Kamarool.

Dan saya terus pasang telinga. Apa yang dikatakan oleh Andi Kamarool memang benar. Suara orang bercakap sama kuatnya dengan bau busuk dan hangit.

"Kita jalan perlahan-lahan, jangan sampai gerak-geri kita dapat mereka kesan," Andi Kamarool mengeluarkan arahan. Saya patuhi arahan itu.

Perjalanan selanjutnya cukup hati-hati. Dengan sedaya upaya kami cuba menghindari dari terpijak reranting kering. Ada ketikanya kami membongkok dan merangkak di bawah pepohon kemboja.

Berusaha dengan sedaya upaya agar kami tidak melanggar batu-batu nisan yang bersimpang perinang di tanah perkuburan.

Bunyi orang bercakap, makin lama, makin jelas. Bau busuk dan hangit makin kuat, membuat saya enggan melangkah ke depan.

"Lihat itu," kata Andi Kamarool sambil memberhentikan langkah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 190/284

BACA: SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, March 10, 2023

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Kisah Asal Usul Bekas Tapak Kaki Di Makam Nabi Ibrahim a.s.

Setelah Nabi Ismail bersetuju untuk membantu Nabi Ibrahim membangunkan Kaabah, maka Nabi Ibrahim bersama dengan anaknya pun mula membina Kaabah setelah Allah SWT menunjukkan kepada mereka tempat yang harus dibina Baitullah itu.

Asal usul Makam Ibrahim

Ada dua riwayat yang mengatakan bahawa Allah SWT meninggikan tapak Baitullah sebelum dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, sehinggakan tapak Baitullah tidak terkena bala bencana taufan sewaktu taufan besar melanda.

Satu riwayat lagi mengatakan bahawa tapak Baitullah itu telah runtuh dalam taufan besar sepertimana runtuhnya binaan-binaan besar yang lain. Setelah peristiwa taufan besar melanda maka sesungguhnya tidak ada orang lain yang memulakan pembinaannya semula kecuali Nabi Ibrahim dan anaknya.

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memulakan pembinaan Baitullah. Nabi Ibrahim menyusun naik batu sementara Nabi Ismail pula mengutip batu-batu besar seperti yang difirman oleh Allah SWT yang bermaksud, "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama anaknya Nabi Ismail meninggikan binaan (tapak) Baitullah (Kaabah) sambil keduanya berdoa dengan berkata, Wahai Tuhan kami! Terimalah, daripada kami amal kami sesungguhnya Engkau amat mendengar lagi Amat Mengetahui." (surah al-Baqarah ayat 127).

Apabila binaan sudah meninggi, Nabi Ismail menghulurkan batu besar yang cukup tinggi dan diambil oleh Nabi Ibrahim dan membina Baitullah sehingga ia siap pembinaannya.

Maka dengan kehendak Allah SWT, sebaik sahaja Nabi Ibrahim meletakkan kakinya di batu besar itu, maka terlekatlah tapak kaki Nabi Ibrahim sepertimana dapat kita melihatnya sehingga hari ini di Baitullah. Dan ini adalah suatu tanda kebesaran Allah SWT.

Apabila agama Islam datang, Allah SWT mensyariatkan untuk bersembahyang di belakang makam Ibrahim sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan jadikanlah oleh kamu makam Ibrahim itu tempat sembahyang." (surah al-Baqarah ayat 125).

Yang dikatakan makam Nabi Ibrahim itu adalah kedua belah bekas tapak kaki beliau dan bukan kubur Nabi Ibrahim.

Setelah selesai pembinaan Baitullah, maka Allah SWT memerintahkan Nabi Ibrahim memberi kebenaran kepada umat manusia menunaikan haji di Baitullah.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan serulah umat manusia untuk datang mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang ke (Rumah Allah)mu dengan berjalan kaki, dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (ceruk rantau) yang jauh." (surah al-Haj ayat 27).

Setelah itu Nabi Ibrahim naik ke gunung (Jabal) Abi Qubais satu gunung yang paling dekat dengan baitullah dan di sana beliau memanggil dengan nama Allah SWT, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Tuhan kamu telah membina satu rumah-Nya bagi kamu, oleh itu hendaklah kamu semua tunaikan haji di sana."

Nabi Ibrahim menyeru ke kanan dan ke kiri seolah-olah orang melaungkan azan.

Allah SWT menyampaikan seruan Nabi Ibrahim a.s. pada setiap orang yang diciptakan dalam bacaan talbiah dan itulah pernyataan semua orang yang mengerjakan fardhu haji, kerana haji itu tidak akan sah tanpa talbiah.

Bacaan talbiah antara lainnya, "Labbaikallahhummalabbaik" yang bermakna, "Aku datang untuk menunaikan panggilan-Mu ya Allah."

Menunaikan haji adalah salah satu rukun Islam, oleh itu hendaklah kita menunaikannya apabila kita sudah mampu melaksanakannya.

Banyak orang menunaikan haji, tetapi sekembali mereka dari menunaikan haji yang sangat menyedihkan ialah terdapat juga orang yang melakukan maksiat lebih teruk dari masa sebelum menunaikan haji.

Oleh itu, hendaklah kita mulakan dengan sembahyang, puasa, zakat dan seterusnya menunaikan haji.

Kalau kita menunaikan haji tanpa mengerjakan sembahyang lima waktu maka sia-sia sahaja haji yang kita lakukan sebab ia tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Dan ini adalah salah satu punca mereka yang kembali dari menunaikan haji melakukan bermacam-macam maksiat.

Bagi mereka yang mendapat kenikmatan haji mereka ini tidak akan berani melakukan kerja-kerja yang dimurkai oleh Allah SWT sebaliknya mereka akan berusaha untuk menjadi muslim yang sempurna.

Tanpa mengerjakan sembahyang, maka semua kerja-kerja yang berbentuk amal, sedekah, zakat dan sebagainya semuanya itu tidak akan diterima oleh Allah SWT.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Monday, March 06, 2023

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Ayat Kursi Pendinding Diri Dari Kejahatan Iblis, Syaitan Dan Manusia

Dalam menghadapi hidup setiap hari, kita memerlukan satu kaedah yang jitu bagi menjaga keselamatan diri kita, anak isteri, rumah dan harta benda, perniagaan serta urusan dan pekerjaan yang kita jalankan.

Setiap hari berlaku rompakan, penipuan, perkosaan, pukau, kemalangan, pembunuhan, penzaliman, penindasan serta pelbagai musibah keatas umat Islam serata dunia.

Ayat Kursi pendinding diri

Tiada daya dan kekuatan yang dapat memberikan perlindungan kecuali dari Allah SWT.

Amalkan kaedah ini:
  • Baca Istiqfar - 3 kali.
  • Baca Selawat - 3 kali.
  • Baca Fatihah - 1 kali.
  • PASANG NIAT untuk memagar: "Sahaja aku membaca Ayat-Kursi untuk memagar diri, keluarga, rumah dan urusanku kerana Allah."

1. Baca Ayat Al-Kursi 1 kali

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI HADAPAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

2. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-2

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BELAKANG diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

3. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-3

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KANAN diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

4. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-4

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI KIRI diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

5. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-5

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI ATAS diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

6. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-6

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah DI BAWAH diriku, keluargaku, rumahku dan segala urusanku, dari hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat dikhianati oleh iblis, jin, manusia dan haiwan.

7. Baca Ayat Al-Kursi untuk kali ke-7

Baca doa ini: Ya Allah Ya Tuhanku, jadikanlah segenap sendi dan liang bulu roma hambaMu yang banyak dosa serta daif ini, Kota Besi, Kota Tembaga yang tidak dapat ditembusi nafsu amarah yang didalangi oleh syaitan dan iblis.

8. Baca Selawat keatas Rasulullah SAW

Dari Anas bin Malik r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang dari umatku membaca ayat Kursi 12 kali, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat subuh, nescaya Allah akan menjaganya dari kejahatan syaitan dan darjatnya sama dengan orang yang membaca seluruh al-Qur'an sebanyak tiga kali, dan pada hari kiamat ia akan diberi mahkota dari cahaya yang menyinari semua penghuni dunia."

Berkata Anas bin Malik, "Ya Rasulullah, apakah hendak dibaca setiap hari?"

Sabda Rasulullah SAW, " Tidak, cukuplah membacanya pada setiap hari Jumaat."

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Saturday, March 04, 2023

SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher

SBDJ Siri 189: Tulang Pari Keluar Di Leher

Semasa azan subuh dilaungkan dari sebuah masjid berdekatan, keadaan diri Jaafar beransur pulih. Dapat tidur dengan lena. Tetapi, Masron tidak bersedia untuk meninggalkan Jaafar sendirian. Masron bimbang semasa ketiadaannya nanti akan berlaku perkara yang tidak diingini terhadap sahabat karibnya itu.

Toyol jadi-jadian


Demi persahabatan, Masron rela menutup kedai perabutnya selama sehari. Dia melupakan temujanji yang dibuatnya dengan beberapa orang pelanggan.

Pada hemat Masron, biar hilang pelanggan jangan hilang sahabat. Pelanggan boleh di cari tetapi, nilai kesetiaan seorang sahabat memang tiada taranya.

Masron tahu, tidak kurang dari tiga atau empat orang pelanggan akan menemuinya. Mereka datang dari Singapura dan Melaka. Jaafar terus berdengkur dan Masron tetap berada di sisinya.

Bagi menghilangkan rasa sunyi dan bosan dia membaca surah yassin beberapa kali. Bila terasa penat dia membelek-belek masalah terbitan dari Singapura.

Lebih kurang pukul lapan pagi, Jaafar terjaga dan terus duduk. Bagi memastikan yang sakit itu sudah pulih, Masron menyuruh Jaafar melakukan gerakan leher yang diakhiri dengan senaman ringkas.

Arahan itu dipatuhi oleh Jaafar dengan penuh semangat hingga badannya berpeluh. Masron senang hati melihat peluh melilih di dahi dan tubuh Jaafar. Semuanya itu menandakan yang Jaafar sudah cukup sihat.

Sebelum membenarkan Jaafar masuk kebilik air (mandi), Masron memeriksa setiap sendi tubuh Jaafar dengan menggunakan rotan seni. Hujung rotan yang disimpul itu diketuk berkali-kali di tempurung lutut, hujung siku, sendi bahu dan buku lali.

Setiap kali ketukan dilakukan kelopak bibir Masron bergerak. Ada sesuatu yang dibacanya, entah doa, entah jampi mentera yang bertujuan menghalau hantu syaitan.

Bila Masron yakin yang Jaafar bebas dari penyakit, barulah dia membenarkan Jaafar masuk ke dalam bilik air untuk mandi.

Sementara Jaafar mandi, Masron menyediakan sarapan pagi. Rebus dua biji telur dan kopi tanpa gula.

Lebih kurang pukul sepuluh, Jaafar memberitahu Masron yang keadaan dirinya sudah pulih seperti sediakala. Boleh bergerak dengan bebas, seluruh tubuhnya terasa sakit atau sengal-sengal.

Masron segera menyampaikan hasrat hatinya untuk membawa Jaafar menemui seorang bomoh terkenal di daerah tersebut. Niat baik Masron itu tidak dapat dipenuhi oleh Jaafar. Masron tidak berkecil hati atas penolakan itu.

Namun hati kecilnya tetap berkata bahawa di dalam tubuh Jaafar terdapat sesuatu benda ghaib. Sudah seminggu keajadian aneh yang dialami oleh Jaafar berlalu. Tidak ada tanda-tanda penyakit itu akan lagi.

Perkara ini, amat mengembirakan hati Masron. Walaupun begitu, dia tetap meneliti perkembangan diri kawannya itu dari masa ke semasa.

Masuk minggu yang ketiga, Jaafar mengadu kepada Masron bahagian tepi leher sebelah kiri terasa sakit, macam dicucuk-cucuk dengan benda tajam yang halus.

Berbekalkan ilmu perubatan tradisional yang dibawa dari Tanah Jawa, Masron cuba mengubatinya dengan cara kebatinan. Rasa sakit itu hilang sebentar, kemudian datang semula.

DOKTOR

Jaafar mengambil keputusan untuk menemui doktor bagi mengatasi masalah penyakit yang dihadapinya. Masron tidak melarangnya malah dia mengatakan kalaucara moden tidak bcrjaya, eloklah dibuat cara lain.

Setelah berkali-kali menemui doktor punca penyakit tidak dapat di kesan. Doktor membuat kesimpulan Jaafar tidak mengalami sebarang penyakit. Apa yang dialami ialah beban psikologi atau kewajipan.

Keadaan Jaafar bertambah berat, setiap hari Jaafar mengalami rasa sakit di leher. Rasa sakit itu datang tidak tentu waktu.

Sebagai sahabat, tanpa rasa jemu dan putus asa Masron terus memujuk Jaafar agar berubat cara tradisional. Usaha Masron tidak sia-sia, Jaafar setuju berubat cara tradisional. Masron pun membawa Jaafar menemui bomoh yang dikatakan handal menyembuh penyakit.

Malangnya, setelah melihat keadaan penyakit yang dialami oleh Jaafar, bomoh itu segera angkat tangan. Dia tidak mampu menanganinya. Kalau diteruskan, mungkin dia mengalami sakit yang lebih teruk dari Jaafar.

"Kesudahannya bagaimana Pak haji," tanya Andi Kamarool bila melihat Haji Basilam bagaikan tidak berminat untuk meneruskan ceritanya.

"Habis macamana Jaafar boleh baik hingga boleh buka warung makan?" saya pula menyoal.

Haji Basilam tidak memberi sebarang reaksi. Sisa kopi yang masih ada di cawan dihirupnya.

"Bomoh tu, suruh Masron jumpa seseorang dan orang itu akan membawa Masron dan Jaafar menemui seorang lelaki yang boleh dikatakan alim juga, bersedia berikhtiar membantu orang yang menderita sakit," saya dan Andi Kamarool berbalas senyum. Haji Basilam mahu bercerita.

"Agaknya, orang yang dimaksudkan oleh bomoh tu, Pak Haji?" Andi Kamarool main serkap jarang. Senyum terpamer di kelopak bibir Haji Basilam.

"Betul," angguk Haji Basilam.

"Orang alim yang dimaksudkan tu siapa?" Saya mencelah.

"Bapa saudara Abu Zaharin, Haji Simpul."

"Ha....," kata kami serentak.

Haji Basilam ketawa kecil sambil menjentik badan cawan dengan jari telunjuk. Jaafar masuk ke bilik khas mengambil bungkusan gula dan teh, macam tadi juga, sebelum keluar dia menghadiahkan senyum untuk kami.

"Datuk kamu Tamar kenal dengannya. Haji Simpul beritahu aku. Datuk kamu bukan calang-calang orang."

"Lupakan tentang tu Pak Haji. kami mahu dengar cerita tentang Jaafar sampai habis," saya memintas.

Haji Basilam tidak kecil hati dengan tindakan saya itu. Haji Basilam menyambung cerita yang terputus, setelah mendapat maklumat terperinci dari bomoh tersebut, Masron mula mencari orang perantaraan yang boleh membawa dia menemui orang yang dikatakan alim itu.

Setelah puas bertanya di sana-sini, akhirnya Masron bertemu dengan Haji Basilam.

Haji Basilam masih ingat lagi macamana Masron bersama seorang kawannya menunggu dia selesai sembahyang zuhur dimasjid Pekan Baru.

Sebaik saja keluar dari masjid, Masron segera menerkam ke arah Haji Basilam. Masron menceritakan tujuan sebenar dia mahu menemui Haji Basilam. Masron menyebut nama bomoh yang menyuruh dia mencari Haji Basilam.

Setelah mempastikan cerita dari Masron itu benar, Haji Basilam bersedia membantu tetapi, dengan syarat, dia harus membawa Haji Basilam menemui Jaafar dan mengadakan dialog singkat dengannya.

Haji Basilam mendapati tahap penyakit Jaafar berada di paras bahaya dan mesti ditolong dengan segera. Dua hari kemudian, Haji Basilam bersama Masron membawa Jaafar menemui Haji Simpul.

Masron dan Jaafar agak terkejut kerana kedatangan mereka bagaikan sudah diketahui oleh Haji Simpul.

Buktinya, Haji Simpul sudah menyediakan tikar mengkuang tiga wama putih, merah dan biru untuk Jaafar duduk atau baring semasa menjalani rawatan.

TELAPAK

Setelah melihat telapak tangan Jaafar kiri dan kanan berkali- kali, haji Simpul menyuruh Haji Basilam mencari dedaun di belakang rumah.

Haji Basilam yang sudah faham daun apa yang sudah faham daun apa yang harus diambil dapat menjalankan tugasnya dengan pantas sekali. Dedaun yang dipetik itu dimasukkan ke dalam mangkuk putih.

Kemudian, Haji Simpul menyuruh Haji Basilam mengambil air telaga. Air telaga itu dituangkan ke dalam mangkuk putih yang berisikan dedaun ramuan.

Beberapa minit kemudian dia merenung ke arah Jaafar duduk bersila di atas tikar mengkuang tiga warna. Bahu kanan Jaafar dipegangnya dengan kemas.

Setelah Jaafar mengeluarkan keluhan yang panjang, Haji Simpul berhenti memegang bahunya. Kali ini. Haji Simpul beralih pada mangkuk putih. Seluruh perhatian ditumpukan kepada bahan ramuan yang berada dalam perut mangkuk.

Dalam keadaan mata separuh pejam, mulut Haji Simpul bergerak macam membaca sesuatu. Perkara ini berlangsung hampir lima minit. Masron dan Haji Basilam hanya melihat saja.

Bila kelopak bibimya berhenti bergerak, Jaafar yang duduk di tikar mengkuang tiga warna direnung dipanggil agar mendekatinya. Dengan dua belah tapak tangannya, Haji Simpul meraup ramuan dalam mangkuk putih dan diusap ke leher Jaafar tiga kali berturut-turut.

Dari tepi leher Jaafar keluar benda runcing yang menyerupai tulang. Benda itu segera dipungut oleh Haji Simpul lalu bungkus dengan kain putih.

"Kamu tahu tulang apa yang keluar dari tepi leher Jaafar tu?" Haji Basilam renung muak saya dan Andi Kamarool.

"Tak tahu pak haji," jawab kami serentak.

"Itulah tulang ikan pari. Haji Simpul menyimpannya dalam kotak kecil yang dibuat dari papan jati," kata Haji Basilam sambil merenung ke arah Jaafar yang melintasi bilik menuju ke dapur.

Haji Basilam segera memanggil Jaafar.

"Ada apa haji?"

"Aku baru menceritakan kepada budak berdua ni, perkara yang kamu alami."

"Orang dengki kerana perniagaan saya maju, saya tahu siapa orangnya tapi, orang yang mengubat saya pesan jangan balas dendam. Dia juga tidak mengenakan sebarang bayaran, dia tolong dengan ikhlas dan suruh saya tinggalkan pekan Baru, buat perniagaan tempat lain. Sekarang saya berniagaan di sini," jelas Jaafar dan keluar dari bilik khas.

"Bagaimana dengan Masron? Apakah dia meninggalkan Pekan Baru?" kerana yang bertanya itu Andi Kamarool, sepasang biji mata Haji Basilam tertumpu ke wajahnya.

Buat beberapa detik Haji Basilam termenung panjang, macam mengingati sesuatu.

"Iya, dia juga tinggalkan Pekan Baru. berhijrah ke Pontian, Johor, lepas itu pergi ke Singapura. Dari Singapura dia pindah lagi."

"Ke mana pula?" saya bertanya.

"Pindah ke Kuala Lumpur, berniaga di Pasar Sungai Besi tapi, duduk Kampung Malaysia. Dengar cerita dah jadi penduduk tetap," Haji Basilam terus bangun dan meninggalkan bilik khas.

Kami terus mengekorinya.

"Berapa?" Haji Basilam segera menyeluk sakunya dan mengeluarkan wang (wang rupiah) untuk membayar harga minuman.

Jaafar yang duduk tertonggok dibelakang meja, segera donggakkan muka ke arah Haji Basilam.

"Simpan duit tu."

"Ini yang susahnya, bila singgah di kedai kamu Jaafar."

"Jangan susah hati. Pertolongan susah nak saya balas."

"Hum..." Haji Basilam dan Jaafar masih mahu bercakap lagi, saya dan Andi Kamarool segera beredar ke kaki lima warung dan berdiri di situ.

"Ayuh kita teruskan perjalanan." Haji Basilam menepuk bahu saya dan dan Andi Kamarool.

Saya masih ragu-ragu untuk melangkah kerana saya tidak tahu berapa jauh jarak antara kedai Jaafar ke tempat yang mahu dituju. Kalau jauh berbatu-batu memang tidak wajar berjalan kaki dalam panas yang begini terik.

"Mari."

Haji Basilam segera menarik tangan saya dan Andi Kamarool.

"Jalan kaki?" soal saya.

"lyalah, ikut jalan pintas," sahut Haji Basilam.

Kami tiada pilihan dan terpaksa akur dengan kata-kata Haji Basilam.

EPISOD

Episod menuju ke rumah atau ke kampung tempat datuk menanti pun bermula. Setelah melalui jalanraya dalam jarak enam rantai, kami melencung masuk lorong yang kecil dan sempit, berhenti di bawah pokok besar yang terdapat busut jantan setinggi berdiri. Haji Basilam memberikan kain hitam berukuran sapu tangan kepada kami.

"Tutup mata kamu dengan kain hitam tu, ikat kemas-kemas. Jangan banyak membuang masa lagi, ikatlah sekarang juga."

Tanpa banyak cakap, arahan itu segera kami patuhi. Memang tidak selesa rasanya, bila pandangan menjadi hitam gelap. Fikiran pula mula dibayangi dengan bermacam-macam perkara yang menakutkan.

Bagi menguatkan semangat dan keyakinan diri, dan Andi Kamarool saling berpegang tangan.

"Dengar sini,Tamar pegang hujung baju aku sebelah kiri. Andi pegang hujung belah kanan. Letak kaki kanan di depan, tahan nafas sambil menghitung atau mengira sampai tiga belas. Bila aku kata, dah sampai segera lepaskan hujung baju aku...."

Haji Basilam berhenti bercakap. Terdengar bunyi telapak kakinya memijak reranting dan rerumput di depan kami.

"Ingat cakap aku Tamar, Andi." Serentak kami mengangguk kepala.

Kalau tadi, kami dapat mendengar bunyi kicau burung dan deru angin. kini tiada kedengaran lagi. Kami berdepan dengan suasana sunyi sepi.

"Kamu dah dengar penerangan aku?" terdengar suara-Haji Basilam bagaikan berirama.

"Aku harap kamu berdua faham dan sudah bersedia untuk melakukannya," tambah Haji Basilam.

"Kami faham," serentak kami menjawab.

"Sudah bersedia?"

"Sudah."

"Kalau begitu, kita mulakan," suara Haji Basilam terus bergema. Arahannya segera dipatuhi.

Sebaik saja hujung bajunya dipegang, saya dapati tubuh bagaikan terangkat dan terasa seperti berada diawangan-awangan lalu bergerak kedepan dengan laju bagaikan ada kuasa yang mendorongnya, dari arah belakang.

Kedua belah cuping telinga terasa sejuk disentuh angin, lubang telinga berdengung macam rasa pekak. Ada ketikanya, saya terasa bahagian-bahagian tubuh ini bagaikan bersentuhan dengan pepucuk dan reranting kayu.

Malah sepatu getah yang dipakai terasa seperti mahu tercabut dari kaki. Saya cuba bersuara tetapi, tidak boleh berbuat demikian. Bila mulut dibuka, angin terus masuk menyebabkan saya sukar bernafas.

HASRAT

Rintangan yang dihadapi, menggagalkan hasrat hati untuk memberitahu Haji Basilam apa yang sedang saya alami. Saya tidak tahu, apakah Andi Kamarool mengalami perkara yang sama. Seperti apa yang saya alami.

Barangkali, dia juga sedang terbang macam saya. di saat mengelamun dan berfikir, saya terasa gerak laju tadi, sudah beransur perlahan dan badan mula memberat serperti mahu jatuh.

Rasa cemas dan bimbang mula bertandang, saya bimbang kalau secara mendadak saya akan terhempas ke bumi. Sudah pasti ada tulang belakang yang patah, mungkin ada daging dan tulang yang tersangkut di dahan kayu.

Dengan sedaya-upaya saya cuba mengimbangi badan. Lagi sekali saya berdepan dengan kegagalan, badan terus memberat dan sepasang telapak kaki memecah bumi. Badan saya terus berpusing macam gasing.

Hujung baju Haji Basilam terlucut dari genggaman dan saya terhumban ke permukaan bumi. Bergolek ligat dan akhimya terhenti.

Sepasang kelopak mata terbuka, saya tergolek di padang kerbau dengan rumput yang menghijau, berdekatan dengan sebatang anak sungai yang airnya amat jernih tetapi mengalir lambat kerana dihalang oleh reranting dan akar pohon yang tumbuh ditepi tebing.

Bila toleh ke kanan, saya lihat Andi Kamarool terlentang merenung langit. Sedangkan Haji Basilam berdiri tegak antara kami.

"Bangun," katanya sambil tersenyum lebar.

Saya raba cuping telinga, pangkal hidung dan batang leher. Perlahan-lahan saya mengucapkan syukur pada Allah. Andi Kamarool juga lihat saya sedang terkial-kial berusaha untuk berdiri.

"Bangun cepat," Haji Basilam sengaja meninggikan perkataan "cepat".

Ternyata taktiknya itu membuat kami melompat dan berdiri pantas. Dia tidak sekadar bercakap saja, dalam perkataan ada mentera pembakar semangat.

Dalam hembusan nafas ada iringan angin halus mengerakkan urat saraf. Itulah keistimewaan Haji Basilam, menurut hemat saya.

"Dari sini kita jalan kaki."

"Ke mana?" Tanya saya.

"Ke tempat datuk kamu menanti."

"Jauh?" Andi Kamarool minta kepastian.

NAFAS

"Tak jauh, lebih kurang empat lima rantai saja. Lepas kawasan belukar, nampaklah bumbung rumah," sambung Haji Basilam sambil melihat hujung baju sebelah kiri dan kanan yang kami paut.

"Bagus, baju aku tak koyak tapi, kamu..." sepasang anak mata hitamnya tertumpu ke arah batang hidung saya.

"Banyak syarat yang tak kamu patuhi. Akibatnya, perjalanan jadi susah."

"Maksudnya?" Saya menyoal.

"Kau tidak menghitung seperti apa yang aku suruh." Saya anggukkan kepala.

"Kamu banyak berkhayal, berbeza dengan Andi yang patuh dengan perkara yang aku suruh. Kerana masalah yang kamu timbulkan membuatkan aku tidak dapat mengeluarkan perintah seperti yang aku rencanakan. Akibatnya, kamu tidak boleh turun dengan baik, kamu jatuh. Andi turut sama tumpang susah."

Penjelasan yang diaturkan oleh Haji Basilam membuat saya menarik nafas. Jauh disudut hati, saya mengakui kebenaran dari kata-kata tersebut.

"Usah fikirkan perkara yang sudah terjadi," serentak bahu saya dan Andi Kamarool ditepuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 189/284

BACA: SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Friday, March 03, 2023

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Kerana Sombong Iblis Terbuang Dari Syurga

Dalam sebuah kitab karangan Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa iblis itu sesungguhnya namanya disebut sebagai al-Abid (ahli ibadah) pada langit yang pertama, pada langit yang kedua disebut az-Zahid. Pada langit ketiga, namanya disebut al-Arif. Pada langit keempat, namanya adalah al-Wali. Pada langit kelima, namanya disebut at-Taqi. Pada langit keenam, namanya disebut al-Kazin. Pada langit ketujuh namanya disebut Azazil, manakala dalam Luh Mahfudz, namanya ialah iblis.

Khutbah iblis

Dia (iblis) lupa akibat urusannya, maka Allah SWT telah memerintahkannya sujud kepada Adam.

Lalu iblis berkata, "Adakah Engkau mengutamakannya daripada aku, sedangkan aku lebih baik daripadanya. Engkau jadikan aku daripada api dan Engkau jadikan Adam daripada tanah."

Lalu Allah SWT berfirman yang maksudnya, "Aku membuat apa yang aku kehendaki."

Oleh kerana iblis memandang dirinya penuh keagungan, maka dia enggan sujud kepada Adam a.s. kerana bangga dan sombong.

Dia berdiri tegak sampai saatnya malaikat bersujud dalam waktu yang berlalu dan ketika para malaikat mengangkat kepala, mereka mendapati iblis tidak sujud sedang mereka telah selesai sujud.

Maka para malaikat bersujud lagi bagi kali kedua kerana bersyukur, tetapi iblis tetap angkuh dan enggan sujud. Dia berdiri tegak dan memaling dari para malaikat yang sedang bersujud. Dia tidak ingin mengikut mereka dan tidak pula dia merasa menyesal atas keengganannya.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam, maka sujudlah mereka kecuali Iblis; ia enggan dan takabur dan adalah ia termasuk golongan orang-orang yang kafir."

Kemudian Allah SWT merubah wajahnya daripada asal yang sangat indah kepada bentuk seperti babi hutan.

Allah SWT membentukkan kepalanya seperti kepala unta, dadanya seperti daging yang menonjol di atas punggung, wajah yang ada di antara dada dan kepala itu seperti wajah kera, kedua matanya terbelah pada sepanjang permukaan wajahnya.

Lubang hidungnya terbuka seperti cerek tukang bekam, kedua bibirnya seperti bibir lembu, taringnya keluar seperti taring babi hutan dan janggut terdapat sebanyak tujuh helai.

Setelah itu, lalu Allah mengusirnya dari syurga, bahkan dari langit, dari bumi dan ke beberapa jazirah. Dia tidak akan masuk ke bumi melainkan dengan cara sembunyi.

"Maka keluarlah kamu dari syurga; sesungguhnya kamu adalah makhluk yang terkutuk." (QS Shaad: 77)

Allah SWT melaknatinya sehingga ke hari kiamat kerana dia menjadi kafir.

Walaupun iblis itu pada sebelumnya sangat indah cemerlang rupanya, mempunyai empat sayap, banyak ilmu, banyak ibadah serta menjadi kebanggaan para malaikat dan pemukanya, dia juga pemimpin para malaikat karubiyin dan banyak lagi, tetapi semua itu tidak menjadi jaminan sama sekali baginya.

Ketika Allah SWT membalas tipu daya iblis, maka menangislah Jibril dan Mikail.

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Apakah yang membuat kamu menangis?"

Lalu mereka menjawab, "Ya Allah! Kami tidaklah aman dari tipu dayamu."

Firman Allah bagi bermaksud, "Begitulah aku. Jadilah engkau berdua tidak aman dari tipu dayaku."

Setelah diusir, maka iblis pun berkata, "Ya Tuhanku, Engkau telah mengusir aku dari Syurga disebabkan Adam dan aku tidak menguasainya melainkan dengan penguasaan-Mu."

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Engkau dikuasakan atas dia, yakni atas anak cucunya, sebab para nabi adalah maksum."

Berkata lagi iblis, "Tambahkanlah lagi untukku."

Allah berfirman yang maksudnya, "Tidak akan dilahirkan seorang anak baginya kecuali tentu dilahirkan untukmu dua padanya."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Lalu Allah berfirman yang maksudnya, "Dada-dada mereka adalah rumahmu, engkau berjalan di sana sejalan dengan peredaran darah."

Berkata iblis lagi, "Tambahkanlah lagi untukku."

Maka Allah berfirman lagi yang bermaksud, "Dan kerahkanlah terhadap mereka pasukan berkuda dan pasukan yang berjalan kaki, (ertinya mintalah tolong menghadapi mereka dengan pembantu-pembantumu, baik yang menaiki kuda mahupun yang berjalan kaki). Dan bersekutulah dengan mereka pada harta, iaitu mendorong mereka mengusaha dan mengarahkannya ke jalan yang haram."

"Dan pada anak-anak, iaitu dengan menganjurkan mereka dalam membuat perantara mendapat anak dengan cara yang dilarang, seperti melakukan senggama dalam masa haid, berbuat perkara-perkara syirik mengenai anak-anak itu dengan memberi nama mereka Abdul Uzza, menyesatkan mereka dengan cara mendorong ke arah agama yang batil, mata pencarian yang tercela dan perbuatan-perbuatan yang jahat dan berjanjilah dengan mereka."

Perkara ini ada disebutkan dalam surah al-Isra ayat 64 yang bermaksud, "Gerakkanlah orang yang engkau kuasai di antara mereka dengan suara engkau dan kerahkanlah kepada mereka tentera engkau yang berkuda dan yang berjalan kaki dan serikanlah mereka pada harta dan anak-anak dan berjanjilah kepada mereka. Tidak ada yang dijanjikan iblis kepada mereka melainkan (semata-mata) tipuan."

Ambil Pengajaran

Kita selalu membayangkan iblis dengan hal-hal yang negatif, padahal ada perkara positif yang boleh kita ambil pengajaran darinya.

Salah satu yang sangat penting adalah, ibadah tidak menjamin kita masuk ke dalam syurga, makanya kita harus berhati-hati dan selalu berdoa kepada Allah SWT supaya meninggal dunia dalam keadaan khusnul khotimah.

Sabda Rasulullah SAW, "Tidak ada amalan seorangpun yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menyelamatkannya dari neraka. Tidak juga dengan ku, kecuali dengan rahmat Allah SWT." (HR Muslim).

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Friday, February 24, 2023

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Kisah Wali Allah Yang Solat Di Atas Air

Sebuah kapal yang sarat dengan muatan dan bersama 200 orang temasuk ahli perniagaan berlepas dari sebuah pelabuhan di Mesir. Apabila kapal itu berada di tengah lautan maka datanglah ribut petir dengan ombak yang kuat membuat kapal itu terumbang-ambing dan hampir tenggelam.

Siapa Wali Allah

Berbagai usaha dibuat untuk mengelakkan kapal itu dipukul ombak ribut, namun semua usaha mereka sia-sia saja. Kesemua orang yang berada di atas kapal itu sangat cemas dan menunggu apa yang akan terjadi pada kapal dan diri mereka.

Ketika semua orang berada dalam keadaan cemas, terdapat seorang lelaki yang sedikitpun tidak merasa cemas. Dia kelihatan tenang sambil berzikir kepada Allah SWT.

Kemudian lelaki itu turun dari kapal yang sedang terunbang-ambing dan berjalanlah dia di atas air dan mengerjakan solat di atas air.

Beberapa orang peniaga yang bersama-sama dia dalam kapal itu melihat lelaki yang berjalan di atas air dan dia berkata, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Janganlah tinggalkan kami!"

Lelaki itu tidak memandang ke arah orang yang memanggilnya.

Para peniaga itu memanggil lagi, "Wahai wali Allah, tolonglah kami. Jangan tinggalkan kami!"

Kemudian lelaki itu menoleh ke arah orang yang memanggilnya dengan berkata, "Apa hal?"

Seolah-olah lelaki itu tidak mengetahui apa-apa.

Peniaga itu berkata, "Wahai wali Allah, tidakkah kamu hendak mengambil berat tentang kapal yang hampir tenggelam ini?"

Wali itu berkata, "Dekatkan dirimu kepada Allah."

Para penumpang itu berkata, "Apa yang mesti kami buat?"

Wali Allah itu berkata, "Tinggalkan semua hartamu, jiwamu akan selamat."

Kesemua mereka sanggup meninggalkan harta mereka. Asalkan jiwa mereka selamat.

Kemudian mereka berkata, "Wahai wali Allah, kami akan membuang semua harta kami asalkan jiwa kami semua selamat."

Wali Allah itu berkata lagi, "Turunlah kamu semua ke atas air dengan membaca Bismillah."

Dengan membaca Bismillah, maka turunlah seorang demi seorang ke atas air dan berjalan menghampiri wali Allah yang sedang duduk di atas air sambil berzikir.

Tidak berapa lama kemudian, kapal yang mengandungi muatan berharga itu pun tenggelam ke dasar laut.

Habislah kesemua barang-barang perniagaan yang mahal-mahal terbenam ke laut. Para penumpang tidak tahu apa yang hendak dibuat, mereka berdiri di atas air sambil melihat kapal yang tenggelam itu.

Salah seorang daripada peniaga itu berkata lagi, "Siapakah kamu wahai wali Allah?"

Wali Allah itu berkata, "Saya ialah Awais Al-Qarni."

Peniaga itu berkata lagi, "Wahai wali Allah, sesungguhnya di dalam kapal yang tenggelam itu terdapat harta fakir-miskin Madinah yang dihantar oleh seorang jutawan Mesir."

Wali Allah berkata, "Sekiranya Allah kembalikan semua harta kamu, adakah kamu betul-betul akan membahagikannya kepada orang-orang miskin di Madinah?"

Peniaga itu berkata, "Betul, saya tidak akan menipu, ya wali Allah."

Setelah wali itu mendengar pengakuan dari peniaga itu, maka dia pun mengerjakan solat dua rakaat di atas air, kemudian dia memohon kepada Allah SWT agar kapal itu ditimbulkan semula bersama-sama hartanya.

Tidak berapa lama kemudian, kapal itu timbul sedikit demi sedikit sehingga terapung di atas air. Kesemua barang perniagaan dan lain-lain tetap seperti asal. Tiada yang kurang.

Setelah itu dinaikkan kesemua penumpang ke atas kapal itu dan meneruskan pelayaran ke tempat yang dituju.

Apabila sampai di Madinah, peniaga yang berjanji dengan wali Allah itu terus menunaikan janjinya dengan membahagi-bahagikan harta kepada semua fakir miskin di Madinah sehingga tiada seorang pun yang tertinggal.

SIAPA WALI ALLAH?

Wali Allah (auliya) adalah orang-orang yang memiliki hubungan dekat dengan Allah Taala. Mereka memiliki keistimewaan dan kekhususan di sisi-Nya. Al-Quran menjelaskan para waliyullah ini adalah orang beriman dan bertakwa dalam surah Yunus ayat 62-63.

"Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa." (QS Yunus: 62-63)

Dalam satu hadis turut disebut golongan inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah kepada Saidina Umar Ibnu Al Khattab r.a.

Rasulullah: Para Nabi dan para syuhada akan cemburu kepada segolongan hamba Allah kelak di akhirat kerana kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah, pada hal mereka bukan para Nabi.

Umar r.a.: Siapakah mereka wahai Rasul?

Rasulullah: Mereka ialah satu kaum yang saling mengasihi sesama mereka semata-mata kerana Allah, bukan kerana hubungan silaturrahim atau kerana harta. Demi Allah, sesungguhnya wajah mereka bercahaya, mereka di atas mimbar yang bercahaya. Mereka tidak takut di kala manusia lain merasa takut dan mereka tidak sedih di kala manusia lain merasa sedih. Lalu Rasulullah pun membaca ayat 62-63 dari surah Yunus.

“Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. (QS Yunus: 62-63).

Keistimewaan Wali Allah

Salah satu keistimewaan Wali Allah ini ada diterangkan oleh Baginda Nabi, dari Abu Hurairah radhiyallahu’anhu berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhya Allah Ta'ala berfirman: "Siapa yang memusuhi wali-Ku maka telah Aku umumkan perang terhadapnya. Tidak ada taqarrubnya seorang hamba kepada-Ku yang lebih Aku cintai kecuali beribadah dengan apa yang telah Aku wajibkan atasnya. Dan hamba-Ku yang selalu mendekatkan diri kepada-Ku dengan nawafil (perkara-perkara sunnah di luar yang fardhu) maka Aku akan mencintainya. Dan jika Aku telah mencintainya maka Aku adalah pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, tangannya yang digunakannya untuk memukul dan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku niscaya akan Aku berikan dan jika dia minta perlindungan dari-Ku niscaya akan Aku lindungi." (Riwayat Al-Bukhari).

3 Wirid Para Wali Allah

Ada tiga wirid yang tidak pernah berpisah dengan para auliya (solihin) kerana faedah membaca wirid ini sangat besar fadilatnya di dunia mahupun di akhirat.

1. Membaca 100 Kali sebelum solat Subuh

سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم ،استغفرالله

Subhanallahi wa Bihamdihi Subhanallahil 'Azhiimi, Astaghfirullaah.

Ertinya: Maha suci Allah dan segala pujian kepada-Nya, Maha suci Allah yang Maha Besar aku mohon keampunan kepadaMu ya Allah.

Wirid ini juga terkenal dengan sebutan istighfarnya para Malaikat.

Membaca 100 kali sesudah solat Zuhur

لاإله إلا الله الملك الحق المبين

Laa ilaha illallah Al-Malikul haqqul Mubiin.

Membaca zikir ini sebelum tidur

سبحان الله

Subhanallah 33x

الحمدلله

Alhamdulillah 33x

الله اكبر

Allahu Akbar 34x

Dan menutupnya dengan kalimat:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Laa ilaaha illallah wahdahu laa Syarika lah, Lahul Mulku wa Lahul hamdu Yuhyii wa Yumiitu wa Huwa 'Alaa kulli Syai-in Qadiir.

Inilah juga kalimah yang diajarkan Rasulullah kepada puteri dikasihinya Saidatul Fatimah radhiyallahu ‘anha dan juga kepada menantunya, Saidina Ali.

Para ulama mengatakan ada rahsia yang sangat besar dalam tasbih zikir ini.

Semoga bermanfaat dan kita dimudahkan dalam mengamalkannya. Aamiin.

Wallahu a'lam.

-Sentiasapanas.com

Monday, February 20, 2023

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

SBDJ Siri 188: Bahana Duri Ikan Pari

Kami bersedia menyambut kedatangannya dalam serba kemungkinan. Kalau niatnya baik, kebaikan yang akan diperolehinya. Kalau niatnya jahat, jahat yang bakal diterimanya. Kami menanti penuh cemas. Dia terus melangkah ke arah kami dengan penuh keyakinan. Bila kain hitam membalut wajahnya dijatuhkan, menjadikan ramalan saya benar belaka.

Toyol jadi-jadian

Lelaki tua yang tertonggok di depan kami ialah Haji Basilam. Dulu memakai songkok, sekarang pakai serban. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan perlahan. Biji matanya dihalakan ke wajah saya.

"Kenapa tak tunggu di tempat yang dijanjikan?" cepat-cepat saya alihkan pandangan ke muka Andi Kamarool. Minta bantuan agar dia menjawab pertanyaan Haji Basilam.

"Kami terlupa, terlanjur menumpang lori Abu Zaharin, kami ajak kemari," jelas Andi Kamarool.

"Siapa suruh kamu ke mari?" Sergah Haji Basilam, gerak matanya membayangkan kekesalan.

Dia langsung tidak memberikan perhatian kepada Abu Zaharin yang berdiri disebelah Andi Kamarool.

"Bukankah Pak Haji dan datuk nak datang ke Danau Kerinci," sayacubamempertahankan tindakan yang kami lakukan memang wajar.

JARI

Mendengar kata-kata yang saya luahkan itu, Haji Basilam menggigit bibir sambil jari jemari kanannya memain hujung serban. Dia terus mengerutkan kening.

"Tapi, aku dan datuk kamu tak suruh datang ke sini. Kami suruh kamu berdua tunggu di kedai Saad mata sebelah. Lain yang disuruh lain pula yang kamu berdua buat," Haji Basilam merungut tetapi wajahnya tidak sekeruh tadi.

Sudah cerah dan boleh tersenyum kepada kami. Dengan Abu Zaharin dia masih buat tidak kisah, seolah-olah Abu Zaharin tidak wujud.

"Hairan juga Pak Haji bagaikan tahu kami ada dalam lori," begitulah, berdasarkan riak wajah Andi Kamarool cuba memberanikan diri menyoal Haji Basilam.

Pertanyaan yang diajukan itu tidak dijawab oleh Haji Basilam.

Entah mengapa, secara mengejut saja dia tumpukan perhatian kepada Abu Zaharin lalu menghadiahkan senyum persahabatan yang disambut dengan penuh kemesraan oleh Abu Zaharin.

"Maaf, saya nak bercakap dengan budak-budak ni sekejap, awak tunggu di sini."

"Silakan," balas Abu Zaharin.

Dengan tergesa-gesa Haji Basilam menarik tangan saya dan Andi Kamarool ke belakang lori kecil. Kali ini secara terang-terangan Haji Basilam melepaskan ledakan kemarahan untuk kami.

Haji Basilam meningatkan kami supaya berpegang teguh kepada janji dan jangan mengulangi perbuatan yang boleh merisaukan hati orang lain. Apa yang terdaya saya dan Andi Kamarool lakukan ialah mohon maaf padanya.

"Kami tak niat nak susahkan pak haji," nada suara saya lemah.

"Sebaik saja aku sampai ke kedai Saad mata sebelah, aku tengok kamu berdua tak ada. Seluruh anggota sendi aku lemah, bila Saad mata sebelah beritahu dia nampak dua orang budak lelaki naik lori kecil, kepala merah," penuh perasaan Haji Basilam bercerita. Mulut kami berdua terlopong mendengarnya.

"Dia beri nombor lori dan arah mana lori itu pergi, aku pinjam motosikalnya, kejar kamu berdua " tambah Haji Basilam lalu kami sambut dengan ketawa dan ketawa kami berhenti dengan serta merta bila Haji Basilam menjengilkan biji matanya kepada kami.

"Sepatutnya kawan pak haji itu panggil kami," Andi Kamarool tersengih.

"Dia tak begitu yakin. Syukur kamu berdua selamat, aku takut kamu berdua kena colek."

Sungguh melucukan andaian Haji Basilam tetapi, kami tidak berani ketawa.

"Siapa nama drebar lori yang kamu tumpang tu?" Anak matanya terdampar ke wajah Andi Kamarool. Andi Kamarool pula menghalakan pandangannya kepada saya.

"Abu Zaharin, anak saudara Haji Simpul. Dia yang suruh kami naik lori ni, dia juga beritahu kami yang Haji Basilam dan datuk berada di salah sebuah kampung dekat Danau Kerinci," kata saya.

Air muka Haji Basilam berubah. Dahi dan keningnya berkedut. Tanpa berkata apa-apa Haji Basilam meninggalkan kami. Tindakan itu. sudah pasti mengejutkan saya dan Andi Kamarool.

Rupa-rupanya Haji Basilam menerkam ke arah Abu Zaharin yang sudah berada dalam lori kecil. Kami lihat mereka bercakap sebentar. Tidak lama kemudian Abu Zaharin melompat turun dari lori.

Haji Basilam menepuk bahu Abu Zaharin mereka berpelukan penuh mesra. Kemudian serentak mereka melangkah menghampiri kami.

"Bapa saudaranya Haji Simpul aku kenal. Kawan rapat ayah si Mia. Kenapa kamu berdua tak beritahu aku," cukup lantang suara Haji Basilam. Abu Zaharin tersengih. mereka masih berpelukan.

"Kalaulah aku tahu, kamu berdua naik lori anak saudara Haji Simpul memanglah aku tidak bimbang. Kamu mesti selamat," wajah Haji Simpul nampak ceria sekali.

Telapak tangan kanannya terus menepuk-nepuk bahu Abu Zaharin, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.

PELUH

Panas yang menggigit tubuh membuat bintit-bintit peluh halus menguasai dahi saya dan Andi Kamarool. Dengan hujung serban Haji Basilam menyapu peluh di dahi. Senyum Abu Zaharin bertali arus dikelopak bibir.

"Bagaimana? Boleh saya tinggalkan mereka berdua disini," Saya dan Andi Kamarool berpandangan.

Macam-macam perkara yang kurang menyenangkan timbul dalam tempurung kepala saya. Barangkali Abu Zaharin sengaja mahu mempermainkan kami. Mana mungkin kami boleh menumpang motosikal Haji Basilam.

"Sabar dulu, tunggu sekejap," tahan Haji Basilam. Kami mula merasa lega.

Di bawah sinar matahari yang kian keras itu, Abu Zaharin tatap wajah Haji Basilam dengan seribu persoalan.

"Masih memerlukan pertolongan saya lagi?"

"Sudah tentu," Haji Basilam tentang anak mata Abu Zaharin.

"Aku nak kirim motosikal ni," sambung Haji Basilam.

Abu Zaharin segera menggosok hujung hidungnya yang diruapi peluh harus.

"Nak kirim kemana pak haji?"

"Ke Sungai Penuh, hantarkan ke kedai kopi Saad mata sebelah."

Rasa hairan bermain di wajah dan dahinya kembali berkerut. Bintit-bintit peluh halus dihujung kerutan segera meleleh ke cerun pipi. Haji Basilam tahu apa yang difikirkan oleh Abu Zaharin.

"Kedainya, sebelah kanan jalan besar. Didepannya ada toko kain," kata Haji Basilam bagaikan berbisik.

"Oh, saya tahu," sahut Abu Zaharin riang.

"Kalau begitu tolong naikkan motosikal atas lori," tambahnya lalu menerkam ke arah motosikal.

Dengan penuh tenaga dia mendorong motosikal hingga ke bahagian belakan lori untuk dijadikan titian.

"Sekarang kita ramai-ramai tolak motosikal," arahan pun dikeluarkan oleh Haji Basilam. Kami segera mematuhinya.

Saya ditugaskan menolak motosikal dari belakang, Abu Zaharin menjaga bahagian depan dan handle.

Andi Kamarool menjaga bahagian tepi. Haji Basilam berdiri dalam perut lori kecil memberi arahan. Tidak sampai dua puluh minit semua urusan selesai.

"Motosikal tu mesti diikat supaya tidak jatuh bila melalui selekoh. Kamu ikatkan Tamar, ini talinya," Haji Basilam mencampakan tali belati kepada saya.

Tidak tahu dari mana dia memperolehi tali tersebut. Saya sempurnakan ikatan dengan sebaik mungkin. Bagi mempastikan sama ada ikatan itu kemas dan kuat, dua tiga kali badan motor saya goncang.

"Dah kuat tu, tak payah digoyang-goyang," tegur Andi Kamarool.

"Aku pun fikir begitu, dah cukup kuat. Lagipun aku bawa lori bukannya laju sangat," tingkah Abu Zaharin.

Saya terima semua komen yang diluahkan dengan senyum.

"Bab pertama sudah selesai," Semua biji mata tertumpu ke arah Haji Basilam yang berdiri di tengah lori kecil.

Kemudian dia melangkah dan lantas terjun dari lori. Kami juga turut berbuat demikian.

"Begini, kerana kamu mahu balik ke Sungai Penuh, kami tumpang lori kamu separuh jalan. Turunkan kami di simpang, dari situ kami berjalan ke kampung dalam. Datuk di Tamar menanti di situ."

"Boleh, tak jadi masalah. Saya boleh hantar sampai ke kaki tangga," jawab Abu Zaharin lalu masuk kedalam lori. Sudah tentu janji yang diluahkan itu membuat kami riang.

GARANG

Setelah membuat pusingan, lori kecil kepala merah berpatah balik menghala ke Sungai Penuh.

Matahari garang, Abu Zaharin nampak begitu selesa memandu, begitu juga dengan Haji Basilam cukup aman duduk di sebelah.

Saya dan Andi Kamarool sengaja memilih untuk berdiri di bahagian belakang lori. Tidak seronok rasanya duduk dekat Haji Basilam.

Lori kecil kepala merah terus bergerak lancar, kami terpaksa berpaut pada dinding lori. Rambut kami mengerbang disentuh angin dan mata mula berair, tidak boleh dibuka luas kerana pedih akibat angin.

Apa yang pasti sepanjang jalan itu, Abu Zaharin dan Haji Basilam cukup rancak bercakap.

"Oooppp...," jerit saya sambil berpaut pada dinding lori.

Ternyata saya gagal mengimbangi badan, akibatnya tubuh tersungkur atas lantai lori. Tergesa-gesa saya bangun.

"Celaka si Abu kenapa membelok macam tu," terpancut kata dari mulut.

"Salah kamu juga, sepatutnya pegang kuat-kuat dan berdiri betul," Andi Kamarool melunturkan pendapat.

Memang benar, apa yang diungkapkan itu. Saya cuai tetapi, memang dasar tidak mahu mengakui kelemahan diri sendiri, saya tidak mahu menerima pandangan Andi Kamarool.

MERAH

Setelah melepasi selekoh tajam, lori kecil berkepala merah mula bergerak perlahan.

Di hadapannya terbentang simpang tiga, kelihatan beberapa buah lori kecil, kereta dan motosikal berhenti di bibir jalan.

Para pemandu kenderaan tersebut menyemberang jalan menuju ke sebuah warung yang terletak di kepala simpang.

"Cukup di sini saja Abu," gegendang telinga saya dapat menangkap suara Haji Basilam dalam deru enjin lori.

Tayar lori mula melanggar rumput dan lopak tepi tepi jalan membuat tubuh saya dan Kamarool turut bergerak ke kiri dan ke kanan, mengikut pergerakan badan lori.

Akibatnya enjin lori dimatikan. Haji Basilam melompat turun.

"Turun, tunggu apa lagi."

Saya dan Andi Kamarool segera terjun dari lori.

"Kita minum di kedai seberang jalan Abu."

"Terima kasih, kerana susah payah menolong budak dua orang ni, sampaikan salam saya pada Haji Simpul."

"InsyaAllah."

Lori kecil berkepala merah terus meninggalkan kami bertiga di gigi jalan. Perut mula terasa lapar. Saya mula teringat tentang nasi lemak sambal tumis ikan bilis yang dibekalkan oleh Mia untuk kami.

Haji Basilam dongak ke langit, melihat kedudukan matahari untuk beberapa minit. Kemudian dia tersenyum merenung ke arah saya dan Andi Kamarool.

"Kamu berdua lapar?"

Kami segera mengangguk.

"Mia bekalkan kamu nasi lemak sambal tumis ikan bilis."

“Iya Pak Haji, macamana Pak Haji tahu," tanya Andi Kamarool.

"Aku kenal emak bapa Mia, aku kenal keturunannya. Memang sudah jadi rasmi keluarga Mia, setiap orang luar yang baru dikenali dan bermalam di rumahnya akan dibekalkan dengan nasi lemak sambal tumis ikan bilis bersama tiga biji bertih, hujung daun pisang pembungkus nasi lemak sebelah kiri dipotong. Kalau tetamu tidak dibekalkan dengan perkara tersebut nanti SAKA menganggu, kecuali orang yang kuat ilmu batinnya."

Penjelasan Haji Basilam membuat saya dan Andi Kamarool menarik nafas serentak. Memang tidak dinafikan, saya melihat bertih dan daun pisang yang dipotong hujungnya ketika saya mahu memasukan bungkusan nasi lemak kedalam beg galas. Cara kebetulan bungkusan itu terbuka sendiri.

"Tak usah susah hati, nasi lemak tu selamat dimakan, kalau terjadi sesuatu yang tak baik aku boleh tawarkan," janji Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Kami bertiga segera melintas jalanraya menuju ke warung di kepala simpang. Kami disambut dengan ramah oleh pemilik warung yang memang kenal Haji Basilam.

Kami tidak dibenarkan duduk bersama pelanggan warungnya yang lain. Kami ditempatkan di bilik khas dan dilayan dengan sebaik mungkin.

Episod lapar yang kami alami pun berakhir. Nasi lemak yang dibekalkan oleh Mia habis masuk perut, hingga kami terlupa untuk mencari bertih dan daun pisang yang dipotong hujung.

"Haji ni berjasa besar kepada saya, dia banyak membantu, kalaulah bukan kerana usahanya, mungkin awak berdua tidak dapat singgah di kedai saya ini," pemilik warung yang berhidung besar dengan parut selebar dua inci dipipi kanan meletakkan tiga cawan kopi di depan kami.

"Usahlah dikenangkan perkara itu, semuanya dengan izin Allah," jawab Haji Basilam.

Pemilik warung meninggalkan kami di bilik khas. Dia meneruskan tugasnya melayani pelanggan.

"Siapa namanya Pak Haji?" saya mula mencungkil rahsia.

"Jaafar."

"Apa jasa pak haji dengannya?"

"Adalah sedikit, semuanya cara kebetulan. Datuk kamu tahu ceritanya, kau tanyalah sama dia."

"Minta maaf, saya tak berani. Sambil minum ada baiknya pak haji bercerita sambil lalu."

"Tolonglah ceritakan pak haji, kami sekadar mahu mendengarnya," rayu Andi Kamarool.

Haji Basilam meneguk kopi, matanya merenung dinding warung. Akhirnya, dia akur dengan permintaan. Haji Basilam pun mulakan ceritanya.

TINGGAM

Di daerah Sumatera, sejenis ilmu yang disebut TINGGAM masih dimanfaatkan atau digunakan bagi merosakkan (menyakiti) lawan atau orang yang tidak disenangi.

Bila TINGGAM mula berkerja (bergerak) bahagian tepi leher terasa sakit sakit yang kadangkala berpindah pindah.

Bila sakit sudah sampai pada puncaknya (kemuncaknya) dari tepi leher akan muncul jenis bisul yang kemudiannya pecah serta mengeluarkan air yang busuk baunya. Akibatnya, si pengidap penyakit dijauhi atau kurang disenangi.

"Pak haji, saya nak tanya apa makna TINGGAM tu?" tanya saya.

"Perkataan TINGGAM berasal dari Minangkabau yang bermaksud jampi-jampi untuk menjadikan seseorang itu sakit bengkak-bengkak dan bahagian dan sebagainya dengan mencucukkan duri ekor ikan pari pada gambar orang yang disakit atau pada ikan pari," jelas Haji Basilam.

"Dahsyatnya," keluh Andi Kamarool.

Selanjutnya Haji Basilam menjelaskan, TINGGAM ada bermacam-macam jenis. Tetapi yang paling popular dan sangat jahat ialah Tinggam tulang ikan pari.

Tulang yang digunakan ialah tulang yang terdapat di bahagian pangkal ekor iaitu tulang yang runcing dan tajam. Tulang itu digunakan untuk dimasukan ke tubuh musuh atau atau lawan secara ghaib.

Setelah tulang itu diambil ikan pari tersebut dilepaskan kembali ke tengah laut. Jika ikan itu masih hidup, maka tulang yang digunakan untuk tinggam tetap akan bergerak dalam tubuh orang yang dimaksudkan sehingga orang tersebut hidup menderita.

"Si Jaafar pemilik warung ni, salah seorang bekas mangsa Tinggam," bisik Haji Basilam kepada saya dan Andi Kamarool.

Dia memberi senyuman kepada Jaafar yang secara kebetulan masuk ke bilik khas mengambil sesuatu untuk pclanggannya.

Kerana tidak mahu cerita tentang Tinggam dan Jaafar mati begitu saja, kami berdua terus memujuk dan merayu Haji Basilam meneruskan ceritanya. Usaha kami berhasil.

Menurut Haji Basilam, Jaafar anak jati kampung Simpang merantau ke Pekan Baru yang ketika itu belum begitu maju dan penduduknya tidak seramai sekarang.

Haji Basilam tidak menyebut tahun berapa Jaafar merantau ke tempat tersebut. Di rantau orang Jaafar berkenalan dengan Marson yang berasal dari Magelang, Jawa Tengah.

Perkenalan Jaafar dengan Masron terjadi secara kebetulan.

Suatu petang lebih kurang jam lima, Jaafar minum di sebuah gerai sambil menghirup teh fikirannya berperang sama sendiri. Dia tidak dapat membuat keputusan yang pasti sama ada mahu terus memperjudikan nasib di Pekan Baru atau merentas Selat Melaka menuju Melaka atau Johor.

Tiba-tiba Masron datang lalu duduk dikerusi sebelahnya, mereka memperkenalkan diri masing-masing.

Masron juga mahu mencuba nasib di Pekan Baru kemudian merancang mahu pergi ke Pontian Kecil di Johor kerana saudara sebelah ayahnya ada disitu.

Perkenalan singkat itu menghasilkan persahabatan yang kental. Mereka memutuskan untuk mencuba nasib di Pekan Baru dulu, kalau gagal baru mereka berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

RUMAH

Masa terus berlalu, tidak terasa sudah lima tahun Jaafar dan Masron bersahabat, bagaikan adik beradik. Masing-masing sudah membuka perniagaan sendiri. Antara mereka berdua ternyata Jaafar lebih berjaya.

Pada suatu petang Jumaat, lebih kurang pukul enam, Masron datang ke rumah sewa Jaafar, mereka merancang sembahyang jemaah dan membaca Yasin.

Sebagai meraikan sahabat karib, Jaafar menyediakan makanan enak yang dimasaknya sendiri. Lepas sembahyang Isyak mereka akan makan bersama diruang tamu.

Malam itu, setelah selesai melaksanakan sembahyang Isyak, Jaafar terus ke dapur untuk mengambil makanan. Dengan tidak diduga, dia jatuh dan terus pengsan.

Di saat mahu rebah terdengar bunyi yang agak kuat di bumbung, macam ada seseorang yang membalingkan batu keatap genteng.

Masron segera memapah tubuh Jaafar, dibawa ke katil dan dibaringkan. Pertolongan cemas segera dilakukan oleh Masron. Cepat-cepat Masron mendekatinya lalu memicit-micit tubuh Jaafar.

Masron yang tahu serba sedikit petua dan pantang larang orang tua-tua, segera membuat tanggapan bahawa ada sesuatu yang tidak kena terjadi pada diri Jaafar.

Dalam rintihan kesakitan itu, Jaafar memberitahu Masron bahawa di dalam tubuhnya terasa seperti ada benda yang bergerak-gerak dan terasa mencucuk-cucuk. Hampir seluruh tubuhnya tidak dapat digerakkan.

Masron terus berada di sisi Jaafar, sepanjang malam dia tidak dapat tidur, malah makanan yang dimasak Jaafar tidak dijamahnya.

Dia terus berdoa agar penyakit aneh yang singgah di tubuh sahabatnya segera hilang.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 188/284

BACA: SBDJ Siri 187: Saka Nenek Moyang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com